Thursday, 17 November 2016

H.I.M - Bab 4

“KAMU nak ke mana?” tegur Tan Sri Ariff saat
terpandang anaknya sedang menunggu lif.
“Fira dah janji dengan abang.”
Tan Sri Ariff memandang jam di pergelangan tangan.
Saat pandangan dikembalikan kepada Afyra, renungannya
mencerun tajam. Tidak senang.
“Masih waktu bekerja.”
“Sorry, daddy. Fira ada hal penting. Please...” rayu
Afyra dengan muka kesian.
Tan Sri Ariff diam lantas berpaling semula ke
kamarnya.
Di lobi, Afyra berjalan laju menuju ke luar. Dia
mendapatkan keretanya. Tempat yang dijanjikan segera
dijejaki.
“Sorry... Fira lambat,” sapa Afyra sebaik sahaja tiba
di meja. Naquib sudah pun selesai makan. Lelaki itu sekadar
memandang selamba Afyra mengambil tempat di sebelahnya.
“Abang lapar ya?” ucap Afyra sambil tersenyum.
“Lambat sangat. Mana boleh tahan. Abang makanlah
dulu,” jawab Naquib selamba.
“Tak apalah. Hal kecil aje.”
Naquib tersenyum sedikit sambil melambai pelayan
agar mendekat. Selesai membuat pesanan, mereka kembali
berpandangan. Naquib lebih berminat memandang pakaian
yang dikenakan Afyra saat itu. Tidaklah seksi sebenarnya.
Tudung warna kuning cair itu menyerlahkan warna kulit sang
perempuan. Kadangkala semakin elok bertutup, semakin
kuat pula fikirannya meneroka.
“Abang kata ada hal penting. Apa dia?” tanya Afyra
sudah tidak betah menadah pandangan lelaki itu. Dan masa
juga tidak banyak untuk mereka berbasa-basi.
“Tak ada apa yang penting sangat. Abang nak jumpa
Fira sebenarnya,” jawab Naquib selamba.
Berubah sedikit wajah Afyra.
“Nanti dah kahwin, abang jangan terus amalkan
budaya putar belit sana sini tu. Fira tak berapa suka,” ucapnya
dengan senyum tawar. Itukah saja sebabnya? Susah payah
dia menadah diri dengan reaksi tidak senang bapanya tadi.
Nampak kecil, tapi dia sakit hati.
Naquib diam. Sebahagian yang diucapkan tunangnya
itu seolah-olah tidak menarik minatnya. Sebaliknya,
fikirannya berkisarkan hal lain.
“Kita tangguh dulu pernikahan kita... supaya kita
boleh bersedia. Fira pun masih muda. Nak buat apa kita nikah
cepat sangat? Kita bincang semula tentang tarikh majlis tu
nanti.”
“Hah?” wajah Afyra berubah serta-merta. “Kenapa
pulak?” tanya Afyra pantas.
“Macam yang abang kata tadi, kita tak perlu
terburu-buru sangat nak kahwin. Abang rasa, elok kita
tangguhkan pernikahan kita.”
“Tapi abang dah janji dengan daddy. Daddy marah
nanti. Fira tak berani,” jawab Afyra bersungguh-sungguh.
“Abang akan bincang dengan daddy Fira.
Insya-Allah.”
“Tak boleh. Fira takut daddy marah nanti,” ujar
Afyra gusar.
“Daddy nak cakap apa? Ini keputusan kita,” ucap
Naquib. Sesak otaknya apabila lelaki tua itu terus dijadikan
benteng oleh Afyra untuk tidak sependapat dengannya.
“Tu keputusan abang! Kita tak payah bertunang
lama-lama sangat. Daddy tak suka.”
“Dua tahun tak lama, sayang. Normallah tu.”
“Lama! Daddy tak akan setuju. Abang ni memang
tak faham-faham, kan? Penat nak jelaskan hal yang sama
berkali-kali,” balas Afyra tegas.
Naquib menghela nafas perlahan.
‘Ni siapa yang nak kahwin ni? Dahlah nak ajak jumpa
sikit punya payah. Sikit-sikit kena tanya daddy dia dulu,’ bisik
hati Naquib tidak senang. Zaman sekarang ibu dan bapa sudah
beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih. Tetapi
keluarga Afyra, sangatlah kolot! Pergerakan Afyra dikawal
ketat oleh bapanya setiap hari.
“Kenapa abang tak suka kita cepat kahwin?”
Pandangan Afyra tepat ke arah Naquib. Cuba membaca apa
yang sedang disembunyikan lelaki itu.
“Kita yang nak kahwin. Kalau boleh, biarlah kita
yang buat keputusan.”
“No! Fira ni anak perempuan. Apa-apa hal, Fira
kena dengar cakap daddy. Itu cara kami. Nak keluar ni tadi
pun daddy macam tak suka. Tak boleh selalu macam ni.
Lama-kelamaan nanti daddy tak akan percaya pada abang,”
jawab Afyra bersungguh-sungguh. Masakan dia harus
melawan kata-kata bapanya? Tak sanggup dia!
Naquib diam. Malas mahu bertelagah dalam soal
itu. Sesak juga otaknya. Semenjak hubungannya dengan
Afyra sudah diketahui keluarga Afyra, dia tidak lagi bebas
dapat bertemu kekasihnya itu. Hanya waktu makan tengah
hari sahaja dia dapat meluangkan masa menemui Afyra. Itu
pun bukannya setiap hari sementelah Afyra bekerja dengan
bapanya.
“Abang, Fira bukannya tak mahu dengar cakap
abang. Tapi sekali daddy dah tak suka, susah kita nanti,” ucap
Afyra bersungguh-sungguh.
“Maksud Fira?” Kening Naquib mencerun sedikit.
Afyra menghela nafas perlahan. Bagaimana mahu
dijelaskan? Bapanya memang begitu. Dia berkuasa. Sebagai
anak, dia harus patuh. Soal pemilihan jodoh, bapanya
memang akan masuk campur. Bapanya akan membaca
tindak-tanduk mereka.
“Daddy nak kita cepat-cepat kahwin sebab tak mahu
kita terus macam ni. Tak mahu kita sampai buat dosa,” ujar
Afyra lembut.
“Kita tak pernah terlanjur pun,” jawab Naquib
selamba. Kalau berlaku pun, itu sudah lumrah zaman
sekarang.
“Memanglah. Tujuan perkahwinan tu untuk elakkan
terlanjurlah. Kalau tunggu dah terlanjur baru nak kahwin,
apa gunanya lagi?” tekan Afyra mula geram dengan reaksi
lelaki ini.
“Nantilah. Abang bincang dengan mak dan ayah
abang.” Naquib sekadar menjawab malas. Dia menghela nafas
perlahan.
“6 bulan. Kalau tidak, daddy suruh kita putuskan
hubungan.”
“What???” Naquib tersentak serta-merta. Lama
pandangan matanya singgah pada wajah Afyra. Namun
kemudian dia mengeluh perlahan.
‘Aku ni nak kahwin ke tak mahu?’ bisik hati Naquib
sendiri. Dia sayangkan Afyra. Terlalu sayang. Tetapi apabila
disuruh memperisteri Afyra, dia rasa berat pula. Sementelah
dia melihat suasana keluarga Afyra yang agak tidak masuk
dengan dirinya. Serba-serbinya tak boleh. Semuanya haram.
Dia rimas. Bagaimana mahu berhadapan dengan mentua
sebegitu saban hari? Tidak sama cara dengan keluarganya.
‘Ah! Sebagai suami, aku yang akan berkuasa nanti!’
bisik hati Naquib sendiri.
“Abang setuju. Kita ikut aje cakap daddy Fira.”
Serta-merta mekar senyuman Afyra mendengarkan
itu. Ternyata tidak susah mahu memujuk lelaki ini. Dia pasti,
pertelagahan seperti ini lumrah. Tidak bermakna dia harus
terus membuang lelaki ini.
“Tapi lepas kahwin, Fira kena tinggal dengan
keluarga abang tau.”
“Ya. Abang dah cakap dulu,” jawab Afyra akur.
“Bukan apa... mak abang tu tak berapa suka abang
jauh daripada dia. Faham-faham ajelah, anak tunggal macam
abang ni,” jelas Naquib.
Afyra diam. Sejujurnya dia gentar memikirkan
keadaan selepas kahwin nanti. Tidak tahu adakah dia serasi
dengan bakal ibu mentuanya itu. Sepanjang dia mengenali
ibu Naquib, wanita itu memang agak kasar. Tetapi penilaian
awal itu cuba ditepisnya. Lain orang, lain ragamnya.
“Sebelum ni pun isteri abang tinggal kat rumah
keluarga abang, kan?”
Naquib mengangguk sambil memandang buah
hatinya itu.
“Kalau Fira tanya sesuatu, abang jangan marah, ya?”
“Apa?”
“Kenapa abang bercerai dulu?”
Tersentak Naquib mendengar soalan itu kedengaran
semula.
“Nak juga tahu?”
“Kalau tak keberatan,” jawab Afyra sambil bersandar
dan memeluk diri sendiri.
“Banyak sebabnya. Abang tak suka isteri abang
keluar rumah tanpa izin abang, biadab dengan mak abang,
balik kerja lambat.”
“Oh... so, semua tu bekas isteri abang buat?”
Naquib mengangguk.
“Ada sekali tu... dia... ermm... marahkan abang sebab
mak abang membebel. Dia keluar dari rumah macam tu aje.
Mak abang makin marah dengan dia. Kami gaduh besar.
Abang tak sengaja lepaskan dia.”
“Dia pergi mana waktu tu?”
“Balik rumah keluarga dia.”
Terkedu Afyra mendengar cerita itu.
“Balik rumah famili sendiri kena cerai?”
“Apa alasan sekalipun, kena minta izin abang. Abang
suami. Memang dia ada minta maaf, tapi dia tak sepatutnya
buat macam tu,” ujar Naquib.
“Banyak kali ke dia buat macam tu?”
“Adalah dua tiga kali.”
Terlepas sedikit gelak Afyra.
“Dia buat silap dalam keadaan tertekan. Okey... bagi
abang balik rumah famili tu besar salahnya. Tapi dia dah
minta maaf. Abang balas dengan ceraikan dia? Seriously?”
tekan Afyra agak terkejut mendengar pendirian lelaki itu.
“Abang dah kata, dia tak sepatutnya buat macam tu.”
“So, berapa kali dalam sebulan dia balik rumah
famili dia?”
Naquib terdiam serta-merta. Berubah sedikit
wajahnya. Terasa Afyra sedang menembaknya dengan soalan
itu.
“Fira anggap abang mesti menyesal ceraikan dia,
kan?” ujar Afyra sedikit menyindir.
“Can we stop talking about this?” tekan Naquib
mula tidak sedap hati.
Di hujung pertemuan dua manusia itu, tiba-tiba
datang seorang anak muda menghampiri. Naquib sempat
merasa terkejut apabila disapa Fakhri.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Naquib.
“Saya kerja. Ni siapa?” tanya Fakhri sambil
mengalihkan pandangan ke arah Afyra. Bola matanya
mencerun tajam merenung wanita itu.
Afyra mengerutkan kening. Macam pernah kenal!
“Tunang aku. Dah... jom, sayang.” Naquib terus
bangun.
Fakhri terkebil-kebil memandang dua manusia
itu. Dia masih ingat, itulah anak orang kaya itu! Ingatkan
abangnya mahu memperkenalkan gadis cantik di sisi.
Rupa-rupanya Naquib terus berlalu.
Fakhri mengeluh sendiri. Tak apalah. Dia sudah
biasa dilayan seperti itu. Lama dia memandang. Dalam hati
terbit juga sedikit rasa cemburu. Naquib selalu bertuah. Ada
segala-galanya. Wanita yang mendampinginya juga hanya
yang jelita manis.
Namun Afyra sempat menoleh kepada lelaki itu.
“Siapa tu, bang?”
“Adik.”
“Adik???” Terkejut besar Afyra. Langkahnya
terhenti serta-merta sambil memandang Naquib yang sudah
terkedepan. Adik kandung? Adik tiri atau adik angkat?
“Kenapa?” tanya Naquib pelik melihat Afyra begitu.
“Fira tak pernah tahu pun abang ada adik? Abang tak
pernah cerita,” ucap Afyra naik sedikit nadanya.
Naquib hanya diam. Malu mahu mengakui yang
bapanya pernah memiliki isteri muda.
Melihatkan lelaki itu macam berat mahu bercerita,
Afyra diam sahaja sehingga tiba ke kereta. Kisah Fakhri
termati antara mereka. Namun tidak dalam fikiran Afyra. Dia
duduk di tempat pemandu sambil termenung. Naquib sudah
berlalu ke arah keretanya.
“Siapa mamat tu ek? Aku pernah jumpa dia kat
mana? Adoi... lupalah!” keluh Afyra seorang diri.
Seketika kemudian Afyra memandang jam di
pergelangan tangan. Sudah lewat. Ikutkan hatinya dia mahu
mencari lelaki itu semula. Dia mahu bertanya, adakah lelaki
itu mengenalinya? Namun bukan itu yang dilakukannya.
Enjin kereta dihidupkan segera sebaik sahaja terkenangkan
daddynya mungkin akan marah jika dia masuk lewat.

No comments:

Post a Comment