Wednesday, 22 February 2017

Siapa Dalam Hati - Bab 6



Syarmila menyuapkan nasi ke mulut Syazliara
dengan kasih sayang. Sayu hatinya melihat wajah tidak
bermaya itu. Perlahan saja kunyahan di mulut Syazliara.
“Kak Ara, lepas ni makan ubat ya? Mila nak Kak Ara
sihat macam dulu.”
Syazliara tidak bereaksi apa-apa. Pandangannya
kosong sahaja.
“Kak Ara jangan bimbang, Mila akan bawa dia pada
Kak Ara. Dia akan bertanggungjawab atas segala yang berlaku
pada Kak Ara.”
Terbatuk-batuk Syazliara mendengarkan ucapan
Syarmila. Segera Syarmila menggosok belakang tengkuk
kakaknya itu.
“Kak Ara, minumlah air ni... biar lega tekak tu.” Air
putih disuakan ke bibir Syazliara. Syazliara hanya meneguk
seteguk.
“Kak Ara dah kenyang ke?” soal Syarmila mengubah
topik. Bimbang topik berkaitan Zuhair Aidid merosakkan
mood kakaknya. Reaksi terbatuk tadi sudah memberikannya
jawapan.
Syazliara hanya mengangguk lemah.
“Mila bawa Kak Ara masuk biliklah kalau macam
tu. Hmmm makan sikit saja. Bilalah kakak kesayangan Mila
ni nak tembam semula?” Sempat disentuh pipi cengkung
Syazliara, sebelum memimpin tangan kakaknya ke bilik tidur.
Usai itu, Syarmila ke ruang hadapan menemui
ibunya. Dia melabuhkan duduk di sisi ibunya yang sedang
membaca majalah.
“Ibu, Mila nak Aidid bertanggungjawab pada Kak
Ara.”
“Nak ke dia, Mila? Selama ni pun tak pernah dia
datang bertanya khabar tentang kakak kamu tu,” gumam
Puan Dariah.
Dia tahu pertemuan anaknya itu dengan Zuhair
lantaran tempahan baju untuk anak-anak yatim. Puan Dariah
merupakan Naib Pengerusi Persatuan Wanita Penyayang.
Puan Dariah dan sahabatnya Datin Mustika telah berpakat
menubuhkan persatuan itu untuk membela nasib wanita.
Bahkan apa yang terjadi terhadap Syazliara mengundang
simpati Datin Mustika.
Dana persatuan juga banyak disumbangkan oleh
Datin Mustika yang kaya-raya itu. Datin Mustika langsung
tidak berkira dari segi kewangan. Baginya menghidupkan
persatuan itu suatu kepuasan. Apa salahnya dia menyumbang
untuk membuat bekal di akhirat.
“Nak tak nak, bukan soalnya ibu. Dia dah rosakkan
hidup Kak Ara, jadi dia wajib bertanggungjawab.”
“Mila rasa dia akan akur?” Puan Dariah lontar soalan
bersama tatapan mata penuh pada anak bongsunya itu.
 “Mila akan buat dia akur. Cukuplah dia sorokkan
diri selama ni,” jawab Syarmila sambil mengepal penumbuk
tangan kiri.
Puan Dariah menggelengkan kepalanya sekilas.
“Bukan mudah memaksa orang, Mila.”
“Ibu, kita tak boleh lemah dengan berfikir tentang
penolakan Zuhair Aidid. Bagi Mila, kebahagiaan Kak Ara
adalah segala-galanya. Mila tak sanggup lagi lihat penderitaan
Kak Ara kerana lelaki jahat tu.”
“Jadi apa rancangan Mila?” aju Puan Dariah.
“Mila akan bawa dia datang jumpa Kak Ara.”
“Mila boleh cuba, tapi jangan terlalu menaruh
harapan. Bimbang nanti semua itu akan menambahkan lagi
luka dalam hati Ara.” Nasihat Puan Dariah kerana tidak mahu
tindakan Syarmila mengundang perkara buruk.
“Ibu... please. Yakin dengan Mila. I need your
support.”
“Insya-Allah, ibu akan selalu sokong anak-anak ibu.”
Puan Dariah pegang tangan Syarmila.
“Terima kasih bu. Mila harap sangat dapat lihat
kembali senyuman Kak Ara.” Syarmila melentokkan kepala ke
bahu ibunya. Bunga-bunga harapan berkembang dalam hati
Syarmila kerana dia yakin usahanya itu bakal membuahkan
kejayaan. Dia optimis tentang apa yang mahu dilaksanakan.
Duhai hati...mengapa rasa begini....
Duhai jiwa... janganlah diamuk resah...

Aathi fah melayan perasaan di dalam biliknya. Kisah
yang diceritakan Zuhair kepadanya mengganggu fikiran.
Sepertimana Zuhair durja memikirkannya, dia juga turut
tidak tenteram. Apakah benar Syazliara bukan gadis yang
bertakhta dalam hati abang angkatnya itu?
Ya, abang angkat. Itulah hakikat sebenar perhubungan
mereka. Terngiang-ngiang kembali perbualannya dengan
Puan Ruwaidah empat tahun yang lalu.
“Aathi, umi ada sesuatu nak beritahu Aathi. Umi
harap Aathi tenang mendengar dan tenang menerimanya.
Umi rasa, Aathi dah cukup dewasa sekarang untuk tahu
segala-galanya. Umi tak boleh terus berahsia lagi.”
“Apa dia umi? Cakaplah. Insya-Allah, Aathi boleh
tenangkan diri.”
Merenung jauh seketika Puan Ruwaidah sebelum
bercerita. Gigih dia mengumpul semangat. Berdoa semoga
apa yang bakal diceritakan tidak merobek hati anak gadisnya
walaupun dia tahu bukan mudah kenyataan itu untuk
diterima. Namun apa pilihan yang dia ada. Terus berahsia,
bermakna terus menggalakkan dosa berlaku di hadapan
mata. Dia tidak mahu dimurkai Allah kerana membiarkan
hubungan mesra lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Puan Ruwaidah menggenggam erat jari-jemari
Aathifah.
“Aathi dan Zuhair sebenarnya bukan adik-beradik.”
Terasa longlai tiba-tiba tubuh Aathifah.
Jari-jemarinya terlepas dari genggaman Puan Ruwaidah.
Seakan-akan tidak percaya akan hakikat itu.
“Selepas tiga tahun melahirkan Zuhair, umi teringin
sangat nak anak perempuan. Selepas berusaha dan berdoa,
impian umi tidak juga menjadi kenyataan. Akhirnya walid
telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat
untuk prosedur pengambilan anak angkat. Alhamdulillah,
kami lulus untuk mendapatkan anak angkat perempuan.
Semasa Aathi diambil menjadi anak angkat, Aathi baru
berusia lapan bulan. Ibu bapa Aathi meninggal dan Aathi
telah diserahkan kepada JKM. Yang amat menggembirakan
umi, Aathi berbintikan nama yang sama dengan walid. Indah
sungguh kebetulan itu. Dengan berbintikan nama yang sama
dengan walid, orang luar tidak pernah tahu Aathi ni bukanlah
anak kami.”
Teresak-esak Aathifah menangis mendengarkan
cerita Puan Ruwaidah. Sungguh dia tidak menyangka dia
bukanlah darah daging Puan Ruwaidah dan Sarjan Darus.
Puan Ruwaidah lantas memeluk Aathifah.
“Aathi... percayalah, umi dan walid amat sayangkan
Aathi. Tidak pernah kami membezakan kasih sayang antara
Aathi dengan Zuhair. Aathi tetap anak kami dunia akhirat.”
Aathifah terus beku tanpa suara.
“Tujuan umi beritahu adalah untuk kebaikan Aathi
dan Zuhair. Umi tahu hubungan rapat Aathi dengan Zuhair.
Kamu dua beradik saling menyayangi. Umi tak halang kasih
sayang macam aur dengan tebing tu, cuma umi nak Aathi
jaga batas, jaga pergaulan... sebab dia bukan mahram Aathi.
Kalau umi tak buka mulut, bermakna umi dengan walid
menanggung dosa.”
Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari bibir
Aathifah. Dia masih dalam esak tangisnya.
“Aathi ambillah masa untuk terima hakikat ni.
Janji... walau apa pun, jangan tinggalkan umi dan walid.
Umi dan walid sangat sayangkan Aathi. Jika bukan kerana
Zuhair, sampai ke akhir hayat pun umi tak sanggup beritahu
hakikat sebenar. Umi tak nak Aathi bersedih. Umi harap Aathi
faham apa yang umi rasa. Bukan sengaja umi atau walid
mahu renggangkan hubungan Aathi dengan Zuhair. Sekadar
memperingatkan tentang batas yang perlu Aathi jaga.”
Aathifah menggigit bibirnya kuat-kuat. Sungguh
dia terluka dengan realiti itu, namun siapalah dia untuk
mempersoalkan takdir yang telah tertulis. Dia perlu reda
yang dia tidak lahir dari rahim Puan Ruwaidah.
“Umi juga akan beritahu Zuhair mengenai semua
ini.” Itulah janji yang diungkapkan umi. Namun sehingga ke
hari ini, hati Aathifah berat mengatakan yang Zuhair belum
tahu status sebenar hubungan mereka.
Aathifah meraup wajahnya. Sehingga ke saat ini,
hiba itu masih ada. Sehingga ke detik ini, sedih itu masih
bersisa. Namun dia sembunyikan sahaja kerana tidak mahu
membuatkan dua insan yang telah membesarkannya itu
berasa sedih. Yang dia terkilan sangat, mengapa umi tidak
mahu membuka mulut kepada Zuhair. Mengapa dia seorang
yang perlu menjaga batas? Tidak nampakkah umi betapa
selambanya anak lelakinya nan seorang itu?
Mahu bertanya, bimbang menggores hati. Empat
tahun umi membiarkan dia seorang diri menjarakkan diri
daripada Zuhair. Kala cuti semester, dia amat takut untuk
kembali ke rumah. Takut mahu berhadapan dengan lelaki
yang disayanginya itu. Bimbang pergaulan melebihi batasan.
Pernah Aathifah tidak balik langsung semasa cuti
semester dan mengikut kawannya melakukan kerja sambilan
di ibu kota. Membebel Zuhair dengan sikap beraninya itu.
Umi dan walid tidak pula kata apa-apa. Barangkali mengerti
yang Aathifah mahu berjauhan daripada Zuhair.
Dalam cuba menjaga batas pergaulan dengan Zuhair
ada rasa aneh yang bertandang di sudut jiwanya. Rasa asing
yang menghasilkan debaran kala bertentang mata. Rasa yang
sukar difahami, namun terbit keindahan dalam jiwa tika
bersama. Ada degupan yang terhasil dalam dada. Ada rindu
yang mencengkam apabila tidak mendengar suara. Sungguh
Aathifah tidak mengerti. Terbeban bahunya dengan rasa itu.
Sakit kepala memikirkannya.

 “Lewat balik Zuhair. Kamu dari mana?” tegur Sarjan
Darus. Jarum pendek jam di dinding telah berada pada
nombor dua belas sewaktu dia melangkah keluar dari pintu
utama kedainya tadi.
“Hir siapkan banner yang customer nak ambil esok,
walid. Lepas tu keluar minum dengan kawan,” jawab Zuhair
sebetulnya.
“Walid tengok Hir sehari dua ni macam ada masalah.
Nampak tak ceria. Hir ada masalah apa?” tanya Sarjan Darus
yang prihatin. Dia percaya anak lelakinya itu tidak merayau
tanpa hala, cuma hatinya dapat mengagak ada sesuatu perkara
yang meresahkan Zuhair. Dia tidak dapat membaca, tetapi
naluri kebapaannya yang menyatakan demikian. Sementelah
lagi Zuhair kerap pulang lewat dan bagai sengaja fokus
terhadap kerja. Seakan cuba menghindar apa yang sedang
memukul benaknya sendiri.
“Dalam sibuk-sibuk walid dengan pelbagai kes,
sempat ya walid tilik muka Hir?” Zuhair sekadar bercanda
dengan walidnya, sekali gus menolak persoalan bapanya.
Tidak kena masa sebenarnya untuk bercerita. Lagipun dia
enggan hal peribadinya turut menyerabutkan kepala Sarjan
Darus.
“Hai, walid kan ada mata-mata. Umi kamu tu, tak
pernahnya tak lapor pada walid. Lipas ada kat dapur pun
cakap. Macamlah tak boleh spray sendiri,” kata Sarjan Darus
dengan tawa kecil. Sengaja diselitkan gurauan. Dia tahu anak
lelakinya itu telah cukup dewasa untuk menimbang baik dan
buruk. Jika ada masalah besar menghimpit dan tidak mampu
diselesaikannya sendiri, pasti disuarakan jua kepadanya nanti.
Tak perlu dia mengasak.
Zuhair tergelak sama.
“Walid pun baru balik ke?”
“Bukan baru balik, tapi baru nak pergi.”
“Aik???” Terzig-zag kening si anak.
“Malam ni ada Ops jalan raya. Nak tahan budak
merempit. Geng merempit ni, pagi-pagi buta baru mulakan
aksi tempah maut diaorang tu,” jelas Sarjan Darus.
“Itulah silap budak-budak zaman sekarang, kan
walid. Usia muda buat aktiviti tak berfaedah. Bila dah kudung
kaki, baru reti nak insaf. Kalau dah masuk kubur, langsung
tak ada peluang nak bertaubat.”
“Sebab tu kami perlu buat operasi. Mereka yang
merempit tu bukan ada lesen pun. Ada sesetengah tu
menunggang motor curi. Ada pula yang yang ubah suai motor
secara melampau. Mereka hanya tahu berlagak atas jalan tapi
undang-undang jalan raya tak tahu.” Tegas dan formal suara
Sarjan Darus memberitahu Zuhair.
Zuhair menggelengkan kepala mengenangkan sikap
anak-anak muda yang dimaksudkan walidnya itu.
“Hir, masuklah dulu. Walid dah nak pergi ni,” ujar
Sarjan Darus seraya melangkah ke keretanya.
“Umi dan Aathi dah tidur ke walid?”
“Dah. Kalau Hir nak makan nasi, lauk masih ada kat
dapur tu. Minta tolong Aathi panaskan.”
“Tak kut walid. Dah lewat malam ni. Hir pun dah
mengantuk.”
“Baiklah kalau macam tu. Walid pergi dulu,” pamit
Sarjan Darus. Terus dia melupakan tentang soalan yang
ditanyakan tadi kepada Zuhair. Lagipun dia nak cepat. Saja
dia bertanya kerana isterinya ada memberitahu tentang
keresahan anak lelaki mereka itu. Bahkan dia sendiri juga
dapat menghidu.
“Baik walid. Hati-hati,” pesan Zuhair bersama
senyuman.
Sarjan Darus mengangguk sebelum melolos masuk
ke dalam keretanya.
Masuk saja ke dalam rumah, Zuhair menjengah ke
dapur. Bukan hendak makan, sekadar melihat sajian yang
terhidang. Dia tahu air tangan siapa. Perutnya kenyang. Tadi
dia sudah makan mi goreng mamak bersama kawannya.
Ada gulai ikan tenggiri, ayam masak merah dan
sayur campur. Sempat disudu sedikit kuah ikan tenggiri dan
disuapkan ke mulutnya. ‘Sedap,’ pujinya dalam hati.
“Abang Hir nak makan? Aathi boleh panaskan.”
Terkejut Zuhair dengan kemunculan Aathifah.
“Walid kata, Aathi dah tidur.”
“Memang dah nak tidur, tapi terdengar bunyi kereta
abang dan walid tadi. Sengaja Aathi keluar bilik, kot-kot
abang nak makan.”
“Dah lewat Aathi. Abang pun dah makan mi goreng
tadi. Saja aje ni, nak test lauk Aathi masak.”
“Mana tahu Aathi yang masak?”
“Hai, dapur ni sekarang kan Aathi yang conquer.”
Aathifah tersenyum sahaja.
“Betul tak nak makan?”
Zuhair mengangguk.
“Aathi ikut abang ke rumah Syazliara petang esok,
boleh?”
“Abang dah call Syarmila ke?”
“Dah. Dia setuju untuk bawa abang jumpa Syazliara,”
ujar Zuhair. Siang tadi, Syarmila telah dihubungi untuk
menyuarakan hasratnya itu. Dan tepat jangkaannya, gadis itu
tidak menolak.
“Tapi kenapa ajak Aathi pergi sekali?”
“Entahlah. Abang rasa lagi selamat kalau Aathi ada.”
“Kenapa, abang takut mereka apa-apakan abang ke?”
“Yalah, mana tahu. Kut dia berniat serong.”
“Merepek betullah Abang Hir ni. Dahlah abang yang
call cakap nak jumpa kakak dia. Tup-tup bersangka buruk
pula.”
“Tak adalah macam tu. Aathi nak pergi tak?”
Aathifah menggeleng.
“Aathi tunggu cerita dari abang sajalah.”
“Okeylah macam tu. Jomlah masuk tidur.” Selamba
benar Zuhair mengajak. Macamlah mereka berdua sebilik.
Aathifah tunduk ke lantai. Pipinya berona.
“Abang pergilah masuk bilik dulu. Aathi nak minum
air.”
Peti ais dibuka dan dia mengambil air sejuk.
Dituangkan air itu ke dalam gelas. Berusaha Aathifah
menongkah debaran yang hadir.
Zuhair menutup mulutnya yang mula menguap.
Sejurus itu dilayangkan ucapan selamat malam penuh
gemalai kepada Aathifah.
“Good night sweet sister.”
“Good night naughty brother.” Aathifah turut
membalas dengan lenggok yang serupa.
Terdengar tawa kecil Zuhair sebelum lelaki itu
berlalu. Suka dia dapat mengusik Aathifah.

No comments:

Post a Comment