Thursday, 17 November 2016

H.I.M - Bab 6

“FAKHRI!”
Tepukan agak kuat di belakang bahu membuatkan
Fakhri tersentak. Pantas dia menoleh ke belakang.
“Kak Ika?” Fakhri segera tersenyum.
“Lamanya tak jumpa kau. Apa khabar? Kau duduk
mana sekarang?”
“Saya baik aje. Duduk kat Kerinchi,” jawab Fakhri
sambil menyengih. Dia memandang penjual di sebalik
kaunter semula. Makanannya masih belum siap.
“Akak nak makan? Sekalilah dengan saya. Saya
belanja,” ajak Fakhri.
“Boleh jugak. Rezeki jangan ditolak.” Atikah ketawa
kecil sambil memandang menu di atas kaunter itu. Melihat
ada nasi ayam, dia terus membuat pesanan.
“Akak buat apa kat sini?”
“Akak ada kerja kat Jusco sana. Ada audit hari ni,”
ujar wanita itu lembut.
“Akak masih kerja dengan kompeni lama?”
“Mana lagi akak nak pergi? Kau sekarang kerja kat
mana?” balas Atikah pula. Mahu tahu benar tentang Fakhri.
Anak muda ini selalu menghilang. Tiada khabar berita. Kali
terakhir dia bertemu Fakhri ketika dia masih menetap di
rumah keluarga Naquib lebih lima tahun dulu. Anak muda
ini dihalau oleh bekas ibu mentuanya entah atas sebab apa.
Kasihan benar dia melihatnya.
“Saya kerja office boy.”
“Kat mana?”
“Syarikat penerbitan kecil aje. Kadang-kadang saya
buat part time sebagai despatch untuk syarikat lain. Syarikat
percetakan. Ofisnya ada kat dalam mall ni,” ujar Fakhri.
“Oh... kau larat buat dua kerja, baguslah,” komen
Atikah senang hati.
“Tak rajin, tak hiduplah kat sini, kak.”
“Betul. Cukup-cukup makan ajelah. Mana kau pergi
lama sangat tak balik rumah ayah?”
Fakhri tidak terus menjawab. Dia tunduk menyuap
makanan. Pulang tetapi dia dihalau oleh ibu tirinya. Bapanya
pun langsung tidak kisah.
“Ayah masih marahkan kau pasal kes bakar kebun
orang tu ke?” tanya Atikah lagi.
Fakhri mengangguk sahaja. Teringat dia ketika itu.
Bukan sekadar tidak mahu membantu membelanya, malah
bapanya tidak mahu ambil tahu tentangnya lagi. Membuang
dia terus daripada salasilah keluarga. Dia dianggap anak yang
tidak membawa keberuntungan.
“Sabar ajelah, Fakhri. Takkan senang hidup orang
yang fitnah kau. Ayah tu pun susah juga. Kadang-kadang dia
nak bercakap dengan kau, tapi takut mak mengamuk. Kau
tahu-tahu ajelah perangai mak Naquib tu macam mana,”
ujar Atikah. Bekas ibu mentuanya itu cukup bencikan bekas
madunya dan Fakhri. Walaupun ibu Fakhri sudah lama tiada,
sentiasa dicaci cercanya wanita itu. Dianggap perampas.
Fakhri enggan diakui sebagai anak Encik Herman.
“Abang Naquib dah nak kahwin minggu depan. Akak
dah tahu?”
“Tahu. Dia ada beritahu. Eloklah tu, Fakhri. Semoga
bakal isteri dia tu dapat ikut kepala dia sepenuhnya. Akak dah
tak sanggup,” ujar Atikah selamba.
“Oh... akak tak marah ke?” tanya Fakhri sambil
menatap wajah Atikah.
“Marah? Syukur lagi ada. Dia tu... depan mak,
pijak semut pun tak mati. Belakang mak, dia mesej yang
bukan-bukan pada akak. Akak malas nak layan. Mak dia kata,
akak yang masih tergila-gilakan anak dia. Sorrylah... dah
ludah jilat balik, itu memang bukan prinsip akak. Dia yang
ceraikan akak dulu.”
“Mesej bukan-bukan macam mana?” Bola mata
Fakhri terpaku seketika di wajah Atikah.
Atikah terdiam. Tunduk. Malu mahu membuka
cerita. Wanita yang bakal berjodoh dengan Naquib itu
mungkin tidak kenal siapa bekas suaminya yang nampak
segak dan budiman dari luaran. Di sebalik itu semua, dia
kenal siapa Naquib sebenarnya.
“Abang Naquib masih sayangkan akak ke?” tanya
Fakhri lagi. Sibuk nak tahu juga.
“Entah. Akak pun keliru. Akak tak faham dia nak apa
sebenarnya. Sebelum ni, dia mengaku tersilap ceraikan akak.
Bila akak ajak rujuk semula, dia tak mahu sebab mak dia tak
izinkan. Mak dia dah tak boleh terima akak. Ayah pun lebih
banyak diam aje. Akak ni bukan menantu yang baik. So, akak
move on ajelah. Dah tiga tahun. Akak dah terbiasa tanpa dia.
Tapi kadang-kadang dia yang mesej nak datang rumahlah,
ajak jumpalah... tapi nak rahsia-rahsia. Apa sebenarnya yang
dia nak pun akak tak tahu.”
Fakhri ternganga. Ya, apa yang abangnya mahukan
agaknya?
Dalam fikiran Atikah tiada lain yang dapat ditekanya.
Lelaki seorang itu sebenarnya mahu mengambil kesempatan
ke atas status mereka sebagai bekas suami isteri. Maklumlah...
dia kan janda? Dudanya itu pula mungkin kehausan setelah
lama tidak beristeri. Tak kuasa dia mahu melayan!
“Akak gembira dengar dia dah nak kahwin. Kalau
boleh, akak nak dia berhenti hubungi akak lagi. Akak tahu
mak dia tak suka,” luah Atikah perlahan.
“Akak kahwin dengan saya ajelah kalau macam tu.”
Tersentak Atikah.
“Kau biar betul, Fakhri. Sisa abang kau sendiri, kau
nak ke?” ucap Atikah geram mendengar loyar buruk anak
muda itu.
Fakhri tersengih tanpa menjawab.
“Kau pun satu juga. Nama aje kerja despatch. Baju
branded. Tak alang-alang punya brand. Orang biasa-biasa kat
KL ni pun tak mampu nak pakai.”
Spontan Fakhri memandang baju-t berkolar di
tubuhnya.
“Ini saya beli di bundle, kak. Betul!” jawab Fakhri
bersungguh-sungguh.
“Yalah tu. Macam baru aje,” ejek Atikah tidak percaya.
Lain benar rupa Fakhri berbanding yang pernah ditemuinya
dahulu. Terpandang pula jam tangan di pergelangan tangan
Fakhri. Rolex! Atikah tersenyum sendiri sambil menggeleng.
Masakan itu pun dibeli di bundle juga?
Mereka terus berbual di situ. Atikah pula tidak
bercadang mahu terus pulang. Namun kemudian kedatangan
seseorang ke meja itu merubah keadaan. Fakhri agak kalut
entah kenapa.
“Kenapa tak call aje?” ucapnya sambil memandang
lelaki yang berdiri di tepi meja itu.
“Dah call. Tak jawab. Jita kata kau kat sini. Ni aku
nak bagi kontrak penerbitan. Kau semaklah termnya. Kalau
tak ada apa yang perlu diubah, aku akan hantar terus nanti,”
ucap lelaki itu.
Atikah sekadar memandang sketsa di hadapan
matanya tanpa menyampuk.
“Yalah. Tinggal kat sini aje,” ujar Fakhri sambil
meletakkan tangan di atas dokumen itu. Dan lelaki itu terus
berlalu.
“Office boy ya?” perli Atikah sambil mengambil beg
tangannya.
“Akak dah nak balik?”
“Dah petang ni. Takut jalan sesak. Terima kasih
banyak, Fakhri sebab sudi belanja akak makan,” ucap Atikah
lembut.
“Alah, saya belanja akak kat medan selera aje pun.
Bukannya di restoran mewah.”
“Tak apa. Janji ada ingatan kau pada akak ni. Akak
pergi dulu,” ujar Atikah sambil tersenyum.
“Bawa kereta elok-elok,” ucap Fakhri sambil
mengangguk.

“MAK, SAYA ingat saya nak cari rumah. Lepas kahwin nanti
saya nak duduk kat luar,” ujar Naquib lembut kepada ibunya.
“Apa???” Terbeliak mata Puan Sarimah.
“Tak, mak tak setuju! Ni siapa yang punya idea? Kau
ke Afyra?”
Naquib menghela nafas perlahan.
“Fira tak mahu duduk sekali dengan mak dan ayah.
Nak belajar bina hidup sendiri.”
Berasap telinga Puan Sarimah mendengar bakal
menantunya itu pandai-pandai membuat keputusan begitu.
“Berapa kali mak cakap dengan kau? Jangan beri
muka pada tunang kau tu. Tengok! Mak dah agak dia ni
memang bukan jenis perempuan yang baik. Dia sengaja hasut
kau supaya membelakangkan mak dan ayah.”
“Mak... bukan macam tu. Mungkin dia tak selesa. Dia
tak biasa,” ujar Naquib lembut.
“Bila dah jadi isteri, dia kena terima walaupun
tak biasa, tak suka! Kau tu suami. Kau ada kuasa. Jangan
tunduk pada cakap tunang kau. Baru macam ni, kau dah jadi
bingung. Kalau lepas kahwin nanti, macam mana? Jangan
nanti maruah kau dipijak-pijaknya. Tak ingat apa yang Atikah
buat pada kau dulu?”
Naquib terdiam. Sedikit sebanyak tertelan juga
kebenaran kata-kata ibunya. Namun kemudian dia menghela
nafas perlahan.
“Keluarga dia jenis kontrol semua hal. Jangan nanti
kau pun dikawalnya. Kau ada pendirian kau sendiri. Tapi
diaorang tak mahu dengar. Diaorang aje yang betul! Aku tak
tahulah apa akan jadi pada kau lepas kau kahwin dengan Afyra
nanti. Entah-entah kau tak boleh buat apa-apa keputusan.
Semua kena dengar cakap bapa dia,” bebel Puan Sarimah
lantang.
Spontan Naquib memicit kepala. Afyra lebih berani
dan lebih tegas bersuara berbanding Atikah. Kadangkala dia
kalah. Banyak kata-katanya ditolak mentah-mentah.
“Orang lelaki kena ada ego. Jangan biar perempuan
pijak kepala. Kau tengok bapa kau tu aje dah cukup. Kena
bodoh dek bekas janda dia. Apa jadi pada dia sekarang?”
Naquib diam lagi.
“Perempuan kalau suka melawan ni, bukan boleh
diberi muka. Fikir baik-baik. Jangan esok dah kahwin,
menyesal. Bercerai-berai aje kerjanya. Mak memang tak
berapa berkenan Afyra tu semenjak kau cerita yang bapa dia
tak bagi tangguh hari nikah. Kau yang nak nikah, suka hati
kaulah! Situ aje dah terbukti diaorang tu memang suka kawal
kehidupan kau. Jangan ingat diaorang tu kaya, boleh buat
apa suka.”
Naquib menghela nafas panjang. Pening kepalanya.
Dia bangun dari situ. Puan Sarimah sekadar memandang.
Di dalam kamarnya, Naquib memeriksa telefon
bimbit. Ada dua panggilan tidak dijawab daripada Afyra. Dan
satu pesanan WhatsApp juga daripada Afyra.
Abang ni nak kahwin ke tak mahu? Kalau
tak mahu, tolonglah berterus terang!
Naquib berbaring di ranjang tanpa membalas semula
panggilan mahupun pesanan itu. Entah kenapa perasaannya
jadi hambar pula. Malas nak dengar suara Afyra. Otaknya ligat
memikirkan kata-kata ibunya. Benar belaka. Pantang nenek
moyangnya dia diperbodohkan. Dia tidak suka perempuan
yang suka bertelagah dengannya. Sehari dua ini makin kerap
pula Afyra membangkang kata-katanya. Terbayangkan bakal
bapa mentuanya, rasa tidak sukanya semakin meluap-luap.
‘Patut ke aku putuskan aje pertunangan tu?’ bisik
hati Naquib sendiri.

No comments:

Post a Comment