Monday, 11 December 2017

Kunci Hati Hanim - Bab 6

REFLEKSI badannya di dalam cermin direnung
tanpa jemu. Kolar baju kemeja kosong dililit dengan tali leher
yang kontra warnanya dengan kemeja yang dipakai. Warna
lembut dipadankan dengan warna gelap sememangnya
mampu menyerlahkan penampilan seorang arkitek seperti
Izzat.
Sedang tangan ligat bergerak melilit tali leher,
fikirannya mula melayang memikirkan tentang car dealer
yang seorang itu. A mysterious woman. Susah benar nak
dengar suara yang bagai emas itu. Berpatah-patah yang
ditanya, sepatah saja yang dijawab. Kalau orang lain dah lama
minta tukar car dealer yang lain. Tapi, entah kenapa hati dia
tetap mahukan Hanim. Nafas ditarik dalam.
‘Siapa lelaki itu ya? Apa kaitan lelaki itu dengan
Hanim?’ Persoalan yang sering menerjah kotak fikirannya
sehingga kini. Entah sejak bila semua persoalan itu menjadi
penting bagi dia. Tapi tidak dapat dinafikan, segala kata-kata
yang dilafazkan oleh lelaki itu kepada Hanim sedikit sebanyak
menggores hatinya. Ya, dia dengar semuanya. Bila Hanim
memandang ke arah pasangan lelaki itu, dia sudah mula
memasang telinga.
Hairan, kenapa Hanim langsung tidak bertegas
untuk mempertahankan dirinya sedangkan sudah jelas dan
nyata dia berada di situ atas urusan kerja bukan seperti
apa yang lelaki itu katakan. Izzat menarik nafas dalam lagi.
Memikirkan tentang Hanim bagaikan memikirkan tentang
projek yang tergendala. Duk takuk situ saja, langsung tiada
perubahan.
Sedang dia masih leka memikirkan tentang Hanim,
namanya dipanggil dari bawah. Siapa lagi yang panggil kalau
bukan kakaknya, Irma. Penampilannya diperkemas buat kali
terakhir. Beg messenger yang berisi dokumen penting dicapai
dan disangkut ke bahu dan Izzat bergegas turun ke bawah.
Dari tangga sudah kelihatan Kak Irma sedang
menyusun cawan di atas meja. Apa yang untung ketika Kak
Irma tinggal dengan dia adalah, tiap-tiap pagi kakaknya akan
sediakan sarapan dan dia wajib mengambil sarapan sebelum
ke tempat kerja. Bab makan memang kakak dia sangat tegas
orangnya.
“Lambatnya. Selalu tak kena panggil pun.” Ujar
Irma. Cawan kosong di hadapan Izzat diisi dengan teh O
panas. Sejak bila adiknya tukar minuman kegemarannya pun
dia tidak pasti. Kalau dulu adiknya lebih gemar minum kopi
berbanding teh. Namun sejak dia menjejakkan kaki ke dalam
rumah Izzat, hanya teh saja yang tersimpan di dapur dan kopi
langsung tidak kelihatan.
Tanpa kata, Izzat terus mencapai cawan yang telah
diisi dan mencicip perlahan minuman hasil air tangan
kakaknya itu.
Bibir dikemam, Irma mengumpul sabar di dalam
hati. Sudah berbulan dia tinggal di rumah Izzat. Namun
layanan adiknya terhadap dirinya langsung tidak berubah.
Layanan sejuk beku macam itulah yang diberikan setiap kali
dia bersuara.
“Malam nanti balik awal tau. Kakak ingat nak masak
untuk makan malam nanti. Bosan pula makan dekat luar.”
“Tengoklah macam mana.” Roti bakar dicapai dan
digigit tanpa memandang Irma yang sedang memerhati
segala pergerakannya.
“Kereta baru Izzat macam mana? Bila dapat?” Irma
masih mencuba untuk mengajak Izzat bersembang. Biarlah
pendek jawapan Izzat, asalkan adiknya itu masih mahu
bersuara.
“Belum tandatangan agreement.”
“Lambatnya. Kalau macam tu lebih baik suruh
kawan kakak saja yang uruskan, senang dan cepat. Car dealer
mana yang buat kerja lambat sangat ni?”
Izzat memandang ke arah Kak Irma seketika sebelum
kembali meneruskan kunyahan. “It is not because of the car
dealer.”
Ya, bukan car dealer itu yang bermasalah, tapi dia.
Dia yang sengaja tak nak tandatangan surat perjanjian tempoh
hari sebab Hanim tak nak berterus terang tentang apa yang
telah terjadi. Sudah macam bergaduh dengan kekasih pula.
“Habis tu?”
“Nothing.” Izzat angkat bahu, malas berbicara
dengan lebih lanjut.
Irma tunduk. Lupa pula, Izzat mana nak berkongsi
cerita dengannya.
“I’m done. Izzat pergi dulu.” Izzat bangun dari
duduknya dan terus berlalu keluar.
Irma hanya memandang langkah kaki adiknya itu
tanpa kata.

SEMUA DOKUMEN penting disumbat ke dalam beg kerjanya.
Kemudian Hanim menjeling ke arah jam di pergelangan
tangan. Waktu dijanjikan lambat lagi, tapi dia sudah sibuk
mengemas itu ini. Serupa tidak cukup tanah gaya kalutnya.
Maira yang dari tadi hanya diam memerhati mula
bergerak mendekati Hanim. “Kau kenapa Nim? Kalut
semacam aje aku tengok.”
Selesai memasukkan segalanya ke dalam beg, zip
ditutup kemas. Hanim menghela nafas lega sebelum duduk
buat seketika. “Aku nak keluar jumpa client sekejap lagi.”
Maira turut menjeling jam di tangan. “Sekarang
baru nak pukul 10 Hanim. Yang kau gelabah ayam sangat
ni kenapa?” Nak tergelak pun ya dengan gelagat Hanim hari
ini. Sudah lama dia tidak nampak Hanim kalut macam ini.
Sahabatnya ini sudah lama sangat tenggelam dalam dunia
kelamnya itu.
“Aku kena cepat.”
“Yalah, tapi kenapa? Ke kau ada nak singgah dekat
mana-mana dulu.”
Laju Hanim menggeleng. “Aku kena cepat. Aku kena
sampai lebih awal daripada client aku.”
Kening Maira mula bercantum. “Kenapa? Client kau
garang eh?”
Hanim menggeleng lagi sebagai jawapan.
“Habis tu, kenapa? Ke kau selalu datang lambat?
Lepas tu kena marah?”
Kali ini Hanim mengangguk pula.
Maira menggeleng. “Dah berapa kali kau datang
lambat?”
Jari telunjuk dan jari hantu diangkat sebagai tanda
dua. Dari tadi bahasa isyarat saja yang dia guna. Malas betul
nak bersuara.
“Isy, kau ni dah kenapa? Memang patutlah pun kalau
dia marah.”
“I have my own reasonlah, bukan aku sengaja pun
datang lambat.”
“I bet you never gave him any explaination, right?
Kenapa kau asyik datang lambat?”
“Aku malas nak cakap banyak Maira. Aku cuma nak
selesaikan kerja aku aje. Tapi dia tu...”
“Kenapa?” Maira duduk berhadapan dengan Hanim.
Macam ada sesuatu yang telah terjadi terhadap kawannya itu.
Tapi apa?
Hanim menarik nafas dalam. Kalau dengan Maira,
memang tiada apa yang boleh disorokkan. Lagipun, dengan
Maira saja yang dia berani nak berkongsi tentang apa-apa pun
sebab Maira seorang saja yang memahaminya.
“Masa aku jumpa dengan client aku hari tu, aku
terserempak dengan Meor.”
“Again?” Mata Maira membulat. “Kenapa kau asyik
terserempak dengan dia aje ni?”
“I don’t know. Dah jodoh agaknya.” Hanim cuba
bercanda walaupun dengan riak wajah yang serius. Langsung
tidak nampak seperti dia sedang bergurau.
“Kau jangan nak mengarut eh. Mamat tu dah ada
pengganti, kan?”
“Yeah I know, but we kept on bumping into each
other Mai. Rimas juga aku rasa.”
Tangan dililit ke badan dan Maira bersandar ke
belakang. “Dia seorang aje ke waktu tu?”
“Of course not.”
“Mungkin Tuhan nak tunjuk dekat kau yang dia
sedang bahagia dan kau kena lupakan dia Nim.”
Perlahan-lahan Hanim angguk setuju. “Sebab itulah
aku nak cuba lupakan dia, Maira. Walaupun sangat susah aku
rasa, aku akan tetap cuba lupakan dia.”
Maira menggenggam kemas tangan Hanim di atas
meja. “Habis tu apa kaitannya semua tu dengan client kau?”
Hanim menarik nafas dan kembali menyambung
cerita perihal clientnya yang agak membosankan itu. Semua
diceritakan kepada Maira, tiada satu pun yang tertinggal.
“Sibuk betul nak tahu soal peribadi aku. Bosan betul!” Raut
wajahnya kembali serius bila bercakap perihal clientnya yang
seorang itu stres betul rasa.
Maira menahan gelak. “Habis tu kau beritahu dia ke
tidak?”
“Kau macamlah tak kenal aku kan. Memang taklah
aku nak cerita dekat dia. Tapi yang buat aku lebih geram tu,
boleh pula dia tak nak tandatangan surat perjanjian tu sebab
aku tak nak cerita semua dekat dia.”
Gagal menahan ekspresi wajah, akhirnya terhambur
juga ketawa Maira. “Lepas tu?”
“Lepas tu aku angkat kaki, tinggal dia seorang
dekat situ. Dia ingat aku senang macam orang lain ke nak
kongsi semua dengan orang yang aku baru kenal. Lagipun,
dia tu siapa nak ambil tahu hal peribadi aku. Hesy, tak suka
betullah!” Kerana terlalu geram, Hanim mula membebel.
Boleh tahan becok mulut dia apabila marah macam ini.
Tapi bila berdepan dengan Meor, tidak pula lancar sebegini
mulutnya berkata-kata.
“Surat perjanjian tu?”
“Nak jumpa hari ni sebab nak minta dia tandatangan
surat perjanjian itulah.”
“Kalau dia masih tak nak tandatangan selagi kau tak
cerita semua dekat dia macam mana?”
Sedar yang dia terlalu leka berbual, Hanim menjeling
jam di tangan. Rasanya elok kalau dia gerak sekarang. Terus
Hanim bangun dari tempat duduknya dan beg kerja disangkut
ke bahu.
“Kalau dia degil juga, aku pass kat orang lain ajelah
kes dia ni. Malas aku nak layan songeh dia tu. Aku gerak dulu
Mai, karang lambat pula sampai.”
“Jaga diri Nim.”
Sempat Hanim mengangkat tangan tanda okey
sebelum berlalu meninggalkan ruang pejabatnya. Tersenyum
Maira melihat belakang badan Hanim yang semakin
menghilang. ‘Hanim, hidup kau ni tak adalah kelabu sangat.
Cuma kau belum jumpa orang yang mampu mewarnakan
hidup kau agar menjadi lebih berseri. Semoga hidup kau akan
diwarnai dengan warna-warna yang ceria nanti.’

“WHAT A surprise.”
Kerusi ditarik dan Izzat terus melabuhkan duduk
berhadapan dengan Hanim. Saat dia melangkah masuk ke
dalam kafe tersebut, pandangan matanya terus disapa oleh
raut wajah Hanim yang serius. Hanim lebih awal daripada dia
hari ini. Serik kena bambu agaknya. Alah, tapi bukan beria
sangat pun dia marah hari itu.
Hanim cuma menayangkan wajah serius tanpa
senyuman. Wajah Izzat yang bersahaja membuatkan dia
geram. Kalaulah Izzat tandatangan surat perjanjiannya
minggu lepas, hari ini mungkin sudah boleh bawa keluar
kereta. Selesai kerja dia. Tak payah nak menghadap muka
Izzat lagi. Tapi sebab orang dekat depan dia ini mengada-ada
sangat, entah bila kerja dia akan selesai.
“Apa khabar Cik Hanim? Sihat?” Raut wajah Izzat
juga mula berubah serius. Sejak dia duduk, Hanim langsung
tidak menyapanya. Kata-katanya tadi juga dibiarkan bagai
angin lalu. Langsung tidak berperasaan wanita di hadapannya
ini.
“Sihat. Encik boleh turunkan tandatangan dekat
sini dan semuanya akan selesai.” Tiada pembuka kata, Hanim
terus menolak surat perjanjian jual beli kereta ke hadapan
lelaki itu.
Terkelip-kelip mata Izzat memandang.
“Why so serious?”
“Apa?”
“Awaklah. Kenapa serius sangat? Jom order
minuman ke... makanan ke dulu.” Izzat mengangkat tangan
memanggil pelayan kafe tersebut.
“Saya tak ada masa untuk itu Encik Izzat.” Sedaya
upaya dia cuba mengelak daripada berlama dengan Izzat.
Bimbang kalau Izzat cuba mengorek hal peribadinya lagi.
“But I cleared my time just for you.”
“Encik Izzat, saya datang sini sebab kerja. Bukan nak
makan minum semua.”
“You know what, Cik Hanim. Sesibuk mana pun, kita
tetap juga kena makan dan minum.”
“And I can do that later,” jawab Hanim tidak mahu
kalah.
Izzat bersandar ke belakang dengan mata yang
tidak lepas memandang Hanim dari atas ke bawah. Cantik!
Raut wajah Melayu asli. Lebih cantik kalau bibir merah itu
tersenyum. Dan lebih indah jika senyuman itu adalah untuk
dirinya.
“Kenapa?”
“Apa?”
“Kenapa saya nampak awak macam cuba nak
mengelak daripada saya aje. Macam dah tak sabar sangat nak
sudahkan semuanya. Tak sudi nak berlama dengan saya.”
“Saya cuma nak selesaikan kerja saya encik.”
“Ya saya tahu. Tapi di samping itu awak cuba nak
mengelak dari saya, kan?”
Dah tahu lagi mahu tanya. Hanim menunduk. Tidak
mampu rasanya mahu menentang pandangan mata Izzat.
Dengan melalui cara itu Izzat dapat membaca segala niat dan
perilakunya.
“Saya tahu awak kurang selesa dengan saya and I’m
sorry for that. Tapi Cik Hanim...”
Hanim mengangkat wajah apabila kata-kata Izzat
terhenti seketika.
“Saya tetap nak tahu siapa lelaki hari itu dan apa
kaitan dia dengan awak.”
Dia dah mula dah. Soalan inilah yang paling Hanim
cuba elakkan, namun belum sempat dia berbuat apa-apa,
lelaki itu sudah mula menerjah dia dengan soalan itu. “Awak
tak ada hak untuk tahu Encik Izzat.”
“Why?”
“Simple! Because you are nobody to me.” Hanim
mula geram. Geram apabila benda senang macam itu pun
Izzat tidak boleh berfikir. Lebih geram apabila Izzat tidak
habis-habis mahu masuk campur urusan peribadinya.
“Let me be somebody to you then.”
Locked eyes! 5 minit berlalu, tiada sepatah kata pun
yang terluah dari bibir Hanim.
Izzat pula hanya diam menunggu respons daripada
wanita yang berada di hadapannya itu. Melihat Hanim yang
hanya diam sambil merenung ke arahnya dengan wajah tanpa
riak, hati Izzat mula berdetak laju. Namun sedaya upaya cuba
dineutralkan riak wajahnya itu.
“Say something Cik Hanim.”
Bagaikan baru tersedar dari lena yang panjang,
Hanim mengerdipkan matanya buat beberapa ketika. “Lets
continue Encik Izzat. Cepat kita selesaikan semua ini,
cepatlah Encik Izzat dapat kereta encik tu.” Terketar-ketar
tangan Hanim menghulur kertas untuk ditandatangani oleh
Izzat.
“Saya tak akan tandatangan surat perjanjian tu selagi
awak tak jelaskan kepada saya tentang semuanya.”
Mata dipejam buat seketika, cuba mengumpul
kesabaran walau secebis. “Give me one reason why I should
even bother explaining it to you. Just one, Encik Izzat.”
Izzat diam.
“Tak ada, kan?”
Izzat diam lagi.
“Tak ada alasan yang kukuh pun kan?”
Izzat tetap diam.
“Tolonglah Encik Izzat, tolong jangan rumitkan
keadaan. Just sign here and we’re done. Saya datang ke sini
untuk bekerja, semata-mata kerana kerja. Bukan kerana hal
peribadi yang langsung tiada kena-mengena dengan encik.
So please... Kalau encik tetap tak nak tandatangan surat
perjanjian ni, saya akan pass agreement ni kepada car dealer
yang lain. Biar dia yang uruskan semuanya.”
Lama Izzat memandang wajah Hanim yang sudah
masam mencuka. Tegas dan degil. Keras hati juga. Itu
rumusan yang sempat dia buat tentang Hanim. Nak tak
nak, Izzat terpaksa juga menandatangani surat perjanjian
itu. Selesai semuanya, semua dokumen yang berkaitan
diserahkan semula kepada Hanim.
“Terima kasih. Nanti saya akan hubungi encik bila
kereta dah boleh keluar.” Dokumen di tangan disumbat ke
dalam beg kerjanya dan Hanim bingkas bangun dari tempat
duduk. Buat seketika dia tunduk hormat kepada Izzat
yang masih memandang dan kemudian dia terus berlalu
meninggalkan Izzat sendirian. Terasa sesak di dada apabila
mata Izzat tidak lepas dari memandang wajahnya.
Bayang Hanim telah lama menghilang, namun Izzat
langsung tidak menoleh dan memandang. Hanya tunduk
merenung meja kosong di hadapan.
‘What have you done Izzat? Sibuk nak ambil tahu
perihal peribadi orang. Padanlah kalau Hanim marah,
padanlah kalau Hanim tetap berkeras tak nak jelaskan
semuanya. You are nobody to her. Kau siapa nak sibuk hal
orang?’ Tangan naik meraup wajah sendiri. Sungguhlah, akal
dan hati memang tidak pernah seiring...

No comments:

Post a Comment