Sunday, 16 April 2017

Bukan Encik Sempurna - Bab 3

Soul mates are people who bring out the best in
you. They are not perfect but are always perfect
for you.
~Unknown Author~

AKU terus menekup mulut apabila melihat
‘samurai’ itu sudah masuk ke dalam bilik sebelah. Aku tidak
dapat melihat dengan jelas wajah si ‘samurai’ memandangkan
dia sedang berdiri membelakangi aku. Berulang kali aku
mengenyeh mata sendiri untuk memastikan yang aku bukan
sedang bermimpi. Berulang kali juga aku mencubit lengan
sendiri.

Rambut panjangnya yang tadi aku lihat menggerbang
sudah diikat ala-ala samurai. Dia memakai t-shirt berwarna
hitam dengan jean lusuh berwarna biru tua. Nasib baik bukan
yukata ataupun pakaian samurai yang tersarung di tubuh.
Yang aku musykil ialah benda panjang berwarna hitam
yang digalas di belakang badannya. Pedang samurai ke? Aku
menekup mulut sekali lagi.
Habislah! Macam mana dengan keadaan penghuni
bilik sebelah? Adakah kepala penghuni bilik sebelah akan
dipenggal dan seterusnya digantung? Dalam kepala sudah
teringat-ingat sejarah penjajahan zaman Jepun sewaktu kelas
Sejarah dahulu.
Aku terus berlari masuk ke dalam bilik dan mencapai
telefon yang disediakan oleh pihak hotel di meja solek. Pantas
jari menekan nombor satu untuk disambungkan ke bahagian
penyambut tetamu.
“Ada samurai dekat sebelah bilik saya!” aduku sebaik
sahaja panggilanku berjawab.
“Apa dia, cik?” suara cik penyambut tetamu
kedengaran di hujung talian.
“Ada samurai menceroboh masuk bilik sebelah ni.
Saya nampak dia dekat atas bumbung dengan pedang panjang
dia tu. Lepas tu sekali lompat aje dia dah ada dekat balkoni
bilik sebelah. Kalau awak tak datang sekarang, saya takut
kepala penghuni bilik sebelah akan tercabut dari badan.”
Terangku pantas.
“Samurai?”
“Ya, samurai. S-A-M-U-R-A-I.” Aku sertakan dengan
ejaan sekali supaya cik penyambut tetamu memahami apa
yang cuba aku sampaikan. Ya, aku faham yang tentunya cik
penyambut tetamu juga sedang terkejut sebagaimana aku
terkejut tadi.
“Mana ada samurai zaman sekarang ni, cik.” Dia
gelak.
Aku pegang kepala. Boleh pula cik penyambut
tetamu ini gelakkan aku.
“Kalau cik tak percaya, baik cik datang sekarang.”
“Okey, kami datang sekarang.”
Sementara menunggu kedatangan para pekerja hotel
Miri Marriot Resort & Spa ini, aku mula mundar-mandir di
dalam bilik sendiri. Sesekali, aku menekapkan telinga pada
dinding untuk cuba mencuri dengar apa yang sedang terjadi
di bilik sebelah tetapi telingaku tidak dapat menangkap
sebarang bentuk bunyi. Aku keluar ke ruang balkoni semula
dan cuba mengintai ke bilik sebelah tetapi hampa.
Aku terus berlari mendapatkan pintu apabila loceng
pintu bilikku berbunyi. Seorang wanita yang anggun dengan
persalinan baju kurung bermotifkan corak kain pua kumbu
tersenyum manis sebaik sahaja aku membuka pintu. Ada dua
orang lelaki yang juga merupakan pekerja hotel ini sedang
tersenyum di sisi wanita itu.
“Cik Hana?” soal cik penyambut tetamu.
“Ya, saya yang call tadi. Sekarang ni kita skip
ice-breaking session dan terus ke bilik sebelah. Sejak tadi saya
tak dengar apa-apa bunyi dari bilik sebelah.” Aku bergegas
menyarung sandal dan menarik tangan cik penyambut
tetamu yang bernama Emily itu ke bilik sebelah a.k.a. bilik
yang dimasuki oleh encik samurai tadi.
Emily menekan loceng pintu bilik bersebelahan
dengan bilikku.
Senyap.
Loceng bilik ditekan semula.
Senyap lagi.
Aku dan Emily sudah saling berpandangan.
Kan aku dah kata! Nanti tinggal kepala sahaja.
Emily menekan lagi loceng bilik dan tiba-tiba pintu
bilik dibuka dari dalam.
“Encik Luth, minta maaf mengganggu.” Tutur Emily
sopan sebaik sahaja pintu bilik terbuka.
“Ni samurai tu. Rambut sama, baju sama!” Aku
hampir terjerit dengan jari telunjukku terus naik di hadapan
wajah lelaki yang dipanggil sebagai ‘Encik Luth’ oleh Emily
sebentar tadi.
Lelaki berbadan tegap dengan parut kecil di hujung
kening kanannya itu merenungku tajam. Aku menelan air
liur. Dalam kepalaku sudah terbayang-bayang yang kepalaku
akan meninggalkan badan.
“Mana pedang samurai awak tu? Mana kepala-kepala
diaorang?” soalku lagi sambil memanjangkan tengkuk untuk
mengintai keadaan di dalam bilik.
“Samurai? Pedang samurai? Kepala?” suara garau
milik lelaki ini kedengaran.
Emily dan dua lagi lelaki yang datang bersama-sama
dengannya sudah ketawa kuat. Aku mengerut dahi. Kenapa
mereka ini tiba-tiba ketawa pula? Gila? Sewel? Miring? Atau
perkataan lain yang sama erti dengannya?
“Cik Hana, saya rasa cik dah salah faham.” Balas
Emily dengan tawa yang masih bersisa.
Aku kembali mengerutkan dahi. Salah faham?
“Encik Luth ni suka ambil gambar dari atas
bumbung. Kalau cik pernah dengar, zaman sekarang ni kan
popular dengan trend photographer yang ekstrem sebegini
semata-mata untuk mendapatkan shot gambar yang terbaik.”
Terang Emily dan wajah lelaki bernama Luth ini dipandangnya
sekilas.
“Saya tak pernah dengar orang panjat bumbung
untuk tangkap gambar. Yang saya tahu, adik-beradik
samurai, ninja dan yang sewaktu dengannya aje yang pandai
panjat bumbung.” Balasku pantas dan renungan tajam encik
samurai kubalas berani.
“Kalau macam tu, Cik Hana dah dengar malam ni.
Pihak kami tahu sebab Encik Luth dah maklumkan kepada
pihak kami terlebih dahulu. Tak sangka pula perkara ini boleh
menimbulkan salah faham kepada guests hotel yang lain.”
“Kejap, kejap. Habis tu, benda panjang yang saya
nampak macam pedang samurai tu apa? Pedang mainan?
Pedang Star Wars?” soalku tidak berpuas hati.
“Maksud kau benda ni?” Luth menarik keluar benda
panjang yang aku maksudkan sebentar tadi.
Aku terus menutup mataku sendiri.
“Buka mata kau tu. Kalau benda ni pedang samurai,
kepala kau dah tergolek jatuh.” Suara garau Luth kedengaran.
Aku terus membuka mata dan mulutku ternganga.
“Pernah dengar kewujudan selfie stick?” sinis sekali
kedengaran nada suara Luth a.k.a. encik samurai ini. “Ke
kau nampak selfie stick ni macam pedang samurai juga?”
sindirnya lagi.
Aku telan liur sendiri. Malunya! Malu! Serius malu
sampai tak tahu berapa keturunan. Aku kawal reaksi wajah
sendiri yang sudah terasa panas dan kebas. Aci tak nak minta
tukar bilik sekarang?
“Interesting, ada lagi rupanya orang yang percaya
dengan kewujudan samurai walaupun pada zaman moden
ni.” Luth ketawa pula membuatkan wajahku semakin kebas
dan aku terasa semakin sakit hati.
“Saya minta maaf.” Aku cepat-cepat angkat kaki dari
situ dan terus masuk ke dalam bilikku.
That guy is way too far from being an encik
sempurna. Tak mungkin jadi, tak akan jadi dan tak boleh jadi
sampai bila-bila!

“HANA, BETUL ke kau tak nak dinner dengan kita orang
malam ni? Malam ni malam last kita dekat Miri tau. Pagi esok
dah nak balik KL. Kita orang nak makan umai dengan laksa
Sarawak.” Soal Fizi memandangkan mereka mahu mencari
laksa Sarawak malam ini.
“Tak apalah, you guys go ahead. Lagipun aku
dah janji nak dinner dengan kawan aku.” Jawabku sambil
tersenyum.
“Kau ada kawan ke dekat sini?” soal Nazrin.
“Ada. Kawan aku ajak aku dinner dekat Piasau Boat
Club sebab dia kerja dekat situ.” Balasku.
“Betul ni?” Nazrin menyoal sekali lagi dan aku
mengangguk.
“Bukan sebab kau marah aku pasal kes samurai tu?”
soal Nazrin dan disambut oleh tawa Sam dan Fizi.
“Kau jangan ungkit balik pasal samurai tu. Aku
penggal juga kepala korang guna pedang samurai.”
Mereka kembali ketawa. Kurang asam boi sungguh!
TIDAK LAMA kemudian, Atiqah yang merupakan
kenalanku di bumi Kenyalang ini tiba di pekarangan hotel
untuk menjemputku. Memandangkan sudah lama tidak
menghubungi antara satu sama lain, kami berborak panjang
sepanjang perjalanan kami ke tempat yang dituju.
Sedang asyik aku menikmati pemandangan malam
bandar Miri dengan pelbagai jenis bot disusun kemas di tepi
sungai, tiba-tiba anak mataku menangkap figura manusia
yang tiba-tiba berdiri di atas pengadang besi jambatan.
“Tiqah!” Aku memanggil kuat namanya.
“Ya Allah, Hana! Kenak kitak?” Disebabkan terkejut
kerana aku tiba-tiba menjerit kuat namanya, dialek Sarawak
Atiqah turut terkeluar.
“Tu, ada orang nak bunuh diri.” Aku menunjuk ke
arah figura manusia itu.
“Isy, biarlah. Entah-entah orang gila tu.” Balas
Atiqah.
“Berhentilah sekejap, Tiqah. Kita kena halang dia
sebab kita dah nampak.” Balasku lembut.
“Yalah, yalah... kalau orang gila, kita cabut
cepat-cepat, ya?”
“Okey.”
Atiqah memberhentikan Myvi putih miliknya tidak
jauh daripada lelaki yang masih berdiri di atas pengadang
jambatan itu. Aku berlari mendapatkan lelaki itu. Jika tersilap
langkah, dia boleh menjunam jatuh ke dalam sungai di bawah
sana.
“Encik, berhenti!”
Langkah kaki lelaki tersebut terhenti.
Okey, berjaya.
“Encik, jangan bunuh diri macam ni. Setiap masalah
ada penyelesaiannya. Tuhan itu sentiasa ada.”
Lelaki yang sedang berdiri senyap itu masih
membelakangi aku. Dia ni tekad nak terjun ke dalam sungai
ke?
“Tiqah, cuba kau tolong speaking Sarawak dengan
encik ni. Mungkin lagi berkesan.” Aku berbisik kepada Atiqah
yang sedang berdiri di sisiku.
“Encik,” panggilku lagi memandangkan lelaki
bersweater berwarna maroon ini tidak menunjukkan
sebarang reaksi yang positif.
“Masalah aku ialah... aku asyik terserempak dengan
perempuan busybody lagi sewel macam kau ni.” Lelaki itu
sudah menarik hoodie yang menutup wajahnya sebentar tadi
ke bawah.
Encik samurai? Eh, bukan. Luth!
Habislah kau, Ulya Hana. Baik kau aje yang terjun ke
dalam sungai tu...

No comments:

Post a Comment