“LAMA cuti, kak...” tegur seorang pengawal
keselamatan sebaik kereta yang dipandu Puan Nisa berhenti
betul-betul di hadapan pondok pengawal.
“Haah, ada kerja.”
Dian memandang pengawal itu. Senyuman yang
diberi dibalas dengan jelingan tajam yang boleh bawa maut.
Padan muka pak guard itu. Gatal!
“Siapa tu?” soal pengawal keselamatan bernama
Zul. Terkejut apabila gadis itu menjelingnya. Mujur tidak
meloncat keluar jantungnya. Garang benor.
“Anak bongsu akak, Diana.” Puan Nisa
memperkenalkan Dian pada Zul. Dipandang wajah Dian yang
masam mencuka itu.
“Oh, cantik orangnya...” puji Zul sambil tersengih.
“Akak masuk dulu. Nanti kita berborak lagi.” Puan
Nisa kembali memandu apabila Zul membuka pintu pagar
gergasi Vila Paduka.
Mata Dian melilau ke kiri dan kanan sebaik
memasuki Vila Paduka. Kawasan yang luas itu dipandang
dengan rasa kagum. Kali pertama dalam hidupnya melihat
luaran vila yang sangat mewah ini. Kalau luaran sudah begini,
dalamannya pula entah bagaimana. Dari dalam kereta dapat
dia lihat garaj yang menempatkan beberapa buah kereta
mewah. Inikah rumah ibu?
Ibunya yang memandu di sebelah dijeling. Entah
berapa lama dia tidak menjejakkan kaki ke KL. Sungguh
banyak perbezaan antara KL dengan kampungnya.
Kereta dipandu Puan Nisa akhirnya berhenti pada
sebuah rumah 2 tingkat di belakang Vila Paduka. Dian
mengerutkan dahi. Tak sangka ada sebuah rumah lain di
belakang vila ini. Mungkin disebabkan Vila Paduka terlalu
besar, jadi berjaya menutupi kawasan rumah 2 tingkat ini.
“Jom keluar.” Ajak Puan Nisa lalu membuka pintu.
Dian hanya mengikut.
“Rumah siapa ni?” soal Dian sambil membimbit beg
pakaiannya.
“Nilah rumah ibu. Dian akan tinggal sini.”
“Dah lama ibu tinggal sini?”
“Dekat 15 tahun dah. Gembira ibu. Akhirnya Dian
akan tinggal sini dengan ibu.” Akhirnya berjaya juga dia
memujuk Dian untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
“Vila yang besar itu vila siapa?” Jari ditunjukkan
ke arah Vila Paduka. Rumah ibunya betul-betul menghadap
belakang Vila Paduka. Pelik juga bagaimana rumah ibunya
boleh sepagar dengan Vila Paduka.
“Itu rumah Tan Sri Ahmad. Dian dah tak ingat
dengan Vila Paduka?” soal Puan Nisa pelik. Tengok pada
gelagat Dian macam ini kali pertama melihat Vila Paduka.
Padahal sebelum Dian lahir Vila Paduka sudah wujud. “Dulu
masa Dian tinggal dengan ibu, ibu selalu bawa Dian dan
kakak datang Vila Paduka. Masa tu rumah ini tak ada lagi.”
“Tak ingat langsung. Masa tu Dian kecil lagilah ibu.
Tak ingat apa-apa pun pasal vila ni. Rasa ini kali pertama Dian
sampai sini.” Baru saja mahu bertanya lanjut, tangannya
ditarik. Terpaksa dia melangkah masuk. Dian melabuhkan
duduknya di sofa. Rumah yang tidak terlalu besar dan terlalu
kecil ini dipandangnya. Jadi rumah inilah tempat tinggalnya
di masa akan datang. Cukuplah untuk berlindung daripada
panas dan hujan.
“Ziana, tolong buatkan air untuk Dian.” Panggil
Puan Nisa pada anak sulung yang baru masuk.
“Dian dah besar. Dia kena belajar buat air sendiri.”
“Biar Liana buat. Ibu dengan Dian duduk dulu.”
Sampuk kakak keduanya iaitu Liana. Beg bajunya diletakkan
tepi sofa. “Air Milo boleh, Dian?”
Dian hanya mengangguk. Antara Kak Ziana dan Kak
Liana, dia lebih rapat dengan kakak keduanya. Kak Ziana
agak tegas orangnya. Itu yang menyebabkan dia takut untuk
bercakap. Dian memandang ruang tamu yang nampak kemas
itu. Walaupun tidak sarat dengan perabot tapi masih nampak
menarik.
“DIAN NAK pergi kedai tu kejap.” Beritahu Dian apabila
tekaknya terasa kering. Logo 7-Eleven dipandang. Air Slurpee
sudah terbayang-bayang dalam fikirannya. Kalau di kampung,
dia perlu ke pekan untuk membeli air ini. Tapi di KL, kedai
serbaneka ini ada di merata tempat.
Puan Nisa mencapai pursenya. Not RM20 dihulurkan
pada Dian. “Ambil ni...” Paksanya apabila Dian menolak.
Laju saja Dian membuka langkah menuju ke
7-Eleven. Cara jalannya sudah seperti gengster mahu
mengutip hutang. Pintu ditolak lalu dia melangkah masuk.
Laju matanya mencari mesin Slurpee. Apabila melihat mesin
Slurpee yang sedang berputar, segera dia menarik cawan
sederhana besar. Perisa epal menjadi pilihannya.
Penuh satu cawan dia mengisi air Slurpee. Slurpee
yang tumpah mengenai tangannya dijilat. Ikutkan hati,
sekarang juga dia mahu minum. Tapi mengenangkan airnya
yang belum dibayar dia terpaksa bersabar. Lepas bayar dia
akan terus minum. Yang dijilat itu minta dihalalkan.
“Eh, mak kau...” Dian melatah apabila seseorang
melanggarnya dari belakang. Bekas air terlepas daripada
pegangannya. Bulat mata Dian melihat air Slurpee yang
sudah tumpah atas lantai. Hancur berkecai impiannya mahu
minum air itu. “Kenapa kau langgar aku?” Marahnya pada
seorang pemuda. Memang mencari masalah betul siapa yang
melanggarnya.
“Tak sengaja okey. Nak cepat.” Jawab lelaki itu
selamba.
“Ada aku kisah? Cepat ke lambat tu masalah kau.
Yang kau main langgar aku tu kenapa? Kau jangan cakap
kau tak nampak aku.” Langsung Dian tidak menghiraukan
mata-mata yang menyaksikan amarahnya. Geram dia melihat
lelaki yang memakai topi warna merah itu. Dah salah tapi
boleh buat selamba.
Tanpa dapat ditahan, laju saja Dian menuju ke arah
lelaki itu. Terus ditumbuk bahu lelaki itu beberapa kali. Silap
besarlah kau cari pasal dengan aku. Baru saja mahu memukul
kepala, lelaki itu sudah memegang tangannya. Bulat mata
Dian melihat tangannya yang dipegang.
“Yang kau pegang tangan aku tu kenapa?” Marah
Dian lalu menumbuk bahu lelaki itu kembali. Tangannya
dikesat pada baju. Dia masih belum puas mengerjakan lelaki
ini.
“Yang kau pukul aku tu kenapa?” Marah lelaki itu
sambil menggosok bahunya yang terasa sakit. Boleh tahan
perempuan ni.
“Kau dah tumpahkan air Slurpee aku.”
“Air aje kut yang tumpah. Tu banyak lagi. Belilah
semula, apa masalahnya sampai nak pukul aku.” Perli lelaki
itu. Masih belum hilang rasa terkejutnya apabila dipukul
sebentar tadi.
“Kau tak reti nak minta maaf ke? Kau ingat kau
langgar anak patung?”
Lelaki tu mengerutkan dahi apabila dimarahi
sebegitu. “Apa hal aku nak minta maaf? Bukannya kau cedera
parah. Ke ada tulang kau yang patah riuk?”
Dian mengetap bibirnya. Geram dengan sikap
berlagak lelaki itu. Kalau ini kampungnya, sudah diheret
lelaki itu masuk sungai.
“Patutnya kau yang minta maaf dengan aku.
Perempuan gila. Suka hati aje pukul orang.” Marahnya lalu
menjeling gadis yang mengikat rambut seperti ekor kuda itu.
“Kau ganti balik air aku ni.” Paksa Dian.
“Memang taklah...”
“Aku cakap ganti, kau gantilah!” Marah Dian sambil
mengacukan penumbuknya di depan lelaki itu. Tak lama lagi
lelaki ini mesti makan penumbuk sulungnya. Siapa suruh
cari gaduh dengan Nur Shazai Diana Binti Daud.
“Gila... sewel.” Ejek lelaki itu lalu melangkah
meninggalkan gadis itu. Buat malu dirinya saja kalau terusan
di situ.
“Kau yang gila.” Dian berkata sendirian. Geramnya
dia dengan lelaki itu. Lelaki itu memang bernasib baik hari
ini. Jangan sampai mereka berjumpa lagi. Kalau tak patah
tulang lelaki itu dia kerjakan.
“BELI APA?” soal Puan Nisa sebaik Dian melangkah masuk
ke dalam kereta. Pelik apabila melihat tangan Dian yang
hanya kosong
“Tak beli apa-apa. Tadi ada orang yang langgar Dian.
Habis tumpah air Slurpee. Tak puas hati betul. Budak bandar
memang berlagak ke ibu?” Dian melepaskan amarahnya
dalam kereta pula. Disebabkan lelaki itu moodnya untuk
minum air Slurpee hilang. “Kalau Dian jumpa lelaki tu lagi,
Dian sumbat kasut dalam mulut dia.”
Puan Nisa hanya menggeleng. Dia sudah sedia
maklum perangai sebenar Dian yang agak kasar. Jangan
siapa-siapa cuba cari gaduh, nanti anaknya tarik rambut.
Dia tidak kisah dengan sikap Dian yang kasar. Tapi dia tahu
hati anaknya sangat baik. Kerana itulah Dian merupakan
cucu kesayangan arwah mak dan ayahnya. “Tak semua budak
bandar berlagak, Dian. Masih ada yang baik...”
“Tapi majoritinya ramai yang berlagak. Kat kampung
tak ada pun lelaki macam ni,” jawab Dian ingin menang. Mata
dihalakan ke arah jalan raya yang sibuk. “Ibu nak bawa Dian
pergi mana sebenarnya?”
“Pergi shopping. Ibu nak beli baju untuk Dian.
Lepas tu barang dapur sikit.” Jawab Puan Nisa lalu memberi
signal ke kanan. Matanya mencari ruang yang kosong untuk
mengisi minyak di Shell.
“Buat susah ibu aje. Baju Dian banyak.”
“Tak ada susahnya, sayang. Alang-alang ibu keluar,
ibu bawa Dian sekali. Nanti Dian boleh tengok KL ni.” Puan
Nisa mematikan enjin sebaik keretanya berhenti di petak
kosong. “Ibu nak pergi bayar kejap.”
Dian hanya mengangguk. Sambil menunggu,
matanya melilau melihat sekeliling. Tiba-tiba matanya
terhenti pada susuk tubuh yang baru keluar dari sebuah
kereta. Dia mengecilkan mata.
“Lelaki tu...” ujarnya perlahan apabila lelaki yang
baru dia jumpa di 7-Eleven itu kembali terserempak semula
di Shell. Apa ke halnya mereka boleh jumpa lagi? Tiba-tiba
satu idea nakal muncul dalam fikirannya. Dia tahu macam
mana mahu membalas dendam.
Baru saja mahu membuka pintu, matanya tiba-tiba
terpandang CCTV yang dipasang. Dian mengeluh kecil.
Tidak jadi meneruskan misi balas dendamnya. Sah-sah nanti
dia kena tahan. CCTV ada depan mata. Pandai pula lelaki
itu meletakkan kereta di kawasan CCTV. Nasib lelaki itu
benar-benar baik.
Dapat dia lihat lelaki itu melangkah masuk ke dalam
kedai di Shell dengan seorang perempuan. Nampak mesra
saja lagaknya. Siap tolong bukakan pintu untuk si gadis itu
masuk. Nak muntah pula dia yang melihat. “Dah kahwin
rupanya.” Cebik Dian. Memang malanglah perempuan yang
dapat lelaki itu.
“IBU...” PANGGIL Dian. Puan Nisa yang sudah beberapa
langkah di hadapan berpusing apabila dirinya dipanggil.
“Banyak lagi ke? Dian penat ni.”
“Ibu nak pergi KFC. Kak Liana dah pesan. Nanti ibu
tak beli merajuk pula kakak kamu tu.”
Dian mengeluh perlahan. Penat dia asyik mengikut
ibunya pusing satu mall. Lepas satu-satu kedai yang ibunya
masuk. Di tangannya pula ada beberapa buah beg kertas dan
plastik. “Dian tunggu kat sanalah. Ibu pergi beli.”
“Okey. Tapi Dian jangan pergi mana-mana pula.
Kalau ada orang layan jangan tegur. Apa-apa call ibu. Ibu
pergi sekejap aje.” Nasihat Puan Nisa.
“Ya ibu...” Dian hanya mengangguk. Sekali ibunya
nasihat macam dia ini anak kecil yang tidak pandai jaga diri.
Padahal umurnya sudah 17 tahun. Lagipun siapa yang berani
kacau dia, memang cari nahas. Ilmu silat yang dituntut
daripada arwah atuk merupakan senjatanya.
Laju Dian menuju ke arah bangku apabila melihat
ada satu pasangan yang ingin menghampiri bangku itu.
Dia tidak boleh terlepas. Kakinya perlu direhatkan. Kalau
pasangan itu sudah duduk, mesti dia kena berdiri.
“Oi mak kau...” Dian melatah apabila terlanggar
seseorang yang baru melintasnya. Akibat ingin cepat dia tidak
sempat ‘brek’ kakinya. Beg yang dipegang jatuh atas lantai.
Laju tangannya menggosok dahi akibat terhantuk di bahu
lelaki itu. Itu bahu ke besi? Sakitnya ya ampun.
“Kau lagi?” ujar Dian apabila melihat lelaki yang
berada di hadapannya. Lelaki itu juga nampak terkejut sebaik
melihat wajahnya. “Dah tak ada orang lain ke yang aku nak
jumpa? Asyik muka kau aje...”
“Eh, perempuan gila. Kau yang langgar aku. Kalau
kau tak langgar aku tak adanya aku nak jumpa dengan kau.”
Marah lelaki itu.
“Siapa gila? Kaulah yang gila.” Dian meninggikan
suara. Mata dibulatkan tanda dia sangat marah. Penumbuk
sudah diangkat untuk menakutkan lelaki itu.
“Perempuan sewel.”
“Kurang ajar kau.” Dian sudah mengangkat
tangan mahu memukul lelaki itu. Tak habis-habis mahu
memanggilnya sewel. Tapi pantas saja lelaki itu menahan
tangannya. Macam tahu-tahu saja apa yang ingin dibuat.
“Kalau kau pukul aku lagi, siap kau!” ugut lelaki
itu lalu melepaskan tangan Dian. Bibir dicebik melihat
penampilan gadis berkelakuan seperti lelaki itu.
“Kau kenapa?” soal Dian apabila lelaki itu melihatnya
atas bawah.
“Perempuan kampung.”
“Ya, memang aku perempuan kampung. Ada masalah
ke?”
“Patutlah...”
Telinga Dian mula berasap. Lelaki itu sudah
menghinanya.
“Adrian, sudahlah tu.” Tegur seorang perempuan
yang berdiri di samping lelaki itu. “Dia tak sengaja. Jomlah.
Malu orang tengok.”
“Perempuan sewel!”
Dian mengetap giginya. Sempat lagi dia panggil aku
sewel. Tak sayang nyawa ke apa?
“Tak guna!” Dengan perasaan marah Dian mengutip
kembali beg kertasnya yang jatuh. Dijeling tajam lelaki yang
makin menjauh itu. Kalau tak ada perempuan tu, memang
dia sumbat mulut lelaki itu dengan kasut yang dipakainya.
No comments:
Post a Comment