Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 4

SUDAH hampir setengah jam Wazif berdiri
sambil berpeluk tubuh merenung Honda City putih miliknya.
Sesekali nafas dilepaskan berat. Peristiwa pagi tadi masih
subur dalam ingatannya. Entah di manalah silapnya hari ini.
Rasanya, sebelum dia keluar rumah pagi tadi, dia sudah baca
doa. Malah langkahnya juga dimulakan dengan kaki kanan.
Malang apakah yang melanda dia hari ini, sampaikan terpaksa
berdepan dengan minah senget tu? Huh!
Setiap kali mata terpandangkan kesan calar pada
bonet hadapan keretanya itu, hati yang baru saja mulai sejuk
terasa hangat semula. Mahunya beratus juga melayang duit
dia nanti. Entah dari planet manalah minah senget itu datang.
Selama ini, tak pernah pula dia jumpa dengan perempuan
yang gila macam minah tadi tu.
“Angah, menungkan apa dalam gelap ni? Dah sampai
ke bulan ke?” Bahu sasanya ditepuk perlahan. Membuatkan
lamunannya terus melayang pergi. Mata Wazif sudah tersorot
pada seraut wajah milik adik perempuannya, Wahida.
Satu-satunya adik perempuan yang dia ada.
Mereka cuma 3 beradik. Kakak sulung mereka
sudah hampir 2 tahun menetap di Turki. Mengikut suaminya
yang terpaksa bertugas di sana. Emak mereka merupakan
ustazah fardu ain dan abah pula, bekas guru sekolah rendah
di Kampung Selingsing, Raub. Kampung di mana Wazif dan
adik-beradiknya dibesarkan.
Wazif pula, setelah tamat pengajiannya di UPM, dia
telah bekerja di pusat veterinar kerajaan, di Kuantan. Dalam
masa yang sama, dia telah membeli sebuah rumah teres 2
tingkat dan menetap di situ. 3 tahun bekerja dengan kerajaan,
dia mengambil keputusan untuk berhenti dan membuka
klinik veterinarnya sendiri. Kini, adik bongsunya, Wahida
pula sedang melanjutkan pengajiannya di salah sebuah IPTS
di sini dan tinggal bersama-sama dengannya.
Bibir Wazif terus melakarkan senyuman. Nafas
disedut dalam sebelum pertanyaan adik bongsunya itu
dijawab.
“Itu! Menungkan tu. Entah berapa banyaklah
duit yang melayang esok...” Tangannya naik meraup dagu.
Kemudian dia kembali berpeluk tubuh.
“Kenapa, angah?” Wahida mendekatkan muka
dengan bonet kereta abang ngahnya. Yalah, tengah malam
buta macam ini, manalah nak nampak!
“Hmm, calar dik! Tadi ada minah gila yang gores
dengan duit syiling.”
“Aik, dekat mana angah jumpa minah gila tu? Habis
tu, angah tak halang dia ke?” Kedutan nipis sudah kelihatan
pada dahi Wahida.
“Tak sempat nak halang, dik. Tangan minah ni laju
macam roket. Tapi... angah pun dah kerjakan skuter pink
dia tu. Mahunya tengah meraung dekat rumah tu.” Wazif
menghamburkan tawa di hujung katanya.
Makin tebal pula kerutan pada dahi Wahida. Tak
faham! Orang gila pun pakai skuter? Moden sungguh!
“Angah! Orang gila mana yang angah jumpa ni?
Seumur hidup adik ni, tak pernah lagi jumpa orang gila ada
skuter. Warna pink lagi tu!”
Makin galak pula tawa Wazif.
“Ini orang gila yang tak berapa nak gila, dik.”
“Lagilah adik pening! Cuba angah cerita betul-betul
dekat adik. Tak payahlah main tarik tali macam ni,” gesa
Wahida yang mula hilang sabar. Tangannya pula sudah naik
berpeluk tubuh. Geram sungguh rasanya dengan abang ngah
dia ini. Nak cakap dengan tak nak cakap, sama banyak saja.
“Tadi pagi, masa angah nak ke pet shop, angah
bergaduh dengan sorang perempuan ni. Dia tiba-tiba aje
datang serang angah. Katanya angah dah ambil parking
dia. Gaduh punya gaduh, dia naik angin dan calarkan kereta
angah.” Akhirnya Wazif menerangkan satu per satu kepada
Wahida.
“Hah? Habis tu, angah tak marah ke? Pelik ni!” Bulat
mata Wahida. Selama ini dia cukup faham dengan perangai
kekwat angah dia tu bila berdepan dengan perempuan.
“Mahunya tak marah. Tapi angah puas hati
sebab teruk jugak skuter pink dia tu angah kerjakan.”
Senyuman senget terus tersungging di bibir Wazif. Seakan
terbayang-bayang wajah comel minah senget tadi.
“Angah, perempuan tu lawa tak?” Kening Wahida
sudah menari ronggeng. Suka nak kenakan abang ngahnya
itu. Kalau melibatkan soal perempuan, Wazif memang beku
sikit. Eh, bukan sikit, tapi banyak!
Mulut Wazif sudah senget ke tepi. Kening terjongket
sedikit. Tangannya pula menggaru-garu dagu yang tidak
gatal. Macam susah sangat soalan yang ditanya oleh adik
perempuan bongsunya itu.
“Amboi, lamanya angah fikir.” Wahida sudah hilang
sabar. Nak jawab soalan senang macam itu pun ambil masa.
Apa daaa...
“Hmm... bolehlah. Comel!” Senyuman menguntum
di bibir Wazif. Muka comel minah senget tadi kembali
memenuhi ruang ingatannya. Dengan rambut ikal mayang
yang terikat kemas, mata bulat bersinar, bibir mungil yang
pot pet pot pet tak berhenti. Hmm... comellah!
“Hai angah... lain macam pulak adik tengok
senyuman tu. Takkan dah tersangkut hati kut!” giat Wahida
dengan senyuman meleret. Luar biasa ni! Tak pernah pula
dia nampak senyuman yang mekar macam bunga kembang
setaman tu apabila abang ngahnya bercakap tentang
perempuan.
“Eh, mana ada! Dia tu bukan taste angahlah. Taste
angah, perempuan yang sopan. Yang tahu jaga kehormatan
diri. Bukan perempuan yang dedah sana sini. Tahu?” Jarinya
sudah menjentik dahi Wahida sebelum dia berlalu ke dalam
rumah. Tapi, betullah! Kenapa bayang minah tadi tu tak nak
pergi daripada ingatan dia ek? Takkanlah hati dah tersangkut
kut!
“Aduh! Sakitlah...” Wahida mencebik sambil matanya
menyorot bayang Wazif yang semakin menghilang ke dalam
rumah teres 2 tingkat milik abangnya itu.

HUSNA BERBARING di sofa ruang tamu rumah sambil
mengunyah keropok udang. Mata ralit menonton drama
Korea di kaca TV. Walaupun jam sudah menunjuk ke angka
12.30 tengah malam, mata dia masih lagi segar-bugar. Sesaat
kemudian, dia nampak ada cahaya lampu yang tersuluh pada
cermin tingkap rumah. Bunyi deruman enjin kereta juga jelas
di telinganya. Sah! Abangnya nan seorang itu sudah balik.
Tubuh yang berbaring tadi kini sudah duduk
bersandar tegap di sofa. Sorotan matanya pula sudah
merenung tepat pada pintu utama. Tunggu masa saja hendak
mengadu domba pasal Cik Kiah kepada abangnya, Hazim.
Tadi beria-ia dia bercerita dengan mamanya pasal mamat
kekwat yang cederakan Cik Kiah dia tu. Tapi mama boleh pula
buat endah tak endah saja. Kata mama, mesti dia yang cari
pasal dulu. Huh! Mama selalu macam tu. Tak reti nak back-up
anak sendiri!
Muncul saja Hazim di muka pintu, Husna terus
bangkit dan meluru ke arah abangnya. Dan-dan itu juga
tubuh masam abangnya dipeluk erat.
“Ya Allah... baby! Dah kenapa ni?” Hazim cepat-cepat
mengimbangi tubuhnya yang sedikit terdorong ke belakang
supaya tidak terjatuh. Husna ni memanglah! Ikutkan hati
nak saja disekeh-sekeh kepala adiknya. Suka sangat buat
perangai luar alam.
Sesaat...
“Eee... abang ni kenapa masam sangat ni? Bau ubat
pun ada!” Tubuh Hazim terus ditolak menjauh. Diri abangnya
itu disorot dari atas ke bawah sambil jarinya menutup hidung.
“Memanglah masam! Abang bertugas dari pagi
sampai ke malam. Hari ni banyak sangat kes kecemasan.
Usahkan nak mandi, nak makan pun tak sempat! Solat pun
hujung-hujung waktu aje tadi. Yang baby tiba-tiba datang
peluk abang ni, kenapa? Masuk rumah pun tak sempat lagi
ni!” Mata Husna ditentang dalam. Kalau dah macam ini
gayanya, adalah tu benda yang adik dia nak mengadu.
“Abanggg...” Husna merengek manja. Dia kembali
mendekat dengan abangnya. Tangan sasa Hazim dicapai dan
ditarik agar membuntutinya ke luar rumah.
“Eh, apa ni baby? Nak ke mana pulak ni?”
“Abang... tengoklah Cik Kiah Una ni...” Husna
berhenti betul-betul di hadapan skuter pink miliknya. Wajah
sedih ditayangkan kepada abangnya. Saja nak minta simpati!
Manalah tahu kan, Hazim bermurah hati mahu menanggung
kos ‘perubatan’ Cik Kiahnya itu.
“Kenapa dengan Cik Kiah? Abang tengok okey aje?”
Hazim kerut dahi. Aduh! Letih betul melayan adik dia ni.
“Abang, bukalah mata tu luas sikit! Takkan abang tak
perasan apa-apa yang tak kena pada Cik Kiah?” Suara Husna
sudah naik seoktaf. Geram betullah! Semua orang buat tak
endah saja. Merajuk 10 jam karang, baru tahu!
“Ya Allah, baby... abang penat ni. Lagipun, ini kan
malam. Manalah abang nampak. Lainlah kalau baby buka
lampu dekat luar ni.” Hazim sudah mula hilang sabar.
“Abangg... tengoklah ni. Cermin sisi Cik Kiah patah.
Tubuh Cik Kiah calar...” Tubuh abangnya itu sudah ditolak
merapati skuter pink miliknya.
“Lah, kenapa ni?” Kali ini barulah Hazim perasan
apa yang tidak kena dengan Cik Kiah.
“Haa... Nampak pun! Tadi ada mamat kekwat mana
entah, cari pasal dengan Una. Dia ambil parking yang Una
dah cop. Lepas tu boleh pula buat muka lembu kenyang! Una
geram sangat, Una calarkan kereta dia. Lepas tu, dia tolak
Cik Kiah sampai terbaring,” adu Husna bersama bibir yang
terjuih ke depan.
“Hmm... abang dah agak dah! Mesti baby yang cari
pasal dulu. Dahlah, baby... tolong jangan buat perangai
pelik-pelik lagi. Peninglah, abang!”
“Mana ada. Una dah behave dah! Dia yang tak nak
mengaku salah. Lepas tu, siap cakap Una saja cari pasal sebab
nak mengurat dia. Yang lebih sakit hati, dia cakap perempuan
macam Una ni bukan taste dia. Sakit hati, tahu tak?” Husna
peluk tubuh. Nafasnya turun naik menahan rasa geram.
Lebih-lebih lagi apabila bayang mamat kekwat itu sedari tadi
lagi tak nak pergi. Seakan-akan berterusan mengekori dia.
“Yalah tu! Dahlah, abang penat sangat ni.” Suara
Hazim lemah saja. Mata dia juga, rasa macam tak larat dah
nak buka. Hari ini, dia memang penat tahap dewa. Seharian
berdepan dengan kes-kes kecemasan. Terkejar sana, terkejar
sini. Ingatkan bila balik bolehlah berehat. Rupanya kena
hadap pula kerenah adik kesayangannya yang memang
ter‘over’ manja ni. Adoilah!
“Habis tu, macam mana dengan Cik Kiah ni?”
Husna masih belum berpuas hati. Mata kuyu abangnya itu
ditentang dalam. Kesian juga dia tengok keadaan abangnya
itu. Memang nampak penat sangat. Tapi... hati dia yang masih
sakit ni macam mana?
“Hmm... esok baby bawalah pergi repair. Nanti
abang bagi duit. Okeylah, abang nak masuk mandi, nak tidur.
Penat sangat ni.”
“Hah? Betul ke ni?” Senyuman lebar sudah
menguntum di bibir Husna. Nampaknya, pucuk dicita ulam
mendatang.
“Ya... Macamlah abang tak tahu. Memang itulah niat
baby, kan? Mesti mama tak nak layan permintaan baby tu.”
“Haa... pandai pun abang! Mama tu, sejak
kebelakangan ni, asyik nak cari salah Una aje. Itu tak kena,
ini tak kena.” Lengan abang kesayangannya dirangkul erat.
Masam pun, masamlah! Janji abang dia itu sudi jadi banker
dia untuk repair Cik Kiah. Harapkan mama... dalam mimpi
pun jangan pernah nak berangan!
“Aik, tadi kata busuk!” sinis Hazim sambil tersenyum
senget.
“Hee... sekarang dah wangi. Thank you, abang! Una
tahu abang tak akan hampakan adik kesayangan abang ni.”
Sekarang pinggang Hazim pula dipaut erat. Husna memang
macam tu. Terlebih-lebih manja kalau dengan Hazim.
Kadangkala, Puan Serina membebel juga. Yalah, dah besar
panjang macam itu pun masih nak melekat-lekat dengan
Hazim. Yang si Hazim pula, melayan saja kerenah Husna
tu. Sampaikan perempuan takut nak dekat dengan anak
terunanya itu. Kalau macam ni, sampai ke nyanyuk pun dia
tak dapat menantu.
“Wangilah sangattt... Sebut pasal duit, terus wangi
ya?” tebak Hazim.
Husna ketawa kecil.
“Dahlah, jom masuk! Abang betul-betul penat ni.”
“Haa... Jom, jom!” Husna memimpin tangan Hazim
untuk masuk ke dalam rumah. Bibirnya tidak lekang dengan
senyuman. Happy sangat! Nasib baiklah ada abangnya. Kalau
tidak, sampai hujung bulan inilah Cik Kiahnya itu cacat!

No comments:

Post a Comment