Tuesday, 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 1

TIMBUNAN buku-buku pelbagai saiz di atas
meja dipandang sebal. Memikirkan yang dirinya kini sedang
berada di dalam perpustakaan, Tia berusaha menyulam sabar.
Hakikatnya, suara not tinggi di dalam anak tekak sudah
meronta-ronta ingin menderu keluar menunjukkan bakat.
Namun dipendam demi melihat pengawas perpustakaan yang
sedang mengawasi keadaan dari hujung kaunter. Sudahlah
muka ketat, siap dengan cota hitam yang ditepuk-tepuk ke
tapak tangan. Menggerunkan kepala otak sungguh! Ini kalau
sengaja cari masalah atau tunjuk lagak, ada yang berbirat
tubuh badan tak fasal-fasal.
Ding! Ding! Ding!
Jam dinding perpustakaan yang berbunyi menarik
perhatian. Memanjangkan batang leher menjengah, mulutnya
melontar keluh tanpa sedar. Jarum jam jelas menunjukkan
yang waktu sudah pun mencecah ke pukul 12.00 tengah
hari. Sedangkan kick-off meeting untuk kelas Dr. Nazmi ini
sepatutnya bermula pada pukul 11.30 pagi.
Menunggu... Bukanlah sesuatu yang dia, Tia Clarissa
binti Haji Alis suka. Malah boleh dikatakan pantang bagi
dirinya. Sama ada menjadi pihak yang menunggu atau pihak
yang ditunggu, kedua-duanya dia tidak suka. Pegangannya
selama ini, punctuality itu lambang disiplin dan hanya orang
yang berdisiplin sahaja yang akan mencapai kejayaan. Tapi,
kalau dah sejak awal-awal lagi semuanya langgar masa, masih
tak tunjuk muka walaupun waktu telah melebihi setengah
jam daripada yang dijanjikan, haruskah dia melempar
senyuman manis untuk mereka?
“Sorry, sorry, sorry!”
Seorang gadis bertunic labuh dan berseluar slek
muncul dengan nafas yang tersemput-semput. Buku-buku
yang tadinya tersusun kemas di atas meja, jadi sedikit
bertaburan akibat pergerakan tangan gadis itu. Hah, ini lagi
satu yang dia tidak suka!
“My dear Wana, you’re late.” Tegasnya menghulur
kata.
“Sorry.”
“And you're messing up the table.” Dia tekan suara,
menyebut sepatah demi sepatah.
“Erk! Sorry Rissa, sorry! Aku tak sengaja tersepahkan
meja ni. Aku susun balik, aku susun balik!”
Tingkah Wana yang panik dan kelam-kabut
menyusun semula buku-buku di atas meja mencuit hati,
namun dia menahan diri agar tidak menayang senyum
mahupun ketawa. Sesekali, biar dia bertegas begini. Tidak
dinafikan yang Wana ialah best buddy forever (BBF)nya
namun dia mahu gadis itu tahu yang dia serius apabila tiba
bab pengajian dan cita-cita.
“Okey, cun dah meja! Mana yang lain? Cari buku?”
Wana menyoal seraya duduk di kerusi bertentangan
dengannya. Tangan gadis itu sibuk menyentuh kepala tudung
yang dipakai, walhal keadaan tudung bawal yang berwarna
hijau lembut itu sudah sempurna letaknya di wajah ayu itu.
“Entah. Bayang pun tak nampak.” Sedikit
sarkastik, sedaya upaya dia cuba mengawal suara yang ingin
menghamun. Dalam hati tidak henti-henti melafazkan zikir
astaghfirullah.
‘Jangan letup Rissa, jangan letup!’ Berkali-kali dia
mengingatkan diri sendiri.
“Kalau macam tu kiranya aku ni awal jugalah, kan?”
Wana ketawa kecil.
Namun apabila dia rakus menjeling, tawa gadis itu
terus hilang.
“Sorry. Aku gurau aje. Kejap, aku call budak-budak
tu.”
Kata-kata Wana seakan memberi harapan baru.
Daripada bersandar pada kerusi, dia menggerakkan tubuh
supaya duduk tegak. Tangan kedua-dua belah bercantum di
bawah dagu.
“Ada ke nombornya?” Dia tidak dapat
menyembunyikan rasa teruja.
“Swee Lin punya aje.”
“Oh...” Perasaan teruja merudum sedikit.
Lo Swee Lin, salah seorang ahli tugasan berkumpulan
bagi subjek Entrepreneurship Business Plan. Yang dia kenal
gitu-gitu aje, sebab walaupun mengambil kursus pengajian
yang sama, jarang sekali mereka ditempatkan di dalam satu
kuliah yang serupa.
Selain Swee Lin, Wana dan dirinya sendiri, ada lagi
dua orang pelajar lelaki yang dia langsung tidak kenal. Hendak
kata dirinya anti sosial, tidak juga. Kawan-kawannya ramai,
baik lelaki mahupun perempuan. Cuma sejak melangkah
masuk ke sesi pengajian master ini, dia lebih senang
menumpukan seluruh perhatiannya pada kuliah-kuliah dan
aktiviti-aktiviti anjuran kolej.
“Hi, girls!”
Terpacak di hadapannya dan Wana saat ini seorang
lelaki berbangsa Cina yang kelihatan seperti baru pulang dari
bersukan. Bertubuh kurus tinggi, dengan pakaian sukan yang
lengkap berhud dan rambut potongan ala-ala selebriti Korea.
Tampak sungguh cute di mata perempuannya, untuk seorang
lelaki.
“Entrepreneurship Business Plan, Dr. Nazmi’s class,
team 8, right?”
Serentak dia dan Wana mengangguk.
“I’m Alan Tam. Just call me Alan.”
“Nur Iwana. Can call me Wana.” Wana
memperkenalkan diri.
“Rissa.” Pendek dia menjawab apabila kedua-dua
mereka memandangnya.
“Only Rissa?” Alan menyoal.
“Yup.”
“Nama penuh apa?”
Oh, okey. Tahu cakap Melayu rupa-rupanya mamat
berbangsa Cina ni. Ingatkan tadi sepanjang semester akhir ini
dia perlu berbahasa Inggeris setiap kali ada group discussion.
Bagus! Tak adalah dia terpaksa berlakon menjadi minah salih
celup tak cukup sifat.
“Nama penuh panjang dan susah nak sebut.” Laju
dia membalas apabila Alan bertanyakan nama penuhnya
untuk kali kedua.
“That’s not true at all, Alan. Nama penuh dia sedap.”
Terus wajah Wana dipandang geram. Menyampuk
cakap orang tua, nak kena dia ni! Namun belum sempat
dia hendak melontar kata, Swee Lin si fashionista muncul
dengan gaya catwalknya.
“Hi all! 1000 apologies. My class was dismissed a bit
late. How much have I missed?”
“We haven’t started yet. Belum mula apa-apa pun
lagi.” Sengaja dia menuturkan ayat yang sama dalam dua
bahasa berbeza. Cara halus untuk memberitahu Swee Lin
yang dia mahu mengajak gadis itu berbahasa Melayu.
“Lucky I am! Oh wait, looks like only four of us? I
thought it’s five?”
“Assalamualaikum.”
Spontan 4 pasang mata termasuk dirinya, mengalih
pandangan ke arah empunya suara yang tiba-tiba mencelah.
Seorang lelaki sederhana tinggi, berkulit sawo matang dan
bercermin mata sedang menghampiri mereka bersama
senyuman.
“You are?” Alan menyoal.
Lelaki yang berkemeja warna maroon itu berhenti
melangkah dan berdiri betul-betul berhadapan dengan
mereka berempat.
“Saya Mazrik. Tunang orang.”
PINTU BILIK Tia tutup rapat. Beg sandang kelabu yang
tersangkut di bahu kanan diletakkan di atas meja belajar
sebelum punggung dilabuhkan ke atas katil bujang yang
menjadi tempat tidurnya sejak 3 semester lepas.
Tubuh yang lesu diregangkan ikut keselesaan diri.
Pusing kiri kanan dengan kedua-dua tangan menggawang
ke serata arah ikut suka. Setelah merasa puas, baru dia
berhenti. Namun sebaik sahaja merebahkan badan ke atas
katil, matanya tertancap pada kipas siling yang pegun tidak
bergerak.
Sedikit mengeluh, dia bangun semula. Kotak suis di
sebelah pintu bilik dituju dan suis untuk kipas ditekan. Tahap
kelajuan diletakkan pada nombor empat. Tengah-tengah hari
begini, rasa panas memang lebih mendera jiwa apatah lagi dia
baru sahaja lepas berjalan kaki dari perpustakaan universiti
yang jaraknya beratus-ratus meter.
Baru hendak meletak kepala di atas bantal, pintu
bilik terkuak dan teman sebiliknya muncul dengan tuala yang
membungkus separuh rambut.
“Mandi?” Tia menyoal malas.
“Haah. Panas wei, lega dapat kena air.”
“Ada orang lagi tak?”
“Tinggal sorang tadi. Nak mandi pergilah.”
Tia bangkit dari perbaringan. Tuala yang tergantung
di atas penyidai di belakang pintu dicapai. Namun tika
tangannya menyentuh tombol pintu, dia teringat sesuatu.
“Ju...” serunya perlahan, tidak jadi hendak
melangkah. “Kau kenal Mazrik?”
“Presiden Kelab CNRE tu ke?”
“Presiden?” Wajah Julia direnung tepat.
CNRE, singkatan untuk Chemical & Natural
Resources Engineering. Kalau dah pegang jawatan presiden
kelab salah satu fakulti kat U, kira orang penting jugalah tu.
Tapi kenapa dia tak pernah dengar?
“Aku tak pernah dengar pun?” Tanpa sedar dia
membuat pengakuan.
“Mana kau nak tahu dan dengar. Kau kan nampak
Am sorang aje dalam dunia ni? Lelaki lain mana kau nak
sedar!”
Bidasan Julia dibalas dengan helaan nafas. Salahkah
jika dia bersikap setia? Sampai sekarang dia masih tidak faham
kenapa Julia semacam anti dengan lelaki yang mendapat
tempat istimewa dalam hatinya.
“Ju, aku...”
“Okey, aku minta maaf untuk kata-kata aku tadi. Tak
sepatutnya aku cakap macam tu. Tapi, kenapa dengan Mazrik?
Tiba-tiba aje kau sebut nama dia.”
“Mazrik tu... dia memang macam tu ke?”
Kening Julia bercantum.
“Maksud kau?”
“Jenis yang gila-gila.”
Laju Julia geleng, beberapa kali.
“Nope. Dia jenis yang serius.”
“Okey...” Minda cuba menghadam dan mencari
kesimpulan. “Maknanya dia memang nak beritahulah yang
dia tunang orang, bukan tak sengaja tercakap ke apa...”
“Ulang lagi sekali?”
Wajah Julia dipandang dengan terkebil-kebil. Apa
hal tiba-tiba nada melantun kuat?
“Ulang balik apa kau cakap tadi,” desak Julia.
Dalam hairan, diturutkan juga permintaan gadis itu.
“Tadi masa kick-off group discussion, Mazrik
kenalkan dia sebagai tunangan orang. Err... bukanlah
apa-apa, tapi bagi aku macam pelik sikit kut.” Berhati-hati
dia mengungkap, tidak mahu Julia tersalah tafsir.
“How sweet!”
“Sweet?” Rasa hairannya semakin bertambah.
“Sweetlah tu! Rissa, lelaki yang tak segan silu
mengaku status diri ni, satu dalam sejuta tau. Sebab orang
lelaki ni biasanya seboleh mungkin nak label diri tu single
walaupun dah beranak pinak.”
“Oh, eh?” Kata-kata Julia menyebabkan fikirannya
melayang teringatkan Am. Adakah lelaki itu mengaku single
dan available di hadapan perempuan lain?
“Pastikan kau cerita kat aku in details untuk setiap
benda yang jadi lepas ni... maksud aku, yang melibatkan
Mazrik. Tau?”
“Dah kenapa?” Wajah Julia direnung tepat. Aneh
dirasakan permintaan gadis itu kali ini.
Daripada duduk santai di atas katil, Julia mengalih
tubuh ke atas kerusi belajar. Memandangnya dengan
pandangan yang sukar untuk ditafsirkan.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?”
“Aku cakap sikit boleh?”
“Go ahead.”
Terdengar helaan nafas Julia yang panjang.
“Rissa, aku faham kau setia dengan Am tapi cubalah
sesekali kau pandang sekeliling kau dan buka mata tu.”
“Aku tak faham...”
Julia memandangnya dengan kening yang terjongket.
“Cik Tia Clarissa, kalau cik nak tahu, selain daripada
jadi presiden kelab, Mazrik juga jadi perhatian pelajar-pelajar
perempuan di U kita ni, dengan syarat perempuan tu normal
macam aku. Macam aku tau, bukan macam kau yang tak
normal.”
Dahi dah berkerut beberapa garis. Bukan sebab
sindiran Julia di hujung bicara, namun kerana...
‘Jadi perhatian ramai perempuan?’
Tengok biasa-biasa aje pak cik tu!

“HUAARGHHH...”
“Menguap tutup mulutlah!” Sebiji bantal dicampak
tepat ke muka Hadi. Dan tidak sampai 5 saat, bantal tersebut
kembali dibaling ke arahnya namun dengan tangkas dia dapat
menyambut.
“Kau dari mana ni? Lewat pula hari ni?”
“Discussion.” Fail diletak ke atas meja.
“Awalnya dah ada discussion?”
Telefon bimbit dalam saku seluar berbunyi nyaring.
Tanpa bertangguh segera saku seluar diseluk dan gadget
berwarna hitam itu ditarik keluar.
“Kejap.” Dia beri isyarat sebelum menekap telefon ke
telinga.
“Assalamualaikum, Su.”
Hadi hanya memerhati sekilas sebelum kembali
berbaring. Kalau dah nama Su yang keluar tu, memanglah
tak akan sekejap.
“Tak apa, Su. Nanti abang fikirkan jalan.”
“Tak, tak. Su tak payah risau, biar abang handle.”
“Adik-adik sihat tak?”
“Kenapa tak makan lagi ni? Kalau sakit perut macam
mana?”
“Abang tak nak Su abaikan kesihatan Su.”
“Mestilah abang rindukan Su, sama macam Su
rindukan abang.”
“Apa-apa call abang.”
Hadi sengih. Setiap kali berbual di telefon, ada
sahaja ayat-ayat manis yang akan terbit dari mulut seorang
Mazrik Hakimuddin. Pernah dia menyelar teman sebiliknya
itu sebagai ‘playboy’ namun selarannya itu tidak berbekas
langsung. Malah dengan tenang jejaka itu menjawab... ‘Aku
bukan playboy. Cuma aku dibesarkan dengan penuh rasa
cinta dan kasih sayang.’
Jawapan yang membuatkan dia terkedu dan terus
terbatal niat untuk mengusik. Lalu sejak itu juga, dia mula
menjadi pemerhati. Dan akhirnya dia faham, those well
thought-of and gently spoken words, itulah cara Mazrik
menghormati orang perempuan di sekelilingnya.
“Okeylah, abang nak solat zohor ni. Su pun jangan
lupa solat. Take care.”
Menyedari panggilan telefon sudah diputuskan,
bingkas dia bangun.
“Suria?”
“Itu aje sorang Su yang aku ada.”
“Kau ni, Rik. Kalau orang tak kenal kau, mesti ingat
kau kasanova.”
“Tapi kau kenal aku, kan?”
Hadi sengih. Tidak menafikan. Sejak peringkat
diploma mereka berkawan, banyak yang telah dia faham
tentang seorang Mazrik.
“Boleh aku tanya sikit?” Dalam serba salah dia
mengaju soalan meminta izin.
“Apa dia?’
“Kau dah lama tunang dengan Suria, kan? Bila nak
langsungnya?”
“Bila Allah izin bagi jadi.”
“Such an unexpected answer.”
“Habis tu kau nak aku jawab apa? Study master
pun tak habis lagi ni. Dengan kuliah dan segala assignment
yang tak cukup tangan. Baru minggu kedua, assignment dah
berderet-deret dapat.”
“Sebut pasal assignment, tadi ada discussion apa
sampai lewat kau balik hari ni?”
“Subjek yang kau dah ambil semester lepas.” Pintu
almari pakaian dibuka, mengambil tuala bersih.
“Entrepreneurship Business Plan?”
“Yup.”
“So, team dengan siapa? Geng-geng kita yang biasa
ke?”
“Tak. Dr. Nazmi yang tetapkan. Semuanya aku tak
pernah deal sebelum ni.”
“Siapa?”
“Chinese guy Alan Tam, Chinse girl Swee Lin, Rissa
dan Nur Iwana.”
“Rissa?”
“Haah. Apa entah nama betul dia tadi, susah sikit nak
sebut.”
“Then bertuahlah kau.”
“Kenapa?”
“Top student tu. Dean's list setiap sem.”

TIA MENGAMATI wajah lelaki di hadapannya dengan
pandangan tajam. Hati yang ingin mengamuk diingatkan
supaya bersabar.
“Awak datang naik motor kan, Mazrik?”
“Ya.”
“Jadi boleh tak awak balik semula ke kolej awak dan
ambil segala materials yang dibekalkan Dr. Nazmi tu? Saya
tunggu kat sini.” Nafas diatur senormal yang boleh. Berusaha
untuk menenangkan diri.
Entah apa aura malang yang melekat, perjumpaan
yang diaturkan atas persetujuan semua ahli kumpulan
akhirnya hanya dihadiri oleh dirinya dan lelaki itu. Alan,
Swee Lin dan Wana, ketiga-tiganya tidak dapat hadir pada
saat-saat akhir. Sudahlah hanya tinggal berdua, lelaki yang
Julia tergila-gilakan ini boleh pula meninggalkan segala
bahan assignment yang dibekalkan oleh pensyarah mereka.
Mahunya dia tak rasa nak mengamuk? Group discussion apa
kalau datang ke tempat perjumpaan dengan tangan kosong
dan berlenggang?
“Saya pergi ambil sekarang.” Tanpa menunggu
walaupun sesaat, Mazrik kembali berjalan ke tempat parkir.
Hilang bayang lelaki itu dari sisi pandangan mata,
Tia bawa kaki menapak ke kafeteria kolej. Meja paling hujung
bersebelahan dengan gelanggang bola keranjang menjadi
pilihannya untuk meletak punggung.
Bosan menunggu tak tahu nak buat apa, telefon
pintar dari saku seluar trek ditarik keluar. Membelek-belek isi
telefon tanpa tujuan, aplikasi WhatsApp dibuka. Melihat nama
Julia di senarai paling atas, dia teringat kepada perbualan
mereka beberapa hari lepas.
‘Mazrik tu crush kau, ya?’
Akal nakalnya terus membuahkan idea. Menggebu
niat untuk menyakat teman sebiliknya itu. ‘Crush eh? Meh
sini aku buat kau makan hati tahap petala ketujuh!’
Penuh semangat jari-jemarinya menaip baris
pesanan kepada Julia.
Ju, budak-budak lain tak dapat
datang. Rezeki akulah dapat date
dengan Mazrik ni. Jangan jealous
okey
Bersama sengihan ‘bertanduk’, telefon pintar jenama
Asus itu dibiarkan lepa di atas meja.
Sambil bersenandung senang hati sementara
menunggu balasan WhatsApp daripada Julia, anak mata
dibawa melilau ke seluruh kawasan kafeteria. Jelas tidak
begitu sesak walaupun waktu sedang menginjak ke pukul
12.50 tengah hari. Hujung minggu seperti ini, mungkin
ramai yang berjalan jauh untuk mengisi perut ataupun masih
ada yang terbongkang di atas katil. Student, biasalah. Baik
degree mahupun master, sama sahaja perangainya. Hari
tak ada kelas diperuntukkan untuk berjalan-jalan ataupun
bangun ekstra lewat daripada biasa.
Habis humming beberapa lagu yang tengah hit di
radio, masih tiada sebarang balasan yang diterima daripada
Julia. Tia mula disapa hairan. Takkan tak terusik kut? Tidak
sabar untuk terus menunggu, langsung didail nombor gadis
itu.
“Ju, kenapa tak balas WhatsApp aku?” Dia terus
menyerang dengan soalan sebaik sahaja menjawab lafaz
salam yang Julia hulurkan.
“Bila kau WhatsApp aku?”
“Adalah... 10 minit dah.”
“Tak ada, tak dapat pun. Aku on aje WhatsApp aku ni.
Betul ke kau ada hantar?”
“Betullah!”
“Pasal apa?”
“Aku tak nak cakap pasal apa. Letak dulu, aku send
balik.” Terus panggilan diputuskan. Tak thrilllah kalau cakap
direct.
Buka semula aplikasi WhatsApp, laju mata mencari
chat yang paling atas. Hah, ada pun mesej yang ditaipnya
tadi! Boleh pula Julia cakap tak ada.
Tapi...
Kejap!
Kenapa nama penerima...
“Maaaaaaaakkkkk!!!” Ibarat menarik part korus
lagu Ziana Zain, sedar-sedar sahaja suaranya telah bergema
memenuhi ruang udara kafeteria.
Menyedari mata orang sekeliling yang kini
pakat-pakat tertumpu kepadanya, laju dia mengangkat
punggung dari kerusi plastik merah dan berlalu. Secepat yang
boleh dia mengatur langkah menuju ke bangunan pejabat
kolej yang terletak bertentangan. Berdiri di hadapan pejabat
yang bercat warna kuning cair, dia menarik nafas panjang
berkali-kali sambil memujuk hati.
‘Relaks Rissa, relaks...’
Jujur... Seorang Tia Clarissa rasa nak tarik-tarik
kepala sendiri biar tercabut.
WhatsApp yang dia beria-ia mahu hantar kepada
Julia, dengan cemerlangnya dia telah terhantar kepada
Mazrik. Mazrik okey! M-A-Z-R-I-K. Tunang orang yang
kononnya dia nak dating tu! Haruslah saat ini anak matanya
yang bulat itu terbayang perkataan ‘MATI’ saja. Mana hendak
disorokkan mukanya apabila berdepan dengan lelaki itu
sekejap lagi? Confirm pak cik tu ingat dia ini dari spesies
menggedik menggatal walaupun niat sebenarnya hanyalah
hendak buat Julia jealous dan bengang.
Dengan deria yang serba tak kena, Tia melabuh
duduk di atas simen di tepi longkang. Berbekalkan hati yang
diselubungi resah, dup dap dup dap dia menanti kedatangan
lelaki yang bergelar tunangan orang itu. Reda ajelah kalau
kena maki dengan pak cik tu pun. Salah dirinya sendiri sebab
cuai. Mungkin sebab itu ada orang cakap, niat jahat akan
berbalik pada diri sendiri. Tepat kena pada dirinya hari ini.
Nak menyesal pun dah tak ada guna.
Jantung yang bercelaru semakin kuat degupannya
tatkala melihat motor milik Mazrik masuk ke pekarangan
kolej. Air liur di celah rengkung terasa makin payah untuk
ditelan. Lambat-lambat, dengan wajah yang kebas, dia bangun
dan berdiri menanti.
Terasa begitu cepat detik masa yang berlalu, Mazrik
kembali berdiri di hadapannya bersama bahan assignment
yang telah dibekalkan oleh Dr. Nazmi. Memberanikan diri
untuk bertentang mata, dia lihat wajah lelaki itu tenang
memandangnya tanpa sebarang riak. Aik, tak marah ke?
“So, nak discuss kat mana?”
Terkebil Tia selama 2 saat. ‘This guy, kenapa tenang
sangat? Ke sengaja nak buat aku rasa lebih bersalah?’
“Rissa?”
“Hah, ya? Err, jom.” Dalam gugup, dia mengajak
Mazrik duduk di meja batu di hadapan pejabat. Tidak mahu
kembali ke kafeteria kolej setelah menjerit tak hengat dunia
sekejap tadi.
“Kita nak mula dari mana ni?”
“Err... bahagi-bahagi tugas dulu kut?” Sungguh dia
rasa kekok sampaikan suara pun macam payah nak keluar
dari tekak.
“Okey, kita tetapkan tugas untuk setiap orang dulu.”
Dalam gundah, perbincangan untuk tugasan
berkumpulan dimulakan. Kekok yang dia rasakan, sedikit
demi sedikit menghilang apabila Mazrik terus pamer riak
biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Secoet pun lelaki
itu tidak menyentuh perihal WhatsAppnya yang memalukan
kaum Hawa itu.
Akhirnya 2 jam berlalu tanpa sedar, dan perbincangan
menemui titik penghujung.
“Okey, saya balik dulu.”
Berjalan beriringan, pekarangan pejabat kolej yang
sunyi itu ditinggalkan. Dalam berani-berani takut, sesekali
mata Tia mengerling orang sebelah. Raut Mazrik yang kekal
tenang dan langsung tidak berubah menyebabkan hatinya
rasa tidak betah. Berdolak-dalik seketul daging merah itu
antara ingin memberi penjelasan atau terus tutup kes dan
melupakan.
Saat Mazrik telah duduk di atas Modenas GT128
putih dan bersedia untuk meninggalkan kolej kediaman
tersebut, cik hati membuat keputusan drastik. Nekad, Mazrik
di atas motor didekati. Segala perasaan yang tak sedap ditelan
bagi lenyap. Bayang-bayang negatif dibuang jauh-jauh. Dia
mahu menjernihkan keadaan antara mereka sebelum lelaki
itu terus tersalah anggap terhadapnya. Susah nanti kalau
dia dan Mazrik bermasam muka sedangkan mereka dalam
tugasan berkumpulan yang sama. Walaupun hanya sekadar
untuk satu paper, pointer keseluruhannya boleh tercalar
kalau dia tak buat sehabis baik.
“Mazrik.” Sepatah dia memanggil. Pandangan
dihalakan ke arah jalan besar, tidak berani untuk bertentang
mata.
“Ya?”
“Urmm... saya ada tersilap hantar WhatsApp kat
awak tadi. Nak hantar pada member sebenarnya.”
Senyap. Tiada tindak balas.
Bila dia menoleh, lelaki itu ternyata sedang
memandangnya tanpa sepatah kata.
“Mazrik, saya...”
“WhatsApp yang awak ada date dengan saya tu ke?”
Dia lihat Mazrik seluk poket seluar.
“Ju, budak-budak lain tak dapat datang. Rezeki
akulah dapat date dengan Mazrik ni. Jangan jealous okey.
Ikon smiley jelir lidah. Yang ini ke?”
Tak payah tanya apa perasaannya tika itu. Ikut hati,
mahu sahaja dia benam kepala sendiri ke dalam tanah seperti
yang dilakukan oleh burung unta. Rasa mahu tercekik apabila
ayat WhatsApp yang dihantarnya, Mazrik sebut sepatah demi
sepatah.
“Betul yang ini?”
Muka dah terasa pijar. Mata terus tunduk merenung
bumi yang bertar.
“Haah, yang itu. Maaf...”
Tanpa diduga halwa telinga perempuannya disapa
dengan bunyi orang ketawa. Laju dia angkat kepala. Mazrik
memandangnya bersama tawa yang masih bersisa.
“Nak bagi kawan tu jealous, ya?”
Dalam malu dia mengangguk. Air liur dah rasa tak
tertelan. Perlahan-lahan, paras mata jejaka itu ditentang.
“Yang tu... saya... saya saja aje main-main dengan
dia, tak ada maksud apa-apa pun. Betul!” Jari yang tak berapa
nak runcing dibentukkan menjadi lambang peace. Senyuman
turut dilontar namun terasa kelat.
“Okey.”
“Hah?”
Dia melihat Mazrik tetap tersenyum.
“Saya balik dulu.” Hanya itu yang dibalas oleh
Mazrik sebelum menghidupkan enjin motor. Dan dalam
sekelip mata, bayangan lelaki itu hilang daripada jangkauan
anak matanya.
Mengeluh panjang, kaki mula membuka langkah.
Perasaan dalam lubuk hati usah dikata. Malu bertimpa-timpa,
segan semahu-mahunya. Seumur hidup, belum pernah lagi
dia memalukan diri sendiri sebegini. Serasa mahu dipinjam
cangkerang kura-kura yang dibela opah di kampung, biar dia
dapat menyorokkan wajahnya yang sedang malu tahap petala
ketujuh.
Tiba di bilik yang dikongsi bersama Julia, badan
direbahkan ke atas katil. Membelek telefon di tangan, aplikasi
WhatsApp dibuka lagi. Memastikan yang kali ini penerimanya
betul, barulah jari-jarinya mula menaip.
Mazrik, saya betul-betul minta maaf.
Saya tiada niat apa-apa. Harap awak
dan tunang awak tak salah faham.
Beberapa minit kemudian, pesanan WhatsAppnya
berbalas.
It’s okay! Saya anggap benda ni tak
pernah jadi. Don’t worry.
Tanpa sedar, bibirnya melarik senyum. ‘Such a nice
guy!’ desisnya pada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment