Monday, 23 October 2017

Supergirl - Bab 4

WAJAH muram Aina menjadi perhatian Nadia
dan Sakinah. Sedari tadi, tiada sepatah ayat yang keluar dari
mulut teman mereka ini. Tidak seperti selalu, mulut Ainalah
yang paling banyak berbunyi. Ada saja bahan ceritanya. Ada
saja yang mahu dikomennya. Itu tak kena, ini tak kena.
Pendek kata, semuanya serba-serbi tidak kena.
“Psssst!!!” Nadia menyiku Sakinah. Memberi isyarat
agar Sakinah membuka kata. Sampai bila hendak dibiarkan
kawan seorang itu berdiam diri? Nanti tak pasal-pasal jadi
minah bisu pula.
Sakinah yang sedang menenyeh gincu merah di bibir
mendecit. Habis tersasar tenyehannya. Nadia ini memang
suka kacau apabila dia sedang bersolek. Dengkilah tu tengok
dia cantik!
“Apa?” Sakinah bersuara dengan nada tidak puas
hati.
“Kau cubalah risik, apa masalah kawan kita seorang
tu?” bisik Nadia ke telinga Sakinah.
Sakinah tuding jari ke hidung sendiri.
Nadia angguk.
“Tak naklah aku. Karang tak pasal-pasal dia sound
aku pulak. Kau ajelah yang tanya,” balas Sakinah. Kalau
ditengok pada gayanya, Aina nampak seperti orang bad mood
saja. Takut pula dia mahu bertanya. Nanti terkena semburan
berbisa teman seorang itu. Buat naya saja.
Nadia mendecit. Sakinah ini, kerja mudah macam
itu pun dia tak boleh nak buat. Geram betul!
“Kau ni dah kenapa babe? Dari tadi aku tengok kau
asyik termenung aje. Kau ada masalah ke? Cuba cerita kat kita
orang masalah kau tu. Mana tahu, kita orang boleh tolong.”
Senafas Nadia bersuara.
Aina tarik nafas. Kemudian dilepas. Bunyinya lebih
kepada satu keluhan. Nak cerita pun tak guna. Nadia dengan
Sakinah bukannya dapat tolong. Masalah kewangan, dia
tidak mahu menyusahkan dua sahabatnya itu. Nadia dan
Sakinah juga perlukan duit untuk menampung keluarga
masing-masing. Mereka bukan datang dari keluarga
kaya-raya. Jika mereka golongan berada, tiadalah Nadia dan
Sakinah bekerja di sini sebagai pelayan kelab malam, sama
sepertinya.
“La... mengeluh pulak. Babe, kau okey tak ni?” Tapak
tangan Nadia naik menyentuh dahi Aina.
“Aku okeylah.” Aina membalas sambil menepis
tangan Nadia yang berada di dahinya.
“Kalau okey, yang kau buat muka macam diserang
demam tikus mondok tu kenapa?”
Aina mendecit. Dia bangun dari duduknya. Malas nak
cerita pasal masalahnya itu. Lebih baik fokus pada kerja. Cari
duit untuk menampung kos perubatan ibunya. Soal hutang
pak sunya itu, biarkan saja dulu. Bukan dia tak nak tolong,
cuma dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menolong pak
sunya dalam keadaan ekonominya juga tidak stabil.
“Hesy... dia ni! Kita tanya, boleh pulak dia blah
macam tu aje.” Nadia mengomel. Matanya menyoroti langkah
Aina yang berlalu meninggalkan mereka berdua tanpa kata.
“I thinking kan... dia ada problem tu.”
Nadia pandang Sakinah.
“Kinah... kau tak payah nak speaking London depan
aku. Cakap Melayu aje okey. Speaking kau tu bukannya betul
sangat pun. Merapu aje lebih. I thinking! I thinking!”
Sakinah koyak sengih.
Aina berjalan tanpa pandang ke depan. Menonong
saja dia melangkah. Sehingga terlanggar seseorang. Tubuhnya
yang genit ini terdorong ke belakang.
“Hei! Awak ni buta ke?” jerkah Aina. Kerana
anginnya yang kurang baik malam ini, laju saja mulutnya
memuntahkan kata.
Lelaki bertubuh sasa itu pasang telinga. Suara itu
seolah-olah pernah didengarnya.
“Awak ni...” Belum sempat Aina menghabiskan
ayatnya, matanya membulat.
Begitu juga dengan lelaki di depannya itu. Matanya
dibuka seluas-luasnya. Wajah gadis yang kini sudah berdiri di
depannya sambil bercekak pinggang itu masih segar dalam
minda. Masakan dia boleh melupakan wajah itu. Kerana
wajah itulah dia lewat menghadiri mesyuarat dengan pihak
hotel.
“Awak???” Jari Luth naik ke wajah gadis di depannya.
Aina ketap bibir. Alahai... macam mana boleh
terserempak lagi dengan mamat muka ketat ni? Malang betul
nasibnya.
“Errr... tak kenal! Tak kenal!” Aina cuba melepasi
lelaki itu dengan kepala ditundukkan ke lantai.
“Jangan nak lari. Kali ni saya takkan lepaskan awak.”
Langkah Aina terpaku saat tangan kasar itu
menyambar lengannya. Kejap.
“Hei... kau buat apa ni pegang-pegang anak
orang? Lepaslah!” Aina membentak sambil cuba merentap
lengannya dari pegangan lelaki itu. Namun, semakin kuat
pula cengkaman tangan lelaki itu ke lengannya, membuatkan
langkahnya terkunci.
Tanpa menghiraukan kata-kata gadis itu, Luth
mengheret Aina. Membuatkan Aina melangkah dalam
terpaksa. Seperti katanya tadi, dia takkan lepaskan Aina lagi.
Dia akan ajar gadis ini kerana telah memperdayanya siang
tadi.
“Hei... kau nak buat apa hah? Kau nak bawa aku ke
mana? Lepaskan akulah bodoh! Kau ni pekak ke?” bentak
Aina. Sekali lagi dia cuba melepaskan diri. Namun kudrat
lelaki itu terlalu kuat untuk ditandingi. Rontaannya langsung
tidak dihiraukan.
“Saya nak bawa awak ke balai polis.”
“Hah???” Aina menjerit. Terasa bergetar tubuhnya.
Dia tidak mahu diheret ke balai polis. Dia tidak mahu masuk
penjara. Kalau dia masuk penjara, bagaimana dengan ibunya?
Siapa yang hendak menyara ibunya?
Aina rasa nak menangis, tetapi dia tidak mahu
kelihatan lemah di mata lelaki kerek ini.
“Boleh tak jangan menjerit? Sakit telinga saya!”
Berdesing telinga Luth mendengar suara nyaring gadis itu.
Macam petir.
“Lepaskan saya. Kalau tak, saya menjerit. Arg...”
Belum sempat Aina menjerit, suara Encik Mail Bujang
kedengaran.
“Excuse me, what's going on here?” tanyanya lalu
menghampiri.
“Bos! Tolong saya bos. Orang ni nak culik saya. Nak
jual saya dekat Thailand. Tolonglah bos...” Aina mereka cerita
mengharapkan pertolongan bosnya yang boroi macam badak
sumbu itu.
Luth kerut dahi. Tajam matanya menatap paras Aina.
Melampau sungguh gadis itu. Boleh pula dia dituduh begitu?
Buat betul-betul, baru padan muka!
Luth berpaling ke arah Encik Mail Bujang.
“Eh, Tuan Luth Zulkarnain?” Encik Mail Bujang
tayang sengih. Tangannya dihulur berjabat dengan lelaki
bertaraf jutawan muda itu.
Luth membalas. Namun sebelah lagi tangannya
masih memegang kuat lengan Aina. Takkan sesekali
dilepaskan. Gadis itu ada hutang yang perlu dilunaskan. Selagi
hutang itu belum terlunas, selagi itu dia takkan membiarkan
gadis ini lepas dengan aman.
“Boleh saya tahu, apa sebenarnya yang terjadi?”
tanya Encik Mail Bujang sambil mata menjeling paras Aina
yang meronta-ronta cuba melepaskan diri.
“Dia ni pekerja awak?”
Laju kepala Encik Mail Bujang mengangguk.
“Saya nak pinjam pekerja awak ni kejap.”
Mata Aina membulat. Kepalanya digeleng-geleng
kepada Encik Mail Bujang yang sedang mengarah anak mata
ke wajahnya. Kemudian anak mata lelaki itu kembali semula
ke wajah lelaki yang sedang memegangnya ini.
“Bos... tolonglah saya. Lelaki ni tak betul. Baru
terlepas dari Bukit Padang. Dia ada niat tak baik dekat saya.
Nak jual saya kat Thailand. Bos kena tolong saya...” rayu Aina
kepada Encik Mail Bujang yang kelihatan serba salah.
“You... shut up!” arah Luth garang. Semakin
menjadi-jadi pula gadis itu melemparkan tuduhan palsu
terhadapnya.
Melihat situasi itu, Encik Mail Bujang semakin tidak
senang duduk. Kasihan melihat Aina yang mengharapkan
pertolongannya. Lagipun dia sukakan Aina. Niatnya mahu
memperisteri gadis itu sebagai isteri nombor 3 masih belum
kesampaian. Dia amat berharap Aina sudi menjadi isterinya.
Manalah tahu Aina sudi menjadi isterinya sebaik saja dia
menghulurkan bantuan.
Namun sebaik mata berlabuh pada lelaki segak
yang wajahnya kelihatan cukup serius itu, dia tahu lelaki
itu bukan tandingannya. Siapa tidak kenal Luth Zulkarnain?
Pemilik tunggal Hotel Seri Bonda. Rangkaian perhotelan
yang mempunyai beberapa cawangan di Malaysia dan serata
Asia. Ahli perniagaan muda yang cukup dikagumi dengan
cara kerjanya sehingga melonjakkan nama Hotel Seri Bonda
sebagai salah satu hotel terbaik di Asia. Juga pernah menerima
anugerah sebagai ‘Man Of The Year’ anjuran sebuah majalah
terkemuka di Asia.
“Bos... tolonglah...” Aina merayu mengharapkan
simpati Encik Mail Bujang.
“Errr... tunggu dulu Tuan Luth. Apa kata kita duduk
berbincang. Tak elok buat macam ni. Nanti apa pulak orang
kata. Kalau ada perkara serius, apa kata kita bincang dalam
bilik saya.” Encik Mail Bujang cuba memujuk.
Luth hela nafas. Wajah Aina direnung tajam.
Melihat gadis itu meronta-ronta, cengkaman di lengan Aina
dilepaskan. Kasar.
“Okey, saya bersetuju untuk berbincang. Tapi dengan
satu syarat.”
Encik Mail Bujang mengangguk. Langkah Luth yang
sudah bergerak ke depan diekori. Entah apa masalah dalaman
Aina dengan lelaki itu. Dia tidak tahu. Tapi apa yang pasti, dia
tidak mahu mencipta masalah dengan Luth. Lelaki itu bisa
saja memusnahkan perniagaannya.
Aina menggosok-gosok lengannya yang terasa kebas.
Kejam betul lelaki itu. Dengan perempuan pun nak berkira.
Nampak sangat lelaki itu seorang yang tidak berhati perut.
Tiada rasa simpati langsung!
‘Ah... orang lelaki ni memang menyusahkan!’
AINA TUNDUK menekur lantai. Sebaik Encik Mail Bujang
selesai berbincang dengan lelaki muka ketat tadi, dia
memanggil Aina masuk ke biliknya. Entah apa yang mahu
disampaikan. Aina tidak tahu. Berdebar-debar juga dia mahu
tahu apa yang akan diberitahu bosnya ini.
“Macam mana you kenal Tuan Luth Zulkarnain?”
tanya Encik Mail Bujang kepada Aina yang asyik menunduk
sedari tadi.
Aina panggung kepala.
“Tuan Luth Zulkarnain? Siapa dia, bos? Saya tak
kenal pun. Dengar nama pun tak pernah.”
“Lelaki tadi tu. Nama dia Luth Zulkarnain. You kenal
tak dia tu siapa?”
Aina geleng kepala. Manalah dia kenal. Jumpa pun
sekali. Itu pun secara kebetulan.
Bagaikan mendengar suara hati Aina, Encik Mail
Bujang bersuara lagi.
“Kalau you nak tahu, dia itulah Tuan Luth Zulkarnain,
jutawan mula dari KL. Pemilik empayar perhotelan, Hotel
Seri Bonda yang terkenal di Asia.”
Aina sekadar mencebik. Tak kisahlah siapa lelaki itu.
Yang pasti dia tidak suka lelaki itu. Berlagak!
“I tak tahu apa masalah you dengan dia. Tapi
sekarang, dia nak I pecat you,” ujar Encik Mail Bujang lagi.
Toing! Toing!
Berita itu cukup menggemparkan. Dua biji mata
Aina terasa ingin terlepas dari springnya. Telinganya tak salah
dengar, kan? Memang Encik Mail Bujang menyebut mahu
memecatnya. Itu pun disebabkan arahan mamat muka ketat
itu.
“Bos! Bos tak kesian saya ke? Saya takde pelajaran
tinggi. Saya pun bukannya anak orang kaya. Ibu saya tengah
sakit dan perlukan duit yang banyak untuk rawatan kos cuci
buah pinggang. Cuma kerja ni aje yang saya ada. Kalau bos
pecat saya, kat mana lagi saya nak cari kerja untuk tanggung
kos perubatan ibu saya? Lagipun bos... saya dah lama kerja
kat sini. Takkan bos sampai hati nak pecat saya?”
Encik Mail Bujang menarik nafas panjang. Bukan
tidak bersimpati terhadap Aina, cuma dia terpaksa.
“I tahu Aina. Ikutkan hati, I pun tak nak pecat you.
Tapi Tuan Luth dah bagi warning dekat I. Kalau I tak pecat
you, dia akan pastikan kelab ni bukan milik I lagi.”
Kejam! Lelaki itu memang tak berhati perut!
Mentang-mentang bergelar jutawan dan berpangkat besar,
suka hati saja mahu mengugut orang. Aina cukup menyampah
dengan orang macam ini.
“Cuma ada satu saja cara nak selamatkan you
daripada masalah kewangan, Aina.”
“Apa dia bos?” Laju Aina bersuara.
“Jadi isteri I.”
Kelu. Oh... tidak! Aina tak sanggup menjadi isteri
lelaki ini. Biar dia jadi ‘andalusia’ sampai ke tua. Dia rela.
Daripada menjadi isteri nombor 3 Encik Mail Bujang, itu
menyeksa hidup namanya.
Aina tarik sengih. Dalam hati sudah berbakul sumpah
seranah ditujukan kepada Encik Mail Bujang. Dalam keadaan
dia yang kesempitan, lelaki itu cuba ambil kesempatan.
Tak guna! Orang kaya memang macam ini agaknya. Suka
menangguk di air yang keruh.
“Macam mana Aina? You nak jadi isteri nombor 3
I tak? I janji, kalau you jadi isteri I... I akan penuhi semua
permintaan you. You takkan hidup susah. I akan beri you
kesenangan. Tak payah cari duit lagi. Tiap-tiap bulan, I
masukkan duit dalam akaun you.” Encik Mail Bujang
menabur janji. Tangannya sudah naik menyentuh jemari Aina
yang berada di atas meja. Bibirnya tersungging senyuman
penuh lemak berkrim.
‘Huh, dasar badak sumbu tak sedar diri! Miang nak
mampus! Nasib baik kau bos aku. Kalau tak, dah lama aku
hempuk kepala kau bagi betul sikit. Menyampah betul!’
“Ngeee... minta maaflah bos. Saya tak boleh terima,”
ujar Aina lantas menarik tangannya daripada terus disentuh
Encik Mail Bujang.
“Kenapa? You tak suka I ke? Apa kurangnya I, Aina?
I ada segala-galanya yang perempuan mahukan. Handsome
dan kaya. You takkan rugi kalau jadi isteri I.”
Aina jongket bibir. Perasan betul Encik Mail Bujang
ini. Punya segala-galanya konon. Porah! Muka serupa rumah
tak siap, perasan yang dia tu handsome. Bluwek! Kembang
tekak Aina memikirkannya.
Memang Aina tidak menyukai Encik Mail Bujang.
Sikap lelaki itu yang serupa ulat bulu cukup membuatkan
dia berbulu. Nasib baik lelaki itu baik terhadapnya. Jika tidak,
sudah lama lelaki itu dikaratenya sampai patah tulang. Tangan
tu tak pernah nak duduk diam, asyik nak merayap saja!
“Ngeee... bukan macam tu, bos. Sebenarnya... saya ni
dah bertunang.” Laju saja Aina mencipta satu pembohongan.
Demi melepaskan diri, dia terpaksa tipu sunat.
Air muka Encik Mail Bujang berubah. Tak sangka
gadis pujaannya ini sudah menjadi tunangan orang.
Melepaslah dia.
“Kalau macam tu... I minta maaf, Aina. I tak dapat
tolong you lagi. I terpaksa pecat you. Immediately.”
“Tapi bos...”
“I’m sorry... I tak nak mempertaruhkan kelab ni
semata-mata disebabkan you. Suruh tunang you selesaikan
masalah you. I tak dapat nak tolong dan I tak nak masuk
campur urusan you lagi,” tegas suara Encik Mail Bujang.
Untuk apa dia membantu Aina? Jika gadis itu tidak sudi
menjadi isterinya, sia-sia saja! Dia tidak mahu membuang
masa dengan gadis yang sudah disunting orang.
Aina mengeluh. Apa lagi dayanya. Encik Mail Bujang
sudah membuat keputusan. Dia terpaksa dipecat atas arahan
mamat muka ketat itu. Lelaki itu memang sengaja mahu
membalas dendam atas apa yang terjadi siang tadi.
Dengan rasa terkilan, Aina melangkah keluar dengan
langkah longlai. Otaknya tidak dapat berfikir apa yang perlu
dia lakukan selepas dipecat. Hanya satu yang berada dalam
mindanya.
Ibu! Ya... dia mula berfikir bagaimana cara mencari
wang untuk meneruskan rawatan mencuci buah pinggang
ibunya. Dia buntu. Terasa ingin menangis, namun air mata
tidak mahu keluar.

No comments:

Post a Comment