SUFI menolak troli yang sarat dengan
barang-barang keperluan harian seperti barang dapur dan
juga barang kelengkapan diri, sementara Hannah memimpin
tangan Risya. Sebaik sahaja mereka sampai di kereta Myvi
berwarna oren, mata Sufi terpandang satu senario yang
membuatkan dia mengetap bibir tiba-tiba.
“Anna, kau tolong jaga Risya kejap.” Sufi
menyerahkan kunci kereta yang baru diambil dari poket
seluarnya.
“Eh, Sufi... kau nak pergi mana tu?” Hannah
melaung bila melihat Sufi menonong pergi ke arah deretan
parkir kereta tidak jauh dari tempat parkir kereta mereka.
“Aku nak tolong orang kena belasah kat sana tu!”
Sufi turut melaung sama.
Ternganga mulut Hannah apabila melihat Sufi
menghampiri dua lelaki yang sedang membelasah seorang
lelaki berdekatan sebuah kereta Audi TT. Hannah dapat
mengagak pasti lelaki berkemeja putih itu teruk dikerjakan.
Hannah tahu bahawa Sufi tidak mungkin akan
melihat sahaja kalau apa-apa kejadian yang tidak diingini
berlaku di depan matanya. Cepat saja Sufi menolong walaupun
ada kalanya nyawa sendiri hampir menjadi taruhan.
Hannah mengetap bibir. Hati Hannah mula resah
dan berdebar. Mampukah Sufi menangani dua lelaki itu
dengan kudrat seorang perempuan? Sufi... Sufi... Memang
kau nak cari nahas!
“HOI, korang jangan buat hal kat sini!” Sufi mula bersuara
sebaik sahaja berhadapan dengan dua lelaki itu.
Lelaki yang bertubuh kurus memegang kedua-dua
belah tangan lelaki berkemeja putih ke belakang sementara
yang berambut kontot masih lagi enak membelasah. Kesian
sungguh Sufi melihat keadaan lelaki yang tidak bermaya itu.
Tertunduk-tunduk menahan kesakitan setiap kali tubuhnya
dibelasah.
“Weh, dia bawa pembantulah. Awek cun pulak tu.”
Lelaki yang berambut kontot memandang wajah Sufi sambil
mengukir senyum menayangkan gigi kuningnya.
“Yalah. Tapi brutal semacam aje ni, bro.” Kawannya
yang bertubuh kurus melidi dan berambut panjang melepasi
paras bahu turut memandang wajah Sufi.
Kedua-dua lelaki itu tersengih memandang wajah
Sufi yang sudah mengetap bibir. Lelaki yang kena tumbuk
dan belasah itu cuba berdiri di sisi keretanya. Dia tercengang
melihat Sufi begitu berani berhadapan dengan dua lelaki itu.
“Korang berdua tolong blah dari sini kalau tak nak
dapat habuan masing-masing!” Sufi memandang tajam ke
arah wajah dua lelaki yang tidak semenggah itu. Nafasnya
mula turun naik. Geram melihat perbuatan yang tidak
bermoral itu. Sudah tidak ada kerja lain yang hendak dibuat
gamaknya.
‘Muka korang ni dah macam penagih dadah dan
penyangak. Memang sesuailah kerja sebagai kaki pukul. Ingat
aku takut ke? Ini Sufi. Korang akan tahu kehebatan aku kalau
korang tak nak blah dari sini sekarang.’ Desis Sufi sambil
tersenyum sinis.
“Bro, apa tunggu lagi, kita kerjakan saja perempuan
ni. Ada hati nak jadi superhero konon, memang tak sedar diri.
Hahaha...” Lelaki yang berambut kontot itu memandang sinis
wajah Sufi yang sedang hangat.
Mata Sufi kemudian beralih ke arah lelaki yang
bertubuh kurus memakai seluar londeh yang hampir
menampakkan seluar dalam sedang tersengih-sengih
memandang wajah Sufi.
‘Tak malu betul. Sengaja nak tayang jenama seluar
dalam cap ayam tu. Aku tak hairan punyalah.’ Sufi hampir
nak tergelak melihat penampilan lelaki itu.
“Hei, korang berdua jangan apa-apakan perempuan
tu. Dia tak ada kena-mengena dalam hal ni.” Lelaki yang kena
tumbuk itu bersuara bila kedua lelaki itu mula mara ke arah
Sufi.
“Apa kami peduli, hidangan dah ada depan mata.
Kami terima saja dengan senang hati.” Lelaki bertubuh kurus
itu terus mara ke arah Sufi.
Lelaki yang kena tumbuk itu cuba menghalang tetapi
kudratnya yang lemah membuatkan dia jatuh terjelepok
apabila perutnya ditumbuk berkali-kali oleh lelaki yang
berambut kontot.
“Okey, kalau korang berdua nak merasa penangan
aku, silakan ke depan. Korang boleh buat pilihan, siapa
yang nak dulu!” Sufi memang sudah bersiap sedia untuk
memulakan langkah.
Kedua lelaki itu saling berpandangan buat seketika.
Sebenarnya, Sufi sendiri pun rasa gementar.
Bimbang kalau dirinya tersilap langkah. Pasti dia akan
menjadi mangsa.
“Aku dulu, bro. Kacang aje ni.” Lelaki kurus itu
segera ke depan dan cuba memeluk Sufi.
Tetapi sayang, angannya tidak kesampaian apabila
dia ditempelak oleh Sufi. Lelaki bertubuh kurus itu diterajang
dan ditumbuk bertubi-tubi oleh Sufi sehingga lembik.
Kawannya hanya memandang dengan mata
terbeliak. Tidak sangka Sufi mampu mengalahkan kawannya.
Memang kawannya ini kurus orangnya tapi dia juga handal
bertumbuk, apa lagi bila pekena pil kuda. Memang tidak ingat
dunia langsung.
Sufi melepaskan keluhan penat. Penat juga
menangani lelaki kurus ini walaupun tidak adalah mencabar
sangat. Dan sekarang ini, dia perlukan tenaga yang lebih
untuk menangani lelaki yang berambut kontot ini.
“Okey, sekarang giliran kau pulak!” Sufi mengukir
senyum sinis sambil tangannya mencuit hidung.
Lelaki itu maju ke arah Sufi. Sebelum itu, sempat dia
menyepak tubuh kawannya yang sedang mengaduh kesakitan
sambil terbaring.
“Buat malu kaum ajelah kau ni.” Dia merungut ke
arah kawannya.
Hampir sepuluh minit juga Sufi dan lelaki berambut
kontot itu bertarung sebelum lelaki itu rebah akibat
dipukul sesuatu. Sufi tengadah. Terkejut bila lelaki itu jatuh
tiba-tiba. Saat ini mata Sufi beradu dengan sepasang mata
coklat milik seorang lelaki. Mereka berpandangan seketika.
Masing-masing diam terkedu.
“Terima kasih sebab awak bantu saya,” ujar lelaki itu
selepas melemparkan kayu hoki yang digunakannya tadi.
Dia menekan perutnya yang memang terasa senak
dan sakit. Darah pekat yang mengalir di bibirnya dibiarkan
mengalir. Terdapat juga beberapa kesan lebam pada mukanya.
Kesian Sufi melihatnya.
“Awak tak apa-apa?” Sufi masih berdiri statik di
tempatnya.
“Yes, I’m okay. Thanks again.” Lelaki itu cuba
mengukir senyum ke arah Sufi.
“Apa kita nak buat dengan makhluk dua ekor ni?”
Sufi memandang dua lelaki yang sedang mengaduh kesakitan.
“Aku nak tanya ni. Siapa yang upah korang untuk
belasah lelaki ni?” Mata Sufi garang merenung wajah dua
lelaki tadi.
Sekali lagi mereka berdua saling berpandangan.
“Cakap! Kalau korang tak nak cakap, aku bawa
korang pergi balai polis. Korang nak tidur dalam lokap?” Sufi
bercekak pinggang.
“Erm... sebenarnya kami ni cuma ikut arahan aje.”
Muka lelaki berambut kontot itu sudah ketakutan. Risau
kalau dia dibawa ke balai polis. Baru dua bulan dia keluar
penjara, takkanlah nak masuk lagi.
“Arahan siapa? Cakap, aku belasah karang!”
Terkebil-kebil mereka berdua memandang wajah Sufi yang
semakin berang.
“Arahan dari seorang perempuan. Dia nak kami
belasah lelaki ni sebab lelaki ni tinggalkan dia.” Lelaki
berambut kontot itu melirik seketika ke arah lelaki yang kena
belasah tadi.
Sufi memandang wajah lelaki di sebelahnya. Lelaki
itu agak terpinga-pinga.
“Betul?” Mata Sufi makin tajam merenung wajah
lelaki berambut kontot itu.
“Be... betul. Kami hanya ikut arahan saja. Kami tak
tahu apa-apa.” Lelaki berambut kontot itu memandang wajah
temannya. Temannya itu segera mengangguk kepala. Tanda
mengiakannya.
Mereka berdua kelihatan agak ketakutan melihat
wajah Sufi dan lelaki itu. Tadi bukan main samseng dan
berlagak lagi. Bila dah kena, sudah hilang taringnya. Padan
muka!
“Biarkan saja mereka pergi. Saya tak nak perkara ni
dipanjangkan.” Lelaki berkemeja putih itu memandang dua
lelaki yang terbaring di simen mengaduh kesakitan.
“Korang berdua boleh blah sekarang, lain kali jangan
buat hal lagi. Kalau aku jumpa korang berdua lagi sekali,
memang nahas korang aku kerjakan.” Tanpa menunggu
sesaat, kedua-dua lelaki itu segera bangun dan beredar dari
situ tanpa menoleh lagi.
Lelaki berkemeja putih itu memandang wajah Sufi
tanpa berkelip. Dia menelan liur perlahan.
“Nasib baiklah awak ni selamat. Kalau tak, awak
tinggal arwah saja. Tahu tak?” Sufi memandang lelaki itu.
Lelaki itu senyum walaupun nampak kerutan pada
wajahnya. Mungkin sedang menahan kesakitan. Sufi hanya
memandang lelaki itu menghala ke kereta Audi TT miliknya.
“Awak nak saya tolong awak hantar ke hospital atau
klinik?” Risau pula Sufi bila melihat lelaki itu bersandar di
kereta sambil menekan perutnya dengan dahi berkerut.
Baju kemeja putihnya juga telah dicemari dengan beberapa
tompokan warna merah.
“Tak perlu. Saya okey aje ni.” Lelaki itu menolak
pelawaan Sufi.
“Kayu hoki tu awak punya ke?” Tiba-tiba mata Sufi
terpandang kayu hoki yang digunakan oleh lelaki itu untuk
memukul lelaki samseng tadi.
“Tak. Kayu hoki tu milik mereka berdua tadi. Mereka
muncul depan saya dan terus pukul saya dengan kayu itu tadi.
Jadi saya tak sempat nak bersedia,” ujar lelaki itu bersama
kerutan di dahi.
Sufi mendengus perlahan.
“Kalau macam tu, saya pergi dulu.” tutur Sufi yang
tiba-tiba teringatkan Hannah dan Risya. Kesian mereka
berdua lama menunggu di dalam kereta.
“Wait!” Lelaki itu bersuara bila Sufi mula melangkah
pergi.
“Apa dia?” Sufi memandang wajah lelaki itu.
“Please, ambil kad ni. Awak boleh call saya kalau
awak perlukan apa-apa pertolongan. Nama saya Zahim.
Saya benar-benar terhutang budi pada awak.” Lelaki itu
menghulurkan sekeping kad.
“Tak perlu. Saya tolong dengan ikhlas. Kalau orang
lain di tempat awak pun, saya juga akan tolong. Lain tahunlah
kalau nak berkenalan pun. Sekarang ni, saya tak berminat
nak menghubungkan salam silaturahim dengan awak.” Sufi
tayang muka selamba membuatkan lelaki itu terkedu.
“Kalau ya pun, takkanlah awak tak nak kenalkan diri
awak.” Zahim merenung wajah Sufi.
“Tak payahlah. Saya bukannya orang penting dan
glamor. Jadi tak perlulah awak tahu nama saya.” Sufi tetap
pamer muka selamba.
Zahim terdiam seketika.
“Okeylah. Saya chaw dulu. Assalamualaikum.” Tanpa
berlengah Sufi terus berlalu pergi.
“Waalaikumussalam...” Zahim membalas salam
dengan wajah kecewa.
Zahim mengeluh perlahan. Tak sangka, niat baiknya
disalahertikan.
‘Tak apalah. Hari ini awak tolak. Tapi saya harap saya
dapat jumpa awak lain kali.’ Desis Zahim sambil melepas
helaan. Entah kenapa terbit rasa terkilan dengan sikap gadis
itu tadi.
No comments:
Post a Comment