BUNYI ombak buat dia tersenyum. Hari ini dia syif pagi.
Sengaja dia ke sini, mahu berehat sebelum pulang ke kuarters. Dilla dah lama
balik, membuta la tu. Dia bersandar pada pohon kelapa yang jauh dari pandangan
mata. Kalau lelapkan mata pun boleh saja kan? Dia tersenyum sendiri.
“Boleh abang join Zarra?”
Allahuakbar.
Berhenti degup jantungnya. Dia pandang keliling.
“Zarra cari siapa? Abang datang sorang-soranglah...”
Dia bungkam. Kau datang sorang-sorang ke, dengan rombongan
Cik Kiah ke, ada dia kisah? Cepat-cepat dia bangun, kebas kain laju-laju.
Hisham garu kepala. Kalau dia peluk si Zarra, mesti dia kena
campak ke dalam laut. Pantas dia ke depan, menghalang laluan.
Terbeliak mata Zarra. ‘Karang aku sepak kelangkang
jantan ni karang susah pula dia kemudian hari.’
“Step aside, Mr. Hisham.”
Ouih... speaking.
“Saya tak faham,” balasnya sambil tersenyum-senyum.
Hah! Lupa. Dia ni kan belajar kat Korea, mana dia faham
bahasa lain.
“Tolong ke tepi.”
“Tepi sebelah mana? Kanan ke kiri?” Hahaha... Bijaknya
soalan. Bangga dia kejap.
‘Ohhh... kau memang nak cari penyakit, kan?’ Zarra pusing
belakang, jalan laju-laju.
Okey, pandai. Tricky juga minah ni. Hisham berlari, pantas
dan laju.
“Stop! Please, Zarra...”
“Huh... saya tak faham.”
Hisham renung wajah amarah itu. Aduhai, cantiknya. Dulu,
sewaktu mereka sama-sama remaja, Zarra gadis tercantik di matanya. Kini, bila
gadis itu bertukar menjadi wanita, Zarra sememangnya tercantik di matanya
sampai bila-bila. Mata itu. Sepasang mata coklat cair itu buat dia mahu
melutut.
Melutut.
Ya, melutut.
Kali ini dia betul-betul melutut. Melutut di hadapan Zarra.
‘Ya Allah, apa ni?’ Zarra pandang kiri dan kanan. Janganlah
ada orang nampak. ‘Kenapa jantan ni siap melutut bagai ni? Aku bagi death kick
karang... adoiii!’
“Abang mohon ampun. Abang mohon maaf. Abang tahu abang
salah. Abang berdosa. Apa yang abang buat pada
Zarra, tak ada alasan untuknya. Abang ikut nafsu. Abang gila
hari tu. Abang gilakan Zarra.”
Zarra kaku. Segala ingatannya pada hari itu datang kembali.
Terketar-ketar tangannya, mahu saja dia rebah di situ. Berani Hisham. Berani
lelaki itu menyebut peristiwa itu. Dia ketapkan bibir, menahan sebak yang kian
menunjal.
Hisham bangun perlahan-lahan, berhadapan dengan dosa silam
yang sesungguhnya sangat memeritkan. Lebih-lebih lagi bila dosa yang dibuatnya
melibatkan insan lain. Melibatkan maruah dan kehormatan.
“Tolong abang, Zarra... ampunkan abang, maafkan abang.” Bergetar
suara lelakinya. Dia ikhlas memohon maaf. Sungguh, dia mahu Zarra memaafkan
dia. Beban dan dosa itu terlalu berat untuk dia tanggung.
Zarra bungkam. Kenapa? Kenapa hatinya yang dia pagar, teguh
selama ini akhirnya runtuh dalam air mata? Kalau diikutkan hatinya, dia mahu
tampar, dia mahu sepak terajang lelaki di hadapannya ini. Ya. Selama ini dia
kuat. Dia kuat kerana dia pasti, sebaik saja keluarga Hisham berpindah, dia
aman. Dia pasti yang dia dan Hisham takkan bertemu hingga mati. Dia sangat pasti.
Zarra kesat pipi, berkali-kali.
Hisham tak mampu memandang. Wajah pilu dan marah sang gadis
di hadapannya ini buat hatinya kian dihurungi rasa bersalah. Ya. Dia yang
bersalah, berdosa. Kejam, jijik. Semuanya dia.
“Zarra...”
Zarra tarik nafas panjang, lepaskan perlahan-lahan. Air mata
masih ada, belum berhenti. Dia tarik nafas lagi. Panjang dan lama.
“Zarra bencikan Abang Sham. Apa yang Abang Sham buat, Zarra
tak mampu lupakan. Apa yang Abang Sham buat, Zarra tak boleh buang. Setiap
malam bila Zarra tidur sepuluh tahun yang lalu, Zarra menangis. Zarra basuh
diri Zarra.
Zarra cuci badan Zarra, berkali-kali setiap hari. Tapi Zarra
tahu, Zarra takkan suci lagi. Abang... abanglah manusia yang rampas semua harga
diri Zarra...”
Nafasnya tersekat-sekat. Air matanya kembali mengalir.
“Ya. Zarra maafkan abang, Zarra ampunkan abang. Zarra dah
ambik semua yang hitam, yang busuk, yang membunuh Zarra sepuluh tahun dulu,
Zarra bungkus, Zarra buang. Zarra buang semua tu. Zarra jugak dah buang abang.
Kosong. Antara kita, kosong-kosong. Sekarang, tolong blah. Blah!”
Hisham angguk perlahan-lahan. Sekurang-kurangnya Zarra
ucapkan juga perkataan maaf yang dia tunggu selama ini. Dia menoleh, memandang
Zarra yang terduduk di rumput, menangis dalam diam.
‘Abang janji Zarra, abang akan betulkan semuanya. Abang
janji,’ tekad Hisham.
“KENAPA KAU ni?”
Zarra geleng kepala. Cepat-cepat masuk ke bilik sambil
diekori Ida.
“Zarra, kau kenapa? Kau sakit? Zarra...”
Dia geleng. Geleng dan geleng. Kenapa dengan dia? Kenapa dia
masih belum berhenti menangis?
Ida tarik nafas, tarik lengan Zarra.
“Cuba kau cakap dengan aku... apa kena dengan kau ni?”
Dia bangun, peluk Ida sambil senyum tawar.
“Aku jumpa seseorang
yang lukakan hati aku. Lama dulu. Aku ingat aku takkan jumpa dia lagi.”
Ida bersandar pada dinding, dia renung siling. Lelaki.
Samalah. Dia juga pernah menangis kerana lelaki. Dia senyum hambar lalu menepuk
lengan Zarra pelan-pelan.
“Aku faham.”
Zarra diam, tuala diambil lalu dilekapkan pada wajah.
“Mana kau jumpa dia?” soal Ida perlahan.
“Hotel. Kebetulan dia datang menginap.” Biarlah. Biarlah dia
tipu.
Ida ketawa kecil. “Dia datang dengan family dia, kan?”
“Ya.”
“Hmmm... kelakar kan? Kita ingat, kitalah insan yang paling
dia sayang, dia cinta.”
Zarra senyum dalam hiba. Sayang? Cinta? Mana mungkin. Hanya
nafsu sahaja yang ada. Dia lap wajah berkali-kali.
“Dah, pergi mandi. Hingus banyak weh...”
Mereka sama-sama ketawa.
Ketawalah. Biarpun hati menangis, ketawalah.
“SHAM... YOU ni kenapa? Dari tadi diam je. You tak suka
keluar dengan I malam ni?” Memberontak saja suara Kartini. Dia geram. Hisham
hanya membisu. Makan tidak. Minum pun hanya separuh. Bercakap, memang taklah.
“Sham?”
Dia tersentak lalu pandang wajah merajuk Kartini yang kian
mencuka.
“Sorry, Tini. Sham penat sangat.”
Kartini tarik nafas. Okey, dia nampak. Dia tahu.
“Kalau macam tu, jom baliklah. Ingatkan boleh jalan-jalan
ambik angin.”
“Lain kali ya, Tini. Sham janji.” Hahaha... janji. Mudahnya
dia berjanji.
Kartini kembali tersenyum. “Okey. Janji tetap janji.”
Hisham angguk.
Janji tetap janji. Jadi? Bagaimana dengan janjinya pada
Zarra? Dia mengeluh perlahan.
Kartini senyum, peluk erat lengan Hisham. Fine. Malam ni dia
lepaskan Hisham. Dia tahu, Hisham akan kotakan janjinya.
Sempat dia melirik pada Kartini yang tersenyum manja.
“Tini, dah lupa? I’m not your husband.”
Kartini cebikkan bibir. Huh, pegang sikit pun bising.
DIA MAHU tergelak. Membebel si Ida. Nak buat macam mana,
dia, Dilla dan Lili bukannya tahu masak. Masak Maggi, goreng telur, masak
ala-ala bodoh alang tahulah.
“Hoi! Jahanamlah kangkung tu, Cik Lili oiii... Aku
pelangkung korang semua ni karang...”
Lili garu-garu kepala, sengih-sengih sambil pandang Dilla
yang terguling gelak. Amboi melampaunya reaksi.
“Zarra, kau pandai
tanak nasi tak?”
Dia angguk. Ha, kalau yang itu, memang dia terror amat.
“Kalau gitu, kau masak nasi. Dilla, dari kau terguling macam
dugong, basuhkan ikan bilis ni. Nak makan ke tak ni?”
Dilla tutup mulut. Bila waktu memasak, ginilah jadinya. Mana
taknya, si Ida aje yang tahu memasak. Ingatkan Zarra pandai, sekali buat cekodok
pisang pun masin. Baling ayam, ayam pun mati. Hahaha... jahanam, jahanam.
Zarra cepat-cepat bangun. “Da, nanti aku buat telur dadar
ya.”
Ida angguk. ‘Adoiii... siapalah nak bermenantukan semua ni?’
Dia tergelak sendiri.
PENATNYA HARI ini. Lenguh berdiri, dia duduk. Puas duduk,
dia kembali berdiri. Awan masih cantik di luar sana. Berarak lembut. Zarra
pandang jam. Lagi setengah jam syifnya akan tamat. Cepatlah, dia tak mahu ada
di sini lama-lama.
“Kau kenapa?”
Zarra paksa senyum. “Aku penatlah. Ramai sangat orang hari
ni.”
Dilla angguk. Betul. Punyalah ramai, tak sempat nak duduk
lama-lama. Naim pun sampai serak suara melayan tetamu yang datang.
“Naim, petang ni ada match, jom join.”
Mereka semua angkat muka.
Abid dengan Zachary.
“Wokeh, set.”
“Match apa? Bola sepak?”
Naim senyum. “Pingpong. Jomlah, kami main dekat garaj kereta
kuarters kami.”
Zachary melangut, memangku dagu di kaunter. Dia tenang
sebaik saja memandang Zarra. Hatinya bagai magnet, mahu melekap pada gadis itu.
Mahu terus berada dekat dan kian dekat.
‘Ni apa hal? Aku cucuk biji mata tu karang. Mata tu dahlah
cantik, huhuhu... kalah mata aku,’ leter Zarra dalam hati, kurang senang dengan
perlakuan lelaki itu.
“Zarra, datanglah. Nanti Zach masak sedap-sedap.”
Dilla tepuk tangan. Tang ada makan free tu yang seronok.
Zachary dengan Abid kan kitchen punya manusia, mesti makanan kaw-kaw punya.
“Korang nak masak apa?”
Abid jongket kening. “Maggi goreng. Mau?”
Ek elehhh... setakat Maggi goreng, dia pun boleh buat. “Buat
taik gigi.”
Zarra ketawa kecil. Banyak pulak songeh minah sorang ni.
“Zarra nak makan apa? Zach buatkan.”
‘Eh eh... tanya aku ke?’ “Buatlah apa-apa pun, asal sedap.”
“So, you gonna come?”
Hehehe... Soalan cepumas sungguh. “Insya-Allah, kalau ada
kelapangan.”
“I’ll wait,” tegas Zachary. Dia tajamkan renungan, dekatkan
wajah dengan Zarra.
‘Ah sudah... mamat ni, aku lepuk juga.’ “Zach, Zarra tak
janji.”
Zachary luruskan tubuh, ukir senyuman paling manis. “I’ll
wait.”
‘Hesy... Aku bersilat karang...’
“Excuse me. Korang ni nak bekerja ke nak berborak?” Merdunya
suara itu menghias suasana.
Ahhh... Dia dah datang.
Liyana membuka langkah. Di belakangnya, Izrin yang mencuka.
Elok sangatlah tu. Seorang macam itik, seorang macam ayam belanda. Dua-dua
perasan bagus. Jalan pun penuh gaya drastik, ingat depa model ke apa. Mahu
terjeluak Dilla dibuatnya.
“Kami tengah kerjalah ni. Kau tu, merayap sana sini, tak
buat kerja kat ofis ke?”
Izrin ketap bibir, jeling Liyana yang merah padam wajahnya.
“Kami nak pergi makan.”
Zarra diamkan diri. Tak berani nak masuk campur.
“Hai beautiful, nak lunch ke? Nak Zach temankan?”
Fuhhh... gilalah. Mana taknya, meleret senyum si Liyana.
Macam merak kembang ekor. Dia pandang Zachary yang tersenyum lebar.
“Zach... temankan Yana, jom.”
“Zach temankan sampai pintu je ya. Nanti makan sendiri.”
Mahu saja Zarra tergelak. Jahatnya mat salih celup tepung
ni. Boleh pula dia main-mainkan si Liyana macam tu sekali. Yang si Izrin pula,
dah macam babu. Ikut saja kata si Liyana. Hamba sahaya ke?
“You ni main-mainlah...” Liyana muncungkan bibir, redupkan
mata.
“Sorry babe, I dah habis syif. You makan je dengan
Izrin, okey. Lain kali I temankan sampai you jilat pinggan.”
Adehhh... nak ketawa, tapi Zarra tahan. Sempat dia jeling
Dilla yang terkemut-kemut menahan senyum. ‘Kau jangan gelak, Dilla. Mati kita
nanti.’
“Check out, please.”
Fuhhh... nasib baik ada tetamu. Pantas Zarra membalas
sapaan, melarikan diri dari situasi itu. Nasib baik sungguh.
“Zarra, Dilla. Don’t forget ya.”
Zarra dan Dilla angkat muka. Si Liyana pandang Zarra dengan
mata terbeliak. Heh, seram dia dibuatnya.
“Insya-Allah.”
“You all janji apa ni?” soal Liyana ingin tahu. Tak boleh
jadi ni. Dengan si Hisham pun si Zarra ni kenal, dengan Zachary jejaka pujaan
hotel ini pun si Zarra budak kampung tu nak rampas juga. Melampau.
“Kami ada solat berjemaah, lepas tu malam ni ada ceramah
sikit dekat masjid besar. Korang nak ikut?” soal Abid dengan serius.
Telan air liur si Liyana. Terkulat-kulat kejap.
“Ohhh... ingatkan apa. Sorry, I’m busy. Lain kali je.”
Haaa... memang. Kalau pergi masjid, baca Al-Quran ke, dengar
ceramah ke, busy aje kau kan? Cuba buat parti hari jadi sambil karaoke, maunya
penuh satu laman, kan?
“Ehhh... datanglah. Seronok.”
Liyana senyum-senyum, tarik tangan Izrin. “Okeylah, kami
jalan dulu. Laparlah.”
“Silakan, Cik Liyana. Hati-hati jalan tau,” usik Zachary.
“Thanks. See you again, Zach.”
“See ya.”
Bila saja dua manusia itu pergi, si Dilla sudah terduduk di
lantai marmar. Gelak sakan.
“Amboi... lembut gigi korang berdua ya. Mau pengsan aku
tengok korang berlakon. Zach, you are the best. Best actor.”
Lelaki itu menyeringai. Boyish, kasi gegar jantung saja.
“Well, I’m the man, right. Okay girls, see ya.”
See ya, see ya. Suka benor ayat tu.
“Zarra my sweet, keep your promise ya.”
Bila pula dia janji, mangkuk! Zarra angkat penumbuk.
ALHAMDULILLAH, SELESAI juga solatnya. Zarra lunjurkan kaki,
melepaskan lelah seketika. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia balik ke rumah,
jumpa mak dan nenek, tapi dia penat. Lagipun mak mesti marah kalau pagi-pagi
buta esok dia pergi kerja dari rumah. Minggu depanlah, bila dia syif petang.
Perutnya kembali berbunyi. Kena makan ni. Nanti malam belum
tentu dia nak mengisi perut. Lepas isyak biasanya dia dah lelap.
“La, bangunlah. Takkan kau nak membuta dalam surau ni?”
Dilla mengeluh panjang.
“La, jomlah makan. Lapar gila aku.”
Dilla buka mata. Tu pun separuh aje. Lawak sungguh.
“Kau pergi makan
dulu, aku mengantuk sangat ni.”
Zarra geleng kepala. “Yalah, nanti aku kejutkan kau. Tu, beg
tu, jaga baik-baik.”
Dilla angguk, kembali pejam mata.
Bila dia sampai, tak ramai tetamu yang ada di coffee-house.
“Zarra baru nak makan ke?”
Dia toleh, berikan senyuman.
“Ya, Mak Jan. Jomlah.”
Mak Jan geleng. “Puasa sunat hari ni. Zarra makanlah.”
Dia angguk. Nasi goreng dengan beef bacon pun sedap juga,
kan.
“Ni, kalau tak makan kat sini boleh tak? Menyemak aku
tengok. Nun, sana ada meja. Jauh dari guests.”
Aduhhh... dari mana pula si minah ni datang? Ingat tadi dah
hilang, ghaib.
Zarra pekakkan telinga. Perut dah lapar, datang hujan ribut
pun bukan dia kisah.
“Cik Liyana, saya rasa cara cakap Cik Liyana tu kurang
sopan. Tak kiralah kita dengan guests ke, dengan staf ke, ataupun dengan
sesiapa saja dalam kawasan hotel ni, semuanya kita kena hormat.”
Allah.
Hisham.
Kenapalah si Hisham ni pula yang datang? Perlukah dia
teruskan hajatnya? Zarra tarik nafas dalam-dalam. Tak apalah, nanti bila balik
ke kuarters, dia makan apa yang ada.
“Zarra nak pergi mana?” soal Hisham. Tiba-tiba saja Zarra
bangun, terkejut dia.
“Saya nak balik,
Encik Hisham. Syif saya dah tamat.”
Liyana senyum sumbing. Tak boleh jadi, dia kena beritahu
Kartini. Baik benar Hisham. Siap mahu temankan makan. Kalau ya pun sekampung,
takkan macam tu sekali?
“Ni Cik Liyana, jangan lupa laporkan pada Miss Tini. Awak
kan pemberita terbaik kat sini.”
Liyana telan liur, pandang wajah Hisham yang sinis
memandangnya.
Zarra tarik nafas, laju saja dia membuka langkah. ‘Aduhhh...
laparnya!’
PUDING ROTI dengan spageti Oglio Olio ada dua Tupperware.
Mahu saja dia lahap tapi dia malu.
“Zarra, makanlah. Sambil-sambil tengok kami main, korang
makan je. Banyak tu si Zach masak. Puding roti air tangan si Abid.”
Dilla sigung Zarra, Zarra sigung Dilla. Si Lili pula hanya
sengih-sengih.
Ida tiba-tiba bangun. Wajahnya keruh. “Weh, aku keluar
kejap. Ada hal.”
“Kau nak jumpa Halim ke?” soal Dilla keras.
Ida hentikan langkah, pandang wajah Dilla yang sedikit
marah.
“Kejap saja. Nanti aku balik.” Cepat-cepat dia pergi.
“La, kenapa kau marah sangat ni?”
Dilla mendengus. “Kami tak suka dia dengan Halim. Kalau Kak
Wanie, dia memang marah sangat Ida dengan Halim tu.”
“Apa masalahnya
dengan Halim? Aku tengok dia okey je.”
Dilla gelak sinis.
“Depan kita, memanglah pijak semut tak mati. Masalahnya,
tunang si Ida tu taik judi, taik dadah. Kami dah cakap, putuskan, tapi si Ida
ni degil. Lembut hati.”
Allah... macam tu ke?
“Kau ingat tak hari tu, masa dia datang dia cakap dia jatuh
bilik air? Mana ada! Halim yang pukul dia. Jantan tu mintak duit, Ida tak kasi.
Apa lagi, kenalah.”
Zachary angkat kening, pandang Naim dan Abid yang ternganga.
“Kenapa korang tak report polis?”
“Masalahnya, Ida yang tak kasi. Kata dia, kesian. Kesian,
kesian... diri sendiri tak kesian. Geram aku!”
Naim dan Abid angguk-angguk.
“Tak apa, nanti kita tengok macam mana. Kalau jantan tu buat
lagi, korang pergi balun dia ramai-ramai.”
Abid dan Naim gelak.
“Pastu, kami yang masuk lokap? Hah, eloklah tu.”
“Zarra, makan. Don’t be shy. Makan je.”
Dilla senyum simpul. Mahu tergelak dia dengan Zarra. Yalah,
perut dah menyanyi dari tadi tapi masih buat muka toya. Dia bangun, ambil
pinggan kertas.
“Kalau korang tak nak, biar aku makan.”
Zarra gelak kecil. Malu lapar, kan? Dia pandang Zachary,
Naim dan Abid yang ralit di meja pingpong. Dia menikmati makanan yang ada.
Rezeki jangan ditolak, bala jangan dicari.
“Assalamualaikum, buat apa? Meriah nampak.”
Allah.
Bala sudah datang.
Semua yang ada kelu seketika.
Zachary letakkan bat pingpong. “La... kau ke, Sham? Dari
mana? Jomlah join, makan-makan.”
Zarra jeling Hisham dan Zachary. Kawan baik ke manusia
berdua ni?
“Amboi, main pakai Sham je? Tak ada encik-encik dah?” soal
Lili hairan. Terkejut juga dia. Kalau Miss Kartini nampak, satu kuarters ni
kena soal siasat. Haru biru kau.
Bagus Lili, macam tau saja apa yang dia fikirkan. Zarra
sambung suapan. Lantaklah dengan Hisham, dia lapar.
“Luar waktu kerja, tak payahlah berencik dengan saya.”
Dilla dan Lili senyum-senyum. “Tak boleh, Encik Hisham.
Kalau si Zach and the geng ni tak apalah, kalau kami, tak boleh. Nanti makan
pelempang dengan Miss Bitchy.”
Hisham tergelak besar. Miss Bitchy? Aduh Tini, apa yang Tini
buat ya? Sambil tergelak, matanya sempat menyorot Zarra yang ralit menyambung
suap.
Kemudian dia duduk di sebelah Zarra, sejengkal jauhnya.
Hatinya bergetar sedikit.
‘Apa ni... aduhhh! Nak makan pun tak senang.’ Zarra
engsotkan punggung, berkalih menjauhkan diri.
“Kenapa panggil dia Miss Bitchy?” soal Hisham lembut,
pandang Dilla dan Lili yang terkulat-kulat senyumnya.
Dilla gigit bibir, pandang Lili yang merah padam mukanya.
“Maaf, Encik Hisham. Maaf.”
Hisham lipat lengan baju. “It’s okay. Saya hanya nak
tahu.”
“Encik Hisham tak marah kami panggil tunang Encik Hisham
macam tu?” soal Lili takut-takut.
Hisham terpempan. Mahu terlekat air liurnya. “Tunang? Bila
masa Miss Tini jadi tunang saya?” soalnya kembali. Dia jeling Zarra yang masih
tunggul di sisi.
Mereka semua saling berpandangan. “Liyana yang cakap.”
Ohhh... Liyana yang cakap. Kalau Liyana yang cakap, mesti
dari mulut Kartini juga, kan? Tini, Tini.
“She’s not my fiancĂ©e.”
Nganga semua mulut kat situ, kecuali si Zarra dan Zachary.
“Dia, dia tu just a...”
“Girlfriends?” tanya Dilla ingin tahu. Sayangnya. Hisham ni
nampak baik juga. Kalau Miss Bitchy tu betul girlfriend dia, memang malangnya
nasib.
Dia tarik nafas panjang-panjang. Zarra masih makan, buat
bodoh tanpa memandangnya. “Macam tulah kut.”
Dilla mengeluh kecil. Tak adilnya. Kenapalah mamat sekacak
Hisham ni dapat kat si Kartini yang hidung tinggi tu?
“Bertuah, Encik Hisham. Baguslah, Miss Tini tu anak orang
kaya, kena dengan Encik Hisham. Macam betik dibelah dua.”
Nasib baik tak tersembur spageti yang ada dekat dalam mulut
Zarra.
“Okeylah, jumpa korang lagi. Zarra, abang balik dulu.
Sampaikan salam abang pada mak dan nenek.”
‘Eeee... Aku tenyeh-tenyeh pinggan kertas ni karang!!! Abang
kepala lutut dia!’
BERPELUH JUGA dia. Ingat main pingpong tak keluar peluh ke?
Zachary buka baju. Panas sangat.
Ni lagi seorang. Nasib baik dia sempat telan minumannya. Ni
apa hal pula buka baju? Badan tu, entah apa nak cakap ya, cantik? Hesy...
“Macam mana kenal dengan si Sham?” soal Zachary yang melabuh
duduk di sebelahnya.
Pakai baju tu boleh tak? Mau juling biji mata dia. Si Dilla
dan Lili dah buntang biji mata. Ya ampun...
“Dulu duduk sebelah kampung...”
“Dululah? Sekarang?”
Zarra jongket bahu. “Tak tau. Dia dah pindah lama dah
rasanya.”
Zachary lunjurkan kaki. “Got some kind of history with him?”
Zarra geleng cepat-cepat. ‘Itu, biar aku saja yang tahu.’
Kemudian dia bangun, berikan senyum paling manis.
“Dilla, aku naik dulu. Zach, Abid, terima kasih. Semua
sedap. Marvelous!” Dia angkat dua ibu jari. Sepasang matanya menangkap mata
Zachary yang seakan-akan tersenyum. Pang karang.
“You are most welcome, sweetheart.”
Malas Zarra nak layan. Mulut tu, manis sangat. ‘Lap dengan
tudung aku baru tau.’
HISHAM BERTELEKU di sejadah. Dipandangnya sepasang tangan di
hadapannya. Tangan yang pernah melukakan hati seorang gadis sunti yang
dikenalinya dulu. Tangan yang melemparkan Zarra ke lubang paling hitam, paling
dalam. Bagaimana mahu dia betulkan semua kesilapan? Pulihkan semua kesakitan
yang dia telah berikan kepada Zarra?
“Sham, Tini call. Phone Sham habis bateri ke?” soal uminya
dari muka pintu.
Dia tepuk dahi. Aduh... terlupa lagi janjinya dengan
Kartini. “Nanti umi cakap dengan Tini, Sham call dia balik. Phone Sham dalam
kereta rasanya.”
Hajah Kalsom geleng kepala.
“Sham ni kenapa? Umi tengok lain macam je dua tiga hari ni?”
Hah, dahsyat betul penangan seorang ibu, kan? Boleh aje hidu
kalau ada apa-apa yang tak kena.
“Sham penat, mi. Duduk dalam aircond pun letih, mi. Letih
mental.”
“Dah kalau macam tu, tak payahlah kamu keluar malam ni.
Tidur awal, rehat.”
Dia bangun, sangkut sejadah pada tempatnya. “Tak boleh, mi.
Sham dah janji dengan Tini. Sham keluar kejap.”
Hajah Kalsom mengeluh kecil. “Ikut, Shamlah. Asal Sham
bahagia.” Daun pintu ditariknya kembali.
Bahagia? Aduh, umi...
ZARRA BUKA mata. Nasib baik dia tak menjerit. Dilla dan Lili
ada di depan mata. Muram.
“Apa hal korang ni?”
“Ida dah balik.”
Dia bingkas bangun, pandang jam pada dinding. Hampir satu
pagi. Satu pagi? Dia pandang Dilla dengan Lili yang juga separa mengantuk.
“Mana dia?”
“Dalam bilik, tak nak bukak pintu. Kami panggil dia banyak
kali, tapi tak bukak-bukak jugak.”
“Dia tidur kut,” tukas Zarra positif. Dia bangun juga,
betulkan urat.
“Zarra, jomlah. Jom jenguk si Ida tu,” ajak Dilla
sungguh-sungguh. Hatinya tak sedap, runsing dari petang tadi.
Zarra angguk, pelan-pelan jalan ke bilik Ida, bilik tengah.
Bilik utama, si Dilla dan Lili yang gunakan. Tombol pintu dipulasnya perlahan.
Memang tersekat, terkunci dari dalam. Dia toleh, lihat Dilla yang runsing, Lili
yang menguap panjang. Kali ini daun pintu diketuknya, kuat namun sopan.
“Ida? Kau ada kat dalam ke?” soalnya sedikit kuat. Daun
pintu itu diketuknya beberapa kali lagi.
“Memanglah dia, takkan hantu kut,” sampuk Lili. Tak pasal
makan cubit dengan Dilla.
“Kau jangan cabul boleh tak? Ni tengah malam lagi tau. Aku
cili budak ni karang...”
Lili sengih-sengih.
Zarra ketuk lagi, kuat dan berkali-kali. “Assalamualaikum...
Ida, kau ada kat dalam kan? Kau okey?”
“Aku okey, mengantuklah. Esoklah.”
Mereka bertiga diam, saling pandang-memandang.
“Esok ya, Ida. Kita buat projek baru ya, aku ambil
resipi puding roti karamel dengan Abid tadi. Esok balik
kerja kita buat ya.”
“Okey.” Hanya itu saja jawapannya dari dalam.
Dilla angkat tangan, mahu menyambung ketuk namun Zarra
sempat menghalang.
“Dah, esok saja. Jom, kita tidur. Esok kita tunggu dia
awal-awal pagi.”
“Puding?” soal Lili tiba-tiba.
Adehhh... kayunya budak ni.
“Li, ni pukul 1 pagi. Kau nak buat masa ni ke?”
Dilla bantai gelak. Memang kayu si Lili ni. Muka cute, otak
lurus sangat.
“Dah, tidur,” arah Zarra tegas.
“Aku nak solat isyak dulu. Tadi mengantuk sangat, terlupa,”
kata Dilla sambil tersengih-sengih.
Zarra geleng kepala. Samalah macam dia. Kalau dah mengantuk,
tengah mandi pun dia bantai tidur.
“Cepat. Alang-alang solat isyak, baik kau sambung tahajud.
Senaman pagi juga tu.”
Dilla angkat ibu jari, terus bergerak masuk ke dalam bilik.
LAJUNYA KERETA. Nasib baik dia dan Dilla tak tersungkur di
aspal. Pagi-pagi lagi mereka bersiap, melenggang ke hotel.
“Celaka punya betina. Kereta Axia pun nak menunjuk ke?
Lainlah kalau kau bawak Honda ke, Ferrari ke. Aku baling batu ni karang!” Dilla
mendengus, cekak pinggang umpama
mahu bersilat.
“Siapa tu, La?” tanya Zarra.
“Siapa lagi, Yana Barbie tulah. Boleh beli kereta pun kecoh.
Bawak pun macam samseng. Kalau aku ada kereta nanti, aku lenyek-lenyek dia jadi
lempeng!”
Tak menahan Zarra ketawa. “Macam manalah Allah nak bagi kau
beli kereta, niat tu dah serong, bengkang-bengkok.”
“Aku geram.”
Pon! Pon! Ni siapa pula. Uncle jual roti ke?
“Good morning, ladies,” sapa Yusri sambil menurunkan cermin
kereta. Tersengih dia pada pagi nan mulia.
“Good morning, Mr. Yus handsome!”
“Nak tumpang?”
Zarra geleng, Dilla angguk. “Terima kasih. Kami jalan saja,
En. Yus.” Lekas Zarra cubit Dilla. Mengaduh kuat gadis itu.
Tergelak Yusri. Dia tekan minyak perlahan-lahan sambil
lambaikan tangan.
“Tengok. Tu, GM. General Manager. Bawak kereta pun kereta
Honda tapi langsung tak macam si Yana tu. Adab sopan tu ada. Melayu macam
tulah. Kaya sikit daripada mat pit pun dah berlagak.”
Amboiii... marah benor ya si Dilla pagi ni? Zarra ambil
tangan Dilla, tepuk perlahan-lahan. “Kau kenapa marah-marah ni? Cuba cakap
dekat aku.”
Dilla kuis batu-batu kecil di hadapannya.
“Ida. Aku risau pasal Ida. Pagi ni pun dia tak bukak pintu.
Mesti ada yang tak kena.”
Zarra perlahankan langkah. Angin yang bertiup dari arah
pantai menggeser wajah. Dinginnya.
“Aku pun sama. Tak apalah, kita kan dah pesan dengan Lili.
Malam nanti kita jumpa, buat mesyuarat rumah.”
“Hah, good idea,” balas Dilla teruja.
“Hai, baru sampai ke?”
Mereka sama-sama menoleh.
“Dilla, adab sopan. Ingat.”
Adab sopan ya. Dia berikan satu senyuman paling lebar kepada
si Liyana yang senyum sinis pada mereka.
“Baru sampai. Kenapa, nak makan penampar?”
Aduhhh... baru aje Zarra pesan, adab sopan. Cepat-cepat dia
tarik tangan Dilla. Sebelum kena sembur dengan si Liyana, lebih baik angkat
kaki.
“Perempuan gila,” desis Liyana.
“Gila glamor tak sedar diri!” balas si Dilla pula.
Marvelous. Elok sangatlah tu.
“Dilla! Jom masuk kerja. Aku karate dua-dua karang,” ajak
Zarra tegas.
Dilla sengih, lambaikan tangan pada Liyana yang mencuka.
KARTINI HANYA diam. Liyana dari tadi tak berhenti-henti
bercerita. Pening juga kepala dia. Banyak sangat informasi.
“Ni, kau cakap pelan-pelan boleh tak? Rimas aku,” pinta
Kartini.
“Sorry, sorry... darling.”
Kartini hirup latte itu perlahan-lahan. Apa sebenarnya yang
Hisham mahukan dengan budak reception tu? Ya, dia akui, Zarra tu cantik, tapi
dia lagi cantik. Jauh lebih cantik. Nak dibandingkan dengan budak kampung hulu
mana tu, dia lebih segala-galanya.
“I rasa kan, diaorang ada skandal.” Liyana mula buat
spekulasi.
Hah! Nak makan pelempang si Liyana ni. Berani tuduh-tuduh
Hisham dia buat macam tu. Dia ambil tangan Liyana, genggam kuat-kuat.
“Kau berani tuduh tunang aku bukan-bukan, aku pecat kau,
faham?”
Terkulat-kulat juga si Liyana.
“Sorry, Miss Tini. Salah mata I kut.”
‘Salah mata, salah telinga, diri sendiri tak salah. Tonyoh
bulu mata palsu tu baru tau,’ leter Kartini dalam hati.
“Kau buat kerja baik-baik, Yana. Jangan sampaikan benda yang
tak pasti. I don’t like it.”
“Hai, dah lama sampai? Oh... Miss Liyana. Sampaikan berita
ke?” soal Hisham lalu duduk di sebelah Kartini yang mula tersenyum manja. Cekap
betul kerja si Liyana ni. Pantas.
“Selamat pagi, Encik Hisham. Miss Tini, kita jumpa lagi
nanti.”
Kartini anggukkan kepala lalu Liyana beredar pergi.
“Banyak berita you dapat hari ni? Berapa bakul?” tanya
Hisham.
Kartini muncungkan bibir. Dia ambil tangan lelaki itu,
pegang dan usap perlahan-lahan.
“Tini, behave. Malulah kalau orang tengok. Kita bukan
husband and wife...” Perlahan Hisham tarik tangannya.
Kali ini Kartini mendengus kecil.
“Jadi betullah you ada affair dengan budak kampung you tu,
Sham?”
‘Aduhai... terus kena bambu.’ Dia pandang Kartini yang kian
masam wajahnya.
“Kalau ada, you nak buat apa? Pecat I?” soalnya mahu
menduga.
“I pecat dia. Biar merempat.”
Hahaha... Hisham mahu tergelak. Kalaulah Kartini tahu apa
kelulusan Zarra, mahu dia malu sendiri. Betul, mereka belajar di luar negara,
tapi setakat degree sajalah.
Zarra? Zarra siap ada master lagi. Memang Zarra anak kampung
macam dia, tapi Zarra sebenarnya lebih hebat daripada dia dan Kartini.
“Takkanlah macam tu sekali... Tak baik, Tini.”
“Sekarang ni, I nak tahu, betul ke you ada affair dengan
budak tu?” soal Kartini kian tegas.
Huh, betul cakap abang iparnya. Perempuan, kalau dah datang
angin, lingkup segala dunia.
“Tak. Dia sekampung, family dia pun kenal family I, Tini.
Dah kenal, takkan I nak buat-buat tak kenal, nak menyombong. Nanti kalau umi I
tahu, mesti dia marah.”
Memang pun. Kalau uminya tahu, hari ni juga Hisham kena
terajang. Uminya memang lemah lembut, tapi kalau dah naik angin, jubah dia pun
boleh bertukar jadi seluar. Jangan dibuat main-main.
Kartini menjeling Hisham yang tenang dan senyum.
“Fine, Tini percayakan Sham.”
Hisham sandarkan badan. Mata mereka bertentang beberapa
ketika. “Kalau macam tu, baguslah. Sham nak
Maya Adira
makan. Kalau Tini nak bersoal jawab lagi, hah, tanya sekarang.
Nanti hilang selera nak melahap.”
Kartini pegang lengan Hisham, wajahnya dilembutkan lalu
tersenyum manis.
“Alaa... I’m sorry, sayang. You makan ya, I temankan. I love
you so much, Sham.”
Hisham senyum. Tawar dan hambar.
‘Zarra, bila lagi kita dapat bicara?’ bisik hati lelaki itu.
SENGAJA DIA jalan perlahan-lahan. Selesai taklimat ringkas
tadi, sengaja dia turun ke lobi hotel. Sesekali dia menegur dan berbual-bual
dengan para tetamu hotel yang datang dan lalu-lalang. Ekor matanya melirik pada
Zarra yang ralit menjalankan tugas di kaunter resepsi.
“Hai Mr. Hisham, turun padang hari ni?” Garau suara itu
menegurnya. Zachary rupa-rupanya.
Hisham tersenyum lebar. “Sekali sekala bagus juga. Taklah
terperuk macam patung hiasan kat dalam ofis sana. Ramai guests minggu ni ya,
Zach.”
“Memang ramai. Rombongan dari Singapore. Dua dewan kita pun
full untuk seminar. Jomlah ke coffee-house, minggu ni minggu English bakery dan
Sarawak In The House,” ajak Zachary.
‘Okey juga,’ fikir Hisham.
“Jangan jeling-jeling sangat, Zarra I punya tau,” usik
Zachary dengan senyuman.
Hati Hisham terhenti seketika. Pantas dia menoleh
pada Zarra yang langsung tidak sedar akan kehadirannya di
situ.
“Really?” soal Hisham separa serius.
“Wow! Do you really care, Mr. Hisham? You suka dia ke?”
jolok Zachary lagi.
Hisham ketawa. ‘Kena main aku rupa-rupanya.’ “Kalau suka,
apalah salahnya kan? She’s not taken, is she?”
Kali ini Zachary ketawa, tepuk belakang Hisham berkali-kali.
“But she will be, someday. Who knows?”
Hisham angguk. Ya, miliknya. Akan jadi miliknya suatu hari
nanti.
PERGI PUN.
Penat Zarra berlakon macam tak nampak. Kenapa? Kenapa
jantungnya berdegup hebat bila Hisham memandang ke arahnya?
‘Hei hati, kau dah lupa, yang kau benci dia? Tolong ingatkan
aku, faham?’
No comments:
Post a Comment