Wednesday, 19 April 2017

Sweet & Dangerous - Bab 9

BAB 9
“KAU tentu pelik kenapa rumah ni sunyi sahaja..”Arman memulakan bicara setelah hanyut oleh perasaannya sebentar tadi.
Fakhrul mengangguk sambil memandang Arman terus-terusan. Tidak sabar lagi mendengar lanjutan kisah sebenar di sebalik tragedi di dalam gambar ini.
“Rumah ni sunyi sebab aku dah lama hidup sebatang kara. Orang-orang yang bergelimpangan bermandi darah dalam gambar tu... ada di antaranya adalah ahli keluarga aku. Mak ayah aku dan adik beradik aku yang mati ditembak di Arakan 16 tahun yang lepas. Mereka terbunuh dan aku selamat. Kisah yang aku tak akan lupa sampai mati!”
Fakhrul kelu tidak terkata mendengar mukadimah ringkas itu. Saat itu seperti ada satu jenis perasaan mula menyerang hatinya, membuatkan dia merasa susah untuk bernafas. Kasihan.
“Pembunuhan tu berlaku begitu sahaja tanpa diketahui motifnya sehingga kini. Dan dalang sebenarnya masih bebas seolah-olah dia tidak pernah berbuat kesalahan. Apa yang pastinya setelah kejadian tu, hidup aku gelap-segelapnya. Banyak peristiwa pahit yang terpaksa aku lalui selepas setelah itu. Semuanya tak akan aku lupakan. Aku tak akan memaafkan sesiapa yang menyebabkan hidup aku sengsara selama ini. Aku akan rampas semula kebahagiaan aku yang dah lama hilang dulu,” ujar Arman. Nadanya berubah sedikit tajam.
Fakhrul masih tekun mendengar. Ada terdetik sedikit pengertian tentang apa yang berlaku kepada lelaki di hadapannya ini. Dia mula mengerti apa jenis perasaan yang dialami oleh Arman setelah kehilangan ahli keluarganya dalam keadaan begitu. Namun Fakhrul tahu.. dia tidak akan mampu memahami keseluruhan kesengsaraan Arman, kerana bukan dia yang mengalami kisah luka itu tetapi Arman. Hanya orang pernah berada di tapak yang sama sahaja yang akan merasai kesakitan seperti itu.
Sampul surat kedua diberikan Arman kepada Fakhrul. Fakhrul mengeluarkan isi kandungannya. Cuma ada sekeping gambar lama yang bersaiz besar. Sudah kekuningan kerana dimakan usia.
“Siapa orang yang dalam gambar ni?” setelah lama meneliti gambar itu Fakhrul akhirnya bersuara. Dia tahu ini mungkin pembunuh keluarga Arman tetapi dia langsung tidak pernah melihat lelaki ini apatah lagi mengenalinya.
“Nama dia Khon Aung. Dia lelaki ternama dan disegani di kota Yangon dan dari apa yang aku tahu dia memiliki perniagaan yang besar di Yangon. Setakat itu sahaja maklumat yang aku ada buat masa ini.” Arman menjelaskan serba sedikit mengenai apa yang diketahuinya mengenai lelaki yang berada dalam gambar itu.
“Dialah dalang yang membunuh ahli keluarga aku.” Arman menyambung tanpa menunggu pertanyaan Fakhrul. Begitu yakin dia melemparkan tuduhan itu.
Fakhrul terdiam mendengar itu. Dia kembali menatap raut si lelaki di dalam foto yang didakwa sebagai pembunuh itu. Wajahnya agak bengis bermata sepet itu benar-benar menggambarkan sifatnya yang seperti samseng. Pada pengamatannya rupa paras tidaklah mencerminkan keperibadian sebenar seseorang. Tetapi siapa yang mampu menjelaskan tuduhan itu benar atau tidak jika keadilan tidak pernah ditegakkan?
“Jadi apa kena mengena hal ni dengan aku?” soal Fakhrul cuba menduga apa niat Arman sebenarnya walaupun dia sudah dapat mengagak. Arman sebenarnya mahu dia melakukan sesuatu kepada lelaki yang dikatakan pembunuh ini.
“Soalan yang aku tunggu dari tadi,” sambut Arman dengan sedikit senyuman meleret. Ada makna besar yang sedang tersirat di sebalik senyumannya itu. Itu yang dapat dilihat Fakhrul.
“Malam tu... aku kagum dengan kebolehan kau menumpaskan penyamun berempat tu. empat lelaki tu terlalu senang untuk kau. Aku tak pernah melihat sesuatu seperti itu di hadapan mata aku sebelum ini.” 
Fakhrul terus menatap Arman. Sabar lagi biarpun soalannya terus tidak dijawab serta merta oleh Arman.
“Sewaktu kau berusia enam belas tahun kau mula mendapat latihan ketenteraan di Maktab Tentera Diraja. Kemudian kau dilatih sebagai juruterbang sebelum mendapat latihan penuh sebagai komando. Kau dinobatkan sebagai pelatih komando terbaik kemudian ditugaskan dalam Skuadron Sayap Tempur di bawah pemerintahan RMAF (Royal Malaysian Air Force). Pakar dalam misi-misi tertentu. Kau antara komando yang pernah menyertai misi mencari dan menyelamat kira-kira 300 rakyat Malaysia yang terkandas di Baghdad sewaktu bermulanya perang teluk antara Iraq dan US. Kau pernah menyertai misi mencari mangsa nahas pesawat Sykorsky NURI yang terhempas di Sarawak. Kau juga pernah ditugaskan dalam Skuad Falkon dalam misi pengaman di bawah panji-panji Tentera Bersatu (PBB) ke Labenon dulu. Kau pegawai komando yang digelar mata helang. Salah seorang penembak hendap terbaik yang dimiliki oleh Royal Malaysian Air Force. Orang macam kau... biar ke mana sahaja kau dicampakkan, kau tentu boleh hidup. Sebab kau memang dah dilatih dengan semua cabaran,” ucap Arman lagi.
“Banyak yang kau tahu tentang aku rupanya,” ujar Fakhrul perlahan.
“Aku kenal rapat dengan pegawai pemerintah kau,” balas Arman.
“Jadi apa yang kau nak dari aku sebenarnya?”
“Aku nak berkerja untuk aku. Dengan gaji yang lebih lumayan berbanding apa yang kau terima sekarang. Kerja yang aku tawarkan sudah tentu tak boleh diberikan kepada penyiasat biasa. Bukan senang untuk mendekati orang yang aku maksudkan tadi.”
“Khon Aung?”
“Iya. Aku nak kau siasat tentang peristiwa lama tu. Aku nakkan jawapan tentang motif dan segala-galanya tentang peristiwa itu.”
Fakhrul terdiam merenung wajah lelaki itu. terkebil-kebil matanya semacam tidak percaya. Tawaran itu memang bagus. Cumanya, dia bimbang ada udang di sebalik mee.
“Aku tahu gaji kau sebagai tentera memang tak sebanyak mana. Tambahan pula permintaan keluarga perempuan tu agak melampau untuk orang yang bertaraf seperti kau. Kau ambil tugas ini. Hidup kau akan senang sehingga kau tak perlu lagi mengikat perut untuk mendapatkan mana-mana perempuan yang kau suka. Fikirkan... inilah saatnya untuk kau ubah nasib kau. Kau ada kepakaran dan keboleh. Aku ada duit. Cakap sahaja berapa yang kau mahu. Aku akan bayar asalkan kau buat kerja yang aku mahu,” ujar Arman lagi.
Fakhrul mengalihkan pandangan ke arah lain. Fikirannya mula bersimpang siur. Hati mendesak agar menerima saja tawaran itu. Selain wang, tugas ini mencabar dirinya. Peluang yang baik untuk merebut kembali maruah dirinya!
“Bagaimana? Setuju? Kau boleh sebutkan apa saja kelengkapan yang kau perlukan di sana nanti. Aku akan sediakan. Segalanya aku akan tanggung. Kau hanya buat kerja kau. Dan kembali ke sini bersama hasil yang aku nak. Aku berikan upah yang kau tak mampu bayangkan selama ni.”
Fakhrul berfikir lagi. Kata-kata Arman sedikit sebanyak mula meresapi ruang fikirannya. Dia mula terhasut untuk menuruti saranan Arman itu setelah dia teringatkan apa yang pernah terjadi kepada dirinya. Arman mencapai cawan kopinya. Sengaja memberi peluang lelaki itu untuk membuat keputusan.  
“Aku akan lakukan kerja tu. Tetapi dengan syarat. Syarat ni takkan berubah dengan apa keadaan sekalipun.” Fakhrul akhirnya akur setelah puas dia membuat pertimbangan.
“Aku sedang mendengar...” Arman menyambut dalam reaksi biasa. Namun dalam dirinya teramat gembira.
“Aku tak mahu sesiapa pun tahu tentang  ke mana aku pergi. Aku tak mahu kau campur tangan urusan aku dengan pegawai pemerintah Tentera Udara.” Fakhrul berbicara tenang sambil merenung lelaki di hadapannya itu.
“Okay.”
“Tugas ini sekadar track and report only. Aku tak membunuh demi kepuasan peribadi,” ujar Fakhrul lagi.
Arman tiba-tiba tersenyum. Namun kemudian dia bangun. Satu sampul surat yang agak gemuk diambil dari dalam laci meja. Sampul itu diletakkan di hadapan Fakhrul.
“Sebagai permulaan. Aku sediakan segala equipment yang kau perlukan. Hanya beritahu aku apa yang kau perlukan selama di sana nanti,” ujar Arman setelah kembali duduk.
Fakhrul membuka sampul itu. Ada beberapa gumpalan wang di dalamnya.
“Berkerja untuk aku, kau perlu tahu... aku tak sukakan kegagalan. Aku seorang yang tegas tentang itu. Kau akan bertolak dalam masa terdekat ini,” ujar Arman biasa.
Fakhrul mengangguk akur. Mereka berdua berjabat tangan sebagai tanda telah ada termetrai perjanjian di antara mereka.



SUDAH beberapa jam tiba di Yangon. Keletihan tidak begitu dirasai olehnya. Namun dia seperti terbawa-bawa oleh perasaan asing sebaik sahaja kakinya menjejak ke tanah asing ini. Di sini dia dihidangkan dengan permandangan kota yang agak sibuk dan sempit. Hiruk pikuk kota ini menggambarkan aktiviti seharian penduduk kota Yangon ini terlalu sibuk mengejar keperluan sesuap nasi untuk meneruskan hidup mereka.
Sebentar tadi sebaik sahaja dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon dia telah dijemput oleh pihak hotel. Layanan istimewa telah diberikan kepadanya oleh pihak hotel memandangkan dia adalah tetamu yang dihantar oleh Tuan Arman ke sini. Namun Fakhrul bagaikan kabur dengan pendiriannya saat ini. Dia terus berfikir di manakah pencariannya harus bermula? Apa yang terlalu diingatinya, lelaki bernama Khon Aung itu merupakan seorang lelaki kenamaan. Mungkin ramai orang mengenali dia.
Buntu sendirian, Fakhrul akhirnya turun ke lobi hotel mewah itu. Dia berhasrat untuk berjalan-jalan mengambil angin di luar. Menyelusuri jalan-jalan berhampiran dengan hotel kakinya terus melangkah tanpa arah tujuan. Sambil itu matanya memerhatikan deretan kedai berdekatan dengannya. Terdapat saloon rambut, kedai fotografi dan bermacam-macam kedai. Ada juga kedai menjual sirih.
Melihat sekeliling, Fakhrul mula perasan tentang kegemaran orang tempatan yang suka memakan sirih berdasarkan kesan ludahan air sirih yang kemerahan di atas lantai sepanjang jalan. Dan kaum lelaki tidak segan silu berkain sarung. Sebenarnya kain sarung itu pakaian kebangsaan mereka. Pegawai-pegawai kerajaan di sini juga memakai kain sarung setiap hari. Tiada apa yang pelik dengan itu.
‘Kalau di Malaysia orang pergi kerja pakai kain sarung dan yang perempuan berkain batik ke tempat kerja.. aku tak tahulah apa akan jadi,’ bisik hati Fakhrul sendiri.
Dua kaki diteruskan berjalan sambil mata terus mencari keunikan kota ini untuk diamatinya. Kebanyakan bangunan di kota ini ada ciri-ciri yang melambangkan agama budha sebagai agama rasmi penduduk negara ini.
Fakhrul berhenti di sebuah gerai kecil. Ada menjual bermacam jenis akhbar. Matanya tercari-cari surat khabar yang mampu dibacanya. Namun mata lelakinya segera tertumpu kepada surat khabar bertulisan Maynmar. Gambar muka depannya membuatkan Fakhrul terpaku seketika. Gambar seorang wanita yang terhias di muka hadapan akhbar itu membuatkan dia merenung lama tanpa mampu membaca isi kandungan berita akhbar itu. Kecantikan wanita di yang dipamirkan di muka hadapan akhbar itu membuatkan dia asyik seketika merenung gambar itu. Hati Fakhrul mula ditarik-tarik untuk membeli surat khabar itu.
Akhirnya Fakhrul membayar harga sekitar K 230 untuk dua jenis akbar yang dipilihnya. Satu akhbar The Nation dan satu lagi akhbar Burmese. Fakhrul kembali ke hotelnya, namun tidak terus ke biliknya. Dia duduk berehat santai di sofa di tengah-tengah lobi itu. Akhbar The Nation diletakkan di tepi sebaliknya akhbar berbahasa Myanmar itu ditatapnya lagi tanpa jemu.
Namun sayang.. sepatah haram dia tidak mampu memahami apa yang dikatakan oleh akhbar itu. Tetapi hatinya terus didesak untuk mengetahui siapa wanita jelita itu. Modelkah dia? Pelakon? Atau ahli politik?
Lelaki muda itu mula memandang sekeliling bagaikan sedang mencari seseorang. Namun sesaat kemudia dia lantas bangun mendekati meja penyambut tetamu. Wanita penyambut tetamu itu tersenyum mesra kepadanya sebaik sahaja dia terpacak di hadapan meja itu.
“Apa boleh saya bantu tuan?” soal salah seorangnya dengan berbahasa Inggeris kepada Fakhrul. Manis sekali senyuman yang dipamirkan oleh gadis berkulit kuning langsat itu. Ada lesung pipit terhias di pipinya.
“Kamu sibuk ke?” soal Fakhrul sopan kepada gadis yang mungkin sebaya dengannya itu.
Gadis itu memandang sekeliling kemudian dia menggeleng sambil memandang Fakhrul. Fakhrul segera mengerti dengan reaksi gadis itu. Jikalau tiada pelanggan yang tidak mendaftar masuk sudah tentulah gadis ini tidak sibuk. Bagus!
“Fasih berbahasa Inggeris?” soal Fakhrul lagi.
“Ya,” jawab gadis itu lembut.
Seketika kemudian perhatian Fakhrul teralih kepada gadis yang berdiri di sebelah gadis itu yang begitu khusyuk merenung wajahnya. Dia segera tersenyum kepada gadis kedua itu.
“Boleh saya pinjam dia sekejap? Saya mahu meminta dia membacakan saya akhbar,” ucap Fakhrul kepada gadis yang lagi seorang. Sempat Fakhrul menatap tanda namanya yang bertulis Maa Lar Oo.
Kedua-dua gadis itu berpandangan seketika lantas ketawa perlahan. Permintaan Fakhrul untuk dibacakan akhbar mungkin menerbitkan kelucuan kepada mereka. Akhirnya gadis yang pertama menyatakan persetujuannya untuk membantu. Dia keluar dari bahahian kaunter itu lalu membuntuti Fakhrul.
“Nama kamu?” soal Fakhrul setelah dia duduk kembali di sofa itu.
“Sui cin. Tuan adalah tetamu Tuan Arman pemilik hotel ini, kan?”
“Ya. Saya Fakhrul. Boleh bantu saya? Saya nak tahu mengenai muka surat hadapan akhbar ini. Tetapi saya tak faham apa yang ditulisnya. Boleh kamu terjemahkan untuk saya?” pinta Fakhrul lembut. Akhbar The Burmese Post itu terus diberikan kepada Sui Cin.
“Oh!” Sui Cin tersenyum. Dia mengambil akhbar itu dari tangan Fakhrul lalu dibacanya dalam senyap seketika. Dia menatap gambar wanita itu seketika dan tersenyum. Gadis itu memang kaya dengan senyuman. Sedari tadi dia asyik tersenyum sahaja.
“Bagus juga tuan menyuruh saya menterjemahkan berita di dalam akhbar ini untuk tuan. Kerana saya masih belum membaca akhbar sepanjang hari ini.”
Fakhrul menjawab dengan anggukan. Di dalam hatinya terbit rasa syukur kerana Sui Cin sudi untuk membantunya.
“Siapa perempuan tu?” Fakhrul terus bertanya mengenai wanita di dalam gambar itu.
“Nama dia Angelina Khon. Cucu kepada seorang lelaki ternama di sini. Berita ini mengatakan yang Angelina bakal mengambil alih perniagaan milik keluarganya tidak lama lagi. Angelina baru sahaja menamatkan pengajiannya di United Kingdom dalam bidang perniagaan. Dia memang sering mendapat perhatian wartawan akhbar. Apa sahaja yang dia lakukan memang akan mendapat perhatian kerana dia cantik dan berkedudukan,” jelas Sui Cin serba sedikit tentang wanita di dalam gambar itu.
Fakhrul terangguk-angguk kekaguman mendengar itu. Cantik dan kaya! Gabungan yang paling ideal bagi kesempurnaan seseorang. Bertuah gadis itu kerana dianugerahkan semua itu kepadanya.
“Dia cantik, kan?” soal Sui Cin sambil tersenyum kepada Fakhrul.
Fakhrul sempat tersengih mendengar itu. Itulah yang dia rasakan semenjak pertama kali melihat rupa wanita ini di dalam akhbar itu. Wajah yang sedang tersenyum itu memiliki bentuk senyuman yang cukup menawan. Sangat manis! Sebagai lelaki sudah tentulah dia lekas terpukau dengan kejelitaan seorang perempuan. Walaupun sekadar dilihat di dalam gambar.
“Keluarga dia berasal dari Yangon?” entah mengapa begitu berminat pula Fakhrul untuk mengetahui latar belakang gadis bernama Angelina itu.
“Saya tidak begitu pasti. Sekadar cerita orang, datuk dia bukan dari kalangan mana-mana etnik di dalam negara ini. Roman wajahnya juga tidak seperti orang kami.”
“Saya tak faham. Apa maksudnya?” Fakhrul mengerut kening seketika.
“Keluarga ternama itu berasal dari satu negara yang pernah bergolak akibat perang pada tahun 1950 sehingga 1953. Dengarnya mereka berasal dari negara kuasa jahat. Dia menukar nama dan nasionaliti demi melindungi diri dan kekayaannya. Pemerintah negara ini melindunginya semenjak dulu kerana dia kaya. Dan saya tak pasti gadis ini berasal dari mana. Kerana selama ini dia tidak dibesarkan di sini.”
Fakhrul tersandar mendengar cerita gadis itu.
“Tapi ada cerita lain juga, keluarga ternama itu beretnik Bamar. Etnik ini berasal dari Tibet. Mereka berbahasa Bamar. Jadi tidak hairanlah kalau kebanyakan mereka bermata sepet dan berkulit cerah. Seperti Angelina. Dia lebih iras seperti orang Bamar.”
“Oh...” Fakhrul mengangguk sedikit.
“Apa yang saya tahu tentang dia, ayah dia sudah meninggal lama dulu. Emaknya pula saya tidak tahu. Tiada siapa pernah melihat emak dia di sini. Sekarang ini dia tinggal bersama datuknya. Tetapi lama dahulu saya ada mendengar cerita yang datuknya adalah seorang pelampau yang membenci orang islam. Pernah juga timbul satu cerita yang mengatakan datuknya adalah dalang di sebalik satu pembunuhan yang dahsyat di sini. Cerita itu sudah lama berlalu dan sehingga ke saat ini kami orang Myanmar tidak tahu kesahihan cerita itu,” cerita Sui Cin tanpa disuruh.
Kata-kata itu membuatkan minat Fakhrul semakin ditarik untuk bertanya. “Kamu kata tentang pembunuhan tadi. Pembunuhan apa yang kamu maksudkan?”
“Cerita itu sudah lama dan mati begitu sahaja. Saya tidak begitu tahu tentang itu kerana waktu itu saya masih kecil. Dahulu orang islam di sini adalah salah satu etnik yang sangat terpinggir. Mereka amat susah di tanah ini kerana negara ini dipelopori oleh bangsa Bamar yang beragama Budha. Mereka hanya layak tinggal di kampung-kampung yang agak terpencil dan sangat susah mereka untuk mendapat perkerjaan di Yangon. Susah untuk melihat orang islam di sini dahulu. Tetapi itu dahulu. Sekarang kami juga bergaul dengan orang islam. Ada ramai orang islam dari luar di kota Yangon. Dan banyak masjid di bahagian downtown kota ini. Ramai juga orang islam yang membuka perniagaan kedai makan di sini. Jadi tak susah untuk kamu mendapatkan makanan halal di luar sana. Di Sule Pagoda juga ada terdapat dua masjid yang besar, membuktikan kewujudan agama islam di sini,” kata Sui Cin lembut.
Fakhrul terdiam seketika. Daripada pengamatan singkatnya, wanita-wanita Myanmar agak lemah lembut orangnya. Mereka agak pemalu kepada orang luar. Tutur katanya lembut dan sopan. Namun hatinya masih belum puas kerana tiada penjelasan yang terperinci mengenai isu pembunuhan yang tiba-tiba ditimbulkan oleh Sui Cin sebentar tadi.
“Tentang pembunuhan itu kamu memang tidak tahu langsung mengenainya? Saya tidak tahu pula di sini pernah ada pembunuhan kejam seperti itu. Kisah ini seperti yang selalu berlaku di negara Asia Barat,” ujar Fakhrul masih mahukan sedikit maklumat mengenai hal itu.
“Ya. Pembunuhan itu berlaku di Masjid Sunni Mojja di Anawartha Road. Tetapi bagi saya, itu cuma satu gossip sahaja. Media melaporkan sejarah tentang kisah itu tetapi faktanya selalu bercanggah. Macam direka-reka. Sekarang ini datuk Angelina merupakan orang kenamaan yang sangat disegani di sini. Mereka orang yang sangat kaya dan kebal kepada undang-undang. Sebahagian pembangunan tempat ini ditaja oleh keluarga ternama itu. Syarikat dia antara syarikat yang terbesar di negara ini. Kerana itu dia sangat disegani. Kalau pun benar dia yang melakukan pembunuhan itu tiada siapa yang boleh menyentuh dia kerana orang berduit akan disanjung tinggi oleh pihak pemerintah di sini. Walaupun mereka jahat kepada bangsa lain.” Sui Cin bercerita dengan nada yang agak rendah.
“Siapa nama datuk Angelina tu?” bertambah lagi satu soalan Fakhrul mengenai latar belakang wanita di dalam gambar itu. Entah kenapa dia sudah dapat mengagak pembunuhan yang dikatakan oleh Sui Cin itu ada kena mengena dengan apa yang mahu diketahuinya.
“Nama datuk Angelina Khon ialah Khon Aung.”
Tersentak besar apabila nama itu meniti di bibir wanita ini. Dadanya berdegup kencang apabila mengetahui Angelina itu rupanya berkait rapat dengan lelaki yang sedang dicarinya. Tanpa sengaja cerita Sui Cin kini sudah menguatkan lagi telahan Arman mengenai Khon Aung sebelum ini. Masakan dua manusia boleh menceritakan cerita yang hampir serupa? Tidak mungkin ini sekadar satu kebetulan.
Fakhrul terdiam seketika sambil memikir apa lagi yang perlu ditanyakan kepada Sui Cin. Dia tahu dia harus mendekati keluarga itu untuk mendapatkan cerita yang lebih tepat lagi.
“Mereka memiliki perniagaan apa ya?” akhirnya terbit soalan itu setelah dia puas mengelamun sendirian. Mungkin dia boleh memulakan dengan mendekati perniagaan yang dilakukan oleh Khon Aung sebelum bergerak ke bahagian yang lain.
“Err... setahu saya Khon Aung memiliki intitusi kewangan yang dilesenkan oleh kerajaan di sini. Tetapi mereka juga ada banyak kilang dan perniagaan emas di bawah syarikatnya seperti kilang kain, kilang makanan dan rangkaian kedai emas di sini. Mereka banyak aset di negara luar terutamanya Perancis. Sebut sahaja namanya semua orang di sini tahu dia siapa,” cerita Sui Cin lagi.
“Termasuk juga cucunya yang cantik ni?” soal Fakhrul. Sempat juga bibirnya tersenyum apabila memandang si rupawan di dalam media cetak itu.
Sui Cin ketawa perlahan dengan telahan Fakhrul yang mungkin tepat. Angelina cantik dan ternama. Pantaslah dia dikenali ramai. Orang yang kaya dan cantik memang selalu menjadi pujaan ramai.
“Tuan sudah terpikat pada dia ke?” soal Sui Cin masih bersisa tawanya.
Fakhrul hanya tersenyum tanpa jawapan. Masih terlalu awal untuk dia terpikat kepada gadis itu. Tidak semestinya dia jatuh cinta jika dia banyak bertanya.
“Dia ternama mungkin juga kerana kecantikannya.Semua orang suka untuk melihat wajahnya. Wajahnya cantik sehingga mata tak jemu memandang. Saya juga suka melihat dia,” tambah Sui Cin mengenai Angelina Khon.
Fakhrul masih tekun mendengar. Ada lagi soalan yang ingin dia tanyakan. Tetapi Sui Cin menyambung sebelum tanpa di suruh.
“Susah untuk dekati Angelina. Kerana sentiasa ada orang yang menemani dia. Wartawan yang cuba mencuri ambil gambar pernah dipukul teruk.”
“Oh... Err... kamu tahu di mana syarikat keluarganya beroperasi?”
Sui Cin diam seketika sambil memikirkan jawapan yang tepat untuk pengetahuan Fakhrul. Langsung dia tidak perasan apa niat di sebalik semua pertanyaan itu. Sangkaannya sebagai pelancong, sudah tentulah Fakhrul mahu meneroka apa sahaja yang ada di negaranya ini.
“Ibu pejabat mereka di Jalan Mandalay. Kira-kira lapan kilometer dari sini. Tuan nak ke sana ke?” wajah Sui Cin mula memaparkan sedikit kerisauan pula.
Fakhrul diam seketika. Helah segera dicipta bagi mengaburi pandangan gadis ini kepada niat sebenar untuk dia ke sana.
“Kamu kata mereka kaya. Mungkin saya boleh melihat-lihat kilang mereka. Siapa tahu saya boleh masukkan ke dalam majalah saya nanti.”
“Kamu ada majalah?” kening gadis genit itu berkerut sedikit memandang Fakhrul.
“Saya seorang jurugambar. Kalau ada gambar yang menarik, saya akan ambil gambar itu dan masukkannya ke dalam majalah keluaran syarikat saya. Itulah tujuan saya ke sini.” Fakhrul berhelah lagi.
Sui Cin segera mengangguk.
“Di Jalan Mandalay itu ada tiga kilang milik mereka dan ibu pejabat mereka memang berada di sana. Memang sebahagian dari kawasan itu sudah dipelopori oleh perniagaan keluarga Khon. Tetapi bukan mudah memasuki kilang mereka. Hanya orang berkenaan sahaja yang dibenarkan masuk. Mungkin tuan boleh meminta kebenaran mereka di sana nanti. Tetapi tuan harus tahu, bukan mudah mendekati mereka kerana kawasan mereka dikawal ketat. Orang yang mencari pasal dengan mereka, akan dicari oleh mafia.” Dengan rela hati Sui Cin menjelaskan keadaan yang sebenarnya.
“Ya, saya tahu itu. Tapi saya akan usahakan juga sehingga saya dapat bertemu mereka. Ini untuk kebaikan mereka juga.” Fakhrul pantas mengangguk tanda memahami risiko yang sedang digambarkan oleh Sui Cin tadi. Dia sudah boleh mengagaknya.
“Kalau tuan nak ke sana saya akan siapkan pemandu. Tuan cuma perlu beritahu saya bila masanya tuan mahu ke sana. Pemandu hotel akan bawa tuan ke mana sahaja kamu nak pergi. Mudah nak bergerak nanti.”
“Tak perlu susah-susah. Saya tak perlukan pemandu. Saya akan pergi sendiri. Saya lebih selesa begitu.” Fakhrul terus menolak lembut cadangan Sui Cin. Dia tidak mahu jejaknya diekori orang lain. Dia lebih suka bergerak sendiri.
“Tapi tuan jangan lupa yang orang di sini kebanyakannya tak tahu berbahasa inggeris. Saya takut nanti tuan tersesat,” balas Sui Cin pula. Sudah tentu dia sedia maklum akan kebiasaan orang di Yangon ini.
Fakhrul sempat tersenyum tanda menghargai keperihatinan wanita ini. Namun dia tetap tidak mahu dirinya diikuti sesiapa.
“Terima kasih. Kamu memang baik hati tapi saya akan usahakan sendiri. Tadi kamu kata kebanyakan orang di sini tak tahu berbahasa inggeris. Itu bermakna bukan semua orang di Yangon ini tak tahu berbahasa inggeris. Pasti ada orang yang faham apa yang saya katakan nanti. Saya akan usahakan sendiri nanti. Terima kasih banyak-banyak, Sui Cin.”
Sui Cin akhirnya mengangguk akur dengan pendirian Fakhrul. Sebelum meninggalkan Fakhrul di situ dia sempat menyediakan sebuah peta dan nama syarikat milik Khon Aung itu sebagai panduan. Harap-harap peta itu dapat membantu Fakhrul esok.

DENGAN kenderaan pick-up yang dipanggil teksi, Fakhrul segera memulakan aktivitinya. Tidak susah juga untuk mencari bangunan yang dinyatakan di dalam cebisan kertas yang diberikan Sui Cin. Awal pagi lagi teksi itu sudah berada di kawasan perindustrian di Jalan Mandalay. Terserlah rasa kagum Fakhrul melihat persekitaran yang luas dan dihias cantik. Lanskapnya menarik dengan dekorasinya yang melambangkan ciri-ciri moden dan mewah. Kekayaan Khon Aung yang dikatakan oleh Sui Cin itu sudah boleh dilihat olehnya melalui tempat ini.
Pemandu teksi itu pada mulanya agak berat apabila diminta untuk menunggu sahaja di situ oleh Fakhrul. Namun setelah Fakhrul menyatakan yang dia akan membayar harga yang tinggi untuk khidmat teksi itu, lelaki itu hanya menurut sahaja.
Mahu berbual-bual namun pengetahuan pemandu teksi itu dalam bahasa Inggeris amat minimum. Akhirnya Fakhrul hanya diam sambil memerhati sahaja ke arah pintu pagar yang berada kurang dari sepuluh meter jaraknya dari tempat mereka berhenti.
Setelah beberapa jam menanti apa yang diharapkan tidak juga muncul. Pada firasatnya jikalau dikatakan kaya sudah tentulah pemilik bangunan ini menggunakan kenderaan yang mewah. Tetapi tiada pula kelihatan seperti ‘orang yang betul-betul kaya’ telah masuk atau keluar dari kawasan itu sedangkan jam di tangannya sudah menunjukkan jam sepuluh pagi. Cahaya matahari pula sudah mula menegak di atas kepala.
“Kamu tahu pukul berapa selalunya orang di sini masuk ke pejabat?” Fakhrul cuba bertanya kepada lelaki pemandu teksi itu.
Namun hanya gelengan sahaja yang didapati daripada pemandu teksi itu sebagai jawapan. Fakhrul mengeluh kehampaan. Baginya memang mustahil jika lelaki ini tidak tahu jadual orang mula berkerja, melainkan dia sebenarnya tidak faham apa yang ditanyakan kepadanya sebentar tadi.
Fakhrul akhirnya keluar dari kenderaan pick-up buruk itu. Dia mengangkat lensa kameranya dan mula berlagak seperti seorang jurugambar. Fakhrul sempat merakamkan permandangan yang dirasakan menarik sambil mendekati pintu pagar bangunan itu. Dia terus mengambil gambar dengan tujuan untuk menarik perhatian pengawal yang sedang berkawal agar datang bertanya kepadanya... atau pun menghalaunya.
Umpan Fakhrul berhasil apabila salah seorangnya datang mendekati Fakhrul. Mulutnya menceceh tak henti-henti dengan bahasa tempatan. Dah macam bertih goreng lagak lelaki itu memarahi Fakhrul.
“English!” Fakhrul memintas bicara lelaki itu dengan agak kuat.
Pengawal itu segera melaungkan kepada orang di dalam pondok keselamatan di pagar utama itu untuk membantunya. Sekejap sahaja ada seorang lagi pengawal keselamatan datang mendekati mereka. Buat seketika dua lelaki di hadapan Fakhrul itu bercakap sesama sendiri di dalam bahasa tempatan.
“Kenapa kamu di sini? Kamu buat apa dengan kamera itu?” lelaki itu menyoal dalam bahasa Inggeris yang fasih. Matanya menyoroti kamera yang tersangkut di leher Fakhrul. Ada riak sangsi di wajahnya saat memandang Fakhrul.
“Saya seorang jurugambar,” kata Fakhrul sambil menunjukkan kameranya. Dengan lagak penuh kesopanan dia menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan lelaki itu.
“Saya ke sini sebab saya nampak kawasan ini begitu cantik. Jadi, saya singgah di sini untuk mengambil gambar. Bagaimana untuk saya mendapatkan kebenaran untuk bertemu dengan pemilik tempat ini? Saya berhajat untuk memasukkan gambar-gambar tempat ini ke dalam majalah keluaran syarikat saya,” kata Fakhrul penuh hemah.
“Itu mustahil. Tempat ini adalah kawasan larangan untuk orang asing. Hanya orang yang mempunyai urusan perniagaan sahaja yang dibenarkan masuk. Itupun mereka akan dikawal ketat dan mesti membuat temujanji terlebih dahulu,” jawab pengawal itu.
Fakhrul diam seketika sambil memegang dagunya. Dia berfikir lagi apa yang perlu diucapkan untuk memujuk pengawal itu agar menunaikan permintaannya itu.
“Tapi saya akan membuat publisiti untuk syarikat ini.”
“Kawasan ini kawasan larangan. Tidak perlu publisiti di sini. Saya akan dimarahi kalau saya membiarkan kamu di sini lagi. Tolong pergi!” jawab pengawal itu agak tegas.
Fakhrul mengangguk seketika. Walaupun tidak berjaya menembusi pintu pagar ini namun dia berpuas hati dengan hemah pengawal ini yang tidak menghalaunya seperti anjing.
“Siapa nama pemilik syarikat ini?” Fakhrul masih terus menyoal. Sengaja dia berlengah-lengah di situ. Siapa tahu dia dapat mengorek sedikit cerita mengenai pemilik tempat ini ataupun dia dapat meninjau ke dalam melalui tempat dia berdiri saat ini.
“Kenapa kamu nak tahu?”
“Oh! saja saya bertanya. Saya kagum dengan keindahan tempat ini. Sebab itu saya mahu tahu siapa pemiliknya,” balas Fakhrul sambil tersenyum. Sedaya upaya dia berusaha untuk menimbulkan kepercayaan lelaki di hadapannya ini kepadanya.
“Pemilik syarikat ini bernama Khon Aung.”
“Oh! Saya kenal dia. Saya sering membaca mengenainya di dalam akhbar. Dia lelaki ternama dan kaya raya di Yangon ini. Saya tidak sangka saya sedang berpijak di tempatnya sekarang,” spontan Fakhrul berkata dengan nada yang agak meninggi seolah-olah kagum benar dengan kebetulan yang dibuat-buat itu.
“Dia adalah idola saya. Saya suka dengan cara dia berniaga. Dia adalah ikon pembangunan bagi negara ini.” Fakhrul melanjutkan pujiannya lagi mengenai lelaki bernama Khon Aung itu.
“Kamu tahu dia?” pengawal itu mulai berminat apabila melihat reaksi Fakhrul begitu. Ada terselit rasa bangga apabila majikannya dikenali oleh orang luar.
“Ya! Dia orang paling kaya di sini, kan? Saya banyak mendengar cerita orang tentang dia,” ucap Fakhrul masih lagi dengan reaksi kekaguman yang dibuat-buat. Harap-harap dia boleh membodek lelaki ini untuk kegunaannya kemudian nanti.
“Ya, betul apa yang kamu cakap tu. Dia orang kaya yang memiliki tempat ini. Dia juga memiliki perniagaan di luar negara. Dia sangat kaya.”
“Sayang sekali saya tak dapat berjabat tangan dengan dia. Sudah tentu dia tokoh yang disegani di sini. Tentu banyak cerita yang dapat saya kumpulkan mengenai dia kalau saya dapat menemui dia.” Tambah Fakhrul sengaja mempamerkan reaksi terkilan.
“Maaf. Saya faham apa yang kamu maksudkan tapi saya tak boleh bantu kamu. Kawalan keselamatan di sini agak ketat. Malahan wartawan tidak akan dibenarkan masuk tanpa sebarang temujanji. Bukan senang untuk kamu bertemu dengan mereka. Selalunya sidang akhbar juga tidak dibuat di sini sebaliknya di Summit Parkview Hotel ataupun di Traders Hotel,” balas lelaki cuba untuk membuat Fakhrul mengerti.
Fakhrul akhirnya mengangguk faham setelah nama hotel yang disebutkan lelaki itu disematkan di kotak memorinya.
“Bila agaknya sidang akhbar yang seterusnya akan dibuat?” Fakhrul menyoal lagi. Siapa tahu dia dapat mencelah nanti ?
“Maaf. Itu juga saya tidak dapat bantu kamu. Sebetulnya saya langsung tidak tahu tentang itu. Saya di sini hanya seorang pengawal. Soal itu bukan dalam pengetahuan saya. Itu urusan pihak pengurusan. Mereka yang mengaturkan temujanji dengan syarikat akhbar.” Lelaki itu menjawab jujur.
Fakhrul sedikit hampa. Namun dia tetap menerima kelogikan kata-kata lelaki itu. Masakan pengawal sepertinya terdedah dengan bermacam-macam hal dalaman syarikat?
Sedang mereka berbual di situ, tiba-tiba sebuah kereta jenis Posche Canyene berhenti berhampiran dengan mereka. Fakhrul sempat menoleh apabila kereta itu berhenti betul-betul bersebelahan dengannya. Matanya bersabung pandang dengan seorang perempuan yang duduk seorang diri di belakang kereta itu.
Namun dia terus ditarik oleh pengawal agar menjauhi kereta itu sekaligus tidak menghalang laluan kereta itu. Terkumpal-kumpal Fakhrul seketika dengan perlakuan pengawal yang menariknya agak kasar. Masing-masing kelam kabut bagaikan ada raja atau sultan sedang melintas.
Fakhrul menoleh lagi untuk melihat wanita di dalam kereta itu. Berdegup kencang jantungnya apabila dia melihat wanita itu mula menurunkan cermin di tempat duduk belakang.
Tiba-tiba Fakhrul kekagetan di situ. Sangkanya dia akan dimarahi kerana berada di situ. Tetapi wanita itu memandang ke arahnya dari dalam kereta. Mereka berpandangan agak lama sebelum kereta itu berlalu bersama si jelita setelah pintu pagar automatik itu terbuka sepenuhnya.
“Kamu kena pergi. Itu cucu tuan saya. Pasti sekejap lagi tuan saya akan sampai. Lebih baik kamu pergi!” ujar pengawal itu mula menggesa Fakhrul agar beredar. Fakhrul menolak tangan pengawal itu dalam pada matanya masih mengekori pergerakan kereta itu. Macam masih tidak puas memandang.
“Kamu mesti pergi sekarang!
“Okay. Okay.” Mahu tidak mahu Fakhrul kembali semula ke kenderaan pick up itu. pemandu teksi itu segera membawanya pergi dari situ.
Di dalam teksi itu Fakhrul terkumpal-kumpal sendiri mengenang semula apa yang baru berlaku sebentar tadi. Seperti ada bayu dingin yang menyapu wajahnya, membuatkan dia seperti tidak tahu di mana dia sedang berpijak ketika ini. Renungan lembut wanita itu juga membuatkan dia terasa lain macam.  
Di dalam hatinya dia berbisik.. ‘itu adalah Angelina!’








No comments:

Post a Comment