Thursday, 17 November 2016

H.I.M - Bab 10

PETANG-PETANG begitu masing-masing sudah
tidak lekat di rumah. Farouqe semenjak pagi tadi bersama
isterinya keluar berjalan. Tan Sri Ariff dan Puan Sri Insyirah
pergi menghantar Tuan Muhammad dan Celine ke lapangan
terbang. Rania pergi bersama mereka. Ada juga yang sudah
pulang ke rumah masing-masing.
Afyra melepak sendirian di luar rumah. Fakhri?
Lagi seronok menonton TV dengan anak-anak Rafael, sibuk
melayan rancangan kartun. Melihat Afyra hanya sendirian,
Imanina mengajak Rafael ikut duduk di gazebo.
“Tak keluar ke?” tanya Imanina sambil melabuhkan
duduk di sebelah Afyra.
“Malas.”
“Baru kahwin takkan terperuk aje kat rumah.
Ajaklah dia jalan-jalan. Ambil masa berdua. Kenal-kenal.
Dulu Kak Iman nikah dengan Abang Umar pun bukan kenal
sangat. Kalau kita cuba kenal dia, lama-lama kita faham dia.
Insya-Allah... kita akan terima dia juga.”
Afyra diam mendengar bicara kakaknya. Rafael
memandang adiknya itu.
“Sekurang-kurangnya maniskan muka depan suami.
Jangan buat muka monyok macam tu. Nanti dia terasa hati,”
ujar Rafael pula. Dia faham. Bukan mudah untuk Afyra terima
lelaki lain dalam hidupnya sedangkan adiknya itu baru sahaja
putus cinta.
Afyra diam merenung meja. Hari kedua menjadi
isteri orang. Dia masih janggal untuk bergaul dengan lelaki
itu. Kekok sangat. Hanya bercakap apabila ada yang perlu.
“Tengoklah Farouqe tu, wei!” tegur Imanina
membuatkan semua mata yang ada di situ tuntas ke arah
sepasang merpati dua sejoli itu. Saling berpegangan tangan
dari pintu pagar sehingga ke halaman rumah.
“Takut isteri dia tersungkurlah tu sampai kat dalam
kawasan rumah pun nak pegang tangan,” komen Rafael
membuatkan tawa mereka meledak spontan.
Farouqe menoleh. Cuba mencari dari mana
datangnya bunyi gelak itu. Rupanya adik-beradiknya sedang
lepak di gazebo. Beg plastik di tangan diberikan kepada
Adeline. Dia mendekati kawasan itu.
“Gelak apa tadi?”
“Farouqelah. Bukan main lagi pegang tangan. Takut
hilang ke apa?” ucap Imanina.
“Dulu tak dapat pegang. Sekarang kita peganglah
cukup-cukup. Barulah nampak macam suami mithali. Tapi
memang Farouqe suami mithali pun. Tak payah berlakon ni
semua.”
Tergelak Rafael mendengar jawapan Farouqe.
“Serius. Abang rasa poyo sangat sampai dalam
kawasan rumah pun nak berpegang tangan.”
“Isy! Tak ada batas untuk suami mithali layan isteri
dia baik-baik.”
“Mithalilah sangat!” desis Imanina menyampah
dengan jawapan Farouqe.
“Betullah apa Farouqe cakap. Penat Farouqe tunggu
dia. Rugilah kalau tak layan dia baik-baik,” ujar Farouqe
selamba.
“Kak Iman rasa macam mimpi pulak.”
“Apasal?” balas Farouqe sambil memandang
kakaknya itu.
“Famili kita ni kan... unik tau. Ada yang kahwin
dengan ustazah sendiri. Mohon terasalah kepada yang
berkenaan.”
Rafael ketawa kecil mendengar kata-kata adiknya.
“Ada yang kahwin dengan princess. Kak Iman kahwin
dengan senior sendiri. Kak Ana kahwin dengan mamat yang
duduk depan bilik dia kat ofis. Farouqe dapat jodoh best
friend sendiri.”
“Ada yang kahwin dengan tukang kebun sendiri.”
Tersentak Afyra mendengar kata-kata Farouqe.
“Mulut tu kalau tak kurang ajar, tak sah, kan?”
meledak kemarahan Afyra serta-merta.
Berubah wajah Farouqe.
“Alah... Farouqe gurau ajelah.”
“Fira nak masuk dalam kejap.” Afyra terus bangun.
Tercengang Farouqe memandang Afyra berlalu
dengan wajah mencuka.
“Mulut tu tak jaga. Dah tahu mood dia tengah tak
baik, sebut pasal tu buat apa?” ucap Imanina.
“Habis tu tadi Kak Iman nak cakap apa?”
Imanina ketawa geli hati.
“Akak pun nak cakap macam tu juga. Nasib baik
Farouqe dah cakap dulu. Kalau tak, akak yang kena marah.
Selamat!”
“Kurang asam, kan? Lepas tengkuk dia aje,” desis
Farouqe sambil memandang abangnya.
Rafael ketawa geli hati.
“Apasal Kak Fira tu?” tanya Farouqe.
“Biasalah tu... mood dia tak berapa baik. Fikiran tak
tenang. Jangan ambil hati,” balas Rafael lembut.
Farouqe diam. Sedikit sebanyak dia dapat meneka.
Pasti kerana hal semalam.
“Farouqe tengok muka Naquib tu rasa macam nak
tumbuk aje. Sakit hati,” ujar Farouqe pula.
“Boleh main-mainkan anak orang, kan? Tak mahu
kahwin cakaplah awal-awal. Ni dah dekat nak nikah, baru
nak minta putus. Kak Iman betul-betul tak suka mak dia.
Punyalah bising mulut dia malam tu. Malu kat tetamu.”
“Kalaulah dia tak datang malam tu, sama-sama tak
dapat malu. Orang pun tak tahu apa yang dah jadi. Orang yang
datang malam tu pun bukannya tahu pengantin lelakinya dah
bertukar. Sebab dia ada, tak pasal-pasal semua orang tahu,”
ucap Rafael pula.
“Kita biasa pergi majlis kahwin, bukannya kita kenal
sangat siapa pengantin yang tertulis atas kad jemputan. Tak
ambil tahu pun. Yang penting kita datang, kan?”
“Itulah pasal. Daddy ada cakap dengan abang
sebelum ni. Fakhri cerita kat dia, keluarga Naquib tu tak suka
daddy. Keluarga dia anggap Fira mengongkong Naquib.”
Rafael menggeleng kesal.
“Serius? Eh! Itu sudah lebih. Tak sedar diri betul!
Dulu daddy pun bukannya berkenan sangat dengan si Naquib
tu. Suka-suka hati dia aje ajak anak dara orang keluar sana
sini. Daddy terima sebab Fira,” balas Imanina. Panas pula
hatinya.
“Nasib baiklah tak jadi kahwin. Untung sebenarnya
kita ni walaupun kita diuji di saat-saat akhir.”
Rafael memandang ke arah pintu gelangsar yang
terbuka luas. Dia lihat Fakhri sedang berbaring di sebelah
anak-anaknya. Bukan main riuh lagi mulut Rauf berborak
dengan Fakhri. Afyra entah di mana.
“Rajin dia melayan budak-budak,” komen Rafael
sambil tersenyum. Namun kemudian dia bangun mendekati
Fakhri.
“Fakhri, pergilah ajak Fira tu keluar. Lagi terkurung
di rumah, lagi tak baik mood dia.”
Fakhri memandang abang iparnya seketika.
Kemudian dia terus bangun untuk mencari isterinya. Rafael
terus memandang gelagat Fakhri. Harap-harap adik iparnya
itu tahu bagaimana untuk mengambil hati seorang wanita
yang masih basah lukanya.
“KAU NAK pergi jalan -jalan tak?” tanya Fakhri setelah masuk
ke kamar. Isterinya baru selesai solat.
“Malaslah.” Afyra menjawab tanpa memandang.
“Kita balik rumah aku, nak?” ajak Fakhri dengan
nada lembut.
Lambat-lambat Afyra menoleh. Lelaki itu berdiri
tidak jauh daripadanya.
“Kau nampak tak selesa. Aku tahu kau rasa terpaksa.
Aku pun tak selesa macam ni,” ujar Fakhri.
Mendengar kata-kata itu, Afyra terus mengangguk
setuju.
“Siaplah. Aku tunggu.”
“Mummy dengan daddy belum balik lagi. Macam
mana?”
“Tak apa. Esok lusa kita balik sini semula,” jawab
Fakhri lantas berjalan ke pintu semula.
Afyra sekadar memandang suaminya berlalu. Beg
pakaiannya diambil lalu diletakkan ke atas katil. Sehelai
pakaian pun tidak dikemasnya sebelum ini biarpun dia tahu
dia harus berpindah mengikut suami.
Selesai mengemas, kesemua begnya diturunkan dari
katil. Fakhri muncul semula.
“Dah?”
“Dah.”
“Baju aku?”
Spontan Afyra memandang suaminya.
“Baju dia pun kita yang kena kemas ke?” tanya Afyra.
“Habis tu?” jawab Fakhri lantas mengambil beg
isterinya untuk dibawa ke bawah.
“Kunci kereta mana?”
“Kereta siapa?”
“Kereta kaulah. Aku mana ada kereta. Takkan nak
balik jalan kaki pulak,” ucap Fakhri selamba.
Afyra terpegun seketika memandang lelaki itu. Habis
tu Fakhri datang ke rumah ini dengan apa? Dia tertanya-tanya
sendiri.
“Kat bawah. Tanyalah sesiapa kat bawah tu,” jawab
Afyra acuh tidak acuh. Dia mengambil beg baju Fakhri pula.
Baju lelaki itu masih bersepah sana sini belum dikutip. Ada
juga yang masih di dalam bakul baju kotor lagi.
Sedang dia sibuk melipat baju suaminya, Fakhri
muncul semula, memerhati apa yang sedang dibuat oleh
isterinya itu.
“Ermm... rumah aku tak besar macam rumah ni. Tak
apa ke?”
Afyra mengerling lelaki itu.
“Janji mak tiri dan abang kau yang tak guna tu tak
ada dalam rumah tu,” jawab Afyra selamba.
Fakhri tersenyum-senyum entah kenapa. Dan
senyuman aneh itu sempat dilihat oleh Afyra.
“Apasal kau senyum?”
“Aik? Senyum pun dah tak boleh sekarang?”
“Kau ejek aku, kan?” ucap Afyra lantas bangun. Beg
pakaian Fakhri dizip kemas.
Fakhri tidak membalas. Sebaliknya beg itu
diambilnya lalu dibawa turun. Afyra menjeling lelaki itu.
Sakit pula hatinya melihat senyuman Fakhri. Dia bersiap ala
kadar dengan sepantas yang mungkin.
Di bawah, Fakhri sedang duduk menonton TV
sementara menunggunya.
“Fira nak balik rumah Fakhri ke?” tegur Imanina.
Afyra menoleh ke arah kakaknya. Kemudian dia
mengangguk.
“Nanti Fira balik sini semula. Kirim salam dengan
mummy dan daddy, ya?” jawab Afyra lembut.
“Yalah.” Imanina mendekati sang adik. Afyra
dipeluknya.
“Jangan gaduh-gaduh dengan suami. Cakap
lembut-lembut. Ambil masa ni, cuba kenal hati budi dia. Kita
buat baik, insya-Allah balasan yang baik juga kita akan dapat.”
Imanina berbisik saat mendakap sang adik.
Afyra sekadar mengangguk. Sedikit senyuman
diberikan kepada kakaknya sekadar mahu menenangkan
debaran yang melanda jiwa. Memulakan hidup dengan
seseorang yang asing, sudah tentu tidak mudah.
“Jom,” ajak Fakhri lembut.
Sepanjang perjalanan, mereka lebih banyak berdiam.
Afyra ralit memandang ke luar. Hairan. Dia yang selama ini
jenis banyak mulut jadi amat pendiam pula kala ini.
“Kita makan dulu kat luar. Nanti malam tak payah
masak.”
Afyra sekadar mengangguk.
“Tak ada mulut ke nak jawab?”
“Ya!” dengus Afyra spontan.
“Daddy kata, kau ni jenis banyak cakap. Menceceh
tak habis-habis. Tapi dengan aku, kenapa kau jadi pendiam?”
tanya Fakhri sambil memandang sekilas isterinya yang
sedang memandang ke luar.
“Tak ada apa nak cakap, aku diamlah,” rungut
perempuan itu perlahan.
Fakhri pula yang diam. Mungkin enjin belum panas,
fikirnya.
“Kau tak suka aku?” tanya Fakhri seketika kemudian.
Lambat-lambat Afyra menoleh ke arah suaminya.
Lelaki itu merenungnya sedetik dua.
“Entah. Aku tak tahu nak jawab apa.”
“Aku memang tak sama macam Naquib. Aku ni...”
“Tak ada siapa minta kau sama macam mamat tak
guna tu! Stop talking about him. Please...” pintas Afyra
dengan nada tegas.
Fakhri menghela nafas perlahan. Kali ini dia memilih
untuk berdiam. Ketika mereka hampir tiba di tempat yang
dituju, dia berhenti di satu kawasan perumahan pangsa di
Pantai Dalam. Terdapat banyak gerai beratur di pinggir jalan.
“Makan kat sini, ya?”
Afyra hanya mengangguk sambil membuka pintu.
Tanpa sedar, Fakhri memandang gelagat isterinya keluar dari
kereta tanpa menunggunya. Buat seketika, Afyra berdiri di
hadapan kereta.
“Kat sanalah,” ajak Fakhri lantas menuding ke
arah satu gerai di seberang jalan. Dia pergi ke arah Afyra.
Tanpa disuruh, tangan isterinya diraih untuk mereka berdua
melintas jalan.
Terkedu Afyra melihat Fakhri menariknya setelah
jalan raya selamat untuk diseberangi. Sedar atau tidak, sejak
dinikahi Fakhri, ini baru kali kedua lelaki itu menyentuhnya.
Itu pun sekadar di tangan.

1 comment: