Tuesday, 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 16

SUFI menghempaskan tubuhnya ke sofa.
Otaknya ligat berfikir bagaimana cara untuk memberi
jawapan dan keputusan yang terbaik untuk Zahim nanti. Bila
mengenangkan muka lelaki itu, timbul pula rasa simpati dan
kasihan. Tapi kalau diturutkan, nanti timbul pula masalah
lain. Siapa yang nak tanggung? Dia jugak kan!
Hannah yang berada di ruang tamu sambil
menyaksikan rancangan di TV mula berkerut dahi. Sufi
seolah-olah tidak sedar akan kewujudannya di situ sedari tadi.
“Assalamualaikum! Hah!!!” sergah Hannah.
“Anna, ada orang bagi salam kat luar. Cuba kau
tengok siapa yang datang.” Terpinga-pinga Sufi memandang
wajah Hannah.
“Hoi, apa kena dengan kau ni? Dah angau sampai
mana? Kau jangan bawa balik hantu jembalang kat rumah ni,
risau aku.” Hannah menahan geram.
“Hantu jembalang apa yang bagi salam, aku suruh
kau pergi tengok siapa yang bagi salam, yang kau melalut
sampai ke hantu jembalang ni, apa hal?” Sufi menggeleng
kepala.
Hannah tersenyum sinis.
“Itulah kau. Aku cakap kau jangan bawa balik hantu
jembalang kat rumah ni, kau tak percaya. Kau sedar tak, yang
kau ni dah jauh mengelamun. Dah sampai mana? Kampung?
Atau jauh di US sana, jumpa dengan Abang Lan kesayangan
kau tu,” tempelak Hannah. Dia membetulkan kedudukannya.
Matanya tepat memandang ke wajah Sufi yang nampak keliru
dan bingung.
“Apa yang kau cakap ni? Aku tak faham.” Sufi masih
lagi kebingungan.
Hannah mendengus perlahan sambil menggeleng
kepala. Memang kawannya berada di dunia lain seketika
tadi. Nasib baik sempat balik ke dunia asal. Masih boleh
diselamatkan lagi.
“Kau sedar tak siapa yang bagi salam tadi?”
soal Hannah sambil merenung tepat ke muka Sufi yang
terkedip-kedip.
“Entah. Kau tak pergi buka pintu, mana aku tahu
siapa yang bagi salam. Mungkin Mak Nab, jiran sebelah
rumah kita.” Sufi tayang muka selamba.
Hannah mengetap bibir. Rasa nak meluku saja kepala
si Sufi ini bagi dia sedar sikit.
Hannah bangun dan melabuhkan punggungnya di
sebelah Sufi. Dahi Sufi disentuhnya perlahan.
“Apa hal ni, main-main sentuh dahi aku ni?” Sufi
menjauhkan tubuhnya dari Hannah.
“Aku nak check sama ada kau ni sihat ke tidak,” balas
Hannah.
“Aku sihatlah.” Sufi menyentuh sendiri dahinya.
“Sihat luaran, tapi dalaman kau ni sebenarnya dah
teruk. Tahap kronik, tau tak? Kena pergi check kat hospital
atau jumpa bomoh.”
Hannah menggeleng kepala seketika.
“Anna, yang kau cakap melalut ni, apa hal?” Sufi
hairan.
“Apa sebenarnya yang kau fikirkan ni? Suara aku
bagi salam dengan suara Mak Nab jiran sebelah rumah kita
pun kau tak dapat beza, memang kroniklah tu.” Hannah
menggeleng kepala kesal.
“Kau? Kau yang bagi salam tadi?” Sufi tersentak.
Hannah mengangguk perlahan.
“Apa ke mimpinya kau bagi salam?” Sufi tergelak
kecil tiba-tiba.
“Dah kau masuk selamba badak aje, tak bagi salam,
tak tegur dan tak tengok muka aku. Jadi aku kira kau tu berada
dalam alam khayalan. Nak pastikan sama ada kau sedar atau
tidak, aku bagilah salam dan ternyata kau memang berada
dalam dunia khayalan.” Penjelasan Hannah membuatkan
Sufi terdiam.
“Ya ke? Aku pun tak perasan apa yang aku buat tadi,”
akui Sufi dalam kebingungan.
“Masya-Allah. Memang betullah kau kena sampuk
dengan hantu jembalang.” Sekali lagi Hannah menggeleng
kepala.
“Tak adalah sampai tersampuk dek hantu jembalang.
Aku cuma tengah bengang sekarang ni. Rasa serba salah, itu
yang buatkan fikiran aku melayang-layang.” Sufi meraup
mukanya. Tudung yang menutup kepalanya dibuka dan
diletakkan di atas sofa.
“Kau dah solat?”
“Dah, kat ofis tadi sebelum balik kerja.” Sufi
menyandar badan di sofa sambil menarik nafas panjang.
“Hmm... aku rasa elok kau pergi mandi, lepas
maghrib kita makan. Aku dah masak untuk kita makan, tapi
simple ajelah.” Hannah merenung wajah Sufi.
“Thanks. Aku masuk bilik dulu.” Sufi bangkit dan
terus beredar.
“You owe me an explanation, Sufi!” laung Hannah.
“Ya, aku tahu. Aku akan jelaskan nanti.” Terdengar
suara Sufi dari dalam bilik.

“SEKARANG, CUBA kau cerita apa sebenarnya yang berlaku
pada kau siang tadi. Aku tengok teruk sangat muka kau.
Itu yang aku kata kau kena sampuk dek hantu!” Hannah
memandang wajah Sufi semasa mereka sama-sama berehat
di ruang tamu sebaik sahaja selesai makan malam.
Sufi memeluk erat bantal segi empat yang menjadi
hiasan di sofa.
“Macam mana aku nak mulakan, ya?”
Sufi menggaru-garu kepala sambil tersengih.
“Tak tahu nak mula?” Terbeliak mata Hannah
mendengar jawapan Sufi
Sufi tetap menayang sengih. Sungguh, dia tidak
tahu bagaimana nak memulakan ayat.
“Okey, aku bilang satu sampai tiga, kau mula cerita.”
Hannah ambil jalan mudah.
“Apasal yang kau tiba-tiba jadi bangang ni. Kau ingat
aku nak masuk pertandingan lumba lari ke? Kira satu, dua,
tiga. Kemudian tiup wisel. Hal yang melanda aku sekarang ni
macam nak masuk peperiksaan, buat esei atau karangan. Ada
point penting, ada huraian baru orang boleh faham, ngerti?”
Sufi mengetap bibir.
Kali ini tiba giliran Hannah menayang sengih.
“Serius ni?”
Mata Hannah hampir nak tersembul keluar setelah
Sufi menceritakan apa yang terjadi petang tadi.
“Seriuslah ni. Aku jadi serba salah sekarang. Nak
tolak salah, terima lagi salah.” Sufi mengeluh perlahan.
“Dia ada tawarkan kau duit tak sebab minta kau
berlakon jadi kekasih dia?”
“Ya. Dia sanggup bayar berapa saja yang aku minta
tapi kau ingat aku ni jenis manusia yang mata duitan ke?”
Sufi mendengus perlahan.
“Ruginya kalau kau tolak. Aku syorkan kau terima
aje tawaran tu, bukan lama pun, sehari aje kan!” Hannah
menyokong.
“Senanglah kau cakap sebab bukan kau yang ada
di tempat aku.” Sufi memejam mata seketika, masih lagi
terbayang permintaan Zahim bersama mimik mukanya.
“Kalau aku kat tempat kau, aku tak fikir panjang.
Tak payah nak peningkan kepala, terima saja. Kalau nak terus
kekal jadi kekasih pun aku rela.”
Hannah buat muka poyo.
“Habis tu janji aku pada Risya macam mana? Kan
kita nak balik kampung hujung minggu ni. Kau lupa?”
“Ya Allah. Aku lupa, macam mana, ya?” Hannah
menepuk dahi perlahan.
“Alah, kau call umi kau cakap nak balik minggu
depan. Mesti umi kau seronok sebab dia masih boleh bersama
Risya lagi.” Hannah tetap ambil jalan mudah.
“Eh, mana boleh. Aku dah rindu sangat kat anak aku
tu.” Sufi tetap rasa gusar.
“Sufi, bukannya lama pun kau tinggalkan dia kat
kampung.” Sufi mendecit serba salah.
“Senang citer, kau terima ajelah tawaran dari bos
kau tu. Tawaran yang cukup menarik untuk seumur hidup
kau.” Hannah sudah senyum simpul.
“Kalau ya pun aku terima tawaran tu, kau ingat
senang ke nak berhadapan dengan parents dia. Dahlah orang
kaya. Kalau aku tersilap percaturan macam mana? Naya
aku!” Sufi melahirkan rasa gusar.
“Seelok-eloknya kau berbincang dengan bos kau tu
apa yang patut dan tak patut kau cakap. Kau cuba fikir apa
soalan yang akan ditanya pada pertemuan pertama kau dengan
parents bos kau tu. Lagi elok kau jangan banyak cakap, biar
mereka yang tanya. Jadi pandai-pandailah kau jawab atau kau
biarkan bos kau tu yang jawab. Kau cuma tayang senyum aje,
kontrol cun.” Hannah memberi cadangan.
“Hmm... nantilah aku fikirkan. Aku pun belum bagi
apa-apa keputusan lagi kat dia. Tapi Encik Zahim tu bertegas
minta aku bagi keputusan esok, nampak sangat yang dia tu
terdesak. Macamlah tak ada perempuan lain, aku juga yang
jadi mangsa dia.” Sufi mengeluh perlahan.
“Agaknya dia tu jodoh sebenar kau kut.” Hannah
mengukir senyum.
“Habis tu, Abang Lan yang merangkap tunang aku tu
nak letak kat mana? Nak bagi kat kau?” Sufi menahan geram.
“Entah. Campak ajelah kat mana-mana. Jangan bagi
kat aku sudah, aku tak nak.” Hannah terus berlalu masuk ke
biliknya meninggalkan Sufi termangu seorang diri di ruang
tamu itu.

ZAHIM MEMBUKA butang baju satu per satu dan
membuangnya ke dalam bakul. Tubuh sasanya yang hanya
dibalut dengan singlet dan seluar panjang itu dilabuh ke atas
katil. Kemudian kedua-dua tangannya meraup muka sambil
melepas keluhan panjang. Teringatkan perjumpaannya
dengan Sufi tadi, hatinya jadi rawan. Dia cukup risau
sekiranya gadis itu menolak permintaannya. Di mana dia nak
cari pengganti yang sesuai untuk ditunjukkan kepada mama
dan papanya nanti? Bukan dia tidak nampak keresahan wajah
Sufi sebaik sahaja dia menjelaskan perkara sebenar.
“Encik Zahim tahu tak, berdosa kalau kita menipu
kedua ibu bapa kita,” ujar Sufi dengan perasaan tidak selesa
sebaik sahaja mendengar permintaan Zahim tadi.
“Ya, saya tahu tapi takkanlah saya kena akur dengan
pilihan mereka. Saya rasa mereka tahu yang Dania tu
bukannya perempuan yang baik untuk dijadikan isteri dan
ibu untuk anak-anak saya nanti tapi saya hairan macam mana
mereka boleh terfikir nak jodohkan saya dengan perempuan
tu.” Zahim mengeluh kesal.
“Itu memang dah jadi perangai orang-orang kaya.
Mereka hanya akan jodohkan anak mereka dengan orang
yang setaraf. Takkanlah mereka nak bermenantukan orang
kampung yang tak punya apa-apa untuk dibanggakan. Mereka
beranggapan bahawa orang kampung akan cuba merampas
dan menumpang senang kekayaan mereka.” Sufi memberi
pendapat berdasarkan apa yang sering didengarinya.
“Tapi tak semua orang kaya akan berfikir seperti itu.”
Zahim cuba membetulkan anggapan Sufi.
“Memang tak semua tapi kebanyakannya memang
begitu.” Sufi merenung wajah muram Zahim.
“Jadi awak pun fikir saya akan memilih perempuan
yang kaya dan setaraf sebagai calon isteri?” Zahim membalas
pandang.
“Saya tak boleh nak komen banyak. Itu hak Encik
Zahim. Saya tak nak masuk campur.” Sufi ambil jalan tengah.
“Jadi awak tak nak tolong saya berlakon sebagai
kekasih saya untuk hari minggu ini?” Zahim mula gusar.
“Adakah saya diberikan pilihan yang lain?” Sufi
menyedut minuman yang masih berbaki.
“Maksud awak?” Zahim mula gelisah.
“Keluar dari senarai calon yang ada dalam fikiran
Encik Zahim tu. Sebenarnya saya dah bercadang nak balik
kampung hujung minggu ni.”
“Nur Aisyah Sufiya, please. Tolong pertimbangkan
permintaan saya. Saya akan terhutang budi pada awak kalau
awak sanggup tolong saya kali ini. Saya tak minta banyak,
hanya perlu datang ke rumah orang tua saya dan berpura-pura
yang kita ni adalah pasangan kekasih. Semua itu saya lakukan
demi mengelakkan diri saya dari dijodohkan dengan Dania.
Berapa pun awak minta sebagai bayaran, saya sanggup beri.”
Wajah serba salah Sufi itu terus menjadi tatapan Zahim.
“Bagi saya masa untuk fikirkan hal ini. Saya risau
kalau hal ni menjadi panjang, bagaimana saya nak mengelak
nanti?” Sufi tetap melahirkan kebimbangan.
“Saya janji saya akan bantu awak kalau apa-apa
berlaku nanti. Percayalah.” Zahim memberi jaminan
membuatkan Sufi terdiam.
“Tolong bagi keputusan secepat mungkin, ya. Kalau
boleh malam ni atau esok,” gesa Zahim.
Mata Sufi membulat.
“Encik Zahim nak minta pertolongan saya tapi cara
Encik Zahim tu macam memaksa saya.” Hati Sufi tiba-tiba
rasa hangat.
“Maaf, saya memang buntu dan terdesak. Saya harap
sangat yang awak sudi tunaikan permintaan saya.” Zahim
mencantum kedua-dua tangannya memohon pengertian.
“Baiklah. Saya akan berikan jawapannya esok pagi.
Tapi saya tak janji yang saya akan tunaikan permintaan Encik
Zahim tadi.” Akhirnya Sufi akur.
Zahim sudah mampu mengukir senyum lega.
Telinga yang menangkap bunyi deringan telefon
mematikan lamunan Zahim. Dia mengeluh perlahan. Saat
mata tertumpu pada nama yang tertera di skrin telefonnya,
bibir segera mengorak senyum..
“Helo, assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Suara ceria kedengaran di
talian.
“Hi sweetie!”
“Hi handsome!” Ucapan Zahim terus dibalas
membuatkan senyuman Zahim semakin lebar.
“Apa mimpinya call Abang Im ni?” Zahim bangun
dari katil. Langkahnya menghala ke balkoni.
“Mimpi? Mana ada Sara mimpi.” Suara Sara yang
ceria itu mengubat rindunya pada adik bongsu kesayangannya.
“Habis tu? Kenapa lama tak call Abang Im? Mesti
Sara sibuk berdating ni sampai lupa nak call Abang Im.”
Zahim tergelak kecil.
“Hesy... mana ada Sara dating. Sara belum ada pakwe,
kawan sajalah.” Cepat saja Sara membalas usikan abangnya.
“Kawan sajalah? Boleh percaya ke?” Zahim mengusik
lagi.
“Tak nak percaya sudah. Allah tahu kalau Sara
bohong. Yang abang Im pula, mengata kat Sara, Abang Im
dah ada makwe ke belum? Kekasih untuk dijadikan menantu
mama dan papa. Jangan cakap yang Abang Im setuju nak
jadikan Kak Dania tu kakak ipar Sara, ya.” Suara Sara mula
serius.
Zahim gelak. Dia tahu yang Sara memang tidak
pernah senang dengan kemunculan Dania ke rumah, apa lagi
untuk mengaitkan dia dengan gadis itu.
“Abang Im tak akan pilih perempuan yang Sara tak
suka.” Bibir Zahim sudah mengukir senyum.
“So, sekarang ni abang Im dah ada ‘seseorang’ ke?”
Sara mula rasa tidak sabar nak tahu perkembangan abangnya.
“Kalau ada?” Sengaja Zahim membiarkan soalan
Sara berteka-teki.
“Kalau ada, baguslah. Umur macam Abang Im ni
dah sesuai sangat cari jodoh untuk kahwin. Sara teringin nak
punya kakak ipar, nak ada geng. Nanti bolehlah kami buli
Abang Im.” Sara tergelak.
“Mana boleh, isteri Abang Im mesti satu geng dengan
Abang Im. Mana boleh masuk geng Sara.” Zahim tidak mahu
kalah.
“Hesy... belum ada apa-apa pun dah kedekut.” Sara
mula merungut geram.
Zahim ketawa kecil.
“Sebenarnya Abang Im tengah adjust someone ni
tapi susah sikitlah.” Zahim mengeluh perlahan
“Wow, macam menarik aje. Cantik tak bakal kakak
ipar Sara tu?” Sara mula teruja.
“Cantik. Tapi dia brutal sikitlah.” Saat ini wajah Sufi
mula terbayang di matanya.
Sara yang mendengar melepas tawa.
Dia, Cinta Hatiku?
“Memang padanlah tu. Abang Im kan jenis lelaki yang
lembik. Sesuailah dapat pasangan yang brutal. Hahaha...”
Bukan main beria lagi Sara ketawa.
Zahim mengetap bibir.
“Amboi, statement tak sayang mulut. Kalau Sara ada
depan mata Abang Im, mulut Sara tu dah jadi mangsa abang
Im tau!”
“Abang Im nak buat apa?”
“Abang Im nak lenyek-lenyek buat sambal tempoyak.”
Zahim mengetap bibir.
“Huhu... sadisnya.” Sara menyambung gelak.
“Okey, nanti kita jumpa minggu ni tau. I miss you!
Muaahh.” Belum pun sempat Zahim bertanya lebih lanjut,
talian terus diputuskan. Sengaja Sara nak dera Zahim. Zahim
mengetap bibir bila panggilannya tidak bersambut. Malah
Sara terus mematikan taliannya. Zahim mengeluh perlahan
tapi keluhannya bertukar dengan senyuman. Tak sabarnya
nak tunggu hari esok.

No comments:

Post a Comment