ADRIAN melabuhkan duduk di sofa. Matanya
mula tercari-cari kelibat atuk, tetapi tidak jumpa. Pasti
atuknya berada dalam bilik. Terasa bosan pula duduk di vila
pada hari minggu begini. Tapi kalau keluar, dia tidak tahu
hendak ke mana.
Hari ini dia ada janji temu dengan Haiza. Tapi di
saat-saat akhir batal. Kata tunangnya ada hal penting. Lupa dia
mahu tanya ke mana gadis itu pergi. Selalunya kalau hendak
ke mana-mana pasti Haiza akan meminta dia temankan.
Mungkin gadis itu mahu meluangkan masa dengan
rakan-rakannya buat kali terakhir. Adrian mula membuat
andaian sendiri. Dia percaya sepenuhnya pada Haiza.
Walaupun tempoh berkenalan mereka tidak sampai 6 bulan,
tetapi dia yakin Haiza gadis yang terbaik untuknya.
2 bulan kenal, entah macam mana dia boleh
tersangkut pada Haiza. Gadis itu pandai mengambil hatinya.
Dan sekarang, Haiza sudah menjadi tunangnya. Kata atuk
dia tergesa-gesa. Tapi dia tidak kisah. Dia takut andai lambat
bertindak, Haiza akan menjadi milik orang lain.
“Rian, nak air tak?”
“Tak nak. Rian dah minum tadi. Auntie pergi mana?”
Terkejut apabila dia melihat Auntie Nisa tiba-tiba muncul di
ruang tamu.
“Auntie pergi hantar Ziana ke stesen bas. Dia dah
nak balik Pahang.” Anak sulungnya iaitu Ziana kini menuntut
di Universiti Malaysia Pahang. Tinggal Liana dan Dian saja
dengannya kini. “Ni pun auntie baru balik. Bukan semalam
Rian cakap nak keluar ke?”
“Tak jadi. Haiza ada kerja.”
“Rian kenal Haiza tak sampai 6 bulan. Rian yakin
Haiza akan bahagiakan Rian?” soal Puan Nisa tiba-tiba.
“Auntie, masa perkenalan tak penting bila hati dah
yakin dia yang terbaik. Auntie macam atuk, macam tak suka
dengan Haiza.”
Puan Nisa mengeluh. Kalau itu kata Adrian dia
terima. Jika lelaki itu bahagia dengan pilihan hati, dia juga
tumpang bahagia. “Auntie bukan tak suka dia. Alhamdulillah
kalau itu kata Rian. Auntie pun kalau boleh tak nak Rian
bertunang lama-lama. Nikah terus ada baiknya.”
Lega hati Adrian. Sekurang-kurangnya ada juga yang
sokong. Telefon yang berbunyi pantas diangkat oleh Adrian.
Pelik apabila Haiza yang menghubunginya.
“Rian nak pergi mana?” soal Auntie Nisa apabila Rian
tiba-tiba bangun.
“Haiza call. Cakap nak jumpa sekarang. Rian pergi
dulu.”
“KENAPA DENGAN Rian tu, kak?” tanya Mak Ani pada Puan
Nisa.
“Tak tahulah. Tiba-tiba balik terus masuk bilik.
Muka itu macam marah semacam aje. Macam baru lepas
mengamuk.” Beritahu Puan Nisa sambil menjeling Dian.
“Kamu ada buat apa-apa pada Rian ke?”
Bulat mata Dian memandang ibunya. Tangan kanan
sudah diangkat ke paras bahu. “Sumpah tak ada ibu. Dian kan
kat sini dengan ibu.”
“Ibu tanya aje. Tadi tak sempat ibu tegur terus
dia jalan menonong. Macam ada yang tak kena. Risau pula
tengok Rian tu. Esok dahlah majlis dia. Janganlah apa-apa
yang berlaku.” Keluh Puan Nisa. Cuba dibuang firasat buruk
yang bermain dalam fikirannya.
Bunyi bising daripada tingkat atas menyentakkan
semua yang berada di dapur. Mereka berpandangan sesama
sendiri.
“Itu suara Rian. Kenapa dia mengamuk?” soal Mak
Ani dengan riak terkejut.
“Ya Allah, apa dah jadi ni?” Puan Nisa bangun lalu
berlari ke bilik Adrian. Bunyi benda pecah jelas kedengaran.
Dian juga ikut serta. Mahu menyibuk.
“Kenapa tan sri?” soal Puan Nisa apabila tiba di bilik
Adrian. Waktu itu Tan Sri Ahmad sudah berada di hadapan
pintu bilik cucunya. Kuat tangan tua itu mengetuk pintu
sambil memanggil nama Adrian.
“Tak tahu. Dia tiba-tiba mengamuk. Terkejut saya.”
Beritahu Tan Sri Ahmad. Jelas terpancar riak kerisauan di
wajah itu.
“Penipu! Penipu! Aku benci kau!!!” jerit Adrian dari
dalam bilik.
Dian hanya kaku di depan pintu. Dia juga
tertanya-tanya apa yang terjadi kepada Adrian? Siapa yang
sudah menipu Adrian? Haiza ke?
“Kunci pendua mana?” soal Mak Ani gelabah. Ini
memang luar biasa. Kali pertama dia mendengar Adrian
mengamuk sebegini.
“Ada dengan dia,” balas Tan Sri Ahmad.
“Aku benci kau perempuan. Kau penipu! Sampai
hati kau tipu aku. Perempuan semua sama!!!” Serentak itu
kedengaran lagi kaca pecah. Mereka yang berada di luar
berpandangan sesama sendiri.
“Rian buka pintu ni? Apa dah jadi?” ujar Tan Sri
Ahmad sambil mengetuk pintu.
Suara Adrian makin kuat. Langsung tiada
tanda-tanda mahu buka pintu. Pasti keadaan dalam bilik
lelaki itu seperti baru lepas dilanda ribut.
“Tan sri, saya rasa baik kita biarkan dulu. Rian tak
akan buka pintu.” Pujuk Puan Nisa setelah hampir 15 minit
mereka berdiri di hadapan bilik Adrian. Masih kedengaran
bunyi amukkan lelaki itu. Memang luar biasa.
“Saya risaukan dia sangat. Dia tak pernah macam
ni.”
Dian menuju ke arah Tan Sri Ahmad. Kesian dia
melihat wajah tua itu. Mesti lelaki itu juga terkejut dengan
amukkan Adrian. “Atuk rehat dulu. Jangan risau macam ni.
Nanti atuk sakit. Dian ambilkan atuk air ya.” Dian menarik
Tan Sri Ahmad ke ruang tamu kedua.
Dia kemudian melangkah turun ke dapur dengan
sejuta persoalan yang bermain dalam mindanya.
“KAMU JANGAN main-main Rian. Esok dah majlis kamu.”
Suara Tan Sri Ahmad kedengaran. Jelas wajah tua itu sangat
terkejut.
“Rian tak main-main, atuk. Haiza sendiri yang nak
batalkan majlis ini. Rian dah tak boleh buat apa dah. Jadi
majlis esok memang takkan berlangsung.” Tegas suara Adrian
sambil meraup wajahnya. Dia tahu atuk kecewa. Dia sendiri
tidak menjangkakan ini yang akan terjadi. “Mulai sekarang
Rian tak nak dengar nama Haiza disebut dalam rumah ini.”
“Kamu dah fikir masak-masak ke Rian?”
“Atuk, bukan Rian yang nak batalkan tapi dia yang
nak batalkan. Tak guna kalau Rian nak teruskan majlis tapi
dia tak nak. Takkan Rian nak nikah sorang-sorang?” Adrian
mengetap bibir. Lidahnya sudah kelu untuk menyebut nama
Haiza lagi. Tak sangka ini dugaan yang perlu dilaluinya.
Betapa sakit hati dan kecewanya, hanya Tuhan yang tahu.
“Kamu tak nak paksa dia?”
Adrian tersenyum sinis. Takkan sesekali dia
menjatuhkan maruahnya sebagai lelaki. Cukuplah apa yang
dibuat selama ini. “Tak payah paksa, atuk. Dia tu perempuan
penipu. Selama ni dia tipu Rian. Satu kesalahan Rian jumpa
dia dan percaya dia. Rian ingat dia beza dengan perempuan
kat luar sana. Tapi rupanya dia sama aje. Penipu. Suka
mainkan perasaan orang.”
“Jangan cakap macam tu Rian.” Tegur Tan Sri
Ahmad. Dipandang wajah cucunya itu.
“Dia dah buktikan yang semua perempuan sama!”
Mata Adrian sudah membara dengan api kemarahan.
Tangannya digenggam kuat. Dendamnya mula membara.
Kali ini dia mengaku dia bodoh. “Mujur dia tak jadi isteri Rian
lagi.”
Tan Sri Ahmad beristighfar dalam hati. Takut dia
melihat Adrian. Ditipu dengan orang yang dicintai memang
perit.
“Rian minta maaf sebab dah malukan atuk.” Adrian
mencium tangan kanan atuknya. Dia sudah tidak mahu
membahaskan hal ini lagi. Hanya disebabkan satu hal
dia diketepikan. Haiza yang disangka sempurna ada juga
kekurangan. Cinta Haiza kepadanya hanya plastik. Bencinya
pada gadis itu mula meluap-luap. Tak sangka dirinya juga
termasuk dalam permainan cinta Haiza.
Adrian meninggalkan ruang tamu. Langkahnya
terhenti apabila matanya bertembung dengan Dian di sebalik
dapur. Pasti gadis itu mencuri dengar perbualannya dengan
atuk. Tiada senyuman hanya jelingan yang dihadiahkan pada
gadis itu. Terus dia berlalu naik ke biliknya.
“ATUK...” PANGGIL Dian pada Tan Sri Ahmad. Sebaik Adrian
berlalu naik ke atas terus dia menuju kepada atuk angkatnya.
Bukan niatnya mahu mencuri dengar tadi, tapi dia terdengar.
Sungguh tegas wajah Adrian tadi. Apa yang berlaku di antara
Adrian dan Haiza? Kenapa mereka batalkan pernikahan
mereka? Dia tak sangka drama yang selalu ditonton di
televisyen akhirnya dapat ditonton depan mata.
“Dian dah dengarkan?”
“Atuk sabar ya. Arwah nenek Dian cakap setiap yang
berlaku tu ada hikmahnya.”
“Dian, atuk takut sangat lepas apa yang terjadi ini
Rian makin benci perempuan. Kenapa Haiza buat Rian
macam ni? Rian tu terlalu percaya pada Haiza.” Keluh Tan Sri
Ahmad sedih. Dia tidak tahu apa yang terjadi, tapi yang pasti
dia kecewa dengan Haiza. “Tak patut Haiza buat macam ni.”
“Dian pun terkejut, atuk. Tak sangka ini yang
terjadi.”
“Mana atuk nak letak muka ni, Dian? Mesti atuk
malu. Atuk tak kisah tanggung kerugian tapi atuk tak boleh
tanggung malu.” Tan Sri Ahmad meraup wajahnya.
“Atuk jangan macam ni, ya. Anggap ni bukan jodoh
Rian.” Dian menggosok perlahan lengan Tan Sri Ahmad.
Entah kenapa dia tidak kasihankan Adrian, tapi kasihannya
jatuh pada lelaki tua ini. Dalam umur sebegini perlu
menghadap masalah cucu.
Ikutkan hati mahu saja dia marah dengan Adrian
kerana sudah melukakan hati Tan Sri Ahmad. Tapi dia tidak
tahu apa yang terjadi. Lagipun Haiza yang batalkan majlis.
Jadi, dia tidak boleh salahkan Adrian seratus peratus.
“TAK NAK makan lagi?” soal Dian apabila melihat nasi yang
tidak terusik itu.
“Rian tak nak. Dia cuma makan bihun aje pagi tadi.
Itu pun sikit.” Keluh Puan Nisa. Dulang berisi makanan
diletakkan atas meja makan. Lesu saja wajahnya ketika ini.
Puas pujuk tapi hasilnya tetap mengecewakan. Adrian tetap
tidak mahu makan.
“Dah 2 minggu ibu. Takkan dia tak move on lagi.”
“Ibu kesiankan Rian. Kali ini mesti kecewanya
bertambah-tambah. Dia langsung tak nak cakap dengan
sesiapa. Kesian tan sri sampai demam.”
“Atuk pun tak nak makan.” Beritahu Dian. Dia pun
baru saja turun dari bilik Tan Sri Ahmad. Atuknya langsung
tidak mahu menyentuh makanan apatah lagi ubat.
Lama Dian membisu sebelum kembali bersuara.
“Sini dulang tu. Dian nak cuba pujuk Rian.” Pasal terlalu
risaukan Adrian, Tan Sri Ahmad jatuh demam. Tak patut
Adrian bersikap begitu.
“Tak payah. Ibu takut nanti Rian mengamuk kalau
tengok Dian nanti.”
“Ibu jangan risaulah. Ibu kenal siapa Dian kan?”
Dian membawa dulang menuju ke bilik Adrian di tingkat 2.
Dulang diletakkan atas meja kecil lalu dia mengetuk pintu
bilik itu. Beberapa kali mengetuk masih tiada jawapan.
“Adrian, buka pintu ni. Aku nak cakap dengan kau
sikit.” Rayu Dian. Dia melakukan ini bukan demi Adrian,
tetapi demi Tan Sri Ahmad. Bukan tidak kesian dengan Adrian
tapi baginya tiada apa yang perlu dikecewakan. Lagipun benda
sudah jadi.
“Kau nak apa? Berambuslah!” halau Adrian. Sungguh
saat ini dia sangat benci mendengar suara perempuan.
“Kau jangan pentingkan diri sendiri. Bukan kau aje
yang sedih tapi atuk pun. Kesian dia. Kau tak tahu ke macam
mana perasaan dia? Dia pun malu dengan apa yang terjadi.
Patutnya kau pujuk dia. Bukan kau asyik melayan kecewa
kau tu.” Lantang Dian bersuara. Semua orang takut mahu
menegur Adrian, disebabkan inilah lelaki itu masih tidak
sedar-sedar.
Pintu bilik terbuka dan wajah Adrian tersembul di
pandangan mata. Nampak tidak terurus wajah itu dengan
rambut yang berserabai. Mesti frust menonggeng ini.
“Kau jangan masuk campur hal keluarga aku. Itu
atuk aku.” Marah Adrian.
“Memang atuk kau. Satu dunia tahu tu atuk kau.
Sebab risaukan kau atuk sakit. Ada kau tahu? Ada kau pergi
tengok dia? Ada kau tanya dia dah makan ubat belum? Kau
tu putus tunang bukan bercerai sampai nak kecewa bagai.
Orang yang bercerai pun tak ada pula kecewa macam kau
sampai 2 minggu tak keluar bilik.” Marah Dian kembali. Dia
memang tidak akan berlembut dengan Adrian. Sesekali lelaki
itu perlu ‘disound’.
“Eh perempuan, kau tak rasa perasaan aku. Aku kena
tipu dengan kaum kau! Hidup-hidup aku kena tipu!” Tengking
Adrian sambil mengetap kuat bibirnya. Benci apabila dirinya
ditegur.
“Kau tahu tak ibu aku dengan Mak Ani risaukan
kau? Ramai yang ambil berat tentang kau. Kau tak makan
ni mereka semua risau. Aku dah penat tengok mereka pujuk
kau.” Langsung Dian tidak menghiraukan kata-kata Adrian.
“Tapi kau dengan perangai kau. Kau ingat kau tak makan,
Haiza akan balik pada kau semula?”
“Jangan sebut nama dia depan aku. Aku benci!”
jerkah Adrian.
Dian mengeluh berat. Tak pasal-pasal dia terheret
sama dalam masalah keluarga Tan Sri Ahmad. “Kalau kau
benci dia, kau kena lupakan dia. Mulakan hidup baru. Bukan
hidup terkurung macam ni. Nampak sangat kau kalah dengan
keadaan. Kalau dia tengok kau macam mayat hidup ni mesti
dia gembira. Kau kena tunjuk yang kau ni kuat walaupun
hakikat sebenar kau aje yang tahu.”
Adrian memandang tajam wajah Dian. “Budak tak
matang macam kau ni tak perlu kut nak nasihatkan aku. Kau
apa tahu? Hidup kau baru bermula.”
“Patutnya kau bersyukur sebab tahu siapa dia
sebelum dia jadi isteri kau. Kalau dah jadi isteri, semua dah
terlambat. Masa tulah kau patut kecewa macam ni. Bukan
sekarang yang kau nak kecewa sampai tak ingat dunia. Bila
jadi macam ni, kau pun salah. Percayakan dia sangat kenapa?
Dia tu baru tunang kau bukan isteri.” Sempat lagi Dian
menyindir Adrian. Langsung tidak dihiraukan wajah marah
lelaki itu.
“Orang perempuan ni memang pandai bercakap.
Bab-bab memujuk nombor satu. Tapi betullah apa cakap kau.
Aku ini bodoh pergi percayakan perempuan. Kaum kau ni licik
macam ular. Penipu. Aku dah serik percayakan perempuan.”
Dian menahan tangannya apabila Adrian mahu
menutup pintu bilik. Boleh tahan keras juga hati Adrian
ni. “Tu ada nasi, kau bawa untuk atuk kau. Pujuk dia suruh
makan. Kau bertuah atuk terlalu sayangkan kau. Jangan bila
dia tak ada nanti, baru kau nak menyesal.” Dian berlalu sebaik
bercakap dengan Adrian. Dia tidak kisah kalau Adrian tidak
mahu makan tapi Tan Sri Ahmad yang dirisaukan.
Perlahan-lahan Dian menuruni anak tangga. Besar
harapannya Adrian akan membawa makanan itu kepada Tan
Sri Ahmad. Langkahnya terhenti apabila tiba-tiba teringat
ayat terakhir Adrian. Entah kenapa dia rasa takut. Dia tahu
Adrian maksudkan apa yang diucapkan.
Lepas melihat keadaan Adrian, dia tahu lelaki
itu sangat tertekan. Siapa yang tak tertekan pernikahan
dibatalkan tiba-tiba? Kalau itu tidak berlaku, pasti Adrian dan
Haiza sudah bahagia menjadi suami isteri sekarang. Mesti
mereka sibuk menguruskan persiapan untuk ke UK. Pasti
Adrian gembira Haiza ada di sampingnya.
Dia ingin tahu apa yang dilakukan oleh Haiza
terhadap Adrian? Tapi tiada seorang pun yang tahu melainkan
Haiza dan Adrian sendiri. Mustahil dia mahu bertanya kepada
Adrian. Pasti dia akan dijerkah.
Selepas apa yang terjadi, ibunya dan Mak Ani ke
rumah Haiza. Ternyata pihak sana juga terkejut. Mereka
pula yang menuduh Adrian yang ingin batalkan pernikahan.
Hampir-hampir saja Tan Sri Ahmad mahu disaman oleh
keluarga Haiza. Dian mengeluh perlahan. Janganlah Adrian
berdendam atas apa yang terjadi. Semua perempuan tak sama
seperti Haiza. Akibat nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
No comments:
Post a Comment