“MAK!!! Orang dah balik!”
Dia menekan brek. Berdecit tayar motosikal itu.
Melompat juga si Abam, kucing kesayangannya yang ralit
mengejar ayam. Zarra matikan enjin, mencabut topi keledar
perlahan-lahan.
Perghhh... matahari bergaduh dengan siapa hari
ni? Panas semacam sinarnya. Rambut potongan pixie cut
itu disisirnya dengan jemari. Fuhhh... Mau naik kelemumur
kalau hari-hari makan debu.
“Orang apa orang? Cuba bagi salam, mak stapler
mulut kamu nak?”
‘Amboi... mentang-mentanglah dah pandai guna
stapler nak bungkus tapai, mulut anak sorang ni pun nak
distapler jugak ke? Mak, mak... ’
“Kalau mak stapler, Zack nak makan ikut hidung? Ke
ikut lubang telinga?” Dia senyum-senyum. Abam diangkatnya
lalu digomol kuat. Mengiau-ngiau kucing itu. Gelilah konon.
‘Campak ke dalam longkang karang kucing ni,’ fikirnya nakal.
Puan Aini geleng kepala. Tak daya dia mahu
marah-marah. Bukan anaknya itu dengar pun. “Zack kepala
tapai kamu. Mak bagi nama kamu Zarra. Zack apa jadahnya?”
Perghhh... nasib baik jauh. Kalau tidak, jemari Puan
Aini pasti hinggap ke telinganya. Silap hari bulan, berlubang
terus boleh sangkut subang.
“Yalah, yalah... Zarra naik dulu ya, mak.” Digalasnya
backpack pada bahu, lalu mencium dahi manusia yang paling
disayanginya. Mak.
Puan Aini buang pandangan ke tepi pagar. Hatinya
tiba-tiba sebak. Teringat dia dengan lelaki yang dicintainya
dahulu. Perkara yang sama itulah yang dibuat Zarra. Serupa
dengan arwah suaminya, iaitu ayah kepada Zarra. Pulang dari
kerja, dahi itulah yang jadi sasaran. Dia mengelap pipi.
“Kenapa mak nangis?” soalnya dengan debar. Puan
Aini betul marah diakah?
Puan Aini geleng kepala, senyum simpul.
“Ai, takkan saja-saja nak wiper mata? Mak marah
dengan Zarra ke?”
Tangan anak itu ditariknya. Zarra duduk, menongkat
dagu di sisi sang ibu.
“Mak rindu ayah kamu. Setiap kali dia balik kerja,
dia mesti cium dahi mak, macam apa yang Zarra buat tadi,”
jawab Puan Aini.
Bulat matanya. Dia peluk bahu mak lembut. “Kalau
macam tu, setiap hari Zarra balik kerja, Zarra cium dahi mak,
ya.”
Puan Aini angguk, ketawa dalam hiba.
“Tapi mak kena janji, jangan stapler mulut seksi
Zarra ni tau...”
Emaknya ketawa lagi. “Yalah, mak janji.”
Zarra bangun, menggeliat di muka pintu. Angin
yang bertiup mengusik juntai rambutnya.
“Zarra, kalau kamu pakai tudung, mak rasa lagi
cantik.” Puan Aini jeling, sengaja suaranya dilembutkan.
Mana tahu, anak itu mahu mendengar nasihatnya kali ini.
Alahhh... keluar lagi. Dia garu kepala. “Nantilah...”
Puan Aini senyum sambil bangun. “Mak tak paksa,
tapi aurat tetap aurat. Jangan tangguh lama-lama. Takkan
nak tunggu kena bakar dalam neraka nanti baru kamu mahu
melolong mohon ampun?”
Dia garu kepala lagi. “Zarra tahu. Zarra akan buat
juga, tapi bukan sekarang.”
Tangannya terhenti membungkus tapai. “Mati tu
bila-bila, Zarra.”
Tersengih-sengih dia. Aduh... pedih penangan
kata-kata maknya itu kali ini.
“Dah, pergi mandi. Dapat kerja hari ni?” tanya Puan
Aini sebelum anaknya beredar dari situ.
Zarra menggeleng, kemudian mendengus kecil.
“Tak apalah, belum ada rezeki. Naik mandi, solat,”
pesan emaknya lagi. Dia malas nak menyambung bebel.
Walaupun Zarra keras kepala, dia masih bangga.
Anak tunggalnya ini masih taat pada suruhan Yang Esa. Solat
memang dia tiada kompromi. Seawal usia sepuluh tahun dia
mula merotan Zarra jika meninggalkan solat. Dulu, Zarra
bertudung, manis dan sopan. Selepas habis SPM, dia perasan
Zarra berubah. Tudung dicampaknya, hilang kelembutannya.
“Zarra... solat.”
Dia akur. Dahi emaknya dicium sekali lagi.
SEPULUH TAHUN. Lamanya dia tinggalkan Terengganu.
Dia tarik nafas dalam-dalam. Masih sama, namun sudah
banyak kemajuan. Pantainya masih cantik, masih bersih dan
memutih.
“What are you looking at, Sham?”
“The sea.”
“Why? It’s just well, the sea.”
Buat manusia yang ada segalanya, laut hanyalah
laut. Dia bangun, seluk tangan ke dalam poket.
“Come on, my parents dah lama tunggu. You know
how my dad is always on time, kan?” Kartini menyauk
lengan, mengheret Hisham agar terus berjalan.
“Babe...”
Gadis itu kerutkan kening. “What?”
“I’m not yours, I’m not your hubby. Please try to
remember that?”
Kartini cebikkan bibir. “Fine. I’ll let you go. Kolot.”
Dia melepaskan pegangan, membuka langkah seluasnya.
Hisham hanya mampu senyum. Merajuklah tu.
Nantilah dia pujuk.
‘Terengganu... I’m back! For good!’
“ZARRA?”
Dia menoleh. Tergamam dia di situ. ‘Aduhhh...
macam mana boleh terserempak kat sini pula?’
Zarra garu kepala, senyum macam kerang busuk.
“Ustazah?”
Husna memeluk gadis itu seerat mungkin. ‘Ya
Allah... betul, ini Zarra bukan?’ Husna cuba menahan sebak.
“Ya. Ya Allah... lamanya menghilang. Cantik rambut.
Tudung terbang ke mana?” Dicubitnya pipi mulus gadis itu.
Cantik. Lebih cantik daripada dulu.
Aiyakkk! Baru lima saat terus kena bambu. Dia garu
kepala.
“Cantiknya sekarang... dah besar panjang. Kalau
tutup kepala tu lagi cantik.” Lembut Husna menutur kata,
bimbang ada hati yang terasa.
‘Aduhhh... pedihnya hulu hati. Rasa macam kena
cubit-cubit.’
Zarra tersengih-sengih. “Anak Kak Husna ke?”
Husna angguk, usap kepala Qaira yang tercegat di
sebelahnya.
“Helo, sayang...”
“Bukan helo, assalamualaikumlah.”
Nah, tadi kena dengan maknya, sekarang ni anaknya
pulas kasi sedas. Pedih weh...
“Assalamualaikum sweetie? Nama siapa?”
“Qaira binti Aqil.”
Amboi, jawapan penuh. Memang anak cikgu.
Kikikiki.
“Kak Husna dari mana?” Ya, dia selesa memanggil
Husna dengan gelaran kakak. Sememangnya Husna bagaikan
kakaknya sendiri. Manusia yang banyak menolongnya
lebih-lebih lagi selepas peristiwa itu.
“Hantar Abqari ke kelas silat. Abi dia ada meeting
hari ni. Zarra ni nak ke mana?”
Dia garu tengkuk, sengih-sengih macam kerang
busuk. Tapi dia tak busuk, dia cantik okey. “Round pekan cari
kerja.”
Husna kerutkan kening. “Dulu masa kat U ambil
apa?”
Sekali lagi dia garu tengkuk, senyum dalam serba
salah. “Master in Business Administration.”
Husna geleng kepala. Ni, yang dah besar panjang,
cantik menawan ala-ala tomboi di depan muka dia ni, rupanya
ada master. Masya-Allah...
“Kamu nak cari kerja apa kalau macam ni rupanya,
Zarra oiii...”
“Dua minggu lepas kerja 7-E, tapi Zarra berhenti.”
“Apasal?”
“Anak tauke dia tu, gatal. Suka nak raba-raba orang.
Sekali dia raba Zarra, Zarra debik muka dia, tergoleklah...”
‘Allah... begitu pula.’ Husna tahan ketawa. Kalau dia
jadi Zarra, dia juga buat perkara yang sama.
“Habis tu Zarra tak try mintak mana-mana
company?”
“Ala... diaorang nak yang ada pengalaman kerja, kak.
Zarra adalah juga pengalaman, kerja kat 7-Eleven, KFC, kedai
keropok lekor lepas tu kedai jual motor. Lepas tu nak kena
ada ‘kabel’. Zarra kabel elektrik adalah.”
Kali ini dia terpaksa senyum. Kedai jual motor. Haru
betul si Zarra ni. “Pergilah bandar besar. KL ke, Kuantan
ke, Pekan Bukit Payong tak padan dengan kelulusan Zarra,”
cadang Husna.
Zarra senyum, geleng kepala. “Tak boleh. Zarra
kesiankan mak. Mak dan nenek dah banyak berkorban untuk
Zarra. Zarra kena duduk sini, jaga mereka berdua.”
Husna tarik nafas dalam-dalam. Dia berfikir sejenak.
“Nombor phone ada? Bak sini nombor telefon.”
“Nak buat apa?” tanya Zarra.
“Mintak sajalah, banyak soal,” jawab Husna, kali ini
lebih tegas meminta.
Zarra senyum, menulis nombornya pada sampul
surat yang selalu dikeleknya di dalam backpack kelabunya.
“Bagus. Wait for my call. Pergi balik.”
Amboi, kena balik ke ni? “Zarra nak round sini kejap.
Mana tau ada kerja kosong...”
“Tak payah, pergi balik. Ni... kirimkan untuk Tok Teh
dan mak. Cakap Kak Husna kirim salam.”
Husna letak sekeping tisu, lalu masuk ke kereta.
Zarra nganga sambil pandang kereta Toyota Vios itu
berlalu pergi. Dia pandang tisu yang berlipat kemas. Kenapa
lain macam saja tisu ni? Kali ini terbeliak matanya. Tiga
keping not seratus terlipat di dalam tisu itu. Dia gigit bibir,
menahan air mata yang perlahan turun.
“WELCOME TO The Bliss Hotel and Resort, Encik Hisham.”
Dia anggukkan kepala. “Terima kasih. Encik Yusri,
kan?”
Lelaki berkepala botak itu angguk kepala. “Ya,
panggil Abang Yus.”
Hisham tergelak kecil. “Mana boleh. You are the
manager here. I’m only the assistant manager.”
“Betul, tapi Sham nanti akan jadi bakal menantu
Tengku Adnan. Tu lagi dahsyat,” balas Yusri.
Hisham geleng kepala. Ya ke dia akan jadi menantu
Tengku Adnan? Dia mengeluh perlahan. Ini mesti kerja
Kartini. Baru sehari dia di sini, sudah keluar khabar yang
sebegitu. Sudah dia katakan, dia bukan milik sesiapa. Not for
now.
“Tak adalah, Abang Yus. Rumors je tu. I am for me
only.” Hisham cuba menafikan khabar angin itu.
Yusri longgarkan tali leher. Dia senyum sambil
menyandar pada sofa. “You know what, Sham... Sham
ingatkan abang pada seseorang.”
Hisham angkat kening. ‘Siapa? Zul Ariffin ke?’ Dia
ketawa dalam hati.
“Okey, now... ikut abang. Kita pergi round hotel ni
sampai kau hafal semuanya.”
Hisham gelak kecil namun tetap bangun mengekori
langkah Yusri yang kian panjang.
‘KAT SINI ke?’
Gulp.
Dia telan liur. Kalau tak kerana Kak Husna yang
minta dia ke sini, mampus dia tak datang. Seluar khaki slim
fit dan blaus putih itu digosoknya dalam gementar. Alah,
nak minta bahagian housekeeping aje pun, bukan mintak
manager.
“Dey macha, mau jumpa siapa?”
‘Macha? Aku punya cantik dia panggil macha.’
Zarra betulkan rambut. Pendek. Gamaknya memang nampak
macam macha kut. Dia ketawa dalam hati.
“I’m sorry, sir. Puan Husna cakap Puan Amni minta
saya datang sini.” Hah. Itulah jawapan yang diajar Kak Husna.
Pengawal keselamatan itu tersenyum lebar. “You’re
a girl.”
Tu dia, statement of the year.
“Yes, sir.”
Sekali lagi pengawal keselamatan itu senyum.
“About the job vacancy, right? You masuk dalam, pergi ke
receptionist. Nanti dia tunjuk you mana mau pergi.”
Zarra angguk kepala. “Thank you, sir.”
Lelaki India itu ketawa. “No need to call me sir,
Uncle Ravi will do.”
Zarra senyum lebar. “Thank you, Uncle Ravi,”
katanya sebelum beredar.
Fuh, masuk langkah kanan, baca bismillah dalam
hati. ‘Ya Allah, permudahkanlah segala urusanku... ’
BULAT MATA wanita di hadapannya. “Zarra nak minta kerja
housekeeping kat sini dengan kelulusan ni?”
Alamak, bukan ke dia dah cabut segala ijazah dan
sijil universiti yang sewaktu dengannya? Apasal la pula ada
balik kat dalam fail dia? Ini mesti operasi sulit maknya.
“Ya, Puan Fetty.”
“Housekeeping?” soal Fetty sekali lagi. Biar betul?
Ada master dari universiti terkemuka Malaysia nak mintak
kerja kat sini jadi kuli?
“Why?”
“I need the money to take care of my mom, and my
grandma.”
‘Ya Allah, ni kalau dengan kelulusan macam ni,
mintak pengurus pun lepas.’ Fetty senyum. Selama tiga
tahun dia menguruskan HR department, macam-macam
manusia yang dia jumpa. Ada yang datang bawa ijazah, tapi
hidung tinggi. Yang datang bawa sijil SPM pun ramai, tapi
cita rasa pula tinggi. Manusia.
“Kalau Kak Fetty letakkan position Zarra di dobi ke,
kitchen ke, Zarra nak?”
Angguk. Cepat-cepat dia angguk. Mana-mana dia
sanggup, asalkan dia ada kerja.
“Kalau macam tu, Zarra tunggu kat luar. I want to
make a few calls.”
“Okey, puan.” Dia bangun, tunduk hormat.
‘Okey... boleh je. Tapi memang hotel ni macam ni ke?
Semua memang ramah mesra? Well, bagus juga,’ fikir Zarra
sambil senyum gembira.
“WOW, SEDAPNYA bau... Apa tu, Zach?”
“This?” tanya Zachary.
“Yep.”
“I’m trying a new recipe. Urat keting goreng kunyit
dengan kulat sisir.” Saja dia mahu mencuba resipi baru. Mahu
jadi cef yang bagus macam Jamie Oliver kena pandai fikirkan
resipi yang pelbagai.
“Perghhh... Mesti sedap, kan?” Jarinya mencuri
sekeping urat keting yang masih berasap lalu dicampaknya
ke dalam mulut.
Panasnya, mak ai! Melompat si Abid sekejap. Panas
pun panaslah, janji dapat makan.
Zachary gelak sambil menghidu. Rasanya kurang
garam. Diletakkan sedikit lagi. Kali ini dihulurkan kepada
Abid yang baru selesai menelan. Nganga macam anak burung
minta makan.
“Sedap la weh!” Dia mengambil sekeping lagi. Panas
tapi sedap. Pedas pun kena. Lagi sedap kunyah dengan urat
keting yang kenyal. Kaw gila!
“Zach... kau dahlah handsome sikit daripada aku,
masak pun terror daripada aku. Perghhh! Aku dengki.”
“Kau lain, kau master pastry chef. Aku mana boleh
lawan bab tu.”
Kali ini Abid ketawa. “Banyaklah kau. Kau punya
pastry lagi kebabom.”
“Kebabom apanya? Berkecai terus. Serius. Kau
punya pretzel buat aku termimpi-mimpi.”
Abid jongket kening. Dia senyum nakal. Tunjal bahu
Zachary. “Mimpi apa? Wet dreams?”
Mereka sama-sama ketawa. “Siutlah kau! Malaslah
aku. Dah, dah... jom siap. Lunch time dah ni. Standby mode
la weh. Mana tahu nanti ada tuan puteri sangkut dengan
kelazatan air tangan kita, buat kita jadi suami. Best, kan?”
Zachary sambung tawa. “Beranganlah kau. Kau
ingat senang ke jadi suami puteri raja? Nak jumpa mak ayah
pun kena buat janji temu tau. Aku nak kahwin dengan gadis
pujaan aku.”
“Siapa? Liyana?” teka Abid.
Dia geleng cepat-cepat. Liyana Human Resource
tu... mintak jauh wehhh... menggeletis.
“Bukanlah. Bila aku tengok dia, aku tahu dia untuk
aku. Pasti.”
Abid gelak kuat-kuat. Boleh tahan ayat mamat
seorang ni. Hati cotton candylah katakan.
“Good luck, Zach. Aku doakan kau jumpa kau punya
pujaan hati.”
Zachary angguk. “I will. Believe me.”
CANTIKNYA SERAGAM. Macam pramugari. Kebaya biru
laut dengan motif bunga tanjung warna merah jambu.
Ehhh... inikan design Haji Ripin and Co. Huishhh... patutlah
macam kenal. Lengan baju kebaya itu panjangnya lebih
sedikit daripada siku. Selesa. Kainnya pula kain lipat, tak ada
belah dekat mana-mana. Seronoknya, memang lawas untuk
dipakai, tak adalah sempit sangat. Jadi perempuan Melayu
terakhirlah gamaknya Zarra hari ni. Jalan mesti sopan santun
punya.
Dia minta seragam yang berseluar tapi kata Mak Jan,
yang berseluar hanya untuk yang ada halkum. Kehkehkeh...
Terkena dia.
“Budak baru?”
Zarra toleh, tilik sang pemilik suara. Siapa ni? Pakai
tudung hitam ala-ala model tudung dekat dalam majalah.
Maskara tebal gila. Dihulurkan senyum.
“Ya, orang baru.” ‘Budak kau panggil aku? Kau ingat
aku darjah satu ke?’
“Weh Wanie, ada budak barulah weh...”
Wanie, yang chubby macam ada seorang pelakon
TV tu, datang berlenggang di sisi si maskara hitam. Wanie
senyum senget padanya. “Nama kau siapa?”
Zarra senyum. “Nak ikut surat beranak ke nak ikut
IC?”
Wanie nganga. “Fuhhh, boleh tahan. Kau tanya dia
pulak, Ida.”
Ohhh... Ida.
“What is your name? Do you understand my
question?”
“Look here, miss. My given name, as written on my
identity card or my birth certificate, is the same. So, my
point here, which name do you want to know?”
Ida pandang Wanie. Wanie sengih-sengih. “Kau
faham tak?”
Wanie geleng. “Dia cakap laju sangat la, beb.”
Zarra ketawa. Lawak betul manusia berdua ni. Dia
hulurkan salam. “Zarra binti Zainal. Zack.”
Ida angkat kening, jeling Wanie yang melopong.
Wanie angguk laju-laju.
“Wahida binti Adnan, Ida.”
Wanie hulurkan salam. “Nur Syazwani Rabiatul
Adawiyah binti Noh. Wanie.”
‘Mak ai... panjangnya.’ Zarra tergelak.
“Sorry, kami usik je tadi. Welcome to The Bliss
family.”
Zarra peluk Wanie dan Ida. “Terima kasih. Sorry
kalau Zack sound macam biadab tadi. My style. Memang gaya
cakap macam gini.”
Wanie ketawa. “Tak apa, kami pun. Tapi depan guest
tak bolehlah. Nanti kena piat telinga dengan Mak Jan. Lemah
lembut dan beradab. Ha, ingat tu.”
Ida gelak sambil angguk. “Zack? Tak sedaplah.
Panggil Zarralah, baru sweet. Zack nama macam jantan.
Nanti tertukar dengan Zach si Zakaria kat coffee-house.”
“Zacharylah. Suka hati kau cakap nama dia Zakaria.
Muka handsome tahap lima bintang plus-plus kau cakap
nama dia Zakaria. Teruklah kau ni!”
Zarra ledak tawa. Okey. Mesti seronok kerja kat sini.
“Now Zack adikku, jom kita pergi ke istana
housekeeping. Kejap, umur berapa?”
“26.”
“Bagus. Aku 26 jugak, si Wanie ni 28. Sila hormat
dia.”
Wanie geleng kepala. Cehhh... hormat konon. Kena
buli adalah. Dia jalan cepat-cepat. Sesekali dia jeling Zarra
yang tersenyum. Cantik budak ni. Kalau rambut pendek tu
panjang sikit, tak pun pakai tudung, mesti lagi cantik.
“Zarra...?”
“Ya kak?”
“Dah kahwin?”
Hahaha... gelak sakan dia. Kahwin? Sampai mati dia
takkan kahwin. “Belum lagi, kak. Akak?”
“Dah. Baru dua tahun.” Wanie senyum malu-malu.
Zarra dan Ida sama-sama gelak. “Suami dia kerja kat
sini jugak, bahagian technician.”
“Kau, Ida?”
Ida angkat jari manis, sebentuk cincin diam di jari
manisnya. “Dah bertunang. Nanti ada duit, langsung on the
spot.”
Huihhh... semua dah berpunya la ni.
“Putus je dengan Halim tu, Ida. Aku tak suka.”
Ida diam.
Zarra pun diam. Janggal tiba-tiba. Errr... bukan
drama kan? Ida jalan cepat-cepat.
“Aku pergi tandas jap.” Pantas langkahnya
meninggalkan Zarra dan Wanie.
Wanie mendengus.
“Kenapa, kak?”
Wanie garu pipi. Geleng kepala. “Nantilah, satu
hari kau tau jugak.” Dia tarik tangan Zarra, menuju ke bilik
operasi housekeeping.
MAK AI... Luasnya. Dia pandang atas bawah. Setiap rak
tersusun rapi dengan segala kelengkapan dan amenities.
Zarra telan liur. Kalau cilok bawa balik syampu dengan
shower gel boleh aje kan?
“Tengok saja tau. Bawak balik tak boleh, berdosa.”
Zarra gelak kuat-kuat. “Serius ah Kak Wanie...
macam mana boleh tau isi hati Zack ni...”
“Eleh, akak mula-mula datang macam tu juga.
Tengok towel ni, gred VVIP. Kita pakai pun cap pasar malam.
Ini, kalau kau hampar sepuluh lapis dah jadi tilam.”
“Kak apasal akak dengan Ida boleh pakai seluar, saya
kena pakai kain? Saya mintak seluar, Mak Jan cakap tu untuk
lelaki je.”
Wanie henjut bahu, terkekek dia ketawa.
“Memanglah. Seluar ni kami beli sendirilah, Zack. Kain ni
untuk receptionist. Kau pakai buat sementara. Nanti belilah
seluar sendiri, Zack. Takkan nak suruh Mak Jan beli kut.”
Laaa... itu macam ka? Yalah, yalah... esok dia beli.
“Mak Jan cakap lelaki je boleh pakai seluar?”
Zarra angguk.
“Habis tu akak dengan Ida ni lelakilah, kan?”
Kali ini mereka gelak sama-sama.
“Okey, akak terangkan jadual. Dengar baik-baik tau.”
“HOW’S YOUR day, Sham?” soalnya manja. Kartini hirup
fresh orange itu perlahan-lahan. Sejuknya memecah
kehangatan cuaca hari ini.
“Good.”
Kartini muncung bibir. “Good? Just good?”
“Yalah, hari pertama, takkan nak cakap awesome
terus, kan?” Hisham pandang keliling. Cantik betul hotel ni.
Staf-staf juga ramah mesra.
“Tak ada emosilah you ni. At least ambiklah hati I,
cakap hotel ni memang hebat.”
Dia mengeluh kecil. “Tini, tadi you tanya how’s my
day, kan... the hotel memanglah amazing, but not my day.
My day is good. Itu saja.”
Kartini bangun, hentak kaki dekat atas lantai. “You
ni kan...”
Hisham ukir senyum. Kan, merajuk pula. Aduhai...
biarlah, pergilah merajuk jauh-jauh. Nanti dia pujuk.
Dia bangun, betulkan pinggang. Penat dia pusing
keliling hotel hari ni. Kata Yusri, dulu hotel ni ada satu
bangunan utama sahaja. Sekarang ni dah bertambah. Sebelah
kanan, gim dan bengkel batik untuk pelancong serta spa.
Sebelah kiri ada kolam renang dewasa dan kanak-kanak,
mini cinema, pusat riadah dan Pet A Pet House. Sebelum
pintu masuk utama pula, ada dua bangunan lima tingkat.
Kata Yusri, kuarters untuk pekerja yang tinggal jauh. Bagus.
Jarang hotel sediakan kuarters.
Bunyi gelak ketawa buat dia menoleh. Beberapa
pelancong asing berbual mesra dengan beberapa kakitangan
yang bertugas. Hisham senyum sendiri. Betul kata Yusri.
Homey dan friendly.
MAK JAN gelak kuat-kuat. Termakan juga tipunya dengan
Zarra. “Kalau macam tu, hari ni Zarra ikut Dilla jaga front
desk. Berlatih jadi receptionist. Muka kena senyum, tutur
kena lemah lembut. Paling penting, kerja dengan ikhlas.”
Zarra angguk. Seksa wooo buat kerja pakai kain.
Wanie dengan Ida dari tadi gelakkan dia. Cehhh...
“Assistant manager baru tu... handsomenya...”
Zarra toleh. Dahsyatlah Mak Jan. Dari belakang pun
tau handsome. “Mak Jan, Zarra pergi front desk dulu ya.”
“Ai, tak nak makan dulu?”
Zarra geleng. Air carrot susu itu sudah cukup
baginya. “Nanti lain kali ya.”
Dia bangun, betulkan kain kebayanya yang senget
sebelah. ‘Hesy... aku bako kain ni karang.’
Mak Jan gelak tutup mulut.
“Honey... gelakkan siapa tu?”
Mak Jan angkat muka. Dia muncungkan bibir, tunjuk
pada Zarra yang terkial-kial berjalan. Macam itik ronggeng.
Zachary duduk, lepaskan nafas perlahan-lahan.
“Siapa tu?” Dia juga ketawa. Jalan macam mabuk
laut. Kalau jatuh, dia mahu gelak kuat-kuat. Tak pernah pakai
kain ke apa?
“Zack.”
Zachary angkat sebelah kening. “Saya?”
“Bukan Zach ni. Z. A. C. K, Zack, Zarra.”
Ohhh... nama Zarra kan cantik, kenapa tukar jadi
Zack pula? Lainlah dia, takkan nak panggil dia Zaki, tak
masuk akal. “Budak baru?”
“Ya. Cantik tapi lasak semacam. Fetty suruh letak
dia dengan Dilla dekat front desk, biar belajar lemah lembut
gitu.”
Zachary geleng kepala. Komplotlah tu. “Mak Jan dah
makan?”
Angguk. “Dah. Kitchen menu apa hari ni?”
Dia menyeringai. “Tengok sendiri.” Kemudian
Zachary sandar pada kerusi rotan.
Mak Jan senyum lalu melangkah perlahan,
meninggalkan jejaka itu yang terlelap di kerusi. ‘Kalau aku
ada anak perempuan, dah lama aku sambar si Zach ni buat
menantu.’
“THANK YOU, sir. Please come again,” ucap Zarra bersama
senyuman manis.
Lelaki mat salih itu angguk sambil membalas
senyumannya. “Indeed I will. This is for you. For your sweet
smile.”
Zarra telan liur namun sempat tunduk hormat.
“Thank you, sir. Have a safe journey.”
Lelaki separuh umur itu berlalu pergi. Dia buka
tapak tangan. Pergh, dapat tip. Dua puluh ringgit. Boleh isi
minyak motor. Alhamdulillah.
Dilla dan Naim gelakkan dia. “Seronok kan dapat
tip?”
“Uiihh... bestnya. Receptionist pun diaorang kasi tip
ke?”
“Pelancong asing memang macam tu. Depa tak
kedekut macam orang kita. Tapi kalau Pak Arab, lagi best.
Kalau yang gila baik, geng-geng bellboy dan concierge tu
dapat lima puluh ringgit tu dalam tangan je,” terang Naim
panjang.
Wow. Wow! Banyak tu.
“Memang kita tak mintak, tapi kalau orang bagi
jangan tolak. Rezeki, Zack,” sambung Dilla pula. Betul,
mereka tak pernah meminta-meminta, buat kerja pun dah
dibayar gaji. Bersyukurlah.
“Shhh, shhh... She’s coming.”
Zarra telan liur, angkat muka. Siapa datang? Dia
tegakkan badan bagai mahu menyanyikan lagu Negaraku.
Manalah tahu kot-kot tuan punya hotel ni yang datang.
“Apasal bisu ni? Boraklah.”
“Assalamualaikum, Miss Kartini.”
Gadis di hadapan mereka itu menjeling, juih bibir.
Zarra pandang sekilas. Siapa ni? Gaya macam artis.
Rambut panjang hitam berkulat. Eh, berkilat. Silap. Maxi
dress corak tribal warna-warni. Beg tangan yang tergantung
pada lengan kalau tak silap, jenama Prada. Prada, berada.
Bukan untuk orang papa macam dia. Cantik, macam model...
tapi sayang budi bahasa fail.
“Kau? What are you looking at?”
Terkejut dia. Zarra senyum. “Your bag, miss. So
lovely, macam miss juga.”
Kartini senyum simpul. “Of courselah. Rare item,
kan. Dah, buat kerja.” Dia buka langkah, menuju ke pintu
utama.
Dilla urut dada. “Perghhh... Nasib baik Miss Bitchy
dah blah.”
Bulat mata Zarra. “Miss Bitchy?”
Naim dan Dilla angguk kepala serentak. “Haah... Miss
Bitchy? Nama penuh dia Tengku Kartini Alia binti Tengku
Adnan. Hotel ni boleh kata bapak dia punyalah, ada share
kat sini dengan sorang lagi tauke mat salih, Mr. Lehmann.
Family dia semua okey, dia je yang besar kepala. Bapak dia,
fuhhh... thumbs-up. Baik gila. Dia? Boleh masuk neraka!”
Kali ini Zarra ketawa kuat-kuat. Lantaklah, masuk
apa pun, bukan hal dia. Dia mahu cari rezeki, bukan cari mati!
“NAK PERGI mana?” soalnya sambil butangkan kemeja.
Blazer coklat gelap dia sarungkan. Hisham bangun, menurut
langkah Yusri yang senyum lebar.
“Eye to eye dengan staf. Perkenalkan diri Sham la.
Nanti langgar bahu pun tak kenal.”
“Tak payahlah... Nak buat apa?”
Yusri sapu kepalanya yang licin. “Hesy... mana boleh,
kenalah perkenalkan diri. Jom, jom.”
Alaa... nak kena pergi ke? Namun dia turutkan saja.
Kenalkan diri saja, kan? What harm would that do?
GRAND BALLROOM Heaven 1 itu sudah dipenuhi dengan
staf yang ada. Zarra hanya mampu menjeling. Dia kena ada
di sini, di kaunter resepsi. Tinggal dia, Dilla dan Naim. Yalah,
takkan nak tinggalkan kaunter, nanti tetamu datang siapa
nak layan? Hantu? Mau cabut lari semua yang ada.
“Diaorang buat apa tu, Dilla?”
Dilla jenguk. “Oh, ada eye to eyelah tu. Mesti nak
kenalkan assistant manager baru. Aku dengar handsome
gila. Bestnya kalau dapat join. Nanti aku suruh Ida ambik
gambar, WhatsApp dalam grup.”
Huhhh... itu aje ke? Tak apalah, tak penting pun.
“Zack, bak nombor telefon, aku add dalam grup
WhatsApp kita.”
Zarra garu telinga. “Dilla, aku pakai telefon cikai
jelah. Boleh buat call dengan SMS je.”
Naim tepuk dahi. Yang si Dilla pula mengekek-ngekek
ketawa. “Haru betul kau ni. Nanti dapat gaji belilah weh...
sekarang ni dah banyak yang murah. Masya-Allah...”
Zarra senyum malu. Nantilah, kalau ada keperluan
dia beli. Lagipun dia ‘terlalu bijak’ untuk pakai smartphone.
Tak payah smart bertingkat-tingkat, nanti poket ketat dengan
hutang.
Dilla buka telefon pintarnya. “Alaa... gambar jauhlah.
Bengong si Ida ni. Ambiklah gambar dekat sikit kalau ya pun,”
bebelnya sambil merenung skrin.
“Dahlah, nanti kalau dia lalu, kita sergah dia. Terus
havoc.”
“Sergah siapa? Ida?”
“Bukanlah, assistant manager baru tulah. Kau ni...”
“Kau gila? Nak kena pecat?”
Zarra gelak. Dah kemaruk sangat nak tengok, jumpa
depan-depan ajelah. Kihkihkih...
Oppo 7 milik Dilla berbunyi lagi. “Ehhh... mudanya.
Baru nak masuk 31 tahun dah boleh jadi bos. Hebatnya.”
Zarra hanya dengar. Biasalah, mesti anak orang kaya.
“Hmmm... lulusan overseas, patut pun.”
Zarra gelak. Suara Dilla tu dahlah kuat, bergema
ruang legar itu.
“Nama, nama?” soal Naim.
“Sham. Hisham.”
Hatinya terhenti seketika. Nama itu. Dia mengucap
panjang perlahan. Relaks, Zarra. Ramai manusia yang nama
sama. Takkan itu pun dah kalut? Dia ketap bibir, tarik nafas
panjang-panjang. ‘No. Not him. Bukan lelaki itu. Be cool,
Zarra. You are safe here.’
PENAT DIA bersalaman. Dah macam YB. Hisham lurutkan
blazer. Yusri sudah ke pejabat. Dia sangkut blazer pada lengan.
Melintasi ruang legar berhadapan meja resepsi, matanya
melirik pada seorang gadis yang melopong memandangnya.
Dia memberi senyuman. “Hi, I’m Hisham.”
Dilla tutup mulut. “Dilla Abu Bakar, En. Hisham.”
‘Ya Allah Zarra, ruginya kau pergi tandas.’ Handsomenya
makhluk di hadapannya.
Hisham gelak kecil. “ See you around, Dilla.”
Okey, dia hanya mampu angguk. Oh mister cupid,
I’m in love!!!
No comments:
Post a Comment