Monday, 16 January 2017

Oh Boy! - Bab 3

“LAMA gila! Aku dah tak sabar nak basuh kau.
Kecik besar aje aku tengok kau ni. Kau tak kesian dekat aku
ke? Tak habis-habis nak susahkan hidup aku. Apa masalah kau
ni sebenarnya?” Rasa geram terhadap Hero tadi dilampiaskan
kepada abangnya yang baru melabuhkan punggung ke kerusi
penumpang.
“Ti’ah. Kau adik aku... bukan nenek aku, kan?” Izzul
berkata selamba sebelum menutup pintu kereta. Tapi Fatiha
tetap tak masukkan gear. Fatiha memandangnya dengan
wajah garang. Ada bendalah tu yang adiknya tak puas hati!
“Kau bergaduh pasal apa pulak kali ni? Kalau pasal
awek lagi memang nak kena. Aku kena cekik perempuan tu
agaknya. Aku paling benci orang bergaduh sebab perempuan.
Macam tak ada benda lain nak dikejar. Bodoh punya otak!”
Izzul agak pelik dengan mood adiknya ini. Nampak
lebih garang dari tadi. Siap dengan maki hamun lagi. Kenapa?
“Tak. Dah putus dah. Aku bergaduh dengan tauke
kedai kat Kechau tu. Dia tipu aku. Awal-awal dia kata harga
barang motor aku tu 50 ringgit. Bila aku setuju, dia naikkan
80 ringgit pulak. Anginlah aku.” Izzul membela diri.
“Sebab 30 ringgit aje? Apa pasal tunjuk parang? Kau
ingat kau dah gengster sangat ek?” Kembang kuncup hidung
Fatiha memarahi abangnya. Dia geram apabila tak dapat
marahkan Hero. Sekarang mula dia menyesal sebab tak sepak
aje celah kelengkang lelaki itu biar sampai mandul!
“Kalau dia minta lebih 30 ringgit pun aku boleh
tambahlah. Asalkan kau minta dengan aku. Ini tidak, nak
jugak bawak bergaduh. Terbang RM500 aku! Lagi mahal dari
jumlah yang kau gaduhkan tu. Bingai!” marah Fatiha.
“Allah, Ti’ah... bagi aku bernafas, boleh tak? Aku pun
teringin nak hirup udara luar jel. Nak dengar bunyi alam
sekitar aku ni. Bukan nak dengar suara bising kau tu.” Izzul
geram dengan sikap adiknya itu.
“Dah banyak kali kau kat sini rupanya, kan? Polis
tadi beritahu aku. Malu muka aku ni yang nak kena ikat jamin
kau. Duit aku pun dah habis korek dah untuk kau. Lepas
ni, memang aku nak sangat biarkan kau duduk jel sampai
bila-bila. Dahlah tak kerja! Bila tak ada duit, tak tahu malu
minta pinjam. Minta dengan mak. Patut kau bagi mak duit,
sara kita orang. Kau anak sulung. Lelaki pulak tu. Apa kata
arwah abah kalau dia masih ada?” bebelan Fatiha semakin
tajam.
“Nanti aku kerja, aku gantilah balik duit kau. Aku
janji.” Izzul menjawab acuh tak acuh. Sengaja dia berkata
begitu supaya Fatiha berhenti menangis. Tak tahan juga dia
apabila ada orang membebel pada saat dia kepenatan begitu.
Lagi dia tak suka apabila Fatiha mula sebut tentang arwah
bapa mereka.
“Aku tak percayalah! Kau memang sengaja nak
biarkan aku tanggung semua, kan? Bil air, bil api, barang
rumah, wifi, Astro. Kau muka tak malu ke?” Fatiha membebel
lagi. Dia tak mahu abangnya jadi macam lelaki tadi. Lelaki
tadi memang takkan ada masa depan. Tengok rupa pun dah
tahu.
“Ti’ah, janganlah macam ni...” Izzul mula rasa
bersalah. Rasanya tak adalah teruk mana pun kesalahannya.
Okey, teruk! Tapi kenapa Fatiha menangis sampai tahap
macam tu?
“Kau tak kesiankan aku, aku boleh terima, Zul. Tapi
kau tak kesiankan mak ke? Dia dahlah macam-macam sakitnya
sekarang.” Fatiha teresak-esak. Sudah lama dia pendamkan
amarahnya itu. Pedulilah siapa lelaki itu dengannya. Dia nak
Izzul sedar tanggungjawabnya sebagai anak sulung dalam
keluarga.
“Okey. Janganlah menangis. Kau buat aku rasa diri
aku ni jahat pulak. Aku cari kerja, okey? Aku janji, akan bayar
balik duit kau. Aku cari kerja!” Izzul bertegas. Bukannya dia
tak nak bekerja. Cuma nasibnya selalu malang. Bila dah kerja
dua minggu, dia kena pecatlah, ada yang cabar kesabaran
dialah...
“Kawallah sikit baran tu. Jangan tahu nak bergaduh
aje dengan orang.” Fatiha kesat air matanya. Tak sangka dia
terlalu beremosi. Kesian Izzul, tentu Izzul fikir yang dia
betul-betul marah.
“Eleh, kau pun sama. Kau lagi baran daripada aku.
Dahlah suka naik tangan.” Kutuk Izzul.
Serentak itu penumbuk Fatiha naik.
“Haaa, tengok? Baru aje aku cakap.” Izzul tergelak.
Laju saja Fatiha turunkan tangannya. Dah menjadi
tabiatnya untuk naik tangan apabila dia tak berpuas hati
dengan mana-mana lelaki. Dia biasa berkawan dengan lelaki.
Dia membesar juga dengan Izzul yang sememangnya ganas
itu. Takkanlah Izzul expect dia untuk menjadi seorang adik
yang lemah lembut? Mengarut!
“Aku serius ni, Zul.” Fatiha mendengus.
“Aku tahu. Dah, janganlah menangis. Karang mak
tanya kenapa...”
“Ini last eh, aku tolong kau.” Fatiha mengugut. Dia
masukkan gear D, bersedia untuk pergi dari situ setelah puas
mentarbiahkan si abang.
“Tahu. Terima kasih.” Izzul angguk-angguk. Tangan
membuka radio. Takut kena tarbiah lagi. “Tadi Hero kata dia
ada terserempak dengan kau.” Teringat pula dia tentang Hero.
Teralih tumpuan Fatiha mendengar nama itu.
Yarghh! Anginnya muncul semula. Rasa nak hempas semua
benda yang ada dekat depan mata apabila terkenangkan muka
nakal Hero itu.
“Kau kenal ke budak gatal miang tu?” soal Fatiha.
Air mata dah kering tapi sendu masih ada.
Soalan Fatiha membuatkan Izzul tergelak. Nampak
sangat Hero memang ada mengurat Fatiha.
“Kenallah. Alah, takkan kau tak ingat dia? Muka dia
tak banyak beza pun. Jerawat aje yang hilang.”
“Tak.” Jawab Fatiha pendek. Nak kenang semula
muka lelaki miang tadi pun dia tak sanggup. Berani betul
mulut jijik lelaki itu singgah ke telinganya. Menggelikan!
Kenapalah tadi dia tak tampar sekuat hatinya? Biar pecah
bibir lelaki itu. Lebih bagus, biar terpelanting semua gigi
yang cantik tersusun itu.
“Dia tu aku pernah bawak balik waktu kau kecik
dulu.” Cerita Izzul. Dia memang selalu bawa rakan pulang ke
rumah sewaktu sekolah dulu. Biasalah, budak lelaki.
“Waktu aku kecik dulu? No wonderlah aku tak
ingat.” Stereng digenggam penuh geram. Sakitnya hati
Fatiha membayangkan muka nakal Hero tadi.
“Alah, yang ejek kau sambil nyanyi
gebu-gebab-debab-bab-bab tu...” Izzul berkata sambil
menyanyi lagu yang pernah Hero nyanyikan untuk adiknya
dulu.
Mata Fatiha yang besar itu semakin membesar. Dia
ingat sangat lelaki tak ‘sekolah’ itu. Nampak gayanya, dari
kecil memang lelaki itu ada niat tak elok terhadapnya.
“Oh! Dialah orangnya?” Stereng dicengkam semakin
kuat. Semakin benci pula dia kepada Hero. Kenapa dia boleh
terlupa pada peristiwa itu?
“Hah, ingat pun!” Izzul menepuk tangannya apabila
dia berjaya mengembalikan ingatan Fatiha terhadap Hero.
Dulu, pernah dia bawa pulang Hero ke rumah. Tapi
Fatiha tak suka. Setiap kali dia bawa pulang Hero, setiap kali
itu jugalah Fatiha menangis kerana diejek Hero. Selagi Fatiha
tak menangis, memang Hero takkan berhenti menyakat.
Akhirnya arwah bapa mereka melarang Izzul daripada
membawa Hero pulang ke rumah mereka.
Fatiha ketika itu baru berusia sepuluh tahun
manakala dia dan Hero sudah di tingkatan tiga. Fatiha
memang gemuk pada waktu kecilnya. Sebab itulah dia diejek
Hero yang memang nakal.
“Memang panggil dia Hero ke?”
Rasa macam tak sanggup dia nak panggil lelaki itu
dengan panggilan Hero. Zero bolehlah!
“Hairul. Tapi biasalah... bila dah sebut laju-laju, jadi
Hero... lekatlah nama tu sampai ke tua.”
“Herolah sangat!” Kalau boleh dia muntah, dah lama
Fatiha muntah. Mujur dalam kereta.

“BERJUMPA dekat balai, bukan main bangga lagi, kan? Macam
berjumpa dekat restoran. ‘Wei, kau kat sini sebab apa?’, ‘Aku
kat sini sebab kena tangkap’. Amboi, bukan main seronok
lagi ceritakan betapa tingginya tahap loser masing-masing.”
Ismail mengajuk dan mengejek perbualan tadi.
“Kalau abah, mesti abah sedar diri. ‘Eh, aku dekat
balai ni. Tangan pun bergari lagi. Malulah kalau kawan aku
tengok keadaan aku macam ni’. Tak ada rasa malu langsung
ek? Siap boleh suka-suka lagi tu yang abah tak boleh blah...
bukan main bangga lagi mengaku diri kena tangkap sebab
berjudi. Hei, aku pulak yang tebal muka menghadap korang
berdua,” sambung Ismail selepas membuka gari di tangan
anaknya.
Hero buat isyarat menembak kepalanya sendiri
menggunakan dua jari. Serabut betul apabila dibebel begitu.
Disebabkan dia dah biasa sangat ditangkap, jadi rasa malu itu
sudah tiada.
“Kawan lama tu. Mana tak bangga bila jumpa? Dah
biasa pun. Dulu, waktu sekolah... selalu jumpa dekat bilik
guru disiplin.”
“Wow, congratulations! Jumpa balik korang dekat
tempat yang lebih teruk, kan? What a 'nice' surprise. Teruk
sungguh perangai anak aku ni.” Ismail menyindir geram.
Pening kepala dengan tingkah laku Hero.
Hero hanya tersengih-sengih.
“Ini bukti kejantanan kita orang.” Hero angkat gari
yang Ismail letak di atas meja itu.
“Bukan kejantanan, tapi kesetanan!” Ismail
mendengus.
Mengekek Hero gelak.
“Sukalah... menyampahnya aku tengok kau gelak.”
Ismail menjeling.
Hero tahan diri daripada gelak dengan lebih kuat
lagi. Karang merajuk pulak si Mail ni.
“Bah, nak rokok.” Tangannya ditadah. Rokoknya
yang dirampas Anwar tadi telah diserahkan kepada si bapa.
“Ni?” soal Ismail sambil tunjuk kotak rokok Hero
yang diserahkan kepadanya tadi oleh Anwar.
Laju Hero mengangguk.
“Nah!” Ismail campak ke dalam tong sampah tanpa
riak bersalah.
Hero mendengus. Geram betul. Dahlah baru beli,
kena buang pula. Nak kutip balik? Memang taklah. Dia takkan
sesekali sentuh sampah.
“Jangan mimpi nak merokok dekat sini,” selamba
Ismail melarang.
Hero mencemik. Dia duduk di bangku bilik pejabat
bapanya. Siap bersilang kaki lagi di atas meja, menghadap
abahnya sendiri di depan mata. Sengaja berlengah di situ.
“Sedar ke tak ni yang Hero datang sini sebab kena
tangkap? Bukan sebab nak lawat abah...” Ismail bengang
apabila melihat Hero bersantai di situ. Balai polis ini dah
macam rumah kedua anak tirinya itu pula.
“Sedar... sedar. Tunggulah kejap. Aku tak lari
punyalah. Kejap lagi, aku sendiri yang tolong diaorang
kuncikan lokap tu,” selamba Hero berkata-kata. Mata
dipejamkan. Terbayang wajah gadis tadi. Dia tersenyum nakal.
“Rupa-rupanya Izzul tu abang budak perempuan
comel tadi tu. Tak sangka dah besar ni dia lawa,” ujarnya
dengan mata yang masih terpejam.
“Hmmm. Lawa pun, apa Hero boleh buat? Dia takkan
nak punya lelaki macam Hero. Nak-nak Hero dah cabul dia.”
Kata-kata Ismail itu membuatkan Hero ketawa
perlahan. Mencabul? Dia tak jatuhkan tangan dia di manamana
tempat sensitif pun. Dia cuma jatuhkan bibirnya saja di
telinga gadis itu. Itu pun dikira sebagai cabulkah?
“Cabul? Eh, mana ada cabul? Kalau cabul macam ni,
bah...” Hero tangkap punggung bapa tirinya yang berdiri di
sebelah, lantas dicekup.
Serentak itu Ismail terloncat. Terkejut dia! Pappp!!!
Belakang kepala Hero ditepuk dengan fail di atas meja.
Mengekek-ngekek anak muda itu gelakkan bapa tirinya.
“Kau buat lagi macam tu, memang siap!” Ismail
berdiri jauh daripada Hero. Tak pernah-pernah dia kena raba
sebelum ni. Digosok-gosok punggungnya. Isy! Tak senonoh
sungguhlah!
“Eleh, mak boleh...” Hero mengekek dengan
‘teorinya’ sendiri. Sampai berair mata.
“Eh, kau duduk lokap hari ni. Aku tak nak tolong!
Jawablah sendiri dengan mak kau nanti.” Naik angin Ismail
dengan perangai Hero itu. Memang macam budak-budak.
Inilah akibatnya kalau banyak bergaul dengan budak-budak
remaja yang rosak akhlak.
“Alah... abah tu yang salah tafsir. Yang aku buat kat
budak Ti’ah tu bukan cabul. Aku tunjuklah demo kat abah.
Habis, takkan nak demo kat diri sendiri pulak?” Hero masih
menjawab.
“Cium tu mencabullah namanya! Tanpa kerelaan
dia. Ya Allah, Hero!” Ismail mendengus. Mati akal dia kalau
berterusan berperang mulut dengan Hero. Dia takkan
menang.
“Alah, cium sikit aje. Tak luaknya.”
“Tak luak, tak luak. Aku lesing budak ni karang!” Si
bapa masih sakit hati dengan anak tirinya yang keras kepala
itu.
Hero bangkit, dia duduk di atas meja kerja Ismail
sambil menongkat kedua belah tangannya di kepala lutut.
Selamba badak saja lagaknya. Dah biasa menghabiskan masa
di situ.
“Relakslah abah. Dari situ kita tahu dia jenis
perempuan yang macam mana. Dia mesti tak pernah kena
cium. Baik budaknya. Tak nak ke bermenantukan budak baik
macam tu?” Hero angkat-angkat keningnya.
“Perangai sendiri macam setan, ada hati tu nak anak
dara!” Ismail mendengus. Dah habis rasa malu dah dia dengan
polis-polis lain. Semuanya gara-gara Hero yang langsung tak
berubah-ubah.
“Aku pun teruna apa?” Hero menjelirkan lidah
dengan kata-kata sendiri.
“Teruna ke? Yang banyak-banyak perempuan kepit
sana sini tu apa? Yang nyaris kena tangkap basah dulu tu apa?”
Ismail berjalan mundar-mandir di depan Hero. Dia berpeluk
tubuh. Macam mana dia nak buat supaya Hero berubah?
“Nama pun nyaris. Mestilah tak jadi.” Hero angkat
bahu.
“Itu yang hampir. Yang abah tak tahu?” rengus
Ismail. Kadang-kadang dia rasa nak pergi jampi biar ‘tunduk’
sikit Hero kepada arahan dia dan isterinya.
“Yang lain tu ringan-ringan aje. Macam cekedis. Tak
mengenyangkan.” Semudah itu Hero menjawab.
Mata Ismail mengecil. Tak percaya dengan kata-kata
Hero. Dia tahu Hero itu bagaimana perangainya. Kalau nak
dihantar ke pusat pemulihan pun bimbang nanti ahli-ahli
dalam pusat pemulihan itu pula berubah perangai macam
Hero. Hero itu kuat beri pengaruh buruk kepada orang lain.
Hero... lelaki yang tidak dapat diselamatkan lagi.
Nakal yang tak terampun. Kadang-kadang Ismail rasa
seseorang harus memberi impak yang kuat kepada Hero
supaya lelaki itu berubah. Tapi tak ada seorang pun yang
mahu dekat dengan lelaki seperti Hero.
“Yalah... apa kepentingan yang aku dapat kalau
simpan teruna aku lama-lama? Bukan boleh dapat trofi pun.
Duit pun aku tak dapat,” ujar Hero apabila ditenung dengan
pandangan tak percaya bapa tirinya. Memang payah dia nak
berahsia daripada Ismail.
Serentak itu Ismail mengetuk kepala anaknya dengan
buku lima. Kalau ikutkan, dia nak wrestling terus anaknya di
situ. Kesian sungguh pada anak gadis yang telah dirosakkan
oleh anaknya itu. Entah apa nasib perempuan itu sekarang,
dia pun tak tahu. Doanya, jangan sampai mengandung
sudahlah. Hero bukannya boleh menjadi seorang bapa pun.
Untuk diri sendiri pun tiada tanggungjawab.
“Dah abah nak tahu sangat...” Hero tersengih-sengih
sambil menggosok-gosok kepalanya yang terasa sakit itu.
“Rosak anak dara orang.” Ismail menggelengkan
kepalanya. Mujurlah Hero itu bukan anak kandungnya. Kalau
tak, dah lama dia tempeleng-tempeleng Hero. Perangai...
kusmangat!
“Alah, diaorang bukannya anak dara pun.”
Kata-kata Hero itu membuatkan Ismail mengucap
panjang. Rasanya kalau dia korek kejahatan apa lagi yang
Hero dah buat di belakangnya, dia boleh mati sakit jantung!
“Diaorang? Ya Allah, Hero!” Kepala dipicit-picit
penuh serabut. Maksudnya dah ramai ke?
“Sudah! Abah tak nak dengar lagi dah perangai
busuk Hero tu.” Tapak tangan diangkat di depan muka Hero,
menghalang Hero daripada buka mulut lagi.
Hero sengih-sengih macam kerang busuk. Inilah
dia yang terjadi kalau membesar tanpa seorang ayah yang
bertanggungjawab. Nak-nak apabila pergaulannya dengan
rakan sebaya tak dipantau langsung. Kesian ibu Hero,
membesarkan ramai adik-beradik Hero dengan bekerja
macam nak gila. Akhirnya kurang memberi perhatian
kepada mereka. Namun, adik-adik Hero semuanya membesar
menjadi ‘orang’. Ada kerja untuk menyara diri sendiri. Tapi
Hero, acuannya lain sedikit.
Dari remaja lagi, ibunya kata yang Hero suka
memberontak. Apabila disuruh ke kelas, dia pergi memonteng.
Melepak. Berdating. Sekarang, rasanya macam dah terlalu
terlambat untuk Ismail membentuk semula Hero. Dia baru
menjadi bapa tiri kepada Hero selama tiga tahun, tapi... dia
sendiri pun tak tahu sampai bila dia boleh bertahan dengan
Hero.
“Hero... abah merayu ni. Sudahlah merosakkan
anak orang. Hero nak buat jahat pada diri sendiri, silakan.
Tapi jangan libatkan orang lain. Dan abah nak pesan depan
muka Hero ni, tolong jangan rosakkan perempuan tadi, atau
mana-mana perempuan sekalipun. Dan jangan rosakkan
akhlak abang dia. Tolonglah.” Tapak tangan Ismail singgah di
bahu Hero. Dia dah mati akal nak pujuk Hero untuk berubah.
“Tengoklah nanti,” jawab Hero. Dia rasa bersalah
sebenarnya sebab dah buat bapa tirinya merayu begitu. Tapi
dia tak boleh berjanji. Dah banyak kali dia cuba berubah tetapi
menjadi seorang lelaki yang baik itu terlalu membosankan!
Dan... oh ya! Dia tak pernah pun mengajak sesiapa untuk
sertai kejahatannya. Mereka sendiri yang nak ikut dia.
“Menyampah sungguh aku dengan anak aku ni.
Akhlak zero! Tak malu ke muka tu bila orang cap kau orang
jahat? Budak perangai tak molek? Hero, kau bukannya tak
cerdik. Ada degree lagi, SPM pun pelajar cemerlang. Kenapa
bila dah duduk dekat kampung, perangai jadi macam ni?”
bebel Ismail. Dia tak pernah anggap dirinya bapa tiri kepada
Hero kerana dia cukup sayangkan Hero. Cumanya, Hero itu
terlalu nakal sampai berjaya menggugat kesabarannya.
“Perangai macam mana yang abah maksudkan?
Terlalu hero ek?” sempat Hero bergurau.
Ismail mengeluh. Tengok? Tak pernah serius!
“Tak... macam setan! Terlalu menyusahkan. Malu
aku dengan budak tadi. Bukan budak tadi aje, malu aku
dengan semua orang. Muka aku ni, orang dah tak respek lagi
tau?” Si bapa tiri juga turut ber‘aku-kau’ dengan Hero apabila
naik angin.
Hero sengih saja.
“Abah... kali ni aje... tolonglah guna kuasa abah.
Lepaskanlah aku. Aku janji, aku buat baik lepas ni. Aku nak
sangat mengurat dia.” Hero berkata dengan muka serius.
“Tak nak. Tak boleh. Kau bukan tahu serik.”
“Tapi bah... aku dah jumpa the love of my life.”
“The love of my lifelah sangat! Lepas tu putus lagi...
jadikan nama dia koleksi bekas awek kau. Yang ke berapa?”
sindir Ismail.
“Tak, bah. Kali ni lain. Jantung ni... dup dap
dibuatnya. Abah, please?” Hero tekan dadanya sendiri.
Betul, itu yang dia rasa apabila dia kucup telinga
gadis itu tadi. Dia rasa berdebar, tapi dalam masa yang sama
dia tak boleh nak tolak keinginannya untuk mengucup gadis
tersebut. Fatiha bagaikan magnet yang menariknya. Kalau
dia bukan dalam keadaan bergari tadi, entah apa yang dia
akan buat agaknya.
“No.” Ismail mendengus.
“Abah, aku janji aku akan kerja.”
“Kau nak kerja apa? Kau tu memilih sangat.” Ceber
Ismail. Bukannya nak memandang rendah terhadap Hero,
tapi Hero memang begitu.
“Kalau kena kerja dekat 7E pun aku tak kisah. Kalau
kena kerja dekat petrol pump dengan si Bangla tu pun aku tak
kisah.” Hero memberikan jaminan.
“Sekarang bolehlah cakap... bila dah lepas nanti,
jadi kutu rayau sekali lagi. Balik pukul dua tiga pagi,” kutuk
Ismail.
“Bah, tolonglah. Ini kali terakhir aku minta tolong
dengan abah. Aku janji, bah... aku minta maaf dengan dia,
bah. Please? Kali terakhir ni aku minta tolong...” Kali ini dia
terpaksa menabur janji. Memang taklah dia nak minta maaf
dengan Fatiha. Dia bukannya buat salah pun.
“Kau ni Hero... dah berpuluh kali abah dengar kau
cakap macam tu. Tapi penyudahnya, dekat sinilah juga muka
kau tu. Bila nak serius dalam hidup?” keluh Ismail.
“Nak seriuslah ni. Lepaskan aku dulu, baru aku
boleh serius dalam hidup. Aku tak main nombor dah. Aku
tak berjudi dah. Aku tak merempit dah. Lepas ni aku bawak
kereta.” Semakin banyak janji yang ditabur. Entah dia berjaya
laksana entahkan tidak.
“Lesen pun tak ambil lagi.” Ismail ada saja idea
hendak mematahkan kata-kata Hero.
“Aku akan ambil lesen, bah.”
“Duit tak ada.” Ismail masih berjaya mematahkan
kata-kata Hero.
“Kan aku nak kerja? Duit gaji nanti, aku buat
lesenlah.” Hero juga masih punya alasan untuk mematahkan
setiap kata-kata Ismail.
“Hmmm...” Ismail tiada idea dah. Hero memang lagi
licik daripadanya.
“Bah, tolonglah aku. Karang dia terlepas dekat
orang lain, susahlah hati aku.” Hero merungut. Dia dah lama
sangat tak ada awek. Bukannya dia nak rosakkan Fatiha pun.
Rasanya. Tapi dia hanya nak tayang dekat kawan-kawannya
yang dia dah berjaya dapat awek lagi lawa daripada mereka
semua.
“Tak meyakinkan.”
“Aku kerja! Aku cari kerja. Aku takkan memilih lagi
dah! Aku ambil lesen kereta. Aku ambil kursus kahwin. Aku
pinang si Ti’ah tu. Cukup meyakinkan sekarang?” Ah, Hero
beri janji yang tak pasti lagi... tapi si Fatiha tu ada ‘sesuatu’
yang meyakinkannya untuk menyebut tentang ‘pinang’.
“Entahlah Hero, aku serik nak perc...”
“Aku beli kereta dengan duit gaji aku sendiri nanti,
bah...” Kini semua janjinya memakan diri. Macam mana dia
nak laksanakan semua janjinya itu? Dia itu Hero! Bukannya
Zero. Zero aje buat kerja baik-baik macam tu, fikirnya.
“Masih tak meyakinkan.”
“Aku bagi abah cucu comel-comel dengan Ti’ah tu
nanti. Comel sangat sampai kaki abah geli setiap kali tengok
muka diaorang,” kata-kata itu menyebabkan Ismail tergelak
besar. Macam manalah dia nak marah dengan anak tirinya
itu? Terlalu loyar buruk!
“Kau ingat abah nak cucu daripada kau? Perangai
macam hantu! Cukuplah kau seorang aje yang abah kena
hadap. Jangan ditambah lagi masalah pada abah.” Ismail
geleng kepala.
Hero mencemik. Ingat dia teruk sangat ke sampai
nak diajar anak-anaknya nanti agar jadi senakal dia?
“Aku janji, bah. Tak nampak ke lingkaran syurga atas
kepala aku ni? Aku dah berubah. Abahlah teman sejati aku,
bah. Selama ini... ku mencari-cari, teman yang sejati... buat
menemani, perjuangan suci...” Siap dengan pakej menyanyi
lagu Teman Sejati lagi.
Nak pecah perut Ismail mentertawakan Hero.
“Bah, aku serius ni. Abah boleh lepaskan aku terus,
kan? Nak tangkap aku buat apa lagi? Nuar dah rampas semua
duit yang aku menang tadi. Takde apa-apa dah pada aku, bah.
Tengok ni.” Hero keluarkan kocek seluarnya sebagai bukti.
Kosong.
“Tolonglah, bah. Aku suka perempuan tu, aku kena
mengurat dia sebelum orang lain masuk jarum.” Kedua-dua
kening Hero sudah jatuh. Nampaklah yang dia benar-benar
terdesak.
“Apa yang kau suka sangat dekat dia? Abah tengok
biasa aje.” Ismail menceber. Memanglah cantik, tapi ada aje
perempuan lain yang lebih cantik daripada Fatiha tu.
“Dia cantik!”
Jawapan pertama Hero membuatkan Ismail
menceber.
“Dah biasalah orang suka sebab cantik. Tak kekal
lamalah kecantikan tu.”
“Aku tahu. Tapi tengok jelingan dia tadi... aduh!
Rasa macam kena tikam jantung aku. Tak pernah aku ralit
tengok perempuan sampai macam tu. Lepas tu tengok mulut
dia bergerak-gerak. Entah apa yang dicarutnya. Alahai, comel
sungguh! Tangan dia pulas stereng pun cute aje. Jari-jari dia,
digidigidi... alahai!” Hero gerakkan jemarinya sambil buat
bunyi comel itu.
Ismail mengekek gelak.
“Kau sakit dah ni.”
“Kan?” Hero mengiakan kata-kata bapa tirinya itu.
Dia memang sedang serius. Dia tak pernah rasa terhibur
melihat telatah seorang perempuan yang sedang memandu,
membebel dan menjeling. Semuanya nampak comel apabila
Fatiha yang lakukannya.
“Duduklah dulu sehari dua dalam lokap. Bertafakur
dulu.” Ismail menyakat. Dia tahu, Hero tidak akan
dipenjarakan.
“Apa ni abah? Janganlah macam ni... kalau ada orang
lain mengurat dia, macam mana?” Hero dah panas punggung.
Macam mana dengan nasibnya?
“Biarlah! Tentunya orang tu serius,” jawab Ismail
selamba.
“Tapi aku pun serius, bah.”
“Sejak bila pulak kau serius?” sindir Ismail.
“Abah...” Keningnya jatuh dan suara disengaukan.
Minta simpati.

No comments:

Post a Comment