Wednesday, 22 November 2017

Cinta Zara - Bab 6

“LIA...” Juwita menyentuh bahu Amelia yang
sedang termenung. Sejak tadi dia lihat Amelia duduk di gazebo
menelefon seseorang. Dia pasti Amelia cuba menelefon Zara.
Bukan Amelia seorang saja yang cuba menghubungi Zara.
Dia juga cuba tapi semua panggilannya masuk ke dalam peti
suara. Berpuluh SMS dihantar langsung tidak berjawab.
“Boleh akak duduk?”
Amelia mengangguk. Jari jemari masih ligat
menekan butang-butang di permukaan telefon. Dia diserang
rasa risau. Selagi dia tak dapat bercakap dengan Zara selagi
itu dia akan cuba menelefon.
Juwita duduk di sebelah Amelia. Dia lihat mata
Amelia merah seperti baru lepas menangis. Amelia rapat
dengan Zara dan sudah semestinya ketiadaan Zara terkesan di
hati adik iparnya. Apatah lagi perbuatan tak matang Ammar
menceraikan Zara secara tiba-tiba. Memang sakit hati!
“Mungkin Kak Zara perlu masa bersendirian.” Juwita
bersuara.
“Kak Ita... Lia tak kisah kalau Kak Zara perlukan
masa. Lia cuma nak tahu Kak Zara kat mana. Lia risau
sangat.” Mata Amelia berkaca.
Juwita diam. Dia pun risau akan keadaan Zara. Pasti
Zara mengalami kejutan yang sangat hebat. Dia sendiri pun
nampak betapa bahagianya Zara dan Ammar. Siapa sangka
itu cuma lakonan. Pasti Zara pedih apabila Ammar kata dia
menderita. Tidak dapat dibayangkan kalau dia di tempat Zara.
“Lia jangan risau... Along dah tahu kat mana
Kak Zara. Dia selamat tapi buat masa ni biarkan Kak Zara
sendirian. Biar dia menangis dan bersedih sebanyak mana
dia nak.” Juwita terpaksa memecahkan rahsia. Dia tidak
sampai hati melihat Amelia asyik termenung. Makan minum
pun cuma dijamah ala kadar. Tiada lagi sinar ceria di wajah
Amelia sebagaimana tiada lagi gelak dan senyuman Zara di
Vila Aisyah.
Juwita mendapat tahu dari suaminya tentang
keberadaan Zara. Semua ini perlu dirahsiakan dari semua
orang terutamanya Amelia. Zara perlu diberi masa dan ruang
untuk bertenang. Kawan baik Zara menghubungi Aiman
memberitahu perihal Zara.
“Lia nak jumpa Kak Zara.”
“Belum masanya lagi Lia. Biarkan Kak Zara
tenangkan hati dia dulu.”
“Tapi kak, takkan kita nak biarkan dia menangis
seorang? Kita kena beritahu dia yang kita tak setuju dengan
perbuatan angah. Kita semua sayangkan dia...” Amelia tak
puas hati. Dia kurang bersetuju dengan saranan Juwita.
“Kalau Lia dekat dengan Kak Zara dia akan tambah
sedih dik. Dia akan lagi teruk menangis. Jalan terbaik kita
biarkan dia sendiri sampai dia rasa kuat.”
“Tapi Kak Ita... kenapa?” Amelia kurang faham.
“Sebab Lia adik kepada Ammar Syafiq... lelaki yang
buat dia terluka.”
Amelia mengeluh perlahan. Betul kata Kak Ita.
Dia adalah adik kepada lelaki yang kejam itu. Lelaki yang
menceraikan isterinya tanpa sebab yang kukuh di tengah
malam buta. Kenapa dia lupa kenyataan itu.
“Sekarang Lia faham kan kenapa kita tak boleh desak
Kak Zara... Kenapa kita tak boleh ganggu dia. Kehadiran kita
kat sebelah dia akan mengingatkan dia pada lelaki yang dia
cuba nak lupakan.” Juwita juga terasa sebak. Sungguh dia tak
sangka pengakhiran derita yang Zara dapat.
Tak ada seorang perempuan pun akan gembira
jika diceraikan seperti itu. Tambah lagi apabila suami yang
kelihatan baik dan penyayang mengungkapkan kata derita.
Tak ada sesiapa pun yang nampak penderitaan Ammar. Hanya
senyuman dan gelak tawa di bibir adik iparnya. Ammar
nampak gembira dengan Zara. Siapa pun boleh bezakan
antara derita dan bahagia. Kenapa Ammar pilih jalan yang
susah untuk masa depannya?

ZARA CUBA untuk senyum. Sudah lama dia berkurung
dalam rumah. Maria mengajak dia keluar membeli barang
hari ini. Asalnya dia tak mahu kerana belum bersedia. Tapi
atas desakan Maria digagahkan juga. Lagipun kata Maria hati
yang luka perlu dibalut bukan ditambah garam. Menangis
dan termenung takkan menyembuhkan luka.
“Kau nak beli apa Mar? Beria-ia ajak aku keluar ni.”
tanya Zara.
Maria yang sedang menolak troli, tersengih. Tak
akan dia nak beritahu niatnya. Dia nak buli Zara masak
makanan kegemarannya. Tak akan Zara tak boleh baca niat
dia. Dah masuk pasar raya tentulah nak beli barang. Kalau
masuk kedai baju pastilah nak beli baju.
“Kenapa kau sengih? Mesti ada apa-apa ni.” Zara
mula curiga.
“Kata orang shopping itu penawar stres, tapi bagi
Zara, masak itu penawar hati yang lara. Aku datang sini nak
beli barang suruh kau masak. Dah lama kan kau tinggalkan
aku. Aku rindu ketam masak lemak kau. Rindu gilalah
kata orang tu. Lagi satu aku rindu kek coklat kau...” Maria
menyatakan tujuannya
Zara geleng kepala dengan kata-kata Maria. Ada
saja helah kawan baiknya untuk buat dia tersenyum. Dia
gembira kerana Maria ada saat dia berduka. Memang hobinya
memasak. Cita-citanya hendak membuka restoran tapi
dibatalkan sebaik saja menikah dengan Ammar.
“Aku harap kau tak hampakan harapan aku.”
Maria memandang Zara dengan muka comel dan penuh
pengharapan. Senyuman minta belas kasihan terselit juga.
Zara rasa lucu pula tengok muka Maria sekarang.
Dia tergelak. Pandai dah buat muka comel. Tak sampai hati
pula nak kata tak.
“Yalah... yalah.” Zara mengalah.
“Yeayy...” Maria melonjak gembira.
“Kita nak beli apa dulu ni?” tanya Zara sambil menolak
troli dengan sebelah tangannya. Buat-buat menolong Maria .
“Aku nak makan keklah. Kita masuk kedai kek dulu
baru beli barang, okey tak?”
“Kau ni dah tembam karang bertambah tembam.
Makan kek aje... itu pun besok nak kek coklat pula.” Zara
cubit pipi Maria sambil ketawa.
Maria ketawa. Dia puas hati melihat Zara ketawa. Dia
menoleh ke belakang dan mengangguk. Misinya untuk buat
Zara lupakan Ammar seketika berjaya.

DARI KEJAUHAN, Aiman turut anggukkan kepala. Sempat
lagi dia menghadiahkan senyuman kepada Maria. Dia
bersyukur Zara tidak terlalu hanyut dengan perasaan. Malah
dia juga berdoa agar bekas adik iparnya diberi kekuatan untuk
menempuhi segala-galanya. Dia tahu wanita itu seorang yang
kuat.
Aiman tidak mampu kembalikan Ammar kepada
Zara. Dia akan berusaha untuk mengembalikan senyuman di
bibir Zara.

No comments:

Post a Comment