Tuesday, 21 November 2017

Impian Kasih - Bab 7

Selepas bersarapan Izdham berjalan
mundar-mandir di laman kediamannya. Hari ini hari cutinya.
Dia amat merindui Melissa. Selepas gadis itu benar-benar
sembuh daripada sakit gastrik, sengaja dia tidak menghubungi
gadis itu. Dia ingin mengambil masa mengenali apa yang
hatinya benar-benar inginkan. Kini dia pasti, kemahuannya
hanya satu. Melissa! Dia mahu gadis itu menjadi isterinya.
Otaknya ligat memikirkan cara untuk mengikat
Melissa di sisinya. Puas dipujuk, puas dipikat, Melissa tetap
juga menolak lamarannya. Apakah hebatnya lelaki yang
bernama Izz Aizril itu hingga susah benar untuk Melissa
melupakannya?
Tiba-tiba dia teringat akan nombor telefon ibu
bapa Melissa yang berada dalam simpanannya selepas dia
menyelongkar beg tangan kepunyaan gadis itu dahulu. Sengaja
dia menyimpan nombor orang tua gadis itu kalau-kalau ada
perkara yang hendak dimaklumkan. Sekaranglah masanya!
“Assalamualaikum, pak cik ni bapa Melissa ke?”
Izdham memberanikan diri untuk menghubungi orang tua
Melissa. Pernah jumpa atau tidak, soal itu tidak penting. Yang
lebih mustahak ialah niatnya.
Kedengaran suara di corong telefon mengiakan.
“Pak cik... boleh saya tahu alamat rumah pak cik?
Saya Izdham, ada hajat besar yang hendak saya beritakan
kepada pak cik. Kita berbincang dengan lebih lanjut apabila
saya sampai kat sana. Boleh pak cik? Baik, terima kasih pak
cik.” Perbualan diakhiri. Izdham tersenyum penuh makna.
Esok pagi dia akan ke Kulai, Johor.
Notifikasi aplikasi WhatsApp yang bertubi-tubi masuk
ke telefon bimbitnya mengganggu ketenteraman Melissa
yang sedang memotong bawang di dapur.
“Siapa lagi ni?” Melissa mendengus, tidak senang
dengan bunyi yang didengarinya. Dia berang hari cutinya
diganggu. Ada saja yang gatal mencari.
“Kalau tak berbunyi sehari tak boleh ke?” Melissa
bercakap sendirian. Tangan dibasuh dan telefon bimbitnya
dicapai. Laju sahaja jarinya menekan untuk melihat gerangan
siapakah yang menghantar pesanan.
“Abang...” Melissa menyebut sebaris nama itu tatkala
matanya terpandangkan nama Izz Aizril. Pesanan itu dibuka
lalu dibaca dengan hati yang berdebar-debar. Apakah lagi
yang lelaki itu mahukan?
Abang cintakan Melissa. Hanya
Melissa seorang. Abang perlukan
Melissa. Melissa tak sayang abang
lagi ke? Apa yang terjadi, bukan
salah kita berdua. Kalau Melissa
masih sayangkan abang, balaslah
pesanan abang ni. Abang tahu
Melissa baca pesanan-pesanan yang
abang hantar. Tolong Melissa. Tolong
abang. Abang nak jumpa Melissa!
Melissa panggung kepala. Bawang yang ditinggalkan
sebentar tadi kembali dihiris. Namun, fikirannya melayang
jauh memikirkan inti pati pesanan yang telah dibaca sebentar
tadi. Apakah yang harus dia lakukan? Hatinya separuh mati
merindui lelaki itu, namun akal yang waras menghalangnya
daripada menurutkan kata rindu.
‘Dia suami orang, Melissa!’ Hati dan akalnya
berkecamuk, saling berlawanan antara satu sama lain. Tanpa
sedar, jarinya terhiris. Dia mengaduh. Darah yang mengalir di
jari dilap dan cepat-cepat dihisap dengan mulut.
Hanya kerana ligat memikirkan tentang Izz Aizril
sahaja sudah membuatkan jarinya terluka dihiris pisau.
Kerana mencintai lelaki itu juga, hatinya terluka bagai
dihiris sembilu. Justeru itu dia tertanya-tanya sendiri,
kejadian apakah pula yang akan menimpanya kalau dia mula
mendekati Izz Aizril semula?
‘Jangan main gila, Melissa! Kau harus sedar yang kau
dengan Izz Aizril memang tak ada jodoh!’ Hatinya berbisik,
cuba kembali ke alam realiti.
Jari yang terluka ditampal dengan Hansaplast.
Kemudian aktiviti memasak diteruskan seperti biasa, cuba
menyibukkan diri agar mindanya tidak teringat-ingat kepada
bekas tunangnya itu.
“Assalamualaikum...” Izdham memberi salam selepas
membunyikan loceng.
“Waalaikumsalam.” Encik Akmal menjawab saat
membuka pintu. Matanya memandang sesusuk tubuh
lelaki yang amat tampan, berpakaian kasual. Tertanya-tanya
siapakah gerangan tetamunya itu. Belum pernah dilihat
wajah anak muda itu sebelum ini. “Ya encik. Encik nak cari
siapa?” soalnya lagi. Seraya keluar membuka pintu pagar dan
bersalaman dengan anak muda itu.
“Pak cik, maaf bertanya. Pak cik ni... bapa Melissa
ke?” Izdham meminta kepastian. Bimbang tersalah rumah.
“Ya. Saya bapanya. Kenapa encik? Ada apa-apa yang
terjadi kepada anak saya ke?” Encik Akmal mulai risau.
Apa yang telah terjadi kepada anak gadisnya sehinggakan
tetamunya ini datang menyusul ke rumah?
“Eh, tak... tak. Pak cik jangan bimbang. Melissa
baik-baik saja. Pak cik ingat tak semalam pak cik ada dapat
satu panggilan daripada seorang lelaki? Sayalah orangnya.”
Izdham cuba mengingatkan lelaki tua itu akan perbualan
mereka semalam.
“Oh, ingat... ingat. Jadi, enciklah yang telefon saya
semalam ya? Jemputlah masuk. Jom kita bersembang kat
dalam,” ujar Encik Akmal lagi, mempelawa Izdham masuk
ke dalam rumah. “Faridah... buatkan air, kita ada tetamu ni,”
laung Encik Akmal kepada isterinya yang ketika itu sedang
menyediakan juadah sarapan pagi di dapur.
“Maaf mengganggu pak cik sekeluarga pagi-pagi
ni. Saya harap kedatangan saya tak menyusahkan pak cik
sekeluarga.” Izdham cuba berbasa-basi menghangatkan
suasana yang agak kekok.
“Eh, tak adalah susah mana. Dah siap pun ni. Jom
kita makan, jemput makan encik.” Puan Faridah muncul
dari dapur bersama dulang yang berisi juadah sarapan pagi
mereka. Terus dipelawa tetamunya menjamu selera.
“Mak cik...” Izdham menegur tanda menghormati
wanita itu.
“Siapa ni bang?” Puan Faridah mengangguk seraya
menanyakan gerangan anak muda itu kepada suaminya.
“Abang pun tak sempat nak berkenalan lagi, awak
dah muncul,” jawab Encik Akmal. Puan Faridah tersenyum
nipis mendengar jawapan suaminya.
“Mak cik... pak cik, saya Umar Izdham Syah. Mak cik
dan pak cik tak perlulah berencik-encik dengan saya. Panggil
saya Izdham aje.”
Encik Akmal dan Puan Faridah mengangguk faham.
“Errr... apa tujuan Izdham datang ke sini?” Encik
Akmal memulakan perbualan. Nak dikatakan mereka
bersaudara, tak pernah pula dia mengetahui tentang
kewujudan anak muda itu. Jika dilihat dari segi pemakaian
dan jenis keretanya, dapat diagak bahawa anak muda ini
datang dalam kalangan keluarga yang berada.
“Sebenarnya pak cik... mak cik.... errrr... tujuan
saya ke sini, membawa hajat besar. Err... saya... saya...”
ujar Izdham gugup. Bagaimanakah harus dia memberitahu
tentang niatnya kepada kedua-dua orang tua Melissa yang
sedang merenungnya tanpa berkelip itu? Fikirnya senang
hendak menyuarakan keinginan, tetapi apabila telah berdepan
sebegini, lidahnya kelu bagai kebisuan kata.
“Nak apa Izdham? Cuba berterus terang.” Encik
Akmal dan Puan Faridah kehairanan melihat anak muda itu
kelihatan gugup. Apakah yang hendak diperkatakan kepada
mereka sebenarnya?
Izdham menarik nafas panjang, cuba meredakan hati
yang gelisah. Saat ini, apa yang paling merisaukan hatinya
ialah kemungkinan hajatnya ditolak mentah-mentah. Jika
itu yang terjadi, di mana hendak disorokkan mukanya? Jika
cekodok comel yang disediakan oleh ibu gadis itu ditepek ke
mukanya sekalipun, belum tentu boleh menyembunyikan
wajahnya yang malu jika ditolak sebentar nanti.
“Saya datang ni ada hajat besar, pak cik, mak cik.
Saya harap hajat saya tak dihampakan.” Izdham memandang
kedua ibu bapa Melissa dengan penuh pengharapan.
“Hajat apa tu Izdham? Insya-Allah... kalau pak cik
boleh tolong, pak cik tolong.”
“Saya... saya nak menyunting anak pak cik untuk
menjadi suri hidup saya. Saya sangat berharap hajat saya tak
dihampakan, pak cik... mak cik.” Izdham berterus terang.
Terkejut kedua-duanya. Encik Akmal menghela nafas
panjang. Puan Faridah pula kelihatan terpempan. Cekodok di
tangannya tidak jadi hendak disuapkan ke mulut.
Izdham gelisah melihatkan reaksi kedua-dua orang
tua Melissa.
“Izdham... bukan pak cik tak setuju. Tapi... ini soal
hidup Iddya. Pak cik tak boleh tentukan sesuka hati. Hati dia
masih terluka. Pak cik tak mahu tambah beban perasaan yang
sedang dia tanggung.” Serba salah Encik Akmal dibuatnya.
Izdham terdiam. Dia sudah menjangkakannya.
Memang penolakan yang akan diterima. Hatinya berasa
sedikit hampa dan perasaan hampa itu jelas terang terbias
pada wajahnya.
“Saya tahu tu pak cik, mak cik. Saya tahu tentang
kisah percintaan Melissa yang tidak kesampaian.”
“Bukan kisah percintaan sahaja yang tidak
kesampaian Izdham. Kisah perkahwinannya juga.” Encik
Akmal mencelah. Isteri yang berada di sisi dipandang.
Izdham menundukkan wajah. Kecewa hajatnya
seolah-olah ditolak tanpa diberi peluang untuk
dipertimbangkan. Sudah dikata, cekodok comel yang
disediakan oleh ibu Melissa itu memang tidak cukup besar
untuk menyembunyikan wajahnya yang terasa menebal
ketika ini.
“Mak cik bukan apa, Izdham. Dari cara kamu... dari
penampilan kamu, mak cik tahu kamu memang budak yang
baik. Cumanya... mak cik sekeluarga belum mengenali kamu
lagi. Bagaimana kamu boleh bertemu dengan Iddya? Macam
mana dia boleh bercerita tentang kisah yang amat melukakan
hatinya kepada kamu? Segala jenis persoalan bermain dalam
fikiran mak cik sekarang ni. Hanya kamu yang boleh berikan
jawapannya.” Puan Faridah bersuara, membantu suaminya
yang dilihat seperti serba salah hendak berbicara.
“Saya kenal Melissa di Melaka, mak cik. Sejak kali
pertama bersua dengan Melissa, saya dah jatuh hati pada dia.
Kemudian, hari demi hari saya cuba rapat dan berkenalan
dengan dia sampailah sekarang ni. Niat saya hanya satu
sahaja pak cik, mak cik... saya betul-betul nak jadikan Melissa
sebagai suri hidup saya. Saya ikhlas pak cik, mak cik,” kata
Izdham bersungguh-sungguh. Namun, peristiwa pertemuan
mereka berdua tidak diceritakan. Tidak mahu memburukkan
Melissa di hadapan kedua ibu bapanya. Biarlah cara pertemuan
mereka menjadi rahsia mereka berdua sahaja.
“Begitu rupanya. Izdham ni kerja apa?” Giliran Encik
Akmal pula menemu duga anak muda itu.
“Saya bekerja sebagai doktor di sebuah hospital
swasta di Melaka pak cik, mak cik,” jawabnya lagi.
“Oh... doktorlah ni? Bagus, bagus. Mesti parents
kamu bangga dengan kamu, Izdham.” Puan Faridah memuji.
“Saya dibesarkan oleh keluarga angkat, pak cik, mak
cik. Mak saya dah lama tinggalkan saya semenjak kematian
ayah saya,” cerita Izdham serba sedikit.
“Owh... begitu. Maafkan mak cik kerana bertanya.”
“Eh... tak apa pak cik, mak cik. Saya tak kisah. Dah
lama saya terima hakikat kehidupan dan takdir saya. Mungkin
itu juga salah satu pembakar semangat saya untuk terus
maju ke hadapan.” Izdham tersenyum nipis, cuba memujuk
hatinya sendiri yang masih kehampaan. Bukan hampa kerana
nasibnya menjadi anak buangan, tetapi hampa kerana niatnya
untuk menyunting sang bunga tidak kesampaian seperti yang
dihajatkan.
“Izdham... pak cik dan mak cik hargai niat dan hajat
kamu. Sebenarnya, kami tak ada halangan untuk Izdham
menikahi Iddya. Kami lagi suka kalau Iddya berkahwin,
sekurang-kurangnya tak adalah dia asyik teringat kisah duka
dia. Pak cik minta kalau boleh, Izdham beritahulah Iddya
tentang ni. Pak cik tak nak dia rasa terpaksa mengahwini
Izdham. Kami tak nak dia terluka lagi sekali. Pak cik harap
kamu faham maksud pak cik, dan... kami restu niat dan hajat
Izdham.”
Keputusan telah dibuat. Encik Akmal tidak sampai
hati hendak menghampakan hajat anak muda yang kelihatan
tulus berharap itu. Dia tahu pemuda itu baik orangnya.
Sebab itulah dia memberi restu kepada Izdham. Tambahan
pula, isterinya juga menyokong keputusan yang diambil.
Diam-diam, dia dan isterinya berbicara melalui ekor mata.
Izdham menghela nafas lega dan gembira. Hatinya
teruja. Hajat yang disangka ditolak mentah-mentah sebentar
tadi rupanya disambut dengan baik. Ada sinar harapan
buatnya. Kini dia punya sokongan dan restu yang paling
kuat. Lampu hijau sudah diberikan. Melissa pasti tidak dapat
mengelak lagi selepas ini.
Kemudian, Izdham mengambil keputusan untuk
berlama-lama di rumah kedua ibu bapa Melissa dengan
niat untuk bersuai kenal dengan kedua ibu bapa gadis itu.
Tidak manis pula kalau dia meminta diri setelah mendapat
restu. Malahan, dia dapat melihat yang kehadirannya amat
disenangi. Inilah masa yang amat sesuai sekali. Bagai pucuk
dicita, ulam yang mendatang. Bagai orang mengantuk, yang
disorongkan bantal!

No comments:

Post a Comment