‘ALAMAK! Macam mana boleh sama pulak
tarikhnya ni?’
Dina meneliti jadual program motivasi yang baru
diterima. Herot-berot mulutnya melihat tarikh program
tersebut. Memang tak ada peluanglah dia ke Kuala Lumpur
hujung minggu ni. Takkan nak minta cuti pula? Dia masih
baru di sini. Tak mungkin Izan akan luluskan.
“Kenapa tu?” tanya Husna.
“Errr... tak ada apa-apa,” ujar Dina sebelum
meletakkan kertas putih itu di atas meja. Tak apalah. Kirimkan
hadiah sajalah pada pengantin baru nanti. Tapi macam mana
dengan mak dan abah? “Aduhai. Macam mana ni?”
“Ada masalah ke dengan jadual program tu? Kalau
ada baik beritahu sekarang. Abang Izan dah nak keluar tu,”
ujar Husna bila mendengar keluhan temannya itu.
Dina pandang Izan yang sedang bercakap di telefon.
Rasa-rasanya dapat tak dia pulang lebih awal hujung minggu
nanti? Atau, dia minta cuti kecemasan?
“Hmmm... semuanya okey. Cuma nama fasilitator
untuk program Night Walking ni belum ada.” Dina kembali
menumpukan perhatian pada kerja. Nanti-nanti sajalah
fikirkan pasal lain.
“Night walking tu Abang Izan yang akan handle.
Nanti aku letak nama dia,” balas Husna. Laju tangannya
mencatat sesuatu di dalam buku hariannya sebelum
menyambung kerja di mejanya.
Dina kembali membelek jadual program yang
diletakkan di atas meja tadi. Dalam kepala sudah berkira-kira
untuk berbincang dengan Izan. Namun, ada rasa risau
menyelubungi hatinya. Dia baru sahaja bekerja di situ.
Takkanlah dah mula mengada-ada nak minta cuti? Apa pula
kata teman sekerjanya yang lain nanti.
“Dina, jom ikut aku.”
Dina pantas menoleh. Tak semena-mena dilihat Izan
membaling kunci kereta. Mujur dapat sambut. Belum sempat
dia bertanya apa-apa, lelaki itu sudah keluar dari pejabat.
Kelam-kabut dia ambil beg tangan.
“Dia memang selalu macam ni ke? Tak ada mulut
nak bercakap.”
“Aku cadangkan lepas ni kau guna beg selempang
aje. Tak payah bawa beg tangan. Senang bila dia buat macam
ni kau tak kelam-kabut nak berkemas.” Husna senyum lebar.
Dia masak sangat dengan perangai Izan. Lelaki yang pendiam
tapi komited pada kerja.
“Dia nak ke mana sebenarnya ni?” Dina bertanya lagi.
Alang-alang dah berkemas, shut down komputer dululah.
“Aku rasa dia nak periksa tapak program. Kau ada
krim sun block? Kalau ada baik pakai sekarang.” Yani yang
sejak tadi hanya jadi pemerhati menyampuk.
Husna mengangguk, mengiakan cadangan Yani.
Dina kemam bibir. Dia memang suka aktiviti outdoor.
Tapi kalau hari-hari terpaksa buat kerja tanpa perancangan
macam ni mahu tertanggal semua tulang-tulangnya.
“Kalau tak ada, pakai aku punya dulu.” Yani
membaling krim sun block ke arah Dina.
“Terima kasih. Nanti dah dapat gaji aku ganti yang
baru ya.” Laju Dina menyapu krim tersebut di muka, dan
keseluruhan tangannya.
“Pakai ni sekali. Orang putih kata untuk extra
protection.” Husna pakaikan topi besbol di kepala Dina.
Masing-masing tersengih lebar melihat Dina.
“Ya Allah baiknya korang berdua. Ni yang buat
aku sayang sangat kat korang. Terima kasih ya.” Dina
membetulkan letak topi di atas kepala. Terharu bila ada
rakan-rakan yang prihatin.
Baru tiga hari di sini, tak pernah sehari pun Dina
diam di pejabat sehingga ke petang. Dia tak kisah semua
tu. Buat masa ini rakan-rakan sekerja langsung tidak
memberikan sebarang masalah kepadanya melainkan Izan.
Dia masih belum faham rentak kerja lelaki itu yang sebenar.
Izan suka buat keputusan di saat-saat akhir. Kadang-kadang
perangai Izan membuatkan dia rasa macam budak suruhan
pun ada. Jadi pemandu Izan ke sana ke mari. Temankan lelaki
itu makan. Pergi jumpa pelanggan. Satu perkara yang dia
kurang gemar, depan orang bukan peramah lagi lelaki itu.
Bila selesai saja meeting Izan akan kembali pada perangai
asal. Tahu-tahu nanti bila sampai pejabat lelaki itu akan suruh
dia dokumentasikan semua perkara yang telah dibincangkan
bersama pelanggan. Itu sajalah kerja yang dia buat sebagai
permulaan.
“Lesen kau tertinggal kat rumah ke?” Tiba-tiba Izan
muncul semula di pintu pejabat. Pandangannya tepat pada
Dina yang melipat lengan baju.
“Ada dalam beg ni. Kenapa?”
“Habis tu apa lagi yang kau terhegeh-hegeh tu?
Cepatlah sikit. Kita banyak kerja hari ni.” Gesa Izan sebelum
menghilangkan diri.
“Ha... kan dah kena!” Yani dan Husna menyakat
serentak.
Dina jelir lidah dan terus berlari keluar. Tak apa.
Orang baru tak boleh banyak songeh. Ikutkan sajalah Dina.
TELEFON BIMBIT Dina berbunyi ketika dia dan Izan baru
saja sampai ke lokasi program motivasi yang bakal diadakan.
Mula-mula dibiarkan saja telefon pintarnya berbunyi sehingga
senyap. Namun, bila telefon itu berbunyi sekali lagi Dina
pantas menyeluk poket seluarnya. Mengecil anak matanya
bila nama Fida tertera di skrin.
“Jawab dulu. Dah habis cakap nanti silentkan
handphone tu. Lari monyet dalam hutan ni dengar bunyi
telefon tu karang.”
Agak berdesing juga telinga Dina mendengar sindiran
Izan. Disambut juga panggilan itu. “Assalamualaikum Kak
Fida...”
“Waalaikumussalam. Tengah kerja ke?”
“Yalah. Ada apa ni?” Dina menyoal sambil mengawasi
pergerakan Izan. Bimbang pula ditinggalkan sorang-sorang.
Dia belum biasa dengan persekitaran Tiram Indah Village and
Resort ni. Ada juga yang tersesat nanti.
“Amboi! Sibuk sangat ke ni?” Suara Fida mengendur
bila mendengar nada adiknya itu.
“Dina dengan bos ni Kak Fida. Kalau tak ada hal
penting, petang nanti Dina call.”
“Okey, kita sambung petang nanti. Tapi, Kak Fida
nak beritahu ni. Hujung minggu ni balik rumah tau. Kak Fida
ada hal penting nak cakap dengan semua orang. Bye!”
Usai menamatkan panggilan, Dina terus masukkan
kembali telefon bimbit itu ke dalam poket seluar. Laju
langkahnya menyaingi Izan yang sudah masuk ke dalam
pejabat pengurusan Tiram Indah Village and Resort.
Dilihat Izan dan tuan punya resort sudah duduk di ruang
perbincangan ketika dia menolak pintu pejabat.
“Kenalkan pembantu saya, Dina. Dia yang akan
handle semua peserta nanti.”
Dian terkedu. Nafasnya masih mencungap. Belum
apa-apa lagi Izan dah berikan dia tugas baharu. Bila masa pula
dia bersetuju nak jadi penjaga peserta? Dina senyum dalam
paksa. Melihatkan kedua-duanya memberi ruang untuknya
duduk di sebelah masing-masing, akhirnya dia membuat
keputusan untuk memilih kerusi yang bertentangan dengan
mereka berdua. Di situ lebih selesa dan lebih selamat rasanya.
“Azmi, nanti kau e-melkan semua butiran lengkap
peserta. Kalau ada apa-apa perubahan nanti kau berurusan
aje dengan Dina.” Izan memulakan perbincangan.
Seperti biasa Dina jadi tukang dengar. Tapi, kali ni
fokusnya agak terganggu. Perbualan bersama Fida tadi masih
berlegar-legar di dalam kepala. Apa hal yang penting sangat
sampai dia pun mesti ada di rumah hujung minggu ni?
“Dina,” panggil Izan.
Dina tersedar. Dilihat meja perbincangan sudah
kosong. Lantas, dia menoleh ke pintu. Encik Azmi dan Izan
sedang memerhatikannya. Cepatnya perbincangan selesai.
Atau mereka ingin berbincang di tempat lain pula? “Nak pergi
mana tu?”
“Tak nak balik ke?” Izan menyoal kembali.
“Eh, nak. Saya nak kemaskan barang-barang kejap.”
Dina telan air liur. Mana ada barang yang perlu dikemas. Ah!
Lantaklah. Dia sapu permukaan meja dengan tapak tangan
dan capai kunci kereta. Dengan selamba dia melintas di depan
Izan dan Encik Azmi.
“Saya tunggu dalam kereta.” Ujar Dina tanpa
memandang muka mereka berdua. Nak tutup malu
sebenarnya.
“Kuat berangan betul budak tu.”
Dina mempercepatkan langkah. Telinga dah panas
bila mendengar rungutan lelaki itu pada Encik Azmi. Tapi
bukan salah Izan. Dia yang tak tumpukan perhatian. Mujurlah
tak kena herdik depan Encik Azmi. Kalau tidak, lagi haru.
“Kau ni betul ke tak ada boyfriend?” Izan menyoal
sebaik sahaja mereka memulakan perjalanan pulang ke
pejabat.
“Betullah.”
“Kalau betul kenapa aku tengok kau gelisah aje sejak
pagi tadi? Anak kucing kau hilang ke?”
Dina menoleh. Peluang dah terbuka ni. Alang-alang
Izan dah buka mulut apa kata kalau dia minta izin untuk
pulang awal hujung minggu nanti?
“Abang Izan. Hari Ahad tu nanti, program kita habis
pukul berapa?”
“Kau tak tengok dalam tentatif program ke?”
“Tengok.”
“Habis tu?”
Dina diam. Ikutkan hati mahu dihantukkan kepala ke
stereng kereta. Kenapa soalan itu yang keluar dari mulutnya
tadi?
“Kau nak pergi dating ke?”
“Kan saya dah cakap saya tak ada boyfriend. Kenapa
Abang Izan suka tanya soalan tu?” Suara Dina tertinggi
sedikit. Stereng dipegang kemas. Sangat rimas bila soalan itu
sering dipasakkan ke telinga.
“Marah pulak? Yang kau tu terkial-kial nak bercakap
tu apa hal? Ni nak beritahu. Program kita tu nanti memang
habis pukul 2 petang. Tapi lepas tu kena buat post-mortem.
Aku nak tahu maklum balas peserta, berapa banyak peralatan
yang rosak dan pastikan semua chalet yang kita gunakan
dalam keadaan bersih. Malam tu pula semua yang terlibat
kena ikut pergi makan malam dengan bos resort tu sebagai
tanda terima kasih. Clear?”
Dina tak berani mengangguk. Menoleh pun tidak.
Nampak gayanya terpaksalah dia kecewakan keluarganya
sekali lagi.
‘Maafkan Dina abah, mak. Kak Fida, Dina tak dapat
balik hujung minggu ni.’
No comments:
Post a Comment