LUTH membuka luas telinganya mendengar
setiap patah perkataan yang disampaikan oleh Potato.
Daripada cerita itu, dia dapat meneka bagaimana kehidupan
gadis itu. Namun dia tetap tidak berpuas hati. Masih banyak
lagi yang perlu diketahuinya tentang gadis bernama Aina
Medina itu.
“Kesian budak perempuan tu, tuan. Lepas ni dia dah
takde kerja lagi. Macam mana nak tanggung keluarga? Tak
patut tuan suruh pemilik kelab tu pecat dia.”
Mendengar kata Potato, Luth memanggung kepala.
Tajam matanya meratah wajah pembantunya itu.
“Ada saya suruh awak komen apa yang saya buat?”
tegas suaranya menegur.
Potato tayang sengih. Opsss! Tersilap cakaplah pula.
Kan dah kena sound.
“Ngeee... sorry, tuan. Saya tak maksudkannya.
Cuma...”
“Dah, saya tak nak dengar apa-apa. Esok saya nak
awak ekori lagi budak perempuan tu. Saya nak butiran yang
lebih detail tentang dia.”
“Lagi?” Dahi Potato berkerut. Pelik dengan sikap
majikannya ini. Untuk apa lagi mahu disiasat tentang gadis
itu? Rasanya apa yang disampaikan kepada Luth sudah
mencukupi. Dia sendiri yang bertanya kepada rakan-rakan
sekerja Aina di Star Night Club mengenai kehidupan gadis
itu. Segala maklumat yang diterima memang boleh dipercayai
kerana 2 orang gadis yang ditanyanya tadi merupakan sahabat
baik Aina.
Malah, dia juga sempat mengekori Aina bersama
seorang lelaki di klinik tadi. Mencuri dengar perbualan
gadis itu dengan lelaki yang dipanggilnya pak su. Daripada
perbualan mereka berdua, lelaki bernama pak su itu
memerlukan wang. Gadis itu pula menjadi tempat untuk
meminjam. Hmmm, kesian...
“Saya nak awak siasat latar belakang dia. Saya nak
tahu semuanya dengan lebih terperinci.”
“Tapi... kan saya dah beritahu semua sekali, tuan.
Apa lagi yang kurang? Saya rasa...”
“This is an order! There are no excuses. Awak buat
aje apa yang saya suruh!”
Potato mengangguk. Suara tegas Luth memaksudkan
apa yang dikatakan. Tiada bantahan. Tiada alasan. Dia harus
menurut perintah.
“Okey, tuan. Arahan diterima.” Potato buat isyarat
dengan tangan dinaikkan ke dahi sambil kaki dihentak kuat.
Tanda tabik hormat.
“Dahlah Potato, saya nak rehat. Awak boleh pergi.”
Akur menurut, Potato keluar dari bilik hotel serba
mewah itu meninggalkan majikannya seorang diri. Badannya
juga sudah letih. Disebabkan arahan majikannya, dia terpaksa
mengekori Aina sampai ke rumah. Nasib baik Aina dan pak
sunya tidak menyedari mereka sedang diekori.
Luth memandang siling hotel yang cantik
memutih. Tak sangka, dia bertemu semula dengan gadis
itu. Betapa adilnya hukum alam. Siang tadi gadis itu
memperbodohkannya. Malam ini pula dia diberi kesempatan
membalas setiap perlakuan gadis itu. Hatinya puas.
Namun, saat memikirkan apa yang disampaikan
Potato kepadanya sebentar tadi, hatinya mula berbolak-balik.
Betulkah apa yang dia buat? Memaksa Encik Mail Bujang
supaya memecat gadis tu serta-merta, tidakkah tindakannya
itu sesuatu yang kejam? Seperti kata Potato, lepas ini
bagaimanakah gadis itu hendak menyara keluarga kalau tiada
pekerjaan?
Luth melepaskan keluhan. Kerana amarah,
dia bertindak mengikut perasaan. Sehingga tidak sedar
perbuatannya itu mengundang kesusahan kepada orang lain.
Hendak diperbetulkan kesalahannya itu, dia tidak sanggup.
Egonya menghalang. Dia tidak mahu kelihatan lemah di
mata orang lain. Dia punya kuasa.
MARDIAH MENGHAMPIRI anaknya yang duduk termenung
di beranda rumah. Entah apalah yang dimenungkan. Khusyuk
benar nampaknya. Sampaikan kedatangannya tidak disedari.
Setiap kali terpandangkan Aina, hati tuanya dipagut hiba.
Anak itu sudah terlalu banyak berkorban untuknya.
Aina terpaksa bekerja membanting tulang demi
menyara kos perubatannya. Siang, Aina terpaksa memakai
kostum, menghiburkan pengunjung yang datang di sebuah
pusat membeli-belah. Pada sebelah malam pula, anak gadisnya
itu terpaksa bekerja sambilan pula. Pendek kata, kehidupan
Aina tidak seperti anak-anak gadis sebaya dengannya yang
penuh dengan keseronokan. Dalam usia yang baru mencecah
21 tahun, Aina sudah bekerja keras mencari wang demi
menyara hidup mereka sekeluarga.
Sejak Mardiah disahkan menghidap penyakit buah
pinggang, hidup anaknya itu berubah serta-merta. Aina
sudah tidak menghiraukan pelajaran. Sering ponteng sekolah
demi mencari wang untuk menampung kos perubatan
mencuci buah pinggangnya. Memang dia marah. Dia mahu
melihat Aina berjaya dalam pelajaran. Namun, Aina tidak
menghiraukan kemarahannya itu. Aina tetap berdegil mahu
mencari duit untuk kesembuhannya.
Hati Mardiah merintih. Kesakitan ini membatasinya
untuk melakukan kerja-kerja berat. Doktor menyarankan
agar dia banyak berehat. Sejak itulah Aina mengambil alih
tempatnya. Aina bekerja tanpa mengira erti penat. Meski sakit
sekalipun, Aina tetap gagahkan diri bangun dan pergi bekerja.
Air mata yang mengalir lesu dikesat. Mardiah tidak
mahu Aina melihat kesedihannya. Cukuplah sengsara yang
dilalui anaknya selama ini.
“Aina.” Bahu Aina disentuh lembut.
Mendengar suara itu, Aina mendongak. Segaris
senyuman terlukis di ulas bibirnya yang kemerahan bak buah
delima. Warna merah asli yang tidak perlu dioles dengan
gincu bibir.
“Ni... ibu buatkan Milo untuk Aina.”
Mug bertukar tangan.
“Buat susah ibu aje. Aina boleh buat sendiri, bu.”
Aina mengengsot sedikit agar Mardiah dapat melabuhkan
punggung duduk di sebelahnya.
“Takpe... bukannya susah mana pun.”
Aina tersenyum lagi lalu menghirup perlahan Milo
yang berasap nipis.
“Kenapa balik awal malam ni? Tak banyak kerja ke
kat restoran tu?” tanya Mardiah. Selalunya Aina akan balik
lewat malam. Tapi malam ini, seawal pukul 10 kelibat anaknya
itu sudah kelihatan. Jarang dia melihat Aina berada di rumah
pada waktu sebegini. Anaknya itu selalu sibuk dengan kerja.
Hendak bercuti pun amatlah jarang sekali.
Mendengar pertanyaan Mardiah, Aina cuba
memaniskan wajah. Dia tidak mahu ibunya mengesyaki
sesuatu. Biarlah berita pemecatannya ini hanya dia seorang
sahaja yang tahu. Lagipun, selama ini ibunya tidak pernah
tahu dia bekerja sebagai pelayan di kelab malam. Ibunya
menyangka dia bekerja di restoran.
Aina menganggukkan kepalanya.
“Hmmm... hari ni bos bagi Aina balik awal, bu.”
“Mungkin bos tengok Aina tak pernah bercuti kut?
Sebab tu dia bagi Aina balik awal.”
‘Ya bu... bos bagi Aina cuti selama-lamanya,’ hati
Aina berbisik. Andai ibunya tahu, tentu ibunya akan bersusah
hati. Dia tidak mahu ibunya risau.
“Aina... minggu depan, ibu rasa tak perlu kut ibu
buat dialisis.”
Dahi Aina berkerut.
“Kenapa pulak bu?”
“Tak perlulah. Ibu rasa ibu dah sihat. Duit tu Aina
simpan ajelah untuk diri sendiri. Ibu kesian kat Aina. Bersusah
payah kerja siang malam. Sepatutnya Aina simpan duit tu
untuk masa depan Aina. Bukannya untuk ibu, kegunaan ibu
seorang.”
“Ibu... takmolah cakap macam tu...” rengek Aina
manja. Lengan Mardiah dikait. Kepala dilentokkan manja ke
bahu si ibu. Sayu hatinya mendengar Mardiah berkata begitu.
Apa yang dilakukannya hari ini, semua itu untuk ibunya.
Tidak guna andai dia punya wang berbilion-bilion jika dia
tidak mampu membalas jasa ibunya itu. Pengorbanan ibunya
tidak dapat ditandingi dengan wang.
“Aina tak kisah kerja keras, asalkan ibu kembali
sihat,” sambung Aina. Sayu suaranya.
“Tapi sakit ibu ni dah tak boleh sihat, Aina.” Itulah
hakikatnya. Doktor juga telah mengesahkan kedua-dua
belah buah pinggang Mardiah telah pun rosak sepenuhnya.
Hanya rawatan mencuci buah pinggang dan ubat-ubat yang
dibekalkan saja tempat dia bergantung harap ketika ini.
Namun, kos perubatannya itu bukannya murah.
“Ibu... kenapa cakap macam tu? Aina tak nak dengar.
Apa yang penting, kita berusaha. Aina nak tengok ibu sihat.
Aina tak kisah terpaksa bekerja keras demi ibu. Ibu orang
paling penting dalam hidup Aina. Ibu adalah segala-galanya.”
Semakin sayu suara Aina. Dia berdoa, semoga Allah
memanjangkan usia ibunya. Dia belum puas bermanja dan
membalas jasa wanita yang banyak berkorban untuknya
selama ini.
Mardiah menarik nafas. Kepalanya direbahkan ke
kepala Aina. Terdetik dalam hati kecilnya; andai suaminya
masih ada ketika ini, pasti kehidupan mereka tidak seperti
hari ini. Tentu Aina tidak perlu bersusah payah. Tapi... hingga
ke hari ini, dia sendiri tidak tahu ke mana suaminya itu
menghilang. Masihkah hidup ataupun sudah mati? Dia tidak
tahu apa-apa tentang lelaki itu lagi.
No comments:
Post a Comment