Sunday, 16 April 2017

Adel... I Love You!- Bab 10

BERKERUT wajahnya apabila skrin iPhone
masih lagi belum menunjukkan simbol 4G. Tubuh yang
berbaring terus bangun dan duduk bersila di atas tilam pula.
Tangan yang menggenggam iPhone diangkat tinggi untuk
mencari isyarat 4G. Hampa! Masih lagi tiada perubahan.
Lantas Adel turun dari katil dan mundar-mandir di dalam
bilik tidur sambil mencari isyarat 4G.
“Waaa! Kenapa ni? Semalam okey je,” rungut dia
sendirian.
Kecewa dengan kegagalan isyarat di dalam bilik
tidur, dia melangkah keluar dari bilik tidur pula. Adel
mundar-mandir di ruang tamu.
“Kenapa ni? Kenapa tak ada isyarat Internet pula?”
keluh Adel, bercampur bengang.
Adel turun pula ke ruang dapur untuk mencari
isyarat 4G. Hampa! Dia beralih ke bilik air pula. Kecewa juga!
Demi isyarat 4G, dia sanggup mencari isyarat sehingga ke
dalam bilik ‘termenung’.
“Kalau ada line Internet kat dalam bilik ni, memang
bertuah sangat-sangatlah,” kutuk Adel kepada diri sendiri.
Tidak sampai sepuluh saat berada di dalam bilik kecil itu, dia
keluar dengan wajah hampa.
Kaki menyarung selipar dan terus keluar melalui
pintu di ruang dapur. Adel masih lagi tercari-cari isyarat 4G.
Bau busuk dari reban ayam dan juga angsa langsung tidak
dihiraukan. Isyarat 4G harus dicari terlebih dahulu.
“Adel.” Kedengaran suara Tok Embun memanggilnya.
“Buat apa tu? Tangkap gambar ayam dan angsa dah
kenapa?” Tok Embun pelik dengan gelagat Adel itu.
‘Buang tabiat dah cucu aku ni. Selfie ke? Tapi, kenapa
perlu selfie di reban ayam dan angsa pula?’ kata Tok Embun
dalam hati.
“Adelia Zahra...” Tok Wan Hassan pula memanggilnya.
“Adel cari line Internet ni. Semalam okey je. Hari ni
tak ada pula!” jawab Adel. Langkah kaki beredar dari kawasan
reban ayam dan angsa apabila tiada isyarat 4G di situ.
Adel melangkah menghampiri Tok Embun dan
Tok Wan Hassan yang sedang berehat di pangkin di bawah
pohon rambutan. Tiba-tiba, anak mata terlihat tangga yang
disandarkan di pohon rambutan. Langkah kaki sedikit
melencong dan menuju ke arah tangga tersebut.
“Nak buat apa pula dengan tangga tu? Bukannya ada
rambutan pun,” tegur Tok Wan Hassan.
“Adel nak cari line Internet.” Anak tangga dipanjat
satu per satu dengan penuh berhati-hati.
“Allahuakbar! Adelia... Takkanlah sampai macam tu
sekali?” Terkejut Tok Wan Hassan dengan gelagat Adel yang
sanggup bersusah begitu sekali. Itu pun semata-mata kerana
isyarat Internet. Penting sangat ke Internet tu untuk telefon?
“Penting sangat ke?” soal Tok Embun, meluahkan
monolog hati si suami.
“Tak boleh hantar mesej dekat Abang Syah. Karang
merajuk pula Abang Syah tu kalau Adel tak balas,” rungut
Adel, terselit nada manja.
“Adel telefon dan beritahu Abang Syah pasal ni.
Hilanglah merajuk dia tu nanti.” Tok Wan Hassan menggeleng
kecil. Ingatkan apalah tadi.
“Ada tak?” soal Tok Embun kepada cucunya itu.
Kalut sungguh dengan isyarat Internet.
“Sekejap.”
Tok Embun mendongak. Adel sudah beralih ke
dahan pokok pula. Sepasang kaki milik si cucu meniti di
dahan dengan penuh berhati-hati. Malah, tangannya turut
erat berpaut pada dahan pokok.
Deruman enjin kereta menarik perhatian Tok
Embun. Bibir tersenyum senang apabila melihat sebuah
kereta pancuan empat roda berhenti di laman rumah.
“Assalamualaikum,” sapa Firas apabila keluar dari
perut kereta. Dia berbalas senyuman dengan Tok Wan Hassan
dan Tok Embun.
“Waalaikummussalam,” laung pasangan suami
isteri itu.
“Tok! Ada orang datang ke?” Adel tertinjau-tinjau
melihat gerangan tetamu yang datang ketika ini. Tetapi
tidak pula kelihatan kerana terlindung dek daun pokok yang
merimbun. Sudahlah dia berada di atas pokok.
“Haah! Ada orang datang,” balas Tok Embun dengan
nada bersahaja.
“Siapa? Orang tua ke orang muda?” Adel masih lagi
cuba untuk melihat wajah gerangan tetamu yang datang
bertandang. Kepala asyik terjenguk-jenguk saja. Tetapi,
kecewa! Wajah tetamu masih lagi tak kelihatan di mata.
“Muda! Bujang! Dan... handsome! Kalau agak rasa
nak jatuh saham, jangan turun sehinggalah dia balik. Duduk
diam-diam di atas tu,” puji Tok Embun akan keistimewaan
Firas. Malah, sempat lagi dia mengusik Adel yang masih
lagi berada di atas pokok. Berani ke tak cucu dia nak turun?
Memang taklah!
“Tok...” Adel menggumam geram.
“Wan... motor dah siap! Saya suruh Mat Nor sembur
cat baru,” ujar Firas dan beralih ke belakang, bahagian
muatan barang.
“Syuk... kau tolak motor dari atas. Aku tunggu dan
sambut dari bawah ni,” tambah Firas lagi, memberi arahan
kepada rakannya yang turut keluar dari perut kereta.
Laju saja Tok Wan Hassan mengorak langkah
menghampiri Firas. Anak mata terpaku melihat motosikal
Honda C70 miliknya sudah pun bertukar rupa. Dari usang
sudah bertukar baru. Aci boleh berebut dengan Adel macam
ni.
“Berapa semua ni, Firas?” Tok Wan Hassan
memandang Firas. Peluh sudah membasahi wajah anak muda
itu.
“Motor ada satu jelah, wan.” Sempat lagi Firas
berseloroh jenaka.
“Isy! Budak ni... Wan maksudkan berapa upah
mekanik untuk semua ni?”
Firas ketawa dan menggeleng kecil. Dibiarkan
pertanyaan Tok Wan Hassan tanpa jawapan. Firas
menumpukan perhatian pada Syuk yang sedang menolak
motosikal turun dari tempat muatan barang dengan
menggunakan sekeping papan. Cepat-cepat dia memegang
motosikal tersebut sebelum Syuk hilang kawalan.
“Berapa upah mekanik, Firas?” soal Tok Wan Hassan
sekali lagi.
“Hmmm...” Sengaja Firas menggumam panjang.
“Allahuakbar! Budak nilah kan...” Geram pula
dia dibuatnya. Ada saja alasan budak bertuah ni daripada
menerima upah bayaran mekanik.
“Tak payahlah, wan. Saya dah bayarkan semuanya.
Mat Nor kata harga kawan-kawan.” Selamba saja Firas
membalas. Motosikal tersebut ditolak sehingga ke bawah
pokok rambutan. Tok Embun sedang beristirahat di situ.
“Tak payah nak harga kawan-kawan. Jangan balik
lagi! Sekejap wan ambilkan duit.” Tegas sekali Tok Wan Hassan
meninggalkan pesan dan terus berlalu ke dalam rumah.
“Berapa upah semua ni, Firas?” Tok Embun pula
menyoal.
Kali ini Firas dengan senyuman pula. Tanpa
dijemput, Firas berlabuh di pangkin melepaskan penat. Anak
mata memandang Syuk yang menghampiri mereka berdua
di pangkin. Pertanyaan Tok Embun itu dibiar tanpa jawapan,
seperti pertanyaan Tok Wan Hassan sebentar tadi.
“Macam mana dengan persiapan? Semua dah siap?”
Tok Embun mengalih topik perbualan pula.
“Pihak lelaki nak buat persiapan apalah sangat, tok.
Biasa-biasa je.” Kali ini barulah Firas menjawab.
“Biar bersederhana, Firas.”
Pesanan Tok Embun itu amat mendalam maksudnya.
Firas mengangguk kecil dan bibir menarik senyuman lagi.
“Insya-Allah, tok. Itu yang saya mahukan.”
“Alhamdulillah.” Tok Embun bersyukur kerana
kesederhanaan menjadi pilihan Firas. Bukan niat menghasut.
Tetapi, hanya sekadar pesanan. Majlis pertunangan lebih
baik dibuat secara sederhana dan ala kadar saja. Daripada
membazir duit membuat majlis besar-besaran bagaikan
majlis perkahwinan saja.
Sementara itu, Adel yang berada di atas pokok
terpaksa membatukan diri dan menundukkan kepalanya
untuk melihat tetamu yang turut menyertai toknya di
pangkin.
‘Alahai, takkanlah nak minum kopi juga? Pergilah
balik! Aku nak turun ni.’
Sebuah keluhan dilepaskan. Kepala kembali
diangkat, lenguh asyik menunduk.
“Bila nak balik ni?” bual Adel sendirian dengan nada
perlahan.
Semut yang merayap di sekitar lengan kanan,
cepat-cepat dikibas dengan menggunakan tangan kiri yang
terpaksa dilepaskan pautan di dahan. Apabila anak mata
terkesan semut merayap di bahagian lain, cepat-cepat dia
mengibas semut tersebut dari pakaian. Jangan masuk ke
dalam baju sudahlah.
Tiba-tiba...
“Adoi!” Terasa gigitan semut di betis. Waaa... kenapa
perlu masuk ke dalam seluar pula?
Adel teringatkan sesuatu dan terus memandang ke
bawah semula. Terbeliak kedua-dua belah mata Adel apabila
terpandang akan wajah tetamu yang berada di bawah pokok
itu. Tetamu itu turut mendongak ke atas dan mereka berdua
saling berpandangan. Dia? Lelaki beranak dua tu?
Adel tidak tertahan dek gigitan semut yang mula
menyerang. Satu dan dua kali boleh lagi dia bertahan. Kalau
sudah masuk gigitan ketiga, mana mungkin dia akan bertahan
lagi. Kedua-dua belah tangan melepaskan pautan dahan dan
kedua-dua belah kaki mula bergerak ke sana dan ke sini,
bagaikan menari saja. Entah di mana silapnya, kaki kanan
Adel tergelincir dari dahan pokok dan hilang keseimbangan.
“Tok!!!” Hanya bantuan daripada Tok Embun saja
diharapkannya. Tapi, mampukah Tok Embun menyambut
tubuhnya itu?
“Adel!!!” Tok Embun terkejut dan terkaku di situ
tatkala melihat Adel tergelincir dari atas pokok.
Kedua-dua belah mata erat dipejam. Adel hanya
pasrah jika tubuhnya itu mendarat di atas tanah. Tetapi...
‘Kenapa tak terasa tanah pula? Kenapa tak rasa
sakit pun? Tangan kanan teraba-raba di bawah dan juga tepi.
Kenapa tak terasa tanah? Aku tergantung ke apa?’ Tangan
kanan Adel kembali merayap. Dia tersentuh sesuatu. ‘Dahan
pokok ke? Kenapa lain benar?’ Kehairanan Adel dibuatnya.
Kelopak mata cuba dibuka sedikit. Adel terintai-intai
melihat keadaan sekeliling. Tetapi, tidak jelas. Dia cuba
membuka kelopak mata sedikit lagi. Terlihat bayangan
seseorang. Seseorang? Sepantas kilat kelopak mata terbuka
luas apabila teringatkan seraut wajah.
Sekali lagi terbuntang kelopak mata Adel apabila
berpandangan dengan sepasang mata yang redup itu.
Tangan kanannya yang asyik teraba-raba sebentar tadi elok
saja melekap di pipi lelaki beranak dua itu. Dan yang paling
memalukan... lelaki beranak dua itu juga yang menyambut
tubuhnya dari jatuh ke tanah.
“Adelia Zahra!” Panggilan Tok Embun itu
menyedarkan Adel ke alam realiti.
Ketika itu jugalah telefon bimbit yang berada di
dalam poket seluar berdering nyaring. Cepat-cepat Adel turun
dari cempungan lelaki itu. Tangan menyeluk poket seluar dan
menarik keluar telefon bimbit.
“Ya, Abang Shah,” sapa Adel. Kaki ingin cepat beredar
dari situ. Malu! Apabila sudah empat langkah ke hadapan,
dia berhenti seketika dan menoleh ke belakang. Anak mata
mereka berdua bertaut. Spontan Adel menarik senyuman
nipis untuk menutup perasaan malu. Kemudian, dia kembali
melangkah masuk ke dalam rumah.
“Itu, cucu tok. Adelia Zahra.” Sejak dari tadi Tok
Embun memandang gelagat Adel dan Firas. Kedua-duanya
saling berpandangan saja.
“Ni cucu tok dan wan?” Firas menyoal seakan tidak
percaya. Tetapi, siapa yang di kedai cendol tempoh hari?
Allah! Dia tersalah sangkalah sebenarnya.
“Dia jadi cikgu di taska Aisy, kan?” soal Firas lagi.
“Ya,” jawab Tok Embun.
“Cucu tok dari Shah Alam?” tanya Firas seperti tak
percaya.
“Ya. Nilah cucu tok!” balas Tok Embun dengan nada
ditekan.
Firas diam membisu. Anak mata dikalihkan dari
pintu dapur. Kelibat cucu Tok Embun sudah pun hilang
dari pandangan. Firas memandang Tok Embun dan Syuk.
Kemudian, bibir mengukir senyuman.
“Kau jangan buat hal. Minggu ni kau dah nak
bertunang.” Syuk ingatkan Firas akan majlis pertunangan
Firas dan Qisya yang bakal diadakan beberapa hari saja lagi.
Firas tersenyum lagi. Kali ini meleret saja
senyumannya dan anak mata terlekat di wajah Tok Embun.

*KELUARAN MEI 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

No comments:

Post a Comment