BIASANYA menu makan tengah hari Felisy
adalah nasi goreng dengan ayam sambal. Tapi bila setiap
kali keluar dengan mamat debunga cinta ni, habis semua
makanan di dalam restoran ni diorder nak suruh dia makan.
Tak boleh dia nak diet sedikit pun.
“Jangan tenung lama-lama. Awak makan
banyak-banyak ya. Saya nak tengok awak tembam macam
teddy bear ni.” Keychain kunci kereta Felisy digoyang-goyang
di depan mata.
“Isy! Apalah Lish ni.” Pantas Felisy menyambar
kunci di tangan Khalish.
Suka sangat nak buat dia jadi tembam. Muncung
Felisy panjang. Nak suruh dia tembam macam teddy bear
pula tu. Dia punyalah jaga badan sampai sanggup puasa
sunat. Tapi Khalish boleh pula buat permintaan macam tu.
Khalish tersenyum meleret. Suka dia tengok
muncung panjang Felisy. Jadi hiburan bila sesekali dapat
mengusik si buah hati. Sekali gus buat hatinya tergelak
kelucuan.
Perut dah lapar. Selesai baca doa, sesi makan
dimulakan.
Perkara yang Felisy suka tentang Khalish ialah lelaki
ini penuh tertib setiap kali sebelum melakukan sesuatu.
Beberapa ketika kemudian, Felisy pegang perut.
Adoi! Mulalah perut dia ni buat perangai.
“Sebenarnya... saya ajak awak keluar ni nak beritahu
sesuatu yang... yang...”
“Yang apa?”
Hati rasa berat, tapi mulut kena cakap juga.
Perlahan-lahan Felisy tarik nafas menahan perut yang mula
bergelodak.
“Yang... hmm... dinner malam ni cancel. Sorry...”
Perlahan-lahan Felisy tarik bibir cuba senyum.
Kalau ikutkan, memang payah ayat tu nak keluar
dari mulut dia. Tapi, takkan dia nak simpan jadi pekasam. Dia
kena beritahu juga.
Khalish terus meletakkan sudu dan garpu. Bila
dengar ayat macam tu, mulalah selera dia terbantut. Tisu
dilap ke mulut.
“Felisy, why?” Khalish berkerut kening.
“Kan ke malam ni kita dah janji nak dinner sama.
Kalau tak malam ni, bila lagi? Awak tahu tak, umi dah excited
nak jumpa bakal menantu dia yang cantik ni. Lish pun tak
sabar nak temukan umi dengan sayang. So, persiapan malam
ni all ready done. Please... jangan kecewakan Lish,” rayu
Khalish sambil menggenggam tangan Felisy.
Felisy menarik tangannya dengan perlahan. “Lish,
tolong bagi saya masa untuk fikirkan. Lagipun, saya tak
bersedialah nak jumpa dengan umi awak.”
Khalish menggeleng. Alasan itu dia tak boleh terima
sama sekali. Dah hampir dua tahun dia kenal Felisy. Rasanya
alasan yang sama saja dia dengar. Dan dua tahun itu juga dia
mencari kekuatan untuk mengenal apa erti cinta.
“Sayang... Lish dah bersedia untuk segala-galanya.
Cuma satu saja Lish nak tahu, sayang setuju atau tidak?”
Felisy diam. Dia belum ada jawapan untuk soalan
Khalish.
“Tapi kalau awak ada masalah duit, itu semua tak
payah risau. Biar Lish yang keluarkan belanja untuk semua
perbelanjaan kahwin kita.”
“No! Bukan sebab duit. Tapi... saya cuma perlukan
masa untuk diri sendiri. Tolong faham.” Felisy tersenyum
nipis.
Mulut dia belum bersedia nak memberitahu apa-apa.
Sebab dia sendiri tak tahu apa yang tidak kena dengan hati
dia.
“Lish tak faham.” Khalish tenung lama mata Felisy.
“Awak tak cukup rehat ya?” teka Khalish.
Felisy menggeleng perlahan.
“Awak dah berhenti kerja?” tanya Khalish.
“Ke situ pula. Bukanlah,” jawab Felisy.
“Pasal Abang Ryzal?”
“Tak ada kena-mengena dengan dia okey.”
“Pasal gaji awak tak cukup?” teka Khalish.
“Lish, tolonglah jangan teka-teka macam ni.
Semuanya tu tak betul,” bidas Felisy. Berlapis dahinya.
Dia tahu lelaki ini terlalu ambil berat tentang dirinya.
Rasa rimas juga bila dia selalu menjadi bahan perhatian lelaki
ini dan sering dimanjakan. Dia tidak mahu Khalish terlalu
berharap dalam hubungan mereka.
“Habis tu, kenapa? Sampai bila sayang nak suruh
Lish tunggu? Hormon dalam badan Lish ni cepat berubah
setiap kali berdepan dengan sayang. Please... janganlah buat
Lish menunggu lama-lama sayang...”
Felisy kelu lidah untuk membalas kata-kata Khalish.
Susah hati kalau dia terjatuh cinta dengan lelaki macam ni.
Romantik sangat. Sampai lemas dia jadinya. Tapi, satu dia
suka tentang lelaki ini. Penuh kesabaran dan kepercayaan
pada dia. Tutur kata Khalish tidak pernah menyakitkan hati
dia. Dan dia masih tercari-cari, kenapa hati dia susah sangat
nak terima lelaki sebaik ini. Ke mana rasa cinta itu pergi, dia
sendiri pun tidak tahu.
“Wait! Lish rasa Lish tahu.”
Hati Felisy mula berdebar-debar bila sorotan mata
Khalish cuba menangkap apa yang ada dalam fikiran dia.
“Ini tentu pasal kahwin, kan?” Sekali lagi Khalish
meneka. Mata dia dan mata Felisy bertemu.
Lama Felisy terdiam. Lebih tepat lagi Felisy mati
akal untuk menjawab tekaan Khalish.
“Jadi... memang betullah ini semua sebab kahwin?
Yes!” Khalish terjerit.
Laju jemari halus Felisy diraih. Mengecil mata
Khalish merenung penuh kesungguhan pada wajah
kesayangannya. Dia tahu kesuntukan masa selalu saja
menjadi penghalang kemesraan dia untuk berbuat begitu.
“Tak apa. Sayang jangan susah hati. Malam ni tak
jadi dinner Lish tak kisah. Tapi minggu depan Lish hantar
rombongan meminang terus. Lish pun dah tak sanggup nak
tunggu lama-lama lagi.” Tangan Felisy dikucup mesra.
“Hmm... Lish jangan macam ni boleh tak? Malulah
orang tengok.” Tangan Khalish ditolak perlahan.
Khalish tersenyum meleret. Peranan sebagai kekasih
bukan setakat cakap manis-manis aje. Kena ada inisiatif lain
juga. Tangan menyeluk poket seluar.
“Biar diaorang pandang. Ini bukti cinta Lish
pada Felisya Azhar. Dan Lish nak sayang jadi teman
hidup Lish sampai bila-bila,” beritahu Khalish dengan
bersungguh-sungguh.
Daripada duduk, dia bangun kemudian berlutut
dengan senyuman. Dia akan jadikan saat-saat indah ini
sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila.
“Sayang, terimalah ini sebagai tanda cinta kita.
Dan cinta Lish bukan setakat emas dan permata yang ada
kat dalam kotak ini. Tapi cinta Lish seikhlas hati untuk kita
layari bahtera perkahwinan bersama. Khalish Al-Fattah cinta
pada Felisya Azhar. Sudikah wahai bidadariku, andai kita
berkahwin cukup bulan ni?”
Felisy tergamam. Hamboi! Gelojoh benar bunyinya
tu. Hujung minggu hantar rombongan meminang, cukup
bulan nak berkahwin? Muka Felisy berubah pucat. Elok-elok
dia duduk, tiba-tiba rebah. Pula dah!
“Sayang! Sayang...” Khalish cemas.
Nasib baik dia sempat sambut Felisy daripada
terjelepok di atas lantai. Hilang terus rasa lapar bila manjanya
dah pengsan di depan mata.
No comments:
Post a Comment