Monday, 10 July 2017

Diakah Cinta? - Bab 4

“YUNI!!!” suara lantang Puan Jamilah
mengejutkan Ayuni. Mujur dia tidak tertelan biji rambutan.
Mak kalau memanggil, satu kampung boleh dengar.
“Yuni!!!”
“Ya, mak! Yuni kat belakang ni!” sahutnya.
Tangan menarik setangkai rambutan dari dahan. Balik dari
rumah Mak Cik Zainab tadi, dia terus ke belakang rumah.
Mata meliar melihat pokok-pokok rambutan yang sudah
memerah buahnya. Sekali-sekala balik kampung hendak
juga dia menjelajah belakang rumah. Tengah musim
buah, macam-macam buah ada. Macam biasa, jadi monyet
sekejaplah dia.
“Buat apa kat belakang tu?” laung Puan Jamilah dari
dalam rumah.
Seketika kemudian...
“Yuni!!!”
“Ya ma...” kecut perut Ayuni dibuatnya apabila
terpandang tubuh Puan Jamilah sudah bercekak pinggang
dengan renungan tajam. Hampir tercekik isi rambutan yang
dimakan.
“Ya Allah budak ni. Dah tak ada kerja lain nak buat?
Panjat pokok saja tahu. Sedaq sikit diri tu anak dara. Dah
besaq panjang bukan budak-budak lagi,” leter Puan Jamilah
kala melihatnya di atas pokok rambutan.
Terkedu Ayuni di situ. Hanya sengihan kecut
dilemparkan buat ibunya.
‘Dah mula dah mak aku ni...’
“Turun! Malu kalau orang tengok!”
‘Bahaya ni, siap singsing lengan baju lagi.’
“Sabaq mak. Sabaq mak. Yuni turun la ni jugak
mak...” Ayuni turun dari pokok rambutan. Berhati-hati kaki
memijak dari satu dahan ke satu dahan.
“Nak jadi apa hang ni Yuni? Awat tak guna galah
kait buah tu?” Ayuni hanya diam tidak berkutik mendengar
teguran Puan Jamilah.
“Tak nampak galah pun mak?” tanya Ayuni sambil
mata liar mencari.
“Tu apa benda?” Lurus tangan Puan Jamilah
menghala ke arah galah yang tersandar pada reban ayam.
Ayuni hanya mampu tersengih memandang.
“Heeee... tak nampak tadi. Duk nampak buah ja.
Leceh guna galah ni. Lambat!”
“Tak nampak ka buat-buat tak nampak,” sindir Puan
Jamilah.
“Dah! Tolong pi kedai beli rempah ikan. Balik cepat,
sat gi mak nak masak. Jangan duk menyinggah mana.” Puan
Jamilah sudah mengeluarkan arahan berserta amaran.
“Baik! Saya yang menurut perintah!” Tegak badan
Ayuni seperti askar menerima arahan.
“Budak ni... dah besaq panjang pun perangai macam
budak-budak.” Menggeleng Puan Jamilah dengan perangai
anak gadisnya yang seorang ini.
“Perangai budak-budaklah tak makan tua, mak.”
“Menjawab pun nomboq satu!”
Sambil tersengih, langkah diatur ke arah garaj.
Tiba-tiba langkah terhenti. ‘Malaslah nak naik kereta. Naik
basikal lagi cepat.’
“Basikal lagi satu mana, mak?” tanya Ayuni kerana
tidak kelihatan basikal yang selalu digunakannya. Cuma
tinggal basikal lama sahaja.
“Fira guna, katanya nak ke rumah Mila.”
Terdiam Ayuni. Nampaknya terpaksalah dia guna
basikal lama itu.
“Brek dah tak berapa nak makan basikal tu,” beritahu
Puan Jamilah sebaik melihat Ayuni keluar dari garaj bersama
basikal lama di sisi.
“Okey lagi ni mak.” Ayuni mencuba brek tangan kiri
dan kanan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Dia
berpuas hati setelah beberapa kali mencuba.
“Yuni pergi dulu, mak.”
“Yalah, elok-elok bawa basikal tu,” pesan Puan
Jamilah. Mata tidak lepas daripada memandang Ayuni
sehingga hilang dari pandangan.
Perlahan saja Ayuni mengayuh basikal sambil
menikmati keindahan sawah padi yang menghijau terbentang
luas di sebelah kirinya sehingga tidak menyedari kayuhannya
sudah sampai di selekoh yang agak tajam. Tiba-tiba, sebuah
motosikal yang agak laju muncul dari arah hadapan.
“Makkkkkkk!!!” jerit Ayuni sambil mengelak daripada
dilanggar motosikal itu.
Ayuni hilang kawalan. Malang tidak berbau,
basikalnya meluncur laju masuk ke dalam belukar.
“Ya Allah, Yuni! Aku minta maaf. Aku tak nampak
tadi.” Ayuni yang sudah terduduk di sisi basikal dihampirinya.
“Meh aku tolong hang.” Dengan perasaan bersalah, Yusri
cuba membantu Ayuni bangun.
“Tak payah! Aku boleh bangun sendiri.” Larang
Ayuni seraya bangun. Tangannya mengibas-ngibas baju yang
terlekat daun-daun kering. “Yang hang ni bawa motor macam
mat rempit ni pasai apa?” marah Ayuni geram.
Yusri dengan riak muka bersalah hanya mampu
tersengih.
“Takkan hang tak tau selekoh ni bahaya?”
“Sorrylah... aku saja nak test power tadi.”
“Test power konon! Nasib baik aku tak apa-apa.
Kalau tidak, siap hang.”
“Alah... sikit ja pun. Tu pun nak bising.”
Berdesing telinga Ayuni mendengar sindiran yang
datang dari arah belakang. Pantas dia menoleh ke arah suara
itu. Hantu turun dari mana pulak ni? Tiba-tiba nak sakitkan
hatinya.
Dengan pandangan tajam, Ayuni mengamati lelaki
yang santai duduk di atas motosikal tidak jauh daripadanya.
Ada riak terkejut di raut wajahnya kala mata bertemu pandang
dengan lelaki itu. Kenangan lama seakan terbayang-bayang di
ruang mata. Walaupun sudah bertahun mereka tidak bersua
muka, namun kenangan pahit yang ditinggalkan lelaki itu
tetap berbekas dalam hati.
Diamati penampilan lelaki itu. Tampak jauh
berbeza dari dulu. Rambutnya pendek kelihatan kemas dan
rapi berbanding dulu yang lebih gemar berambut panjang.
Tubuhnya dulu kurus meleding, kini lebih sasa dan tegap.
Memang dia akui, lelaki itu tampak lebih kacak dan matang.
“Eh Yuni, mari aku tolong angkat basikal hang,”
pelawa Yusri mula tidak senang dengan riak tegang yang
terbias di wajah Ayuni.
“Hang nak pi mana ni?” tanya Yusri. Cuba menarik
perhatian Ayuni yang hanya diam membisu. Basikal Ayuni
diangkat, lalu diletakkan ke bahu jalan.
“Hang balik bila? Cuti berapa hari?” tanya Yusri lagi.
Ayuni tetap menyepi. Masam mencuka saja
wajahnya. Yusri mula resah. Bimbang akan tercetus perang
pula di sini nanti. Manakala Danial, begitu selamba duduk di
atas motosikal.
“Kelmarin. 4 hari.” Beberapa detik berlalu, baru
Ayuni menjawab ringkas.
“Ooo... Nal pun balik bercuti jugak. Dah lama kan
hangpa dua tak jumpa.”
“Tak tanya pun, dan tak ingin aku nak jumpa
orang tu...” sinis balasan yang terbit dari bibir Ayuni. Tajam
jelingannya sebelum beralih pandang ke arah Yusri.
Menggeleng Yusri dengan tingkah Ayuni.
“Saya pun tak ingin nak beritahu. Lagipun saya balik
sini pun bukan nak jumpa awak,” Danial bersuara membalas.
Membuntang mata Ayuni. Berasap telinganya
mendengar kata balas Danial. Berombak dadanya menahan
marah.
Yusri yang melihat wajah Ayuni yang kemerahan
cuba meredakan keadaan.
“Yuni, malam ni jangan lupa datang rumah aku tau.
Kami ada buat kenduri arwah sikit,” beritahu Yusri cuba
mengalih perhatian Ayuni.
“Tengoklah dulu,” jawab Ayuni tidak bersungguh.
“Buat apa hang ajak dia, Yus? Bukan dia nak datang.
Nanti merungut pulak kena buat kerja,” tiba-tiba Danial
mencelah.
‘Eeeiiiii... apasal mamat ni hah? Aku tak cari pasal
dengan dia pun.’ Ayuni menjeling tajam. Makin terasa panas
hati mendengar kata yang berbaur sindiran itu.
“Apa yang awak tak puas hati dengan saya ni hah???”
tinggi nada suara Ayuni menyoal.
Danial hanya membisu. Raut bersahaja terpamer di
wajahnya.
“Weh, hangpa ni... sudahlah. Tak faham betul aku.
Dah lama tak jumpa, kenapa tiba-tiba nak bergaduh pulak?
Apa masalah hangpa ni hah?”
Yusri cuba meleraikan ketegangan yang mula
tercetus. Rambutnya yang tidak gatal digaru beberapa kali.
Pening memikirkan masalah mereka berdua yang masih
menjadi rahsia hingga kini.
“Tanya sepupu hang yang perasan handsome ni,”
balas Ayuni sambil berpeluk tubuh.
“Memang handsome pun,” pintas Danial dengan
selambanya.
“Uweeekkk... geli tekak aku Yus dengan sepupu hang
yang perasan ni. Muka macam lanun, perasan handsome.
Dahlah perangai macam hantu,” sindir Ayuni sambil
mencebik.
“Awak jangan melampau,” balas Danial berbaur
amaran.
“Apa! Ingat saya takut!” sahut Ayuni mencabar.
Tajam renungan mata Danial ke anak mata Ayuni.
Semakin lama renungan tajam itu berubah dingin. Terpesona
seketika melihat raut bersih yang tampak lebih manis dan
ayu. Wajah yang dirindunya dalam diam. Dulu, sinar mata
bundar itu yang ingin dipandangnya selalu. Kini, mata itu
memandangnya dengan penuh kebencian. Lama pandangan
mereka bersatu.
Renungan Danial mula mendebarkan Ayuni. Kuat
memalu dada. Walaupun perasaan benci sentiasa disemai
dalam hati, tetapi mengapa masih ada rasa rindu terhadap
lelaki ini? Bertahun diasuh hati melupakannya tetapi
mengapa debaran tetap bertamu? Mengapa hari ini dia
dipertemukan dengan lelaki itu lagi? Setelah sedaya upaya
dia cuba melupakan.
“Kenapa? Takut?” bentak Ayuni cuba menghilangkan
debaran dengan renungan itu.
“Awak cabar saya?” soal Danial terus-terusan
menatap wajah Ayuni.
“Memang saya cabar awak. Awak ingat saya takut
dengan awak?” balas Ayuni tegas.
Mendengar kata-kata Ayuni, Danial turun dari
motosikal. Langkah Danial makin mendebarkannya.
Walaupun dia berlagak berani, tetapi dalam hati hanya Tuhan
saja yang tahu betapa gementarnya dia dengan wajah serius
Danial.
Yusri yang hanya menjadi pemerhati sedari tadi
mula menggelabah apabila Danial semakin menghampiri
Ayuni. Cepat-cepat dia bergerak berdiri di hadapan Ayuni,
cuba melindungi Ayuni daripada diapa-apakan oleh Danial.
“Sabaq Nal. Hang kena ingat sikit, dia ni anak dara
orang,” ujar Yusri cuba menenangkan Danial.
“Ah, peduli apa aku! Dia yang cabar aku dulu. Aku
pun ada maruah Yus. Jangan ingat dia senang-senang boleh
kutuk aku.”
“Eleh, macam saya takut sangat!” ejek Ayuni dari
belakang Yusri. Nasib baik dia ada kawan macam Yusri, buat
penguat semangat.
“Sudahlah! Apasal dengan hangpa ni? Dulu macam
merpati dua sejoli. La ni macam anjing dengan kucing.”
Yusri mula rimas dengan pertikaman lidah antara Ayuni dan
Danial.
“Dah Yuni, hang pi balik. Tak elok kalau orang
nampak hangpa bergaduh macam ni. Hang tu dahlah anak
dara. Nanti jatuh pulak saham!” tegas Yusri bersuara.
“Jangan ingat aku blah sebab takut dengan mamat
ni,” ujarnya tidak mengaku kalah. Tajam jelingan Ayuni
menikam mata Danial yang tidak lepas memandangnya.
Langkah diayun ke arah basikal di bahu jalan.
“Sejak bila jadi minah samseng ni?” Tidak puas hati
Yusri dengan kata-kata Ayuni yang mahu cari gaduh saja.
“Sejak tadi,” jawab Ayuni selamba.
“Hang nak pi mana sebenarnya?”
“Aku nak pergi kedailah,” jawab Ayuni tanpa menoleh
lagi.
Danial hanya diam. Memandang kosong Ayuni yang
berlalu pergi hingga hilang dari pandangan mata. Yusri yang
menyedari perubahan Danial menggeleng perlahan.
“Bila jauh, rindu. Bila depan mata, bertekak pulak.
Tak faham aku dengan perangai hang ni, Nal...” sindir Yusri.
Danial terus-terusan menyepi. Hanya langkahnya
perlahan diatur ke arah motosikal. Sudah lama dia tidak balik
ke sini. Tempat yang begitu banyak meninggalkan memori
indah dalam hidupnya. Kini dia datang kerana rindu yang
sarat dalam jiwa. Tetapi dia tidak menyangka akan bertemu
kembali gadis yang sering mengusik waktu sunyinya.
Ternyata melarikan diri daripada masalah bukan
jalan terbaik. Walaupun sejauh mana dia pergi, rasa yang
sudah lama memekar dalam lubuk hatinya tidak pernah layu.

No comments:

Post a Comment