Wednesday, 25 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 1






DIAN terduduk sebaik melihat apa yang berlaku
di depan mata. Tubuhnya menjadi kaku dan keras. Kakinya
seperti dikunci supaya tidak bergerak. Bibirnya mula bergetar.
Air jernih yang berkumpul di kelopak mata jatuh membasahi
pipi. Dia menggeleng kepala beberapa kali untuk menidakkan
apa yang dilihat.
Dia melihat orang ramai mula berlari berkerumun
di tempat kejadian sambil menjerit-jerit. Tapi dia... dia masih
berdiri di tempatnya. Bila-bila masa saja akan rebah. Masih
tidak percaya apa yang dilihat oleh mata hitamnya.
“Call ambulans... call ambulans...” Entah siapa
yang menjerit pun dia tidak tahu. Suasana mula bising
apabila orang awam mula berlari ke sana sini. Masing-masing
kelam-kabut. Dian hanya mampu melihat tanpa melakukan
apa-apa. Tepat di depan matanya dua kujur tubuh yang
terbaring di atas jalan. Darah merah sudah memenuhi jalan.
Dia hanya memandang kosong apabila muncul seorang
wanita menutup salah satu tubuh yang terbaring. Makin
hebat getaran bibirnya.
“Nenek!!!” jerit Dian apabila sudah sedar. Pantas
saja dia bangun lalu menuju ke arah neneknya yang tidak
bergerak. Dipangku kepala neneknya yang berlumuran darah
itu. Tangannya bergetar apabila membuka kain batik yang
menutupi tubuh nenek. Tiada kata-kata yang mampu keluar
sebaik wajah neneknya yang berlumuran darah ditatap.
“Nenek... bangun nek...” Panggilnya apabila nenek
tidak menyahut panggilannya. Kepala nenek diusap lalu
dicium berkali-kali.
“Nenek adik dah meninggal...” Dian menangis
apabila mendengar kata-kata daripada seorang wanita yang
tidak dikenali. Digoncang kuat tubuh neneknya supaya
bangun. Air mata sudah membasahi pipi. Sukar untuk dia
terima kenyataan itu.
“Nenek bangun. Jangan tinggalkan Dian. Nenek...
jangan buat Dian macam ni. Nenek janji takkan tinggalkan
Dian...” Dian memeluk erat kepala neneknya. Dicium dahi
yang berlumuran darah itu. Langsung tidak kisah dengan
darah yang sudah melekat di tangannya.
“Dian...”
Dian memusingkan kepalanya. Wajah atuk yang
pucat menyapa pandangan matanya. Perlahan-lahan dia
meletakkan kembali kepala neneknya ke bawah. Sebelum
tangannya menarik kembali kain batik, dia mencium lagi
dahi neneknya. Malah pipi tua yang sudah tidak bergerak itu
juga dicium. Kemudian laju dia bergerak ke arah atuknya
yang sudah nyawa-nyawa ikan itu. Dipandang atuknya yang
lemah itu. Hanya mata tua itu saja yang terbuka.
“Atuk... atuk tak akan tinggalkan Dian kan? Atuk
kena selamat...” ucap Dian sambil memangku kepala atuknya.
Tangannya menggenggam erat tangan tua itu. Dapat dia rasa
tangan atuknya yang mula keras.
“Dian...” Suara itu memanggil perlahan. Dipandang
wajah cucunya.
Dian mendekatkan telinganya ke mulut atuk.
“Maafkan atuk dan ne... nenek. Dah sampai masanya
un... untuk ka... kami per... pergi. Dian jadi anak yang ba..
baik ya, cu...” Pesan atuk dengan nada yang tersekat-sekat.
Kesakitan yang dirasa cuba ditahan.
Dian menggeleng kepalanya. “Tak... Atuk jangan
cakap macam tu. Jangan tinggalkan Dian...” Sebak rasa hati
melihat keadaan atuknya yang nazak.
“Atuk dengan ne... nenek sa... sayang sangat kat
Di... Dian. Jaga diri baik-baik. Jangan tinggal solat. Na...
nanti kita akan jum... jumpa la... lagi...” Tangan tuanya cuba
menyentuh pipi Dian. Air mata yang mengalir di pipi cucunya
cuba disekat. Walaupun dalam keadaan sakit, bibir tuanya
masih mampu mengukir senyuman.
“Atuk akan selamat... atuk akan selamat.” Ujar Dian
turut membalas senyuman atuknya. Dapat dia rasakan betapa
terseksanya atuk mahu mengukir senyuman dalam keadaan
sakit begitu. Tangan kanan atuk yang cuba menggosok
kepalanya dicapai dan dicium beberapa kali. “Dian pun sayang
atuk...”
Buat beberapa minit Dian memeluk atuknya.
Bibirnya mula membisikkan sesuatu di telinga tua itu.
“Atuk... atuk...” panggilnya perlahan sebaik atuknya selesai
mengucap. Dia mula tergamam apabila merasakan tangan
atuknya semakin lemah dan berat. Mata tua itu juga hampir
tertutup.
“Atuk... atuk dengar tak ni?” panggil Dian lagi
apabila atuknya senyap. Dipandang seluruh tubuh atuknya
yang sudah tidak bergerak. “Atuk bangun! Jangan tinggalkan
Dian!” jeritnya apabila tangan atuk jatuh di atas jalan tar.
Mata atuk sudah tertutup rapat. Dian kembali menangis
apabila muncul seseorang meletakkan sehelai kain batik
di atas tubuh atuknya. Dipandang wajah lelaki itu untuk
meminta penjelasan.
“Dia dah meninggal,” ucap lelaki itu seperti faham
saja apa yang ditanya.
Dian menggeleng laju. Tidak... tidak. Atuk baru saja
bercakap dengannya tadi. Kenapa sekarang atuk meninggal?
“Sabar ya dik. Tuhan lebih sayangkan dia.”
“Buang kain tu. Buang! Atuk aku tak mati... Buang!”
jerit Dian sambil menarik kain batik di tubuh atuknya. Dia
seperti dirasuk. Langsung tidak dipedulikan orang ramai
yang sedang melihatnya.
“Sabar dik. Atuk dan nenek adik dah meninggal.”
Ucap seorang wanita sambil menutup kembali si mati dengan
kain batik. Laju saja dia memeluk gadis yang menangis itu.
“Atuk... kenapa tinggalkan Dian...” Dian sudah
hampir gila. Laju saja tangannya menolak tangan yang
memeluknya. Diterpa ke arah tubuh atuk. Dahi tua atuknya
dicium bertalu-talu. Terasa susah untuk dia percaya.
“Mengucap dik...” tegur wanita lain lalu memeluk
Dian.
Dian lemah dalam pelukan wanita itu. Dunianya
terasa gelap. Di depannya ada dua jasad yang sudah diselimuti
dengan kain batik. Jasad yang merupakan milik atuk dan
neneknya. Air mata bercucuran tanpa henti. Dirinya makin
lemah. Hakikat yang sangat pahit untuk diterima. Matanya
jatuh pada mangkuk tingkat yang terbuka atas jalan. Nasi
sudah berteraburan. Ikan goreng yang berada di dalam bekas
dipandangnya.
“Atuk... nenek... Dian nak ikut...” Kata Dian perlahan.
Pandangannya mula kabur akibat air mata yang berlinangan.
Dia mula jadi lemah dan akhirnya pengsan.

DIAN DUDUK sendirian di dalam bilik sambil memeluk
erat bingkai gambar arwah nenek dan atuknya. Air mata
merupakan teman setianya sejak 3 hari yang lalu. Apabila
melihat gambar, air matanya pasti akan jatuh lagi. Inilah
kenyataan yang paling pahit dalam hidupnya.
Kenapa di saat dia masih memerlukan atuk dan
nenek, Allah menjemput mereka? Kenapa atuk dan nenek
pergi sebelum sempat melihat dia berjaya? Dia mahu balas
budi dan jasa mereka dahulu. Sungguh dia belum puas untuk
hidup bersama mereka.
15 tahun dia hidup bersama atuk dan nenek.
Sakit, gembira, sedih semuanya bersama mereka. Waktu
yang berjalan sungguh cepat. Terasa ralat sekali hatinya
apabila atuk dan nenek pergi disebabkan kemalangan jalan
raya. Tambahan pula, pemergian mereka di saat dia sedang
bertarung dengan peperiksaan SPM.
Kemalangan itu berlaku di depan matanya. Matanya
menjadi saksi apabila motor yang dinaiki atuk dilanggar oleh
sebuah lori buah. Ketika itu atuk dan nenek ke sekolah untuk
menghantar makanan untuknya kerana hari itu dia ada tiga
kertas untuk dijawab. Atuk dan nenek tidak benarkannya
pulang supaya dia dapat berehat di sekolah memandangkan
SPM bukan sebarang ujian. Hatinya hancur apabila melihat
tragedi yang berlaku di depan mata. Kalau tahu ini yang
terjadi, dia tidak akan benarkan atuk dan nenek menghantar
makanan padanya. Dia sanggup berlapar.
Sebelum atuk dan nenek kemalangan, sempat
mereka melambai ke arahnya. Dia gembira sehingga dia
mahu memberitahu perasaannya ketika menjawab soalan
tadi. Dia mahu mengadu tentang masa yang terlalu cepat
sehingga dia tidak sempat menyemak banyak kali. Tapi itu
semua tidak terjadi. Malah dia pula disajikan dengan satu
kejadian kemalangan maut. Rupanya itulah kali terakhir dia
melihat senyuman atuk dan nenek.
Sungguh dia terlalu rindu untuk melihat senyuman
mereka lagi. Sudah 3 tiga hari mereka pergi, tapi rindunya
sudah membuak-buak. Senyuman merekalah yang dilihat
sejak kecil. Atuk dan nenek yang menjaganya selama ini.
Dia merupakan anak yatim. Ayahnya meninggal sewaktu dia
masih dalam kandungan ibu.
2 tahun saja ibu menjaganya, sebelum dia dihantar
kepada atuk dan nenek atas alasan kesempitan wang. Ibu
harus mencari duit dan dalam masa yang sama perlu menjaga
dua orang lagi kakaknya. Ikutkan rancangan, atuk dan nenek
cuma menjaganya sampailah keadaan ekonomi ibu pulih.
Tapi lain yang jadi apabila dia sendiri tidak mahu
tinggal dengan bersama ibunya. Malah waktu itu atuk dan
nenek juga sudah sayangkannya. Sejak itulah dia dijaga oleh
nenek dan atuk. 15 tahun dia merasai kasih sayang atuk dan
nenek. Tapi kini, mereka telah pergi. Pergi meninggalkan dia
keseorangan.
Air mata tumpah lagi. Dian menyandar pada dinding
kayu. Sungguh dia tidak sanggup untuk melalui hari-hari
yang mendatang tanpa insan yang disayangi. Bagaimanalah
kehidupannya nanti? Siapa yang mahu mencurahkan kasih
sayang yang ikhlas padanya? Siapa yang mahu melayan setiap
kerenah nakalnya?

No comments:

Post a Comment