Tuesday, 18 July 2017

Dia, Cinta Hatiku? - Bab 5

SELEPAS menidurkan Risya, Sufi menyediakan
makan malam.
“Hmm... masak yang simple sajalah. Aku dan Anna
saja yang makan. Okey. Ada udang, ayam dan sayur.” Detik
Sufi seorang diri.
Sambil memasak sempat juga Sufi menyanyi-nyanyi
kecil untuk menghilangkan rasa sunyi.
“Amboi... bukan main merdu lagi suara kau. Ada
hati nak masuk pertandingan Akademi Fantasia ke?” Suara
Hannah mencecah telinganya.
“Opocot mak kau!”
Sufi mula melatah. Nasib baik tangannya tidak
terkena pisau dek terkejut dengan sergahan Hannah. Hannah
segera melepas tawa.
“Kau ni, kalau ya pun nak sergah aku, bagilah salam
dulu. Nasib baik pisau ni tak singgah kat dahi kau. Kalau tak,
berparut dahi kau. Tak pasal-pasal kena bagi diskaun untuk
mas kahwin kau nanti!” Sufi menarik muka masam.
“Nanti aku claimlah dengan kau.” Hannah tayang
senyum. Dia mencapai sebiji gelas dan terus menuang air
kosong. Dia menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya.
Air kosong diteguk perlahan sambil memandang ke arah Sufi
yang sedang menyediakan hidangan malam.
“Aik, takkan tengok aje. Tak nak tolong ke? Apa yang
aku buat ni, semuanya nak masuk dalam anak tekak kau sama
tau.” Sufi menoleh.
“Yalah. Sabar sikit boleh tak? Sabar itu kan
sebahagian daripada iman. Aku baru aje balik, penat pun tak
hilang lagi tau. Kau dah nak dera aku.” Hannah mengeluh
perlahan.
“Apasal kau balik lambat? Dah dekat nak isyak dah
ni. Kau dah solat maghrib ke belum?” Sufi memandang wajah
Hannah. Memang nampak kepenatan di wajahnya.
“Aku cuti. Erm... Sufi aku nak mandi kejap. Lepas tu
baru tolong kau masak ek!” Hannah bangun dan melangkah
ke singki. Gelas yang digunakan tadi dibasuh dan diletakkan
di atas rak.
“Aku gurau ajelah. Kau pergilah mandi. Dah nak
siap pun tapi aku masak simple ajelah.” Sufi menoleh ke arah
Hannah sambil mengukir senyum.
“Tak kisah. Aku bukan memilih, apa yang ada kat
depan mata, aku bedal aje. Janji benda tu halal.” Hannah
tergelak kecil.
Usai solat isyak, Hannah dan Sufi makan malam.
“Amacam kerja kau kat Zamrud Holdings tu, okey?”
Hannah memandang wajah Sufi sambil mengunyah nasi.
“So far so good. Tapi aku tak sempat lagilah nak kenal
rupa CEO. Dengarnya dia sedang bercuti. Encik Razif pun
cuti sejak semalam tapi sempatlah aku kenal rupa pengurus
merangkap bos aku tu pada hari pertama aku masuk kerja.”
Sufi menyudu sayur ke dalam pinggan.
“Handsome tak kau punya bos?” Hannah menaikkan
keningnya bersama sengihan gatal.
“Erm... handsome, single and available. Kalau
kau berminat, aku boleh tolong adjustkan untuk kau.” Sufi
membalas sambil mengukir senyum.
Mulut Hannah sudah ternganga. Agaknya tidak
sangka yang bos Sufi masih lagi belum berpunya.
“Tak naklah aku. Aku pipit dia enggang, mana nak
sepadan. Aku sedar siapa diriku.” Hannah mengeluh perlahan.
Nada macam orang pasrah aje.
“Piirah, tak ada kaitan langsung pipit dengan
enggang. Kau dan dia tu dua-dua manusia. Bila masa korang
bertukar jadi pipit dan enggang pulak ni? Kau ingat kau tu
spesies Transformer ke? Boleh bertukar sesuka hati.” Sufi
mula tergelak.
“Woi, aku cakap tu perumpamaanlah. Aku pun jadi
hairan, macam mana Abang Jazlan kau tu boleh pilih kau
sebagai calon isteri bila mengenangkan betapa rendahnya kau
punya IQ.” Hannah mengetap bibir.
“Eleh, sekurang-kurangnya aku ni dah berpunya,
kau ada?” Sufi siap angkat kening lagi.
“Oi, main kasar nampak. Aku bukan tak ada orang
nak, aku yang tak berminat dengan diaorang.” Hannah tidak
mahu kalah dalam sesi berdebat.
“Sudahlah. Kita lupakan saja topik ni. Tak ada faedah
pun.”
Suasana sepi seketika. Hanya kedengaran suara iklan
di TV sahaja.
“Anna, aku rasa hubungan aku dengan Abang Lan
macam ada masalah aje.”
“Kenapa ni? Abang Lan ada buat hal, ya?” Hannah
mula berminat.
“Entahlah. Dia macam menyepi aje. Sebelum ini, dia
selalu juga berbalas mesej dengan aku, call sekali-sekala tapi
sekarang ni... entahlah, sukar aku nak jelaskan.” Wajah Sufi
menjadi sugul.
“Banyakkan bersabar. Kalau dia buat hal, kau cari
aje yang lain. Aku yakin berduyun lelaki kat luar sana yang
boleh kau jadikan pengganti. Bukan dia seorang lelaki atas
dunia ni. Kalau tak ada yang berkenan kat sini, kau hijrahlah
kat overseas, rasanya pilihan kat sana lagi hebat. Kau nak
yang macam mana, yang sasa, yang seksi, yang macho, yang
mata hijau, mata biru, rambut kuning... semua ada. Kalau
tak ada yang berkenan jugak kat sana, kau hijrah pulak kat
Bangladesh, India ataupun Nigeria. Pasti ada yang tersangkut
punyalah.”
“Oi, kalau ya pun terdesak nak cari jodoh, takkanlah
sampai jauh bebenor, sampai ke Nigeria sana.” Sufi menjeling
wajah Hannah yang mula menayang senyum.
“Alah, gurau ajelah. Takkanlah umi dan walid kau nak
terima menantu dari negara sana tu. Nak kena pelangkung
agaknya.” Hannah mula tergelak.
“Tapi aku sayang sangat kat Abang Lan.” Sufi sudah
pamer muka sayu.
“Aku sebenarnya tak nak cakaplah benda–benda
yang sedih ni. Itu sebabnya aku tak nak jatuh cinta. Aku tahu
sakitnya bila putus cinta. Kalau dah betul-betul bertemu yang
sesuai, kahwin saja terus, tak payah nak tangguh-tangguh,
nanti timbul masalah.
Dahlah Sufi, tak payah kau nak kusutkan fikiran
kau sekarang. Aku rasa itu cuma perasaan kau aje. Elok
kita kemaskan meja, lepas ni kita tengok TV.” Hannah mula
simpati melihat wajah sayu Sufi.

SUFI MELIRIK jam tangannya. Dia mengeluh seketika. Tidak
sangka masa berlalu begitu cepat. Sudah dekat jam enam
petang. Entah kenapa dia boleh terleka. Tergopoh-gopoh
dia keluar dari pejabat dan menuju ke pintu lif. Dalam lif
pun hanya dia seorang. Sebaik sahaja dia keluar dari pintu
bangunan, dia menggagau mencari telefon bimbitnya.
Dia mahu menghubungi Hannah untuk membantu dia
menjemput Risya di tadika. Habis beg tangannya diselongkar
mencari telefon bimbitnya sambil kakinya laju melangkah ke
tempat parkir. Suasana di situ sudah sunyi. Hai, cepat betul
staf di bangunan Zamrud Holdings itu beredar balik.
Tiba-tiba Sufi merasakan ada tangan yang menyapa
bahunya. Dalam situasi terkejut yang amat, dia segera
berpusing ke belakang sambil tangannya begitu pantas
mengayun penumbuk. Lantaklah, siapa yang cuba nak buat
gangguan seksual yang tidak bertauliah ini. Orang sudahlah
kalut nak mencari telefon, ada pula yang datang mengganggu.
Kan dah kena sebiji kat mata.
“Auch... sakitnya!”
“Opss! Sorry... sa... saya... tak sengaja!” Tangan Sufi
segera menutup mulutnya yang terbuka. Dan serius, saat
ini wajahnya benar-benar bertukar rupa. Sah, pucat tidak
berdarah sebaik sahaja matanya terpaku menatap figura yang
sedang menekup mata kirinya dengan tangan.
“You?”
Sufi menelan liur. Bulat matanya memandang wajah
orang yang dicederakan itu.
“Sorry again... saya... saya betul-betul tak sengaja.
Sakit ke?” Tergagap-gagap Sufi bersuara sambil matanya
terpaku memandang lelaki di hadapannya. Memang tidak ada
rupa penyangak kalau dilihat pada penampilan dan rupanya.
“Apa you cakap? Sakit ke?” Lelaki itu memandang
tepat ke wajah Sufi tapi mata kirinya masih ditutup dengan
tangan kirinya.
“Ya, sakit ke?” Sufi merenung wajah lelaki yang
berdiri di hadapannya.
“Tak, sedap sangat. Rasa macam lemak berkrim
aje lepas kena tumbuk dengan you ni tau!” Lelaki itu
mempamerkan wajah masam mencuka.
Sufi menelan liur.
“Bukan salah saya. Encik Razif yang tiba-tiba sentuh
bahu saya. Kalau ya pun, tak boleh ke Encik Razif bagi salam
atau panggil nama saya dulu. Dahlah saya tengah kalut
cari handphone sampai sekarang tak jumpa-jumpa.” Sufi
membela diri.
“Cik Nur Aisyah sayang, I bukannya nak takutkan
you. I cuma nak serahkan phone ni kat you. I ternampak
phone ni atas meja you masa I nak keluar tadi. Nak panggil
you dah tak sempat. Lagipun, I nampak you kalut semacam
aje.” Razif segera menghulurkan telefon milik Sufi yang ada
di tangannya.
Mendengar Razif menyebut namanya bersama
ungkapan ‘sayang’ membuat Sufi menelan liur sambil
matanya terpaku memandang telefon Samsung S4 yang
memang miliknya. Patutlah tidak jumpa, rupanya tertinggal
di atas meja.
“Takkanlah you nak pandang aje telefon ni, tak nak
ambil ke?”
Suara Razif segera mematikan lamunan Sufi. Segera
tangannya mencapai telefon dari tangan Razif bersama
senyuman kelat.
“Terima kasih sebab tolong pulangkan telefon saya,
maaf ya. Saya memang betul-betul tak sengaja tadi.” Sufi
benar-benar rasa bersalah apabila melihat mata Razif yang
sudah nampak merah.
“You ni, nampak aje rupa perempuan tapi bertindak
macam orang lelaki. Ganas juga, ya. Senak mata I. Agaknya
kejap lagi boleh lebam, silap-silap boleh jadi buta.” Razif
menggeleng kepala perlahan. Menyengat juga rasa matanya.
“Erm... sebenarnya saya betul-betul nak cepat ni. Ada
hal penting yang perlu saya uruskan.” Sufi memang mahu
segera beredar. Dalam fikirannya hanya ada Risya.
Razif terus-terusan memandang wajah Sufi
sehinggakan Sufi rasa tidak selesa. Sudahlah tidak sampai
seminggu kerja di sini, dia sudah buat hal dengan lelaki yang
dianggap bos pula tu.
“Macam nilah... apa kata, esok saya belanja Encik
Razif. Tak kisahlah breakfast or lunch sebagai tanda maaf dari
saya, boleh?” Sufi memberi saranan. Tambahan pula telefon
di tangannya sudah berbunyi. Nombor nursery tempat Risya
tertera di skrin telefonnya tapi dia hanya membiarkan telefon
itu berhenti.
“Hmm... sounds good. Apa kata you belanja I
lunch esok. Nanti I akan tentukan di mana, boleh?” Razif
memandang wajah Sufi.
“Ya, boleh.” Sufi terus bersetuju tanpa berfikir
panjang.
“So, jangan lupa, ya. Jangan you nak mengelat pula!”
Razif cuba mengusik sambil mengukir senyum.
“Tak. Saya seorang yang berpegang pada janji.
Kita jumpa esok. Saya minta diri dulu. Sorry again.
Assalamualaikum.”
Sufi terus berlalu selepas mencapai kunci kereta.
Sebaik sahaja penggera kereta dibunyikan, dia segera masuk.
Nombor telefon nursery Risya segera dihubungi.

“HOI, APA kena dengan kau ni? Dah buang tabiat ke pagi-pagi
pakai kaca mata hitam?” Zahim tergelak melihat Razif yang
muncul di biliknya dengan mengenakan kaca mata hitam.
Macamlah sekarang ini mereka berada di tengah panas.
“Kau sakit mata ke? Kalau sakit mata, pergilah
klinik, ambil MC. Nanti berjangkit kat aku pulak.” Zahim
terus bersuara lagi apabila pertanyaannya tadi dibiarkan sepi
oleh Razif. Sepupunya itu hanya diam dan terus melabuhkan
punggung di kerusi berhadapan dengannya. Wajahnya tak
boleh blah.
Tiba-tiba bibir Razif mengorak senyum.
“Kau ni kenapa? Macam orang putus wayar aje.
Tiba-tiba boleh senyum pulak?” Suara Zahim mula serius.
Geram betul bila pertanyaannya tidak diendahkan oleh Razif.
“Im, aku pakai kaca mata hitam ni sebab...” Razif
tidak meneruskan kata, sebaliknya dia menanggalkan kaca
mata hitam yang dipakainya. Terlopong mulut Zahim melihat
lingkaran mata kiri Razif. Sudah lebam.
“Apa kena dengan mata kau tu? Kau bertinju dengan
siapa? Nak kata kena tumbuk dengan bini, kau belum kahwin.
Atau kau kena samun dengan penyangak ke?”
Zahim mula risau. Dia melangkah menghampiri
Razif yang nampak tenang dan santai. Hairan betul. Mata dah
lebam begini pun boleh relaks. Boleh senyum.
“Tak adalah, sebenarnya aku kena tumbuk dengan
staf baru kita tu petang semalam.” Selamba saja Razif
memberitahu.
“Hah? Kau kena tumbuk? Kau orang bergaduh apa
sampai bertumbuk?” Zahim mula kalut.
“Tak ada gaduh pun, cuma salah faham aje.” Razif
terus menceritakan apa yang telah berlaku.
Zahim mula melepas tawa. Tidak tahan mendengar
cerita Razif yang kena tumbuk dengan staf perempuan.
“Apasal kau datang kerja? Elok aje berehat kat
apartmen kau tu.” Zahim cuba bersikap prihatin.
“Aku kan baru saja cuti. Lagipun boringlah duduk
sorang-sorang kat apartmen tu, lainlah kalau kau sudi
temankan aku.” Razif tayang sengih.
“Tak ada maknanya aku nak temankan kau.” Zahim
menyandarkan badannya di kerusi sambil matanya tepat
merenung wajah Razif.
“Hmm... Kan elok kau cari aje seseorang yang boleh
jaga kau. Temankan kau, tak adalah kau boring sorang-sorang
kat apartmen kau tu nanti.” Zahim memberi cadangan.
“Aik, kata dulang paku serpih ni. Kau dengan aku
2x5 aje.”
Razif gelak kecil membuatkan Zahim turut mengukir
senyum. Memang betul pun. Dia dan Razif memang sama.
“Tapi kan ada hikmahnya tau aku kena tumbuk
dengan staf baru tu. Maksud aku dengan Cik Nur Aisyah.”
kata Razif sambil menayang senyum.
“Apa hikmahnya?” Tajam mata Zahim menanti
jawapan Razif.
“Aku akan keluar dating dengan dia. I mean, aku
akan keluar lunch dengan dia hari ni.” Bibir Razif sudah
mengoyak senyum ceria.
“Aku nak ikut, boleh?” Zahim membuka mulut.
“Hesy... mana boleh. Kau akan ganggu kita orang
nanti.” Cepat-cepat Razif menolak.
“Kedekut.” Zahim pura-pura merajuk tapi sungguh,
dia tidak kisah pun.
Razif mencebik bibir.
“Tak apalah, orang tak sudi nak pelawa kita, nak buat
macam mana, kan?” Zahim buat muka kesian.
“Yalah... yalah... kau boleh ikut sekali.” Akhirnya
Razif mempelawa.
“Betul ni?” Muka Zahim mula ceria.
“Yalah. Kitakan ‘laki bini’. Mestilah kena selalu
bersama!” Razif mula tayang muka seposen.
“Boleh blahlah.”
Zahim tergelak. Teringat kata-kata Nek Jah tempoh
hari mengenangkan keakraban antara dia dan Razif.
“Hmm... Aku macam tak percaya yang penangan dia
begitu hebat sampaikan mata kau berubah jadi macam mata
panda.” Zahim masih lagi ralit memandang wajah sepupunya
itu.
‘Masa aku datang tadi, tak ada pula aku nampak
wajah baru. Ah! Nanti aku akan kenal juga. Tapi kenapa hati
ni rasa berdebar tiba-tiba?’ Desis Zahim sambil mengurut
dadanya seketika.
“Nantilah aku kenalkan dia dengan kau tapi kau
janganlah terpikat pulak. Aku dah cop dulu tau!” Razif
memberi peringatan.
“Eleh, aku tak hairanlah.” Zahim mencebik.
“Baguslah. Risau juga aku kalau kau potong line aku
nanti.” Razif tersenyum-senyum.
Zahim menggeleng kepala. Nampak sangat yang
sepupunya itu sudah jatuh hati dengan staf baru Zamrud
Holdings. Apa yang istimewa sangat gadis itu sampai mampu
menawan hati sepupunya itu walaupun hanya dengan sekali
pertemuan? Adakah sehebat gadis yang pernah menolongnya
sebelum ini?

No comments:

Post a Comment