WAZIF merenung diri di cermin tandas
kliniknya. Sudah hampir 10 minit dia berdiri tegap di situ
sambil merenung bayang sendiri di cermin. Baju kemeja
kuning cair yang dicemari air kopi tadi masih tersarung
kemas di tubuhnya. Wajah minah berskuter pink tempoh hari
berlegar semula di ruang mata. Seakan-akan bayang itu terus
mengejar dirinya.
Kenapa setiap kali dia bertemu dengan perempuan
tu, mesti hidup dia jadi huru-hara? Hari tu, kereta baru dia
calar. Hari ini pula, kemeja baru dia kena kopi! Esok lusa, apa
lagilah agaknya? Dalam ramai-ramai orang dekat muka bumi
Kuantan ni, kenapalah dia mesti bertembung dengan minah
berskuter pink tu? Apakah rahsia di sebalik pertemuan yang
Allah aturkan ni? Sungguh dia tidak faham.
Wazif menghela nafas dalam-dalam. Mata dipejam
rapat dan hati pula tidak henti-henti beristighfar. Wajah
comel minah itu juga seakan-akan tidak pernah penat
mengejar dirinya. Walaupun sedaya upaya cuba dipadamkan
wajah comel itu daripada ingatannya, bayangan itu tetap juga
mengekorinya.
Masih terasa lagi hangatnya tangan halus itu yang
digenggam kemas olehnya tadi. Entah apalah yang merasuk
dia. Spontan saja tangan itu digenggamnya. Lama pula tu!
Astaghfirullahal‘azim...
‘Apa kena dengan kau ni, Wazif? Tak pernah-pernah
pulak kau jadi macam ni! Tapi... mata bundar dia tadi tu,
nampak polos sangat. Tak sama macam hari dia calarkan
kereta kau dulu. Argh! Takkan dah jatuh cinta dengan minah
tu? Klise sangat tu, Wazif! Lagipun dia bukan jenis perempuan
yang kau suka. Bukankah cita rasa kau perempuan Muslimah
yang ala-ala ustazah ke?’ Perasaan Wazif terus berperang
ganas.
Ketukan bergema di muka pintu bilik tandas. Wazif
tersentak. Bayang minah berskuter pink terus melayang
pergi dan digantikan pula dengan bias wajah sendiri di
cermin. Sekali lagi nafas dihela panjang. Tangan pula naik
meraup muka. ‘Ya Allah, aku mengelamun lagi!’ hati dia
berdesis sendiri. Pili paip di singki pantas dipulas. Membasuh
ala kadar kesan air kopi yang melekat di kemeja kuning cair
miliknya.
“Doktor! Doktor okey tak dekat dalam tu?” Sesaat
kemudian kedengaran suara Aulia, pembantu di klinik haiwan
miliknya bertanya. Bunyi macam cemas saja.
Wazif tidak segera membalas. Kaki dibawa menapak
ke pintu dan laju saja tangannya memulas tombol pintu.
“Ehem... ya, Aulia. Saya okey. Kenapa?” Wazif sudah
muncul di muka pintu tandas. Memang seorang pekerja yang
prihatin betul Aulia ni. Sampai ke pintu tandas dia datang
mencari.
“Err... doktor lama sangat dekat dalam ni. Bimbang
jugak saya kalau-kalau ada yang tak kena.”
“Owh! Saya okey.” Wazif betulkan lengan baju.
Wajahnya masih macam selalu. Serius tanpa segaris
senyuman. Jarang sangatlah nak nampak dia senyum.
Maklumlah, bos kalau bercakap dengan staf kenalah tegas
kan? Poyo sangat!
Aulia lorek senyum. Diri Wazif disorot dari atas
sampai ke bawah. Bos dia ni memang kacak betul orangnya.
Tapi sayang, senyuman dia tu mahal sangat! Macam manalah
lelaki sedingin salju macam Wazif ni boleh jadi doktor
haiwan? Tak terjangkau dek akal! Pelik betul. Kalau dengan
haiwan-haiwan dekat klinik ni, terutamanya kucing, pandai
pula dia melayan. Bukan main lembut lagi. Nampak macam
penyayang sangatlah orangnya! Haihh...
“Saya risau sebab doktor lama sangat dekat dalam
tu. Manalah tahu ada apa-apa yang tak kena ke. Hmm... itu,
kenapa tu?” Mulut Aulia sudah memuncung pada dada Wazif.
Spontan kepala lelaki itu menunduk ke dada sendiri.
“Hmm... terkena kopi,” jawab Wazif sepatah. Tak
kuasa dia mahu bercerita dengan Aulia. Nanti macam-macam
lagi yang disoalnya.
“Patutlah lama sangat dekat dalam tu. Doktor nak
saya hantar dobi ke? Atau nak saya belikan baju baru?”
“Tak payahlah! Lagipun hari ni, saya separuh hari
aje. Saya ada hal dengan Doktor Calvin dekat luar. So, nanti
petang awak tolong tutup klinik, ya?” Wazif pandang tepat ke
muka pembantunya. Sekali pandang, lawa juga Aulia ni. Tapi,
itulah... dah jadi tunangan orang.
“Baiklah, doktor. Oh, ya! Tadi Datin Maira ada
telefon. Dia dah on the way ke sini. Nak grooming kucing
dia.” Senyuman masih bergayut di bibir Aulia. Walaupun
senyumannya jarang dibalas oleh Wazif.
Wazif angguk kepala. Langkah dibuka untuk ke
biliknya. Baru beberapa langkah menapak, dia berhenti dan
tubuh dipalingkan semula ke arah Aulia.
“Ni, Aulia... awak tolong sediakan bilik bedah.
Sekejap lagi kucing yang dalam sangkar nombor 5 tu nak
kena bedah.” Wazif memberi arahan.
“Ooo... Oren dah nak kena bedah hari ni ya, doktor?
Okey, sekejap lagi saya sediakan. Ada apa-apa lagi doktor?”
“Tak ada.”
TANGAN KANAN Husna duduk menopang dagu di kaunter
kedai. Tangan kirinya pula bermain-main dengan batang pen.
Matanya lurus memandang ke hadapan. Kalau Mr. Lee ada
urusan di luar, tugas menjaga kaunter memang akan diambil
alih oleh Husna kerana hanya dia saja yang berkelulusan
tinggi di situ. Dan Mr. Lee juga percayakan dia.
Nafas dihela panjang. Macam manalah dia boleh
terserempak dengan mamat kekwat tadi. Dan yang paling
teruk lagi, macam manalah dia boleh terlanggar mamat itu.
Habis kotor baju mamat tu terkena air kopi.
Tapi... Husna seakan terpukau dengan renungan
tajam mamat kekwat itu tadi. Mata mamat itu memang ada
powerlah. Macam Power Rangers! Jantung dia pun tak reti
nak duduk diam tadi. Meskipun tiada sepatah kata pun yang
terbit dari bibir mulut mamat kekwat itu, tapi renungan
mata dia tu, perghh... semacam!
‘Ya Allah... Apalah yang mamat kekwat tu fikir
agaknya? Mesti dia ingat aku sengaja nak dajalkan dia.
Tengoklah cara dia renung aku tadi... Eee... seram!’ Hati
Husna terus berperang sendiri.
“Wei, termenung pulak, dia! Mr. Lee suruh kau kira
stok tau! Bukan termenung macam ni,” sergah Yani yang
tiba-tiba saja muncul di hadapannya.
“Mak kauuu!” Tercampak terus pen yang digenggam
di tangan.
“Yani! Kau ni, kalau sehari tak buat aku sakit
jantung... memang bukan kaulah kan!” Husna melepaskan
geram. Dada yang terasa semput dek disergah tadi, diusap
perlahan-lahan. Gila punya kawan! Nasib baik dia tak mati
dekat situ.
Yani tersengih menampakkan barisan giginya yang
putih. Muka langsung tidak menggambarkan riak bersalah.
“Aku bukan sengaja nak sakitkan jantung kau. Tapi
kau tu, dari tadi aku bercakap kau buat tak tahu aje. Dah
dapat jumpa buah hati pun termenung lagi? Apa hal?” Kening
Yani sudah terjongket sebelah.
“Aku...” Husna gigit kuku. Otaknya mula ligat
mencipta alasan. Perlu ke dia bercerita kepada Yani tentang
mamat kekwat tu?
“Aku apa?” Suara Yani sudah melonjak. Geram pula
dia dengan si Husna ni. Macam nak tak nak saja cakap!
“Hmm... tak ada apa-apalah! Kau pergi buat kerja
kau sekarang. Aku nak habiskan kerja aku. Kejap lagi, kalau
Mr. Lee balik tengok satu apa pun tak siap, aku jugak yang
kena.”
“Eleh... Kau tu yang banyak sangat berkhayal. Kalau
aku tak datang pun, kau mengelamun jugak!” Cebik Yani
dengan muka geram.
Terlepas tawa Husna. Yani ni seorang kawan yang
baik sebenarnya. Cuma dia saja yang segan nak bercerita
lebih-lebih dengan Yani. Maklumlah, mereka kenal pun baru
lagi. Itu pun sebab mereka sama-sama bekerja dekat sini.
Walaupun mulut Yani ni, pot pet pot pet... tapi hati dia baik.
“Yalah! Aku mengelamun. Puas hati? Sekarang pergi
sana, jangan kacau aku. Huh!” Sengaja Husna jegilkan biji
matanya.
Yani mencebik. Namun kaki menapak juga pergi
dari situ. Baru beberapa langkah meninggalkan kaunter, dia
berpaling semula.
“Una... esok cuti! Jom kita pergi lepak-lepak nak?”
Husna yang ralit mencatat sesuatu di buku laporan
terus panggung kepala. Mata menyorot Yani dengan kening
yang hampir bercantum. Mimpi apa budak ni? Kenapa sejak
kebelakangan ni pelik saja?
“Hai, tak pernah-pernah pulak kau ajak aku keluar
hari minggu. Kenapa hari ni lain macam sangat ni? Biasa
hari minggu kau akan sibuk dengan buah hati kau!” tergelak
halus Husna. Tangannya lincah semula menari di muka buku
laporan.
“Sajalah. Asyik keluar dengan pakwe pun bosan
jugak. Jom tengok wayang nak? Atau kau dah janji dengan
Mika?” Yani masih belum berputus asa.
“Hmm... Mika sibuk. Tengoklah macam mana. Nanti
aku beritahu semula. Kau tahu ajelah kan, apa aktiviti hujung
minggu aku.” Husna menjongket kening sebelah sambil
melirik senyuman manja. Nasib baik lawa. Kalau tidak,
tentu-tentunya Yani sudah muntah hijau.
“Tak lain, tak bukan... buat tahi matalah tu!” tebak
Yani sambil mencebik.
“Eh, tolong sikit ya. Aku ada ‘anak-anak’ yang tengah
tunggu aku nak makan tau!” Mata dijulingkan ke atas. Mulut
Yani ni, memang tak beli insurans rasanya. Sebab itu main
cakap saja!
Yani ketawa lepas. Faham sangat dengan ‘anak-anak’
yang Husna maksudkan tadi. Sebaik saja dia terpandangkan
seorang pelanggan di muka pintu kedai, tawanya dimatikan.
“Ehem... Okeylah! Nanti apa-apa hal beritahu aku
semula,” Yani lajukan langkahnya ke arah pelanggan yang
mula membelek bunga-bunga segar di dalam kedai itu.
“Okey!” Jari Husna sudah menayangkan simbol okey.
No comments:
Post a Comment