RUTIN setiap kali berada di kampung ialah menemankan emaknya
ke pasar. Namun sepanjang masa itu dia hanya menanti emaknya di kedai kopi
sementara Mak Nab sibuk memilih ikan di pasar berdekatan.
Sedang tekak enak menikmati kopi O dengan nasi lemak daun
pisang di hadapannya, tiba-tiba matanya terkesan kereta Toyota Corolla masuk ke
kawasan parkir itu tidak jauh darinya. Ketenangan hati mulai berkocak apabila
ternampak kereta itu. Fakhrul buat-buat tidak melihat. Bukannya dia tidak mengenali
siapa pemilik kereta itu. Hati semakin tidak senang apabila ternampak kelibat
Pak Ayob dan Mak Senah masuk ke kedai kopi itu.
“Ha! Ade juge kamu kat sini? Buat apa kamu kat sini?” Pak
Ayob terus menegur Fakhrul di meja itu. Suaranya sengaja dikuatkan seolah-olah
mahu menayang kepada semua pelanggan di kedai kopi itu yang dia sedang berusaha
untuk berbaik dengan Fakhrul.
Fakhrul hanya tersenyum tawar kepada lelaki tua itu.
“Minumlah. Takkan gali kubur untuk Pak Ayob pulak,”
jawabnya dengan nada selamba. Harapannya biarlah lelaki ini lekas berlalu pergi
dan jangan mengungkit apa-apa di hadapannya.
Berubah sedikit wajah Pak Ayob mendengar jawapan Fakhrul.
Seingatnya selama ini Fakhrul tidak pernah sebiadap ini biar sejahat mana pun mulutnya
kepada anak muda ini.
‘Gali kubur untuk aku? Kurang ajar punya budak. Huh! Aku
belum nak mati lagi...’ gerutu hati si tua itu.
“Hmm... anak aku dah kahwin. Kamu tahu, kan? Jangan kamu
kacau Ira lagi. Dia dah elok dengan laki dia. Aku tak mahu nanti kamu jadi
penyebab runtuh rumahtangga anak aku,” kata Pak Ayob lagi. Lagak angkuhnya
masih tidak lekang.
Fakhrul sekadar tersenyum tawar kepada lelaki tua itu.
Kopinya dihirup sehingga habis. Kemudian dikembalikan kepada piringnya. Dengan
muka selamba Fakhrul bangun.
“Alhamdulillah. Baguslah. Lapang fikiran saya. Saya dah boleh
cari pengganti nanti. Dunia belum kiamat. Saya pun tak ingin nak ganggu hidup
dia lagi.” Fakhrul menyindir tajam.
“Eh! Kurang ajor benor budak ni,” celah Mak Senah tidak
senang dengan jawapan Fakhrul. Dia menjeling meluat kepada Fakhrul yang
kelihatan selamba sahaja.
“Sepatah aja saya dengar sesiapa menghina keluarga saya
lagi.. nahaslah orang tu! Dengar, kan? Cakap banyak tarak guna!” ucap Fakhrul tegas. Matanya mencerlung tajam memandang
Pak Ayob yang terpaku memandangnya.
“Kamu marah ke Syira tak kahwin dengan kamu sampai kamu
nak cakap macam ni? Tadi kamu kata...”
“Saya takkan cakap benda ni banyak kali, Mak Senah! Lebih
baik Mak Senah tutup mulut sebelum perkara yang tak elok berlaku. Saya pun tak
berminat nak mendengar lagi. Jangan sampai saya jadi orang yang paling kurang
ajar yang Mak Senah dan Pak Ayob pernah jumpa. Faham, kan?” Fakhrul terus memintas
dengan nada tajam.
“Aku ni orang tua! Kamu jangan nak kurang ajor dengan
aku, Fakhrul. Mentang-mentanglah..”
“Pak Kodeh, tolong kira ni berapa!” Fakhrul memintas
dengan laungan itu. Kata-kata Mak Senah enggan didengarnya. Lebih baik dia
berlalu sebelum dia hilang sabar dengan mulut celupar isteri Pak Ayon itu.
Sebelum rasa hormatnya benar-benar hilang lebih baik dia menghindar. Kesabarannya
terhad dan ada harga. Itu yang lelaki tua itu perlu tahu sekarang ini!
“Ai! Cepat benor kamu nak balik, Fakhrul?” tegur Pak
Kodeh yang datang ke meja itu. Dia tersengih-sengih kepada Fakhrul tanpa
menyedari sengketa yang berlaku di situ.
“Banyak lalatlah kedai Pak Kodeh ni. Saya tak selesa
duduk sini. Kotor!” cemuh Fakhrul selamba.
“Kamu jangan nak kurang ajor dengan aku! Aku pukui kamu
nanti!” jerkah Pak Ayob hilang sabar. Tubuh gempalnya dihenyak kepada anak muda
itu dan leher baju Fakhrul dicekaknya.
“Pukul aku sekarang kalau kau berani,” ucap Fakhrul
tajam. Penumbuknya sudah dikepal. Tinggal mahu dihayun sahaja kepada lelaki tua
itu. Namun Pak Kodeh lekas-lekas membentengi anak muda itu.
“Sudah! Jangan bergaduh dalam kedai aku!” Pak Kodeh
menjerit memarahi mereka berdua. “Ape kene dengan kome ni? Tak cukup-cukup lagi
nak bermusuh ke apa?” marah Pak Kodeh lagi. Pengunjung yang lain juga sudah
mula berdiri melihat pergaduhan itu. Ada yang menghampiri cuba membantu.
“Budak kurang ajor! Mak bapak kamu tak ajor kamu
baik-baik gamoknye! Jangan disebabkan aku tak bagi kamu kahwin dengan anak aku,
kamu nak kurang ajor dengan aku. Cermin dulu moke kamu tu...”
“Hey! Saya pun tak hadaplah nak bermentuakan orang tua macam
Pak Ayob ni! Ramai lagi perempuan dalam dunia ni saya boleh cari. Tak mati saya
tak berbinikan Ira tu!” Fakhrul lebih pantas membalas cemuhan lelaki tua itu.
“Habis tu yang kamu nak marahkan aku ni kenapa???”
“Sudahlah tu, Ayob. Kamu ni orang tua. Jangan kamu bawak
budak-budak jadi kawan kamu bergadoh. Cukuplah tu...” Pak Kodeh mencelah cuba
mendamaikan.
“Ni... kamu tanye budak kurang ajor ni. Apa yang dia benci
sangat ke aku ni. Sebab anak aku dah kahwin dengan orang lain, dia nak kurang
ajor dengan aku. Suruh dia balik cermin muka dia sebelum dia berangan nak jadi
menantu aku!” Pak Ayob dengan muka merah menahan marah cuba menunding Fakhrul
walaupun telah dihalang oleh orang lain.
“Siapa yang kemaruk nak jadi menantu Pak Ayob? Siapa yang
teringin nak jadi menantu kepada lelaki sombong macam Pak Ayob ni? siapa yang
datang jumpa saya kat sini???” tekan Fakhrul sengaja menayang mimik wajah
jengkel.
“Budak kurang ajar!” Pak Ayob menerpa lagi mahu memukul
Fakhrul. Namun kali ini Fakhrul lebih pantas mencekak leher baju kolar bulat
lelaki itu. Kekuatannya juga tidak mampu ditandingi oleh tiga lelaki yang cuba
menahan perbuatannya.
“Kau sentuh aku sekarang, kau akan mati hari ni, orang
tua...” tekan Fakhrul tajam. Matanya merenung lelaki tua itu dengan cukup
tajam. Terasa kecil benar lelaki gempal itu di matanya. Cukuplah dia dicabar
selama ini. Dia tidak ingin terus membiarkan lelaki ini menggadai maruahnya.
“Udoh! Udoh! Udoh kome oi! Usohlah berkelai dalam kedai
aku ni!” bentak Pak Kodeh.
“Aku dah terlalu kenyang makan caci cerca kau. Sekali
lagi kau hina aku... aku bagi kau makan penumbuk aku. Lebih baik kau berundur
sebelum aku jadi gila kat sini!” ucap Fakhrul tajam. Kata-katanya bukan mainan.
Jika Pak Ayob meneruskan juga tabiatnya itu maka penumbuknya ini akan
menghentam muka tua itu tanpa belas kasihan.
Pak Ayob tidak terkata memandang Fakhrul saat itu. Peluh
memercik di dahinya menyatakan kegerunannya melihat keberanian Fakhrul. Mak
Senah juga tidak terkata sebaliknya dia menarik suaminya agar menjauhi anak
muda yang sedang naik berang itu.
“Aku nak jumpa aboh kamu nanti. Biar dia tahu anak jantan
dia ni kurang ajor!” ucap Pak Ayob perlahan.
“Uban dah banyak tapi nak mengadu macam budak tadika. Eh!
Pegi daa...” balas Fakhrul lantang. Kata-katanya disambut oleh tawa beberapa
orang lelaki yang mendengar.
Pak Ayob mendengus. Akhirnya tanpa kata mereka berdua
berlalu dari situ enggan lagi menadah pandangan kepada orang ramai yang
mengerumuni pergaduhan mereka itu.
Sepeninggalan dua manusia itu, Pak Kodeh menepuk bahu
Fakhrul seketika untuk menenangkan anak muda itu.
“Sudahlah! Jangan kamu layan dia tu. Duduk, Fakhrul!
Tenangkan hati tu..” ucap Pak Kodeh lembut.
Fakhrul hanya diam. Malah memandang orang di
sekelilingnya juga tidak! Cuma dia seperti tidak percaya apa yang telah
dilakukannya sebentar tadi. Benarkah dia hampir memukul lelaki separuh umur
itu? Benarkah dia berdendam sehingga membuatkan dia senekad itu? Entah! Apa
yang dia tahu dia sudah hilang sabar!
‘Pergi mamposlah dengan kau, orang tua!’ Cemuh hati
Fakhrul sakit.
PASKAU atau Unit Khas Udara merupakan pasukan komando bagi
Tentera Udara Diraja. Setelah berjaya menyarung beret biru kebanggaan bagi
setiap anggota tentera udara, dia telah dipilih menganggotai Skuadron Sayap
Tempur dan ditempatkan di Kem Sungai Besi.
Dilatih sebagai komando ketahanan fizikal dan mental itu
sudah menjadi keutamaan. Dan pantas membuat keputusan dan tindakan dalam
keadaan genting juga itu adalah kepakarannya.
Jam 12 tengah malam. Motor yang dipandu bergerak perlahan
menuju ke rumah. Jalan sudah mulai lengang. Fakhrul perasan ada sinaran cahaya
lampu kereta datang mendekat dari arah belakang. dia membawa haluan motornya ke
tepi sedikit bagi memberi laluan kepada kereta itu. Sayangnya kereta itu terus
mengekorinya buat seketika.
Fakhrul menoleh ke belakang seketika. Tidak jelas model
kereta dan nombornya dek kerana suluhan cahaya lampu hadapan kereta itu. Hati
merasa tidak sedap. Fakhrul segera memecut motornya. Namun kelajuan motor sudah
tentu tidak dapat menandingi kereta. Motornya disodok dari belakang sehingga
dia terbabas ke tepi lalu jatuh.
Sebelah kakinya tersepit di bawah motor. Fakhrul sedikit
terkial-kial mahu mengalihkan motor itu dalam pada dia melihat empat lelaki
keluar dari kereta dan menghampirinya. Empat lelaki itu kelam kabut mengambil
segala barangan pada tubuh Fakhrul dek kerana ada kehadiran kereta lain menuju
ke arah mereka. Namun hanya dompet yang berharga kepada mereka.
“Mana yang lain???” seorang lelaki mengeluarkan pisau
lalu mengacu ke arah Fakhrul.
“Aku tak ada apa-apa. Itu aja yang aku ada,” jawab
Fakhrul. Lelaki yang mengacu pisau itu asyik memandang ke belakang. bimbang
orang lain melihat dia sedang menyamun. Kereta yang datang itu memperlahankan
kenderaannya untuk melihat apa yang berlaku.
Lelaki itu menyembunyikan pisaunya dan melambai kepada
pemandu kenderaan mewah itu.
“Ada apa ni?” tanya si pemandu itu sebaik sahaja
menurunkan cermin.
“Jatuh motor. Tak ada apa-apa ni. kami dah panggil
ambulan,” ujar lelaki itu biasa.
Si pemandu mengangguk lalu menaikkan cermin semula. Dan
kereta itu terus berlalu.
“Blah!” cepat-cepat lelaki itu mengajak kawan-kawannya
berlalu. Tujuannya tiada lain. Mahu mengejar kereta mewah itu pula!
“Dompet aku???” ucap Fakhrul.
Empat lelaki itu berpaling. Lelaki yang memegang dompet
Fakhrul itu, mengambil duit di dalam dompet itu lalu dompet itu dicampaknya
kepada Fakhrul. Mereka bergegas masuk ke dalam kereta.
“Kurang ajar!” desis Fakhrul. Kakinya ditarik sedaya
upaya dari bawah motor. Menyakitkan. Fakhrul bangkit mengangkat motornya dalam keadaan
sebelah kakinya tidak dapat memijak tanah. Enjin motornya dihidupkan semula.
Seterusnya dia memecut ke arah haluan kereta penyamun itu pergi.
Tidak sampai lima minit dia melihat dua buah kereta itu
tersadai di tepi jalan.
“Jaga kau!” ucap Fakhrul lantas mematikan enjin. Motor
itu meluncur dalam keadaan senyap ke arah kereta itu. Dia terpandangkan seorang
penyamun sedang berdiri di tepi kereta memandang ke arah teman-temannya yang
sedang rancak menyamun kereta mewah tadi.
“Agi idup agi ngelaban!”
Dush! Motornya merempuh lelaki itu dari belakang. Salah
seorang penyamun itu tercampak ke hadapan. Seterusnya motornya terbabas ke
dalam semak. Fakhrul bangkit semula. Tiga lelaki lagi meluru ke arahnya.
Matanya segera terkesankan pisau di tangan salah seorang lelaki itu. Lelaki itu
cuba membenamkan pisau ke perutnya. Tetapi pergelangan tangan lelaki itu segera
disambut Fakhrul. Kepalanya dihantukkan kepada salah seorang penyamun yang
datang. Dan seorang lelaki penyamun segera memaut leher Fakhrul dari arah
belakang. Penyamun di hadapan pula sedaya upaya mahu menikam lelaki itu.
Dalam keadaan begitu, dia tahu dia akan kalah kepada
kekuatan lelaki itu. Spontan Fakhrul melepaskan sebelah tangannya yang sedang
menahan pergelangan tangan lelaki itu. hanya sebelah tangan masih berusaha
menahan pisau itu. Namun Fakhrul lekas-lekas mencengkam rambut si penyamun di
belakangnya lalu ditariknya kuat. Lelaki itu menjerit nyaring akibat kesakitan
sekaligus dia berkalih ke hadapan Fakhrul untuk melepaskan cengkaman tangan
Fakhrul pada rambutnya.
Peluang yang sedang terbentang luas segera digunakan. Sebelah
tangan yang masih menahan pergelangan tangan si penyamun dari menikamnya segera
dilonggarkan. Malah dia ikut menarik pergelangan tangan lelaki itu agar pisau
itu maju lebih cepat ke arahnya. Akibatnya salah seorang penyamun itu melolong
akibat dibenam pisau itu.
Salah seorang penyamun itu segera melepaskan pisau yang
masih terbenam di pinggang rakan seperjuangannya. Tubuh yang sudah longlai itu ditolak
oleh Fakhrul ke tepi. Terhencot-hencot Fakhrul mengejar seekor lagi makhluk
jahat yang sedang cuba melarikan diri dengan keretanya. Belum sempat dia
mengunci pintu Fakhrul terlebih dahulu masuk dan duduk di sebelahnya.
“Kau belum dapat lari dari aku.” Fakhrul sempat menyengih
saat lelaki itu memandang kepadanya. Penyamun itu agar panik memandangkan dia
ketandusan senjata untuk melawan.
“Dengar sini baik-baik...” ucap Fakhrul. Seterusnya dia
memaut belakang kepala lelaki itu lalu ditarik ke arah stereng kereta agak
kuat.
“Aku...” satu hentaman mengenai stereng itu.
“Nak...” sekali lagi aksi itu diulanginya tanpa belas
kasihan.
“Duit...” penyamun itu lembik serta merta setelah sekali
lagi wajahnya ‘mencium’ stereng kereta.
“Aku! Aku nak duit aku balik! Mana duit aku???” jerit
Fakhrul lantas menghantuk lagi wajah si penyamun di stereng kereta.
Lelaki itu tidak mampu berkata-kata dalam keadaan darah
sudah berjuraian dari hidung hingga ke dagu. Hanya dua tangan disatukan,
meminta belas kasihan agar tidak diperlakukan begitu lagi. Seterusnya dia
menyeluk poket jaketnya. Duit milik Fakhrul segera dikembalikan semula.
“Bagus! Lain kali jangan menyamun! Dasar penyamun!” desis
Fakhrul lantas mengira semula duitnya. Cukup semuanya! Fakhrul sempat memandang
lelaki itu semula. Rambut lelaki ditariknya agar dia dapat berkata sesuatu ke
lubang telinga lelaki itu.
“Aku nak bagi tips pada kau untuk kau jadikan pedoman
menyamun di hari muka. Jangan cuba-cuba menyamun duit aku lagi ya? Tengok muka
ni baik-baik. Ingat sampai mati! Kalau tidak, buruk akibatnya.”
Lelaki itu hanya terdaya mengangguk semata. Rahangnya
sudah tidak boleh digerakkan lagi. Seterusnya Fakhrul keluar dari kereta itu. Terhencot-hencot
mendapatkan motornya yang sudah bersarang di dalam semak. Dua penyamun itu
bangun mendapatkan kereta mereka semula. Setelah berjaya memasukkan teman
seperjuangan yang berdarah teruk, kereta tadi terus bergerak pergi. Sempat
diperhatikan oleh Fakhrul dan pemilik kereta mewah itu. Tertinggal seorang lagi rakan penyamun yang masih tidak
sedarkan diri akibat dirempuh motorsikal tadi.
“Woi! Ni seorang lagi. Dia tinggal kawan dia macam tu
aja. Tak guna punya kawan,” bebel Fakhrul seorang diri.
“Encik...” seorang lelaki datang menyapa.
“Lebih baik kau call polis sekarang,” ucap Fakhrul
sekadar menoleh sedikit. Lelaki itu mahu mendekatinya, mungkin juga mahu
memberikan bantuan. Sudahnya lelaki itu ikut menarik motorsikal itu keluar dari
semak samun di tepi jalan itu.
“Ada apa?” tanya Fakhrul sambil dia cuba menghidupkan
motornya semula. Namun gagal. Bau minyak petrol kuat menyengat.
“Terima kasih sebab tolong aku tadi.”
“Aku tak tolong kau. Aku hanya ambil duit aku yang si
bedebah tu samun tadi,” jawab Fakhrul selamba.
“Aku Arman. Aku rasa kau perlukan bantuan,” ucap lelaki
itu lagi.
Fakhrul mendecit. Memang sahih petrol sudah tertumpah.
Bahagian tepi motor itu basah oleh minyak. Berkali-kali dia mencuba untuk
menghidupkan motor itu. Namun gagal.
“Lebur motor sebijik!” ucap Fakhrul lantas turun semula
dari motor itu. Banyak kerosakan sudah berlaku semata-mata kerana duitnya. Atau
sebenarnya dia ingin membalas dendam atas apa yang berlaku tadi.
“Aku nampak apa yang kau buat pada lelaki tu semua,” ucap
Arman lagi. Matanya masih ralit memerhatikan Fakhrul memeriksa motornya.
Fakhrul memandang
Arman. “Apa yang aku buat?”
“Kau habiskan empat lelaki tu dalam keadaan kaki kau
sakit begini. Aku kagum,” ujar Arman perlahan.
Fakhrul hanya diam. Cuba juga membetulkan apa yang boleh.
Dia mahu pulang segera. Namun terkeruk-keruk lelaki itu kebuntuan. Sehingga dia
terlihat kilauan lampu biru dari jauh. Fakhrul memandang lelaki yang masih
sibuk mahu menempel kepadanya. Tak ingat nak balik ke?
“Aku dah call polis waktu kau tengah kena kepung tadi,”
ujar Arman.
Setiba kenderaan polis, mereka disoal siasat. Kad
pengenalan turut diberikan kepada pegawai polis. Namun Arman sempat memandang
kad pengenalan milik Fakhrul.
Hatinya berdetik sendiri setelah jawapan yang ditagih
sudah kedapatan. ‘Dia seorang pegawai tentera!’
No comments:
Post a Comment