Monday, 16 January 2017

Oh Boy! - Bab 7

“ASSALAMUALAIKUM...” Kali ini, salam
diberi. Maklumlah, semalam dia dimarahi Fatiha sebab tak
beri salam. Tak cukup dengan itu, pintu rumah itu diketuk
berkali-kali.
Fatiha yang berada di dalam rumah hanya buat tak
endah. Dia tahu, itu suara Hero. Itu yang dia tak suka. Lebih
baik dia diam saja.
“Assalamualaikum. Ti’ah! Bukalah pintu ni, baby! I
mish you shiooo muchhh, hunny bunny!” Hero memekik di
depan rumahnya dengan buat suara comel ala-ala budak kecil
yang pelat. Sengaja cari perhatian sebab dia tahu Fatiha ada
di dalam rumah. Bunyi TV kedengaran. Kereta Fatiha pun ada
di garaj.
Akhirnya, Fatiha buka juga pintu dengan hati
tak rela. Sakit hati apabila mendengar suara Hero. Ada
pula cari perhatian dengan cara yang macam itu? Macam
mana kalau jiran-jiran dia dengar? Tak pasal-pasal jadi isu
terbesar. Memanglah rumah jauh-jauh jaraknya, tapi dengan
kelantangan suara Hero tu, macam boleh didengari serata
alam saja.
“Awak ni memang meng...” Rahang Fatiha jatuh.
Terkejut melihat penampilan Hero sekarang.
“Tulang rusuk bergetar ya, baby?” soal Hero sambil
mengenyitkan mata.
“Awak dah buang tabiat ke?” soal Fatiha garang.
Senyuman Hero mati mendengar kata-kata Fatiha
itu. Ingatkan mata Fatiha akan bertukar menjadi bentuk hati.
Rupa-rupanya kata-kata pedas itu yang dilemparkan buatnya.
“Kenapa?”
“Apa pasal pakai macam ni?” sinis Fatiha.
“Nak ajak abang awak ke masjid.”
Jawapan Hero itu membuatkan Fatiha ketawa
mengekek sampai tertunduk-tunduk. Siap dengan pakej air
mata lagi. Lucu sangat.
“Hahaha. Berani awak geletek saya dengan kata-kata
lucu awak tu!” Fatiha kesat air matanya. Tak sangka dia akan
ketawa sekuat itu.
“Betullah.” Sampai hati Fatiha ketawakan niat
murninya.
“Sekarang pukul sepuluh pagi. Ada apa dekat masjid
tu? Atau awak ada sertai Pertandingan Qari Antarabangsa?”
semakin seronok Fatiha menyindir lelaki jahil dalam segala
hal itu.
“Lebih kuranglah,” Hero menjawab tanpa
memandang muka Fatiha. Dia salah langkah. Kenapalah dia
boleh beri alasan bodoh sebegitu sedangkan dia tahu solat
zuhur lambat lagi? Meskipun dia tak pernah solat, tetapi
dia masih tahu jam berapa setiap solat lima waktu. Sebab
biasanya, waktu orang azanlah, dia lari menyorok. Takut kena
ajak ke masjid.
“Perlu ke berjubah? Senteng pulak tu. Jubah budak
tadika mana awak belasah ni?” sindir Fatiha. Meluatnya dia
dengan perangai Hero ni.
“Astaghfirullahal’azim, Ti’ah... bila abang cuba
berubah, sepatutnya Ti’ah galakkan. Lagipun, Izzul ada
cakap... abang boleh berkawan dengan Ti’ah kalau abang
berubah. Abang cuba biasakan diri ke masjid, nak buat solat
sunat. Mana tahu, satu hari nanti abang dapat imamkan
Ti’ah? Ti’ah kan tulang rusuk kiri abang.” Hero tersenyum
senget. Lantaklah apa Fatiha nak kata. Disebabkan kata-kata
ibunya pagi buta tadilah dia berpakaian begitu. Sekarang
dia menyesalinya. Fatiha tak suka lelaki yang soleh nampak
gayanya.
“Stop! Meluat sangat! Hipokrit gila!”
Tapak tangan Fatiha diangkat betul-betul depan
mukanya. Mulut Hero terkatup rapat. Tak menjadi ke lakonan
bajet imam muda dia tu? Fatiha langsung tak berdebar-debar
ke bila tengok dia berjubah?
“Awak ingat saya tak tahu yang awak pakai ni
sebenarnya jubah orang? Ingat saya tak tahu perangai sebenar
awak? Apa yang awak cuba buktikan dengan berpakaian
macam ni?” sinis Fatiha lagi.
Aduh, Hero rasa dialah manusia paling kerdil
sekarang ni. Menyesal dia pakai jubah. Banyak kali juga dia
menyeranah jubahnya itu sebab terselak semasa dia merempit
naik motor tadi. Jarak dari Padang Tengku ke Kampung
Gua juga bukanlah dekat sangat. Banyak jugalah mata yang
memandangnya tadi sebab dia seorang saja yang berpakaian
ala-ala tabligh di situ.
“Ti’ah tak suka ke lelaki berjubah?” soal Hero hampa.
“Tak,” jawab Fatiha laju. Semenjak muncul jubah
moden untuk lelaki, dia tidak lagi suka lelaki berjubah
walaupun jubah biasa.
“Mak cakap, Ti’ah suka pada lelaki soleh.” Hero
berkata sambil mengerdipkan matanya berkali-kali.
“Mak siapa?”
“Mak abang...” Ibu jari ditekan ke dadanya.
“Saya tak kenal pun mak awak. No wonder dia cakap
macam tu. Awak tak sedar ek? Dia cakap macam tu sebab
nak awak tu berubah. Dia mesti tak tahan ada anak perangai
macam unta!” Fatiha menyedarkan hakikat itu kepada Hero.
Hero sengih saja. Terkena dia dengan ibunya.
“Lelaki macam mana yang Ti’ah suka?” soal Hero.
“Semua saya suka asalkan bukan awak. Dah! Jangan
banyak tanya. Pergi balik, salin baju. Rimas saya tengok.”
Serabut Fatiha dibuatnya. Banyak cakap juga Hero ni.
“Panggil Izzul.” Hero malas nak balik. Bazir minyak
motor.
“Izzullll! Kawan gila kau ni datang!” jerit Fatiha dari
situ. Malas dia nak kejutkan abangnya yang suka buat tahi
mata itu. “Zullllll!” pekiknya lagi sehingga tegang urat tekak.
Hero telan liur. Besar juga suara Fatiha rupa-rupanya.
Nampak saja lembut. Bagai ternampak-nampak Fatiha
menjerit begitu memanggil anak-anak mereka yang degil
nanti. Oh Tuhan, dia nampak masa depan mereka!
“LA... KENAPA pakai macam ni, Hero? Kau nak ke mana
ni?” Izzul ternganga-nganga melihat penampilan baru
Hero itu. Kenapa teruk sangat? Kepala digaru-garu pelik.
Setahunya, dia tak ada berjanji nak ajak Hero ke masjid atau
ke mana-mana madrasah pun. Sekolah pondok lagilah tidak.
“Aku nak pergi sinilah.” Hero berkata sambil
bersandar di tiang beranda. Dikibas-kibas badannya dengan
jubah itu. Panas.
“Hahaha... lawak apa yang kau cuba buat ni? Kau
ni buang tabiat dah ke?” Izzul mengekek ketawa. Apa yang
mengubah Hero ni?
“Kau cakap aku boleh rapat dengan adik kau kalau
aku berubah.” Hero beri alasan. Takkan dia nak mengaku yang
dia tu dah kena tipu dengan ibu sendiri? Karang terkencing
pulak budak Izzul tu sebab ketawakan dia.
“Perangai! Bukan penampilan. Allah! Jubah tak
sesuailah dengan kau. Buruk! Makin jauh adik aku nanti.”
Izzul ketap bibir. Sakit perutnya menahan gelak. Nak kata
kurang bijak karang, Hero lebih berpelajaran berbanding dia.
Tapi perangai? Allahuakbar!
“Panas weh. Bagi aku pinjam baju seluar kau.” Hero
terpaksa mengalah. Naik berlecak ketiaknya dengan peluh
dek kerana panas. Dah kipas banyak kali pun tak jalan.
“Bijak betullah kau ni. Tengah musim panas macam
ni, pergi pakai jubah. Pak Bahaman si lebai itu pun pakai baju
t-shirt biasa aje tau? Hesy, buat malu sungguh!”
“Kutuk sikit-sikit dahlah...”
“Betullah. Aku ingat ada orang nak berdakwah
dari pintu ke pintu dah ni tadi. Baru nak suruh adik aku
kunci pintu.” Izzul bersuara selamba. Dia bukannya apa,
tak suka orang yang datang berdakwah dari pintu ke pintu
sebab pernah terjadi kes pecah rumah oleh orang yang
berpenampilan begitu.
“Senteng jubah kau. Kau dapat dari mana ni?”
Izzul menarik bahu jubah Hero dengan hujung jarinya.
Berpeluh-peluh! Seperti adiknya, dia juga mengesyaki yang
itu bukan jubah Hero.
“Jiran aku punya.” Hero berkata sambil lap peluh di
dahinya.
“Kau pinjam jiran kau punya jubah?”
“Dia jemur. Kering, aku ambil pakai.” Hero berkata
tanpa rasa bersalah.
“Kau ambil macam tu aje?” Mata Izzul terbeliak.
“Yalah. Dekat ampaian dia.”
“Lepas tu kau pakai depan dia? Genius!” Izzul
meluku kepala Hero dengan buku limanya.
Hero gosok kepalanya yang sakit diluku.
“Tak. Dia takde tadi. Balik karang aku gantunglah
balik dekat situ. Bukannya aku nak buat hak pun.” Hero
berkata selamba.
“Eeee, ketiak berpeluh-peluh... habatlah kau ni! Kut
ya pun, basuhlah dulu sebelum gantungkan semula. Kau dah
pakai...”
“Malaslah aku. Nanti dia kering sendirilah. Rajin
pulak aku nak kena basuhkan baju dia? Bukannya aku pakai
lama pun,” ceber Hero selamba. Sakit telinganya dibebeli
Izzul.
“Perangai macam ni nak mengurat adik aku?
Memang puih. Usahkan adik aku, mana-mana perempuan
pun memang tak nak dekat kau.” Seronok sungguh Izzul
kutuk Hero. Sebab lelaki jenis Hero ni, kalau kutuk banyak
mana pun tetap relaks. Macam dah biasa sangat kena kutuk.
“Eh, cantik sikit. Ramai gila nak dekat aku. Aku nak
fokus dekat Ti’ah aje sekarang ni.” Hero berkata bongkak.
Sebenarnya, dah tak ada orang nak dekat dia semenjak
namanya famous satu kampung setahun yang lalu. Tapi dia
tak hairan pun.
“Jangan nak mimpi!”
“Kenapa pulak?”
“Pertama... kau berubah tragik macam ni, kau ingat
ada ke orang yang malam tadi dia mencarut-carut sebab tak
dapat tuntut duit nombor ekor dia, tetiba hari ni berubah
alim? Melainkan kalau kau kena cabul malam tadi, tak pun
kena sentuhan maut ke, baru aku percaya.” Izzul mengutuk
selamba.
Hero mengekek gelak dengan kenyataan Izzul itu.
“Kedua... kau pakai jubah senteng. Apa ni, Hero?
Senteng-senteng macam ni, nak ke mana?”
“Sentenglah okey. Senang nak selak. Macam ni
hah...” Hero berkata bersama demonstrasinya.
Izzul halang matanya dengan tangan. Tak sanggup
dia nak tengok kaki kurus Hero tu.
“Dah-dahlah buat free show tu. Jijik! Bagi aku
teruskan. Ketiga... ni jubah orang. Keempat... kau curi jubah
orang. Curi! Tak minta izin, kau main rembat aje. Kelima...
kau nak pulangkan dalam keadaan yang dah kotor. Keenam...
kau punya tingkah laku memang tak boleh diterima akal. Aku
pulak yang sakit kepala memikirkannya.” Izzul picit kepala.
“Alasan ketiga dengan keempat tu sama aje.” Hero
mencemik. Langsung tak ada rasa apa-apa meskipun dah
dikutuk teruk oleh Izzul. Dulu pun mereka saling mengutuk
juga.
“Weh, cepatlah! Panas ni. Aku nak pinjam baju.”
Hero kibas-kibas badannya dengan jubah itu.
“Ketujuh... kau menyusahkan aku pulak sekarang
ni.” Izzul mendengus. Tak pasal-pasal baju dia jadi mangsa.
“Alah, cepatlah. Kalau tak nak cari, takpe. Aku cari
sendiri. Tepi sikit!” Hero menolak Izzul ke tepi. Dia masuk ke
rumah Izzul tanpa rasa bersalah.
“Weh, bijak! Mana boleh kau masuk rumah aku
sesuka hati aje! Tu kesalahan kelapan kau hari ni.” Izzul rasa
nak tempeleng saja kawan tak tahu malu dia ni.
“Aku panas. Kau bernasib baik sebab aku tak cakap
yang aku nak tumpang mandi kat sini, nak tumpang tidur
dekat sini.” Hero berkata selamba.
“Dah, cepat. Lepas tukar, kita lepak kat luar aje.
Jangan mengada-ada nak buat muka tak malu kau tu dekat
dalam rumah aku.”
“Alah... kerek.”
“Mak aku takde. Karang dia bising pulak dekat aku.
Aku ada adik perempuan,” terang Izzul.
Kamus Oh, Boy!
*habat - pengotor*

No comments:

Post a Comment