Sunday, 20 November 2016

Jangan Cintai Aku - Bab 2

“MAK su...”
Sedang melipat telekung yang baru digunanya untuk
menunaikan solat subuh tadi, Puan Safa dengar namanya
dipanggil. Wanita itu menoleh.
“Balik dah?”
Tariq senyum.
“Jom sarapan. Tariq singgah gerai Kak Jah masa
balik dari surau tadi. Beli nasi lemak dengan kuih koci.”
Puan Safa angguk sedikit. “Kejap lagi mak su
datang.”
KUIH KOCI yang baru ditanggalkan dari balutan kulit
pisang itu tidak jadi dimasukkan ke dalam mulut. Tariq
terus menaikkan bola mata ke depan, merenung wajah si ibu
saudara.
“Mak su cakap apa?”
“Mak su cakap, mak su nak Tariq sambung belajar
semula.”
Tariq lepas keluh. Sahlah, dia tak tersalah dengar.
“Mak su merepek apa ni?”
“Mak su tak merepek, Tariq. Mak su nak Tariq
sambung belajar di universiti.”
Tariq menggeleng.
“Tak mahu. Tariq tak nak sambung belajar.”
“Habis tu, Tariq nak terus kerja kilang macam ni
sampai bila-bila?”
“Apa masalahnya? Bukannya gaji yang Tariq dapat tu
daripada sumber yang haram pun.”
“Memanglah. Tapi takkan nak terus hidup dengan
gaji kecil macam tu sampai ke tua? Lagipun Tariq bukan tak
pandai. SPM bukan main cemerlang lagi, tapi Tariq sendiri
yang pilih tak mahu sambung ke universiti.”
10A+. Itu keputusan SPM Tariq, yang jauh lebih
cemerlang daripada Bahira, anak tunggal Puan Safa
merangkap sepupu Tariq yang kini sedang melanjutkan
pelajaran dalam bidang perakaunan di UiTM Shah Alam.
“Ala, biarlah. Bukannya kalau Tariq sambung belajar
lepas tu ada degree Tariq confirm akan dapat kerja bagus, gaji
besar apa semua. Sekarang ni bukannya senang nak cari kerja
macam dulu. Dah bersepah orang yang ada ijazah kat luar
sana tu, mak su.”
“Memanglah, tapi sekurang-kurangnya peluang
untuk dapat kerja yang lebih elok tu lebih tinggi kalau Tariq
ada ijazah berbanding kelulusan Tariq yang setakat SPM
macam sekarang ni. Betul tak?”
Tariq diam. Dia berlawan renung dengan Puan Safa
untuk beberapa ketika.
‘Kenapalah tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba isu
lapuk ni ditimbulkan semula? Aku fikir penjelasan aku dulu
dah cukup jelas buat mak su, rupanya tidak!’ keluh Tariq.
“Mak su malu ke sebab Tariq cuma kerja kilang?”
Berkerut dahi Puan Safa mendengar.
“Laa, apa pulak ke situ Tariq ni? Bila masa pulak mak
su kata mak su malu sebab Tariq kerja kilang?”
“Kalau mak su tak malu dengan kerja Tariq ni,
kenapa mak su nak suruh Tariq sambung belajar dan cari
kerja lain yang lebih baik pula?”
“Tariq...”
“Tariq selesa dengan kerja Tariq yang sekarang ni,
mak su. Tariq bahagia dengan apa yang Tariq dapat. Walaupun
gaji tak seberapa, sekurang-kurangnya Tariq tak jadi beban
kepada mak su, dan Tariq juga mampu tolong sikit-sikit
tampung belanja Ira dekat UiTM tu.”
Tariq bangun. Ingin ke dapur mencuci pinggan dan
cawan kotor yang dipakainya. Namun,
“Tariq lupa ke janji Tariq pada arwah umi dengan
bang long dulu?”
Gerak kaki Tariq termati. Mengeras wajahnya bila
Puan Safa mengungkit perkara yang tak digemarinya.
“Mereka dah tak ada. Jadi dah tak ada keperluan lagi
untuk Tariq tunaikan janji tu.”
Kakinya menyambung semula langkah. Meninggalkan
Puan Safa termangu sendirian di meja makan.

LANGKAH KAKI diatur ke pekarangan banglo Delima
Kindergarten. Kejap sahaja, mata Darin dapat menangkap
figura seseorang yang cukup dikenalinya sedang berdiri
menyandar tubuh di pintu kereta. Gadis berusia 29 tahun itu
langsung mengukir senyum lebar.
“Kak D!”
Darin berlari anak mendapatkan Durrah. Kedua-dua
beradik itu kemudian bertukar peluk. Melepas rindu selepas
hampir 3 bulan tidak berjumpa.
“Kak D sihat?” tanya Darin, sebaik saja melerai
pelukan.
“Sihat, alhamdulillah. Rin?”
“Sihat juga, alhamdulillah. Eh, Kak D tak kerja ke
hari ni? Kenapa tiba-tiba aje boleh muncul dekat tempat kerja
Rin ni?”
“Oh, tak. Kak D kerja, tapi tak masuk ofis lagi sebab
pagi tadi Kak D ada meeting dengan klien dekat-dekat sini.
Ni baru habis, Kak D sajalah singgah jumpa kau. Kau dah
lunch?”
Darin menggeleng.
“Kalau macam tu jom teman Kak D makan.”
“Kak D belanja ek?”
“Asyik Kak D aje belanja, kaulah pulak Rin.”
“Alaa, Kak D kan banyak duit... Apa salahnya belanja
adik Kak D yang comel ni...”
Darin merengek manja, sambil buat muka bajet
comel. Durrah menjeling. Nak muntah dia tengok!
“Eee, buat muka comel pulak! Kau ingat Kak D ni
Haleef? Nak termakan dengan kegedikan kau tu?”
Darin gelak.
“MAMA SIHAT?”
Darin bertanya, seusai dia dan Durrah membuat
pesanan kepada pelayan di Restoran La Risata. Durrah yang
mendengar mengangguk sedikit.
“Sihat.”
“Wan?”
“Pun sihat juga.”
“Dia tak cuti sem lagi?”
“Belum lagi. Hujung minggu ni baru start.”
“Siapa yang ambil dia dekat Penang tu nanti? Pak
Li?”
“Taklah. Kak D yang jemput nanti. Pak Li ada kat
Mekah, tengah buat umrah dengan anak dia.”
“Oh, ya ke? Hmm, kenapa tak suruh Wan naik bas
sendiri ke KL aje?”
Durrah menyorot bibir ke kiri, tersenyum sinis.
Huh! Nak suruh Wan alias Dzakwan, adik bongsu mereka
yang manja itu naik bas sendiri? Jawapannya memang taklah!
“Kau bukan tak tahu gedik Wan tu tahap apa? Karang
Kak D tak nak pergi jemput, mahu dia merajuk tak sudah.”
Darin terkekek. ‘Hmm, ya tak ya juga! Wan memang
manja orangnya. Tak padan dengan umur yang dah nak
masuk 22 tahun!’
“Kak D la ni. Manjakan sangat si Wan tu masa kecil
dulu. Tengok dah besar, jadi spoiled brat. Tak mahu berdikari
sendiri.”
Durrah menjeling. ‘Aku pulak yang disalahkannya?’
“Eleh, cakap orang. Kau pun sama aje manjakan
Wan masa dia kecik-kecik dulu, Rin oi. Hilang ingatan dah?”
Darin gelak lagi.
Perbualan mereka terhenti seketika apabila seorang
pelayan datang membawa minuman yang dipesan tadi.
Masing-masing meneguk sedikit, membasahkan anak tekak
yang kering.
“Kak D...”
Durrah yang sedang membuang pandang ke luar
restoran menghala renung ke arah adiknya.
“Apa dia?”
“Mama masih atur blind date untuk Kak D lagi?”
Durrah buat muka menyampah.
“Hmmlah! Kau ingat mama nak putus asa ke, Rin?
Tengoklah, baru Ahad hari tu dia aturkan blind date untuk
Kak D, Ahad minggu ni tiba-tiba ada lagi. Kebelakangan ni
makin galak pulak mama suruh Kak D pergi blind date. Mana
mama dapat stok lelaki untuk buat blind date dengan Kak D
ni pun entahlah. Rimas Kak D dibuatnya.”
“Then kalau Kak D rimas, apa kata Kak D terima aje
salah seorang daripada calon yang mama kenalkan untuk Kak
D tu? Kalau Kak D terima, tak adalah lepas ni mama asyik
suruh Kak D attend blind date yang dia aturkan tu.”
Durrah merengus kecil. Tidak senang mendengar
cadangan Darin itu.
“Kau tahu kan Kak D tak mahu kahwin sampai
bila-bila?”
“Tapi Kak D, mama cuma risaukan Kak D lepas apa
yang jadi dulu. Sebab itu dia buat macam tu. Dia nak ada
orang jaga Kak D time Kak D tengah susah.”
“I can live on my own just fine, Rin. Kak D dah besar,
bukannya budak kecil yang nak kena tengok-tengokkan.”
“Still...”
“Dah. Drop the subject. Kak D tak nak cakap pasal
ni dah.”
Darin mengeluh. Membisu. Memerhati seketika
pada wajah kakaknya yang tampak dingin.
“You know you have the right to be happy too, right?
Despite everything that has happened?”
Durrah diam. Membiarkan sepi kata-kata adiknya
itu.
“KAK D kirim salam dekat abang.”
Darin bersuara kasual, sambil tangan lincah melipat
baju bersih yang dilonggokkannya di atas katil tadi. Haleef
yang sedang menggosok baju kerja dia dan Darin untuk
dipakai keesokan harinya, mengerling sekilas ke arah
isterinya.
“Wa'alaika wa'alaihissalam... Rin ada jumpa dia ke
siang tadi?”
“Haah. Dia datang tadika tengah hari tadi, ajak Darin
lunch sama-sama.”
“Oh... hmm, apa khabar Kak D? Sihat ke dia?”
“Sihat, alhamdulillah.”
“Mama dengan Wan sihat?”
“Pun sihat juga.”
“Baguslah. Hmm, apa gosip hangat yang terkini?”
Darin gelak kecil mendengar pertanyaan suaminya
itu.
“Tak ada apa yang hangat pun. Cuma Kak D kata
Wan start cuti sem Sabtu ni. Dan uhm, lepas tu dia kata Ahad
ni dia ada blind date.”
Seterika yang sedang melekap pada baju kurung
Darin, dikalihkan ke tepi. Haleef menoleh pandang pada si
isteri.
“Blind date lagi?”
Darin angguk.
“Abang pun tahu-tahu ajelah mama tu macam mana,
dan Kak D pun macam mana...”
Haleef mengangguk-angguk, faham. Dia kemudian
kembali meneruskan kerjanya yang terhenti tadi.
“Abang...”
“Hmm...”
“Abang tak ada ke kawan-kawan yang boleh
dikenenkan pada Kak D tu? Takkan tak ada cikgu-cikgu
bujang dekat sekolah abang yang sesuai untuk Kak D?
Adjustlah satu.”
Haleef ketawa perlahan.
“Lepas tu buat mama makin benci pada abang kalau
Kak D kahwin dengan orang yang abang kenalkan pada dia
tu?”
Wajah Darin berubah tak senang.
“Abang ni, apa pulak cakap macam tu...”
“Memang betul apa. Dahlah selama ni mama tu
benci pada abang sebab abang ni tak setaraf dengan keluarga
Rin. Mahu mama tu jadi lagi benci pada abang kalau abang
pandai-pandai kenenkan Kak D dengan kenalan abang yang
sah-sah juga tak sama taraf dengan keluarga Rin.”
Darin senyap. Nak membantah, tapi dia juga tahu
kata-kata suaminya itu betul.
“Tak payahlah nak sibuk masuk campur soal calon
suami untuk Kak D tu, Rin. Biar aje si mama Rin tu carikan
jodoh yang sesuai untuk Kak D. Nanti karang kalau kita
pandai-pandai adjust untuk Kak D, tak memasal lain jadinya.”
“Masalahnya abang, dah berpuluh calon yang mama
kenalkan pada Kak D tu, tapi satu pun tak sangkut. Sebab itu
Rin risau. Rin tak mahu Kak D terus membujang sampai ke
tua, walaupun Rin tahu, memang itulah kemahuan Kak D.
Rin nak tengok Kak D kahwin, ada anak semua.”
“Alah, dah tak sampai lagi jodoh Kak D, nak buat
macam mana. Sampai masa nanti kahwinlah Kak D tu.
Dahlah, tak payah nak fikir banyak sangat. Risau lebih-lebih
Rin ni.”
Haleef terus matikan topik.

No comments:

Post a Comment