Wednesday, 25 October 2017

Jadi Milik Dia - Bab 5

SEBELUM melangkah masuk, Dian memandang
kereta hitam milik Adrian. Kemudian dia tersenyum penuh
makna. Ini masa yang sesuai untuk dia menjalankan misi
membalas dendam. Duit syiling 20 sen yang berada di tangan
dicium lalu dimasukkan kembali ke dalam poket. Kesian
kereta itu. Marahkan tuan, kereta yang jadi mangsa.
Dia kembali ke dapur dengan riak wajah tidak
bersalah. Tengok sajalah apa yang akan terjadi nanti. “Ibu,
Dian nak basuh pinggan.”
“Dian , pergi buka pintu kejap. Ibu nak pergi tandas.”
Suruh Puan Nisa lalu bergegas ke tandas.
Dian terus menutup paip air. Telinganya menangkap
bunyi loceng yang bertalu-talu. Tangan yang basah dikesat
pada tuala yang kering. Bergegas dia menuju ke pintu utama
Vila Paduka.
“Ya, cari siapa?” soalnya sebaik membuka pintu.
Seorang gadis yang cantik bertudung menyapa pandangan
matanya.
“Adrian ada?” soal gadis itu sopan.
Berubah terus riak wajah Dian mendengar nama
Adrian. Apa gadis itu tidak tahu yang dia sangat anti dengan
nama Adrian? Boleh berdarah telinganya dengar nama itu.
“Ada, masuklah...” pelawa Dian. Pasti tunang lelaki itu.
“Awak siapa ya? Tak pernah nampak pun kat vila ni.”
Tanya gadis itu sambil menghulurkan sedikit buah tangan.
“Dia anak pembantu rumah ni.” Jawab Adrian yang
baru muncul. Dijeling gadis yang sudah membulatkan biji
mata itu dengan selamba.
“Kau apa hal?” Marah Dian. Muncul-muncul terus
mahu cari masalah dengannya. Ada patut ibunya seorang cef
di vila ini dikatakan pembantu rumah. Pembantu rumah tu
lain, cef tu lain. Dian masih tidak dapat menerima hakikat
ibunya diperlekehkan.
“Bukan dia ke yang langgar awak kat mall semalam?”
“Jom masuk Haiza.” Ajak Adrian tanpa mempedulikan
Dian. “Kau pergi dapur buat air untuk tunang aku.” Arahnya
selamba.
Dian menggenggam penumbuk apabila Adrian dan
tunangnya menuju ke sofa. ‘Kau ingat aku orang gaji kau?
Sesuka hati aje nak mengarah. Siap kau. Berani kau naikkan
darah aku. Kau tak kenal aku siapa.’ Laju Dian menuju ke
dapur.
“Siapa yang datang?” soal Puan Nisa.
“Tunang cucu tan sri. Dia suruh buat air.”
“Dian tolong buatkan air. Haiza dia suka minum teh.
Ibu nak pergi tandas ni. Tiba-tiba sakit perut lagi.” Puan Nisa
menepuk bahu Dian beberapa kali. Bergegas dia ke tandas
buat kali kedua.
“Tak nak...” Kata Dian sambil menggelengkan
kepalanya. Dia mengeluh apabila ibunya sudah tiada depan
mata. Apa hal dia nak kena buatkan air untuk pasangan
tu? Dengan geram dia menuju ke kabinet. Uncang teh
dikeluarkan. Sambil membuat air dia menyumpah-nyumpah
Adrian. Berlagak punya manusia.
“Ibu, pergilah hantar air kat depan.” Dian memberi
talam yang berisi dua cawan dan satu teko air kepada ibunya.
Memang taklah dia mahu menghantar air itu. Karang tak
pasal-pasal, dia tersimbah muka Adrian dengan air teh.
Dian kembali duduk di meja sebaik ibunya
mengambil talam. Meja yang berselerak dengan sayur-sayuran
itu dikemaskan.
“Tak sampai 2 bulan lagi, Adrian dengan Haiza nak
bernikah.” Beritahu Puan Nisa sebaik kembali semula ke
dapur. Dia menuju ke singki lalu menyiang ikan.
“Apa kena-mengena dengan Dian?” soal Dian pelik.
“Saja ibu nak story-mory dengan Dian. Rian tu
sayang sangat kat Haiza. Ibu tak tahulah apa yang akan jadi
dengan Rian kalau Haiza tak muncul. Mesti sampai sekarang
Rian anti dengan perempuan.”
“Dia saja berlakon anti dengan orang perempuan.
Mana ada lelaki kat dunia ini boleh hidup tanpa perempuan.
Perempuan ni tulang belakang lelaki. Perempuan aje boleh
hidup tanpa lelaki sebab perempuan ni kuat. Semua lelaki
lemah. Nak kena ada perempuan baru boleh hidup.” Ucap
Dian sambil memasukkan anggur ke dalam mulut.
“Tapi Rian, dia tak macam lelaki lain lain. Sejak dulu
dia memang tak pandang perempuan. Ibu kenal dia sejak
kecil. Bila Haiza muncul, baru dia berubah. Ibu harap sangat
yang Haiza tu tak berpaling tadah. Ibu tak boleh bayangkan
kalau itu terjadi.”
“Auntie Nisa...” Perbualan mereka terhenti apabila
Adrian dan tunangnya, Haiza muncul di muka pintu dapur.
Dipandang wajah Adrian yang berkerut itu.
Dian terus berdiri gara-gara terkejut dengan
kehadiran dua makhluk ini. Matanya jatuh pada tudung
Haiza. Tudung gadis itu nampak kotor. Mungkin tertumpah
air. Apa dah jadi?
“Siapa yang buat air tadi? Bukan auntie kan?” soal
Adrian sambil menahan marah.
“Dian yang buat... Kenapa tak sedap ke?” Puan Nisa
memandang Adrian.
“Kenapa auntie suruh dia buat air? Auntie tahu dia
pergi letak garam dalam air teh tu?” adu Adrian. Walaupun
bercakap dengan Puan Nisa, tapi matanya dihalakan tepat ke
arah Dian. Seperti hendak telan dia melihat wajah itu. Ada
saja idea mahu mengenakannya.
Puan Nisa dan Dian terkejut.
“Dian...” tegur Puan Nisa kepada Dian.
“Tak ibu. Dian letak gula. Mana ada Dian letak
garam. Entah-entah dia tipu.” Dian membela diri. Lengan
ibunya dipegang supaya ibu menyebelahinya.
“Kau nak cakap aku tipu?” bentak Adrian.
“Memang muka kau jenis suka menipu.” Bidas Dian.
“Auntie cuba minum air ni.” Adrian meletakkan
cawan yang dibawa atas meja.
Terus Puan Nisa mencuba air itu. Baru saja air teh
sampai ke lidah, wajahnya mula berubah. Masinnya!
“Auntie nak cakap Rian tipu? Anak auntie ni tak
pandai buat air ke apa? Tengok dah kotor tudung Haiza.”
Adrian belum puas hati.
“Rian, auntie nak minta maaf. Dian tak sengajalah
tu. Lain kali auntie yang akan buatkan air untuk Rian dan
Haiza.” Puan Nisa memohon maaf bagi pihak anaknya. Wajah
Dian yang menunduk dipandangnya.
“Lain kali tak payah bawa dia datang sini. Buat
menyusahkan orang betul. Hari ini dia letak garam,
entah-entah esok lusa dia letak racun pula.” Adrian dan Haiza
terus beredar.
“Dian jangan ambil hati. Adrian tu memang garang
orangnya.” Pujuk Puan Nisa apabila Dian hanya berdiam diri.
Pasti anaknya terasa apabila dimarahi begitu.
“Dian cuma terkejut aje,” balas Dian lalu kembali
duduk. Apabila ibunya beredar ke ruang tamu, bibirnya mula
mengukir senyuman. “Padan muka kau...” ucapnya sendirian.
Memang dia sengaja letak garam dalam air teh itu.

DIAN MENYOROK di sebalik dinding yang memisahkan
ruang tamu dan kolam. Matanya ralit melihat pasangan yang
sedang berbual itu. Nampak bahagia. Bibirnya mencebik
apabila teringat kata-kata ibu. Adrian anti dengan orang
perempuan? Itu penipu.
Elok saja dia melihat Adrian berborak dengan
Haiza. Tidak lama lagi mereka akan berkahwin. Biarlah itu
bukan masalahnya. Lagipun bukan dia yang nak kahwin.
Wajah Haiza yang tersenyum dipandangnya. Dalam hati
dia mengakui yang tunang Adrian sangat cantik orangnya.
Lelaki... memang akan cari perempuan yang cantik-cantik.
Perempuan hodoh terus dicampak tepi. Macamlah kecantikan
boleh menjamin kebahagiaan.
Dian mula membandingkan dirinya dengan
tunangan Adrian. Haiza seorang yang bertudung tapi dia
tidak. Badan Haiza pula kurus macam model berbanding dia
berisi macam teddy bear. Kulit Haiza putih tapi dia, tak payah
cakaplah. Biasalah budak kampung gengster sepertinya.
Baginya kecantikan itu tidak penting. Yang penting, kita
enjoy!
“Skodeng apa tu?” tegur Tan Sri Ahmad dari
belakang. Ditepuk perlahan bahu Dian.
Laju saja Dian mengurut dadanya. Mujur dia tidak
melatah. “Saja tengok pasangan tu. Macam pinang dibelah
dua. Gembira aje hidup.”
“Kenapa Dian lambat muncul?” soal Tan Sri Ahmad
sendirian.
“Apa atuk?” Dian mengerutkan dahi apabila tidak
faham soalan Tan Sri Ahmad.
“Atuk pun bersyukur tengok Rian dan Haiza. Haiza
tu pilihan Rian. Apa pun pilihan Rian atuk tak kisah.” Ujar
Tan Sri Ahmad apabila dia hampir terlepas cakap.
“Tapi tadi Dian dengar atuk cakap lain. Lambat? Dian
lambat muncul?” soal Dian yang masih belum puas hati. Dia
dengar jelas tapi tidak faham apa maksudnya.
“Atuk sedih. Lepas Rian dengan Haiza kahwin nanti,
Rian akan sambung belajar. Dia nak buat master sekali PhD.
Mesti atuk rindukan Rian. Tapi sekarang Dian dah muncul,
atuk taklah sedih. Patutnya awal-awal Dian muncul kat sini.
Atuk tak ada cucu perempuan. Semua cucu lelaki.”
Dian tersenyum. Itu rupanya maksud Tan Sri Ahmad.
“Atuk jangan risau. Atuk boleh aje anggap Dian cucu atuk.
Dian tak kisah pun sebab atuk pun sudi jadi atuk Dian.”
“Dian seorang cucu yang baik. Bertuah Nisa dapat
anak macam Dian.” Puji Tan Sri Ahmad.
“Atuk pun bertuah dapat cucu sebaik Dian.” Puji
Dian sambil tersengih.

No comments:

Post a Comment