Monday, 11 December 2017
Kunci Hati Hanim - Bab 1
SURAH Yasin dibaca buat kali yang ketiga. Hati
yang merindu beransur tenang tetapi air mata masih setia
menitis membasahi pipinya yang mulus. Dengan nafas yang
tersekat, dia meneruskan bacaan. Walaupun matanya tunak
memandang pada surah Yasin di tangan, namun fikirannya
jauh melayang mengimbau kenangan-kenangan silam. Makin
terdera rasa hati, namun dia cuba untuk bertahan dan setia
meneruskan bacaannya.
Usai bacaannya, Yasin ditutup rapat dan dikucup
lama. Bergenang lagi air mata yang sudah sedia terhenti
seketika tadi. Lalu nafas ditarik dalam bagi mengumpul
segala kekuatan yang masih bersisa. Setelah apa yang telah
terjadi, masih bersisakah kekuatannya? Ya, masih!
Air disiram kemudian bunga ditabur. Kuburan itu
kelihatan segar dan berbau wangi. Nisan dipegang kemas
dengan mata yang terpejam. ‘Rindu... Hanim rindukan mak.
Terlalu cepat mak tinggalkan Hanim sedangkan Hanim
masih perlukan mak di sisi. Sangat-sangat perlukan mak.
Hidup Hanim sudah berubah mak. Semuanya dah berubah...
Hanim keseorangan kini. Abang dan adik langsung tidak
cuba memahami keadaan Hanim. Bagaimana harus Hanim
meneruskan hidup Hanim, mak?’
Hati Hanim berbisik sayu. Jiwanya meronta.
Mahukan sedikit ketenangan dan juga kebahagiaan. Namun,
tiada siapa yang memahami kemahuan jiwanya. Hanya
pusara inilah tempat dia mengadu segalanya. Walaupun jasad
emaknya telah tiada, pusara emaknya bisa menjadi peneman
yang setia.
Terasa lama dia mengadu nasib di situ, Hanim bangun
dan mengemas semua barang yang dibawa dan bersedia
untuk pulang. Angin yang bertiup lembut membuatkan
selendangnya berterbangan. Mujur saja selendangnya sudah
dipin dengan kemas dan tidak terlepas.
“Hanim balik dulu, mak. Nanti Hanim datang lagi.
Assalamualaikum, emakku sayang...” ucap Hanim dengan
nada sebak.
Langkah diatur meninggalkan pusara Puan
Humairah dengan hati dan jiwa yang walang. Langkahnya
longlai, langsung tidak bertenaga. Hidup mesti diteruskan
Hanim. Itulah ayat keramat yang selalu disemat di dalam
hati. Tetapi persoalannya, bagaimana?
BACAAN IZZAT tidak lancar seperti kebiasaannya. Walaupun
bibir tidak henti mengalunkan surah Yasin, namun matanya
tidak lepas daripada memandang susuk tubuh yang berlalu
meninggalkan tanah perkuburan itu. Sedikit terganggu
bacaannya hari ini dengan kehadiran gadis berkurung hitam
itu. Lama mata Izzat tertancap pada si dia yang semakin
menghilang sebelum lengannya dicuit oleh kakaknya yang
turut berada di sisi.
Sedar dengan kealpaannya, Izzat kembali fokus pada
Yasin di tangan. Walaupun matanya tertancap di situ, namun
fikirannya tidak henti dari memikirkan tentang gadis yang
dilihat seketika tadi. Ada satu keinginan yang mula hadir.
Keinginan untuk melihat gadis itu sekali lagi.
Selesai membaca Yasin di pusara ibu dan bapanya,
Izzat dan kakaknya, Irma bangun dan berlalu meninggalkan
kawasan perkuburan tersebut. Saat dia melintasi pusara yang
dilawati gadis berkurung hitam sebentar tadi, mata Izzat terus
terarah pada tanah kubur yang basah dan dipenuhi dengan
taburan bunga. ‘Pusara siapa agaknya ini?’ Rasa ingin tahu
mula mencucuk tangkai hati dan spontan langkah kakinya
terhenti.
“Izzat?”
Izzat memandang Irma yang sedikit terkedepan.
“Kenapa?” soal Irma dengan kerutan di dahi.
Izzat hanya menggeleng sebagai jawapan dan
kembali mengatur langkah menuju ke kereta.
Irma yang ditinggalkan di belakang merenung tajam
ke arah adiknya. Kenapa pelik sangat kelakuan adiknya hari
ini? Dari tadi lagi dia perasan yang Izzat seperti hilang fokus
dan fikiran adiknya itu seperti sedikit terganggu. Tetapi,
kenapa?
Pintu kereta ditutup perlahan dan Irma terus
menoleh ke arah Izzat yang sudah mula meneruskan
pemanduan. Walaupun riak pada wajah adiknya itu kelihatan
biasa saja, namun dia pasti yang fikiran Izzat tidak setenang
raut wajahnya tika itu.
“Ada masalah ke?” soal Irma tanpa dapat ditahan.
Izzat menoleh ke arah Kak Irma seketika sebelum
kembali memandang ke hadapan. “Tak ada.”
“Habis tu kenapa kakak tengok macam ada yang tak
kena aje dengan Izzat hari ini.”
“Apa yang tak kena?”
“You’re not your usual self. Seems like you’re lost in
your own thoughts. Fikir apa?”
“Nothing.”
Irma mendengus geram. Izzat selalu macam ini,
tidak suka berkongsi apa pun dengan dia. Mereka sudahlah
dua beradik saja, tapi dia rasa seperti dia berseorangan saja
di dunia ini. Adiknya lebih suka buat hal sendiri. Kalau ada
masalah langsung tidak mahu dikongsi.
“Kakak ni, kakak Izzat tau!” Irma menjeling Izzat
yang sedang fokus memandu.
“Tak ada siapa pun yang cakap kakak tu bukan kakak
Izzat.”
Irma mendengus lagi. “Habis tu kongsilah dengan
kakak. Takkan semuanya nak simpan sendiri.”
“Tak ada apa yang nak dikongsikan kakak,” ucap
Izzat tanpa nada.
Izzat Hazril yang sekarang lebih suka buat hal
sendiri tanpa mempedulikan pandangan orang sekeliling
termasuklah kakaknya, Irma. Sejak Kak Irma kembali semula
ke Malaysia, kakaknya itu tidak pernah kisah dengan perangai
‘lone ranger’ dia. Tapi hari ni tiba-tiba kakak dia jadi kepochi
pula.
“Izzat memang selalu macam tu kan, tak pernah
anggap kakak ni kakak Izzat.” Tangan membelit dada sendiri.
Ya, dia dengan Izzat bukanlah rapat seperti adik dan kakak
yang lain. Tapi sekurang-kurangnya dia cuba untuk rapat
semula dengan adiknya itu. Tapi Izzat...
“Jangan nak mengarutlah kakak.”
“Kakak tak mengarut, I’m telling you the truth.
Izzat tu aje yang tak nak terima kenyataan...”
Tangan Izzat mula menekan punat yang terdapat
pada stereng kereta dan keretanya mula bergema dengan
suara Josh Groban. Volume dinaikkan dan suara Irma terus
ditenggelami oleh suara merdu Josh Groban itu.
“Hesy, dia ni!” Irma hanya mampu mendengus geram
dan membuang pandang ke luar tingkap. Manakala Izzat pula
meneruskan pemanduan seperti tiada apa yang berlaku.
KAKI TERPASAK di hadapan pintu rumah saat terdengar
suara orang bertengkar dari dalam. Jelas kedengaran suara
abang dan ayahnya sedang bertelingkah tetapi Hanim tidak
pasti tentang apa. Dia cuba untuk mendengar dengan teliti,
namun butir bicara mereka semakin lama semakin kurang
jelas. Tanpa dapat ditahan, Hanim terus menyerbu masuk ke
dalam rumahnya.
“Kenapa bising-bising ni abang?”
Semua mata terarah kepada Hanim yang tercegat di
muka pintu rumah besar itu. Kelihatan Tuan Yazid dan Hasif
sedang berhadapan dengan wajah yang menyinga. Manakala
Hazrul pula berdiri agak jauh dari abang dan ayahnya, seperti
tidak mahu ikut campur dalam pergaduhan itu.
“Ayah?”
Hanim berjalan menghampiri kedua-dua lelaki
yang sangat dia sayangi dengan wajah yang kusut dan penuh
dengan persoalan.
“Tanya abang,” jawab Tuan Yazid dengan suara yang
keras.
Hanim mengalihkan pandangan ke arah Hasif
yang masih menyinga. Jelas kelihatan rahang abangnya
bergerak-gerak menahan marah. Begitulah Hasif apabila
marah sedang merajai hatinya.
“Orang tua tak sedar diri ni nak rampas hak kita,
Hanim!!!”
Memetir suara Hasif di dalam rumah peninggalan
arwah Puan Humairah. Terhinggut bahu Hanim dan Hazrul
dek terkejut. Manakala Tuan Yazid yang sudah sedia maklum
dengan kemarahan anaknya memandang tajam ke arah Hasif.
Dari tadi itulah gelaran yang Hasif berikan kepadanya, ‘orang
tua tak sedar diri’.
“Ayah, betul ke?” Mata Hanim mula berkaca. Hatinya
masih ragu dengan kenyataan yang baru didengari itu, tetapi
mustahil abangnya menipu kalau sudah begini keadaannya.
“Aku cuma nak tuntut hak aku, itu aje.”
“Hak apa???”
Terpejam mata Hanim mendengar jerkahan
abangnya.
“Hak apa yang kau nak tuntut ha? Rumah ni? Kereta
dekat luar tu? Tanah dekat kampung? Tak cukup lagi ke
dengan duit pencen arwah mak yang kau dah bolot selama
ni? Tak cukup lagi ke?” Berang dengan kata-kata Tuan Yazid,
habis dimuntahkan semua amarahnya.
“Abang, janganlah cakap macam tu. Dia ayah kita,
hormatlah sikit.” Hanim menegur dalam ketakutan. Kurang
senang dengan kata-kata yang abangnya lemparkan terhadap
ayahnya.
“Nak hormat buat apa? Orang tua yang busuk hati
macam ni tak layak untuk kita hormat!”
“Walau apa pun, ayah tetap ayah kita abang.”
“No, Hanim! Abang tak nak dengar kau cakap macam
tu lagi.”
“Tapi...”
“Kakak...” Hazrul mencelah. Tidak mahu Hanim
meneruskan bicaranya, bimbang kalau kakaknya pula yang
menjadi mangsa kata-kata kesat Hasif.
Faham dengan isyarat yang diberikan, Hanim diam,
akur dengan isyarat adiknya.
“Kau keluar sekarang. Aku tak nak tengok lagi muka
kau dekat sini.”
“Bukan aku yang sepatutnya keluar, tapi korang
semua yang perlu keluar dari rumah ini.”
Wajah diangkat dan Hanim memandang Tuan Yazid
dengan riak tidak percaya. Air mata yang memberat juga
sudah mula menitis. Jari-jemari mula terketar-ketar. Tidak
sangka seorang ayah sanggup menghalau anak-anaknya dari
rumah mereka sendiri.
“Kau...”
Hazrul terus berlari mendapatkan Hasif. Pantas
badan abangnya itu dipeluk kemas. Hazrul cuba menghalang
Hasif daripada bertindak di luar batasan.
“Sabarlah abang...” Pujukan Hazrul bagaikan
angin lalu pada pendengaran Hasif. Sedaya upaya dia cuba
melepaskan diri daripada pelukan adiknya itu. Ingin ditumbuk
wajah tidak malu seorang ayah. Sudahlah arwah emaknya
diperlakukan seperti orang tidak berperasaan, sekarang
giliran mereka adik-beradik pula yang perlu menghadap
ketamakan seorang lelaki yang bergelar ayah.
“Ayah, baliklah. Sekarang bukan masa yang sesuai
untuk bincangkan tentang perkara ini.” Hazrul terpaksa
bersuara lagi apabila melihat ayahnya langsung tidak bergerak
dari tempat dia berdiri. Tegar benar ayahnya menuntut hak
yang sememangnya milik mereka adik-beradik.
“Kalau bukan sekarang, bila lagi?” Tuan Yazid masih
bersuara keras.
Sudah lama dia menantikan saat ini, saat untuk
menuntut segala aset yang ditinggalkan oleh arwah bekas
isterinya. Tetapi anak-anak dia sangat susah untuk dibawa
berbincang. Tengok sajalah apa yang terjadi hari ni. Elok-elok
dia datang, semburan kata-kata kesat pula yang diterimanya.
“Ayah, cubalah faham keadaan kami sekarang ni.”
Sungguh Hazrul kesal dengan tindakan ayahnya
itu. Langsung tidak mahu bertolak ansur. Padahal mereka
bukannya orang lain, anak-anak dia juga. Kenapalah ayah dia
boleh berubah menjadi sekejam ini?
“Orang tua ni memang tak faham bahasa Hazrul.
Kau lepas, biar aku tumbuk muka orang tua ni. Dah kena
sebiji baru nak sedar agaknya.” Hasif masih berusaha untuk
melepaskan diri daripada pelukan adiknya tetapi badan tegap
Hazrul itu agak menyukarkan dia untuk bebas.
“Ayah balik dulu ya? Nanti Hanim cuba bincang
dengan abang dan Hazrul. Bila semuanya dah reda, Hanim
cari ayah ya,” pujuk Hanim dengan hati yang hiba. Walau
marah macam mana sekali pun dengan Tuan Yazid, rasa
hormat terhadap seorang ayah tetap menebal dalam dirinya.
Tangan Tuan Yazid ditarik lembut supaya
mengikutnya keluar dari rumah itu. Nasib baiklah tanpa
sebarang kata ayahnya mengikut langkah kaki Hanim.
Satu-satunya anak perempuan yang dia ada dan hanya Hanim
yang masih setia menghormati dirinya.
“Ayah akan datang semula untuk tuntut hak ayah.”
Kata-kata terakhir Tuan Yazid sebelum berlalu
meninggalkan Hanim yang tercegat di laman rumah.
Belakang ayahnya yang semakin menghilang dipandang
dengan rasa tidak percaya. Hingga ke saat ini ayahnya tetap
juga mahu menuntut hak yang sudah terang bukan milik dia.
Hanim mengeluh berat seraya berpaling untuk melangkah ke
dalam semula. Namun langkahnya terhenti apabila melihat
Hasif dan Hazrul berdiri di muka pintu sambil memeluk
tubuh.
“Itulah orang tua yang kau hormatkan sangat tu.
Orang tua tak sedar diri. Sampai ke sudah soal hak aje yang dia
ungkapkan. Tak ada kata kasih atau sayang langsung Hanim.
Untuk apa lagi kau hormatkan orang tua macam tu? Tak ada
gunanya Hanim, tak ada gunanya...” Hasif menggelengkan
kepala sebelum melangkah meninggalkan adik-adiknya.
Hanim dan Hazrul saling berpandangan.
“Rul sayangkan ayah, tapi lepas apa yang terjadi tadi
rasa sayang itu hilang dengan sendirinya kakak. Maafkan Rul.
Rul dah tak boleh terima ayah dalam hidup Rul lagi kak.”
Hazrul juga turut berlalu meninggalkan Hanim.
Tubuhnya yang lemah hampir terlorot. Sungguh, dia tidak
kuat untuk menghadapi semua ini. Apakah yang bakal terjadi
lagi nanti?
No comments:
Post a Comment