MATA HELANG!
Dari atas bukit itu lelaki itu memerhatikan sebuah rumah
sekitar 100 meter dari tempat dia bersembunyi. Seorang perempuan keluar dari
rumah itu tidak lama kemudian. Serentak itu kelihatan subjek yang ditarget
keluar ke balkoni. Lelaki bernama Pandak Itam itu memerhati wanita jelita itu
keluar dari rumahnya.
Fakhrul segera mengangkat busur panah ke arah subjek itu.
“Stay where
you are, baby...” ucap Fakhrul dalam
bisikan. Serentak itu anak panah dilepaskan. Dalam sekelip mata lelaki di
balkoni itu rebah. Seorang lelaki datang dari arah belakang lalu menyambut
tubuh yang baru terkena mata panah itu. Sekali lagi Fakhrul melepaskan anak
panah ke arah lelaki itu.
Kemudian dia melepaskan anak panah ke arah orang-orang di
dalam kawasan banglo itu. Jackson berlari keluar dari tempat persembunyiannya.
Pintu pagar utama dikunci dengan mangga dari luar. Kemudian dia berlari semula
ke arah tempat persembunyiannya.
Fakhrul terus memasang anak panah pada busur lalu
dilepaskan ke arah mana-mana orang yang dia lihat di dalam kawasan rumah itu.
Sehingga dia melihat lengang kawasan itu. beberapa orang lelaki sudah
tergeletak tidak bergerak di halaman rumah.
“Aun Nam?” bisik Fakhrul tidak lama kemudian.
“He’s dead.” Jawapan Aun Nam kedengaran di telinganya.
“Jack, gerak sekarang! Lima belas minit!” arahan
diberikan melalui alat komunikasi kepada seseorang. Fakhrul terus memerhatikan
rumah itu dari tempat persembunyiannya. Sesekali memandang jam di pergelangan
tangannya. Menanti masa berlalu dan tugas mereka selesai sepenuhnya.
“Rul, kau kena tengok ni...” kedengaran suara Jackson
tidak sampai lima belas minit.
“Tunggu sana. Aku datang,” ujar Fakhrul. Beg berisi busur
panah itu diangkut bersamanya. Mudah baginya memanjat pagar rumah itu. Sebelum
memanjat dia memasang sarung plastik berwarna biru pada kasut yang sedang
dipakainya. Setelah masuk ke dalam dia bertemu Jackson dan Aun Nam di dalam
pejabat Pandak Itam di tingkat atas rumah.
“Ada apa?”
Dua lelaki itu menoleh serentak. Jackson sedang memegang
beberapa helai kertas di tangannya.
“Aku jumpa di tepi mesin tu,” ucap Jackson.
Mata lelaki itu terpaku lama saat memandang kertas putih
itu. Ada gambarnya, Imran dan Fatyma. Pada nama masing-masing tertera simbol (PI)
di hujungnya.
“He is targeting you,” ucap Aun Nam kepada Fakhrul.
“Yes... he
is,” jawab Fakhrul separuh berbisik. Hairan. Bagaimana Pandak
Itam tahu tentang dia?
“Aku rasa Raiqal dah tahu tentang kau. Mungkin dia dah planning dulu sebelum datang. Cuma
Raiqal mungkin tak tahu... kita dah tahu tentang Pandak Itam,” ucap Jackson.
“PI apa?” ucap Fakhrul masih tertanya-tanya dua huruf di
dalam kurungan itu.
“PI... Maybe Pandak Itam kut?”
Fakhrul segera memandang ke arah Jackson. Namun kemudian
dia menggeleng. “Kenapa dia nak letak nama dia sendiri di atas kertas tu? PI
mungkin nama pembunuh yang akan datang cari aku.”
Jackson tidak menjawab. Kabinet di belakang meja itu
masih belum mereka buka. Sedang mereka menggeledah kabinet itu, Hamdi muncul di
kamar itu.
“Ada pesta ke?”
“Ham...” Fakhrul segera memuncungkan mulutnya ke arah
komputer riba di atas meja itu.
“Alright, bos!”
jawab Hamdi dengan senang hati mendekati meja itu.
“Aku nak kau cari sesuatu yang ada kena mengena dengan
PI,” ucap Fakhrul lagi kepada Hamdi. Hamdi sekadar mengangguk. Mudah baginya
membuka kata kunci pada komputer itu. Segala macam fail disedutnya masuk ke
dalam pemacu cakera miliknya. Namun kemudian dia terserempak dengan satu fail
sulit. Ada beberapa email juga dihantar dengan dokumen yang sama yang dipegang
Fakhrul.
“Rul... kau tengok ni!” ucap Hamdi lantas menunjukkan apa
yang ada di skrin itu.
Fakhrul segera mendekati meja itu. Apa yang tertera di skrin
itu dibacanya. Matanya terpaku lama sekali. PI tidaklah bermaksud Pandak Itam
sebaliknya Permanent Interment. Bermakna ada rancangan hendak membunuh dia.
“Aku nak tahu ke mana email ni hantar. Aku perlukan
alamat, Ham!” tegas Fakhrul.
“Okay. Senang aja.” Tidak sampai lima minit dia sudah
dapat mengesan lokasi email itu diberikan.
Fakhrul segera mengambil pen di atas meja. Dia menulis
alamat yang tertera di skrin.
“I’ll go with
you!” ucap Aun Nam. Fakhrul menoleh
dan mengangguk.
“Bakar beg itu segera. Segera tinggalkan tempat ni. Ham,
berikan benda tu pada Nasrul. Kau orang semua tunggu aku di KLIA jam 5 nanti,”
arah Fakhrul sambil menunding beg hitam di atas meja itu.
Fakhrul mengeluarkan telefon dari poket seluarnya.
Telefon itu kembali dihidupkan. Kepada seseorang panggilan dibuat.
“It’s done...”
ucap Fakhrul kepada orang di hujung sana.
“Tinggalkan KL secepat mungkin. Aku akan hantar orang
untuk cleaning. Hal yang lain aku
akan uruskan,” ujar lelaki bernama Nasrul di hujung talian.
“Aku ada kerja yang perlu diselesaikan sebelum itu.”
“Kerja apa?” tanya Nasrul.
Fakhrul memandang ke arah Aun Nam yang berjalan di
tepinya. Dia menunjukkan ke arah sebuah kereta di belakang sebuah van yang
sedia menunggu mereka. Mereka berdua akan pergi menaiki kereta itu.
“Pergi ke alamat ini. Cepat sikit!” ucap Fakhrul kepada
pemandu setelah masuk ke dalam kereta. Kemudian dia kembali menumpukan
perhatian kepada Nasrul yang masih menanti di talian.
“Aku perlu uruskan seseorang yang diupah oleh Pandak Itam
untuk bunuh aku,” ujar Fakhrul kepada Nasrul.
“What?” Nasrul tersentak sedikit.
“Macam mana kau dapat dapat maklumat tu?” tanya Nasrul
agak terkejut.
“Pandak Itam ada simpan banyak fail sulit dalam komputer
dia. Betul cakap Tuan Dillon dulu. Mungkin Raiqal ada maklumat tentang aku. Dia
tidak hanya sasarkan Fatyma atau Imran. Tetapi aku juga,” jawab Fakhrul sambil
mengalihkan pandangan ke luar.
Nasrul menghela nafas perlahan. “Raiqal dah perangkap
kau. Kau tak ada banyak masa. Aku mahu isteri kau tinggalkan Kuala Lumpur
segera.”
“Kalau aku lambat, dia akan pulang sendiri. Kami dah ada
perbincangan tentang itu.”
“Baik. Kirimkan lokasi. Aku akan uruskan yang
selebihnya,” ujar Nasrul sebelum mematikan talian.
Fakhrul mendengus sebelum bersandar ke kerusi. Telefon
itu dimatikan semula. sepanjang perjalanan dia termenung memandang ke luar.
Fikir apa yang harus dibuat dengan masa yang tidak sebanyak mana.
DI dalam kamar hotel itu Humairah kian resah. Suaminya
dijangka pulang jam tiga namun kini masih belum nampak batang hidung. Telefon
pun tidak. Di tv berita tentang Pandak Itam mati dibunuh bersama dengan
orang-orangnya sudah tersiar. Polis sedang melakukan sisatan tentang pelaku dan
motifnya.
Tiba-tiba talian di dalam kamar itu berbunyi. Humairah
meluru untuk menjawab.
“Puan mesti ke KLIA sekarang.”
“Saya menunggu suami saya. Dia belum call,” jawab
Humairah kian resah.
“Dia sudah berpesan, sekiranya dia tidak pulang sehingga
jam lima ini... puan mesti ke KLIA.”
Humairah meletakkan ganggang semula. Sempat memandang
jam. Baru jam 4:40 petang. Hati semakin tidak tenang. Mahu pergi begitu sahaja,
dia tidak sanggup. Namun sudahnya dia tetap ke kamar. Beg pakaian yang sudah
siap dikemas segera diletakkan di pintu. Kemudian dia mengenakan tudung. Namun
kemudian dia terdengar bunyi pintu kamar dibuka. Humairah segera pergi
menjengah.
Betapa kegusaran tadi meluruh habis kesemuanya sebaik
sahaja melihat wajah Fakhrul di muka pintu. Wanita itu meluru pula ke arah
lelaki itu.
“Kenapa ni?” tanya Fakhrul saat dirinya didakap sang
isteri.
“Maira risau abang langsung tak telefon!”
“Kita kena cepat. Naik commercial flight!” ucap
Fakhrul tanpa bertangguh lagi. Sudah tiada masa untuk mereka berbual kosong di
situ. Isterinya itu diseret ke kamar semula.
Fakhrul menukar pakaiannya. Selesai merapikan diri, dia
terus membawa Humairah ke lobi. Seorang lelaki menyelesaikan urusan daftar
keluar. Mereka berlalu ke kereta yang berada di hadapan lobi. Dan kereta itu
terus meluncur pergi.
“Encik Fakhrul, Nasrul berikan ini...” ucap lelaki yang
duduk di kerusi hadapan.
Fakhrul mengambil dua sampul surat itu. Di dalam sampul
yang kecil terdapat beberapa tiket kapal terbang. Sampul itu terus disimpan di
dalam kocek bahagian dalam jaketnya. Namun satu lagi sampul yang agak besar
menarik perhatiannya. Ada satu dokumen dan di hadapannya terkepil satu kertas
kecil.
Burn it!
Fakhrul tersandar penuh kelegaan. Akhirnya... Nasrul
sedia memberikan semula kontrak ini kepadanya. Sebelum tiba di KLIA, Fakhrul
meminta pemandu itu memberhentikan kereta di tepi jalan. Dokumen itu dibakarnya
sehingga menjadi abu. Betapa hatinya merasa cukup aman. Inilah simbol
kebebasannya.
Setiba di KLIA semua teman-temannya sudah berada di balai
berlepas. Fakhrul menyeret laju isterinya ke arah sekumpulan lelaki itu.
“Bayaran dah dibuat. Aku akan contact nanti. Kita
berpecah,” ucap Fakhrul kepada semua temannya itu. Semua lelaki itu mengangguk.
Tiket penerbangan segera diagihkan.
“Good luck,
guys...” ucap Fakhrul.
Setelah berjabat tangan masing-masing berpecah mengikut
hala tuju yang ditentukan melalui tiket itu. Fakhrul bersama isterinya akan
singgah di Dubai sebelum pulang ke Paris. Sepanjang perjalanan menuju ke
pesawat Fakhrul kelihatan amat resah.
Hanya satu dalam fikirannya saat ini... dia hanya mahu
segera dibawa keluar dari negara ini!
No comments:
Post a Comment