Tuesday, 12 December 2017

Mazrik's Signorina - Bab 9

LOCENG pintu rumah yang berbunyi tanpa henti
memaksa Tia menolak selimut yang nyaman membaluti
tubuh. Hujan-hujan begini, memang sedap bergulung di atas
katil mengulit lena. Apatah lagi solat zohor telah ditunaikan,
maka tiada halangan untuk terus lelap sehingga ke waktu asar
bagi anak dara yang tak berapa nak rajin sepertinya. Sebab
untuk anak-anak dara yang ringan tulang, mesti banyak
aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan di hujung minggu
selain daripada tidur.
Melangkah malas ke tingkat bawah, tudung ekspres
yang tersangkut di penyangkut kayu berwarna mahogany
di sebelah tangga dicapai. Buat persediaan andai kata yang
muncul di muka pintu nanti orang luar yang bukan mahram.
“Ayah!”
Tergamam Tia melihat Haji Alis yang selama ini
masih tegap berjalan dan gagah berdiri dipapah oleh...
Mazrik???
Apa lelaki itu buat di sini?
“Rissa, bagi ayah masuk dulu kalau nak tanya
macam-macam soalan pun. Ini yang duduk tengah-tengah
pintu blocking jalan kenapa?”
Dalam keliru, Tia bergerak ke tepi memberi laluan.
Sungguh, kala ini dia tidak tahu jantungnya lebih terkejutkan
keadaan ayah kesayangan ataupun terkejutkan kehadiran
Mazrik yang secara tiba-tiba di rumahnya. Betulkah lelaki
yang sedang memapah ayahnya ke ruang tamu itu Mazrik?
Ataupun hanya pelanduk dua serupa?
“Rissa, tarik pintu grill tu dulu. Jangan dibiarkan
ternganga sebab pintu pagar tak berkunci tu.”
Arahan Haji Alis dipatuhi tanpa sebarang bantahan.
Selesai menarik pintu grill, dalam debar kaki dibawa ke ruang
tamu.
“Apa dah jadi ni, ayah?” disoal Haji Alis yang sedang
duduk di atas sofa. Lelaki yang hampir-hampir membuatkan
jantungnya terkeluar dari soket sebentar tadi pula duduk di
sebelah kiri ayahnya itu.
“Accident sikit tadi. Kena langgar motor.”
“Hah? Kat mana?” Tubuh ayah kesayangan dibelek
rakus. “Ayah okey tak ni? Luka tak? Macam mana boleh
accident?” Bertubi-tubi dia menyoal akibat terlalu cemas.
Mazrik yang sejak tadi menjadi pemerhati
menyimpan senyum.
‘Caring,’ sempat hatinya berbisik.
“Ayah okey, Rissa. Alhamdulillah... ada Mazrik tolong
ayah tadi. Mazrik, ni anak bongsu pak cik, Tia Clarissa.”
Mazrik. Tia telan air liur. Benarlah, memang lelaki
itu.
“Assalamualaikum, Cik Tia Clarissa.” Mazrik sapa
hormat, mengambil langkah pertama.
“Waalaikumussalam. Err... thanks tolong ayah
saya,” gugup Tia menjawab. Dalam hati sangat berharap
yang Haji Alis tidak menyedari keadaan dirinya yang sedang
gelabah giler.
“Tak perlu nak berterima kasih, Cik Tia Clarissa. Dah
depan mata, saya tolong apa yang mampu.”
“Tak usah nak bercik-cik, Mazrik. Panggil Rissa aje.
Rissa ni bukannya akan marah pun kalau kamu tak panggil
dia dengan nama formal. Anak bongsu, manja.”
“Ayah...” Tia jadi tidak senang. Rasanya kalau Haji
Alis tak cakap pun, tetamu mereka ini telah terlebih maklum
akan sifat dirinya. Hanya ayahnya itu sahaja yang tidak tahu
sejarah silam antara mereka.
“Tak apa pak cik, dah terbiasa formal. Nak panggil
nama macam tu aje rasa tak sopan pula sebab ini pertama kali
kami berjumpa.”
Tia bingung untuk beberapa detik. Pertama kali
berjumpa?
“Hah, Rissa... yang kerut dahi macam memikirkan
masalah negara ni kenapa? Pergi buat air. Tetamu ni.”
“Err... tak payah susah-susah, pak cik. Saya pun nak
balik dah ni.” Mazrik bangun.
“Duduk dulu, Mazrik. Sekurang-kurangnya, bagilah
pak cik balas kebaikan kamu tolong pak cik tadi dengan
secawan air. Rissa, yang berdiri lagi kat sini kenapa?”
“Ya, ayah. Err... kejap. Rissa buat air.”
Laju Tia melangkah ke ruang dapur. Cerek stainless
steel yang terletak atas dapur gas dibawa ke singki dan diisi
dengan air. Penuh tiga perempat isipadu, cerek diletakkan
kembali ke atas dapur dan api dinyalakan sederhana besar.
Sementara menanti jerangan air mendidih, dulang
dibawa keluar dari dalam kabinet dan diletak di atas kaunter
pulau. Dua biji cawan yang lengkap berpiring diatur di atas
dulang dan diletak ke tepi. Teko kaca diambil dari atas rak lalu
diisi dengan serbuk Nescafe dan gula mengikut sukatan yang
selalu dia gunakan. Siap! Tinggal tunggu air mendidih sahaja.
Sambil memandang cerek yang mula berasap, otak
Tia kembali melayang pada tindak-tanduk Mazrik sekejap
tadi. Bagaimana lelaki itu boleh muncul di sini? Atas alasan
apa? Kenapa mengatakan yang ini merupakan pertama kali
mereka berjumpa? Apa agenda lelaki itu sebenarnya? Kenapa
mesti menyembunyikan status mereka yang merupakan
rakan sekuliah sewaktu mengambil master di UMP? Di mana
isterinya, Kak Suria?
“Rissa!”
“Ya, ayah. Siap dah ni!”
Pemegang cerek stainless steel yang berkepul-kepul
dengan asap dipegang menggunakan kain buruk. Penuh
hati-hati, air yang panas mendidih dituang ke dalam teko
sebelum dikacau dengan sudu. Setelah gula larut dengan
sempurna, teko tersebut diletakkan ke dalam dulang. Sebiji
piring putih berisi kuih seri muka yang sempat dibuat pagi
tadi turut diletakkan ke dalam dulang tersebut bersama
sepinggan keropok sayur. Bersama lafaz bismillah, dulang
yang penuh berisi hidangan itu dibawa dengan cermat ke
ruang tamu.
Untuk pertama kali dalam hidup, dia jadi menggigil
untuk menghidangkan minuman, namun ditegarkan hatinya
untuk tayang muka kayu. Tanpa sepatah kata, air Nescafe
yang masih berasap dituang ke dalam kedua-dua biji cawan.
Kemudian satu per satu isi di dalam dulang dikeluarkan
sebelum dulang diletakkan di bawah coffee table.
“Jemput minum, Mazrik. Jamahlah apa yang ada ni.”
“Terima kasih, pak cik. Marilah minum sekali. Cik
Ti...”
“Ayah, Rissa naik atas dulu.”
Tanpa memandang muka Mazrik, laju dia meminta
diri. Sebelum Haji Alis mengesyaki yang bukan-bukan, baik
dia berlalu biarpun ruang kosong dalam kepalanya kini
sedang terisi dengan pelbagai soalan.
Mazrik... Bukan dia tidak perasan yang lelaki itu
sedang tunak memandangnya.
‘Cucuk mata tu baru tahu!’ bebelnya dalam hati.

KEPINGAN GAMBAR dalam pegangan disentuh perlahan.
Gambar yang telah diambil secara curi-curi beberapa bulan
lalu ketika masih bergelar penuntut master di UMP. Perlakuan
Tia yang sedang termenung jauh tanpa mengendahkan
keadaan sekeliling tika itu telah menggamit hati lelakinya
untuk merakamkan detik tersebut tanpa pengetahuan si
gadis. Disimpan rapi tanpa alasan yang pasti sehinggalah
sekarang, saat di mana dia mengambil langkah berani untuk
berhijrah ke negeri Selangor demi berada dekat dengan gadis
itu.
Dia tahu, kemunculannya yang secara tiba-tiba telah
menimbulkan seribu pertanyaan dalam benak Tia Clarissa.
Juga mungkin telah mengocak ketenangan si genit itu. Dia
terlalu ingin menerangkan segala-galanya kepada Tia, namun
masih belum berkesempatan. Tingkah dan adabnya perlu
dijaga walaupun jika diikutkan hati lelakinya, mahu sahaja
dia berdiri berdepan dan menjelaskan semua yang perlu agar
gadis itu tidak terus tersalah anggap. Menerangkan kepada
gadis itu akan semua yang telah terjadi lewat sebulan yang
lalu, di saat dia sepatutnya melafazkan ijab sebagai seorang
suami kepada Suria. Saat di mana semuanya berlaku di luar
jangkaannya.
Dia masih ingat lagi, pada hari Jumaat tersebut,
dalam pasrah menerima takdir, dia menggenggam huluran
tangan tok kadi, bersedia untuk melafazkan akad. Namun
tiba-tiba, suara Suria mengubah segala-galanya.
“Maaf, ustaz. Saya tak mahu teruskan pernikahan
ni.”
Pandangan Suria sekilas beralih ke arahnya.
“Boleh kita jumpa di luar sekejap?” pinta gadis itu
sebelum melangkah ke anjung rumah.
Dengan fikiran yang bercampur baur, dia bangun
dan menuruti langkah gadis itu. Tidak dihiraukan pada
mata-mata yang memandang dan mulut-mulut yang mula
berbisik sesama sendiri.
“Maaf, abang. Su tak boleh nak teruskan.” Sekali lagi
ayat tersebut dilafazkan sebaik sahaja dia berdiri di sebelah
gadis itu.
“Abang tak perlu berpura-pura untuk jaga hati Su. 3
tahun kita bertunang, Su sentiasa menghitung detik bahagia.
Namun kita sama-sama tahu yang jodoh kita hanya setakat
ini, kan?”
Suara Suria yang tenang mengungkap baris
demi baris perkataan membuat bibir lelakinya hilang
patah kata. Jujur... hatinya mula dihimpit rasa bersalah
yang bukan sedikit. Suria langsung tidak menunjukkan
sebarang perubahan sepanjang mereka membuat persediaan
perkahwinan, dan dia langsung tidak menyangka yang gadis
itu akan mengambil keputusan drastik seperti ini.
“Boleh pandang Su tak?”
Diturutkan permintaan gadis itu. Penuh rasa
bersalah, pandangan dihalakan pada sepasang anak mata
kelabu yang dikagumi selama ini. Menjadikan mata saling
bertentang mata.
“Tengok, pandangan penuh rasa untuk Su dah tak
ada. Pandangan yang Su dapat sekarang ni, hanya pandangan
kosong, sekosong hati yang memandang Su.”
Hampir dia menangis jika dia tidak mengingatkan
yang dirinya seorang lelaki. Terasa yang dirinya sangat tidak
berguna kerana telah melukakan hati seorang wanita yang
selama ini membina impian untuk hidup bahagia bersamanya.
“Su minta maaf, abang. Su tak sekuat mana
untuk menjadi isteri pada seorang lelaki yang hatinya pada
perempuan lain.”
Sungguh kala itu dia rasa tewas! Tewas dengan
kejujuran Suria. Tewas dengan keberanian gadis itu menerima
hakikat yang telah berubah. Tewas dengan...
“Jauh menung, bro?”
Lamunannya terus melayang. Wajah Hadi sedang
memandangnya bersama gelengan.
“Ke mana kau berangan? Aku tarik gambar ni pun
kau tak sedar.”
Baru dia sedar yang gambar Tia kini sedang berada
dalam tangan sahabatnya itu.
“Dahsyat penangan Rissa ni, kan?” Hadi dah
tersengih. Gambar tersebut dipulangkan kembali.
“Aku bukan berangan pasal dialah.”
“Say that to others. Ni, kau betul ke tak nak tinggal
sini?”
Kepala digeleng.
“Aku dah jumpa rumah sewa kat sana.”
“Tu aku tahu.” Hadi angguk. “Tapi kalau tak silap
aku, bakal housemate kau cakap hujung bulan ni baru kau
boleh masuk, kan? Sekarang baru 15 hari bulan.”
Spontan bibirnya tidak dapat menahan senyum.
Teringat perbualan bersama Haji Alis semalam.
“Kamu duduk mana sekarang?”
“Err... Hotel bajet.”
“Hotel?”
“Untuk 2 minggu ni aje, pak cik. Sementara nak
masuk rumah sewa hujung bulan ni.”
Dilihatnya Haji Alis dah mengerutkan dahi.
“Macam inilah, kamu duduk aje di sini untuk 2
minggu ni.”
Baris ayat yang langsung dia tidak duga. Terlalu lebih
daripada rancangan asalnya. Jujur, dia mahu dekat dengan
Tia, tapi tidaklah sampai duduk serumah dengan gadis itu.
Sebab itu dia berusaha mencari rumah sewa di kawasan
perumahan yang sama dan alhamdulillah, ada rezekinya.
Dan dia rela menginap di salah sebuah hotel murah di Bangi
untuk sementara waktu biarpun Hadi ada mengajaknya
untuk tinggal bersama. Dia segan dengan keluarga besar
Hadi. Cukup-cukuplah dia terhutang budi. Sudahlah kerja
yang dia dapat ini pun atas belas ihsan ayah sahabatnya itu.
Untuk tinggal serumah dengan Tia? Tentulah juga
dia tidak betah. Lalu dengan sopan dia menolak pelawaan
Haji Alis, namun lelaki separuh abad itu tetap berkeras.
“Pak cik teringat diri pak cik dulu-dulu bila tengok
kamu ni, Mazrik. Pertama kali berhijrah ke tempat baru, nak
mulakan hidup memang perit. Pak cik tahu tu, pak cik dah
laluinya. Mujur masa tu ada hamba Allah yang berbuat ihsan
pada pak cik. Jadi sekarang ni pak cik rasa ini adalah peluang
yang Allah bagi pada pak cik untuk berbuat perkara yang
sama. Tolong jangan menolak atau pak cik akan berkecil hati
dengan kamu.”
Pilihan apa yang dia ada? Dia tidak dididik untuk
mengecilkan hati orang tua. Juga demi Tia, dia tidak boleh
merosakkan hubungannya dengan Haji Alis. Lalu dengan hati
yang berbelah bagi dia terpaksa bersetuju.
‘Abang minta maaf, Tia...’

RUANG KELUARGA tingkat atas rumah Haji Alis terasa
panas. Penyaman udara yang terpasang tidak mampu untuk
menyejukkan sekeping hati yang sedang resah dengan
permintaan di luar jangkaan.
“Rissa tak setuju, ayah.”
“Kenapa?”
“Banyak sebab. Rissa tak rasa keputusan ayah kali ni
tepat.”
“Bersangka baik, Rissa.”
“Bersangka baik? Dia tu orang asing, ayah! Latar
belakang entah macam mana, yakin aje ayah nak bagi dia
duduk sini. Penjenayah ke, pembunuh ke, perompak ke...
Mana kita tahu!”
“Tak baik buruk sangka, Rissa.”
“Bukan buruk sangka, cuma berhati-hati.”
Haji Alis mengeluh sedikit. Wajah si bongsu ditatap
lama.
“Sementara aje, Rissa. Hujung bulan ni dia dah
duduk menyewa dengan Fawwaz. Tak sampai 2 minggu pun
kita tumpangkan dia kat sini.”
“Ab... Abang Fawwaz sebelah rumah kita ni?”
Haji Alis mengangguk.
“Yang kamu nampak terkejut sangat ni kenapa?”
“Err... tak ada apalah. Tak tahu pula Abang Fawwaz
nak tambah housemate lagi.”
“Zayn tu kan nak kahwin dah. Tu yang dia nak pindah
keluar. Semalam yang Mazrik tolong ayah lepas accident tu,
dia baru balik daripada tengok rumah itulah.”
“Dah tu kenapa tak terus duduk aje kat situ? Nak
tumpang-tumpang kat sini bagai.”
“Zayn hanya akan pindah keluar hujung bulan ni.
Rumah tu kan sekarang dah ada 4 orang duduk. Mungkin
tuan rumah tak benarkan lebih daripada 4 orang duduk
serentak.”
“Tapi tu bukan masalah kita, kan? Kenapa ayah nak
terlebih concern pasal Mazrik tu? Dia lelaki, pandai-pandailah
dia nak hidup.”
“Rissa...” Haji Alis tarik nafas dalam-dalam. “Mazrik
memang menolak tapi ayah yang berkeras nak tumpangkan
dia di rumah kita ni. Dia dari Pahang ke sini, baru nak mula
kerja. Ini masa susah dia, ayah tak sampai hati nak biarkan
dia duduk di hotel tu. Ayah bayangkan kalau suatu hari nanti
anak-anak ayah juga perlu berhijrah merantau ke tempat
orang, tak ada tempat bergantung... mana tahu kalau-kalau
ihsan yang ayah beri pada anak orang lain hari ni boleh
menjadi penyebab untuk Allah hantar orang yang baik-baik
pada anak-anak ayah pula nanti. Hidup ni seperti roda, ada
hari kita di atas, ada hari kita di bawah. Mungkin suatu hari
nanti anak-anak ayah pula akan berada di tempat Mazrik,
siapa tahu?”
“Ayah ni buat Rissa rasa bersalah ajelah...” Suara Tia
kendur.
“Jadi Rissa faham kan tindakan ayah ni?”
“Tapi Rissa tetap tak setuju, ayah. Tak ada privasi bila
ada orang luar ni.”
“Apa yang tak privasinya? Wana pun duduk sini
juga.”
“Wana tu lain, Wana tu perempuan.”
Tia jeda.
“Yang ayah nak bagi tumpang ni lelaki. Takkan nak
kena pakai tudung 24 jam kat rumah ni? Dah macam Rissa
pula yang duduk menumpang kat rumah orang.”
Haji Alis menanggalkan kaca mata yang dipakainya.
“Apa 24 jam pula? Kamu berselisih pun waktu malam
aje. Siang masing-masing tak ada. Kamu kerja, dia kerja.”
Tia garu kepala yang tidak gatal.
“Tapi malam dia ada, kan? Still kena pakai tudung
juga.”
“Rissa... Rissa...” Haji Alis menggeleng kepala. “Tiara
okey aje dengan usul ayah ni, tak ada timbul isu pun.”
“Tu Kak Ara, bukan Rissa. Rissa tetap tak setuju!”

“MACAM MANA, abang?”
“Negatif.”
“Sangat?”
“Tak adalah sangat. Dia macam lebih pada terkejut.”
“Mahunya tak? Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba
abang boleh muncul depan dia sambil papah pak cik. Kalau
Wana pun Wana dah lompat katak tengok skandal lama
tiba-tiba muncul depan mata.”
Mazrik sengih. Skandallah sangat!
“Semalam Wana kena tadah telinga dengar dia
membebel sampai sejam lebih. Dia tak faham macam mana
abang boleh sampai ke sini. Dia tak faham kenapa dalam
ramai-ramai orang, boleh abang yang muncul masa pak cik
accident tu. Dia tak faham macam mana abang boleh dapat
menyewa dengan Abang Fawwaz. Dia tak faham tu, dia tak
faham ni... Sampai satu saat tu Wana rasa macam nak tampal
aje mulut comel dia tu dengan tape tebal warna hijau askar
tu. Geram! Hah, apa hal abang gelak pula ni? Seronoklah
ya tahu Wana kena bebel sebab abang?” Tangan dicekak ke
pinggang ketika menuturkan dua ayat terakhir.
“Bukanlah. Abang gelak sebab Wana cakap mulut
kawan Wana tu comel. Dalam marah-marah, sempat juga
Wana puji dia ya?”
“Eleh, tapi betul kan?”
Mazrik senyum segaris.
“Mungkin tu salah satu sebab abang jatuh sayang kat
dia.”
Wana dah bulat mata.
“Eeeiiii, gatal juga abang ni. Tilik fizikal anak dara
orang!”
“Abang ni lelaki normal, Wana. Fitrah semula jadi
lelaki, tertarik pada kecantikan milik perempuan.”
“Stop. Stop.” Wana menahan. “Tetiba Wana rasa nak
pitam bila abang mula berfalsafah. Back to the story, bila
abang nak berterus terang dengan dia tentang status sebenar
abang? Dia ingat abang ni dah selamat jadi suami orang tau!”
“Abang rasa sekarang bukan masa yang sesuai.
Abang tak nak dia makin menjarakkan diri.”
“Wana tak faham... bukan ke lebih mudah kalau dia
tahu abang bukan suami sesiapa?”
“Wana, she is Am’s fiancĂ©e. Dia akan lebih selesa jika
dalam fikirannya, kami sama-sama dah terikat dengan orang
lain.” Mazrik hela nafas berat.
“Tapi Wana tetap rasa lebih elok kalau abang berterus
terang pada dia tentang status abang.”
“Mungkin, tapi bukan sekarang. Step by step. Biar
dia selesa dengan kehadiran abang dulu.”
“Silap-silap dia lari sebab takut abang mengurat dia.”
Wana ketawa.
“Sebab tu abang perlu bersikap lebih kepada seorang
abang, bukan seorang lelaki yang cuba memenangi hati dia.”
“Jadi abang akan biarkan dia terus dengan Am atau
serahkan semuanya pada takdir semata-mata?”
Mazrik berfikir seketika sebelum menggeleng.
“Dua-dua abang takkan pilih.”
“Maksud abang?”
“I’ll do something. Abang akan fikirkan dan cari
jalan.”
“Kalau jumpa jalan mati?”
“Jalan mati kan peluang untuk kita buka jalan yang
baru?”
Wana jongket kening. Teruja.
“Tapi sebelum tu, boleh abang tahu tempat kerja
Wana dan Rissa kat mana?”
“Abang tak payah berangan nak jadi driver kita orang
pergi balik kerja. Different route okay? Abang kerja kat Bangi.
Kita orang ni kat KL. Pergi kerja naik tren. So, sila pangkah
daripada ‘to do list’ abang.”

No comments:

Post a Comment