Wednesday, 19 April 2017

Cinta Asma & Ferhad - Bab 15

“KENAPA Asma ambil pertanian?”
“Sebab Asma suka berkebun.”
“Abang tengok keliling rumah ini, boleh dikatakan
semuanya Asma yang tanam. Ibu tolong jagakan bila Asma
tak sempat nak jaga. Ibu cakap tangan Asma ‘sejuk’. Sebab
itulah semua yang Asma tanam tumbuh subur.”
Ferhad ambil tangan Asma lalu meramasnya. Lembut
kulit tangannya, tak macam orang buat kerja berkebun.
“Tapi kalau Asma ambil kursus lain pun Asma boleh
juga teruskan berkebun. Jadikan hobi,” fikir Ferhad.
“Asma nak jadikan pertanian sebagai kerjaya Asma
pada masa depan. Asma suka hidup dalam kebun,” ujar Asma
dengan semangat berkobar-kobar.
“Ini cita-cita Asma sejak Asma tolong ibu menanam
dan menjual sayur. Asma rasa seronok. Lagipun...”
Asma pandang wajah suaminya di sisi. Mereka
sedang duduk-duduk santai di halaman rumah ibunya sambil
menghadap sawah hijau terbentang.
“Asma tak pernah terfikir pun nak tinggalkan
kampung ini, hidup kat bandar. Asma cuma fikir, pergi
belajar. Timba ilmu secukupnya kemudian balik ke kampung
usahakan kebun sayur-sayuran bersama ibu. Hidup bahagia
bersama ibu kat sini.” Perlahan suara Asma berkongsi
impiannya.
Impian yang terlalu ringkas dan mudah dicapai.
Ferhad berpaling melihat isterinya yang menatap
wajahnya. Dia tidak jangka itu impian Asma. Ringkas dan
semudah itu.
“Asma tak teringin nak kerja kat dalam pejabat?
Pakai cantik-cantik? Hujung minggu keluar berhibur
bersama kawan-kawan?” soal Ferhad.
Asma angkat bahu. Sedikit pun dia tak rasa teruja
ke arah itu.
“Entahlah. Masa ayah ada dulu, ada juga keinginan
nak rasa hidup kat bandar. Lebih-lebih lagi bila tengok anak
cucu Nek Som balik ke kampung. Semuanya pakai kereta
besar-besar, baju pulak cantik-cantik. Asma pernah tanya
kat ayah, bila kita nak pindah duduk bandar macam anak
Nek Som tu?” Asma terhenti seketika menyusuri kenangan
bersama dengan ayahnya. Tak banyak yang dia ingat sebab
masa ayah meninggal, dia baru berumur 13 tahun.
“Ayah cakap, tunggu Asma besar dulu. Nanti bila dah
besar, Asma boleh kerja di bandar dan balik dengan kereta
besar dan baju cantik ke rumah ayah. Abang tahu apa yang
Asma balas lepas tu?”
Ferhad angkat kening sebelah bertanya. “Apa dia?”
“Tak naklah kerja kat bandar kalau kena tinggalkan
ayah dan ibu. Baik Asma kerja dekat kampung. Setiap hari
boleh jumpa ayah ibu. Asma kesiankan Nek Som. Jarang
dapat jumpa anak-anak dia walaupun anak-anaknya pakai
kereta besar dan baju cantik-cantik.”
Mendengar jawapan Asma, Ferhad tunduk dan
senyum tipis.
“Rasanya selepas itu, Asma belajar menanam dengan
ayah. Bagi Asma, hidup kat kampung ni buat Asma bahagia
dan gembira. Sekarang bila ada abang, berkali ganda bahagia
Asma.”
Ferhad tarik Asma ke dalam pelukannya. Sebuah
ciuman diberikan di ubun-ubun Asma. Polosnya hati
isterinya. Perasaannya bergolak dalam jiwa. Ada rasa tidak
mampu diluahkan. Dia tak sampai hati. Dia akan cuba
membahagiakan wanitanya ini.
“Tapi abang jangan ingat gadis kampung macam
Asma ni kolot tau. Asma tahu setiap perkembangan
semasa. Asma tahu tentang media sosial. Asma tahu setiap
perkembangan dunia hiburan tempatan dan luar negara,”
ujar Asma sambil meleraikan pelukan mereka.
“Asma suka hidup kat kampung tak semestinya Asma
seperti katak di bawah tempurung. Asma tahu apa fungsi
Durex,” ujar Asma lagi sambil menatap mata suaminya. Dia
senyum malu.
Ferhad jongket kening. Bibirnya senget mahu ukir
senyum. Tak sangka ini yang keluar dari bibir merah jambu
isterinya itu.
“Dalam dua minggu ni, abang tak perlu pakai Durex.
Ini bukan waktu subur Asma. Abang tak perlu risau. Lagipun
masa buat ujian HIV hari tu, misi ada berikan ubat perancang
bila Asma cakap tak nak mengandung lagi buat masa ni sebab
nak sambung belajar.” Asma berterus terang.
Ferhad garu kepalanya yang tidak gatal. Dia terkejut
sebenarnya. Dia tidak jangka Asma sudah merancang dari
awal.
“Lagipun Asma tak nak merosakkan perancangan
hidup abang dengan permintaan tiba-tiba Nek Som. Kita
sama-sama tak bersedia, kan?” Kata-katanya selepas itu
membuatkan Ferhad terharu. Sesuatu yang tidak pernah
terlintas dalam fikirannya.
“Terima kasih, sayang. Abang tak sangka, sungguh.”
Asma senyum.
“Sebab itu, abang jangan pandang lekeh dengan
budak kampung ni. Asma dah siapkan perancangan masa
depan Asma untuk 5 tahun akan datang. Tapi masa tu tak
termasuk abang. Nampaknya Asma kena adjust sikit, selitkan
abang dalam perancangan Asma.” Asma peluk lengan Ferhad.
Disandarkan kepalanya di bahu Ferhad. Dia pejam mata,
mengusir sebak di dada.
Ferhad kucup lagi ubun-ubun isterinya. Lama
mereka melayan perasaan masing-masing.
“Semua dah siap untuk daftar belajar nanti?”
“Belum. Satu pun tak buat lagi.”
“Esok kita settlekan semuanya. Lusa kita pergi
Cameron Highlands, honeymoon. Abang nak kita habiskan
masa berdua sahaja dalam dua minggu ni. Abang nak gunakan
masa ni mencipta dunia bahagia kita.”
Asma angguk. Dia juga akan gunakan masa dua
minggu ini sebaiknya untuk mencipta memori terindah
bersama suaminya. Sebab selepas ini dia tidak pasti adakah
bahagia untuk mereka.
“Jom...” Ferhad tarik tangan Asma berdiri.
“Ke mana?” tanya isterinya hairan.
“Kita bawa ibu dan nenek berjalan-jalan hari ini.
Habiskan masa bersama mereka.”
“Okey, jom.” Asma genggam tangan Ferhad erat.
Mereka melangkah sambil berpimpinan tangan menuju ke
rumah.
Di celah pintu jendela, Rohani melihat kemesraan
merpati dua sejoli itu. Alhamdulillah, keputusan untuk
mengahwinkan Asma tidak salah. Ada seseorang akan
menjaga anaknya bila sampai masanya dia pergi nanti.
Dalam diam, dia telah menitipkan amanah buat
Ferhad.
“Ibu tak ada harta yang banyak untuk ditinggalkan
kepada Asma, Ferhad. Cuma tapak rumah sekangkang kera
inilah yang ada pun. Asma muda lagi. Masih banyak yang
dia perlu belajar. Jadi sebagai suami, ibu harap Ferhad
dapat bimbing dia, berikan dia tunjuk ajar. Mana yang salah,
tegur baik-baik. Asma ni dah biasa berdikari sejak ayah dia
meninggal. Dia lebih suka pendam perasaan dan tunjukkan
dirinya kuat di depan ibu. Tapi ibu tahu, di belakang ibu,
dia selalu menangis. Sebab tak nak ibu susah hati, dia tak
pernah cerita apa-apa kat ibu. Jadi ibu harap Ferhad sayang
dan cintailah dia. Jangan lukakan hati. Berterus terang jika
ada yang Ferhad tidak suka.”
“Insya-Allah, ibu. Ferhad janji.”
Kerana janji itulah dia yakin Asma akan selamat dan
hidup bahagia.

No comments:

Post a Comment