Wednesday, 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 10



“Ibu percaya ke cakap jantan tak guna tu? Dia
boleh reka macam-macam ceritalah ibu demi nak tutup
kesalahan dia.” Syarmila bersuara memberi komen.
“Ibu nampak kejujuran dia, tapi bukan bererti ibu
percaya seratus peratus Mila. Sangsi juga ibu dengan Ara
tu. Kalau betul bukan Zuhair yang buat, kenapa dia tuduh
Zuhair? Mila rasa Ara tu pendendam ke orangnya?”
“Ibu... ini berkaitan dengan maruah. Bodohlah
Kak Ara kalau menuduh sesuatu yang tak betul. Hanya dia
yang tahu siapa pelaku. Buat apa dia nak menipu kita pula?”
sangkal Syarmila.
Puan Dariah menghela nafas. Bercelaru fikirannya
mengenangkan masalah Syazliara. Memikirkan penerangan
daripada Zuhair, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena.
“Zuhair kata dia nak cari Razif. Jadi kita tunggu
sajalah penjelasan bekas teman lelaki Ara tu.”
“Betul ke Razif tu boyfriend Kak Ara? Entah-entah
Zuhair tu buat cerita, ibu.”
“Mila... cuba berprasangka baik sikit pada orang. Kita
bagilah dia masa, sebab dia kata dia boleh cari Razif.” Nasihat
diberikan buat si anak. Membuta tuli menuduh tanpa bukti
tiada gunanya. Zuhair menjanjikan bukti, jadi sewajarnya
mereka sabar menunggu.
“Kenapa ibu tak tanya Kak Ara sendiri pasal Razif?”
tebak Syarmila tidak puas hati.
“Mila... Ara tu bukan sihat macam kita. Fikiran dia
kan sering terganggu. Kita tak boleh desak dia. Ibu tak nak
dia cederakan diri sendiri, lantaran dia rasa kita sudah hilang
kepercayaan pada dia. Jangan kita jadi penyebabnya, Mila.”
“Ibu... sekalipun kita dapat jumpa Razif tu, semua
tak akan gembirakan Kak Ara. Sejak dahulu lagi dia cintakan
si Zuhair tu. Tak ada maknanya pun kehadiran Razif tu nanti.”
Syarmila mempertahankan pendapat sendiri.
Hailah anak. Pendapat sendiri juga yang dijulang.
Tolehlah sikit pada orang yang menanggung. Takkan sama
dengan apa yang kita fikirkan.
“Masalahnya, Zuhair tu tak ada perasaan pada Ara.
Dia kata, dulu pun dia yang tolak cinta kakak Mila tu.”
“Ibu tolonglah... sekarang ni kita fikirkan
kebahagiaan Kak Mila. Pedulikanlah perasaan Zuhair tu.
Selagi hayat Kak Ara masih di badan, kita minta Zuhair tu
berkorban untuk buat dia tersenyum kembali.”
Puan Dariah menggeleng perlahan. Keluhan kecil
dihembuskan.
“Mudahnya Mila membuat keputusan. Sepertinya
hati dan tubuh Zuhair tu kita yang pegang. Dahlah Mila
tuduh dia macam-macam. Tiba-tiba nak minta dia berkorban
pula. Kita masih belum tahu betul ke Zuhair yang rosakkan
Ara dulu, Mila...”
Syarmila melepaskan segerombolan nafas yang
menyesakkan dada. Dia langsung tidak yakin dengan Zuhair
Aidid. Baginya lelaki itu mahu lari daripada tanggungjawab.
Mahu menafikan kesalahan. Mahu menyembunyikan
kesilapan. Tak mengapalah ibu. Tahulah bagaimana dia nak
mengajar si Zuhair itu!

Selepas menjemur kain di ampaian, Aathifah masuk
ke dalam rumah. Dia belum bersarapan lagi. Pagi tadi dia
belum berselera menjamah nasi lemak buatannya bersama
umi dan walid. Zuhair juga tidak menjamah masakannya.
Hanya minum secawan kopi. Aathifah ada bertanya untuk
membekalkan nasi itu, namun Zuhair menolak. Kelihatan
wajah abang angkatnya itu muram sahaja.
Dia tahu Zuhair masih fikirkan hal Syazliara.
Tambahan pula abangnya itu telah berjanji dengan Puan
Dariah untuk menjejaki Razif. Kasihan dia memikirkan
masalah Zuhair, namun dia tiada cara untuk membantu.
Hanya boleh menjadi pendengar dan memberikan sedikit
pendapat. Lebih daripada itu, memang di luar kemampuannya.
Selepas menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan,
telefon rumah berdering. Aathifah gesit bangun untuk
mengangkatnya.
“Assalamualaikum.” Aathifah memberi salam kepada
pemanggil di hujung sana.
“Waalaikumussalam. Aathi... ni walid. Aathi tengah
buat apa tu?” suara garau Sarjan Darus bergema.
“Oh, walid. Aathi baru nak makan. Tadi Aathi
membasuh dan jemur kain.”
“Ni... walid nak tanya. Sementara tunggu posting
daripada KPM, Aathi nak kerja tak?”
“Naklah walid. Bosan juga tanam anggur kat rumah
ni,” balas Aathifah dengan tawa kecil.
“Tadi kawan walid yang kerja PKHEM kat sekolah
ada tanya walid pasal Aathi. Yalah, dia tahu Aathi dah tamat
belajar. Dia kata sekolah dia ada nak pakai guru ganti selama
tiga bulan, sebab minggu depan guru yang mengandung tu
akan mula bercuti. Kalau Aathi setuju, walid nak beritahu dia
sebelum dia cari orang lain.”
“Mestilah Aathi setuju, walid. Boleh cari pengalaman
sebelum betul-betul berkhidmat sebagai pendidik. Ermm...
guru ganti untuk subjek apa walid?”
“Matematik moden. Aathi boleh ke subjek tu?”
“Insya-Allah boleh,” jawab Aathifah dengan yakin.
“Kalau macam tu, walid akan beritahu kawan walid
tu yang Aathi dah setuju. Minggu depan bolehlah Aathi
mula bertugas. Lagipun sekolah tu tak jauh dari rumah kita.
Pagi-pagi nak pergi mengajar tumpang walid. Sebelah petang
boleh Zuhair ambil balik.”
“Baik, walid. Terima kasih. Tak sabar pula rasanya
Aathi nak pergi mengajar.”
Terkucil tawa perlahan dari talian.
“Okeylah, walid nak sambung kerja. Apa-apa hal
nanti kita borak kat rumah, ya? Assalamualaikum.”
Aathifah biaskan senyuman bersama jawapan salam.
Gembira mendengar perkhabaran itu. Meskipun cuma
menjadi guru ganti selama tiga bulan, dia cukup berasa teruja.
Selain itu, dapat juga dia mengelakkan berdua-duaan dengan
Zuhair kala umi dan walidnya tiada di rumah. Walaupun
bukan rutin Zuhair balik ke rumah pada waktu makan tengah
hari, tapi teguran umi tempoh hari berbekas dalam hatinya.
Dia cukup sedar diri untuk meladeni itu semua.

 “Abang Hir... Atan nak tanya pasal tempahan mafela dari
Marry Brown. Abang Hir belum putuskan lagi tentang jenis
material yang kita nak guna. Jika ikut bajet diaorang, kita
perlu guna material jenis cotton, kan? Atau kita kena kecilkan
saiz?”
“Oh, ya ke? Maaf, Abang Hir lupa pasal job tu. Tak
payahlah kecilkan saiz. Nanti nampak sangat kita kedekut,”
canda Zuhair disertai gelak halus.
Atan tarik sengih walaupun dia tahu majikannya
itu sehari dua ini sudah hilang aura ceria. Selalunya Zuhair
akan ambil berat dan mengutamakan setiap pesanan yang
diterima.
“Nanti Abang Hir oder kain cotton tu. Design ada kat
folder MB Mafela dalam laptop Abang Hir. Bila kain tu sampai
nanti, kita boleh mula print.”
“Baik Abang Hir,” ujar Atan patuh. Dia sudah mahu
bergerak ke bilik kerja untuk membantu Cheong menyiapkan
signboard Ratu Balqis Bridal sebelum Zuhair memanggilnya
semula.
“Erm... Atan, bila mereka nak ambil semua mafela
tu ya?”
“Abang Hir lupa ke?” Terzahir kerutan di dahinya.
Yalah, yang berbincang dengan wakil Marry Brown itu
bukannya dia, tapi Zuhair.
Zuhair tersengih, nampak separa giginya.
“Bukan lupa, tapi kurang ingat.”
“Samalah tu abang. Ni mesti kes asyik ingat makwe
ni,” giat Atan. Sekadar mengail walaupun sedia tahu tiada
ikan di kolam hati majikannya itu.
“Hesy kamu ni Atan, saya mana ada makwe,” Zuhair
menangkis.
“Mereka nak ambil Khamis depan. Kiranya kita ada
seminggu untuk siapkan tempahan mereka.”
“Alamak! Deadline job tu dah dekat. Terlewat
nampaknya kita, Atan. Kalau kain tu dah oder, lainlah cerita.
Ini kain belum ada. Apasallah abang ni boleh nyanyuk,” ujar
Zuhair agak kesal. Menyedari yang dia khilaf apabila tidak
peka dengan deadline yang telah dipersetujui. Terpercik juga
kerisauan andai tempahan mafela itu tidak dapat disiapkan
mengikut kehendak pelanggan.
“Itu pasallah bos,” tambah Atan.
“Tak mahulah borak lagi. Abang nak call Puan Azie
untuk oder kain tu segera. Bimbang nanti tak ada pula warna
yang kita nak,” tuntas Zuhair seraya berlalu ke biliknya.
Atan menggelengkan kepala sekilas sebelum pergi
mendapatkan Cheong.
“Oit! Cheong, kau rasa kenapa dengan bos?”
“Kenapa dengan bos? Bos tak sihat ke? Gua talak
pelasan...” jawab Cheong yang leka dengan kerjanya.
“Bos sihat, tapi wajah dia tu macam orang ada
masalah. Nak kata putus cinta, bos tu mana pernah bercinta.”
“Manyak sibuk la lu Atan. Kalau bos ada masalah
pelibadi, kita mana boleh campur.”
“Aku bukan nak campurlah. Tapi aku pelik. Deadline
MB tu boleh dia lupa. Biasanya dia yang ingatkan kita tentang
tarikh-tarikh tempahan Aidid Printing. Kat bilik dia pun
banyak mengelamun. Aku syak dia ada masalah dengan
perempuan yang pernah datang tempah T-shirt tempoh hari.”
“Manyak pandai lu punya teka. Lu mana tau itu
pelempuan ada kaitan?” Cheong memprotes dakwaan Atan.
“Dia datang ambil baju hari tu dengan angin
kus-kus. Macam sedang berperang dingin dengan bos. Masa
datang tempah tak pula tunjuk wajah garang.” Atan masih
lagi mencanang apa yang ada dalam mindanya.
“Haiya Atan... lu jangan fikir mengalut. Itu
pelempuan pertama kali datang sini maa. Apasal mahu gaduh
sama bos. Sudahlah Atan. Cepat sambung kelija,” marah
Cheong. Enggan berfikir tentang apa yang diperkatakan oleh
rakan sekerjanya itu. Dia mahu menumpukan perhatian pada
kerja mengecat papan tanda yang telah diamanahkan.
Sudahnya Atan diam. Dia mencapai berus lalu
mencelupnya ke dalam tin cat berwarna merah. Perbualan
mengenai Zuhair mereka noktahkan di situ.

Sesudah membuat panggilan kepada Puan Azie untuk
menempah kain cotton, Zuhair termenung sejenak.
Mindanya mencongak beberapa nama yang pernah menuntut
bersama-sama ketika di universiti dahulu. Dia perlu
menelefon salah seorang kawannya untuk menjejaki Razif.
Mana tahu ada klu yang boleh membantu.
Segera dilarik skrin telefon pintar. Jari telunjuk
menyentuh senarai kenalan, lalu membuat panggilan kepada
Ziad.
“Assalamualaikum. Ziad, aku ni... Zuhair.”
“Waalaikumussalam. Kau ke Hir? Lama tak dengar
cerita.”
“Ya, akulah. Aku macam biasa, busy kat kedai
printing aku ni. Kau sihat Yad?”
 “Kalau tak sihat tak adalah kau dengar suara aku
yang sentiasa ceria ni,” balas Ziad dengan dekahan tawa.
Sejak zaman belajar lagi Ziad itu periang orangnya.
Zuhair turut ketawa.
“Hahaha... yalah tu.”
“Apa kes telefon aku ni?” tanya Ziad setelah tawanya
tidak bersisa.
“Aku nak tanya kau pasal sorang budak lelaki ni.
Tak silap aku, dia dulu dari Fakulti Sains Sosial,” terang
Zuhair. Itulah agenda utama dia menghubungi bekas teman
sekuliahnya itu.
“Siapa?”
“Yang aku tahu nama dia Razif. Yad, kau kan ada
member dari fakulti tu. Try tanya dia pasal Razif? Penting ni,
aku nak tahu.”
“Peliknya kau ni. Dah berkurun kita habis belajar,
Hir. Tak pernah pula dulu kau sebut nama budak lelaki tu.
Apasal dengan budak tu sebenarnya?”
“Adalah Yad. Important sangat untuk aku jumpa
budak nama Razif tu.”
“Ceritalah kat aku, Hir. Kau bermusuh dengan dia
ke?” Prihatin pula Ziad di hujung sana.
“Ada hutang yang perlu Razif tu jelaskan pada aku.”
“Hutang? Kau dulu jadi along ke kat kampus?” Ziad
lontar soalan serius yang kurang logik.
Langsung tidak menggelikan hati Zuhair. Mungkin
sedikit lucu, tapi dia tidak berminat untuk ketawa.
“Jangan buat lawaklah Yad. Aku serius ni.”
“Huh! Kut ya pun... kau cakap pasal hutang, manalah
tahu kau buat job sambilan tu tanpa pengetahuan aku.”
 “Yad... tak payahlah merapu. Hutang tak semestinya
berbentuk duit.”
“Ya tak ya juga kan?” Ziad gosok dagu.
“Nanti kalau kau dah tahu pasal Razif tu, cepat text
aku tau.”
“Insya-Allah, Hir.” Itu sajalah yang mampu dijawab
kerana Ziad pun tidak pasti sama ada dia boleh mencari Razif
untuk ataupun tidak. Sekadar cuba bertanya kepada member
lama tidak menjadi masalah kepadanya.

No comments:

Post a Comment