Monday, 16 January 2017
Oh Boy! - Bab 1
LELAKI itu memandang ke arahnya dan
tersenyum senget. Sambil merenung, lelaki tersebut
menggaru hidungnya yang mancung dengan tangan yang
masih bergari.
Pada awalnya, Fatiha langsung tak rasa apa-apa.
Biasalah kalau lelaki memandang perempuan. Mungkin
terpegun, mungkin juga sedang berfikir sesuatu tentangnya.
Tapi apabila lebih dari lima minit dia memandu di belakang
trak polis tersebut, baru dia perasan yang mata lelaki itu ralit
merenungnya sambil tersenyum-senyum gatal.
Fatiha rasa macam dicabul apabila direnung
sebegitu. Bulu romanya meremang sebaik sahaja melihat
lelaki itu tiba-tiba memberikan flying kiss ke arahnya. Tidak
cukup dengan itu, si lelaki psiko itu mengenyitkan mata
kepadanya pula.
“Ya Allah. Apa kena dengan mamat ni?” Hati Fatiha
mula rasa tak sedap. Matanya cuba fokus ke jalan. Tapi tak
lama, sebab dia masih rasa diperhatikan.
“Boleh tak kau jangan gatal sangat? Risaukan
hukuman kau nanti, boleh?” Fatiha terpekik sendiri di dalam
kereta. Geram.
Lelaki itu semakin giat menguratnya dengan
renungan yang acah-acah seksi. Kening diangkat-angkat.
Bajet sungguh!
Geram, Fatiha jegilkan matanya.
Lelaki itu tersengih menampakkan giginya.
“Oh, boy...” Mulut Fatiha hampir ternganga tak
percaya melihat senyuman lelaki itu. Ciskek, macam mana
jantungnya boleh bergetar dengan senyuman seorang
banduan? Hello! So not Fatihalah. Tak dinafikan lelaki itu
kacak. Tapi, gatal macam malaun!
Kali ini lelaki itu memuncungkan mulutnya
berkali-kali. Konon-konon nak cium dia berkali-kalilah tu.
Fatiha menggeliat sendirian membayangkan kalau-kalau dia
terkena ciuman yang dihantar melalui angin itu. Kalaulah dia
dapat tendang kawasan ‘nur kasih’ lelaki tu, memang puas
sungguh rasa hatinya. Miang gila! Tak selesa dia dibuatnya.
Sudahlah dia memandu sendirian.
Pegawai polis di sebelah lelaki itu beberapa kali
menggeleng-gelengkan kepala dengan perlakuan lelaki
tersebut.
“Isy! Gatal betul mamat ni. Tak sedar ke yang dia
kena angkut dengan trak polis? Tangan bergari lagi. Ada hati
nak tunjuk perangai tak semenggah macam tu!” Mulutnya
masih mengomel, tak berpuas hati dengan pandangan penuh
nafsu lelaki berambut serabai itu.
‘Perangai, kusmangat! Kenapa dia kena tangkap
ek? Kalau dah kena gari, gerenti ada la tu benda jahat yang
dilakukannya. Mesti lelaki tu ada kesalahan mencabul anak
dara orang. Dari rupa, ada gaya.’
Lelaki itu tersengih lagi apabila Fatiha menjeling
dengan tajam.
‘Entah-entah mat ganja? Eeeeyu!’
Lelaki itu melambai kedua belah tangannya yang
bergari tadi bersama mulut yang bergerak, ‘hai’. Automatik
lidah Fatiha terjelir. Nak termuntah sungguh rasanya. Ini
memang betul-betul sampah masyarakat ni!
Kerana tidak tahan dengan gangguan separa seksual
daripada lelaki tersebut, dia membuat keputusan untuk
memotong trak polis itu. Lantaklah trak polis ke trak askar,
dia tak mahu terus ‘dicabul’ oleh mata lelaki itu.
“Gatal! Miang!” Makinya apabila lelaki tersebut
sempat mengenyitkan mata sekali lagi kepadanya.
“Aku harap kau kena hukuman berat. Lagi bagus
kalau kau kena penjara seumur hidup! Jijik!” Fatiha
menyeranah sendiri setelah berjaya memotong trak tersebut.
HERO TERSENGIH-SENGIH sendiri melihat wajah gadis
yang disakatnya itu. Merah menyala. Mulut mengomel, comel
aje. Geram, buat dia rasa macam nak cium. Kenapalah mesti
dia jumpa gadis secantik itu ketika dia digari? Biasanya dia
pakai lawa-lawa, lepak kedai makan apa semua, tak ada pulak
dia nak bertembung dengan gadis cantik macam perempuan
tadi.
“Hero, sudahlah mengayat. Dia takkan pandanglah
kau tu. Kau tu bergari, bukannya menari.” Polis di sisinya
membidas.
Serentak itu Hero mencemik.
“Eleh, mengaku ajelah kalau jealous.” Hero
memandang gadis tadi semula.
“Eh, aku tak jealous langsung dengan kau. Kau yang
patut jealous dengan aku tau? Aku serba-serbi lengkap. Ada
kerja, ada isteri, ada anak. Kau? Apa aje yang ada?” Anwar
berkata selamba.
“Kau jangan berlagak boleh tak?” balas Hero semula
kepada polis yang begitu kerap dia jumpa semenjak usianya
belasan tahun lagi.
“Bilalah kau nak serik?” Anwar membebel bersama
gelengan kepalanya apabila Hero masih giat menyakat gadis
yang sedang memandu di belakang trak mereka.
Kali ini sudah masuk lima enam kali dah Hero
berada di atas trak itu bersamanya. Kalau dengan polis lain,
entah berapa kali pula. Itu pun dah banyak kali dia bagi muka
dekat Hero. Kalau mood dia baik, dia lepaskan saja.
Hero merupakan banduan yang sangat popular
dengan kenakalannya. Bukanlah bermain dadah atau ganja.
Tapi... nakalnya lebih kepada kesalahan merempit, bergaduh,
ataupun bermain daun terup sehingga ke pagi dengan duit
taruhan bertaburan di bawah punggungnya.
Hero, setanding namanya. Memang hebat bermain
judi, baik daun terup mahupun mesin. Di atas motor, dia
jugalah heronya. Kalau bab main nombor ekor saja, dia zero!
Pau banyak-banyak, satu pun tak mengena. Sudahnya, habis
topi keledar dihentam ke jalan tar dek geram.
“Comellah awek ni,” ujar Hero kepada Anwar.
Sekali lagi Anwar menggeleng-gelengkan kepalanya.
Dia pula yang rasa malu bagi pihak Hero. Tiga suku sungguh
Hero ni!
Si gadis sudah memotong trak yang mereka naiki.
Tak tahan kena sakat mungkin. Tersengih-sengih Hero
dibuatnya. ‘Kereta Honda Accord, plat BEE 1883. Aku akan
cari kau. Tunggulah...’
“Kalau nak tackle dia, kau kena berubah. Tak ada
perempuan nakkan lelaki yang keluar masuk jel macam kau
ni.” Selamba Anwar bagi ceramah percuma.
Hero membalas kata-kata Anwar itu dengan
mengorek hidung menggunakan jari kelengkeng kirinya
bersama muka meluat. Muak dia dengan bebelan Anwar.
“Hidup zaman muda ni, enjoylah dulu. Bosannya
jadi kau ni Nuar. Mesti zaman muda kau dulu nerd aje. Sebab
itulah kau kahwin awal.” Selamba Hero mengutuk lelaki yang
berbeza hampir dua puluh tahun dengannya itu.
“Enjoy sampai menyusahkan orang lain? Aku pun
enjoy juga zaman muda dulu. Takde pulak kena angkut
dengan polis. Aku naik bosan dah tengok muka kau masuk
trak polis ni,” kutuk Anwar. Mereka dah macam kawan pun.
Berbual macam rakan sekerja, padahal layak digelar rival.
“Tak kena angkut sebab kau polis dari zaman muda.
Polis mesti tutup ‘bangkai’ kawan dia.”
“Amboi, sedap mulut aje kau cakap, kan? Ingat aku
ni tak kenal undang-undang macam kau?” Anwar tonyoh
kepala Hero kerana geram.
Hero mengekek gelak. Dah selalu kena seligi pun
dengan Anwar. Anwar baik dengannya. Kalau terserempak di
luar, mereka rajin juga melepak minum bersama.
“Kalau bosan tengok muka aku, lain kali jangan
tangkap aku dah. Pergi tangkap orang lain. Banyak lagi orang
kampung jahat-jahat. Kenapalah kau obsess dengan aku,
Nuar?” Hero masih dengan muka tak berperikemanusiaannya
itu.
Anwar tergelak. Itu merupakan salah satu sebab
kenapa dia angkut Hero. Sebab mulut Hero tu mampu buat
dia keras perut. Kelakar dan spontan sekali orangnya. Bukan
senang nak jumpa orang yang sebegini sporting apabila
digari.
“Kau buat salah, memang kena tangkap. Dah kantoi.
Kalau tak kantoi lain cerita.”
“Eleh, sebelum ni kau lepas aje aku. Tak malu ke?
Bawak trak besar-besar tapi last-last dapat tangkap aku
sorang aje? Baik takde orang langsung, at least orang fikir,
kau tengah nak cari budak buat hal.” Hero bermain kata.
“Biarlah nak malu pun. Kau sorang aje ibarat penuh
lori ni dengan budak jahat.” Anwar mengutuk.
Hero mencemik. Dah biasa pun kena kutuk macam
tu.
“Bila kau nak serik ek? Tak kesian ke kat mak bapak
kau?” soal Anwar.
Hero buat pekak saja.
“Aku dah seriklah ni. Serik sebab tak lari bila aku ada
peluang tadi. Kalau tahu kena ceramah macam ni, aku lari
aje.” Hero menceber.
Sekali lagi Anwar tergelak. Boleh mati dalam gelak
dia kalau macam inilah perangai setiap banduan yang dia
tangkap.
“Boleh buka tak gari ni?” Hero mengubah topik.
Rimas juga dia apabila nak garu hidung pun terpaksa angkat
kedua belah tangan. Nak bergerak pun tak bebas. Lagi satu,
dia rimas dengan bebelan Anwar. Karang, sampai di balai dia
perlu menghadap bebelan ayah tirinya pula.
“Tak boleh bukalah, Hero. Karang kau terjun trak ni.
Aku tak percaya kat kau.” Anwar geleng-gelengkan kepalanya.
“Aku tak pernahlah terjun trak bila dengan kau.
Dulu kau tak pun gari aku. Dulu kau percayakan aku. What
happened to you, my friend?” Hero membodek.
Anwar menahan dirinya daripada gelak. ‘Eh, apa
penyakitlah yang budak ni ada? Selamba sangat dia.’
“Tapi dengan Sham, kau terjun. Kau reda ajelah. Dah
nak sampai ni.”
“Dulu aku terjun sebab dia tu kerek nak mampus
dengan aku. Perangai macam setan. Minta duit aje tahu. Bila
salah aku berjudi sikit, nampak. Rampas semua duit aku. Siap
minta duit lebih lagi kalau tak nak kena tangkap. Dia minta
rasuah tu... ingat elok?” bebel Hero yang begitu bengang
dengan peribadi seorang polis bernama Sham itu.
“Manusia.”
“Habis, aku ni apa? Bukan manusia? Alien? Kau fikir
aku dilahirkan ada tanduk?” Hero memprotes.
Anwar mengekek ketawa.
“Lek...” Bahu Hero ditepuk-tepuk.
“Kenapa tak tangkap dia jugak?” Hero mencemik.
“Ada masa nanti dia kenalah tu...” Anwar malas nak
campur sangat urusan polis tak bertauliah itu. Dia pernah
buat report, tapi tak ada sesiapa yang nak ambil tindakan.
Mungkin masing-masing takut dengan pangkat Sham yang
lebih tinggi daripada mereka.
“Kau kan tahu, aku akan bebas jugak. Bazir masa aje.
Baik kau buka gari ni.” Hero masih cuba membodek. Rimas
dengan tangan yang bergari itu. Rasa tak bebas.
“Sebab bapak tiri kau bermurah hati nak ikat
jamin kau.” Anwar julingkan mata ke atas. Bapa tiri Hero
merupakan orang atasannya, Inspektor Ismail. Lelaki itulah
yang selalu mengikat jamin Hero. Semua orang tahu betapa
Ismail sayangkan Hero walaupun sudah terlalu banyak kali
Hero menconteng arang ke mukanya.
“Itu tugas dia.” Tanpa rasa bersalah, Hero bersuara.
Hubungannya dengan bapa tirinya baik. Tapi itulah, pengaruh
rakan sebaya yang membuatkan dia nakal terlajak. Banyak
kali juga dia dimarahi Ismail tapi biasalah... anak muda. Degil
tu wajib ada.
“Sampai satu tahap nanti, aku rasa dia akan fed up
tolong kau.” Anwar menceber.
Hero mencemik. Dia menyeluk tangannya ke
dalam kocek dengan bersusah payah sebelum mengeluarkan
sebatang pencungkil gigi yang wajib ada di situ. Pencungkil
gigi itu disua ke mulutnya.
“Aku yang temukan jodoh dia dengan mak aku.
Berani dia nak fed up?” selamba Hero berkata.
Dulu, sewaktu kali pertama dia ditangkap, dia
menelefon ibunya untuk mengikat jamin. Dari situlah
bermulanya pertemuan Ismail dengan ibunya. Masing-masing
bergelar duda dan janda. Setiap kali ada masalah, pasti
Ismail akan menghubungi ibunya. Disebabkan Hero seorang
yang payah serik, maka berlakulah banyak masalah yang
menyebabkan ibunya dan Ismail selalu berhubung. Akhirnya,
mereka jatuh hati dan bernikah.
Hero pula? Tak membantah langsung dengan
keputusan ibunya untuk bernikah lagi. Lagi dia suka sebab
mudah dia nak ‘kawtim’ kalau ada orang dalam. Lagipun,
ibunya dah lama menjanda. Arwah bapanya telah pun
meninggal dunia.
“Berlagaknya kau... bercakap macam jodoh tu kat
tangan kau aje.” Kepala Hero disekeh-sekeh Anwar akibat
geram. Hero hanya terkekeh ketawa.
“Tapi kau tak nafikan, kan?” Hero angkat-angkat
keningnya.
Anwar menahan senyum. Teruk sungguh perangai
anak tiri Tuan Ismail ni!
“BERGADUH DENGAN siapa pulak kali ni?” bebel Fatiha tak
menyempat-nyempat sebaik sahaja melihat kelibat abangnya.
Izzul menggaru-garukan kepalanya. Polis yang
mengiringnya menahan diri daripada tersenyum. Kelakar
melihat dia dimarahi si adik yang datang mengikat jamin.
Kononnya ditangkap sebab bergaduh dan bertumbuk. Tapi
apabila berhadapan dengan adik sendiri, dia tertunduk-tunduk.
“Terima kasih.” Ucapnya pendek tanpa menjawab
soalan si adik.
“Kau nak aku beritahu mak ke?” ugut Fatiha sambil
mengecilkan mata. Tak suka dia naik ke balai untuk kedua
kalinya dalam tahun ini. Ingatkan apabila dah berpindah ke
sini, perangai abangnya itu akan berubah. Tak sangka, sama
aje. Masih baran! Mujurlah baran-baran Izzul itu, masih
takutkan dia dengan ibu mereka.
“Aduh...” Kepala yang tak gatal digaru-garu. Izzul
takut apabila diugut ‘beritahu emak’.
“Duit aku yang ikat jamin kau itu hari, kau tak ganti
lagi, kan? Sekarang, kau habiskan lagi 500 duit aku. Amboi,
kau ingat aku ni cap duit ke?”
Jari telunjuk si adik naik ke depan mukanya. Fatiha
bercakap dengan gigi yang terkacip. Marah punya pasal.
“Kita gaduh kat tempat lainlah. Malulah orang
tengok.” Izzul tertunduk-tunduk apabila ada beberapa
orang pegawai polis memandang mereka dengan bahu yang
bergegar menahan tawa. Jatuh ego dia!
“Kau masuk sini tak malu?” Si adik sudah bercekak
pinggang.
“Tak ada orang lain tahu selain kau, kan?”
“Lepas ni aku nak mak tahu. Biar kena tarbiah sikit.”
Mulut comel itu berterusan membebel.
“Janganlah, Ti’ah.” Izzul dah buat suara sengau. Nak
memujuk punya pasal.
“Aku nak kau duduk dulu, dengar ceramah tuan ni.
Tuan, tolong ‘basuh’ abang saya ni kaw-kaw. Jangan bagi dia
terlepas macam tu aje. Nanti dia buat lagi. Habis duit saya.”
Bebel Fatiha kepada pegawai polis di hadapannya. Pegawai
polis itu mengekek-ngekek ketawakan mereka berdua.
“Tebal muka aku! Berapa kali setahun kau nak
aku muncul kat sini?” rungut Fatiha dengan ayat sindiran
pedasnya.
“Alah, dahlah bebel. Malu weh...” Izzul menarik
leher baju dan menutup hidungnya. Malu. Bukan niatnya
pun nak bergaduh sampai berakhir di lokap. Kalau boleh, tak
ingin dia susahkan sesiapa. Dan kes dulu pun bukan salah dia.
Dia diserang. Bila diserang, dia seranglah balik. Penyudahnya
masing-masing masuk lokap.
“Dahlah. Aku tunggu kat kereta.” Fatiha terus
berlalu meninggalkan abangnya berurusan dengan pegawai
polis. Biarlah. Dia dah selesai buat pembayaran. Nak bagi
taklimat ke, apa ke, dekat abang dia tu, silakan!
“Buat report ke?” tegur salah seorang pegawai
polis di pertengahan umur kepada Fatiha sewaktu mereka
terserempak di lobi balai.
“Tak... ikat jamin abang.” Fatiha mencemik. Masih
terasa bengangnya terhadap Izzul yang suka sangat mencari
pasal itu.
Lelaki itu tersengih.
“Izzul?” tekanya.
Fatiha agak terkejut.
“Tuan kenal dia?”
“Kenal. Banyak kali dah dia ke sini.”
“Banyak kali?” Terbuntang mata Fatiha.
“Ya, biasanya tak kena tahan lama pun. Biasalah
budak muda. Ujian air kencing negatif, kita lepas terus. Tapi
hari ni masuk lokap pulak dia.” Cerita lelaki tua itu.
Hidung Fatiha sudah kembang kuncup. Tak sangka
Izzul banyak kali ditangkap polis rupa-rupanya.
“Saya tak tahulah apa nak jadi dengan dia. Buat
masalah aje tahu.” Rungut Fatiha. Malu dia. Rasa geram
dengan Izzul semakin bertambah.
“Awak tak berhadapan lagi dengan anak saya... mesti
awak pening kepala. Dia lagi kerap...”
“Anak tuan?” Fatiha mengerutkan keningnya.
Macam pelik aje apabila anak polis pun kena tangkap juga.
“Ya. Pelik, kan? Anak polis pun bikin masalah. Orang
muda...” keluh lelaki yang memakai tag nama Ismail itu.
Melihat paku pada bajunya, Fatiha tahu lelaki itu pegawai
atasan.
“Yalah, abang saya lagi teruk. Bukannya reti nak cari
kerja. Asyik buat pasal aje. Eee... saya tak tahulah macam
mana... huh! Sabar, Ti’ah... sabar!” Fatiha tenangkan dirinya
sendiri. Tak menyangka langsung yang dia merungut kepada
lelaki tua itu.
Ismail hanya tersenyum melihat keletah Fatiha.
“Abang awak tak terlibat dengan dadah, awak patut
bersyukur. Ujian urin dia negatif. Nakal-nakal sikit tu biasalah.
Darah muda. Dua kali lima aje pun dengan anak saya...”
Ismail berjeda. Tak sanggup dia nak teruskan kata-katanya.
Fatiha mencemik. Bukannya muda sangat
pun abangnya. Dah tua bangka pun. Perangai aje tak
matang-matang.
“Anak tuan...” Tak sempat Fatiha nak tanya, lelaki itu
terus menjawab.
“Anak saya, versi yang lagi teruk. Bawak motor tak
ada road tax. Merempit sana sini. Main daun terup sampai ke
pagi. Vandalisme, menyakat, membuli... peras ugut. Apa aje
dia tak pernah buat? Dulu setiap bulan muka dia ada dekat
sini.” Cerita Ismail.
“Setiap bulan?” Mata Fatiha sudah terjojol.
“Ya, setiap bulan. Muka sayalah yang kena ikat jamin
dia.” Ismail hanya tersengih melihat muka terkejut Fatiha.
Kalau dulu dia rasa malu sangat apabila anaknya
asyik ditangkap. Sekarang... dia dah lali pun. Dia tak mahu
Fatiha rasa terbeban berabangkan Izzul. Mungkin dengan
menyatakan keburukan anaknya, Fatiha akan bersyukur
dengan ‘apa’ yang dia ada.
“Dahsyat betul perangai anak tuan.” Fatiha
geleng-gelengkan kepalanya. Dia yang mendengar ini saja
sudah rasa sakit kepala, inikan pula Ismail yang berhadapan
dengan anak seperti itu.
“Ni kejap lagi, sampailah dia. Saya kena jemput dia.
Entah apa dia buat pulak kali ni,” keluh lelaki tua itu.
“Sabarnya tuan... kalau arwah ayah saya ada
lagi ni, dah lama hilang telinga abang saya tu. Tak dengar
kata,” Fatiha berkata selamba. Kemudian, baru dia tersedar
keterlanjurannya. Berbual macam dah lama kenal.
“Eh, saya banyak cakap pulak. Sorry... tak ada niat
langsung nak mengadu pasal abang saya.”
“Eh, saya pun.” Ismail juga bagaikan tersedar. Suka
dia dengan gadis itu. Ramah sekali orangnya. Susah nak
jumpa orang muda yang ramah pada zaman sekarang ni.
“Saya pergi dulu.” Fatiha meminta diri.
Ismail senyum dan mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Baik-baik jalan,” pesan lelaki itu.
Fatiha hanya mengangguk sebelum berlalu.
Teringat perbualannya dengan polis itu tadi, kepala
digeleng-gelengkan tak percaya. Tak sangka langsung wujud
juga orang macam anak Ismail itu. Kalau dia ada anak yang
begitu, memang cepat dia ‘jalan’. Mujurlah abangnya tak
sampai ke tahap itu. Mujur tak mujur, abangnya tetap antara
lelaki terteruk yang dia pernah hadap.
Sambil menyusun bebelan yang bakal dia hadiahkan
buat abangnya, langkahnya mati tiba-tiba. Jantungnya
seolah-olah berhenti berdegup buat seketika. Terkejut
melihat lelaki di dalam trak polis tadi, kini berada di depan
matanya. Lelaki itu sedang memandang ke bawah. Macam
ralit sangat pandang jalan.
“Oh, boy!” Terlucut kata-kata itu dari mulutnya.
Fatiha terkaku. Dia tak tahu nak ke mana. Kalau dia terus
berjalan, nanti lelaki itu perasan akan kewujudannya. Kalau
dia pusing balik, lelaki itu tetap akan berjumpa dengannya
juga. Ah, sudah! Masaklah dia...
Dalam kelam-kabut nak sembunyikan diri, tiba-tiba
lelaki itu mendongak, sekali gus mata mereka bertentangan.
Tepat!
“Oh, boy...”
No comments:
Post a Comment