Tuesday, 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 7

HARI yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Tia
bangun daripada tidur dengan pelbagai rasa yang bercampur
baur. Gembira, berdebar, penuh semangat...semuanya
bergabung menjadi satu.
Bersemangat lantaran hari ini merupakan hari
terakhir untuk peperiksaan semester akhirnya. Berdebar,
kerana dia risau jika tidak dapat menjawab soalan-soalan
peperiksaan dengan baik. Manakala gembira, disebabkan
beban sebagai seorang pelajar akan berakhir dalam masa
kurang daripada 24 jam. Dan kebetulan paling istimewa;
kertas terakhirnya ialah Entrepreneurship Business Plan,
subjek yang menemukannya dengan Mazrik.
Peperiksaan kertas terakhirnya bermula tepat pada
pukul 2.30 petang. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim
dan doa penerang hati, dia membuka kertas soalan yang
diberi. Tenang, satu demi satu soalan yang tertera dijawab.
Mata pen berlari di atas kertas jawapan tanpa henti. Khusyuk,
tanpa sebarang gangguan. Dr. Nazmi lalu di sebelah pun dia
tidak sedar.
2 jam berlalu, masa yang diperuntukkan
untuk menjawab soalan peperiksaan akhirnya tamat.
Pengawas-pengawas peperiksaan yang mengawasi ruang
dewan mula mengutip kertas jawapan di atas meja, sebaris
demi sebaris bermula dari barisan paling hadapan.
Melihatkan aturan tersebut, Tia mengeluh sedikit.
Dirinya dan Wana duduk di barisan paling belakang, jadi
mereka akan keluar paling lewat kerana hanya pelajar
yang kertas jawapannya telah dikutip sahaja dibenarkan
meninggalkan dewan.
Dari tempat dia duduk, Tia menyedari bahawa Mazrik
yang berada di barisan kedua paling hadapan telah bangun
dari kerusi. Melihat jejaka itu mula berjalan melalui baris
lorong yang sama dengannya, Tia telan liur. Sah Mazrik akan
lalu di sebelahnya sekejap lagi! Justeru itu, semakin Mazrik
menghampiri, semakin dia berpura-pura sibuk melihat kertas
jawapan sendiri.
Mazrik yang menyedari tingkah gadis itu menyimpul
senyum. Bereaksi tenang. Sebaik sahaja tiba di tepi meja Tia,
selamba dia menarik kertas jawapan gadis itu, menyebabkan
Tia hampir-hampir terjerit dalam usaha mahu merampas
kembali kertas tersebut daripadanya. Hanya apabila gadis itu
membulatkan mata memandangnya, barulah dia melepaskan
pegangan.
“Acah aje... Kalau tak, adik buat tak tahu aje dengan
abang. Pandang pun tak nak,” bisiknya perlahan dan berlalu.
Sempat dia mengenyitkan mata ke arah Wana di sebelah Tia
yang sedari tadi asyik menjongket kening dan tersenyum
nakal.
Melepasi foyer dewan, telefon dalam saku seluar
dibawa keluar dan dihidupkan. Kemudian laju jari-jemari
Mazrik menaip pesanan WhatsApp untuk adiknya itu.
“Babe, kau tak rasa apa-apa ke?” soal Wana di dalam
dewan. Mereka masih menunggu pengawas peperiksaan
untuk mengutip kertas jawapan.
“Rasa apa pula?” Tia balas soalan dengan soalan.
“Tingkah Mazrik tadilah.”
Tia angguk.
“Rasalah juga.”
“Rasa apa?”
“Rasa geram. Selamba badak dia aje tarik kertas
jawapan aku.”
Wana ketuk kepala sendiri kiri kanan dengan
jari-jarinya yang dikepal menjadi penumbuk. Kenapalah dia
dapat kawan yang blur sebegini?
“Kau dah kenapa cederakan kepala sendiri?” tegur
Tia.
Wana geleng. Wajah Tia dicerun geram.
“Kau memang sengaja buat-buat blur, kan?”
Tia pandang Wana dengan mata yang terkebil-kebil.
“Kenapa kau cakap aku blur?”
Wana rasa ingin menjerit. Sungguh dia stres!
“Dahlah, jom balik!” ujarnya sebaik sahaja kertas
jawapan dikutip. Menonong dia keluar, meninggalkan Tia
yang masih terpinga-pinga.
Keluar dari dewan, Tia dan Wana berjalan seiringan
ke arah bas universiti yang sedia menunggu. Melabuh duduk,
sementara menanti bas tersebut bergerak. Tia menyelongkar
isi beg sandang putih yang dibawanya. Telefon pintar
kepunyaannya yang sama warna dengan beg tersebut dicapai
dan mobile data dibuka.
Ada notifikasi WhatsApp. Tanpa bertangguh dia
membuka aplikasi tersebut dan mula membaca.
Adik nampak comel hari ni.
Spontan Tia menilik diri sendiri. Dia memakai
baju kurung berwarna biru firus berbunga tulip coklat dan
kuning. Tudung pula tudung bawal berwarna biru cair. Apa
yang comelnya?
Comel? Abang salah orang kut ni...
Tidak sampai seminit, satu lagi mesej WhatsApp
masuk.
Adik ni terlalu comel bagi abang.
“Babe, aku tak fahamlah wei, apa yang comelnya
pakai macam ni?” WhatsApp daripada Mazrik tersebut
ditunjukkan kepada Wana.
Wana tengok skrin telefon sebelum memandangnya
dan ketawa suka.
“Pergilah jumpa dia kali terakhir,” saran Wana
selamba.
“Nak jumpa buat apa?”
“Untuk dapatkan jawapan yang kau nak cari tu.
Melainkan kalau kau nak terima jawapan aku.”
Riak Wana kala ini kelihatan sedikit nakal. Senyuman
lebar masih tak lekang dari bibir gadis itu. Siap kedip-kedip
mata lagi.
“Apa jawapan kau?” Dengan perasaan yang tak
berapa yakin Tia melontar tanya.
“He likes you. Really like,” jawab Wana sambil
mengenyitkan mata.

DALAM HATI berbolak-balik antara ‘ya’ dan ‘tidak’, Tia
akhirnya mengambil keputusan untuk mengikut cadangan
Wana. Itu pun setelah cadangan BBFnya itu mendapat
sokongan yang tak berbelah bahagi daripada Julia. Bukan
hanya setakat menyokong, tetapi Julia berterus-terusan
mengacau, memujuknya sehingga dia berkata ‘ya’.
Jauh di sudut hati, terselit perasaan ragu dengan apa
yang bakal dilakukannya. 24 tahun hidup, belum pernah lagi
dia keluar saja-saja dengan lelaki selain daripada Am. Dengan
Am pun, baru 4 kali mereka keluar berdua sejak berkawan 4
tahun yang lepas. Selebihnya keluar beramai-ramai.
Selesai menunaikan solat maghrib, Tia menyarung
sehelai blaus lengan panjang berwarna merah jambu samar
dan seluar slek berwarna krim yang dipadankan dengan
tudung bawal, juga berwarna krim. Ringkas dan selesa,
mudah untuk dirinya bergerak kerana mereka akan berjumpa
di tempat yang jauh sedikit dari kolej kediamannya.
Tiba di tempat makan yang dijanjikan, Mazrik
sudah sedia menunggunya di situ. Berpenampilan ringkas
dengan jean biru dan baju-T berkolar putih kosong. Dan
entah kenapa, malam ini Tia merasakan yang abangnya itu
kelihatan kacak daripada selalu.
“Okey kita duduk sini?”
Tia angguk. Kawasan kedai makan tersebut biarpun
luas, masih kelihatan sesak dengan pengunjung yang meriah.
Dan kebanyakan yang datang adalah pelajar sepertinya juga.
Hanya segelintir sahaja yang datang dari kawasan luar.
Macam mana dia tahu? Sebab berpasang-pasang
mata kini sedang terarah kepadanya dan Mazrik, seolah-olah
mereka ini alien yang baru turun dari planet Zuhal. Namun
apabila Mazrik menyedari dan membalas renungan mereka,
masing-masing berpakat menunduk kepala.
“Salah tak, apa yang kita buat malam ni, adik?”
Sementara menanti makanan yang diorder sampai, Mazrik
memulakan perbualan. Melihat reaksi orang sekeliling
sebentar tadilah yang menyebabkan dia mengaju soalan
tersebut.
Tia pandang mata Mazrik yang tidak pernah lekang
dengan cermin mata itu. Agak-agaknya bagaimanalah rupa
lelaki itu tanpa cermin mata? Nampak sepetkah? Atau tiada
sebarang beza?
“Maksud abang?” soalan Mazrik dibalas dengan
soalan.
“Yalah... adik dengan abang... kita keluar makan
berdua macam ni... Kak Suria... Am lagi...” Mazrik seperti
tercari-cari ayat untuk dilontarkan.
Namun, itu tidak menghalang Tia untuk faham,
malah dia terlebih faham akan apa yang ingin lelaki itu
sampaikan.
“Adik dan Am belum ada apa-apa ikatan. Bukan
suami, bukan tunang. Jadi adik tak terikat untuk beritahu dia.
Abang pula, Kak Suria tunang abang, jadi dia ada hak untuk
tahu,” tegas Tia membalas, memberikan pendapat tulusnya.
“Tapi abang tak beritahu dia pun perjumpaan kita
ni...”
Tia menyandarkan badan ke kerusi.
“Then, abang bersalahlah kut? Tapi disebabkan
kita jumpa di tempat terbuka yang ramai orang ni... dan tak
melakukan apa-apa yang melampaui batas, it should be okay.
Yang penting, kita tahu hati masing-masing. Hati abang
untuk Kak Suria, adik untuk Am.”
Elok-elok sahaja Tia habis bercakap, seorang pelayan
lelaki datang membawa hidangan. Kuetiau goreng dan ABC
untuk dirinya, manakala nasi ayam dan jus belimbing untuk
Mazrik.
“Abang makan guna tangan boleh tak?”
Soalan Mazrik menyebabkan kening Tia bercantum.
“Boleh aje. Kenapa nak minta izin pula? Bukan
abang makan pakai kaki,” balas Tia jujur. ABC disua ke mulut
dengan penuh nikmat. Kuetiau goreng yang turut dipesan
ditolak ke tepi dahulu.
Mazrik bangun dari kerusi dan berjalan ke arah
singki untuk membasuh tangan. Di saat dia kembali duduk,
jelas dia melihat yang Tia masih tekun menikmati ABC.
Langsung tidak memandang ke arahnya yang sudah mula
menyuap makanan.
“Adik malu tak kalau dapat suami macam abang?”
Barulah Tia mengangkat muka. Riak Mazrik yang
serius memberi petanda yang lelaki itu benar-benar ingin
tahu.
“Nak malu kenapa?” Dia menyoal semula.
“Sebab makan guna tangan. Tak pandai guna sudu
garpu...” balas Mazrik tanpa mengalihkan pandangan.
Tia geleng kepala lalu mengukir senyuman.
“Mana ada orang perempuan tetapkan kriteria untuk
jadi suami mesti pandai guna sudu, garpu, pisau semua?
Mengarutlah!”
“Jadi apa kriteria adik untuk pilih suami? Kalau tak
berharta macam abang ni datang masuk meminang, adik
terima tak?”
Tia ketawa.
“Abang ingat adik ni jenis yang materialistik ke?”
“Jadi, adik akan terimalah?”
Nafas dihela perlahan. Wajah Mazrik dipandang
lembut.
“Kita kena jadi realistik. Kalau ada lelaki yang ikhlas
datang meminang adik tapi dia tak berharta, adik akan bagi dia
peluang selama 6 bulan untuk dia buktikan diri dia, adik nak
tengok usaha dia menyimpan duit. Bukannya mengharapkan
jumlah simpanan yang banyak, tapi apa yang adik nak tengok,
pandai tak dia berusaha untuk mencari nafkah hidup. Itu
yang penting. Bagi adik, orang rajin, sikit-sikit lama-lama jadi
bukit. Orang malas, emas setinggi gunung pun boleh habis.”
“Jadi, abang boleh datang masuk meminanglah ni?”
tanya Mazrik lagi.
Tia menggeleng kepala.
“Untuk kes abang, in your dreams. Abang dah ada
tunang yang menanti,” tukasnya selamba sebelum menarik
pinggan yang berisi kuetiau. Dengan lafaz Bismillah, dia
memulakan suapan pertama.
“Kalaulah kita jumpa lebih awal...”
Terlalu perlahan suara Mazrik mengungkap patah
tersebut, namun masih dapat ditangkap oleh telinga Tia.

SEHELAI DEMI sehelai pakaian dipindahkan dari dalam
almari ke dalam luggage. Barang-barang yang ada hampir
90 peratus siap dikemaskan, hanya tinggal sehelai dua
pakaian dan peralatan mandi untuk diuruskan. Segala bahan
pembelajaran seperti buku-buku rujukan dan kertas-kertas
projek telah selamat dimasukkan ke dalam kotak dan diletak
di tepi katil. Esok bila ayah dan ma datang, dah boleh terus
angkut ke dalam kereta. Tak adalah mereka membuang masa
untuk menunggunya berkemas.
“Esok parents kau datang pukul berapa?” Julia masuk
ke bilik dengan membawa dua buah kotak saiz sederhana.
“Pagi, insya-Allah. Ma aku cakap dia gerak dari
rumah lepas subuh. Kau?”
“Ayah aku call tadi, dia cakap diaorang dah ada kat
Bukit Merah. ”
Tanpa bicara lagi, Julia mula berkemas. Sekejap
sahaja, dua kotak yang dibawanya tadi telah penuh.
“Kau ada kotak lebih tak?”
Melihat Tia menggeleng, Julia bangkit dari katil.
“Aku pergi cari kotak kejap.” Dia memberitahu tanpa
dipinta.
Sedang Tia sibuk menarik helaian tudung yang
tergantung di belakang pintu, telefonnya di dalam poket
seluar berbunyi. Pantas dia ambil dan tekap telefon ke telinga
tanpa melihat nama pemanggil.
“Helo.”
“Buat apa, adik?”
Nafas dihela perlahan. Mazrik.
“Tengah kemas barang.” Telefon dikepit antara bahu
dan telinga.
“Mesti banyak, kan? Nak abang tolong?”
“Tak apa, dah nak siap. Kotak terakhir dah pun.”
“Berapa kotak semua?”
“6.”
“Biar abang tolong angkat esok.” Mazrik terus
menawarkan diri.
“Tak payah kut. Sebab kotak kecil-kecil aje, ramai
ada tolong nanti.” Tia menolak dengan sopan. Mahu Hajah
Ruhani memuntahkan seribu soalan kalau tengok ada lelaki
asing tiba-tiba baik hati jadi tukang angkat barang.
Mazrik senyap.
Tangan Tia yang tadinya lincah mengemas langsung
berhenti bergerak. Hati kecilnya mengatakan ada sesuatu
yang tak kena dengan lelaki di hujung sana.
“Abang... are you okay?” soalnya perlahan. Manalah
tahu kalau-kalau Mazrik boleh terlelap tanpa sengaja.
“Adik...”
“Ya?” Tangan Tia kembali bergerak apabila Mazrik
bersuara semula.
“Kalaulah kita jumpa lebih awal...”

UMP DITINGGALKAN tanpa ucapan selamat tinggal kepada
si abang. Entah kenapa, frasa ‘kalaulah kita jumpa lebih awal’
yang terbit dari bibir lelaki itu begitu menakutkan Tia. Tia
tidak tahu sebabnya, tetapi dia tidak suka. Terasa seolah-olah
akan berlaku sesuatu yang tidak diingini dan dia tidak mahu
begitu. Sebab itu, bersungguh-sungguh dia memujuk Haji
Alis untuk bergerak awal. Dengan alasan dia mahu singgah
ke banyak tempat dan tidak mahu terlewat.
Selepas Exora merah milik Haji Alis selamat
melepasi pintu pagar utama UMP, barulah Tia berani untuk
menghantar WhatsApp kepada Mazrik mengucapkan selamat
tinggal. Dan seperti jangkaannya, Mazrik langsung tidak
membalas. Mungkin marah atau bengang di atas kedegilannya
tidak mahu membenarkan lelaki itu menolong buat kali yang
terakhir. Biarkan. Dia tidak peduli.
“Kita balik rumah opah dulu tau, dik. Opah nak buat
kenduri sikit.”
“Berapa lama?”
“Tiga empat hari macam tu.”
“Kak Ara?” Tia bertanyakan perihal satu-satunya
kakak yang dia ada.
“Kak Ara dah gerak balik sana dulu. Tu yang dia tak
ikut ke sini.”
“Oh, okey.”
Tia terbayangkan raut wajah Hajah Zainab yang
dipanggil opah. Satu-satunya nenek yang dia masih ada.
Rumah opah di Ulu Tiram, hanya selang beberapa buah rumah
dari rumah Wana. Dia dan Wana sebenarnya sekampung,
namun tiada seorang pun kawan-kawan mereka di UMP yang
maklum akan hal tersebut. Yang mereka tahu, dia dan Wana
rapat walaupun tinggal di kolej kediaman yang berbeza.
“Alah ma, kalau tahu nak balik Johor tadi, baik ajak
Wana balik sekali. Kesian dia balik naik bas.” Tia menyuarakan
isi hatinya yang baru terlintas dalam fikiran.
“Pak Cik Li jemput dialah hari ni.”
“Serius ma?”
Hajah Ruhani mengangguk.
“Wana tak cakap ke?”
“Wana kata dia naik bas.”
“Saja nak usik kamulah tu. Dari bulan lepas lagi Pak
Cik Li dah cakap nak jemput dia,” sampuk Haji Alis.
Raut Wana yang sentiasa happy go lucky terlintas
dalam fikiran.
‘Siap kau bila jumpa nanti, saja buat aku susah hati,
kan!’ hati Tia berdesis.
“Adik, nak singgah Cameron Highlands dulu tak?”
“Err... tak lambat ke nanti?”
“Singgah sekejap aje. Beli strawberi dan sayur. Sayur
tu boleh masak untuk kenduri nanti.”
Laju Tia mengangguk. Penat memerah otak untuk
peperiksaan akhir, bagus juga kalau dapat berjalan-jalan
walaupun sekejap. Boleh release tension.
Masuk sahaja ke gerai pertama di Kea Farm, hujan
turun selebat-lebatnya. Terperangkap dengan keadaan
tersebut dan tidak boleh hendak ke mana-mana, Tia membeli
satu bekas kecil strawberi untuk dimakan sementara
menanti Hajah Ruhani selesai membeli sayur-sayuran.
Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, selamba sahaja dia
menyuap sebiji demi sebiji strawberi dalam keadaan berdiri,
dengan mata ralit memerhati tingkah ibu kesayangan
memilih sayuran.
Namun vibrate dari dalam beg mengganggu
konsentrasi Tia. Segera zip beg dibuka dan telefon ditarik
keluar.
Adik, hujan tengah lebat ni. Cakap
kat ayah, hati-hati memandu.
Hampir sahaja Tia tersedak apabila membaca
pesanan tersebut. Ingatkan lelaki itu marah dengannya
kerana melarikan diri dari UMP begitu sahaja, rupa-rupanya
tidak. Malah siap menghantar pesanan khas untuk ayahnya,
seperti dah kenal lama.
Okey.
Tidak tahu mahu membalas apa, akhirnya itu sahaja
yang dibalasnya. Lalu telefon disumbat semula ke dalam beg.
Adik kat mana?
TIA YANG baru sahaja selesai mandi spontan mengukir
senyum. Nampaknya Mazrik masih rajin menghubungi. Tanpa
sedar, penat yang sedari tadi membebani rasa menghilang
pergi. Laju jari-jarinya menaip pesanan balas.
Dah sampai rumah opah kat Ulu
Tiram. Why?
Satu lagi mesej WhatsApp masuk.
Abang risau fikirkan keadaan adik
malam-malam ni.
Tia mula dihimpit rasa pelik. ‘Risau?’ Dia taip lagi.
Nak risau apa? Adik dengan ayah
dan ma ni.
Hampir 2 minit baru WhatsAppnya berbalas.
Maaflah... abang memang macam ni
dengan orang yang abang sayang.
Senyuman Tia melebar membaca ayat tersebut.
Seronok rasanya apabila ada abang yang penyayang.
Berbaring di atas tilam kekabu jahitan Hajah
Zainab, fikiran Tia melayang lagi. Secara jujurnya, tingkah
Mazrik benar-benar di luar jangkaannya. Perhatian dan sikap
mengambil berat lelaki itu kadangkala keterlaluan macamlah
dirinya ini adik kandung lelaki itu.
Tetapi jika dia mempunyai abang kandung seperti
Mazrik, dialah adik perempuan yang paling bahagia di dunia.
Sering dimanjakan, rasa sentiasa dilindungi. Beruntung
benar adik-adiknya yang 5 orang itu dan betapa bertuahnya
Kak Suria setelah menjadi isterinya nanti.
Dalam Tia larut melayan fikiran, Hajah Zainab
tiba-tiba datang menyergah si cucu.
“Senyum sorang-sorang! Dapat mesej daripada
Amlah tu...”
“Taklah opah, bukan Am.” Jujur Tia membalas.
Dahi Hajah Zainab berlapis.
“Kalau bukan Am, siapa?”
“Abang.”
“Abang mana?”
Tia menarik nafas dalam-dalam sebelum bercerita
secara ringkas tentang Mazrik. Namun dia hairan apabila
Hajah Zainab menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa opah?”
“Opah nak tanya ni... apa hubungan Rissa dengan
Mazrik tu sebenarnya?”
“Hubungan abang dan adiklah. Dah beza pun 5
tahun opah,” jelas Tia.
“Ya ke setakat abang dan adik?”
Tia jadi keliru dengan soalan tersebut. Wajah Hajah
Zainab dipandang lama.
“Apa mesej yang dia hantar tadi?” soal Hajah Zainab
lagi.
Tanpa berbolak-balik Tia menunjukkan transkrip
perbualannya dengan Mazrik.
“Rissa, opah tak rasa dia anggap Rissa macam adik.”
“Opah, kan dia panggil Rissa ni adik. Lagipun dia dah
tunang, dah nak kahwin pun.”
Hajah Zainab tersenyum.
“Hati-hati cu, hati manusia ni suka berteka-teki.”
Bahu Tia ditepuk lembut sebelum berlalu.

KENDURI KESYUKURAN berjalan dengan lancar. Orang
kampung yang datang kini beransur-ansur pulang. Wana yang
turut hadir sibuk membantu mengemas dulang makanan dan
pinggan kotor.
“Konon naik bas, kan? Buat muka sedih. Saja nak
buat aku risau.”
Wana sengih dengan selaran Tia. Dia sendiri sudah
terlupa kenapa dia membohongi gadis itu.
“Padan muka kau. Aku tak belikan pun strawberi
yang kau suka sangat tu. Siapa suruh kau tipu aku?”
Menolak dulang ke tepi, tubuh Tia ditarik rapat.
Kejap Wana memeluk tubuh langsing itu, erat dia mengikat.
Sedikit pun tidak dilepaskan.
“Weh babe, apa peluk-peluk ni? Lepaslah!”
Semakin kuat dia memeluk Tia. Sengaja dicium-cium
pipi yang bersih tanpa sebarang noda itu.
“Apa cium-cium pula ni? Gelilah! Lepaslah wei...
Hailah, habis ternoda pipi aku!”
Wana mahu gelak namun ditahan.
“Selagi kau tak cakap ada strawberi untuk aku, selagi
tu aku tak nak lepas.”
“Orang tengoklah wei!”
“Biarlah orang tengok. Aku tengah tunjukkan cara
best friend berkasih sayang...”
“Eeeiiii, yalah, yalah! Ada dalam peti sejuk tu!”
“Mmmuaahhh, sayang kau!” Sempat pipi Tia dicium
untuk kali terakhir sebelum dilepaskan.
“Nasib baik aku fikirkan kau ni anak Pak Cik Rosli.
Kalau tak, memang siap kau aku kerjakan!”
Wana hanya ketawa mengekek. Dia kenal Tia, dia tahu
gadis itu hanya bercakap, tidak benar-benar memaksudkan
kata-katanya.
“Kau balik KL bila?”
“Selangor.” Tia membetulkan.
“Tak kisahlah Selangor ke KL ke, sama aje... lebih
kurang. Bila?”
“Esok.”
“Esok? Tinggallah sini dulu weh. Kita relaks-relaks
dulu.”
Tia menimbang tara.
“Aku nak cari kerja.”
“Kita cari dari sinilah. Sekarang semuanya apply
online. Bila dapat panggilan interviu nanti, kita baliklah
sana,” usul Wana penuh semangat.
“Kau ikut aku?”
“Yalah, kan aku dah janji dengan kau, nak sama-sama
kerja kat KL.”
Tia cari kelibat Hajah Ruhani dengan anak matanya.
Nampak sahaja, segera dia mendekati.
“Ma, nak tinggal sini dengan opah sementara dapat
kerja, boleh? Please...”
“Hari tu kata tak sabar balik sebab rindu kat Bobby?
Siap suruh ayah bawa Bobby dalam kereta.”
Mata Tia melihat Bobby yang sedang bermain di
celah langsir. Bobby, kucing jantan yang sangat disayanginya;
yang comel dan pandai mengambil hati si tuan.
“Biarlah Bobby tinggal kat sini dengan Rissa. Rissa
jaga dia.”
“Bobby tak biasa sangat dengan kawasan sini. Kalau
dia hilang macam mana?”
“Taklah, nanti Rissa perhatikanlah dia betul-betul.
Rissa bawa dia tidur sekali dengan Rissa.”
“Hmm... tanya ayah.”
Tia melonjak suka. Haji Alis mesti bersetuju punya.
Ayahnya itu, jarang sekali membantah keinginannya.

No comments:

Post a Comment