Wednesday, 24 January 2018
Calon Untuk Pengantin - Bab 1
WAJAH Idham sudah merah bagaikan biji saga.
Kedua-dua tangannya dicekak di pinggang bersama dengusan
kuat. Matanya tajam memandang wajah gadis yang berada di
hadapannya. Kalau tidak mengenangkan kesabaran, mahu
saja dia lempang pipi merah itu, tapi dia bukan jenis lelaki
yang suka membuli perempuan. Perempuan bukan untuk
dibuli tapi untuk disayangi.
“Am, I betul-betul minta maaf.” Lengan Idham
dipegang agar dapat menyejukkan perasaan lelaki itu. Dan
sedaya upaya dia cuba menyembunyikan perasaan takut dan
gerun dengan wajah Idham. Ini kali pertama dia melihat
Idham betul-betul marah.
“Maaf? You ingat dengan perkataan maaf yang keluar
dari mulut you tu akan menyelesaikan semua masalah?” Hati
Idham tetap hangat. Makin membara pula perasaannya.
“I... I bukan sengaja.” Wajah bersalah dan serba salah
turut dipamerkan. Lagipun bukan susah untuk dia pamerkan
pelbagai rasa dan mimik wajah kerana dia seorang yang
profesional.
Idham gelak sinis. Lucu pula mendengar ayat yang
terpacul keluar dari bibir merah itu.
“Tyka, I dah... I dah bosan dan muak nak hadapi
semua ni. Ini bukan kali pertama you tangguhkan majlis
kahwin kita, tapi ini dah kali ketiga. You faham tak, kali
ketiga!” ulang Idham dengan suara tegas.
“Selepas ini, takkan ada untuk kali keempat.”
Mata Idham masih tajam memandang wajah Atikah
yang sedang mengetap bibir. Sedikit tersentap dengan
sergahan Idham.
“Am, I janji ini kali terakhir I tangguh majlis
kahwin kita. Lepas ni, kita akan teruskan majlis kahwin kita
sebagaimana yang akan dirancangkan. Pleaseee...” Atikah
cuba memujuk. Selalunya pujukan dia berjaya melembutkan
hati Idham. Dia berharap, kali ini juga dia akan berjaya
meyakinkan lelaki itu.
Idham mendengus kasar. Malah dia juga menjarakkan
kedudukan mereka.
“You tahu tak berapa banyak I dah habiskan duit
untuk buat persiapan kahwin kita? Kalau seratus dua, I tak
kisah tapi ini dah seratus ribu lebih. You juga nak buat majlis
kahwin kita meriah, nak grand. Lepas tu you nak jemput
semua orang tapi alih-alih, you nak tangguhkan lagi. Apa
semua ni? You memang sengaja nak kenakan I, nak malukan
I!” Idham melepaskan amarah.
“Am, I ni kan model terkenal. Mesti semua orang nak
tengok dan hadir dalam majlis kahwin kita nanti. You pun
akan lebih terkenal nanti.”
Atikah kembali mendekati Idham. Lengan Idham
diusap lembut. Senyuman manis turut dihadiahkan buat
tunang kesayangannya itu. Untuk melepaskan terus Idham
dari hidupnya, takkan sesekali dia buat kerana lelaki itu
cukup istimewa. Idham yang berkerjaya hebat, Idham yang
kacak dan penyayang. Semua ciri-ciri lelaki idamannya ada
pada Idham. Sebab itu ramai yang cemburukan dirinya
kerana berjaya memiliki lelaki sehebat Idham.
“Sudahlah. I dah malas nak fikirkan pasal
perkahwinan kita. I dah serik, I dah muak. I dah tak nak
peningkan kepala I lagi.” Idham mengulang kembali katakata
itu setelah berdiam diri buat seketika. Hakikatnya,
dia tidak rasa teruja untuk meneruskan perkahwinannya
dengan Atikah sejak awal lagi. Dia sendiri pun tak tahu
kenapa perasaan seperti itu wujud sejak kali pertama mereka
merancang untuk berkahwin.
“Apa maksud you?” Atikah tersentak. Benar-benar
terkejut dengan kata-kata itu.
“I dah buat keputusan.” Idham tarik nafas dalamdalam
dan menghembusnya. Mungkin ini adalah keputusan
yang terbaik untuknya. Dia tak mahu lagi mengikut
rancangan Atikah. Cukuplah dengan apa yang dia dah buat
selama ini. Selama ini dia akur sahaja kehendak gadis itu
kerana tidak mahu menimbulkan masalah. Sekarang, dia
perlu buat keputusan sendiri. Demi masa depannya.
“Keputusan? Keputusan apa?” Sekali lagi Atikah
tersentak dan terpinga-pinga.
“I nak putuskan pertunangan kita. Kita berdua
tak akan berkahwin sampai bila-bila kerana I sedar bahawa
you sebenarnya tak pernah ikhlas cinta dan sayangkan I.
You hanya nakkan kemewahan yang I berikan. You hanya
pentingkan diri dan personaliti you sahaja.”
Idham mula rasa lega selepas menuturkannya. Katakata
itu umpama melepaskan bebanan di bahu.
“Am! Apa you cakap ni?” Atikah jadi kalut.
“Ya, keputusan I muktamad. I percaya, kalau I
teruskan juga berkahwin dengan you, I tak yakin yang kita
akan bahagia kerana you terlalu mengejar kerjaya you. Impian
dan cita-cita you. You tak pernah fikirkan pasal I, pasal masa
depan kita.” Idham memandang wajah terkejut perempuan
yang di hadapannya.
“Am, you tahukan yang I sayangkan you. I betulbetul
sayangkan you.” Atikah cuba memujuk untuk meraih
simpati Idham.
“Tapi you lebih sayangkan kerjaya you sebagai model.
Kalau you sayangkan I, you tak akan tangguhkan majlis
perkahwinan kita untuk kali ketiga. You tahu tak, sebulan
saja lagi kita nak kahwin. Semua persiapan dah dibuat tapi
you masih sanggup nak tangguhkan lagi semata-mata nak
kejar kerjaya you. Itu yang you kata sayangkan I?”
Idham memandang pemandangan tasik di
hadapannya dengan rasa sebak. Terasa dirinya diperbodohkan
kerana semua permintaan gadis itu telah dia tunaikan tapi
inilah hasilnya.
“I cuma minta tangguh untuk tiga bulan aje,
bukannya lama. Sayang, I tak sangka yang I akan dapat
terima tawaran untuk jadi model di luar negara tu dekat
dengan tarikh majlis perkahwinan kita. Betul, I tak tipu.”
Bersungguh-sungguh Atikah cuba meyakinkan Idham.
Lengan Idham ditarik agar lelaki itu berhadapan dengannya.
Matanya tunak memandang wajah hampa Idham dengan
keputusan yang dibuatnya.
“Kenapa you tak tolak aje tawaran tu?” soal Idham
sambil matanya memandang tajam ke arah wajah tunangnya.
Atikah kembali resah dengan soalan Idham.
“Sebenarnya, I belum pun tanda tangan kontrak tu
tapi I rasa I tak boleh nak tolak sebab tawaran tu memang
I nanti-nantikan. I teringin sangat nak jadi model dan buat
pertunjukan di sana bersama dengan model-model yang
terkenal. Bayarannya juga cukup lumayan.”
“Sayang, I kat sana bukannya lama pun. Kalau
sebelum ni you boleh saja bersabar, kenapa tidak kali ini?”
Atikah tidak mahu kalah. Selama ini, Idham akur sahaja
setiap perancangannya kerana dia yakin, tunangnya itu akan
merestui apa yang dia lakukan kerana dia yakin lelaki itu
sayangkan dirinya.
“Entahlah. I dah tawar hati nak teruskan hubungan
kita. Kalau you tetap nak teruskan cita-cita you, kerjaya
model you di luar negara tu, you teruskanlah. I tak halang
tapi I tetap dengan keputusan I. I nak putuskan pertunangan
kita.”
Kali ini Idham tidak mahu berlembut lagi. Kalau
Atikah nekad dengan keputusannya, apa salahnya kalau dia
juga nekad dengan keputusan yang dia buat. Biar Atikah
sedar yang selamanya setiap keputusan tidak di tangannya.
Dia juga ada hak yang sama.
Atikah menggaru kepala yang tidak gatal. Keputusan
nekad Idham itu membuatkan hatinya benar-benar keresahan.
Dalam masa yang sama, otaknya turut terasa pening. Dia
sayangkan Idham, dia juga sayangkan kerjayanya. Namun
begitu, kalau disuruh memilih, dia akan memilih Idham tapi
ada sesuatu yang membuatkan dia terpaksa memberi alasan
kerjayanya sebagai faktor utama setiap kali dia menangguhkan
majlis kahwin mereka.
“Habis tu, bagaimana dengan semua persiapan
yang you dah buat?” Tiba-tiba hati Atikah jadi gusar. Kalau
sebelum ini, tak banyak persiapan yang dibuat semasa dia
menangguhkan majlis kahwin kali pertama dan kedua. Tapi,
rasanya sekarang ni dah banyak persiapan dibuat. Sementelah,
majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung bulan depan
di hotel mewah atas pilihannya sendiri.
Rahang Idham bergerak-gerak. Sejak kebelakangan
ini, dia banyak berfikir dan membuat rumusan berkaitan
hubungannya dengan Atikah. Dengan kehidupan dan kerjaya
Atikah itu, mampukah dia dan Atikah hidup bahagia? Atikah
dikelilingi dengan kehidupan glamor, malah didampingi
oleh ramai lelaki tanpa mengira usia, pangkat dan bangsa.
Bolehkah dia hadap semua itu tanpa ada perasaan marah,
benci atau cemburu sedangkan dia jenis manusia yang tidak
suka berkongsi.
Perkara yang paling merisaukan dia apabila Datin
Suhani tidak pernah merestui hubungannya dengan Atikah
dari awal kerana wanita itu merasakan Atikah tidak sesuai
untuk hidup bersamanya. Atikah jenis perempuan yang
sukakan kebebasan sedangkan Idham seorang lelaki yang
sebaliknya.
“Kalau boleh, mummy nak seorang menantu yang
boleh menjaga setiap kebajikan anak mummy. Dia dapat
menjaga makan, minum dan pakai anak mummy dengan
baik dan sempurna. Seorang isteri yang sentiasa ada di
sisi suami. Seorang isteri yang taat kepada Allah dan juga
suaminya. Seorang isteri yang tahu asas dan hukum agama.
Bukan seorang isteri yang sentiasa meninggalkan suaminya,
malah bebas bergaul dengan mana-mana lelaki tanpa mengira
batasan.”
“Am kena ingat, bila Am dah kahwin dengan Atikah
tugas Am adalah mengembalikan Atikah ke jalan yang betul,
jalan yang benar... jalan yang diredai Allah. Membimbing dia
menjadi isteri yang baik, isteri solehah, isteri yang sentiasa
menjaga kehormatan suami. Bila dia dah jadi isteri Am,
segala keburukan dan dosa dia, Am yang akan tanggung.
Mummy tak nak Am menanggung dosa dengan bersubahat
membiarkan dia lakukan apa yang dia suka di luar sana
sedangkan Am ada di rumah.”
Sebagai seorang ibu, dia mahukan yang terbaik
untuk anaknya. Dia mahu melihat anaknya hidup gembira
dan bahagia.
Idham hanya mampu mendengar setiap butir bicara
yang keluar dari mulut Datin Suhani kerana kata-kata itu ada
benarnya. Untuk apa lagi dia mahu menyangkalnya.
“Perkahwinan juga bukan satu percubaan sama
ada kita sesuai dengan dia ataupun tidak. Perkahwinan
juga bukan untuk sehari dua. Perkahwinan yang berkat
adalah perkahwinan yang direstui oleh Allah berlandaskan
keikhlasan dan ketakwaan. Saling hormat-menghormati
antara satu sama lain.”
Begitu panjang lebar syarahan yang diberikan oleh
Datin Suhani minggu lepas. Kata-kata itu juga membuatkan
Idham nekad mengambil keputusan untuk membatalkan
pertunangan ini. Dan dia mengharapkan keputusan ini adalah
keputusan yang terbaik untuknya dan memberi kegembiraan
buat mummynya.
“You jangan risau, I tetap akan kahwin sebagaimana
tarikh yang ditetapkan kerana I nak buktikan pada you yang
I boleh bahagia. Dan you bukanlah calon yang sesuai untuk
I jadikan isteri.” Tutur Idham yang tidak mahu dilihat lemah
di mata Atikah. Dia mahu buktikan pada tunangnya bahawa
cintanya bukan untuk wanita itu, tapi perempuan lain.
Mulut Atikah ternganga bulat. “What? You tetap
nak teruskan perkahwinan? You nak kahwin dengan siapa?
Jangan cakap you dah ada perempuan lain selain daripada I?
Atau sememangnya you curang dengan I, sebab itu you tak
kisah buat keputusan ni!” Hati Atikah mula hangat. Matanya
turut mencerlung ke arah Idham.
“I bukan lelaki sebagaimana yang you fikirkan!”
Sangkal Idham yang tidak senang dengan tuduhan itu.
“Habis tu, you nak kahwin dengan siapa? You nak
kahwin dengan perempuan pilihan mummy you, Emilia?”
Tiba-tiba Atikah kalut menyergah. Risau sangat dengan kata
kata Idham tadi.
“Emilia tak ada kena mengena dalam hal ni.” Idham
mendengus panjang.
“Jangan you ingat I tak tahu, sebenarnya you ada
lelaki lain selain dari I. Betul, kan? You tuduh I sebab you nak
menyembunyikan perangai dan sikap you.” Kali ini Idham
membalas tatapan mata Atikah.
Atikah tergamam. Liur mula ditelan dan wajahnya
juga berubah pucat.
“You... you jangan nak salahkan I. Lelaki-lelaki yang
selalu bersama I tu hanyalah kenalan biasa, rakan sekerja I.
Tak lebih dari itu.” Atikah jadi gugup dan serba salah.
“Jadi, betullah. Selama ini ada ramai lelaki dalam
hidup you selain dari I? Sebab lelaki-lelaki itu juga, you
sanggup menangguhkan perkahwinan kita berkali-kali.”
Idham senyum sinis. Dalam diam, dia sendiri terkejut
dengan perubahan wajah Atikah sedangkan dia hanya sekadar
meneka.
“Tak. I hanya cintakan you seorang sahaja.” Sangkal
Atikah pula.
“Kalau you cintakan I, you akan lebih utamakan I
dari semua benda.” Sekali lagi Idham pamer wajah sinis.
“Am, please... Jangan buat keputusan melulu begini.
I masih cintakan you. I cuma minta tangguh saja, bukan
minta putus. Kita akan tetap berkahwin tapi bukan bulan
depan. I janji, lepas ni I takkan tangguhkan lagi.” Pujuk
Atikah sambil mencapai tangan Idham.
“Keputusan I tetap muktamad.” Idham tetap tegas
dengan keputusannya.
Atikah mendengus kasar. Geram dengan kedegilan
Idham yang tidak mahu menerima pujukannya seperti biasa.
Dia sendiri pun tak sangka yang Idham boleh setegas ini. Hati
Atikah mula rasa cuak.
“Okey, kalau you nak teruskan juga majlis
perkahwinan tu, teruskan. I nak tengok, perempuan mana
yang jadi suri hidup you. I nak tengok sama ada dia hebat
ataupun tidak jika dibandingkan dengan I. I cabar you, Am!
You takkan bahagia dengan mana-mana perempuan pun
kerana I yakin cinta you hanya untuk I seorang.” Atikah
mencabar keputusan Idham.
Idham terdiam. Kata-kata itu memang satu cabaran
untuknya tapi mampukah dia menerima cabaran itu? Di
manakah dia mahu mencari seorang perempuan untuk jadi
calon isterinya dalam tempoh sebulan? Sempatkah? Kalau
jumpa pun, mampukah dia hidup bahagia dengan perempuan
itu sebagaimana yang diimpikan.
“Kalau you dah nekad dengan cabaran you, I akan
terima. Dan ingat, mulai hari ini tolong jangan ganggu hidup
I lagi. Anggap sahaja kita dah tak punya sebarang hubungan.”
Wajah Idham mula merah. Dia tidak mahu kalah di tangan
Atikah untuk kali ini.
“Sayang...” Sekali lagi Atikah tengadah.
“Lepas ni, I akan bincang dengan mummy I untuk
putuskan hubungan kita secara rasmi. I akan jumpa mak
dan ayah you untuk jelaskan perkara ini.” Idham benarbenar
nekad. Biar apa pun yang jadi selepas ini, dia akan
menanggungnya.
“Am, you betul-betul serius ke?” Atikah menarik
tangan Idham.
“Ya. I serius. Betul-betul serius. I tak main-main.”
Tutur Idham lagi sambil merenung tajam wajah sendu Atikah
yang mula menyesal dengan keputusannya mencabar lelaki
itu.
Atikah bukannya serius, cuma nak menggertak
sahaja tapi tak sangka pula Idham yang serius. Dia jadi takut
untuk kehilangan Idham kerana dia tetap cintakan lelaki
itu biarpun wujud lelaki lain dalam hidupnya selama ini.
Bagaimanakah dengan penerimaan orang ramai tentang hal
ini? Adakah dia akan dikecam hebat? Bagaimanakah dia nak
hadapinya nanti kalau pelbagai desas-desus dan gosip timbul
di media sosial?
“Am...” Mata Atikah mula berkaca.
“I minta maaf. I nak balik sekarang. Dan sebelum
I lupa, I nak ingatkan you. I tak akan sesekali terima you
semula dalam hidup I selepas ini walau apa pun yang terjadi.”
Idham terus berlalu pergi tanpa mempedulikan
laungan Atikah. Bagi Idham, lebih baik dia tinggalkan
perempuan itu daripada dia ditinggalkan. Egonya menegah
dia dari berlembut hati kerana selama ini dia sudah banyak
mengalah. Mulai sekarang, nama dan wajah Atikah akan
dihapuskan daripada ingatannya.
TANPA MEREKA sedar, situasi itu sedang ditonton oleh dua
orang gadis yang berada tidak jauh dari situ.
“Nurul, kau rasa apa yang berlaku pada mereka?”
Sherry memandang wajah Nurul. Dari tadi mereka berdua
melihat drama itu tanpa mengetahui butir bicara pasangan
itu tapi mereka kenal bahawa perempuan yang memakai skirt
pendek warna merah dan blaus putih bercorak itu adalah
model terkenal yang sering muncul di majalah dan juga TV.
Malah ada ura-ura menyatakan dia akan menerima kontrak
untuk jadi model di luar negara tidak lama lagi. Khabar angin
juga ada mengatakan bahawa dia telah ditawarkan untuk
berlakon dalam sebuah drama tidak lama lagi.
“Entah. Lantak diaoranglah. Tak ada faedahnya kita
nak ambil tahu. Buang masa!” komen Nurul acuh tak acuh.
“Setahu aku, mereka berdua tu dah lama bertunang
dan akan kahwin tak lama lagi. Tapi kenapa nampak macam
tegang saja hubungan mereka tu.” Sherry tetap nak bercerita
berdasarkan maklumat yang diketahuinya dari media sosial
baru-baru ini. “Eh, Nurul... Kalau tak silap aku, tunang Cik
Tyka yang handsome tu ada datang kat cafe kita dua tiga kali
kalau tak silap aku.” Sherry sempat mencuit bahu Nurul yang
sedang ralit memandang ke arah tasik di hadapannya.
“Daripada aku fikirkan pasal mereka, baik aku
fikirkan pasal aku. Masalah aku sendiri pun banyak, tak ada
faedahnya aku nak fikirkan masalah mereka. Lagi buat kepala
aku pening.” Nurul masih ralit memandang sepasang angsa
yang sedang berenang di tasik.
“Hesy, kau ni tak peka langsung dengan keadaan
sekeliling. Kau tahu tak, kalau aku viral kat internet pasal
mereka bergaduh, mesti ramai yang tengok.” Tutur Sherry
bersungguh-sungguh.
“Tak payahlah kau nak cari glamor murahan macam
tu. Silap-silap kau kena cemuh sebab sebarkan sesuatu yang
tak betul. Kau nak dapat dosa percuma sebab buat fitnah?”
Kali ini Nurul mengalih tubuhnya mengadap wajah Sherry
yang nampak tercengang.
“Err...” Sherry mula menyengih. Ada betulnya katakata
Nurul itu.
“Dah. Jom kita balik sekarang. Dah lewat petang
ni. Kejap lagi dah nak maghrib.” Nurul terus bangkit dari
kerusi batu. Sedikit pun tidak menoleh ke arah gadis yang
menjadi perhatiannya tadi. Namun, dalam diam terdetik juga
rasa cuak. Dah balikkah dia? Sampai hati lelaki itu tinggalkan
perempuan tadi seorang diri. Ada ke patut, datang berdua tapi
balik seorang diri. Tak gentleman pula macam tu.
“Siapa yang nak bawa motor ni?” aju Sherry sambil
memakai topi keledar.
“Kaulah. Tadi aku dah bawa. Lagipun, inikan motor
kau.” Nurul capai topi keledar miliknya yang disangkut di
motor.
“Yalah. Itu pun nak berkira.” Sherry merungut
sambil menghidupkan enjin motor kesayangannya.
No comments:
Post a Comment