Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 1



KRINGGGGG!!!
“Adoiii... bisinglah!” Husna meraba-raba jam loceng
yang berada di atas meja lampu tidurnya. Raba ke kiri, tidak
jumpa. Raba ke kanan, tidak jumpa juga! Raba ke tengah
sikit... akhirnya! Jemari runcing miliknya bersentuhan
juga dengan jam loceng berbentuk kepala Hello Kitty itu.
Maklumlah, peminat tegar Hello Kitty. Semua benda nak
Hello Kitty. Sampaikan selipar jamban dekat bilik dia pun ada
gambar Hello Kitty. Over!
Tap!
Laju saja tangannya menekan butang di kepala jam
loceng yang sedari tadi tidak henti-henti menjerit. Fuhh!
Lega... Bunyi bising yang membingitkan telinga sebentar tadi
sudah mereda. Husna menarik nafas dalam-dalam sambil
tersenyum lebar. Selimut tebal yang terlorot sedikit dari
tubuhnya itu ditarik semula ke atas. Mahu menyambung
tidur semula.
Baru saja matanya mahu terlelap semula...
“Babyyy!!!” Jeritan Puan Serina bergema kuat.
Tegak terus kepala Husna. Terpisat-pisat dia
memandang ke arah pintu bilik tidurnya.
‘Adeh! Mama ni memang dengki betul dengan aku.
Baru nak sambung tidur sikit lagi, dah kena jerit macam anak
tiri!’ Hatinya mengomel tak sudah.
5 saat menanti, wajah mamanya tidak pula muncul
di muka pintu. Husna rebahkan semula kepala ke bantal.
‘Booo layanlah! Tak jadi masalah rasanya kalau aku
sambung tidur sekejap. Bukannya lama. 5 minit aje!’ Hati
Husna terus membuat kesimpulan sendiri.
Dia memang betul-betul mengantuk. Mahunya tak
mengantuk! Malam tadi dia berjaga sampai pukul 4 pagi
kerana maraton cerita Korea. Ngeee...
Sesaat...
Dua saat...
Telinga Husna tidak mendengar apa-apa lagi daripada
mamanya. Nafas lega ditarik. Dengan senyuman yang
menguntum mekar di bibir, matanya dipejamkan kembali.
Bahagia sangat rasanya apabila dapat sambung tidur semula.
Tapi pelik pula mamanya pagi ini. Selalunya kalau sudah jerit
macam tu, mesti tak sampai sesaat mamanya sudah terpacak
dekat tepi katil dia ni. Tapi hari ini tak adalah pula! Arghh...
lantaklah! Mata dipejamkan semula.
“Husna Aqilaaa!!!”
Macam hendak pecah gegendang telinga. Suara
petir Puan Serina betul-betul memetir di cuping telinganya.
Spontan itu juga dia bangun dari katil dan terus mencapai
tuala mandi yang tersidai di penyangkut baju. Tanpa bercakap
sepatah pun kepada mamanya, dia terus membolos diri ke
dalam bilik air.
Bunyi air paip menujah lantai jelas di pendengaran
Puan Serina. Dan-dan itu juga dia melepaskan tawa. “Padan
muka!”

“MORNING ABANG!!!” jerit Husna kuat sambil tangannya
sudah memeluk erat leher Hazim yang sedang bersarapan di
meja makan. Kalau sehari dia tidak menempel dengan abang
kesayangannya itu, memang bukan Husna Aqilalah tu!
Terbatuk kecil Hazim. Nasib baik tidak tersedak air
kopi yang sedang diminum.
“Baby! Apa ni? Nak bunuh abang ke?” Suara
Hazim naik seoktaf. Cawan kopi yang tergenggam kemas di
tangan, diletakkan semula ke atas meja. Matanya pula sudah
merenung geram ke muka Husna.
Kalau berdepan dengan adik perempuannya nan
seorang ni, memang tak sahlah kalau darah dia tak menyirap.
Ada saja perkara yang buat dia panas hati. Sudahlah nakal,
manjanya pun tidak bertempat!
“Peluk pun nak marah! Bencilah abang ni.” Bibir
Husna sudah memuncung. Punggung dilabuhkan ke kerusi
bersebelahan dengan abangnya.
“Abang bukan marah sebab baby peluk abang. Abang
marah sebab perangai baby tu! Cubalah bagi salam elok-elok,
cakap lemah-lembut... bukan ke lebih manis?”
“Eleh! Bukan ada orang lain yang nampak pun!”
Husna buat muka seposen. Pinggan yang berisi nasi lemak
di hadapan abangnya itu ditarik laju. Tidak sampai sesaat,
sesudu nasi lemak sudah selamat masuk ke mulutnya.
“Ya Allah... dekat dalam bekas tu ada banyak lagi nasi
lemak. Kenapa yang abang punya jugak baby nak ambil?”
Hazim sudah membebel. Ikutkan rasa hati yang geram ni,
mahu saja dia pulas telinga adik kesayangannya itu. Tapi,
memandangkan hanya Husna satu-satunya adik yang dia ada,
rasa itu dipendamkan saja.
“Kalau macam tu, abang ambillah yang tu. Yang ni,
bagi dekat Una.” Husna tersengih lebar. Anak rambut yang
jatuh terjuntai ke dahi, disebak ke belakang. Rimas!
Hazim ketap bibir. Kalau bab menjawab, bagilah
dekat Husna. Nak buat macam mana, salah dia dengan
mamanya juga, terlampau manjakan sangat si Husna tu.
Arwah abahnya meninggal sewaktu Husna berumur 7 tahun.
Dan bermula dari hari itu, sampailah ke hari ini, dialah yang
mengambil alih tanggungjawab untuk menjaga keluarga.
“Mama mana, abang?”
“Baru nak tanya? Hmm... mama dekat restoran
lah. Hari ni kena buka awal sikit. Ada tempahan daripada
pelanggan. Abang pun kejap lagi nak pergi ke sana jugak ni.”
“Habis tu, abang tak kerja ke hari ni?”
“Kerja. Abang kerja malam,” Hazim menarik semula
pinggan nasi lemak kepunyaannya dan terus menyudu nasi
lemak ke mulutnya. Kening Husna yang mula berkerut itu
dia buat tidak nampak saja. Malas nak layan.
“Kedekut!”
Hazim mencebik, kemudiannya tertawa kecil.
“Abang, eloknya waktu-waktu free macam ni abang
pergilah berdating.”
“Nak berdating dengan siapa? Awek pun tak ada!
Ini, abang tengah berdatinglah ni,” Hazim tersenyum senget
sambil menyuakan sesudu nasi lemak ke mulut Husna.
Husna menganga menyambut suapan abangnya.
“Dekat hospital abang kerja tu, takkanlah tak ada
nurse atau doktor perempuan?”
“Ada. Tapi yang cantik-cantik semua dah jadi bini
orang.”
“Amboi, nak yang cantik aje! Kesianlah dekat
perempuan-perempuan yang tak berapa nak cantik tu.
Hmm... habis tu, tak reti-reti nak cari awek? Pergilah cari, tak
cari mana nak datang awek tu.” Husna mencapai teko yang
berisi air kopi panas dan menuangnya ke dalam cawan. Mata
berlabuh semula ke arah abangnya, Hazim.
Macam tak logik langsung tak ada makwe. Nak kata
tak kacak, boleh tahan juga rupa abang dia ini. Tapi betullah!
Tak pernah pula dia nampak abang dia ni keluar dengan
mana-mana perempuan. Kalau tidak dengan dia, pasti dengan
mama.
“Abang tak fikirkan semua tu lagi. Apa yang abang
fikir sekarang ni... pasal baby.”
“Kenapa dengan Una?” Dahi Husna naik berkerut.
Wajah Hazim yang nampak serius itu direnung sejenak.
“Abang boleh tak berhenti panggil Una dengan
panggilan ‘baby’? Una malu tau kalau ada orang lain yang
dengar! Una dah besarlah. Lagi satu, Mikail pun tak panggil
Una dengan panggilan macam tu!” Husna membetulkan
ikatan rambutnya.
“Kalau Mikail panggil baby macam tu, alamatnya
memang nak makan penumbuk abanglah!”
“Eh, kenapa pulak? Abang ni teruk tau! Normallah
orang bercinta panggil macam tu.” Muncung Husna sudah
boleh ikat. Geram sungguh dia dengan abangnya itu. Sama
saja dengan mamanya. Benda ini tak boleh, benda itu tak
boleh!
Hazim tertawa kecil. Diri adik kesayangannya itu
direnung dalam sebelum dia menyambung bicara.
“Sampai bila-bila pun Una tetap baby abang tau!”
“Una tahu,” Husna terus tayang sengih. Ini yang dia
suka ni. Bermakna dia akan terus dimanjakan oleh abangnya
sampai bila-bila.
“Hmm... tapi abang tetap risaukan baby. Sampai bila
nak kerja jadi kuli dekat kedai bunga Mr. Lee tu? Suruh minta
kerja yang setaraf dengan kelulusan tak nak. Kalau macam
ni, baik baby tolong mama dekat restoran tu. Tak pun, tolong
jagakan butik pakaian mama tu. Kesian abang tengok mama.
Terkejar sana, terkejar sini.”
“Abang nak mulalah tu! Abang tahukan, Una tak
minatlah bisnes-bisnes ni. Sakit kepala! Itulah, siapa suruh
mama paksa Una ambil Ijazah Pentadbiran Perniagaan. Tahu
tak Una minat nak jadi doktor?” Husna mencebik.
“Baby nak jadi doktor haiwan. Sebab itulah mama
tak bagi. Suruh jadi doktor manusia macam abang ni, tak
nak!”
“Dah minat Una macam tu. Apa salahnya kalau jadi
doktor haiwan? Diaorang pun nak sihat macam kita jugak.
Hmm... malaslah nak bertekak dengan abang. Baik Una pergi
kerja dulu.” Mata jernihnya sudah menjeling jam di lengan.
Dan-dan itu juga mulutnya ternganga luas.
“Ya Allah, dah lewat! Matilah aku! Ini semua salah
abang tau. Ajak sangat Una bersembang.” Sepantas kilat
Husna bangkit dari kerusi, mencapai beg sandang dan kunci
skuternya. Macam lipas kudung dia berlari ke pintu utama.
Hazim terkebil-kebil melihat tingkah adiknya.
Seketika kemudian, dahinya sudah naik berkerut. Dia bangun
mengekori adiknya dari belakang.
“Baby, dah tahu nak naik skuter kenapa pakai skirt?”
Mata Hazim sudah membuntang. Kenapalah dari tadi dia tak
perasan adik kesayangannya itu pakai skirt paras lutut saja.
Kalau tidak, dari tadi lagi dia suruh tukar. Buatnya terselak
nanti, bukan ke bagi tayangan free saja?
Husna ni memang susah sikit nak kawal. Keras
kepala dan manja! Sudah banyak kali Hazim menegur cara
dia berpakaian, namun adiknya itu langsung tak dengar.
Kadangkala dia rasa berdosa kerana gagal mendidik adik
kandungnya itu. Teringin sangat dia nak melihat Husna
menutup aurat dengan sempurna suatu hari nanti.
“Abang, Una lewat sangat dah ni. Abang postpone
dulu bebelan abang tu malam nanti, ya? Bye abang... Muahh,
love you!” Sebuah flying kiss Husna layangkan buat abangnya
sebelum dia mencapai helmet pink berstiker Hello Kitty
miliknya dan terus menghilang di balik pintu.
Hazim menggeleng kepala sambil mengurut dada.
Ada adik seorang pun, macam ada sepuluh adik. Selalu buat
dada dia semput. Lambat-lambat terukir juga senyuman nipis
di bibir lelakinya.
“I love you more, baby.” Dia membalas perlahan.
Siapa tak sayang adik, oii!

No comments:

Post a Comment