Sunday, 8 October 2017

Awak Dah Curi Hati Saya - Bab 8

MATAHARI sudah menyuluh terik di
Lorong Wong Ah Jang pada pagi itu. Walaupun jam sudah
menunjukkan ke angka 8 pagi, suasana di sekitar lorong itu
masih lagi suram dan sunyi. Maklumlah, hujung minggu.
Waktu-waktu macam ni tentu masih ramai lagi yang sedang
lena diulit mimpi.
Sudah hampir 10 minit Husna berdiri sambil
bercekak pinggang di situ. Mata meliar galak ke segenap
kawasan lorong. Mencari kelibat kucing-kucing jalanan yang
selalu diberi makan olehnya apabila tiba hujung minggu.
Tapi, hampa! Seekor kucing pun tidak kelihatan di
situ pada pagi ini. Hanya terdapat timbunan kotak buruk
saja di tepi longkang besar. Sampah-sarap juga nampak
bertaburan di sana sini mengotori lorong sunyi itu. Mungkin
kerja anjing liar ataupun tikus mondok malam tadi!
“Meoww...”
“Oreeen, Hitaaam...” Husna terus memanggil
kucing-kucing liar seperti lazimnya dia buat apabila
berkunjung ke situ. Beg silang yang terasa senget di tubuhnya
dibetulkan.
Sepi! Tiada sahutan seperti minggu-minggu
sebelumnya. Husna kerut dahi. Pelik! Selalunya, dengar saja
bunyi Cik Kiah dia datang, kucing-kucing itu semua sudah
berkumpul di situ. Tapi, hari ini...
Nafas ditarik dalam-dalam. Namun cepat pula
dia menekup hidung dengan tangan kiri kerana di tangan
kanannya tergenggam plastik makanan untuk kucing-kucing
liar itu. Terlupa yang dia sekarang ini berada di lorong
belakang bangunan. Bau longkang yang memualkan itu terus
menerobos ke rongga hidung. Membuatkan dirinya terasa
macam hendak muntah.
“Adoii... kenapa dengan kau ni, Una? Dah tahu sini
penuh dengan longkang, kau pergi sedut nafas dalam-dalam
tu kenapa?” Mulut becoknya sudah membebel sendiri.
“Pewwitttt... ada aweklah!” Suara sumbang yang
menegur dari belakang membuatkan tubuh Husna laju saja
menoleh ke belakang. Saat mata tersorot kepada empunya
suara, tubuhnya terus terasa kaku. Jantung pula sudah
memecut pantas.
‘Matilah aku! Dari mana pulak lelaki-lelaki ni
muncul? Ya Allah... apa aku nak buat ni?’ Hati Husna sudah
menjerit kuat. Matanya masih terpaku ke arah kedua-dua
orang lelaki kurus yang berdiri di hadapannya kini. Sekali
tengok, macam mat gian!
Berkali-kali liur ditelan pun tetap terasa penuh
juga di kerongkong. Bertambah laju jantungnya berdetak
tatkala terpandangkan renungan mata kuyu lelaki-lelaki yang
melekat kejap pada batang tubuhnya.
‘Mama... abang... tolonggg babyyy... baby takut!’
Hati Husna menjerit lagi. Peluh dingin mula merenik di
dahinya. Seram!
“Adik manis... buat apa dekat lorong ni
sorang-sorang? Tak takut ke?” Lelaki kurus berbaju hitam
mula menapak terhuyung-hayang ke arah Husna. Parut-parut
kudis kelihatan di lengan lelaki itu membuatkan hati Husna
semakin yakin yang mereka berdua adalah mat gian!
“Tak apa. Jangan takut... kami berdua boleh
temankan.” Giliran seorang lagi lelaki menyampuk bersama
tawa yang begitu menyeramkan.
Mata Husna sudah mula berair. Tubuh kecilnya
sudah mula menggeletar ketakutan.
“To... to... tolong jangan kacau saya. Saya datang sini
sebab nak bagi makan dekat kucing-kucing yang terbiar dekat
lorong ni.” Takut-takut Husna menjawab. Kakinya sudah
mengundur setapak ke belakang.
“Ooo... nak bagi makan dekat kucing. Kucing-kucing
tu kami dah halau dari sini. Sekarang...” Mata lelaki yang
berbaju hitam tadi merenung tubuh Husna dari atas sampai
ke bawah. Matanya berhenti lama pada betis Husna yang
putih gebu itu. Dia menjilat bibir bawah sambil ketawa galak.
“Bagi peluang pada kami pulak untuk ‘makan’ kau!
Hahaha...” Serentak kedua-dua lelaki itu ketawa dan mula
menapak ke arah Husna.
Husna sudah tidak mampu bertahan lagi. Makanan
kucing yang tergenggam kemas di tangannya tadi, dicampak
laju ke tepi longkang. Langkah kakinya terus dibuka. Dengan
sehabis tenaga dia cuba melarikan diri.
“Woi! Nak ke mana hah?” Kedua-dua orang lelaki
tadi terus mengejar Husna. Husna semakin kencang berlari.
Dalam hati tidak putus berdoa agar Allah selamatkan dia. Tapi
malangnya, kaki dia tersadung sendiri. Serentak dengan itu,
dia sudah tersungkur ke jalan tar.
“Aduh!” Husna mengerang kesakitan. Kedua-dua
lelaki tadi semakin mendekat.
“Mamaaa... abanggg... baby takut!” Air mata Husna
sudah melaju di pipi. Dia cuba untuk berdiri semula, tetapi
lututnya terasa sakit yang amat. Darah merah sudah meleleh
di kedua-dua belah lututnya yang terdedah.
“Mana kau nak lari, hah?” Kedua-dua lelaki tadi
sudah terpacak di hadapannya.
“Tolonglah jangan apa-apakan saya...” rayu Husna
bersama esakan yang panjang. Sumpah! Dia takut sangat saat
ini. Bagaimanalah agaknya nasib diri dia selepas ini?
Tawa kedua-dua lelaki itu semakin galak memenuhi
lorong itu. Perut Husna pula semakin kecut. Digagahkan diri
untuk bangun, tetapi gagal.
“Tolongggg... tolonggg...” Tiba-tiba Husna menjerit
lantang. Kedua-dua lelaki kurus tadi terus menerpa ke
arahnya.
“Kau nak minta tolong dengan siapa, hah? Semakin
kau menjerit, semakin aku ghairah dengan kau ni!” Lengannya
sudah dicengkam kuat. Air mata Husna terus melaju di pipi.
Tubuhnya semakin menggigil.
“Jangan menangis!” jerkah kedua-dua lelaki itu
serentak.
“Tolonggg!!!” Husna terus menjerit lantang.
Pang!
Satu tamparan kuat hinggap pada pipi kanannya.
Membuatkan telinganya terasa berdengung. Pandangan
matanya pula mula terasa kabur.
‘Ya Allah... ampunilah segala dosa-dosaku...’ rintih
Husna dalam hati. Apa yang terlintas dalam fikirannya saat
ini hanyalah satu. Akan adakah seorang putera raja seperti
dalam cerita dongeng yang datang untuk menyelamatkan
dirinya pada saat-saat yang genting macam ini?
Tangan-tangan kasar itu terus mencengkam kemas
kedua-dua belah lengannya. Semakin lama pandangan
matanya semakin kabur.
“Hoi!!! Korang buat apa tu hah?” Dalam pandangan
matanya yang kabur, Husna ternampak seorang lelaki
bertubuh sasa sudah berdiri tegap di hadapan mereka sambil
bercekak pinggang.
Hati kecilnya terus berdetik. ‘Ya Allah, apakah
dia putera raja yang Engkau utuskan untuk menjadi
penyelamatku? Hesy! Drama sangat kau ni, Husna.’
“Lu apa hal brader?” Lengan Husna dilepaskan.
Kini, kedua-dua mat gian tadi sudah berdiri berhadapan
dengan lelaki bertubuh sasa yang tiba-tiba saja muncul di
antara mereka. Lelaki yang mungkin menjadi wira untuk
menyelamatkan Husna.
“Wa tak ada apa-apa hal brader. Tapi lu... kenapa
tunjuk kuasa pada perempuan ni?” Suara garau lelaki
bertubuh sasa itu laju saja menjamah telinga Husna.
Membuatkan jantung dia tersentak kuat. ‘Suara tu! Aku
macam pernah dengar suara tu.’ Hati Husna berdetik sendiri.
Spontan tangan Husna menggosok matanya yang
terasa kabur dari tadi. Mata dicelik seluas yang boleh untuk
mengecam empunya suara. Tapi sayang, wajah lelaki itu
terlindung dek tubuh kurus lelaki-lelaki yang mengacau dia
tadi.
“Lu memang cari nahas brader!” Tanpa amaran,
lelaki kurus berbaju hitam tadi mengayunkan penumbuk
jantannya ke arah lelaki bertubuh sasa. Namun, cepat-cepat
lelaki itu mengelak. Lelaki kurus seorang lagi pula cuba
menyerang dari belakang. Kali ini dapat juga dielak oleh
lelaki bertubuh sasa tadi. Maka, adegan tumbuk-menumbuk
dan sepak-menyepak pun terjadi!
Kecut juga perut Husna menyaksikan itu semua.
Jantungnya terasa semput. Turun naik saja degupannya. Rasa
macam tengah tengok drama Gerak Khas pun ada. Dalam dia
takut, ada juga rasa geramnya kepada mat gian berdua itu.
Tapi, macam drama-drama dalam TV lah. Hero pasti
akan menang di penghujung cerita. Dua kali berturut-turut
lelaki bertubuh sasa itu mengayun penumbuknya ke muka
mat-mat gian itu dan mereka terus jatuh tersungkur ke jalan
tar. Tanpa menunggu lebih lama lagi, mereka terus bangkit
semula dan berlari macam lipas kudung meninggalkan
tempat itu.
Husna memanjatkan syukur di dalam hati. Nafas
yang tadinya semput mula diatur dengan tenang. Dalam
kepayahan, dia cuba untuk berdiri. Lelaki bertubuh sasa tadi
masih lagi membelakangi dia.
“Aduh!” Husna terjatuh semula saat dia mahu
melangkah. Dia memang tak mampu nak berjalan. Kedua-dua
belah lututnya terasa pedih dan sengal yang teramat.
Kelihatan kepala lututnya yang berdarah tadi mulai lebam.
“Kau okey ke?” Laju saja lelaki itu menoleh dan
duduk mencangkung di hadapan Husna. Saat ini, mata Husna
sudah membuntang bulat. ‘Betul ke mata aku ni? Mamat
kekwat Honda City? Dari mana dia muncul? Macam mana dia
boleh ada dekat sini?’ Husna rasa macam tengah bermimpi.
Macam... macam tak logik! Kecil sangat ke bumi Kuantan ni,
sampaikan sudah hampir tiga kali mereka bertemu?
Husna tidak membalas. Raut wajahnya jelas
menampakkan dia terkejut yang amat sangat. Pandangan
matanya masih lagi tertancap penuh pada muka mamat
kekwat di hadapannya itu. Terlupa sudah dengan lututnya
yang tengah sakit sekarang ini.
“Aku tahulah aku ni kacak tahap dewa. Tak payahlah
kagum sangat, sampaikan nak buka mulut pun tak boleh.”
Nah! Mulut berbisa Wazif mula menembak Husna
tanpa amaran. Matanya juga tidak berkelip merenung
diri Husna yang mengenakan skirt pendek paras lutut dan
dipadankan pula dengan T-shirt sendat berlengan pendek.
Senyuman senget mula berlari di bibir lelakinya. ‘Hmm, dah
pakai pakaian macam ni, macam manalah tak kena kacau!’
hati Wazif sudah membebel sendiri.
“Tak payahlah nak tengok saya macam tu. Saya tahu
awak tengah kutuk pasal pakaian saya, kan? Saya tahulah
awak jijik sangat dengan perempuan macam saya ni!” Nafas
Husna mula turun naik. Sakit pula hatinya melihat senyuman
sinis mamat kekwat dekat depan dia ini.
Mati terus senyuman Wazif. Kata-kata Husna tidak
pula dibalas. Seketika kemudian, mata lelakinya sudah jatuh
pada lutut Husna. Serta-merta dahinya naik berkerut. Lama
pula matanya tertumpu ke situ.
“Awak ni memang tak boleh cakap baik-baik dengan
perempuan ya? Tak boleh jadi lelaki budiman ek? Apa guna
muka kacak, kalau budi bahasa tak ada?” tebak Husna geram.
Memanglah mamat dekat depan dia ni kacak, tapi mulut dia
tu... Eee... busuk lebih dari bau longkang tau!
“Hmm... lutut kau luka! Kau boleh bangun tak
ni?” Kali ini suara Wazif sudah mengendur sedikit. Sorotan
matanya juga kelihatan lembut menikam ke mata Husna.
Nampak macam prihatin sangat.
Jantung Husna mula buat hal. Baru saja mula
tenang, terus berdegup kencang semula. Lidah juga, bukan
main lagi boikot dia. Kelu terus untuk berkata-kata!
“Hesy, kau ni! Dari aku bercakap dengan kau, baiklah
aku bercakap dengan tiang elektrik tu. Cepatlah bangun! Aku
tak ada banyak masa nak tunggu kau dekat sini.” Suara Wazif
kembali keras. Tangannya cuba memaut lengan Husna, tetapi
cepat -cepat Husna menepis.
“Awak nak buat apa ni? Awak jangan ingat
senang-senang nak sentuh saya!” marah Husna. Matanya
menjeling tajam ke wajah Wazif. Ya! Memanglah dia seksi.
Tapi, ingat dia ni spesies perempuan yang senang disentuh
ke? Don’t judge a book by its cover, okey!
“Eh, kau ni! Berlagak suci pulak! Kau ingat aku nak
sangat ke sentuh-sentuh kau ni. Aku nak tolong aje. Kalau
rasa boleh berjalan sendiri, bangunlah! Tak payah buang
masa aku nak tunggu kau dekat sini!”
Ambil kau! Wazif dah naik angin. Kecil besar, kecil
besar saja dia nampak budak Husna ni. Orang dah nak tolong,
berlagak pulak!
“Kalau saya boleh berjalan, memang tak adanya saya
nak duduk menghadap muka awak dekat sini.” Husna ketap
bibir.
“Hmm... tolong pinjamkan telefon awak sekejap,
boleh? Telefon saya tertinggal dekat rumah,” pinta Husna
dengan muka penuh mengharap. Lagi lama dia berdepan
dengan mamat kekwat ni, lagi tinggi potensi dia nak dapat
sakit jantung.
“Kau nak buat apa dengan telefon aku?” soal Wazif
dengan muka tak puas hati. Namun, Samsung Note 5
miliknya dihulurkan juga kepada Husna.
“Nak call buah hati sayalah! Nak minta tolong dia
datang ambil saya dekat sini.” Tanpa pedulikan renungan
tajam Wazif, laju saja Husna melarikan jemarinya di skrin
telefon milik Wazif. Nombor Mikail terus dihubungi.
“Inilah perempuan! Kenapa mesti call pakwe?
Kenapa tak call keluarga sendiri?” cebik Wazif.
“Masalahnya... saya tak ingat nombor telefon mama
saya. Faham?”
“Nombor pakwe ingat pulak kau!” tebak Wazif sambil
mencebik.
“Hesy! Ambillah balik telefon awak ni.” Muka
Husna mencuka. ‘Dahlah lutut sakit. Sekarang, nak kena
berdepan dengan mamat kekwat yang banyak bunyi ni pulak!
Aduh, sakit jiwanya aku... Mika pun satu hal! Susah sangat
nak angkat telefon kenapa?’ Berkoyan-koyan hati Husna
membebel.
“So?” Wazif jongket kening. Telefon bimbitnya
disimpan semula ke dalam poket seluar.
“Tak angkat!” Husna cuba berdiri semula. Keningnya
teduh. Dahi berkerut menahan sakit. Matanya pula sudah
mula berkaca. Kenapalah dia tidak hafal nombor telefon
mama. Sekarang bila dah jadi macam ni, siapa yang susah?
Wazif senyap. Matanya langsung tidak berkelip
merenung Husna. Dalam diam, terbit juga rasa simpatinya
kepada gadis comel itu. Seketika, nafas ditarik dalam. ‘Ya
Allah, aku terdesak. Ampunilah segala dosaku, ya Allah.’ Hati
kecilnya berbisik.
Sesaat itu juga, “Jomlah!” Tanpa sebarang notis,
pinggang ramping Husna sudah diraih laju. Membuatkan
tubuh kecil Husna terus melekat di tubuhnya.
“Makkk!” Spontan tangan Husna terpeluk pinggang
Wazif. Mata mereka terus bertemu. Serentak, jantung mereka
berdetak. Masing-masing saling merenung.
“Errr... awak buat apa ni? Awak jangan ingat saya
suka-suka nak peluk pinggang awak tau! Saya terkejut tadi.
Seumur hidup saya tak pernah lagi kena peluk dengan
mana-mana lelaki.” Tersekat-sekat suara Husna. Mukanya
jangan ceritalah. Rasa macam nak pecah menahan malu.
“Hmm... kau pun! Jangan ingat aku suka-suka nak
peluk pinggang kau. Aku buat semua ni sebab terpaksa.
Malam nanti aku kena solat taubatlah nampaknya! Moga Allah
ampunkan dosa aku,” balas Wazif dengan nada bersahaja.
Namun, menusuk dalam ke lubuk hati Husna. Terus wajahnya
tunduk menekur jalan.
“Awak... tak apalah. Saya boleh cuba jalan sendiri.”
Tubuh Wazif ditolak keras. Namun, tubuh sasa lelaki itu
sedikit pun tidak berganjak. Malah rangkulan di pinggangnya
semakin erat.
“Hmm... cepatlah jalan. Aku papah kau.” Kali ini
suara Wazif sudah berubah lembut. Senyuman manis juga
sudah mekar di bibirnya.
Husna jeda. Sekali lagi jantung dia berdegup
kencang. ‘Hesy, lembut semacam pulak suara mamat ni?
Tiba-tiba aje jadi baik ni, kenapa?’
“Isy... tak payahlah termenung. Cepat jalan! Kau ikut
aku ke tempat kerja aku dulu. Kita rawat luka tu dulu. Kalau
dibiarkan lama-lama nanti, bimbang pulak terkena jangkitan
kuman. Tempat kerja aku dekat belakang bangunan ni aje.
Boleh jalan tak?”
Husna tersenyum kelat. Kepala laju saja
mengangguk. Tangannya berpaut kemas di lengan sasa Wazif.
Sesekali dia mengaduh kecil tatkala kaki mula menapak.
“Tahan sikit... atau kau nak aku dukung?” Wazif
nampak prihatin sangat.
“Tak nak!” Laju kepala Husna menggeleng. Muka
dia jangan cakap lah, bukan main merah lagi. Malu! Dengan
Mikail pun dia tidak pernah berpegangan tangan. Tiba-tiba
dengan lelaki ini siap peluk pinggang. Aduh!
Ketawa Wazif terus pecah. Hatinya rasa tercuit
melihat gelagat Husna. Lagi-lagi apabila melihat pipi merah
gadis itu. Comel sangat!
“Menggelabah...” tebak Wazif lagi. Tawanya berlagu
semula.
“Memanglah! Awak ingat saya ni anak patung
ke, boleh main usung-usung aje!” Jelingan maut Husna
layangkan buat Wazif. Lelaki itu tidak membalas. Sebaliknya
hanya bibirnya saja yang tersenyum penuh makna.
“Awak, Cik Kiah saya macam mana?” Mata Husna
bulat merenung ke wajah Wazif.
“Hai, dalam keadaan macam ni pun, kau masih
fikirkan Cik Kiah tu?” Wazif tersenyum sinis pula.
“Memanglah! Itulah satu-satunya harta yang saya
ada.” Husna tayang muka sedih.
“Okey! Nantilah aku uruskan Cik Kiah kau tu.
Sekarang ni, kita uruskan luka kau tu dulu. Setuju?”
Terjongket sebelah kening Wazif. Kali ini, senyuman yang
bergayut di bibirnya nampak lebih ikhlas.
Ya Allah... Husna rasa macam nak pitam. ‘Kenapa
kacak sangat mamat ni bila senyum? Kalah seribu Mikail!’
“Okey!” Husna angguk setuju.

No comments:

Post a Comment