Tuesday, 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 3

Melissa mempersiapkan diri untuk keluar
dari hospital. Dia sudah benar-benar sihat. Dalam diam, dia
berterima kasih kepada lelaki yang menyelamatkannya kerana
telah bersusah payah menguruskan segala-gala buat dirinya,
juga tidak membuat laporan tentang cubaannya membunuh
diri hingga terpaksa dimasukkan ke dalam hospital.
Jika tidak, sekarang ini dia pasti sedang disoal siasat
oleh pihak polis. Malah, dress gabungan warna hijau dan
ungu ombre yang sedang tersarung di tubuhnya sekarang ini
pun merupakan pemberian lelaki itu. Semuanya gara-gara
baju yang dipakainya malam itu sudah tercemar dengan bau
hanyir air sungai. Hendak juga dia menggantikan duit lelaki
itu kembali, tetapi bagaimana caranya?
Nama dan maklumat lelaki itu langsung tidak
diketahuinya. Jika dia bertanya mengenai maklumat
lelaki itu kepada jururawat di kaunter, mahukah mereka
membantunya? Semakin kusut fikirannya saat ini. Lelaki itu
betul-betul macam biskut. Sekejap ada, sekejap tiada.
Usai bersiap, Melissa beredar menuju ke kaunter
jururawat yang terdapat di wad tersebut. Jururawat yang
bertugas dihampiri.
“Nurse... saya nak daftar keluar. Boleh tak bagi saya
bil perubatan yang perlu saya bayar?” tanya Melissa kepada
jururawat yang memakai tag nama Sarah Adella.
Jururawat itu tersenyum manis.
“Owh, cik boleh terus pulang sebab segala-galanya
telah pun dibayar dan diuruskan.”
Melissa terpempan mendengar jawapan jururawat
itu. Berkerut keningnya.
“Dah dibayar? Siapa yang bayar?” Melissa
kehairanan. Dia bukan dimasukkan ke hospital kerajaan yang
mana kos perubatannya mungkin hanya sedikit sahaja. Tapi
dia dimasukkan ke hospital swasta di Ayer Keroh. Sebuah
hospital swasta yang agak terkenal dan pasti kos perubatannya
ini mencecah ke angka seribu untuk 2 hari. Siapa pula yang
sanggup menanggung bayaran sebanyak itu sedangkan
dirinya langsung tidak mempunyai kaitan dengan empunya
diri tersebut?
“Doktor Umar Izdham Syah yang bayarkan, cik.”
Beritahu jururawat itu lagi.
“Doktor? Doktor mana?” Angka yang berputar-putar
dalam mindanya membuatkan dia tidak fokus pada nama
yang disebutkan jururawat itu.
“Doktor yang merawat cik selama cik berada di
sini,” jawab Sarah Adella. Dia juga pelik melihat pesakit yang
bernama Melissa ini. Seperti tidak tetap ingatannya.
“Owh... okey. Terima kasih ya.” Lelaki itu! Melissa
terpanar lalu melangkah pergi kebingungan. Tidak sampai
beberapa langkah, dia kembali semula ke kaunter tersebut.
“Err... nurse,” panggil Melissa. “Saya nak tahu,
doktor yang merawat saya tu... memang bertugas di sini ke?
Boleh tak nurse bagi saya nombor telefon dia?” pinta Melissa
tanpa segan silu.
“Maaf, cik. Kami tak boleh dedahkan maklumat para
doktor di sini kepada pesakit,” jelas Sarah Adella.
Jelas terpancar kehampaan pada wajah Melissa saat
permintaannya ditolak mentah-mentah.
“Tak apalah kalau macam tu.” Pendek ayat yang
diucapkan, seakan terasa hampa apabila maklumat yang
diingini tidak dimiliki. Otaknya bingung mencerakin
bagaimana dia hendak berterima kasih dan menggantikan
wang lelaki itu jika dia tidak mengetahui walau sedikit pun
maklumat. Jururawat tadi ada menyebut nama doktor yang
budiman itu, namun akibat tidak fokus dan hanya mengira
jumlah wang yang dihutangnya, dia sendiri tidak dapat
mengingati sebaris nama itu.
Dia beredar ke tempat parkir kereta yang
menempatkan Mini Cooper S yang dimilikinya. Seperti yang
telah dikatakan oleh jururawat tersebut, segalanya telah
diuruskan oleh lelaki itu. Soal keretanya, soal bayarannya,
soal pakaiannya dan bermacam-macam lagi. Mengapa lelaki
itu sanggup bersusah payah untuk dirinya? Apa yang patut
dia lakukan? Dia buntu!
Seminggu telah pun berlalu, Melissa kembali menunaikan
rutin hariannya sebagai seorang pegawai perhubungan di
sebuah syarikat perhotelan yang terbesar di Asia. Dia cuba
melupakan bekas tunangnya, namun ternyata begitu sukar
untuk dilakukan.
Ada juga Izz Aizril cuba menghubunginya melalu
telefon bimbit kerana terlalu merindui dirinya sementelahan
lagi semuanya terjadi di luar kawalan mereka. Namun,
panggilan itu langsung tidak diendahkan. Biarlah hanya dia
yang menanggung kelukaan ini seorang diri.
Petang itu selepas tamat waktu bekerja, Melissa
memandu pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, dia
teringat kepada lelaki itu. Lelaki yang menjadi penyelamat
dan kemudian menyepikan diri. Di manakah agaknya lelaki
itu berada? Di hospital? Sungguh dia tidak tahu. Dalam
solatnya, dia hanya mampu mendoakan lelaki itu agar
sentiasa baik-baik sahaja.
Bukan kerana dia jatuh cinta. Cintanya masih utuh
buat bekas tunangnya walaupun wajah lelaki itu amat tampan
sekali persis lelaki Arab. Dia hanya berasa terhutang budi.
Hanya Allah sahaja yang mampu membalas segala kebaikan
lelaki itu. Walaupun pada mulanya dia tidak menyenangi
kehadiran lelaki itu, tapi kerana budi yang telah banyak
dihulurkan, dia termalu sendiri untuk membuat perangai
yang tidak sopan apabila berhadapan dengan lelaki itu.
Setibanya di rumah, bergegas dia masuk ke rumah
2 tingkat yang didiaminya. Berlari dia menaiki anak tangga
untuk membersihkan diri dan menunaikan solat asar. Usai
solat, sambil membaringkan diri di atas katil peraduannya,
telefon bimbit dicapai dan nama ‘ibu’ ditekan. Dilekapkan ke
telinganya sementara menunggu panggilannya dijawab.
“Helo, ibu. Ibu buat apa tu? Oooo... ya ke? Ibu sihat?
Dah makan?” Bertalu-talu pertanyaan diajukan kepada
ibunya. Menelefon untuk bertanya khabar.
“Ibu duduk-duduk aje kat rumah ni. Ibu sihat, dah
makan. Iddya sihat tak? Bila Iddya nak balik ni nak? Ibu
rindulah...”
Melissa tergelak kecil mendengar pengakuan ibunya.
“Nantilah ibu. Bila ada kelapangan, Iddya balik ya.
Iddya sibuk dengan kerja sekarang ni.”
“Kerja-kerja jugak. Tapi jangan lupa jaga diri. Iddya,
ibu nak tanya sikit ni. Iddya dah okey tak sayang... pasal apa
yang terjadi ni...”
Belum sempat ibunya hendak menghabiskan ayat,
terlebih dahulu dia menyampuk. Patutnya dia yang menyoal
akan keadaan keluarganya selepas majlis perkahwinan yang
dirancang tidak kesampaian. Bukan dia yang patut disoal.
Apalah sangat harga dirinya jika hendak dibandingkan
dengan nama dan maruah kedua ibu bapanya. Rasa bersalah
kembali menjerut hati.
“Ibu... Iddya okey, jangan risau. Ibu tu jaga diri
baik-baik. Jangan risaukan Iddya sangat kat sini. Iddya
biasa-biasa aje. Ayah ada tak, ibu? Bagi telefon kat ayah kejap.
Iddya nak cakap.” Sebak sudah mula menggigit tangkai hati.
Bimbang hujan akan membanjiri matanya tanpa amaran.
“Ayah... ayah sihat? Iddya sihat, yah. Ayah dah makan?
Siapa ada kat rumah? Kak long ada balik tak?” Melissa cuba
berbual rancak dengan ayahnya, berusaha mendamaikan hati
yang sedikit terusik.
“Ayah dah makan, kak long kata hujung minggu ni dia
baliklah. Iddya sabar ya nak, bawa mengucap banyak-banyak.
Tabahkan hati. Jangan sedih-sedih selalu. Jangan banyak
menangis. Walau apa pun yang terjadi, ingat... Iddya masih
punya kami. Jangan risaukan ibu dan ayah. Jangan pernah
rasa bersalah pada keluarga kita. Semua yang terjadi bukan
salah Iddya,” ucap Encik Akmal di talian.
Melissa bertambah sebak.
“Ayah...” Hanya itu saja yang mampu diucapkan.
Esakan dan sebak yang ditahan terlepas juga apabila
mendengar pesanan si ayah yang seolah-olah mengerti akan
kesedihan hatinya. Teresak-esak dia menangis.
Pilu hati si ayah mendengar esakan anak gadisnya
itu. Masakan seorang ayah tidak mengerti hati anak gadis
yang dibesarkan dari kecil. Itu anaknya. Dia amat mengerti.
Begitu juga dengan isterinya. Amat memahami apa yang
sedang anak gadis mereka alami.
Bukan senang untuk anak gadisnya membina
semangat kembali setelah apa yang terjadi, mereka tahu itu.
Oleh itu, sokongan dan dorongan tidak henti-henti diberikan
kepada anak bongsunya itu. Doa mereka semoga Melissa akan
bertemu dengan lelaki yang mampu mengubati kelukaan hati
anak gadis mereka. Lelaki yang mampu menjaga anak bongsu
mereka dengan baik setelah ketiadaan mereka di dunia ini
nanti.
“Iddya... jangan menangis nak. Sabar banyak-banyak.
Solat, doa... mohon kekuatan pada Allah, ya sayang.” Encik
Akmal menasihatkan anaknya lagi.
“Ya, ayah... terima kasih, ayah. Sampaikan salam
Iddya pada ibu dan kak long ya. Nanti bila ada kelapangan,
Iddya balik. Ayah jaga diri, jaga ibu... nanti Iddya telefon lagi
ya. Iddya sayang semua. Assalamualaikum.” Punat merah
ditekan.
Melissa kembali menangisi kelukaan hati. Setiap kali
bercakap dengan ayahnya, pasti dia akan berasa sebak. Terlalu
cengeng! Maklumlah, dia kemanjaan ibu dan ayahnya.
‘Aku tak boleh macam ni. Aku kena kuat! Aku kena
lawan sakit ni! Aku perlu belajar lupakan semua yang terjadi.
Mungkin sudah suratan dan takdir Allah, aku dan Aizril tak
berjodoh. Siapa aku untuk menafikan takdir Allah?’ desis
hati Melissa lagi. Sisa-sisa air mata dilap dan dia bangun dari
perbaringan.
Baru sahaja dia hendak melangkah keluar dari kamar
tidurnya, deringan telefon bimbit menyapa deria telinga.
Bergegas dia mengangkat panggilan tanpa sempat melihat
nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya.
“Helo...”
“Hai. Awak ada kat rumah ke?” Suara di hujung talian
bertanya, namun soalan itu amat pelik kedengaran di cuping
telinganya. Sepatutnya empunya diri yang menghubunginya
itu mengenalkan diri terlebih dahulu, bukan main terjah
sebegini.
“Maaf, encik. Saya tak kenal encik. Mungkin encik
salah nombor agaknya.”
“Taklah. Saya pasti awaklah orang yang saya nak
hubungi.”
Melissa mengetap bibir. Dah kenapa dengan lelaki di
hujung talian ini? Nak menjual minyak urat barangkali. Tapi
dia tidak mahu membeli! Dengusan geram dilepaskan.
“Encik... kalau encik nak menggatal, maaf... saya tak
ada masa nak melayan.”
Kedengaran lelaki tersebut tertawa kecil di
hujung talian. Melissa bertambah geram. Tidak faham
bahasa agaknya! Baru dia hendak menamatkan panggilan,
kedengaran namanya dipanggil kuat dan jelas.
“Melissa!”
Melissa terpempan. Izz Aizrilkah itu? Tak mungkin
lelaki itu menghubunginya dengan nombor lain. Tak
mungkin! Menggeletar seluruh tubuhnya mencerakin
kemungkinan itu.
“Melissa!” Suara itu berteriak lagi apabila dia tidak
menjawab. Namanya dipanggil berulang-ulang kali tanpa
henti.
“Aiz... Aizril ke tu?” gugup Melissa bertanya. Hampir
longlai kakinya yang teguh memasak ke bumi.
“Aizril? Siapa Aizril, Melissa?” Suara di hujung talian
bertanya lagi.
Melissa pelik. Dia menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Bukan Izz Aizrilkah itu? Habis, siapakah lagi yang
memanggil namanya dengan panggilan Melissa selain Izz
Aizril? Hanya bekas tunangnya itu saja yang memanggilnya
dengan nama itu, sedangkan seluruh kenalan dan ahli
keluarganya memanggilnya dengan nama Iddya.
“Maaf, saya salah orang. Ingatkan encik ni kenalan
saya. Maaf bertanya, siapa encik ni sebenarnya? Dari mana
encik tahu nombor telefon saya dan encik nak cari siapa
sebenarnya?” Pertanyaan demi pertanyaan diajukan kepada si
pemanggil tanpa berlengah.
“Saya doktor awak. Saya nak jumpa awak malam ni,
boleh? Kita keluar makan sama-sama?” pelawa Izdham.
Melissa menghembus nafas lega. Rupa-rupanya
lelaki itu yang menghubunginya. Spontan tangannya naik
mengusap dada yang sedikit berdegup kencang.
“Maaf, saya tak free malam ni.” Melissa membuat
helah. Dia tidak nampak kepentingan untuk berbuat
sedemikian walaupun dia tahu dia banyak berhutang dengan
lelaki itu.
“Awak tipu. Saya tahu awak free sangat malam ni.
Jomlah keluar. Lagipun, barang penting kepunyaan awak
ada dengan saya sekarang ni.” Izdham cuba memasang jerat,
memerangkap supaya gadis itu bersetuju.
“Takpe, awak simpan ajelah. Apa pun barang yang
ada kat awak, saya tak perlukannya.” Yakin Melissa menjawab.
“Amboi, awak ni... angkuhnya! Betul awak tak nak
barang awak ni balik?” Izdham mahukan kepastian.
“Ya, betul.” Melissa menjawab dengan yakin dan
pasti.
“Owh, baru saya tau yang rupanya kad pengenalan
ni bukan satu barang penting buat awak ya?” Izdham tertawa
lagi. Kenapa gadis ini selalu over confident setiap masa?
Melissa menepuk dahi. Telefon bimbit di tangan
dilemparkan ke atas katil. Pantas beg tangannya diselongkar
dan dompet jenama Carlo Rino miliknya dibuka. Diselongkar
setiap kad yang ada. Ternyata kad pengenalan miliknya tiada!
Cemas. Selama seminggu ini dia berjalan ke hulu hilir tanpa
kad pengenalan diri? Lelaki ini memang sudah melampau!
Melissa mencapai kembali telefon bimbit yang
dicampakkan sebentar tadi.
“Kenapa awak ambil kad pengenalan saya? How dare
you! Kalau sesuatu jadi pada saya dalam tempoh seminggu
ni, macam mana? Kalau saya ditangkap polis, macam mana?”
hambur Melissa kepada lelaki yang masih tidak diketahui
namanya itu. Tidak peduli lagi dengan budi lelaki itu. Sopan?
Bukan masanya!
“Awak tahu tak, perbuatan awak ni salah? Ni dah kira
mencuri tau. Kalau saya report polis pasal perbuatan awak ni,
memang ke jellah jawabnya.” Melissa benar-benar marah saat
ini. Melengking saja suaranya tatkala berbicara.
“Kalau awak report pasal saya ambil kad pengenalan
awak, saya reportlah pulak pasal awak cuba bunuh diri sampai
masuk hospital kat polis jugak.” Izdham tertawa sinis. Ada
hati rupanya gadis ini hendak mengugutnya.
Melissa kematian kata. Kalau perbuatannya hendak
membunuh diri itu dilaporkan kepada polis, apakah hukuman
yang bakal dia hadapi? Tidak, dia tidak sanggup ke lokap!
“Awak nak jumpa kat mana?” Melissa akhirnya
bersetuju.
Izdham tersenyum senang hati. Ugutannya berhasil.
“Pukul 8.30 malam saya datang ambil awak kat
rumah. No excuses. Kita makan malam di Restoran Dima.
Saya teringin nak makan nasi Arab malam ni. Ingat janji kita
ya?” tegas Izdham mengingatkan.
“Memanglah saya ingat. Takkan nak buat-buat lupa
pulak. Karang tak pasal-pasal saya tidur kat lokap!” bidas
Melissa lagi.
“Haaa... macam itulah. Okey, see you soon!” pamit
Izdham sebelum mengakhiri perbualan.
Sebaik sahaja talian diputuskan, Melissa
menghempaskan telefonnya ke atas katil. Kemudian dia
menghempas pula punggungnya ke sofa yang terdapat di
sudut bilik. Hatinya sebal bukan kepalang. Belum kenal,
belum apa lagi sudah berani mengugutnya.
“Siap pulak beritahu teringin nak makan nasi Arab
segala! Ada aku tanya ke? Ada aku kisah ke? Dia fikir dia
siapa?” bentak Melissa dengan muncung yang panjang.

No comments:

Post a Comment