Sunday, 16 April 2017

Bukan Encik Sempurna - Bab 5

Love is like the wind, you can’t see it but you
can feel it.
~Nicholas Sparks~

“HANA, baru pukul 3 petang. Awat awai sangat
hang kena ligan dengan hantu?” soal Farah sebaik sahaja
aku berjaya memboloskan diri masuk ke dalam Honda CR-Z
merahnya.
Tanpa perlu Farah mengunci pintu, aku terus
mengunci pintu dengan sendiri sambil anak mata masih
mengintai ke luar tingkap. Manalah tahu ketiga-tiga L, M dan
N itu masih mengejarku.
“Hana!”
Aku berpaling memandang Farah yang sedang
memandangku dengan dahi berkerut-kerut.
“Hah?”
“Kau ni kenapa? Kan aku dah kata, mana ada hantu
ligan orang siang-siang buta macam ni.”
“Bukan hantu, tapi...”
Jeda.
Luth tu dah sah-sah bukan samurai. Hantu pun
bukan walaupun ada sedikit perangai macam hantu.
Entah-entah ahli kongsi gelap tak?
“Aku jumpa ahli kongsi gelap dekat Miri. Tadi aku
nampak diaorang dekat sini. Sebab tu aku terus cabut.”
Farah terus ketawa.
“Yang mamat kau ingatkan samurai tu ke?”
Aku pantas mengangguk.
“Kenapa kau cakap dia ahli kongsi gelap?” soal Farah
dengan tawa yang masih bersisa. Dia terus memandu kereta
meninggalkan pekarangan Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur 2.
“Kalau kau tengok dalam TV, geng-geng kongsi gelap
ni kan aktif waktu malam. Depa ni pandai memanjat sana
sini, tak takut mati. Lepas tu ada pengikut yang akan setia
ikut ketua dia ke mana-mana. Kau tak tengok lagi mamat tu
in person, Farah. Cara dia tengok aku macam dia nak cekik
aku kut! Dahlah dekat hujung kening dia ada parut. Selalunya
orang jahat aje yang ada parut macam tu.”
Tawa Farah semakin kuat.
Eh, eh... dia ni! Ini bukannya kisah komedilah.
“Tapi, kau pun pernah tengok dekat TV yang ketua
kongsi gelap tu jatuh cinta dengan gadis yang baik, lepas tu
terus insaf, kan? Entah-entah sebab tu kau asyik terserempak
dengan dia kut. Jodoh, mungkin?”
“Farah, tarik balik apa yang kau cakap tadi!”
Farah terus ketawa.
“Kau ingat mulut ni ada gear reverse macam kereta
ke?”
Aku mencebik.
“Relakslah, beb. Mak aku kata, kalau kau jumpa
dengan orang yang sama sampai sepuluh kali, sahlah dia tu
jodoh kau. Kau baru jumpa dia tiga kali, kan? Masih ada lagi
baki tujuh kali.”
Farah kembali menyambung tawanya.
“Siapa yang kata?”
“Mak akulah yang kata.”
“Ceh! Yalah tu...” Aku menjulingkan biji mata ke
atas.
“Kalau kau hari-hari jumpa guard yang sama dekat
ofis kita tu, maksudnya guard tu jodoh kau ke?” sindirku.
“Itu lain.”
“Apa yang lain? Sama aje, kan? Lebih sepuluh kali
lagi.”
“Yalah, lainlah. Sebab guard tu memang tugas dia
untuk ada dekat situ.”
Pulak dah!

“AWAT SAMPAI lambat sangat ni, Uya?” tegur umi sebaik
sahaja kami selesai bersalaman dan berpelukan.
“Kerja banyak, umi. Sebelum nak cuti ni kena
settlekan kerja, nanti depa bising. Nanti bila phone Uya
berbunyi waktu kenduri, umi pulak yang hingaq.” Aku
sengih.
“Itulah, dulu umi suruh hang jadi cikgu ja. Cikgu
kan banyak cuti.” Balas umi bersahaja.
Aku terus gelak. Yalah, umi merupakan seorang
pesara guru. Kalau boleh, dia mahu salah seorang daripada
anak-anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi warga
pendidik. Masalahnya, aku ni bukannya boleh bersabar nak
mengajar anak orang. Silap hari bulan, ada pula mak bapak
budak yang datang sekolah serang aku.
“Abah mana, umi?” soalku memandangkan aku tidak
nampak kelibat abah di dalam rumah mak tok.
“Abah hang dok ikut pak long hang pi jumpa orang
nak pasang khemah tu. Pilah masuk dalam bilik, berehat
dulu. Uya dah makan ke belum ni?”
Aku senyum memandang umi.
“Mestilah belum.” Aku sengih.
“Dah pukul 10 malam ni, Uya.” Automatik anak mata
umi melekat pada jam dinding antik milik mak tok.
“Takutlah singgah R&R sorang-sorang waktu malam
macam ni. Buatnya kedai R&R yang Uya pergi tu memang tak
wujud ke, memang haru jawabnya.”
“Hang tu memang penakut!”
Aku ketawa lagi.
“Uya pi mandi dulu. Biaq umi siapkan makanan
dulu.”
Aku senyum dan mengangguk. Ni yang aku selalu
sayang umi lebih.
“Baju yang Rara pass dekat akak tu, akak ada
bawa balik dak?” Haura, anak bongsu pak long yang akan
melangsungkan pernikahan beberapa hari lagi melabuhkan
duduk di sebelahku.
“Ada dalam kereta. Takkanlah akak nak lupa.” Aku
duduk bersandar pada sofa sambil anak mata memandang
mak tok yang nampak bersemangat membetulkan gubahan
hantaran Haura.
“Yalah, Kak Uya ni bukan boleh percaya sangat. Sat
lagi lupalah, tertinggailah. Dahlah baju tu cheq tempah khas
dekat Malique Johari. Tau sangat akak ni busy mengalahkan
menteri.” Haura menarik muncung.
“Akak yang busy ni jugalah yang hang suruh jadi
pengapit. Bff hang yang ramai tu pi mana?”
“Kan depa dah kena jadi dulang girls. Lagipun, kalau
sepupu perempuan kita yang kahwin, akak yang selalu jadi
pengapitnya. Akak dah ada experience.” Haura tersengih.
“Lepas ni akak nak pencen dah. Tak mau jadi
pengapit orang dah. Tunggu nak naik pelamin sendiri aje.”
“Ala, Kak Uya! Habis tu, Hani macam mana?” Tiba-tiba
Hani yang baru selesai menolong mak tok menyampuk.
“Hangpa ingat akak ni buka business jadi pengapit
pengantin ke apa?” Aku jegil biji mata memandang adik
bongsuku itu.
Hani terus mengekek gelak.
“Okey juga tu, kak. Akak berhenti aje jadi auditor,
lepas tu buka business jadi pengapit orang. Nanti boleh buat
iklan... Pengapit Untuk Disewa.” Hani kembali menyambung
ketawa bersama Haura.
Kurang asam betul budak-budak berdua ni!
“Rara, hang tak pernah dengaq lagi pengapit
perempuan lari sebelum majlis, kan?” soalku bersahaja.
“Hang jangan, kak. Dress MJ tu akak sorang aje yang
boleh sarung.” Jawab Haura pantas.
Giliran aku pula ketawa. Aci pula mengugut aku
menggunakan persalinan baju pengapit.
“Yalah, untunglah kahwin dengan anak orang kaya.
Buat majlis gilang-gemilang.” Wajah Haura yang kelihatan
berseri-seri itu kupandang. Yalah bakal raja sehari, tentunya
dia sangat bahagia.
“Rara tak tengok pun harta dunia, kak. Yang paling
penting tengok iman di dada dulu. Itu bekal akhirat yang
kekal.”
“Ohhhh...” Hani sudah bersorak sambil
memukul-mukul bahu Haura.
“Ini bukti kita tak lena waktu kursus kahwin.” Balas
Haura bangga.
“Kak Uya, Rara ada satu cadangan.” Tambah Haura
sambil memperlahankan suara.
Ini yang aku tidak sedap hati. Cadangan apa pula?
“Fayed, dia ada kawan. Nama dia...”
“Stop!” Aku angkat tangan kananku, sudah boleh
mengagak cadangan Haura.
“Ala... kak. Bagilah chance dulu. Kalau tak, macam
mana Rara dengan Hani nak jayakan projek Kak Uya
kena kahwin sebelum hujung tahun?” soal Haura sambil
memandang Hani.
“Projek apa?” soalku pantas.
“Projek Kak Uya kena kahwin sebelum hujung
tahun.”
Aku menjegilkan biji mata memandang Haura dan
Hani.
“Siapa yang pandai-pandai buat projek merepek ni?”
Haura dan Hani terus senyap.
“Mak tok yang suruh buat. Awat?”
Aku terus berpaling memandang mak tok yang sudah
berdiri di belakang aku. Habislah... mem besaq dah mai...

No comments:

Post a Comment