Wednesday, 19 April 2017

Bibik Milenium- Bab 4

Teksi sudah menghampiri rumah sewanya.
Detak jantung mula tidak menentu. Dia belum bersedia
untuk berjumpa dengan Karlisa ataupun Saiful. Kalau
mengikut perancangan awal, dia dengan Saiful akan berlepas
ke Bali saat ini.
Dari dalam teksi, dia nampak sesuatu yang kurang
menyenangkan. Beg pakaian tersusun di luar rumah. Dia
kenal beg itu. Tapi siapa yang baik sangat bawa turun beg
pakaiannya? Tiba-tiba dia rasa ada sesuatu yang tidak kena.
Apa pula bala yang akan menimpanya?
“Pakcik, tunggu sekejap ya...”
Sebaik sahaja keluar dari teksi, dia nampak
seseorang yang dikenalinya sedang duduk sambil berkipas.
Lagak macam tuan rumah. Sekarang dia faham siapa yang
rajin sangat memunggah begnya keluar. Memang dia dah siap
kemaskan separuh barangnya untuk berpindah ke kediaman
baru bersama Saiful. Itu beg yang dia kemas.
“Bagus kau dah balik. Anak aku tak perlu malukan
diri berkawan dengan anak pelacur macam kau ni!” ujar Mak
Cik Esah, ibu Karlisa.
Suhaila langsung tidak terkejut. Kalau dah anak
lupa diri, tidak mustahil ibunya pun sama tidak betul. Suhaila
yang berdiri di luar pagar cuba menahan gelodak dalam hati.
Kenapa dunia seakan menentang dirinya? Riak wajah Mak Cik
Esah sangat berlainan ketika mereka bertemu sebulan yang
lalu. Apakah sandiwara yang perempuan tua ini lakonkan?
Sebulan yang lalu, Mak Cik Esahlah yang memujuknya
untuk bertenang ketika Saiful menghantar rombongan
memutuskan pertunangan. Namun sekarang, menghina dia
pula.
Mak Cik Esah berdiri dengan lagak sombong. Kipas
di tangan diayun ke kiri dan ke kanan. Mentang-mentang
dah dapat menantu anak Dato, dah pandai nak sombong.
Dulu bukan main panggil dia Suhaila sayang. Sekarang
panggil dia anak pelacur pula. Suhaila bukan setakat kecewa
dengan Karlisa, tapi juga dengan seluruh keluarga Karlisa
yang telah mengkhianatinya. Keluarga yang sudah dianggap
keluarganya sendiri.
“Beg baju aje? Saya rasa mak cik dah silap ni.”
“Apa yang silapnya? Kau memang patut keluar dari
rumah ni!”
“Habis tu... TV, sofa, dapur, VCD player, mesin
basuh dan semua barang-barang dalam rumah ni, kenapa
tak keluarkan sekali? Barang-barang tu saya beli pakai duit
saya. Lisa cuma tumpang pakai aje. Maklumlah anak orang
kampung, orang susah tak ada duit.” Suhaila cuba untuk
bercakap sehabis baik. Dia hormat Mak Cik Esah sebagai
orang tua. Tapi kalau orang tua dah lupa diri, dia patut bagi
pengajaran.
Riak muka Mak Cik Esah sedikit berubah.
“Dan jugak saya nak duit saya balik. 15 ribu yang
Mak Cik Esah guna untuk tebus tanah kat kampung. Saya kan
ada cakap, Mak Cik Esah boleh bayar bila dah mampu. Mesti
dah mampu sekarang, kan? Besan dengan Dato, apalah sangat
15 ribu tu. Betul tak? Lagi satu, saya lupa Lisa dah berhutang
duit sewa rumah ni selama setahun. Suruh dia bayar sekali.”
Suhaila senyum. Senyuman mengejek. Beginilah sikap
manusia yang dia tidak suka. Bukan setakat tikam belakang.
Bunuh terus kalau boleh.
“Tak guna punya anak pelacur. Berani kau sindir
aku. Sedar diri sikit, kau tu daripada keturunan hina!” Mak
Cik Esah kelihatan marah. Nampak telinga Mak Cik Esah
bertukar merah.
Suhaila buat tidak peduli. Dia hormat orang yang
boleh hormat dia.
Jiran-jiran mula berkumpul apabila mendengar
kekecohan itu. Mula terdengar sok sek sok sek daripada
jiran-jiran. Suhaila cuba tebalkan muka. Perkataan ‘anak
pelacur’ yang terngiang-ngiang di telinga bagaikan kaca-kaca
halus menusuk ke jantung.
“Anak pelacur inilah yang suatu ketika dulu tolong
mak cik. Anak pelacur yang mak cik kutuk sekarang ni yang
tolong tebus tanah mak cik daripada kena gadai. Duit daripada
anak pelacur ni yang tolong sekolahkan anak bongsu mak cik.
Jadi, siapa yang hina sekarang? Orang yang tak kenang budi,
atau anak pelacur???” Suhaila lantang bersuara. Hatinya
sudah retak dibuat Karlisa. Sekarang bukan setakat retak,
malah sudah hancur menjadi debu. Kenapa manusia yang dia
tolong seikhlas hati cuba membunuh jiwanya?
“Saya sedar saya tak ada ibu bapa. Asal keturunan saya
tak jelas. Tapi bukan hak mak cik hina saya macam tu. Saya
ada maruah jugak. Allah tak pernah membezakan umat-Nya.
Kenapa pulak mak cik nak jadi Tuhan tuduh saya makhluk
hina?” Suhaila menahan air mata agar tidak gugur. Sekian
lama hal keturunan ini tidak terungkit. Hari ini perkara yang
paling dia takutkan terjadi juga. Terasa malu juga apabila
menghadap jiran-jiran yang selama ini baik dengannya.
“Kau ada maruah ke? Silap-silap kau pun pelacur
jugak. Makan duit haram hasil jual badan. Sebab tu duit kau
banyak. Entah apa kau buat kat Dubai tu, tak ada siapa pun
tahu.”
Mak Cik Esah sudah melampau. Suhaila rasa
tangannya sudah menggigil. Ingin sahaja dia lepaskan
penumbuk pada wajah sombong Mak Cik Esah. Dia
beristighfar dalam hati.
“Karlisa rampas bakal suami saya, saya boleh
bersabar. Saya anggap tak ada jodoh. Karlisa buka aib saya,
itu semua urusan Allah. Tapi bila Mak Cik Esah hina saya dan
ungkit keturunan saya, tahap sabar saya dah hilang. Hasil duit
haram ni yang sekolahkan Karina sampai habis STPM. Hasil
duit haram ni yang Mak Cik Esah guna untuk modal buat
bisnes dan hasil duit haram inilah yang Mak Cik Esah guna
untuk tebus tanah yang suami kaki judi mak cik tu gadai.
Kalau Mak Cik Esah nak bersihkan keluarga Mak Cik Esah
daripada duit haram, tolong bayar balik setiap sen duit saya.”
“Aku tak minta pun, kau yang terhegeh-hegeh nak
bagi. Kalau aku tahulah duit tu duit haram, mati hidup balik
pun aku tak akan guna duit tu.” Mak Cik Esah masih dengan
lagak sombongnya.
Suhaila rasa salah dengar ayat itu. Orang tua ini lupa
agaknya siapa yang melutut dan merayu di kakinya.
“Lain kali, masa dapat duit tanyalah hasil dari mana.
Jangan main pakai aje. Sekarang dah jadi darah daging dah,”
sampuk seseorang.
Suhaila menoleh ke belakang. Jiran selang dua
rumahnya. Kak Ija.
“Kau siapa nak masuk campur?”
“Akak pernah dengar tak semua bayi dilahirkan
ibarat kain putih? Ibu bapa akan mencorakkan kain putih
tu. Kalau mak dia pelacur, tapi dah insaf... apa hak akak nak
hukum dia? Hanya Allah yang berhak menghukum. Bukan
kita,” ujar Kak Ija lagi.
Suhaila jadi terharu. Ada juga orang yang simpati
terhadapnya.
“Kau sibuk kenapa? Suka hati akulah.” Mak Cik Esah
tidak tunggu lama dan terus angkat kaki masuk ke dalam
rumah.
Suhaila nampak ada sepasang mata mengintai dari
celah langsir tingkap. Mungkin itu Karina.
“Biarlah dia tu. Su tumpang rumah akak aje buat
sementara ni.” Kak Ija memeluk Suhaila. Dia dengar setiap
butir bicara Suhaila dengan Mak Cik Esah. Tentu Suhaila
sedang sakit hati kerana tunangnya dirampas kawan baik
sendiri.
“Terima kasih Kak Ija. Nantilah saya fikir macam
mana. Sekarang saya nak masuk dalam ambil dokumen
penting saya. Nak minta tolong akak dengan Aizat temankan.”
Suhaila dengan ditemani Kak Ija dan Aizat berjaya
juga masuk ke dalam rumah walaupun dihalang oleh Mak
Cik Esah. Suhaila perlu ambil semua barang-barangnya yang
berkaitan kerja, laptop dan semua dokumen penting. Perabot
dan semua yang lain dibiarkan saja.
“Ingat Suhaila... kalau kau muncul lagi kat depan ni,
aku report polis!”
Sakit hati Suhaila dengan kata-kata Mak Cik Esah.
Mak Cik Esah ingat dia seorang aje boleh buat gila?
“Perhatian, hari ni saya nak buat sedekah. Sesiapa
yang perlukan perabot atau barang-barang elektrik, boleh
masuk dan ambil. Perabot ni semua saya beli pakai duit saya,
bukan pakai duit anak dia. Sila masuk dan ambil. Kak Senah,
saya baru beli oven baru. Ambillah buat ganti oven akak yang
dah buruk tu.”
Kak Senah yang sejak tadi berdiri di pagar mula
merapati Suhaila yang berada di pekarangan rumah. Tawaran
Suhaila ibarat bulan jatuh ke riba.
“Betul ke Su?” tanya Kak Senah mahukan kepastian.
Melihat muka Mak Cik Esah pun dia sudah gerun.
“Ya kak... oven tu saya punya. Ni resit pembelian
atas nama saya.” Suhaila mengeluarkan resit dari fail yang
dipegangnya. Ada guna juga dia simpan semua resit pembelian
sejak dua tahun lepas.
“Siapa berani masuk, aku panggil polis!” ugut Mak
Cik Esah.
“Pergilah panggil polis. Surat perjanjian sewa
rumah ni pun atas nama saya, bukan Karlisa. Kalau tak nak
merasa tidur dalam lokap, jangan halang saya bersedekah!
Kak Senah... Kak Ogy... Kak Maz... pergi masuk. Ambil aje
apa akak nak.” Puas hati Suhaila melihat wajah Mak Cik Esah
yang terkulat-kulat melihat semua barang diangkut keluar.
“Kau memang perempuan kurang ajar!”
“Harta saya... duit saya... suka hati saya!” Suhaila
tidak mahu bercakap banyak lagi. Makin dilayan, makin sakit
hatinya. Diangkut beg satu per satu masuk ke dalam teksi
yang masih menunggu dengan dibantu oleh Aizat.
Mak Cik Esah terdiam apabila jiran-jiran mula
mengata.
“Su nak pergi mana? Su tinggallah dengan akak.
Takkan Su segan dengan Aizat?” tanya Kak Ija. Risau pula
dia kalau Suhaila bertindak di luar jangkaan. Tapi dia yakin
Suhaila seorang yang tabah.
“Takpelah kak. Saya tak nak susahkan akak.
Akak jangan risau, saya okey.” Suhaila meyakinkan Kak
Ija. Sebenarnya dia sendiri pun tidak pasti apa yang perlu
dilakukannya sekarang. Dia sudah hilang segala-galanya.
“Kak Ija... ini surat perjanjian sewa rumah antara
saya dengan Lebai Manap dan juga kunci rumah. Akak tolong
serahkan kat dia. Cakap kat dia, saya sedekahkan semua duit
deposit kat tabung masjid. Cuma Lebai Manap aje boleh halau
Karlisa dengan mak dia.” Suhaila ingin melupakan terus
kenangannya di rumah itu. Kenangan persahabatan palsu
Karlisa dengannya.
“Su... ingat Allah ya. Kalau hati gundah, mengadu
kat Dia.” Kak Ija memeluk Suhaila. Kesian dengan nasib
malang gadis ini.
“Akak jangan risau, saya okey. Saya akan sentiasa
ingat Allah.” Suhaila mengesat air mata Kak Ija. Selama ini
mereka bukannya rapat sangat, sebab dia sibuk. Namun, Kak
Ija jiran yang baik dan sentiasa bertegur sapa apabila mereka
berjumpa.
“Pak cik, tolong balik ke vila tadi.” Suhaila masuk ke
dalam perut teksi. Dia tak ada tempat hendak dituju sekarang
ini selain daripada rumah Tengku Zabidi. Pagi tadi dia tolak
permintaan Tengku Zabidi. Sekarang, terpaksalah dia terima
tawaran bapa mentuanya itu.
Pagi-pagi lagi Suhaila sudah bangun. Dia tidak ada baju
lain, jadi selepas mandi terpaksalah dia memakai semula baju
semalam.
“Papa nak Aileen tolong bawa anak papa ke pangkal
jalan.”
Suhaila terkejut. Pertama, dia rasa pelik apabila
bapa mentuanya memanggilnya Aileen. Suka-suka aje
memanggilnya dengan nama itu. Kedua, pelik dengan
permintaan bapa mentuanya. Dia tidak kenal pun siapa
Tengku Kaz. Dia cuma kenal nama dan reputasi Tengku Kaz
sahaja. Tengku Kaz seorang kaki perempuan dan dengar
cerita, ramai yang pernah tidur dengannya. Dia pun tidak
berkehendakkan suami macam itu.
“Tengku, rasanya biar saya berterus terang pasal
diri saya. Saya ni dibesarkan di rumah anak yatim. Orang
yang serahkan saya ke rumah anak yatim tu pelacur. Jadi
kemungkinan besar saya ni anak pelacur. Saya rasa Tengku
pun tak nak terlibat dengan saya.” Biarlah dia berterus terang
sekarang. Dia tidak mahu hal asal keturunan menjeratnya
kelak. Biar orang benci dia sekarang.
“Aileen sendiri pelacur ke?”
Berubah wajah Suhaila apabila disoal begitu.
Terasa nasi goreng yang ditelan berubah menjadi pasir. Ibu
mentuanya juga kelihatan terkejut. Tengku Zabidi saja yang
terus makan. Soalan yang menjerat Suhaila bagaikan soalan
budak darjah satu. Biasa ditanya oleh sesiapa pun.
“Saya arkitek. Saya bukan pelacur,” jawab Suhaila
tegas.
“Jadi tak ada masalah rasanya. Papa rasa papa ni baik,
tapi tengoklah anak papa. Kenapa dia tak jadi baik macam
papa? Kalau ibu kamu pelacur pun, itu antara dia dengan
Allah. Yang penting diri kamu, Aileen. Kamu tahu siapa diri
kamu. Asal keturunan tak memastikan seseorang itu akan
jadi baik. Papa tahu kamu seorang arkitek yang berjaya.”
Suhaila rasa terharu. Kenapa orang yang sudah
berjaya dan berstatus jutawan boleh saja berfikiran positif?
Kenapa orang-orang macam Saiful dengan Karlisa tidak
boleh berfikiran begini? Dia baru sehari semalam mengenali
Tengku Zabidi, tapi dia rasa diterima dan dihargai. Dia kenal
Karlisa dan Saiful bertahun-tahun, tapi dia kecewa dengan
sikap kedua-duanya.
“Tapi Tengku, saya tetap rasa tak layak masuk dalam
hidup keluarga Tengku. Apatah lagi masuk dengan cara yang
tak sesuai macam ni.” Suhaila merendah diri.
“Kita boleh minta ke kita nak mati macam mana
atau dalam keadaan apa? Semua urusan Allah, kan? Macam tu
jugak dengan jodoh. Aileen boleh merancang, tapi Allah yang
tentukan. Papa tahu Aileen rancang majlis besar-besaran dan
indah dengan orang lain, tapi takdir Allah tentukan Aileen
jadi menantu papa.”
Suhaila mati kutu lagi. Tokoh yang sedang duduk
bersarapan di depannya bukan sembarangan orang. Patutlah
Tengku Zabidi sangat dihormati. Suhaila kagum dengan
bapa mentuanya. Kata-kata yang terucap penuh dengan rasa
rendah diri.
“Aileen fikir dulu. Kalau kata Aileen berubah fikiran,
ini alamat Khalis. Seorang isteri tempatnya di sisi suami. Kita
tak boleh lari daripada takdir Allah. Tak ada istilah kahwin
paksa sebab jodoh semuanya daripada Allah.”
“Nantilah saya fikirkan...”
“maaf, Pak cik... kita ke alamat ni.” Suhaila menghulurkan
sekeping kertas kepada pemandu teksi. Pemandu teksi
memandang sekilas lalu mengangguk.
Suhaila tidak pasti apa yang dia buat ini betul ataupun
tidak. Menerima tawaran Tengku Zabidi akan membuatkan
dia bermusuhan dengan Khalis. Bermusuhan dengan Khalis
bermakna dia akan mencipta jurang dengan suami sendiri.
Tapi dia tidak mahu jadi isteri yang berdosa.
‘Kita tak boleh lari daripada takdir Allah.
Tak ada istilah kahwin paksa sebab jodoh
semuanya daripada Allah.’
Kata-kata Tengku Zabidi terngiang-ngiang di
telinganya. Dia akur dengan takdir Allah yang menentukan
hidupnya bersilang dengan hidup Khalis. Dia tidak kisah
apa pun reaksi Khalis nanti. Tempat seorang isteri di sisi
suaminya.

No comments:

Post a Comment