Tuesday, 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 3

SUDAH tiga hari Risya dihantar ke nursery baru.
Nampaknya Risya tidak banyak kerenah walaupun pada hari
pertama Cikgu Nur Ain ada beritahu yang Risya banyak
termenung dari bergaul dengan kawan-kawan baru di situ.
“Risya sayang... Petang nanti mama belanja Risya
makan Tutti Frutti, ya.” Itulah pujukan dan janji Sufi semalam
apabila dilihatnya Risya diam membisu semasa dihantar ke
nursery.
“Mama pergi kerja ya, sayang. I love you, sayang.”
Sufi mencium pipi gebu Risya.
“I love you too, mama!” Risya membalas ciuman
Sufi.
“Kalau ada apa-apa, cikgu call saya, ya.” Sufi
memandang wajah Cikgu Nur Ain.
“Baiklah. Kak Sufi jangan risau.” Cikgu Nur Ain
memegang tangan Risya sebelum Sufi berlalu ke keretanya.
Sufi segera mendapatkan tempat parkir sebaik
sahaja sampai di Zamrud Holdings. Nasib baik masih
banyak lagi tempat kosong. Selepas menekan alarm kereta,
dia membetulkan blaus dan selendang sambil menghadap
cermin kereta.
“Okay, perfect!” Sufi mengukir senyum puas dengan
penampilannya.
Sufi membaca basmalah. Dengan penuh yakin dia
mengatur langkah ke arah bangunan yang tersergam indah
dan berdiri megah itu. Sebenarnya dia nampak sahaja yakin
tetapi dalam hati, debaran dan gemuruh mula melanda.
Maklumlah, inikan hari pertama dia melangkah masuk ke
tempat kerja baru. Entah bagaimana dia hendak berdepan
dengan suasana baru nanti. Harap-harap semuanya okey.
Kawan kerja yang baik, bos yang baik dan suasana kerja yang
baik. Harap-haraplah kan.
Sufi memegang kemas beg tangan sambil mengatur
langkah ke bahagian pertanyaan. Seorang gadis manis segera
menghulurkan senyuman sebaik sahaja Sufi muncul di
hadapannya.
“Assalamualaikum cik dan selamat pagi.” Sufi
mempamerkan senyuman yang manis sebaik sahaja dia
menghampiri kaunter pertanyaan.
“Waalaikumussalam dan selamat datang ke Zamrud
Holdings. Apa yang boleh saya bantu?”
Gadis yang memakai tanda nama Waheeda itu segera
bersuara. Lunak dan merdu suara dan tutur katanya. Kalau
mana-mana lelaki yang tidak tahan godaan, pasti dengan
mudah mereka akan jatuh hati, perasaan terus cair dan
meleleh di situ juga.
“Erm... Nama saya Nur Aisyah Sufiya. Hari ini hari
pertama saya lapor diri di sini. Jadi, tingkat berapa ya pejabat
HR?” Sopan Sufi bertanya sambil matanya terus terpaku
menatap wajah Waheeda yang cantik manis tu. Berbeza
pula dengan dirinya yang bermekap ala kadar ini. Hanya
mengenakan bedak dan sedikit lip gloss sahaja. Tidak macam
Waheeda ini, bertempek-tempek alat mekap... semua warna
ada tertampal di mukanya.
“Oh, pejabat HR kat tingkat 10. Cik boleh jumpa
dengan Puan Amina. Nanti dia akan uruskan bahagian mana
cik akan ditempatkan.” Waheeda tetap pamer senyuman
manis.
“Ohh... terima kasih, ya. Saya pergi dulu.” Senyuman
Waheeda dibalas Sufi sebelum meninggalkan kaunter itu.
Kakinya segera diayun ke muka pintu lif. Beberapa
orang staf dekat situ sudah pun menunggu. Sempat juga Sufi
mengukir senyum pada mereka dan senyuman dibalas ala
kadar. Liar mata seorang gadis yang memakai skirt pendek
dan sendat memandang ke arah Sufi. Macamlah dia tergolong
dalam golongan alien sampai tengok dia nak terkeluar
biji mata. Apa, teruk sangat ke penampilan dia? Rasanya
penampilan dia lagi baik dan sopan daripada gadis itu.
“Staf baru ke?” tegur seorang wanita sambil
mengukir senyum.
“Ya, baru nak lapor diri.” Sufi memandang wanita itu
sambil membalas senyuman.
“Oh, selamat datang ke Zamrud Holdings.” Wanita
itu tersenyum ramah.
“Terima kasih.” Sekali lagi Sufi menghadiahkan
senyuman.
“Harap-harap dia bukan satu department dengan
kita.” Gadis yang memakai skirt pendek itu bersuara perlahan
sambil mencebik.
Sufi mengangkat kening. Walaupun suaranya
perlahan tapi masih dapat didengari dengan jelas di telinga
Sufi.
“Ada masalah ke kalau kita satu department?” Sufi
tayang muka selamba. Ingat dia hairan ke dengan lagak
perempuan macam itu.
Gadis itu memandang Sufi dengan mata bulat.
Memang jelas di wajahnya kehadiran Sufi ke situ tidak
dialu-alukan.
“Rina, tak elok cakap macam tu!” Wanita berbaju
kurung yang menegur Sufi tadi turut menegur gadis itu.
“Maafkan Rina ya, dia memang macam ni. Jangan
ambil hati. Nama akak Salwa, panggil aje Kak Wawa.” Wanita
yang ramah tadi memperkenalkan diri.
Sufi memandang sekilas ke wajah gadis yang berskirt
pendek itu. Gadis itu apa lagi, makin panjanglah muncungnya.
Sudah nampak macam mulut itik. Sesuai sangatlah dengan
warna lipstick yang dia pakai itu. Merah terang macam warna
lampu isyarat.
“Nama saya Nur Aisyah Sufiya, panggil saja Sufi.”
Sufi dan Kak Wawa saling berbalas senyum lagi.
“Jom, lif dah terbuka,” ajak Kak Wawa. Mereka
bertiga terus masuk, diikuti oleh dua orang lelaki yang baru
sahaja sampai di situ.
Sampai sahaja di tingkat 10, Sufi terus keluar dari lif
dan dia segera melangkah masuk ke bahagian HR. Dia perlu
uruskan apa-apa yang patut terlebih dahulu.

SUFI MENGATUR langkah ke bahagian pentadbiran sebaik
sahaja dia keluar dari pintu lif di tingkat 15. Dia perlu
berjumpa dengan CEO Zamrud Holdings. Kecut juga rasa
perutnya mengenangkan dia akan bertemu muka dengan
orang penting di Zamrud Holdings.
Sufi menghampiri meja yang paling hadapan
sebaik sahaja kakinya melangkah ke department itu.
Seorang perempuan yang memakai skirt labuh hitam dan
berjaket merah itu segera memandang wajah Sufi sambil
menghadiahkan senyuman manis.
“Assalamualaikum, boleh saya jumpa dengan tuan
CEO?” Sufi segera membuka mulut.
“Oh... cik nak jumpa Encik Zahim, ya? Maaflah, hari
ni bos tak ada. Dia cuti, esok mungkin dia masuk kerja.”
Perempuan itu memberi maklumat sambil mengukir senyum
mesra.
“Kalau macam tu, siapa yang saya kena jumpa, ya?”
Sufi mula blur.
“Ada urusan apa cik nak jumpa bos?” Perempuan itu
agak hairan. Matanya tepat memandang wajah Sufi.
“Erm... Saya Nur Aisyah Sufiya, saya baru masuk
kerja hari ni.”
“Oh... staf baru, ya. Kalau macam tu, Cik Aisyah
jumpalah dengan Kak Azah. Dia PA bos kat sini. Mejanya
kat hujung sana. Cik Aisyah boleh terus ke sana, nanti saya
inform dekat Kak Azah.” Perempuan itu segera mencapai
gagang telefon, mahu menghubungi PA bosnya itu.
“Terima kasih ya, puan...”
“Panggil aje Kak Yati.” Kak Yati mengangguk
perlahan.
“Ya, terima kasih Kak Yati. Saya pergi dulu.” Sufi
menghadiahkan senyuman sebelum meninggalkan meja Kak
Yati.
Sufi mengatur langkah ke arah sudut yang paling
hujung. Nasib baik Sufi tidak melatah bila dia hampir
bertembung dengan seseorang yang baru keluar dari satu
bilik. Nampak macam pantri saja.
“What the hell!” Kasar saja suara yang keluar dari
mulut orang yang bertembung dengannya tadi.
“Maaf, saya tak sengaja.” Sufi segera membuka
mulut dan mulutnya tidak terus tertutup bila matanya terus
terpandang aura di hadapannya.
“You? What a small world. Kat sini pun aku boleh
terjumpa muka kau.” Gadis itu memandang sinis wajah Sufi
sambil menarik muka masam.
“Nasiblah kan. Bumi ni bulat. Pi mai pi tang tu juga.
Selamat bertemu lagi kita, ya.” Sufi mengangkat bahu buat
lagak selamba.
Sakit hatinya mendengar jeritan gadis itu. Siap
menjeling tajam ke arahnya.
‘Ingat aku hairan sangat dengan jelingan tu!
Bukannya boleh bawa mati pun. Kalau dia nak cari gaduh
dengan aku lepas ni, aku tak kisah. Aku tak hairan pun! Kalau
nak ajak aku berkungfu dan bertinju lepas ni, lagi aku suka.
Boleh juga aku praktik seni mempertahankan diri aku ni.
Takut berkarat pula kalau jarang guna. Hahaha...’
“Maaf sekali lagi. Rasanya saya tak ada urusan dengan
cik. Saya pergi dulu, ya!” Sufi mengukir senyum sinis.
Sufi meninggalkan gadis itu dan mengatur langkah
ke meja hadapan. Bukan dia tidak tahu ada beberapa staf yang
memandang dan melihat insiden tadi, tapi ada dia kisah!
Bukan dia yang salah. Perempuan itu yang terlebih kerek.
Beberapa langkah dari situ, Sufi sudah berbalas
pandang dengan seorang perempuan anggun. Dari jauh dia
sudah melempar senyuman ke arah Sufi.
“You must be... Cik Nur Aisyah Sufiya binti
Kamarul?” Perempuan anggun itu segera bangun sebaik
sahaja Sufi berada di hadapannya.
“Ya, nama saya Nur Aisyah Sufiya. Puan ni...”
Teragak-agak juga Sufi hendak bersuara. Takut tersalah, kan
naya.
“Tak payahlah nak berpuan-puan. Panggil aje Kak
Azah. Akak ni PA Encik Zahim, CEO Zamrud Holdings.” Kak
Azah memperkenalkan dirinya sebaik sahaja Sufi menghulur
tangan untuk bersalaman.
“Jemput duduk,” pelawa Kak Azah ramah.
“Terima kasih, Kak Azah.”
“Baru sebentar tadi Puan Amina dari HR call
akak, dia cakap ada staf baru masuk hari ni menggantikan
Encik Suhaimi, pembantu pengurus marketing kami yang
ditukarkan ke cawangan Zamrud Holdings di Kuantan.
Selamat datang sekali lagi ke Zamrud Holdings ya, Cik Nur
Aisyah Sufiya.”
“Panggil saja Sufi, senang dan ringkas. Kalau nak
panggil nama ikut kad pengenalan, panjang sangat.” Kak
Azah mengukir senyum.
“Hmm... betul tu. Nanti kesian pula bakal suami nak
menyebut nama di depan tok imam, kan?” Kak Azah mula
mengusik membuatkan Sufi tergelak kecil.
“Harap-harap tak berbelit lidah tok imam nak
menyebutnya. Ini umi dan walid yang punya pasal, letak nama
panjang-panjang. Panggil pendek aje. Kalau terus letak nama
Sufi kan senang.” Jawapan sempoi Sufi itu membuatkan Kak
Azah pula yang tergelak.
“Pandai Sufi buat lawak.” Kak Azah menggeleng
kepala perlahan.
“Macam ni, Kak Azah. Sebenarnya Sufi masih
baru dalam bidang ni dan banyak benda yang Sufi tak tahu.
Jadi Sufi harap Kak Azah dan rakan-rakan yang lain dapat
memberi tunjuk ajar.” Sufi mula bersikap serius.
“Insya-Allah. Sebelum ni Sufi ada kerja di
mana-mana? Mungkin pengalaman kerja dulu boleh
membantu Sufi bekerja di sini.” Kak Azah merenung wajah
Sufi menanti reaksi.
“Dulu Sufi buat kerja-kerja perkeranian di sebuah
syarikat percetakan selepas tamat belajar dalam bidang
pengurusan. Jadi mungkin kerja sekarang dan kerja yang
dulu banyak perbezaannya. Kalau ada salah dan silap harap
dapat ditegur.” Memang berdebar juga nak kerja dekat
syarikat besar macam ni. Pasti banyak risikonya.
Kak Azah mengukir senyum.
“Tak mengapa. Kami di sini akan sedia membantu.
Akak harap Sufi akan selesa bekerja di sini.” Kak Azah turut
bersikap ramah. Senyuman juga turut terukir di bibirnya.
“Erm... macam mana dengan bos kat sini? Dia okey
tak?” Sufi mendekatkan dirinya di meja Kak Azah seolah-olah
buat gaya orang berbisik.
“Bos? Dia okey aje. Setakat ni semua orang yang
bekerja di bawahnya masih selamat, hidup aman, sihat
sejahtera. Maksud akak, dia tak pernah makan orang. Jadi,
usah takut.” Kak Azah tergelak-gelak sambil memandang
wajah Sufi yang mula menarik muka masam.
“Akak ni... orang tanya betul-betul dia main-main
pulak.” Sufi menahan rasa geram dengan usikan Kak Azah
itu. Cara mereka bersembang, macam mereka ini sudah kenal
lama. Makinlah Kak Azah ketawa dengan gelagat Sufi.
“Encik Zahim tu cool orangnya. Selagi kita buat kerja
kita dengan baik, tak ada masalah tapi biasalah, bos... ada
masanya dia garang juga tapi tak selalulah. Dan yang pasti...”
Kak Azah berjeda seketika. Lama dia terpaku menatap wajah
Sufi sehingga Sufi tidak senang duduk jadinya.
“Apa ni, Kak Azah? Lain macam aje tengok Sufi.
Suspens ni.” Sufi mula gelisah.
Kak Azah kembali gelak. Kali ini dia menggeleng
kepala beberapa kali.
“Sufi ni, baru pertama kali kita jumpa dan borak,
Sufi dah buat akak senang dan rasa dekat. Sufi ada pakai
apa-apa ilmu ke?” Kak Azah tetap memandang wajah Sufi.
“Akak, akak ingat saya pakai ilmu sesat ke? Saya
hanya pakai ilmu alam aje. Kalau tak pakai ilmu tu, tak
sampailah saya kat sini. Agaknya makan buah langsat saya
hari ni, memang sesat jalan. Tapi kan Kak Azah, orang zaman
sekarang ni dah tak pakai ilmu alam, diaorang dah pakai GPS,
confirm tak sesat jalan.”
Kak Azah terus gelak sakan sehinggakan beberapa
orang staf sudah memandang mereka dengan dahi berkerut.
Agaknya hairan. Kerana setahu mereka, Kak Azah sopan
orangnya. Jarang dapat dengar dia gelak sakan sebegitu. Ini
baru pertama kali berborak dengan staf baru, sudah gelak
sakan sampai tidak ingat orang sekeliling. Yang paling ketara
tengok mereka berdua adalah gadis yang bertembung dengan
Sufi tadi.
“Kamu ni Sufi, pandai buat akak gelak. ” Kak Azah
masih lagi dengan tawanya, kali ini suaranya sudah kendur
sedikit.
“Hai Kak Azah, dari jauh lagi dah dengar suara tawa
akak. Tak sangka boleh tahan jugak akak gelak, ya!” Tiba-tiba
satu suara mencelah membuatkan Kak Azah terdiam seketika
tapi masih lagi mengukir senyum.
“Encik Razif. Encik Razif dari mana ni? Ingatkan
tak datang kerja hari ni.” Kak Azah mula menegur sambil
memandang lelaki yang berdiri di sebelah Sufi itu.
“Ada hal sikit. Itu yang lambat sampai. Bos tak
datang lagi hari ni?” Razif memandang muka ceria Kak Azah.
“Mungkin esok kut dia datang. Apa hal bos tu cuti
lama sangat? Nak kata outstation, tak ada pulak. Demam
kut.” Dahi Kak Azah mula berkerut hairan.
“Hmm... yalah tu. Demam cinta.” Selamba saja
Razif bersuara membuatkan Kak Azah merenung lama ke
mukanya. Razif segera menayang sengih sambil tangannya
menunjukkan isyarat tanda peace.
“Encik Razif ni, ada-ada aje kan. Tahu dek bos
nanti...” Kak Azah dan Razif sama-sama mengukir senyum.
“Siapa ni si cantik manis depan akak ni? Akak tak
nak kenalkan dengan saya ke?” Razif tiba-tiba memandang
wajah Sufi yang hanya diam membisu. Membiarkan Kak Azah
terus berborak dengan Razif.
“Opss... Kenalkan, ini pembantu Encik Razif yang
akan menggantikan tempat Encik Suhaimi.” Kak Azah
memandang wajah Sufi.
“Pembantu saya? Wow!” Razif terus memandang
wajah Sufi. Entah ekspresi apa yang ditonjolkan, tidak dapat
Sufi nak tafsirkan.
“Wow! What do you mean by ‘wow’ just now?” Dahi
Kak Azah berlipat.
“Hmm... not bad. Saya suka. Saya ingatkan spesies
yang...” Razif hanya mengukir senyum.
“Yang tak cukup kain? Kenapa? Encik Razif nak yang
kategori tu ke?” Kak Azah melirik ke arah Sufi.
“Tak adalah, kira okeylah ni. Kategori yang tak cukup
kain tu, bukan taste saya.” Razif melirik ke arah satu sudut.
Sufi dan Kak Azah turut menoleh.
Sufi mengulum senyum. Tahu siapa yang
dimaksudkan oleh lelaki itu.
“Hmm... saya ingatkan semua lelaki sukakan
perempuan yang tergolong dalam kategori tu, bukan macam
saya ni.” Sufi mencelah membuatkan Razif dan Kak Azah
saling berpandangan.
“Excuse me, young lady. For your information, I’m
not that kind of guy you have in your mind. I do like women
but only the good mannered and not-too-sexy ones. Lagipun,
sekarang ni saya sedang mencari seseorang untuk dijadikan
isteri, bukannya bini.” Razif bersuara sambil menayang
senyum.
“Bukannya sama ke... isteri dengan bini?
Kedua-duanya perempuan, kan?” Kak Azah memandang pelik
wajah Razif.
Razif tetap mengukir senyum.
“Memang kedua-duanya perempuan, tapi karakter
dan perangai tak sama. Apatah lagi ejaan pun tak sama, kan?
Hanya jauhari yang mengenal manikam! Renung-renungkan.”
Razif terus berlalu selepas mengutarakan kata-kata itu.
Kali ini Sufi dan Kak Azah saling berpandangan tapi
akhirnya bibir kedua mereka saling bertukar senyum.
“Dulu Encik Razif tu perangainya agak nakal sikit,
tapi makin lama makin okey. Mungkin dia dah terikut dengan
perangai bos kut.” Bibir Kak Azah mula mengukir senyuman.
“Boleh Sufi tanya sesuatu pasal bos?” Sufi berbisik.
“Bos akak tu tua ke muda?”
“Muda lagi, baya-baya Encik Razif. Mereka tu kawan
rapat merangkap sepupu. Kenapa?” Kak Azah nampak hairan.
“Tak ada apa-apa.” Sufi menelan liur.
“Dia dah kahwin?” Kali ini Sufi berlagak macam
wartawan pula.
“Belum. Macam Encik Razif juga, masih lagi mencari
calon isteri, bukan bini.” Kak Azah mengukir senyum sambil
tangannya sedang membaca apa yang dicatat di dalam
diarinya.
“Agak-agak akaklah kan, Sufi ni boleh isi borang
untuk jadi calon isteri pilihan bos tak?” Sufi mengemam bibir
menahan gelak. Saja nak tengok reaksi Kak Azah bila melihat
wanita itu begitu asyik membaca catatannya.
Kak Azah nampak tergamam sebelum menelan liur.
Sufi terpegun tiba-tiba. ‘Alamak, aku silap cakap ke?’
Sufi menggaru-garu kepala di balik tudungnya.
“Alah... Kak Azah ni, Sufi gurau ajelah. Don’t be
serious, okay!” Sufi tergelak sendiri melihat reaksi Kak Azah
itu.
“Why not? Akak rasa Sufi adalah calon yang paling
sesuai untuk bos.” Mata Sufi membulat tiba-tiba. Bukan
setakat matanya bulat, dia turut terbatuk-batuk. Memang di
luar jangkaan sebaik sahaja mendengar kata-kata Kak Azah
itu.
“Sufi gurau sajalah. Kak Azah abaikanlah apa yang
Sufi cakapkan tadi, ya.” Sufi mula rasa tidak selesa dengan
gurauannya tadi.
“Tapi akak serius tau.” Wajah Sufi menjadi tatapan
Kak Azah. Bibirnya turut mengukir senyum.
“Tak apalah kak. Sufi tak berminat pun. Saja aje nak
tanya. Hehe...” Sufi tidak mahu memanjangkan isu itu. Segan
pula dia rasa apabila Kak Azah nampak beria-ia nak kenenkan
dia dengan bos sedangkan ini kali pertama dia menjejakkan
kaki ke sini.
“Dah lama kita borak, bila akak nak tunjukkan
tempat Sufi ni?” Lucu pulak melihat wajah Kak Azah dalam
situasi terkejut begitu. Mungkin wanita itu cuba meyakinkan
diri dengan apa yang dikatakan oleh Sufi tadi.
“Opss... sorry. Mari akak tunjukkan tempat Sufi.” Sufi
mengikut langkah Kak Azah menuju ke meja yang disediakan
untuknya. Seterusnya Kak Azah juga telah memperkenalkan
dia dengan semua staf kat situ termasuk minah kerek tu.

No comments:

Post a Comment