Wednesday, 22 February 2017

Seribu Rindu - Bab 9



“KAU jangan main-main, Izrin... Aku sepak muka kau tu nanti.”
Izrin garu pipi, pandang kiri kanan. “Nak cakap betul, aku pun cuma dengar atas angin. Tapi memang ada yang cakap-cakap, si EX5 tu makwe baru Encik Hisham.”
Terbeliak mata Liyana. Mana mungkin. Mana mungkin Zarra buah hati Hisham. Takkan Hisham mahu tinggalkan Kartini yang serba ada, serba cantik, serba lengkap? Orang bodoh saja yang buat macam tu.
“Kau kan, memang tak boleh diharap. Aku suruh pasang telinga, bukan reka cerita, mangkuk.”
Izrin helakan nafas. Memang dia buka telinga, buka mata. Hasilnya, itulah yang dia dapat. “Weh, kalau tak ada angin, manakan bergoyang pokoknya Yana oiii...”
Wajah Izrin dipandangnya. “Maksud kau?”
Bebal juga minah ni. Ingatkan belajar masuk universiti otak genius tujuh lapis, rupanya karat kebodohan
tu ada lagi.
“Maksudnya, kalau benda tak ada, takkan ada cerita. Mesti ada puncanya, sebab tu ada angin yang bawa cerita tu datang. Faham?”
Liyana pangku dagu. Biar betul? Takkanlah. Tak mungkin.
“Ni, kau siasat benda ni betul-betul. Aku tak nak sampaikan cerita yang tak berpaksi, nanti ada Miss Tini tu bambu aku. Tak pasal-pasal makan maki.”
Izrin bangun, jongket ibu jari. “Aku tahulah. Tu, jejaka pujaan dunia ada kat situ. Pergilah,” usiknya sambil muncungkan mulut.
Cepat-cepat Liyana bangun, betulkan baju dan senyuman.
“Dia aku punya, faham?”
Izrin gelak, geleng kepala. “Beranganlah kau. Dia punya makwe, keliling bangunan tau.”
Liyana mendengus. Peduli apa dia. Makwe lain, dia bakal suri, bakal isteri. Kena faham tu. Cepat-cepat dia melangkah, bimbang Zachary hilang dari pandangan.
“Hai you, busy ke?”
Zachary hadiahkan senyuman. “Busy tidak, lapang pun tidak. Yana dari mana? Lunch?”
Liyana angguk. “Yalah, kesian kita lunch sorang-sorang. Tak temankan Yana pun...” Dia layukan mata, juihkan bibir.
Ketawa Zachary melihatnya. Dilipatnya lengan baju, tanda sedia mulakan kerja.
“Sorang apanya? Penuh je coffee-house ni I tengok.”
Isy... tak faham ke apa yang dia cakap? Liyana
muncungkan bibir. “Memanglah ramai, tapi yang semeja dengan Yana mana ada. Nak tunggu Zach, sampai kiamat tak dapat kut. Hot guylah katakan...”
Sengaja dia rendahkan nada, berlagu sayu.
Ketawa besar lelaki itu. Aduhhh... kacaknya. Kalau bukan kerana dia wanita sofistikated, dia peluk saja Zachary.
“Kalau dah tahu, tak payahlah Yana tunggu. My seat is only for my girl.”
“Me?” soalnya teruja.
Zachary pamerkan gigi. “When it comes to matters of the heart, a bit of soul searching is required. Understand?”
Liyana senyum lebar. “Of course. I harap it’s gonna be me.” Dia pandang Zachary dengan renungan paling lembut.
Lelaki itu angkat ibu jari. “Okey Miss Yana, I nak sambung kerja dulu. Have a good day ahead!” Zachary lambaikan tangan, tinggalkan Liyana yang masih tersenyum memandangnya. Hahaha... Ya ampun, mohon jauhkan dia daripada gadis itu.
BERDENTING BUNYI tumit kasut itu menghentak lantai marmar. Langkahnya stabil dan penuh gaya. Dress biru polos itu dia gayakan dengan sepasang tumit tinggi putih. Kaca mata hitam jenama Coach juga masih terletak cantik. Dia leretkan senyuman.
“Good morning, Miss Tini.”
Kartini hanya senyum, teruskan langkah. Well, dia terlalu sibuk untuk berhenti. Masa baginya terlalu bernilai untuk dia luangkan pada manusia yang tidak penting.
Hisham.
Hanya Hisham yang ada dalam diari hidupnya. Sudah lima hari pertemuan antara mereka berdua berlalu. Jadi, hari ni, dia datang ke sini. Apa salahnya, sesiapa pun boleh datang ke sini, bukan? Lebih-lebih lagi, dia anak Tengku Adnan.
Punat lif ditekannya. Bila pintu itu dibuka, dia terkaku seketika.
“Tini?” Wajah lelaki di hadapan Kartini itu nyata terkejut.
Kartini lemparkan senyuman. Memang sudah jodohnya dengan Hisham.
“Hai. Breakfast jom,” pelawanya riang.
Hisham terkedu.
“Please... for old time’s sake...”
Hisham lepaskan nafas. “Okey, Tini jalan dulu. Sham ke restroom kejap.”
Hatinya melonjak riang namun dia menahan senyum. “Okey, Tini tunggu ya.”
Dia berlalu pergi, melangkah penuh elegan. Huh, dia kan Kartini. Siapa mampu menolak, kan?
Tini datang. Abang cuma temankan dia sarapan. Zarra jangan salah faham ya. Antara kami dah tak ada apa-apa hubungan. Miss you so much.
ZARRA JELIRKAN lidah pada telefon pintarnya. ‘Weekkk...
macam aku kisah.’ Dia sambung kerjanya yang terbantut sebentar tadi. Telefonnya berbunyi lagi.
Miss you so much. Nanti jumpa, ya.
Eee... sibuklah. Zarra letakkan kembali telefon pintar itu ke dalam poket. Namun ada senyuman terukir di bibirnya. ‘Gila. Aku dah sewel ke?’
HANYA DIAM yang mampu berkata-kata. Hisham teguk kopi perlahan-lahan. Lambat sahaja rasanya waktu berjalan.
“You tak nak breakfast sekali ke?” tanya Kartini lembut. Matanya menyorot Hisham yang diam dari tadi.
Geleng. “Sham dah sarapan kat rumah. Umi tanakkan pulut dengan daging masin.”
Kartini senyum, sambung suap sedikit roti bakar ke mulut. Jus jambu batu itu diteguknya beberapa kali.
“Mesti sedap, kan? Bila you nak ajak I dinner kat rumah you, jumpa family you?”
Hisham terkedu seketika. “Tini...”
Kartini senyum senget. “As a friend, salah ke?”
Lelaki itu garu kepala, geleng. Tiba-tiba telefon pintarnya bergetar.
Tak kisah. Datinglah sampai kiamat.
Tersenyum dia. Kata tak kisah, tapi kenapa balas WhatsAppnya? Hisham sembunyikan senyum.
“Who is that?” soal Kartini ingin tahu. Dia nampak 
kilas senyuman Hisham sebentar tadi.
“Somebody. Kerja. Kenapa?”
“Nothing. Manalah tahu, new girlfriend you ke...” Sengaja dia mengumpan. Mahu dia mendengar jawapan Hisham.
Huh, boleh ke dia jawab dengan jujur? Hisham ketuk jari pada meja. “Yup. My new girlfriend.”
Kartini lap mulut, teguk jus sehingga habis. “Fine. I’ll let you play with her in these two months. Lepas tu, you know whatlah kan...”
Perlahan Hisham bangun, seluk tangan ke dalam poket. ‘Tini, bilalah kau nak faham ya...’
“Sham jalan dulu. Enjoy your day.”
Kartini gigit bibir, senyum sendiri.
‘Pergilah, terbang sebebas mungkin. Suatu hari nanti, kau akan kembali pada aku. I can promise you that,’ tekadnya.
TENGAH PENAT, bila makan memang best. Nasi sejuk dengan kicap pun sedap, inikan nasi goreng daging masin. Lagi kick. Dua tiga suap dia makan sekali gus. Lapar, nak buat macam mana. Kalau Puan Aini ada, mesti emaknya itu cakap dia tak layak jadi menantu sesiapa. Hahaha... tengok betislah, mak. Tak perlu berlakon bagai, jadi diri sendiri. Kalau betul orang sukakan kita, dia terima kita seadanya, kan? Gila, dia tanya siapa ni? Tanya nasi goreng? Zarra sambung suap senyum sendiri.
“Sedap? Kalau sedap, abang nak sikit.”
Zarra angkat muka sambil nganga. Bila pula Hisham ada tercatuk kat depan dia ni?
“Tadi dah breakfast dengan mata air kan?” Matanya mengecil melihat Hisham yang tersandar pada kerusi. Buat apa datang ke sini? Nanti tak pasal-pasal jadi bahan gosip, idea mengumpat.
Zarra tutup Tupperware. Nantilah sambung makan.
“Eh, Zarra nak pergi mana?”
“Berak. Nak ikut?” Sibuk saja. Nak duduk situ kan? Duduklah diam-diam.
Hisham tutup mulut tahan ketawa lepas mendengar jawapan itu. Dia geleng kepala perlahan-lahan. Kalau umi dengar jawapan bakal menantunya tadi, nescaya sakit jantung juga gamaknya.
“Pergilah. Abang habiskan nasi goreng ni ya.” Dia buka Tupperware lalu ambil sudu yang digunakan Zarra tadi.
Ya Rabbi... memang cari pasal betul jantan ni. “Oi! Tu mak kita buat bekal untuk kita pagi tadi tau. Nak makan, buat sendirilah...”
“Tadi cakap nak ‘melabur’, pergilah.”
Zarra menjeling geram. ‘Aku seligi juga dia ni.’
“Jangan makan habis, saman karang. Faham?”
Wanie yang baru selesai solat tergelak melihatnya. Jadi memang betul Encik Hisham dengan Zarra ni ada ‘something’. Mahu dia ketawa kuat-kuat tengok gelagat si Zarra yang naik angin. Yang Encik Hisham pula cool saja. Tahan pula telinga dia kena bambu dengan Zarra.
“Assalamualaikum, selamat tengah hari, Encik Hisham.”
Hisham menyeringai. “Waalaikummussalam, Wanie. Janganlah macam tu, panggil saya Sham saja.”
Hahaha... Nak mati? Tahu dek Miss Tini, mampus dia kena pecat on the spot. Tapi, sekarang ni Miss Tini tak ada kan, jadi apa salahnya. Berani ke dia?
“Zarra, cakap tadi lapar kemain, tu nak gi mana tu?” tanyanya hairan. Nasi goreng di dalam Tupperware itu masih banyak lagi.
“Dia nak pergi ber...”
“Buat airlah. Sibuk je.” Cepat saja Zarra potong cakap. Karang mug di tangan ni ada yang makan orang. Dia tuangkan peket Nescafe Caramel Latte ke dalam mug.
“Nah, minum cepat. Lepas tu blah!” kata Zarra tegas. ‘Dahlah tibai nasi goreng aku, pastu menyibuk pulak kat sini. Kalau spy Kartini nampak nanti macam mana, tak ke susah?’
Sayang juga kat dia ya. Kalau tak, takkan siap bancuh air. Hisham berdeham kecil, hirup air itu perlahan-lahan. Dia senyum lebar. “Panas. Mana boleh minum laju-laju. Abang tunggu sejuk, abang pergilah.”
Banyaknya alasan... adoi...
Zarra bangun, senyum lagi lebar dari tadi. Diambilnya mug itu lalu dibawa ke pantri. Panas ya, tunggu kejap. Dia buka peti sejuk, kaut air batu lalu diletakkan ke dalam mug. Kemudian berlenggang dia berjalan sambil tersenyum-senyum.
Wanie yang dilihatnya mahu ketawa, dijelingnya sampai diam. ‘Ketawalah, aku curah air ni karang.’
“Ni Encik Hisham, dah sejuk. Minum cepat-cepat, nanti jangan lupa berambus. Pergi. Blah.”
Hisham tutup mulut. Kalau dia menjawab karang ada yang makan lantai. Dialah, siapa lagi. Mug itu diangkatnya lalu dibawa ke mulut. Sedikit demi sedikit dia menghirup. Perlahan lalu dihabiskan sekali gus.
“Okey, terima kasih. Nanti abang datang lagi. Sedap 
air Zarra buatkan untuk abang. Esok buat lagi ya.”
“Esok cuti. Jangan datang sini.”
“Cuti? Bagus tu. Kita pergi jalan-jalan nak?” soal Hisham dengan senyuman.
Laaa... dia ni memang memerang betul.
“Tak kuasa. Baik tidur lagi banyak faedah.”
Hisham bangun, dekatkan diri dengan Zarra yang masih berdiri. Bersebelahan namun cukup hampir.
Wanie tutup mulutnya yang ternganga luas. Mak Jan dan Nani juga nganga.
Hisham tunduk, dekatkan bibir pada telinga di sebalik tudung. “Abang rindu Zarra. Bye.” Kemudian dia berlalu, berjalan sambil senyum lebar kepada semua yang ada di situ. ‘Hai hati, aku mahu menari!’ soraknya dalam hati.
Zarra? Masih kaku berdiri dengan jantung yang masih berdegup laju. Bibir yang diketap kuat buat dia buka mata.
‘Mak!!! Zarra dah naik gila!’ jeritnya dalam hati.
DILLA KETAWA sambil tepuk-tepuk lutut. Melampaulah tu. Lili pula berkerut-kerut kening memandang dia. Zarra urut dahi. Sakit hatinya masih belum hilang, tambah pula dengan gelak kejam si Dilla.
“Habis tu, kau buat apa, kau tampar dahi dia tak?”
“Kau gila, nak aku kena pecat?”
Dilla masih lagi ketawa. Aduhai... makan hati goreng kicaplah Miss Bitchy. Paling best, si Zarra ni yang lagi power.
 “Takkan dia pecat. Kalau kau kena pecat pun, kau dapat job baru. Lumayan gitu,” balas Dilla serius.
Berkerut dahinya. “Kerja apa?”
Dilla senyum. “Jadi mem. Jadi bini dia.”
Dilemparnya bantal ke arah Dilla. Kurang ajar!
“Hah! Diam. Kalau diam tandanya setuju weh...”
“Aku diam sebab aku kentutlah...”
Dilla bantai gelak lagi. Zarra bangun, geleng kepala. Sakit hatinya kian bertambah. Tak guna punya kawan. Masuk ke bilik, dia terus baring di katil.
“Kak Zarra...”
Lili. Dia tongkat bahu, tepuk tilam minta Lili baring di sebelahnya.
“Kak Zarra serius ke dengan Encik Hisham tu?” soalnya dengan pandangan yang penuh tanda tanya.
Zarra kerlipkan mata. “Kenapa, Lili suka dia eh?”
Lili gelak sambil geleng. “Kalau serius, adalah yang patah hati nanti. Kesian dia.”
Buntang seketika biji mata. Siapa lagi yang cukup gila berkenan kepada Zarra?
“Siapa yang bodoh sangat tu?”
Lili ketawa, peluk Zarra erat-erat. “Rahsia.” Dia bangun, cubit pipi Zarra kuat-kuat. “S.E.C.R.E.T”
Pirahhh... kalau rahsia pun bukan dia hairan. Zarra pejamkan mata, berlayar tanpa sedar ke alam mimpi paling indah.
CEPAT-CEPAT dia menyorok di balik tiang yang besar itu. Liyana tahan nafas, mengintai dalam diam. Perlahan dia menarik telefon pintar miliknya keluar. Be careful, Yana. Ini mungkin peluang yang kau nanti-nantikan.
“Zarra habis syif lagi sejam kan? Ikut abang kejap,” pinta Hisham kepada Zarra yang berdiri di hadapannya.
Zarra pandang kiri kanan. “Pergi mana?”
“Adalah. Ikut abang kejap... Boleh?”
Zarra tarik nafas. Kalau cakap tak boleh pun, bukannya Hisham faham. Kadang-kadang dia fikir lelaki di hadapannya ini tuli agaknya. “Sekejap tu lama mana?”
Hisham buat-buat tengok jam, tersenyum nakal. “Selamanya?” jawabnya sambil sengih.
Ni yang dia malas ni. Zarra buka langkah. ‘Aku tanya betul-betul, jawab main-main. Berdirilah kat situ sampai malam.’
Disambarnya tangan Zarra lalu ditariknya lembut.
‘Wehhh! Apa pegang-pegang orang ni? Nak neraka free-free ke hoi?’ Disentap tangannya namun genggaman Hisham kian erat.
“Abang, nanti orang nampaklah. Lepaslah...” pintanya. Zarra telan liur. Nasib baik laluan itu jauh dari pandangan, kalau tidak matilah dia.
“Kalau Zarra setuju, abang lepas. Kalau tak, abang pegang Zarra, heret Zarra sana sini, mau?”
Apa? Ingat dia orang tawanan ke?
“Yalah, Zarra ikut. Lepaslah. Nak makan penumbuk? Mau?”
Hisham ketawa, lepaskan genggaman. “Kalau Zarra tumbuk, abang pegang tangan Zarra sampai balik. Mau?”
Isy... malasnya dia nak melayan lelaki ni. “Zarra banyak kerja. Kita bukan bos macam awak. Dah, tepi.”
Langkahnya dibuka ke tepi, memberi laluan pada Zarra yang menyinga. “Miss you so much. Tunggu abang nanti.”
Jalannya terus sahaja. Zarra dengar tapi dia malas mahu menoleh. Bukan apa, hatinya terlalu berbunga. Aduhai... memang sah dia sudah gila. Sewel. Hilang akal!
Sementara itu, di balik tiang, Liyana tahan nafas. Dia diamkan diri. Perlahan dia menjenguk. Tiada. Zarra mahupun Hisham sudah berlalu. Dia senyum sinis. Jadi benarlah. Benarlah kata angin, rupanya pokok yang dikatakan itu memang bergoyang.
Good job, Yana. Well, sorry, Miss Tini. Nampaknya dia sendiri kena sampaikan berita ini. Dia mahu melihat rupa Kartini nanti. Liyana senyum lagi, ketawa kecil lalu berjalan pergi.
“APA YANG penting sangat sampai tiba-tiba call I ni? Better be good news, kalau tak...”
Hahaha... Liyana ketawa dalam hati. ‘Good news. Good news kepala lutut kau.’ Tak sabar dia mahu lihat rupa Kartini nanti, namun dia keruhkan wajah. Nak hidup, kena pandai berlakon. Kalau tak, jadilah katak bawah tempurung sampai bila-bila. Dia mahu jadi rama-rama. Cantik, jadi pujaan.
“Kau ni kenapa, senyum sorang-sorang? Cakap ada hal penting, cepatlah,” desak Kartini kurang sabar. Tergesa-gesa dia ke kafe itu. Baru saja berkira-kira mahu ke spa untuk manjakan diri. Kalau benda kecil, dia tonyoh 218
kepala Liyana. Jangan ingat dia tak berani buat.
“Miss Tini, calm down. I takkan panggil you kalau hal tak penting, cuma I rasa you kena get ready.”
Kartini silangkan kaki, kecilkan mata. “Ready for what?”
Liyana hulurkan telefonnya, mainkan video itu di hadapan Kartini.
“Ready for this.”
‘DAMN. DAMN, damn! Damn that bitch! Perempuan kampung tak sedar diri.’ Pedal minyak ditekannya kuat. Berdesup kereta itu membelah jalan, meninggalkan debu yang berterbangan. Jalan ini dianggapnya umpama Zarra, dilenyeknya sampai lumat.
‘Sial kau! Rupanya kau yang menggoda Hisham dalam diam. Muka macam perempuan suci. Puiii! Ini Kartini. Kau mahu kenal siapa Kartini? Well, wait and see.’
‘DARI TADI senyum je. Sepak muka tu karang.’ Zarra tongkat kepala, pandang ke luar tingkap. Tadi dia dah tanya, mana destinasi mereka, tapi Hisham hanya diam, senyum-senyum. Dia dongak, pandang langit yang membiru bak hamparan lautan di udara. Cantik dan tenang. Sesekali angin meraba pipi dan tudung, buat dia tersenyum kegelian.
Kereta itu dirasakan kian perlahan, memasuki kawasan berpagar yang cantik dengan laman yang luas. Zarra
betulkan tudung, pandang Hisham yang memandangnya.
“Kita dah sampai.”
‘Yalah, kalau tak masakan kau matikan enjin kereta, berhenti kat sini,’ omelnya dalam hati. Rumah siapa ni? Ini bukan rumah ya. Banglo. Tak pun vila. Besarnya. Buat dia rasa kerdil. Zarra perlahan keluar dari perut kereta.
“Umi nak jumpa Zarra.”
Allah... terhenti jantungnya seketika. Serasa darah menyerbu ke muka. Kaku dia terpasak kaki di situ, tak mampu dia mahu melangkah. Betulkah keputusan yang dibuatnya hari ini? Zarra pejamkan mata, cuba mencari kekuatan.
“Zarra!”
Terbuka kelopak matanya. Tubuhnya dipeluk erat tanpa sempat dia berkata-kata. Kaku dia. Hangat pelukan itu buat dia sedikit hiba. Bibirnya digigit kuat, menahan sebak yang tiba-tiba datang membuak.
Hajah Kalsom sapu air mata. “Jom masuk. Mak cik dah masak siap-siap. Makan dulu, nanti kita sembang. Mak dan nenek sihat? Lain kali ajak mak dan nenek sekali. Kamulah Sham, lain kali bawa mereka semua sekali. Banyak mak cik masak tu, entahkan habis atau tidak...”
“Umi... umi... tarik nafas, berhenti bercakap. Jom masuk dalam. Zarra, jom makan, abang lapar.”
“Amboi, abang apanya... Bila kamu kahwin dengan dia? Jom Zarra, kita masuk. Abi pun ada kat dalam. Kak Ina dengan Hafdi tak balik. Hisham ajelah yang ada. Malang nasib kamu.”
Aduh... sedapnya uminya mengata dia. Hisham tolak daun pintu. Abinya ada di muka pintu, jongket-jongket kening sambil senyum nakal. “Sukalah tu umi kamu. Malam ni bolehlah abi tidur lena.”
Hisham ketawa lalu toleh ke belakang. Entah apa
yang umi bebelkan, namun dia pasti, umi gembira. Dia? Dia rasa mahu terbang.
“TAK PAYAH susah-susah, Zarra. Tinggalkan je kat dalam singki, biar si Hisham saja yang basuh.”
‘Ai, aku pulak yang kena. Ini sudah lebih, umi. Kalau ya pun seronok, biarlah Zarra buat. Latihan untuk jadi isteri dan menantu yang baik tu. Apasal pulak aku. Mana macho jantan basuh pinggan. Basuh kereta lainlah.’ Berkerut dahi Hisham mendengar arahan Hajah Kalsom tadi.
“Tak apa, mak cik dah penat masak, biar Zarra tolong yang mana patut.” Zarra teruskan membasuh. Hatinya kian gementar, kalau boleh, dia mahu terus pulang.
“Jangan, mari duduk. Mak cik ada perkara nak cakap dengan Zarra. Tolong... sekejap saja.” Hajah Kalsom kuit Zarra, tarik kerusi di sebelahnya. Sudah lama dia menunggu saat ini, setiap masa dia mimpikan pertemuan ini.
Berhati-hati Zarra duduk. Hisham juga. Abi dilihatnya perlahan berlalu ke ruang tamu dengan senyuman penuh makna.
“Ampunkan Hisham ya, Zarra. Apa yang Hisham buat pada Zarra dulu, memang buat jantung mak cik dan pak cik kamu bagai disiat-siat. Kalau ikutkan hati pak cik kamu, dia pancung Hisham masa tu, campak dalam sungai. Kamu... kamu yang menanggung derita. Kamu langsung tak bersuara pada orang lain, lapor pada polis. Kamu tanggung semuanya sendiri. Ya Allah... ampunkan Hisham... Ampunkan kami semua, Zarra...”
Air mata Zarra tumpah jua. Sudah dia rasakan hal ini akan timbul namun dia masih teguh pada mulanya. Wajah
mendung Hisham, riak kesal Hajah Kalsom buat matanya berbalam-balam.
“Abang tak layak untuk keampunan, untuk kemaafan Zarra... tapi tolong, tolong maafkan abang. Maafkan kami sekeluarga. Abang janji, abang buat yang terbaik untuk Zarra.”
Zarra masih lagi menangis, tak mampu berkata-kata. Runtuh rasanya topeng keberanian yang sentiasa dia pakai selama ini. Dia sudah berjanji dengan dirinya, dia tidak mahu menangis kerana peristiwa itu namun hari ini, dia gagal. Kerana Hisham, kerana bencinya kian luntur, mengalir pergi entah ke mana.
“Zarra... izinkan Hisham memperisteri Zarra, muliakan Zarra sepanjang hidup, hingga ke akhir hayat...” Tersekat-sekat kata-kata orang tua itu. Butir percakapannya bergilir sebak. Mahukah Zarra?
Zarra sapu pipi, sapu hidung. “Zarra tak layak, mak cik...”
Hisham geleng, renungannya tajam dan berkaca-kaca. “Abang yang tak layak untuk Zarra. Abang yang hina, yang jijik, abang tak layak untuk Zarra. Berikan abang peluang, Zarra. Berikan abang peluang untuk tebus segala kesilapan.”
Zarra menutup mulut, membiarkan air matanya mengalir dan mengalir lagi. Merenung sepasang tangan yang menggeletar dikocak emosi. Perlahan dia mengangkat wajah, menentang mata Hisham yang turut berkaca-kaca. Wajah itu, tulus dan penuh kesal. Bibirnya diketap beberapa kali. Tangannya masih diramas Hajah Kalsom yang juga masih dalam sendu yang perlahan.
Hisham pandang, renung jauh ke dalam mata itu. Masih mengharapkan jawapan.
Sementara itu, bibir Zarra bergetar dalam sebak,
dalam seribu rasa yang bercampur baur. Perlahan namun nyata. Dia angguk, Sekali, dua kali.
Dadanya mahu meletup, namun Hisham sempat menarik nafas. “Zarra benar-benar sudi?” soalnya dalam suara yang sedikit garau.
Angguk sekali lagi.
Allahuakbar.
Hisham pegang dada, senyum dalam air mata lelaki yang setitis jatuh ke lantai.
‘Allah, Kau satukanlah kami selamanya,’ pintanya.
TIADA KATA yang mampu mereka berdua tuturkan. Bintang sudah mula menjenguk, bersinar malu dari kejauhan. Kereta itu meluncur tanpa halangan.
“Terima kasih.”
Zarra perlahan panggungkan kepala, lirikkan mata pada Hisham yang tersengih.
“Hmmm...”
Alahai... hmmm sajakah? Hisham ketawa, capai tangan Zarra lalu bawa ke dada.
“Oit! Mana boleh pegang-pegang. Masuk neraka, mau?” marah Zarra separuh hati namun dia tahu jantungnya sedang bergoncang.
Aduhhh... soalan itu lagi. Hisham sengih. “Lepas kahwin nanti, abang pegang Zarra sampai lebam,” ugutnya separa serius.
Zarra jelirkan lidah. Elehhh... ingat dia takut ke?
Masuk ke pekarangan kuarters, kereta itu berhenti perlahan-lahan.
“I’ll miss you.”
Zarra angkat penumbuk namun senyum lebar dalam hati.
Hisham gelak lalu tolak gear. ‘Selamat malam, sayang. Esok ketemu lagi.’
Kereta itu meluncur lalu menghilang dalam pekat malam.
“Dating ke?”
Opocot mak kau! Nasib baik dia tak tumbang di kaki lima ini. Zarra angkat penumbuk, kali ini pada Zachary yang tercatuk di bangku bawah pokok. Buat apa malam-malam kat bawah pokok? Bertapa ke? Malam tempoh hari pun dia ada jumpa Zachary macam ni.
“Ya. Ingat you sorang ke pandai dating, Mr. Zachary...”
Zachary lemparkan senyuman, menampakkan barisan gigi yang putih dan teratur. ‘Aduhai... handsomenya mamat ni. Bertuahlah siapa jadi isterinya nanti,’ puji Zarra dalam hati.
Zarra duduk di bangku, lunjurkan kaki yang mulai lenguh.
“Seriously, are you two a couple?” soalnya dalam balam cahaya lampu jalan. Wajah Zarra yang tersenyum malu menyentak jantungnya. ‘Kau gembirakah, sweetie pie?’
“Kenapa, jealous yaaa...”
Zachary ketawa, sembunyikan pedih yang tiba-tiba datang menjalar di dalam dada. Bodohnya dia. Dia boleh pilih siapa saja yang dia mahu. Ramai gadis yang terkejar-kejarkan dirinya namun dia sudah jadi buta. Dia hanya nampak gadis ini. Zarra. Dia hanya nampak Zarra.
Zachary pejamkan mata, tarik nafas dalam-dalam.
“Dia serius atau main-main?” Hah! Entah kenapa dia bertanyakan soalan yang begitu.
Zarra ketawa. “You ni macam abang yang Zarra tak pernah ada. Bagus tu...”
‘Abang? Kalaulah kau tahu apa perasaan aku, apa yang aku inginkan, pasti kau cabut lari. Jauh dari sini.’ Zachary tunduk, sembunyikan senyuman. Senyuman insan yang patah hati.
“We got some history back then.”
Ops! Kenapa pula tiba-tiba dia terlepas cakap? Zachary dilihatnya jongket kening, menyoal dalam diam.
“What kind of history?”
Dia telan liur, cuba bangun namun Zachary lebih pantas menghadang laluan. Terbeliak juga matanya memandang Zachary yang mulai serius. Aduhhh... kenapalah mulut dia celopar sangat?
“Nothing. Zarra cakap main-main sajalah.”
“Good or bad?” soal Zachary tak mahu mengalah. Tangannya didepakan.
“Zarra nak lalulah. Rempuh karang...”
“Kalau Zarra rempuh, Zach peluk. Do you dare?”
Ai, lain macam bunyinya. Seriuskah si mamat ni?
“Why do you care?” Kali ini Zarra pula yang bertukar nada.
“I abang you yang you never had, kan?”
Zarra tergelak. Ohhh... sebab itu ke? Zarra angkat penumbuk, cuba untuk lalu. Zachary masih utuh di situ, tanpa seinci pun bergerak.
“Just answer me, good or bad?” soalnya sekali lagi.
Dia nampak kilas jawapan di mata Zarra sebentar tadi. Dia mahu tahu. Perlu tahu.
“Fine. Bad, tapi it’s all okay now. We’re going to get married anyway.”
Allah... apa yang dia jawab ni? Zarra tahan nafas, lemparkan senyuman. “Zarra naik dulu. See ya.” Kakinya pantas melangkah, mahu cepat pergi.
“He touched you, kan?”
Kakinya berhenti melangkah. Dingin rasanya tapak tangan dengan soalan itu. Zarra toleh perlahan memandang Zachary yang berdiri di hujung sana. Menggeletar tangannya, namun dia cepat-cepat menahan, genggam erat dalam kepal penumbuk.
Membara dada Zachary. Jadi betul tekaannya. Dia hanya meneka, membaling tanpa tujuan, tapi mengena. Wajah Zarra yang kepucatan mengesahkan jawapannya.
“He touched you... Damn, he touched you without your permission! Am I wrong, Zarra?”
Zarra kaku. Apa sudah jadi? Kenapa segala kata-kata Zachary itu benar? Perit di telinganya. Dia lajukan langkah, pergi mengadap Zachary yang keberangan. Nafasnya turun naik. Dalam cahaya yang suram, dia nampak kemarahan yang membara di mata Zachary.
“Zach, please don’t tell anyone. Zarra mati kalau Zach buat macam tu. Tolong...” rayunya perlahan. Dia pandang kiri dan kanan, bimbang ada telinga yang menadah cerita selain mereka.
Zachary duduk, ketawa tanpa sebab. Zarra juga dilihatnya duduk. “So, sekarang macam mana?”
Macam mana apa?
“Maksud Zach?”
 “Apa yang Zarra nak dia buat?” gesanya dalam serius.
Patutlah. Dia selalu tengok Zarra cuba mengelak daripada Hisham sejak awal lagi. Zarra yang kepucatan apabila Hisham muncul. Zarra yang cuba larikan diri apabila Hisham ada. Gerak hatinya meneka sesuatu pernah berlaku antara Zarra dan Hisham, bukan sekadar orang satu kampung.
Zarra telan liur.
“We’re getting married. Insya-Allah next month.”
Zachary ketawa. Entah kenapa dia ketawa, dia sendiri keliru. Pastinya Hisham buat sesuatu pada Zarra. Dia mahu tahu, hatinya meronta mahu mencari kebenaran. Tunggu, dia akan berikan Zarra sedikit masa.
“Congratulations. Make sure dia bahagiakan Zarra...” ‘Kalau tidak, I’ll kill him!’ sambungnya dalam hati.
Zarra bingkas bangun, tinggalkan Zachary yang merenung bulan. Sekali lagi dia menoleh, Zachary memandangnya dengan senyuman. Senyuman paling hambar. Hatinya tiba-tiba bergetar hiba. Tuhan, apa yang sudah dia lakukan...

No comments:

Post a Comment