Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 13

DUMM!!!
Bunyi dentuman di belakang kereta mengejutkan
Ayuni. Dia pantas berpaling ke belakang. Berderau darahnya.
“Ya Allah, kereta aku...”
Teragak-agak dia hendak keluar. Dalam keinginan
hendak melihat keadaan keretanya, perasaan curiga tiba-tiba
muncul dalam diri. Entah-entah kereta itu sengaja hendak
melanggarnya. Sekarang ini, banyak kes kereta sengaja
dilanggar, selepas itu pemandu dirompak. Lebih mengerikan
lagi pemandu wanita diculik dan dirogol.
Dari cermin belakang, dia nampak pemandu kereta
hitam jenis Hilux melangkah keluar. Ayuni mula gelabah. Dia
tercari-cari sesuatu yang boleh dibuat penyelamatnya andai
berlaku sesuatu yang tidak diingini. Tiba-tiba dia terpandang
pengunci stereng yang diletakkan di ruang letak kaki di
sebelah penumpang. Pantas tangan mencapai pengunci
stereng itu.
Terkejut Ayuni apabila cermin tingkap keretanya
diketuk dari luar. Seorang lelaki berkaca mata hitam sedang
menunduk memandang. Seketika dia mengamati lelaki itu.
Berkumis nipis. Handsome! Sempat dia mengamati raut
wajah lelaki itu. Tangan lelaki itu mengarahkan dia keluar.
Tetapi laju dia menggeleng. Lelaki itu menegakkan badannya.
Namun hanya seketika, kali ini dia telah menanggalkan
cermin mata hitamnya.
Ayuni mengerdipkan mata beberapa kali. Tidak
percaya dengan apa yang dilihatnya saat ini.
‘Danial! Kenapa aku accident dengan mamat ni?
Ramai lelaki dalam dunia ni, kenapa dia yang langgar kereta
aku? Arrgghhhh!!!’
Ayuni membuka kunci kereta. Perlahan dia membuka
pintu dan melangkah keluar sambil memandang Danial yang
sudah mengenakan kembali cermin mata hitamnya. Sempat
dia meneliti pakaian lelaki itu. Nampak macam hendak pergi
joging. Kasut sport Nike, seluar trek separas lutut dan T-shirt
tanpa lengan menampakkan lengannya yang berotot kekar.
Ayuni melarikan pandangan. Boleh bikin goncang
iman ni. Ah! Tak pedulilah semua tu. Apa yang penting
sekarang, keretanya. Dia bergerak ke belakang kereta. Kesan
kemik di bahagian bumper buat dia hendak menangis.
Ayuni bercekak pinggang. Tiba-tiba rasa marah
meluap-luap. Dia berpaling memandang Danial yang sudah
berada di sisinya. Turut melihat keadaan keretanya.
“Awak tak nampak lampu tengah merah ke tadi?”
sembur Ayuni melepaskan geram. Sakit hatinya melihat
keadaan keretanya jadi begitu.
“Sorry, saya tak sedar lampu dah merah,” Danial
memohon maaf walaupun kenyataan sebenar, dia sedang
leka dengan telefon bimbitnya. Di balik cermin mata hitam,
matanya tidak lepas merenung wajah Ayuni yang mencuka.
Makin marah makin comel pula. Dia menyimpan senyum.
Ayuni menarik nafas menahan rasa yang berbara.
Melihat sikap Danial yang selamba, menambah rasa geram
di dada. Tapi dia tak boleh hendak marah lebih-lebih sebab
lelaki di hadapannya ini yang menjadi penyelamatnya. Dan
renungan itu sentiasa membawa rasa debar di dadanya.
Walaupun rasa suka cuba dihakis dan perasaan benci cuba
disemai, tetapi usahanya itu tidak pernah berjaya.
“Itu ajelah yang boleh kata. Sorry... sorry... kereta
awak besar gedabak, tak ada apa-apa, senanglah cakap. Kereta
saya yang kemik ni macam mana?”
“Habis tu saya nak kata apa lagi? Saya betul-betul tak
sengaja terlanggar kereta awak. Benda dah nak jadi, nak buat
macam mana?”
“Benda ni boleh dielak kalau awak berhati-hati. Atau
awak sebenarnya ada masalah rabun warna? Sampai lampu
tengah merah pun tak sedar?”
‘Ek eleh dia ni... gaya nak cari gaduh aje. Asal jumpa
mesti nak gaduh,’ rungut Danial.
“Bukan teruk sangat pun. Tercium sikit aje.”
“Sikit, awak kata? Cuba awak tengok betul-betul.
Kemik macam ni awak kata sikit? Memang dah rabun
gamaknya mata awak tu,” kata Ayuni sambil berpeluk tubuh.
Danial bertinggung dekat dengan bumper kereta
Ayuni. Kali ini baru betul-betul dia melihat kesan perlanggaran
tadi. Agak teruk. Memang kena tukar bumper baru.
“Sorry... tercium lebih pulak. Mungkin kereta saya
suka kat kereta awak kut.” Danial senyum nipis. Tampak
nakal.
Ayuni menjeling geram. Orang tengah hangat hati
ni, dia main-main pula. Dahlah tengah panas. Makin panas
hati dia. Nasib baik jalan agak lengang di pagi minggu begini.
Kalau tidak, mahu dia dengan mamat ini menjadi tontonan
ramai.
“So sekarang macam mana nak settle?” tanya Ayuni.
Danial bangkit berdiri. Wajah Ayuni yang masam
dipandang. Peluh mula merecik di dahi Ayuni. Kulitnya yang
putih bersih mula tampak merah dek terik mentari yang
semakin meninggi.
“Jom kita pergi kat sana. Teduh sikit,” ajak Danial
menunjuk ke arah pokok-pokok besar di bahu jalan. Kesian
pula melihat mata Ayuni yang semakin mengecil menahan
silau matahari. Lagipun takkan hendak bincang tengah panas
ni? Nanti bertambah panas pula.
Danial membuat satu panggilan. Ayuni hanya
memerhati tingkah Danial yang berdiri agak jauh daripadanya.
Beberapa minit kemudian, Danial selesai membuat panggilan.
Dia bergerak menghampiri Ayuni.
“Saya akan settlekan semua pasal kereta awak. Saya
dah hubungi mekanik. Tapi kereta ni kena dua atau tiga hari
kat workshop,” beritahu Danial.
“Hah! Dua tiga hari? Patahlah kaki saya kalau macam
ni!” spontan kata keluhan terluah. Sudahlah esok dia hendak
mula bekerja di tempat baharu. Macam mana dia hendak
pergi kerja kalau tidak ada kereta?
“Kenapa? Ada masalah ke?”
“Memang masalah. Kalau hantar workshop, macam
mana saya nak pergi kerja?”
Masing-masing diam.
“Macam inilah... saya cuba tanya workshop tu, minta
buat cepat sikit. Kalau dalam dua hari, awak okey tak?”
cadang Danial.
“Kalau minggu depan, saya tak ada masalah sebab
saya boleh tumpang kawan.”
“Minggu depan hari Sabtu, boleh?” tanya Danial
inginkan kepastian.
Ayuni diam. Berkerut dahinya sambil berpeluk
tubuh. Dagu diketuk perlahan dengan jari telunjuk. Sesekali
bibir nipisnya digigit. Tabiatnya setiap kali otak ligat berfikir.
Tanpa sedar, tingkahnya diperhati Danial.
“Bolehlah.” Ayuni memberi persetujuan. Minggu
depan terpaksalah dia minta tolong Shafiqa. Kebetulan tempat
kerja Shafiqa satu hala dengan tempat kerja baharunya.
Cuma minggu ini Shafiqa ada kursus di Kuala Lumpur. Tidak
dapatlah dia hendak menumpang.
Persetujuan Ayuni mengembalikan pandangan
Danial ke wajah gadis itu.
“Kalau macam tu, kira settlelah ya? Kalau tak ada
apa-apa lagi, saya pergi dulu.”
Pandangan Danial buat Ayuni rasa tidak selesa.
Berdebar-debar dadanya.
“Boleh bagi contact number awak?” pinta Danial
dengan lirikan senyuman nipis di bibir.
Kaku seketika Ayuni dibuatnya. Danial menanti.
Beberapa saat berlalu, wajah Ayuni mula berubah riak. Dia
dapat rasakan seolah-olah akan ada lagi pertemuan demi
pertemuan dengan lelaki itu. Kalau dia punya pilihan, biarlah
dia tidak bertemu dengan mamat perasan handsome plus
perasan bagus ini. Kalau tidak kerana hendak menuntut
keadilan atas apa yang telah terjadi pada keretanya, tidak
kuasa dia hendak berdua-duaan dengan mamat ini. Sudahlah
tepi jalan pula tu. Setiap kali ada kereta yang melalui jalan
ini, pasti mereka akan menjadi tontonan. Malu weh!
“Apa-apa hal nanti senang saya nak hubungi awak.”
Danial bersuara seakan dapat membaca apa yang difikirkan
oleh Ayuni.
‘Betul juga apa yang mamat ni cakap. Kalau dia cuba
lari, macam mana? Aku jugak yang rugi nanti.’
Ayuni melangkah ke arah keretanya. Pintu depan
sebelah penumpang dibuka. Telefon bimbit dari dalam beg
dicapai. Kemudian dia kembali mendapatkan Danial yang
menjadi pemerhati sedari tadi.
“Bagi nombor telefon awak,” pinta Ayuni.
Dengan penuh tumpuan, dia mendengar nombor
yang disebut Danial dan akhirnya nombor telefon lelaki itu
selamat tersimpan dalam simpanan telefon bimbitnya.
“Saya akan call awak nanti.”
Danial hanya menjongket bahu. Bibir melirik
senyuman nipis. ‘Tak nak beritahu aku pun tak apa Ayuni
Aisya. Bukan susah pun nak dapat nombor telefon awak.’
“Okey, saya pergi dulu.”
“Okey.”
Langkah yang diatur terasa kekok jadinya. Walaupun
dia tidak melihat, tetapi dia tahu dirinya diperhatikan Danial.
Entah apa kena dengan mamat itu, tiba-tiba boleh berubah
jadi mamat cool pula hari ini.
Sebelum bergerak, Ayuni berpaling ke arah Danial
yang masih tidak berganjak dari situ. Hendak jadi model
tepi jalan kut? Tak bergerak-gerak dari tadi. Cermin sebelah
penumpang diturunkan.
“Awak nampak sesuai jadi model baju sukan. Mana
tahu, duk terpacak tepi jalan ni ada yang nak ambil awak jadi
model sambilan. Saya pergi dulu. Minggu depan saya call
awak,” perli Ayuni. Sekilas bibir melirik sengih.
Danial hanya menggeleng. Bibir terus melirik
senyuman mendengar kata-kata Ayuni itu.
Kereta Ayuni dipandang hingga hilang dari
pandangan. Sejak dari hari pertemuan yang tidak disangka,
hanya satu perasaan yang sering singgah di hatinya. Rindu!
Sudah gila agaknya dia. Wajah itu semakin kerap terbayang
di ruangan mata. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman.


*KELUARAN JULAI 2017, BOLEH DAPATKAN DI PASARAN

No comments:

Post a Comment