Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 12

DUA hari Husna diberi MC oleh abangnya.
Selama 2 hari itu jugalah dia terperuk di rumah tanpa berbuat
apa-apa. Kalau ikutkan hati dan kepala degilnya, pada hari
pertama MC lagi dia sudah mahu pergi bekerja. Bosan duduk
di rumah tanpa berbuat apa-apa.
Selama dia sakit, Puan Serina dan Nomi, kucing
kesayangannya itu menjadi peneman setianya di rumah.
Sedikit sebanyak dia rasa bersalah juga pada mamanya.
Disebabkan dia, mamanya terpaksa menutup restoran selama
2 hari.
Dan... selama hari itu jugalah, Mikail terus menyepi
daripadanya. Kadangkala naik sesak dada memikirkan
tentang kekasih hatinya itu. Masalah apa yang melanda Mikail
sebenarnya? Takkan sibuk sampai nak balas mesej dia sepatah
pun tak boleh!
Adira pula, sudah 2 hari telefon bimbitnya tidak dapat
dihubungi. Entah apa masalah yang melanda sahabat baiknya
itu, Husna sendiri tidak tahu. Sikap Adira sejak kebelakangan
ini juga menjadi teka-teki kepada Husna. Kadangkala dia rasa
seolah-olah Adira sengaja mahu mengelak untuk berjumpa
dengannya. Masih terngiang di telinganya, permohonan
maaf yang terbit dari bibir Adira sewaktu pertemuan terakhir
mereka di restoran mamanya tempoh hari. Wajah redup
Adira. Sorotan mata suram Adira... semuanya masih jelas
dalam ingatannya. Apakah sebenarnya yang berlaku?
“Meowww...” Nomi yang sedari tadi duduk di ribanya
mengiau manja. Tercantas terus lamunannya tentang Mikail
dan Adira.
“Ya, Nomi... lapar, ya? Sayang mummy ni dah nak
makan ke?” Kepala Husna tunduk merenung Nomi di riba.
Tangan pula mengusap lembut kepala dan tubuh Nomi.
Damai.
“Meowww...” Nomi terus mengiau manja. Hidungnya
disondol ke dagu Husna berkali-kali untuk bermanja.
Kemudian Nomi kembali mengemaskan duduknya di riba
Husna.
Tersenyum lebar Husna dengan gelagat Nomi.
“Nomi, tahu tak mummy rindu sangat dengan daddy
Mika. Kenapalah daddy buat mummy sedih macam ni?”
Ringan saja mulut Husna meluahkan rasa hatinya pada Nomi.
Kucing kesayangannya itu hanya diam di riba.
Tangan Husna terus-terusan membelai bulu lembut Nomi.
Diam seketika, dia menyambung lagi.
“Nomi tahu tak, 2 hari lepas mummy ada terjumpa
semula dengan mamat kekwat yang mummy pernah cerita
dulu tu. Tapi kali ni, dia dah tak kekwat lagi dengan mummy.
Dia jadi hero yang selamatkan mummy dari mat-mat gian.”
Bibir Husna sudah tersungging senyum. Bayang Wazif terus
menjamah memorinya tanpa dipaksa-paksa.
“Nomi... dia kacak tau.” Semakin menguntum pula
senyuman di bibir Husna.
“Kening dia, lebat terbentuk. Mata dia, warna coklat
cair. Bila dia renung mummy, nampak bercahaya. Cantik
sangat! Hidung dia, mancung terletak. Bibir dia... merah
seksi. Kulit muka dia, glowing gila. Hmm, kalau mummy
tak setia dengan Daddy Mika, dah lama mummy jatuh cinta
bergolek dengan dia...” Bayang Wazif terus-terusan menjamah
memorinya. Membuatkan jantungnya berdegup-degup.
“Meowww...” jawapan panjang Nomi sekali lagi
mencaras lamunannya. Membuatkan pipinya terasa panas
berbahang.
“Ya Allah! Kenapa mummy berangan pasal dia pulak
ni? Nasib baik tak ada orang.” Husna pegang kedua-dua belah
pipinya sambil menggeleng laju.
“Baby!”
Saat itu juga terdengar suara Puan Serina melaung
namanya dari muka tangga.
“Ya, mama!” jawab Husna separuh melaung juga.
“Buat apa berkurung aje dalam bilik tu? Mari turun
sarapan.”
“Ya, ma. Kejap lagi Una turun.” Husna memasang
telinga beberapa saat. Tidak terdengar pula sahutan daripada
mamanya. Okey, pasti mamanya sudah berlalu ke dapur.
“Jom, Nomi! Sebelum nenek mengamuk, baik kita
turun cepat.” Perlahan Husna menapak turun dari katil
sambil mendukung Nomi. Langkah diatur dengan penuh
berhati-hati. Biarpun luka di lututnya sudah sedikit berparut,
tetapi masih terasa sengal setiap kali dia menapak.
“Baby,” panggil Puan Serina lembut. Seulas
senyuman sudah mekar di bibirnya. Walaupun usianya sudah
menginjak ke 50-an, namun wajahnya masih nampak muda.
Penampilannya juga masih nampak menarik dan bergaya.
“Ya, ma?” sahut Husna laju. Tidak jadi mahu
menyuap bihun goreng ke mulut.
“Kerja dengan mama, nak?”
“Again?” Husna sandarkan tubuhnya rapat pada
kerusi makan. Kedua belah tangannya sudah bersilang di
dada.
“Baby... mama betul-betul dah penat. Tak ada
siapa dah yang mama boleh harapkan selain daripada baby.
Abang sibuk dengan kerjaya dia. Sudah bertahun lamanya
mama uruskan restoran dan butik pakaian kita tu. Rasanya,
dah tiba masa untuk mama berehat. Dalam usia macam ni,
mama dah tak nak fikir apa dah. Apa yang mama impikan
dalam usia macam ini hanyalah duduk berehat dekat rumah.
Inilah peluang mama untuk dekatkan diri dengan Pencipta,
nak bermain dengan cucu-cucu. Hanya itu impian mama
sekarang,” luah Puan Serina dengan suara perlahan. Redup
matanya nampak benar dia mengharap.
Liur Husna tertelan sendiri. Belakang lehernya
digaru tidak bersebab. Bihun goreng yang terasa enak di lidah
tadi tiba-tiba terasa pahit. ‘Kejam ke aku ni?’ Hati dia mula
berbisik sendiri.
“Baby...”
Jemari runcingnya sudah digenggam erat oleh
mamanya. Membuatkan perasaannya semakin dihambat
resah. Memang dia lemah apabila setiap kali Puan Serina
merayu. Sejahil mana pun dia, untuk kecewakan hati seorang
ibu memang dia tidak sanggup!
“Mama... bagi baby sikit lagi masa, ya?” Genggaman
mamanya dibalas mesra. Sebuah senyuman sudah terlakar di
bibirnya. Lambat-lambat dia nampak Puan Serina mengukir
senyum.
“Jangan lama sangat. Mama dah penat nak tunggu,”
“Insya-Allah, ma...”

TELEFON BIMBIT Mikail menjerit tidak henti-henti dari
tadi, namun dibiarkan saja. Tidak ada hati langsung dia mahu
menjawab. Tanpa melihat siapa pemanggilnya pun, dia sudah
boleh mengagak panggilan itu datang daripada siapa. Tangan
kekarnya masih utuh memeluk tubuh Adira yang sedang
berbaring membelakanginya di katil. Sesekali tangan itu
naik membelai rambut Adira yang terlepas bebas. Kemudian
tangan itu merayap pula ke bahu mulus Adira yang terdedah.
Sudah 2 hari mereka di sini. Di Pulau Pangkor.
Bercuti sambil bekerja. Terasa seakan cepat pula masa
berlalu. Petang nanti mereka sudah mahu pulang ke Kuantan
semula. Kalau ikutkan Mikail, dia mahu panjangkan cutinya.
Tetapi Adira tidak bersetuju. Masih banyak lagi kerja yang
sedang menantinya di pejabat. Ini pun, dia dikira bernasib
baik kerana majikannya bermurah hati mahu meluluskan
cutinya selama 2 hari. Dapatlah dia temankan Mikail di sini.
Sekali lagi telefon bimbit Mikail menjerit nyaring.
Membuatkan Adira terus meloloskan diri dari pelukan Mikail.
Dia bingkas bangun dan duduk berjuntai kaki di birai katil.
Baju tidur bertali halus yang sedikit terlondeh ke bahu
dibetulkan. Wajahnya sudah mencuka.
“Kenapa ni, sayang?” Mikail juga sudah bingkas
duduk di katil. Bahu Adira cuba disentuh dari belakang,
namun cepat pula Adira mengelak. Bungkam! “Sayang...”
Suara Mikail gemeresik di telinga Adira. Membuatkan hati
yang sedang terbakar itu menjadi sejuk sedingin salju. Pantas
tubuh dikalihkan menghadap ke Mikail. Wajah lelaki yang
dicintai dengan sepenuh hati itu direnung dalam-dalam.
“Mika, sampai bila?” Akhirnya, terluah juga apa yang
dipendam selama ini.
“Sampai bila apa?”
“Jangan buat-buat tak faham. I tahu siapa yang call
you. Sampai bila kita nak terus menipu dia macam ni? I rasa
berdosa, Mika. Sampai bila kita nak sembunyikan hubungan
kita ni? Ataupun you masih sayangkan dia?” Wajah cantik
Adira sudah berubah mendung. Wajah mulus Husna terus
menjamah ruang matanya. Membuatkan perasaan bersalah
semakin menebal di jiwanya.
Satu keluhan kasar dilepaskan oleh Mikail. Dia
juga buntu. Tidak tahu bagaimana caranya dia mahu
berterus-terang dengan Husna. Tak sanggup rasanya dia
mahu melukakan hati insan yang pernah dia cintai. Tapi,
untuk meneruskan hubungan mereka, agak mustahil rasanya!
Sekarang ini tanggungjawabnya hanyalah kepada
Adira. Dan kerana tanggungjawab itu, dia cuba untuk
benihkan rasa cinta dan sayangnya hanya untuk Adira. Dia
bukanlah kaki perempuan, yang boleh mencintai banyak
wanita dalam satu masa yang sama.
“I tak tahu. I pun buntu, sayang. Rasanya perasaan
sayang I dekat dia semakin pudar.”
“Mika... kalaulah dia tahu apa yang dah kita
buat ni, hakikat sebenarnya yang terjadi... I takut
Mika...” Lambat-lambat Adira menelan liur. Wajah kawan
baiknya, Husna semakin kerap pula menjelma. Bagaikan
bayang-bayang yang terus mengejarnya.
Tubuh Adira ditarik rapat ke tubuhnya. Adira
membiarkan saja. Setiap kali Mikail membawa dia ke dalam
pelukan, dia terasa damai dan tenang.
“Kita lupakan dulu soal ni ya, sayang. Sekarang ni,
I cuma nak luangkan masa dengan you. Hanya you dengan
I, tanpa fikirkan pasal orang lain.” Bibir merah Mikail sudah
menjamah lembut pipi Adira. Merayap pula pada leher putih
Adira.
Adira tersenyum nipis. Wajah Mikail ditahan dari
terus merapat ke mukanya. Kedua-dua belah tangannya sudah
memegang kemas pipi Mikail. Matanya pula, merenung dalam
ke mata lelaki itu. Sumpah! Saat dan tika ini, dia benar-benar
jatuh cinta dengan Mikail.
“Janji dengan I. Balik dari Pangkor nanti, you pergi
jumpa dia.”
“Untuk apa?”
“Selesaikan hal kita.”
“Hmm... tengoklah!”
Mendengar jawapan Mikail yang acuh tak acuh saja
itu membuatkan darah Adira mendidih dengan tiba-tiba.
Tubuh Mikail terus ditolak menjauh. Wajahnya dipalingkan
ke arah lain.
Tersentak Mikail dengan sikap Adira. Tidak pernah
Adira bersikap macam ni sebelum ini.
“Sayang...”
“Kalau you tak nak selesaikan semua ni, you
tinggalkan aje I!” tegas Adira menuturkan kata. Tiada
riak bergurau yang terbias pada wajahnya. Bermakna dia
benar-benar maksudkan apa yang dia cakapkan sebentar tadi.
“No! I tak akan lepaskan you. I dah mula sayangkan
you. I dah mula ketagih dengan you. Tak mungkin I sanggup
lepaskan you.”
“Kalau macam tu, you selesaikan hal ni!” Semakin
tegas suara Adira. Dia memang sudah tidak sanggup lagi
hendak berperang dengan emosi sendiri. Perasaan bersalah
kepada Husna membuatkan dia terus menjauh dari kawan
baiknya itu.
“Okey, I will!” Akhirnya, Mikail terpaksa mengalah
juga.
“As soon as possible!”
“Yes, my dear...” Sekali lagi tubuh Adira ditarik
ke dalam pelukannya. Kali ini Adira tidak lagi melawan.
Dibiarkan saja tubuhnya tenggelam dalam pelukan Mikail.
“I want you. Make love with me?” bisik Mikail halus
di telinga Adira. Sesaat telinga itu dikucup. Hangat!
Jiwa Adira mula mengganas. Pelukan Mikail dibalas.
Erat.
“I am yours...” balas Adira lebih halus. Bibirnya
sudah menguntum senyuman penuh makna. Tika ini,
bayang Husna sudah terbang menjauh. Apa yang terhidang
di hadapan matanya saat ini hanyalah tubuh sasa Mikail yang
sedari tadi terus melekat dengan tubuhnya.


*Keluaran September 2017, Boleh dapatkan di pasaran.

No comments:

Post a Comment