Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 2

TERNYATA hari ini kelewatan Haris agak
luar biasa. Mana tidaknya, sejurus menghantar Alya ke
rumah ibunya, dia harus menaiki bas Rapid pula sebelum
mendapatkan motor yang diletakkan di rumah untuk ke
tempat kerja. Dan rutin itulah yang akan dilakukan pada
hari-hari kerjanya.
Sebelum ini, selalu sangat dia mendengar jiran
berkata yang tidak-tidak pasal dirinya; buat kerja bodohlah,
tak reti ukur baju di badan sendirilah, tak ada penyakit tapi
cari penyakitlah... Entah apa masalah mereka, Haris sendiri
pun tidak tahu.
Ada orang kata; dia buat kerja bodoh sebab ulang-alik
hantar Alya dengan bas. Sedangkan boleh aje dia bawa Alya
naik motor. Selepas itu langsung ke tempat kerja. Kan lagi
jimat?
Tapi tidak pula Haris berfikiran sedemikian. Salah
ke sekiranya dia mahu melindungi anaknya dari panas dan
hujan dengan menaiki bas? Alya kan masih kecil. Tubuhnya
masih lemah. Sejuk pagi pun mampu menggigilkan tubuh
anak kecil itu. Jadi, mana mungkin dia tergamak membawa
anak itu meredah kesejukan semata-mata untuk berjimat.
Namun begitu, dalam kesemua tuduhan buruk yang
telah dilemparkan terhadapnya, ada satu yang dirasakan
paling menyakitkan hati. Ramai beranggapan dia langsung
tidak layak untuk menjaga Alya. Mereka bimbang takut-takut
kebajikan Alya terabai. Malahan kata mereka; Alya lebih
layak berada di rumah kebajikan berbanding di bawah
penjagaannya.
Kenapa mereka tergamak berkata begitu? Adakah
sebab dia lelaki, dia dianggap tidak faham kehendak anak
perempuan? Ataupun mereka bimbang kes seperti ‘haruan
makan anak’? Nauzubillahiminzalik. Akalnya masih lagi
waras. Bahkan kalau terpaksa bergadai nyawa demi maruah
anaknya sekalipun, sumpah dia sanggup!
“Haris! Masuk!”
Tersentak Haris daripada lamunan. Ketika itu, dia
sedang berada di hadapan pintu bilik majikannya. Haruslah
dia dipanggil masuk menghadap hari ini. Jam sudah
menunjukkan pukul 11.30 pagi. Anak bos pun tak masuk
lewat macam dia.
Akhirnya pintu bilik itu dikuak. Menggigil lutut saat
melangkah masuk. Dalam hati, tidak putus-putus dia berdoa.
Minta-mintalah tak ada perkara buruk yang akan terjadi.
Sedangkan jika nak diikutkan, memang layak dia menerima
hukuman. Waima terpaksa dilucutkan jawatan sekalipun.
“Sini, Haris. Duduk dulu.” Dengan tidak
memalingkan wajah, suara pelat itu mula kedengaran.
Bertambah cuak perasaan Haris. Tekun betul Mr.
Chen menaip di depan komputer. Ah, sudah! Jangan-jangan
surat pemecatan dia tak? Habislah! Nak makan apa dia lepas
ni?
Setelah hampir 5 minit menanti, barulah majikannya
itu mengangkat muka. Dia perasan air muka Haris yang serba
tidak kena. Suruh duduk pun tidak diendah.
“Baiklah. Biar saya berterus terang.”
Tanpa sedar, Haris menelan payah air liur. Intro itu
dah kedengaran lain macam.
“Sejak akhir-akhir ni, saya tengok kamu ni dah lain
macam sikit. Kamu kenapa Haris? Kamu tak sihat ke?”
“Saya okey aje bos.”
Mr. Chen berkerut dahi. Ada tampang curiga pada
wajahnya. Dia merenung dalam-dalam air muka Haris di
sebalik kaca mata tebalnya. Terus terlintas sesuatu dalam
benak.
“Kamu ada hisap dadah ke Haris?”
Terlompat terus Haris. Terkejut beruk dia mendengar
Mr. Chen berkata begitu. Hesy apek sorang ni... langsung tak
berlapik mulutnya. Nasib baiklah bos. Kalau orang lain, dah
lama dia hadiahkan penerajang.
“Mana ada, bos. Saya rokok pun tak lepas, ini kan
dadah.”
“Ya tak ya juga. Wa gurau saja ma...” Mr. Chen
buat-buat gelak. Nampak sangat membohongnya.
Ketika itu, majikannya itu sudah berdiri.
Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Haris. Haris ditolak
supaya duduk dan bahu Haris ditekan dengan kedua-dua
belah tangannya. Itulah, tak dengar cakap. Bukankah tadi Mr.
Chen dah suruh duduk?
“Kamu ni, dari sehari ke sehari wa tengok, macam
orang tak ada masa depan. Dulu kamu tak macam ni. Datang
kerja selalu awal. On time. Ceria dan happy selalu. Tapi
sekarang, kenapa dah lain, hah?”
Haris hanya mengeluh berat. Menggeleng dia
mendengar bahasa Melayu yang cuba dituturkan oleh Mr.
Chen. Tak ada masa depan? Macam teruk sangat bunyinya.
Mungkin dia hendak cakap Haris macam orang yang tidak
terurus.
“Saya minta maaf, Mr. Chen. Saya...” Belum sempat
Haris bercakap, majikannya sudah memintas.
“Tak apa Haris. Wa panggil bukan sebab nak dengar
kamu minta maaf. Wa faham kamu ada masalah.” Mr.
Chen menepuk bahu Haris. Entah kenapa, tiba-tiba nada
percakapannya boleh pula bertukar seperti seorang pakar
motivasi pula.
“Tapi sepatutnya kamu faham, Haris. Kamu tak
boleh campurkan masalah peribadi kat tempat kerja. Dua
perkara tak boleh bertembung dalam satu masa. Nanti satu
pun tak jalan. Kamu kena faham tu.”
“Itu saya tahu, Mr.Chen.”
“Kalau ikutkan, wa ni dah lama boleh buang kamu.
Tapi wa kesian sama kamu. Bukannya wa tak tahu, kamu
mula start kerja dengan wa sejak lepas SPM. Dah lama sangat
kamu kerja sini.”
Haris hanya menganggukkan kepalanya. Memang
tidak dinafikan perkara itu. Rasanya sudah hampir 12 tahun
dia bekerja di sini. Haruslah majikan seperti Mr. Chen sayang
akan pekerja setia sepertinya.
“Wa pun tak tahu macam mana nak cakap lagi dengan
kamu ni, Haris. Sebenarnya wa pelik sangat. Setahu walah,
lepas kahwin hidup seseorang tu akan jadi gembira. Tapi wa
tak faham, kenapa hidup kamu boleh tunggang terbalik?”
Tiba-tiba saja Mr. Chen meluahkan pemerhatiannya. Agaknya
sudah lama dia memerhatikan gerak-geri anak buahnya itu.
Bibir Haris hanya mampu mengukir senyuman
kelat. Apabila disoal tentang perkara ini, entah kenapa jiwanya
terasa begitu sebal. Ada rasa hangat yang cuba bermain di
tubir mata. Namun, Haris cuba menggagahkan diri untuk
tidak terbuai dengan rasa itu.
Entah di mana silapnya, tali perkahwinan yang
dibina atas dasar cinta boleh tergugah secara tiba-tiba.
Bukan mahu menuduh. Campur tangan orang tua ibarat
menjadi duri dalam daging. Dia masih ingat lagi, sewaktu
awal perkahwinan dahulu, mama; ibu mentuanya selalu
merajuk jika anak dan menantunya tidak pulang ke rumah
setiap kali musim perayaan. Sedangkan jika nak diikutkan,
Lina sepatutnya berlaku adil. Tahun pertama, mereka sudah
beraya di rumah mama. Jadi tahun berikutnya, sudah
tentulah mereka harus berkunjung ke rumah ibu Haris pula.
Ternyata perkara itu tidak pun berlaku. Lina siap
merayu-rayu lagi agar Haris mengerti. Alasannya, mama tak
biasa berjauhan daripadanya. Mama seorang yang mudah
kecil hati. Dan bermacam-macam lagilah perkara diungkit
pasal mamanya saja.
Habis tu, kenapa Lina tak cuba faham perasaan
ibunya pula? Sudahlah masa cuti hujung minggu pun,
semedang aje pulang ke rumah mentuanya itu. Haris tahu
ibunya terasa. Sebab setiap kali mereka berjumpa, laju saja
air mata ibunya membasahi pipi. Haris tahu semua itu.
Ikutkan hatinya, boleh aje Haris bertegas. Kuasa kan
terletak di tangan suami. Tapi entahlah. Takut tersalah guna,
bimbang lain pula yang jadi. Cuma nasibnya baik kerana
mempunyai seorang ibu yang sangat memahami. Syukur,
alhamdulillah.
Maka, 2 tahun berturut-turutlah mereka beraya
di rumah mama saja. Kesian betul ibunya. Susah payah dia
masak rendang, alih-alih anak menantunya tak kunjung tiba.
Haris yakin, hati ibunya pasti tergores walaupun ibunya cuba
menafikan.
“Mak, Haris minta maaf sangat-sangat. Haris ingat
nak balik raya kedua tu, tapi mama Lina ni... tiba-tiba aje dia
pengsan.”
“Eh, tak apa Haris. Mak tak kisah pun. Mak okey aje.”
“Tahun depan Haris janji... macam mana pun,
kami akan balik raya rumah mak. Mak masak rendang
banyak-banyak ya? Haris dah lama sangat mengidam nak
makan rendang ayam mak.”
“Yalah nak.”
Dan apabila tahun ketiga Haris memilih untuk
bertegas dan beraya di rumahnya, maka bibit-bibit
peperangan mula tercetus. Mama mula menjadi batu api. Dia
menghasut Lina agar memulaukan Haris. Sehingga sampai
satu tahap, Lina sanggup pulang ke kampung bersama Alya,
tanpa mempelawa dirinya langsung.
“Awak tak boleh buat macam ni pada saya, sayang.”
Satu hari, Haris menelefon Lina untuk menyelesaikan
kemelut antara mereka supaya masalah ini tidak berlanjutan
dan menjadi lebih parah lagi.
Talian di sebelah sana hanya menyepi. Namun
begitu, Haris tahu; Lina sedang mendengar. Lina pula, seakan
mahu menyampaikan sesuatu, tetapi entah kenapa mulutnya
bagaikan terkunci. Dia benar-benar tersepit.
Entah macam mana, tiba-tiba saja talian itu bertukar
tangan.
“Woi Haris! Yang kau nak kacau anak aku ni kenapa,
hah? Biarlah dia berehat kat sini dulu.”
“Tapi mama, dia kena balik rumah saya. Siapa yang
nak jaga makan minum saya? Pakaian saya ni pun dah tak ada
yang siapkan. Selalunya dia. Lagipun mama, saya rindukan
anak saya. Dan saya rindukan isteri saya juga.”
Puan Maznah seakan berapi. Berbahang telinganya
sejurus mendengar kenyataan itu.
“Kau ingat anak aku apa? Orang gaji kau? Kuli batak
kau?”
Haris terkedu. Bila masa pula dia cakap Lina orang
gaji? Bukankah dia cuma menyatakan haknya yang harus
ditunaikan? Takkanlah yang itu pun mentuanya tidak faham?
“Bukan tu maksud saya, mama.”
“Dah tu, apa masalah kau? Biarlah anak dan cucu
aku nak bercuti kat sini. Lagipun dia penat kerja, tahu tak?
Masa cuti macam inilah dia nak berehat. Nak harapkan kau
balik sini, memang haram jadah!”
“Saya kerjalah mama.”
“Kau ni kan, cakap kerja tu macam orang besar aje.
Kerja teruk-teruk, tapi aku tengok tak kaya-kaya pun. Kalau
tak harapkan anak aku, tak merasanya kau tinggal kat rumah
banglo tu. Tak jejak pun kaki kau dalam kereta anak aku tu.”
Akhirnya kesabaran yang cuba dipupuk
setelah sekian lama terhakis jua. Turun naik dada Haris
memendam rasa. Mentuanya benar-benar sudah melampau.
Mentang-mentanglah dia tidak melawan, tergamak
mentuanya itu memperlekehkannya.
“Mama! Seingat sayalah, selama saya kahwin dengan
anak mama tu, tak pernah pun saya gunakan duit dia sesuka
hati. Banglo tu dia yang nak beli, bukan saya yang suruh.
Kereta tu, memang hak dia. Jadi kalau dia benarkan, baru
saya akan naik kereta tu. Dan untuk pengetahuan mama,
setiap bulan saya tak pernah miss bagi duit kat Lina.
Walaupun Lina sering tolak, saya tetap nak bagi sebab saya
tahu tanggungjawab saya. Semiskin-miskin saya pun mama,
saya ada hati perut. Biar tak jadi orang kaya pun asalkan
jangan suka menghasut untuk memecahbelahkan orang.”
Disebabkan terlalu marah, Haris menghamburkan segala rasa
tidak puas hatinya.
“Haris? Kamu okey ke?” Suara Mr. Chen yang
menyapa terus melenyapkan lamunan Haris sebentar tadi.
“Err... saya okey.”
“Kamu ni... tengah bercakap dengan wa pun sempat
lagi berangan.” Mr. Chen menggeleng. Berat agaknya masalah
yang sedang dipikul pekerjanya itu. “Kamu nak cuti ke? Kalau
nak cuti, wa boleh benarkan.” Mr. Chen berkata ikhlas.
Rasa terharu seakan menjengah ke dalam diri Haris.
Mati-mati ingatkan Mr. Chen hendak ‘panggang’ teruk-teruk
dia hari ini. Ternyata masih ada simpati yang mahu
ditunjukkan. Alangkah bagus kalau bangsa seagamanya lebih
memahami. Kalau tidak, pasti dunia akan menjadi lebih
indah.
“Tak apalah Mr. Chen. Saya tak apa-apa. Cuma saya
nak minta maaf sebab banyak susahkan Mr. Chen.”
“Hesy... tak adalah. Wa faham keadaan kamu tu.”
“Terima kasih Mr. Chen. Terima kasih sebab
memahami. Saya sangat menghargainya.”
“Cuma satu saja yang wa nak pesan pada kamu, Haris.
Benda yang lepas tu, biarlah lepas. Tak payah kenang-kenang
sangat. Apa kata kamu mulakan hidup baru. Mungkin itu
yang terbaik buat kamu dan anak kamu nanti.”
Haris cuba mencerna kata-kata itu sedalamnya. Ya,
dia tidak menafikan perkara tersebut. Disebabkan masih
berharapkan rumah tangganya agar kembali seperti dulu,
hidupnya seolah-olah tiada arah tuju. Sedangkan banyak lagi
perkara yang boleh dilakukan. Terutamanya membahagiakan
Alya.
Terima kasih Mr. Chen. Terima kasih sebab
menyedarkan dia yang telah lama hanyut dalam mimpi
yang tidak pasti. Baiklah, mulai hari ini, dia bertekad
untuk mengubah diri. Demi masa depannya, juga buah hati
kesayangannya, Alya.

No comments:

Post a Comment