Thursday, 17 November 2016

H.I.M - Bab 8

MALAM. Rumah itu padat dengan manusia.
Seperti yang telah dikhabarkan sejak awal, malam itu bakal
berlangsung satu upacara pernikahan. Afyra disiapkan seperti
pengantin lazimnya. Sepanjang masa itu, dia hanya membisu
seribu bahasa. Serasa seperti semua ini mimpi. Hatinya
merasa kosong sekali.
Usai dihias, kamarnya dimasuki oleh seseorang. Tan
Sri Ariff meminta anak-anaknya yang lain keluar. Dia mahu
bersendirian di situ bersama Afyra. Anak itu digamit agar
duduk dekat dengannya di birai katil.
“Seorang lelaki yang kamu cintai telah melukakan
hati kamu. Seorang lagi datang menyelamatkan maruah
kamu. Meminta untuk membela kamu. Kita tak tahu apa
akan jadi seterusnya dalam hidup kita. Tetapi sebahagian
penentu esok ialah tindakan kita hari ini. Buka mata hati
kamu seluas-luasnya. Buat pilihan bukan dalam keadaan hati
yang buta.”
“Fira tak sanggup, daddy.” Gadis itu mula terasa
mahu menangis semula.
“Fira, ada beribu sebab boleh dijadikan alasan
untuk kita batalkan saja semua ni. Hanya ada beberapa
sebab yang tidak pasti benar atau tidak untuk kita teruskan.
Kita hanya manusia biasa yang mengharapkan pertolongan
daripada Allah. Daddy mahu kamu menolak kehendak hati
dan memilih apa yang telah ditakdirkan,” ucap Tan Sri Ariff
lembut.
“Fira tak kenal siapa dia,” rintih Afyra. Setitis air
matanya jatuh lagi.
“Masih ingat lelaki yang kamu intai waktu dia bekerja
sebagai tukang kebun di rumah kita dulu? Hanya sehari dia
di sini. Dialah orangnya. Kebetulan dia dengan Naquib itu
adik-beradik tidak sama ibu. Dia masih ingat pada Fira. Dia
ada beritahu pada daddy, dia mahu mengahwini Fira kerana
daddy pernah berbuat baik kepadanya.”
Afyra terpaku memandang wajah sang ayah.
Keningnya berkerut. Benarkah? Lelaki yang dia lihat dulu,
kumis dan janggutnya tidak terbela, selekeh. Berbeza banyak
berbanding rupa Fakhri sekarang.
“Masih ingat?”
“Ya. Muka dia berubah sikit.”
“Waktu tu usianya awal 20-an. Daddy melihat
sesuatu pada dia yang tiada pada Naquib. Dia datang ke sini
bertemu daddy. Dia orang yang berani. Naquib tidak begitu.
Dia melarikan diri, tidak mahu berhadapan dengan kita
selepas membuat onar,” ucap Tan Sri Ariff.
Afyra tunduk semula.
“Daddy akan selalu berdoa kepada Allah. Daddy tak
nak kamu ditimpa kesusahan. Tapi daddy yakin, keputusan
yang kita ambil ini lebih tepat.”
“Fira ikut aje, daddy.”
Tan Sri Ariff mendekatkan wajahnya kepada si anak.
Dahi anak itu dikucup penuh kasih sayang.
“Daddy turun bawah dulu.” Tan Sri Ariff bangun
semula.
Namun di bawah, terjadi kekecohan sedikit apabila
pengantin lelaki tidak jadi itu tiba mendahului Fakhri. Datang
bersama keluarganya macam tidak ada apa-apa berlaku.
Kemudian diikuti oleh kadi.
Puan Sri Insyirah kalut melihat Naquib yang datang,
bukan Fakhri. Terus dia menggamit suaminya agar menjauh.
“Macam mana ni? Kata tak jadi. Kenapa dia datang?”
tekan Puan Sri Insyirah benar-benar tidak senang.
“Tenanglah. Saya tahu apa yang perlu saya buat.”
Tan Sri Ariff menjawab lembut. Sempat dia menepuk tangan
isterinya.
“Saya tak suka Afyra bernikah dengan Naquib,
Ariff. Biarlah malu, saya tak rela terima dia sebagai
menantu saya. Saya tak suka dia!” tekan Puan Sri Insyirah
bersungguh-sungguh.
“Ya, saya tahu. Serahkan pada saya. Tenanglah...”
balas Tan Sri Ariff tetap lembut.
Tan Sri Ariff duduk berdekatan dengan tok kadi.
Lelaki itu masih sibuk memeriksa dokumen. Debar dalam
dada Tan Sri Ariff cuba dinyahkan. Dia yakin Allah akan
membantunya. Hanya wajah Umarul yang mahu dilihatnya
saat ini.
Tidak lama kemudian, Umarul tiba bersama Fakhri.
Fakhri mengenakan baju Melayu putih bersamping songket
berwarna ungu berbenang emas. Bakal menantu Tan Sri Ariff
itu mengangguk dengan sedikit senyuman kepada bakal bapa
mentuanya.
Tan Sri Ariff melepaskan nafas lega. Segera dia
memberi isyarat agar anak muda itu duduk dekat dengan
kadi.
Naquib sempat menoleh kepada adiknya. Terkejut
melihat Fakhri ada di situ.
“Aku dah cakap jangan datang, kan? Kau tak faham
bahasa ke apa?” tekan Naquib dalam nada tertahan-tahan.
Fakhri memandang Naquib. Sempat dia mengilas
pandang ke arah Tan Sri Ariff. Namun Tan Sri Ariff tetap
meminta dia menunggu di situ.
Umarul pula sibuk berbisik dengan kadi. Beberapa
dokumen diserahkan kepada kadi. Kadi itu diam lama.
Matanya memandang dokumen-dokumen yang diberikan
kepadanya. Puas dibelek. Kemudian dia menggaru serbannya
pula.
“Ni mana satu pengantinnya ni? Aku dah pening.
Macam mana pulak boleh jadi macam ni?” ucap kadi itu.
“Yang ni. Yang asal tu terbatal,” ujar Umarul sambil
menunjukkan dokumen yang di atas sekali.
“Walinya yang mana satu?” Kadi itu memandang
sekeliling. Matanya terpusat kepada lelaki tua seorang itu.
“Tunjukkan saya, mana satu pengantin lelakinya? Ni
sampai dua orang nak nikah ni.”
“Ini...” Tan Sri Ariff tersenyum sambil menunjukkan
lelaki yang duduk di sebelah Naquib.
Kadi itu terus memandang Naquib.
“Jadi, kamu duduk depan aku ni untuk apa? Yang nak
nikahnya dia!” ucapnya. Sempat dia memandang anak muda
itu. Dah siap macam nak nikah lebih daripada pengantin
lelaki.
Wajah Naquib berubah. Ruang tamu itu mula
riuh-rendah.
“Daddy... saya nak teruskan pernikahan ni,” ucap
Naquib perlahan, namun tegas.
“Saya tak izinkan anak saya dinikahkan dengan lelaki
ini, tuan kadi.” Tan Sri Ariff menjawab tenang.
Kadi itu ternganga. Tidak pernah seumur hidupnya
berlaku seperti ini. Satu pengantin perempuan, dua pula
pengantin lelakinya.
“Saya bersungguh-sungguh, daddy. Kali ni saya tak
akan tarik semula keputusan saya. Tolong beri saya peluang,”
rayu Naquib.
“Tak boleh! Kamu dah menolak untuk menikahi
Afyra. Kemudian kamu ubah lagi keputusan kamu pada saat
akhir. Kami tak terima orang yang tiada pendirian di sini.
Saya sedia menerima anak pungut tu sebagai menantu saya!”
ujar Tan Sri Ariff tegas kepada Naquib.
Naquib terpanar. Semua mata terhala kepadanya.
“Hanya seorang lelaki yang boleh menikahi anak
saya. Lelaki itu mestilah pilihan saya,” ujar Tan Sri Ariff
kepada kadi itu.
“Tapi Afyra cintakan saya, daddy.” Naquib
menyampuk.
Tan Sri Ariff ketawa perlahan.
“Kamu tidak sedar itu sebelum kamu putuskan
untuk menolak dia semalam?” tanya Tan Sri Ariff.
Naquib terus tunduk.
“Macam inilah, panggilkan pengantin perempuannya
dulu,” ucap kadi itu sambil menghela nafas perlahan.
Sementara menunggu pengantin perempuan turun,
Umarul berbicara amat perlahan dengan kadi itu. Kadi itu
terangguk-angguk mendengar penjelasan Umarul. Tan Sri
Ariff sekadar memandang ke arah tangga. Menanti anak
gadisnya dibawa ke situ.
Afyra tiba di bawah dengan disambut pandangan
semua tetamu. Ruang tamu itu hening tiba-tiba. Kadi itu
meminta dia duduk dekat dengan pengantin lelaki.
“Bapa kamu mahu menikahkan kamu dengan lelaki
ini. Adakah kamu bersetuju dengan kerelaan hati kamu untuk
dinikahkan dengan lelaki ini,” ujar kadi itu sambil menuding
ke arah Fakhri.
Afyra memandang Naquib seketika. Kemudian dia
memandang Fakhri. Yang terakhir, barulah dia memandang
bapanya. Lama pandangan matanya terhala ke arah si bapa.
“Mana satu lelaki yang mahu kamu jadikan suami
kamu? Yang ini atau yang ini? Kamu kena jawab. Jangan diam
aje. Hal macam ni tak boleh dibuat main-main. Kamu yang
akan menanggungnya kemudian nanti,” ujar kadi itu kepada
Afyra.
“Jawab soalan kadi tu, Fira.” Umarul bersuara lembut
kepada adik iparnya.
Afyra diam lagi. Keliru di saat genting itu. Namun
satu hal yang tidak pernah lepas dari fikirannya, restu ayah
dan ibunya lebih utama berbanding cinta.
“Saya setuju dinikahkan dengan dia,” ucap Afyra
sambil menuding ke arah Fakhri.
Ruang tamu itu mula gamat. Fakhri tunduk
melepaskan nafas lega. Namun tidak bagi Naquib yang
terkejut mendengar jawapan kekasihnya itu.
“Fira! Abang datang untuk Fira!” tegas Naquib.
Merah wajahnya menahan malu. Tidak pernah dia dimalukan
sebegini sekali di hadapan orang.
“Abang dah putuskan hubungan kita semalam. Tak
ada peluang kedua lagi. Abang dah malukan keluarga Fira.”
Afyra menjawab sedih.
“Abang masih sayangkan Fira. Abang minta maaf...”
“Naquib, sudahlah! Mari kita balik,” ucap Encik
Herman pantas. Tidak mahu melihat anaknya merayu-rayu di
hadapan orang ramai. Dia bangkit menarik tangan anaknya.
“Fira! Sampai hati Fira buat abang macam ni. Abang
bersungguh-sungguh nak kahwin dengan Fira,” ucap Naquib
masih tidak mahu memberikan tempatnya kepada si adik.
Afyra sekadar tersenyum sinis. Tan Sri Ariff pula
sekadar memandang Naquib dengan pandangan kosong.
“Daddy, saya tahu saya dah buat kesilapan yang
besar. Saya sayangkan Afyra.”
“Kamu tak buat silap. Tapi Allah tak izinkan Afyra
berjodoh dengan kamu. Terima hakikat tu.” Tan Sri Ariff
menjawab lembut.
“Naquib, sudah! Mari kita balik!” bentak Puan
Sarimah, sudah tidak sanggup menunggu di situ.
“Ayah tak mahu tunggu sini? Saya nak nikah ni,”
ucap Fakhri saat Encik Herman mahu berlalu bersama
Naquib.
“Sekali kau ingkar cakap aku, kau bukan lagi anak
aku!” ucap Encik Herman perlahan, namun tajam.
Wajah Fakhri berubah. Sedih. Terlalu sedih. Apa lagi
salahnya? Liur yang ditelan terasa amat kelat. Di hadapan
orang ramai ayahnya sanggup berkata begitu.
“Astaghfirullah... apa nak jadi ni?” ucap kadi
itu sambil menggeleng. Tidak pernah melihat kejadian
seumpama ini.
Umarul bangun lalu mendekati Fakhri. Dia meminta
Fakhri mengambil tempat duduk Naquib tadi.
“Macam mana boleh jadi macam ni? Majlis orang
dibuat main-main. Sekejap nak nikah, sekejap tak mahu.
Adik-beradik berebutkan seorang perempuan. Jangan kerana
ini hubungan silaturahim terputus. Berdosa!” ucap kadi itu
kesal.
Fakhri hanya diam menghadap kadi itu.
“Boleh kita teruskan?” tanya kadi itu kepada Tan Sri
Ariff.
“Ya. Silakan,” ucap Tan Sri Ariff lembut. Malas mahu
memikirkan kekecohan tadi.
Usai memberi khutbah pendek, akad nikah
diteruskan. Fakhri berjabat tangan dengan Tan Sri Ariff.
“Ahmad Fakhri Rizal Bin Herman.”
“Saya.”
“Aku nikah akan dikau dengan anakku, Nurul Afyra
Binti Muhammad Ariff Buhler dengan mas kahwin ringgit
Malaysia sepuluh ribu tunai!”
“Aku terima nikah Nurul Afyra Binti Muhammad
Ariff Buhler dengan mas kahwin ringgit Malaysia sepuluh
ribu tunai!” Akad itu disambut lancar oleh Fakhri.
“Sah?” tanya kadi kepada dua saksi.
“Sah!”
“Alhamdulillah...” ucap kadi itu senang hati. Selamat
juga majlis kali ini walaupun dua pula tukang suntingnya.
Kata orang, lelaki yang terbaik itulah pemenang. Siapakah
pemenangnya? Sesiapa yang telah mendapat keizinan Allah...

No comments:

Post a Comment